Rabu, 30 November 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bantah roboh

Posted: 29 Nov 2011 02:03 PM PST

GOMBAK: Kerja merobohkan 10 rumah di Lot 1880 Jalan Kampung Tengah 4 berdekatan Taman Harmonis, di sini, ditangguhkan selepas rundingan antara wakil penduduk kampung itu dengan pemaju diadakan di Balai Polis Gombak, semalam.

Sebelum rundingan, keadaan tegang apabila wakil pemaju hadir ke kampung berkenaan untuk melihat kerja merobohkan 10 rumah terbabit, namun dapat ditenteramkan polis dan beberapa penduduk kampung yang mendesak satu rundingan diadakan bagi menyelesaikan masalah itu.


Lebih 30 penduduk kampung berkumpul bagi meluahkan rasa kecewa terhadap pemaju yang enggan mengadakan rundingan selain mendakwa mereka mangsa keadaan kerana menduduki tanah itu lebih 20 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP), Abd Halim Idris, berkata hasil rundingan itu, pihaknya memohon tempoh penangguhan kepada pemaju selama sebulan dan berharap pemaju mempertimbangkan pampasan atau sebagainya kepada penghuni rumah terbabit.


"Kami memohon penangguhan selama sebulan kepada pemaju. Setakat ini pemaju belum membuat keputusan berhubung tarikh akhir penangguhan itu, namun berharap semuanya dapat diselesaikan di meja rundingan.


"Kami akur keputusan undang-undang, namun pemaju perlu memikirkan bagaimana nasib penghuni rumah terbabit termasuk beberapa penghuni yang rata-rata terdiri daripada warga emas. Mereka perlu memikirkan nasib mereka," katanya ketika ditemui, semalam.

Sebelum itu, laporan menyatakan penghuni rumah berkenaan menjadi mangsa keadaan akibat perjanjian daripada pemaju terdahulu sebelum diambil alih syarikat lain yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah.


Abd Halim berkata, sejak dari awal tiada rundingan dibuat antara pemaju dan penghuni rumah berkenaan walaupun pemilik rumah itu beberapa kali cuba mengadakan rundingan, tetapi kerjasama daripada pemaju amat mengecewakan.

Selain itu, beliau berkata, penghuni rumah terbabit berterima kasih kepada pemaju kerana menerima penangguhan itu dan pihaknya akan mengadakan rundingan dengan pemaju dalam masa terdekat berhubung bentuk pampasan berdasarkan nasihat daripada peguam.


Sementara itu, wakil peguam pemaju terbabit, Nava Ananda Jiwa, berkata pihaknya setuju berhubung penangguhan seperti diminta penghuni rumah berkenaan, tetapi setakat ini tiada tarikh khusus berhubung tempoh akhir penangguhan itu.


Katanya, pemaju akan cuba berbincang dengan wakil penduduk kampung berkenaan berhubung pampasan dan tuntutan daripada mereka.

Full content generated by Get Full RSS.

Allah beri peringatan

Posted: 29 Nov 2011 01:58 PM PST

KUALA LUMPUR: "Kemungkinan ia petunjuk dan peringatan Allah kepada mereka supaya tidak meneruskan perbuatan terkutuk itu serta tanda Allah masih sayangkan mereka, maka segeralah bertaubat," kata Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij), Datuk Noh Gadut.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai tiga lelaki yang tidak nampak pintu keluar dari kawasan makam ulama terkenal Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah di Kampung Pulau Manis, Serada, Terengganu ketika melakukan upacara pemujaan nombor ekor.


Imam Masjid Pulau Manis, Kori Endut yang menemui tiga lelaki berkenaan berkata, mereka yang terbabit berusia 40-an lengkap berserban dan berjubah bagi mengaburi mata orang ramai ketika memuja nombor ekor di kubur ulama lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis itu.

Noh berkata, perbuatan memuja kubur sesiapa saja termasuk ulama sekali pun boleh membawa hukum syirik dan terkeluar dari Islam.


"Mereka yang terbabit dalam perbuatan syirik ini jika ditakdirkan mati, mereka mati sebagai kafir," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Watak paling merisaukan

Posted: 29 Nov 2011 02:45 PM PST

DUA 'hero Malaya' ini memulakan langkah lakonan mereka pada usia masih mentah. Jika Shaheizy Sam dikenali dengan telefilem menyayat hati, Pa'e pada 1998 ketika usia 12 tahun, pastinya Mohammad Syafie Naswip pula menerusi filem Mukhsin.

Diketengahkan pengarah tersohor negara, Allahyarham Yasmin Ahmad pada 2007, ketika itu Mohammad Syafie baru berusia 15 tahun. Kini, Shaheizy dan Syafie juga sudah membuktikan bakat lakonan masing-masing menerusi anugerah dimenangi.

Shaheizy menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) tahun lalu dan Pelakon Lelaki Terbaik di FFM24 baru-baru ini. Manakala Syafie pula menang Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22).

Bagaimanapun, dari aspek populariti nyata lebih berpihak kepada Shaheizy kerana dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tahun lalu. Ia sekali gus kejayaan berganda buatnya yang makin menonjol dalam lakonan.


Berpaksikan kecemerlangan yang sudah terbukti itu, Shaheizy dan Syafie kini disatukan sebagai adik beradik dalam filem Songlap arahan Effendee Mazlan dan Fariza Azlina yang diterbitkan secara bersama produksi Primeworks Studios Sdn Bhd dan Red Films Sdn Bhd.


Walaupun pertama kali bergandingan di filem, sama ada Shaheizy atau Syafie, mereka saling 'memberi' dalam tuntutan watak masing-masing. Bahkan, tiada masalah juga buat mereka membentuk keserasian serta mengakui selesa bekerja antara satu sama lain.

Menurut Shaheizy atau mesra dengan panggilan Sam, dia seronok bekerja dengan Syafie biar pun hubungan mereka tidaklah begitu rapat sebagai sahabat baik. Bagaimanapun, katanya Syafie memang seorang pelakon yang berbakat kerana dia mudah membentuk kerjasama.

"Biarpun hubungan kami tidak rapat, tetapi atas dasar urusan kerja, Syafie memberi ruang kepada saya untuk masuk ke dalam dirinya. Ia sekali gus membantu menghidupkan lakonan kami terhadap watak Am yang saya bawa dan dia pula sebagai Ad.

"Jujur saya katakan, tidak semua pelakon boleh melakukan seperti Syafie yang memudahkan gandingannya selesa, serasi dan boleh menghayati watak bersama. Dalam soal ini, apabila mendapat gandingan yang bagus, saya menjadi bertambah yakin.

"Lakonan ditonjolkan juga ikhlas dan tulus mengikut apa yang diinginkan skrip. Bahkan, saya juga berasakan lakonan yang dipaparkan dalam Songlap lebih 'terpelihara'. Sehubungan itu, saya sangat mengharapkan penonton akan berpuas hati," katanya.

Aktor kacak berusia 29 tahun yang begitu laris membintangi pelbagai genre ini, memaklumkan Songlap ialah filem yang jujur. Ia mengangkat kisah benar berkaitan sindiket penjualan bayi yang memang berlaku dalam kehidupan realiti masyarakat.

Songlap yang turut dijayakan Sara Ali, Omar Abdullah, Rozie Rashid, Normah Damanhuri dan Hasnol Rahmat bakal ditayangkan di pawagam pada 15 Disember ini. Filem lakonan Sam yang turut menanti tayangan, 8 Jam, Adnan Sempit 2, Nongkrong dan Aku Ada Kau Ada.

Menyedari usia yang makin meningkat, sejauh mana pula perancangan Sam dalam kehidupan peribadinya? Apakah anak bongsu dramatis Khaty Fauziah ini sudah bersua calon sesuai untuk menjadi teman hidup? Menjawab pertanyaan ini, dia yang kini tampil berjambang berkata, jadualnya terlalu padat.

"Saya terlalu selesa dengan kerja sekarang ini dan tiada masa untuk mencari cinta. Justeru, saya tidak memikirkannya dan biarlah soal jodoh ini ditentukan Tuhan. Sampai masa ditetapkan, saya yakin dan percaya akan bertemu juga dengan jodoh itu.

"Sebagai manusia biasa, saya juga mempunyai impian untuk memiliki keluarga sendiri. Cuma, sekarang sukar untuk saya memaklumkan lebih lanjut kerana tumpuan serta komitmen saya hanya pada karier. Apapun, saya bersyukur keluarga sangat memahami," katanya.

Pernah muncul juga dengan kumpulan MOB yang mengetengahkan irama hip hop, Sam berkata, kerjaya nyanyian padanya kini sudah menjadi kenangan. Ujarnya, biarpun tawaran untuk menyanyi masih diperoleh tetapi dia yang tidak bersedia untuk terima.

Syafie berusaha atasi rasa gugup

Selesa merendah diri, Syafie berkata dia masih terlalu baru dalam industri lakonan tanah air. Katanya, banyak lagi ilmu yang perlu ditimba daripada pelakon berpengalaman seperti Shaheizy Sam. Pengalaman adalah kayu pengukur antara dia dan Shaheizy

Biarpun pernah bergandingan dengan Shaheizy dalam telefilem Alahai Cicit Atuk, tetapi ketika itu babak membabitkan mereka tidak banyak. Justeru, Syafie sendiri tidak berasa terlalu gugup beraksi di sisi Shaheizy yang sangat dihormatinya.

"Namun, situasi itu nyata berbeza dalam Songlap kerana kami berdua adalah teraju utama dan paling merisaukan apabila kami memainkan watak adik-beradik. Shaheizy seorang pelakon yang bagus, jadi siapa yang tidak akan berasa gementar.

"Ditambah pula watak Ad lakonan saya sangat mencabar. Ia banyak bermain dengan emosi dalaman yang memerlukan saya banyak berbincang dengan pengarah dan pelakon yang terbabit dalam filem ini untuk mendapatkan pandangan mereka.

"Tak dinafikan, ketika mendapat tawaran untuk berlakon filem ini hati saya berbelah bahagi sebenarnya. Saya rasa mahu menolaknya kerana takut dengan tuntutan penghayatan watak yang berat. Ini kerana, saya seorang remaja biasa yang gemar duduk di rumah.

"Saya pun tidak pernah terbabit masalah apatah lagi, perihal menjual bayi. Jadi, semestinya sukar untuk saya menjiwai watak Ad itu. Justeru, bagi mendapatkan mood yang sesuai, saya ambil inisiatif menonton filem The Reader serta membuat tinjauan di sekitar Chow Kit," katanya.

Menurut Syafie, selain itu dia juga banyak bertanya pada rakan-rakan dan berkongsi kisah yang mereka tahu mengenai penjualan bayi. Ujarnya, dia memberanikan diri menerima juga tawaran filem Songlap kerana terpikat dengan jalan cerita yang berbeza.

Berusia 18 tahun dan kini melanjutkan pengajiannya dalam tingkatan enam, Syafie berkata sekarang, komitmen utamanya adalah pelajaran untuk jaminan masa depan. Justeru, jika ada tawaran berlakon pun, dia hanya terbabit pada penggambaran hujung minggu.

Katanya dia mahu lebih dulu mengejar cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh itu, dia lebih selesa jarang menerima tawaran demi pendidikan. Katanya dia mahu berusaha dan melakukan sebaik mungkin dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) nanti.

PROFIL

NAMA: Shaheizy Sam Abdul Samad
PANGGILAN KOMERSIAL: Shaheizy Sam
TARIKH LAHIR: 4 September 1982
USIA: 29 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak bongsu daripada lima beradik
DRAMA/ TELEFILEM: Antaranya Pa'e, The Son, Elly, Noda Semalam, Bisikan Hati, Graduan, KL Menjerit, Ali Din, Seiras Maya, Kasanova XXL, Impak Maksima, Jangan Pandang Belakang
FILEM: Sama Tapi Tak Serupa, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Syurga Cinta, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Semp-it, Niyang Rapik, Evolusi KL Drift 2, Ngangkung, Kongsi, Sekali Lagi, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Filem Lelaki Popular ABPBH2010, Bintang Paling Popular ABPBH2010, Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2010), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM23), Pelakon Lelaki Terbaik (FFM24)

PROFIL

NAMA: Mohammad Syafie Bin Naswip
PANGGILAN KOMERSIAL: Syafie
ASAL: Selangor Darul Ehsan
TARIKH LAHIR: 2 Ogos 1992
USIA: 18 tahun
STATUS: Bujang
KELUARGA: Anak tunggal
KARIER: Pelakon, Pelajar
DRAMA/TELEFILEM: Antaranya Impian, Ilham Suci, Dosa Semalam, Kasih Tak Terucap, Takbir Suci 2, Soulful Finding, Manja, Alahai Cicit Atok, Ustaz Kecil, Seluhur Nazar, Demi Masa, Dunia Batinku, Biang Lala Di Kaki Langit, A Untuk Abah, Melukut Kasih Di Kaki Santubung, Hero Komik, Jidin, Keliwon
TEATER: P Ramlee The Musical (musim 1) Titik-Titik Perjuangan 1, Titik-Titik Perjuangan 2, Gelanggang Tok Wali
FILEM: Mukhsin, Talentime, Nur Kasih The Movie, Songlap
ANUGERAH: Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2007, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (FFM20) Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (FFM22)

Full content generated by Get Full RSS.

INTERAKSI: ‘Tak ada konspirasi’

Posted: 29 Nov 2011 04:47 AM PST

SEJAK melangkah dunia seni melalui album reKRUed yang popular dengan lagu Awas, trio yang menggelarkan diri mereka KRU, Norman Abdul Halim bersama adiknya, Edry dan Yusry, melakar kejayaan besar dalam muzik tanah air hingga terus berkarya sehingga kini.

Selama dua dekad ini, KRU melahirkan ramai penyanyi baru dengan lagu-lagu ciptaan Edry kemudian mengorak langkah ke dunia filem melalui produksi KRU Studios yang tampil dengan genre yang jarang diteroka produser lain seperti filem super hero Cicakman, komedi I Spy, filem seram Karak, filem animasi Magika dan filem epik Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

Akhir-akhir ini, KRU dilihat begitu hebat pengaruhnya dalam dunia seni tanah air. Dalam majlis anugerah yang berlangsung baru-baru ini, Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18), Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) dan juga Anugerah Skrin 2011 (ASK2011), KRU melakar kejayaan besar.

Bermula dengan kejayaan Magika untuk Filem Terbaik di ASK pada 8 November lalu, filem terbitan KRU Studios terus cemerlang apabila HMM dinobatkan Filem Terbaik di FFM24 pada 20 November.


Tidak cukup dengan itu, kejayaan Yuna menggenggam trofi Lagu Terbaik untuk Penakut di AIM18 pada 12 November lalu hanya sedetik cuma apabila penganjur menarik semula kemenangan itu atas alasan kesilapan teknikal dan pemenang sebenar adalah Sedetik Lebih ciptaan Edry.


Kejayaan demi kejayaan KRU ini menimbulkan tanda tanya hingga ada yang menyarankan supaya dikaji apa kaitan KRU dengan majlis anugerah ini. Dari segi jawatan, Norman adalah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) juga penganjur AIM serta Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai pengaruh besar dalam penganjuran FFM.

Ada juga mengatakan semua kejayaan ini satu percaturan KRU untuk melakar kejayaan besar dalam industri seni kerana semua ini ada kaitannya dengan dana yang diterima KRU dari kerajaan dan semua kejayaan ini penting sebagai catatan profil syarikat .

Benarkah semua yang dikatakan itu? Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan RAP, Murshid Eunos (murshid@hmetro.com.my) mendapatkan penjelasan dari Norman.

RAP: Kemenangan besar KRU dalam tiga majlis anugerah baru-baru ini menimbulkan banyak spekulasi hingga ada mengatakan wujud propaganda dan konspirasi di sebalik semua pengiktirafan itu. Boleh anda jelaskan apa yang sebenarnya berlaku?

NORMAN: Tidak adil untuk mempersoalkan kemenangan KRU dan segala pengiktirafan yang sudah pun dinobatkan hanya kerana melihat saya berada dalam organisasi penganjuran. Kehadiran dan fungsi saya dalam RIM mahupun PFM bukanlah sebesar mana hingga mampu mempengaruhi keputusan.

Kejayaan HMM dan Sedetik Lebih adalah berdasarkan kualiti yang diukur oleh barisan juri profesional. Mereka adalah pemerhati yang mempunyai integriti yang meneliti setiap produk yang dipertanding dan kebetulan karya terbaik milik KRU.

Mengapa ada pihak yang mempersoalkan kemenangan itu kerana seharusnya mereka menghulurkan ucapan tahniah. Hakikat sudah ditentukan dan saya terfikir mengapa pihak yang bising dan gigih menyebar persepsi negatif itu menerima saja dengan fikiran terbuka segala keputusan ini.

Melihat dari perspektif positif dan pembangunan industri, HMM memang layak diangkat menjadi yang terbaik begitu juga dengan Sedetik Lebih kerana itu sudah melalui satu proses penilaian sebanyak dua kali oleh barisan juri profesional.

RAP: Pernah terfikir mengapa mereka mempersoalkan dan meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kemenangan ini hingga dikaitkan dengan agenda tersembunyi KRU.

NORMAN: Itulah lumrah kehidupan dan sepak terajang dunia hiburan yang saya fahami sejak hampir dua dekad lalu. Mengapa perlu saya hairan atau terkejut kerana sejak awal lagi, saya memang sudah bersedia untuk berdepan dengan situasi begini. Malah jujurnya, tatkala karya terbitan KRU diumumkan ke peringkat akhir, saya mengharapkan agar ia tidak sangkut di mata juri kerana saya sudah penat menjawab segala pertikaian seperti ini.

Sebelum ini pun penat kami bertiga menjawab seribu satu dakwaan yang menyangkal kemenangan Magika di FFM23 tahun lalu. Senario yang sama masih berlaku tahun ini apabila HMM sekali lagi menang di FFM24. Lebih teruk lagi, pertikaian ini dilakukan lengkap dengan dakwaan lain hingga membabitkan cerita mengarut yang ada kalanya membuatkan saya terdiam kerana terkilan.

Puncanya hanya satu iaitu kerana saya berada dalam persatuan dan badan penganjuran. Itu adalah sasaran utama beberapa pihak yang tidak henti mempersoalkannya hingga jawatan saya dalam persatuan disalah erti.

Sistem penjurian bukan di bawah bidang kuasa saya. Malah jika dikaji semula dari minit mesyuarat jawatankuasa RIM, saya hanya terbabit pada peringkat awal perlantikan dulu yang mana fungsi saya untuk mencari penaja kepada AIM dan penyiar rasminya saja. Pernah sesiapa datang bertanya soal itu yang mana sumbangan saya dengan mendapatkan penaja kepada AIM yang kian merosot jumlah tontonan?

Saya langsung tidak ambil peduli soal penjurian dan penganjuran anugerah secara terperinci kerana sudah ada jawatankuasa AIM terdiri daripada Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (AIMM) yang bertanggungjawab memantau aspek penjurian. Saya memang tidak tahu menahu soal juri jika ada yang pertikai kononnya saya seperti merancang kemenangan ini.

RAP: Insiden menarik semula trofi Lagu Terbaik yang dimenangi Yuna menerusi lagu Penakut kemudian diserahkan pula kepada Edry menerusi lagu Sedetik Lebih dilihat kemuncak segala pengaruh KRU. Apa komen anda dalam hal ini?

NORMAN: Apabila nama Yuna diumumkan pemenang Lagu Terbaik, saya sendiri terkejut kerana tanpa sebarang tayangan video calon-calon akhir, tiba-tiba namanya diumumkan menang sedangkan lagu itu tidak langsung tersenarai untuk pemenang genre lain, Pop, Pop Etnik, Rock, Nasyid dan Inggeris Tempatan sedangkan syarat untuk menang Lagu Terbaik haruslah daripada pemenang genre itu. Semua itu sudah diketahui umum sejak dulu lagi.

Namun itulah yang sudah dijelaskan apabila kesilapan yang berlaku datangnya dari pihak syarikat audit bertaraf antarabangsa yang dipertanggungjawab dan mereka sendiri punya kredibiliti global merakamkan maaf atas kesilapan itu. Persoalannya adalah pengaruh saya juga yang membuatkan hingga syarikat sebesar itu memohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Implikasinya sangat besar kepada kredibiliti syarikat itu dan secara logik, adakah saya yang mengarahkannya?

RAP: Ada yang mengatakan KRU kemaruk anugerah dan inginkan semua pengiktirafan tertinggi bagi membuktikan segala usaha KRU Studios dalam penerbitan filem.

NORMAN: Kami sudah jauh ke depan dan melihat anugerah antarabangsa sebagai motivasi. Kunci kejayaan dan kiblat kepada masa depan adalah pada perspektif yang luas dan bukannya sibuk menjadi jaguh kampung. Kami sudah puas menerima penghargaan di Malaysia dan kini adalah masa untuk kami melangkah ke depan di peringkat antarabangsa.

Dakwaan kononnya kami inginkan kemenangan atau gila untuk memegang anugerah adalah sangat longgar dan tidak masuk akal. Apatah lagi untuk mempertikaikan soal dana dan bantuan kerajaan kepada kami. Itu langsung tidak masuk akal kerana pada saya, sesiapa yang sibuk mengandaikan perkara buruk atau gigih memikirkan pelbagai sangkaan negatif adalah manusia yang tidak punya motivasi. Itu adalah sentimen individu cemburu, iri hati dan penuh dengan hasrat berdengki yang tidak mahu melihat orang lain berjaya sedangkan ia satu hakikat. Saya tidak kisah dengan apa juga tuduhan kerana semua itu tidak langsung berbekas kudis pada saya.

RAP: Sejauh mana ketelusan pihak penjurian?

NORMAN: Penjurian cukup telus apabila lagu saya dan adik-adik saya sendiri tidak terpilih. Kami tetap hantarkan beberapa lagu nyanyian kami termasuk Ganas namun semuanya tersadai tidak diterima kerana ada lagi lagu lain yang jauh lebih layak.

Jika benar saya punya kuasa dan pengaruh, mengapa tidak saya pilih lagu-lagu kami sebagai pemenang dan sentuhan Yusry dalam kategori Video Muzik Terbaik diangkat.

Begitu juga dengan kemenangan kami di FFM. Itu semua sudah diadili dengan saksama dan adil oleh barisan juri profesional yang berlainan latar bidang. Mengapa harus kemenangan HMM dipersoalkan? Jangan pertikaikan ketelusan barisan juri hanya kerana kepentingan tertentu.

RAP: Perasaan anda apabila berlakunya perkara ini?

NORMAN: Sukar untuk saya jelas dan gambarkan kerana senario yang berlaku seolah-olah membawa diri sendiri ke dalam mahkamah dan menjejaskan kredibiliti sendiri. Bayangkan saya perlu meletak justifikasi kepada integriti saya sendiri selaku pengerusi dan organisasi penganjuran.

Kemenangan KRU tidak langsung mendapat ucapan tahniah dan tidak sempat kami raikan sebaliknya saya sendiri perlu tampil memberi kenyataan berhubung seribu satu dakwaan yang mempersoalkan kedudukan dan keikhlasan saya bekerja. Saya sendiri terduduk memikirkan soal ini kerana sejak dulu lagi satu formula pengukuhan empayar KRU adalah ketelusan, ikhlas dan sentiasa berpegang kepada integriti diri.

Kini saya perlu ke depan dan mempertahankan formula sendiri sedangkan semuanya hanya berpaksi pada ketidakpuasan sesetengah individu. Memang kelakar buat saya.

RAP: Adakah senario dan segala dakwaan ini membuatkan anda berputus asa dalam meneruskan perjuangan?

NORMAN: Itu adalah tindakan paling bodoh jika saya berundur kerana kecewa dengan segala dakwaan yang dilemparkan. Saya berdiri di sini atas pemilihan dan bukannya perlantikan mengisi kekosongan tempat. Saya dipilih dan seharusnya saya perlu kekal berdiri memperjuangkan apa yang patut saya perjuangkan.

Saya masih banyak lagi agenda besar buat industri. Panjang lagi perjalanan saya sebagai anak seni yang harus saya lakukan kepada perkembangan industri tempatan. Biarlah mereka terus menyalak dan meletak pelbagai tomahan kepada saya dan KRU Studios kerana apa yang penting adalah keikhlasan dan kejujuran diri sendiri.

Saya ikhlas memperjuangkan apa yang termampu dan tidak sesaat terlintas untuk menyalahguna kuasa dan tanggungjawab yang diberi. Namun jika itu yang menjadi ukuran kepada pihak yang tidak henti mempertikaikan, terpulanglah.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Budak maut kena ‘basuh’

Posted: 29 Nov 2011 12:38 PM PST

PARIS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut selepas bapanya memasukkannya ke mesin basuh dan menghidupkan suisnya sebagai hukuman.

Christophe Champenois, 33, dituduh mengikat tubuh kanak-kanak itu, Bastien yang telanjang bulat dan dimasukkan ke mesin basuh di kediaman keluarga terbabit dekat Paris. Champenois dikatakan ingin menghukum kanak-kanak itu selepas dia membuang lukisan rakan sekelasnya ke mangkuk tandas. Ibu Bastien, Charlene, 25, mengeluarkan anak lelakinya dan mendukung tubuh mangsa yang terkulai sebelum berkejar ke rumah jiran sambil memberitahu anak lelakinya itu jatuh tangga.


Jiran terbabit, Alice, menceritakan mengenai detik menyayat hati itu.

"Saya mendukungnya dan berasa seperti boneka yang patah. Saya dapat rasakan degupan terakhir jantungnya. Charlene tidak bergerak dan mukanya merah padam. Dia tidak faham yang anak lelakinya sudah tidak bernafas lagi," katanya.


Pasangan itu tetap mengatakan Bastien mengalami kemalangan dan jatuh tangga.


Bagaimanapun, anak perempuan pasangan itu yang berusia lima tahun mendedahkan adik lelakinya dikunci dalam mesin basuh dan ia bukan kali pertama berlaku.

Kadangkala dia dikunci dalam almari pakaian selama dua jam. - DM

Full content generated by Get Full RSS.

China larang siar iklan ketika tayangan drama

Posted: 29 Nov 2011 12:36 PM PST

BEIJING: Penonton televisyen di China, semalam mengalu-alukan larangan siaran iklan ketika tayangan drama popular, tetapi pengiklan memberi amaran ia mungkin menyebabkan kerugian berbilion yuan kepada stesen televisyen.

Pentadbiran Radio, Filem dan Televisyen mengumumkan kelmarin, mulai dari tahun depan, siaran iklan dilarang tayangan drama televisyen bagi memastikan penonton dapat menonton secara berterusan. Ia menjadi isu terkini di negara itu apabila pemerhati media cuba menarik tumpuan penonton daripada Internet. Pertumbuhan populasi Internet di China kini berjumlah 500 juta iaitu yang terbesar di dunia. Ia memberi cabaran besar kepada pemerintah negara itu untuk mengawal media yang menjadi pilihan rakyat. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Toyol’ curi komputer riba

Posted: 29 Nov 2011 02:23 PM PST

JOHOR BAHRU: Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah sekolah agama di Taman Dahlia, di sini, membongkar aksi sekumpulan lima penjenayah cilik termasuk kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun yang memecah masuk pejabat sekolah berkenaan sebelum melarikan dua komputer riba.

Dalam kejadian jam 2.37 pagi semalam, lima penjenayah terbabit berusia 10 hingga 18 tahun dengan dua daripada mereka yang paling muda berusia 10 dan 12 tahun menggunakan susuk tubuh kecil untuk menyelit masuk melalui pintu berjeriji selepas gagal memecahkan mangga.

Kedua-dua mereka menyelongkar laci pejabat untuk mencari barang berharga dan berada di situ selama sejam tanpa menyedari gelagat mereka dirakam CCTV.

Ahli jawatankuasa badan kebajikan sekolah berkenaan, Mohammad Nick Abdullah, 43, berkata dia menyedari kejadian itu selepas melihat kesan umpil pada satu daripada pintu jeriji ketika ke sekolah untuk memeriksa rakaman CCTV pada jam 7.30 pagi semalam.


Selepas memeriksa pejabat, Nick mendapati komputer riba hilang dan penelitian melalui rakaman CCTV menunjukkan penjenayah cilik menyelongkar laci dan memasukkan peralatan elektronik berkenaan ke dalam dua beg.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Hanya Umno jadi jawapan

Posted: 29 Nov 2011 02:23 PM PST

KUALA LUMPUR: Hanya Umno menjadi jawapan kepada pelbagai persoalan yang meresahkan orang Melayu berlandaskan perjuangan membela agama, bangsa dan negara yang menjadi asas dan matlamat parti itu selama ini.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mutakhir ini, orang Melayu semakin resah kerana tercari-cari jawapan kepada persoalan masa depan mereka di tanah air sendiri membabitkan isu peluang pendidikan dan ekonomi, kuasa politik Melayu atau kedudukan Islam.


Menurutnya, jawapan kepada persoalan itu sudah ada kerana sebagai ahli dan pemimpin Umno, parti itu memikul amanah besar untuk terus membela agama, bangsa serta negara yang menjadi asas dan matlamat perjuangan.

"Hakikatnya, Umno sudah bangkit daripada rempuhan tsunami 2008, kita tidak pernah menyerah kalah kepada tujahan kuasa politik pembangkang yang ingin merobek segenap sudut perjuangan Umno dalam membela orang Melayu. "Ketika umat Melayu resah memikirkan apakah ada pembelaan terhadap mereka dalam sektor ekonomi, kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui Umno tanpa rasa apologetik menubuhkan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang bertanggungjawab memastikan penyertaan orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor ekonomi terus diperkasa. "Lantaran itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga ditubuhkan untuk menyelaraskan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi yang semakin kompetitif," katanya ketika merasmikan secara serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.


Terkini, kata Muhyiddin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Program Transformasi Ekonomi Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus strategik merangkumi pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan Bumiputera, pembaharuan instrumen dasar dan rasionalisasi sistem penyampaian serta penumpuan kepada pemerolehan, penciptaan dan pembangunan perniagaan berskala besar. "Begitu juga ketika orang Melayu resah memikirkan sama ada pendidikan anak-anak mereka akan terus terbela, pemimpin Umno tegas mempertahankan hak pelajar Melayu dan Bumiputera yang berkelayakan mendapatkan biasiswa dan bantuan lain pendidikan daripada kerajaan," katanya. Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai parti yang bertanggungjawab, Umno akan terus membela hak anak Melayu dan Bumiputera mendapatkan segala bantuan pendidikan untuk mereka yang layak tetapi pada masa sama Umno tidak menafikan hak anak kaum lain mendapat kemudahan sama selaras dengan prinsip al-'adl wal ihsan ditekankan Islam.


"Umno juga akan terus mempertahankan institusi agama daripada terus dipersenda dan diperleceh, kedudukan raja sebagai ketua agama akan dijunjung. Kewibawaan institusi mahkamah syariah, agensi penguat kuasa agama dan undang-undang Islam akan terus dibela. "Pendidikan Islam akan diperkasakan lagi, kerajaan komited membantu sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri dari segi pembangunan infrastruktur, kurikulum, latihan guru dan sebagainya. Bantuan akan diberikan kepada semua sekolah agama melangkaui batas ideologi politik, ini adalah keikhlasan Umno memastikan pendidikan Islam terus bermartabat di negara kita," katanya.

Menyentuh mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Muhyiddin berkata, calon adalah senjata parti untuk menang, justeru beliau meminta semua pihak memberi sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan menentukannya kerana yang penting individu itu berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat. "Tumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada parti dan pemimpin. Marilah kita bersatu menjayakan agenda transformasi yang dibawa presiden. Pendekatan berani beliau memperkenalkan transformasi politik dalam menunjangi perubahan perlu disambut segenap lapisan ahli Umno. "Pertahankan parti dengan seluruh jiwa dan raga. Jangan lari dari medan perjuangan. Jangan mengaku kalah sebelum berjuang. Jangan kita mencalit arang ke muka parti. Jangan sabotaj.


"Jangan 'cah keting'. Jangan 'peteh' sama sendiri. Jangan 'mandikan' calon-calon kita. Jangan tutup bilik gerakan. Jangan main belakang. Jangan lari ke luar negeri. Jangan tikam kawan. Jangan lakukan apa sahaja yang boleh menjejaskan peluang parti untuk menang dalam pilihan raya. "Ingat, pilihan raya nanti adalah pertandingan hidup atau mati. Ingat, pilihan raya nanti bukan untuk kemenangan diri tetapi adalah untuk kemenangan parti," katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah organisasi, Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan kerana Umno bukan malaikat tetapi langkah perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan terus dilakukan. "Dalam perjuangan ini, Umno tidak boleh bersendirian. Ajaklah, serulah, panggillah, pujuklah seluruh umat Melayu untuk bersama kita. Raih setiap sokongan dan keyakinan seluruh persatuan Melayu, gabungan Melayu, badan ekonomi, sosial, pendidikan, agama, belia, budaya untuk bersama kita di bawah panji Umno dalam mempertahankan survival umat Melayu, ajaklah penyokong pembangkang yang sudah hilang kepercayaan kepada perjuangan parti mereka yang sia-sia untuk bersama-sama kita. "Beri tumpuan kepada masalah rakyat, rasai denyut nadi mereka, dengar rintihan dan keluhan mereka. Bantulah mereka, kita adalah mata, telinga dan suara rakyat. Paling utama, kita mesti bertanggungjawab, lunaskan tanggungjawab moral kita sebagai pejuang Umno dengan membantu rakyat," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Perhalusi kegagalan’

Posted: 29 Nov 2011 08:58 AM PST

BERBICARA mengenai kegagalan skuad Olimpik negara dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik London ibarat 'nasi sudah menjadi bubur'. Namun bagi Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang turut dikenali sebagai pengkritik sukan tanah air mahu kegagalan itu diperhalusi supaya ia tidak terus berulang.

Kerana beliau berpendapat, skuad yang dibimbing jurulatih Ong Kim Swee itu seharusnya memberi lebih tumpuan kepada saingan berkelas lebih tinggi itu berbanding sibuk dengan misi mempertahankan gelaran raja Asia Tenggara di Sukan Sea Indonesia.


"Kita sudah memenangi pingat emas Sukan Sea di Laos dua tahun lalu jadi kenapa kita perlu memberi tumpuan kepada kejohanan itu, adalah lebih baik kelayakan Olimpik London menjadi keutamaan.

"Jika diambil kira, kelayakan Olimpik ini adalah peluang terbaik untuk kita mencapai taraf lebih tinggi dan bukannya hanya bermegah di peringkat Asia Tenggara. "Kita sudah mengambil bahagian di Sukan Olimpik sejak 1956 dan layak sebanyak dua kali di Sukan Olimpik Munich pada 1972 dan 1980 di Moscow. Jadi kenapa kita perlu terlalu bergembira dengan pencapaian di Sukan Sea kerana sepatutnya kita perlu berusaha untuk mencapai tahap lebih tinggi," katanya.


Impian skuad bawah 22 tahun negara untuk mencari kedudukan sekurang-kurangnya di tangga kedua Kumpulan C bagi memburu tiket ke Olimpik London semakin sukar selepas menerima kekalahan ketiga di tangan Bahrain 3-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.


Biarpun mendahului 2-0, skuad muda negara yang dihimpit kepenatan, kecederaan dan penggantungan pemain menyaksikan tidak berdaya untuk bertahan 10 minit terakhir apabila dibolosi tiga gol ketika Bahrain kehilangan seorang pemain.

Malah anak buah Kim Swee sebelum itu juga terpaksa mengerah keringat yang ada ketika tewas 2-0 kepada Syria biarpun hanya berehat selama sehari sebaik tiba dari Jakarta dengan membawa pulang pingat emas.


Malaysia satu-satunya wakil Asia Tenggara yang layak beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Sukan Olimpik kini terperosok di tangga terakhir kumpulan yang diterajui Jepun dengan sembilan mata, Syria enam mata dan Bahrain tiga mata.

Biarpun berbaki tiga lagi perlawanan, kekalahan ketiga berturut-turut itu tampak menutup jalan Malaysia melakar sejarah layak ke Olimpik buat kali ketiga.


"Sikap orang Malaysia perlu berubah kalau kita mahu bersaing di peringkat antarabangsa. Jangan kita bergembira dengan kejayaan di peringkat bawah kerana kita tak boleh menang di peringkat lebih tinggi," kata Kay Kim.

Full content generated by Get Full RSS.

Penerjun perlu cari populariti

Posted: 29 Nov 2011 08:53 AM PST

SELEPAS tiga penerjun negara melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012, kini mereka perlu memburu populariti dalam siri Jelajah Eropah.

Penerjun berpengalaman negara, Yeoh Ken Nee berkata jelajah Eropah amat penting dalam usaha penerjun negara memburu pingat di London.


Pendedahan yang dimaksudkan bukan sekadar memberi pengalaman kepada penerjun negara menyertai kejohanan di pentas dunia, malah bertujuan mendedahkan atau memperkenalkan penerjun negara kepada juri di Eropah.

"Dalam sukan subjektif seperti terjun, soal 'bias' tidak dapat dielakkan jadi jurulatih Yang Zhuliang mahu kami memberi persepsi yang baik di kalangan pengadil di Eropah dengan membiasakan nama dan wajah agar dikenali mereka sebelum Sukan Olimpik," kata Ken Nee.


Tiga penerjun negara yang sudah layak ke Olimpik adalah Bryan Nickson Lomas dalam acara 3m papan anjal dan 10m platform individu, Ken Nee 3m papan anjal individu serta Pandelela Rinong dalam acara 10m platform individu.


Kini penerjun negara menanti pelepasan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk kembali menjalani latihan di China sebelum semua penerjun elit bertanding di Piala Dunia Terjun Fina yang akan berlangsung di London Februari tahun depan, kejohanan terakhir yang menjadi tempat kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Kita perlu memastikan sebanyak mungkin slot untuk penerjun negara beraksi di Olimpik kerana faktor jumlah penerjun negara di temasya itu juga akan mempengaruhi juri yang mungkin mewujudkan persepsi betapa Malaysia mempunyai ramai penerjun berkualiti," katanya.


Selain memburu beberapa tempat lagi dalam acara individu, Piala Dunia di London itu juga bakal menjadi medan memburu slot acara terjun seirama.

Mengikut peraturan Olimpik, penerjun negara yang layak ke Sukan Olimpik tidak semestinya beraksi dalam acara ayng mereka layak secara merit tapi tempat itu boleh diberikan kepada penerjun lain dari negara yang sama.


Idea Zhuliang mempopularkan nama penerjun negara di pentas dunia cukup bijak kerana negara kuasa besar sukan itu seperti China juga melakukannya.


Selepas menyertai Piala Dunia, penerjun negara dijangka menyertai kejohanan bertaraf Grand Prix di Russia, Jerman, Kanada, Amerika Syarikat dan Sepanyol.


"Menjelang Sukan Olimpik, kami mahu dikenali di kalangan juri sebagai negara yang berpotensi besar dalam sukan ini, jadi mereka tidak akan teragak-agak memberi mata yang tinggi. "Apa yang berlaku di dunia ketika ini, penerjun yang mempunyai nama besar cukup mudah meraih mata yang tinggi dari juri jadi kita juga akan melakukannya," kata Ken Nee yang akan bersara selepas Sukan Olimpik tahun depan.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Selasa, 29 November 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Sukar kesan punca sebenar

Posted: 29 Nov 2011 07:39 AM PST

SALAH satu masalah penjagaan anak yang sering dihadapi kebanyakan ibu bapa adalah menguruskan bayi yang menghidap ekzema. Ekzema kanak-kanak atau lebih dikenali ekzema atopik bukan lagi asing di kalangan masyarakat hari ini.

Dianggarkan satu daripada lapan bayi menghidap ekzema dan jumlah ini semakin bertambah setiap tahun. Malah, pakar dermatologi menyifatkan ekzema penyakit negara perindustrian kerana kadar kelazimannya yang kian meningkat di negara maju.

Walau bagaimana sukar sekalipun merawat ekzema, sebenarnya penyakit ini boleh diuruskan dengan bijak sekiranya ibu bapa mengetahui cara pengurusan ekzema dengan betul.

Menurut pakar kanak-kanak daripada Klinik Pakar Kanak-kanak Baby & Beyond, Dr Su Lin Chow, ekzema atopik ialah sejenis penyakit kulit yang berlaku akibat tindak balas hipersensitif yang menyebabkan radang, gatal-gatal, kulit kering dan bersisik.


Ekzema boleh terjadi pada semua peringkat usia, paling umum pada bayi dan biasanya akan hilang selepas bayi berusia tiga tahun. Namun ada juga yang mengalaminya seumur hidup. Kebanyakan penghidap ekzema sering mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai masalah yang sama serta alahan lain seperti asma atau rhinitis.


Kebanyakan pakar perubatan tidak mengetahui dengan tepat punca ekzema, tetapi mungkin disebabkan kepincangan dalam sistem imunisasi iaitu kelainan pada protein tertentu yang penting dalam mempertahankan permukaan kulit.

"Kebiasaannya ekzema terjadi disebabkan beberapa perkara seperti alahan kepada sabun, kosmetik, pakaian dan bahan pencuci selain persekitaran yang menyebabkan reaksi makanan, perubahan suhu atau kelembapan.

"Malah ada juga bayi yang alah kepada susu lembu. Bayi ini biasanya akan menunjukkan tanda seperti ruam setiap kali diberi susu formula berasaskan susu lembu atau ibu yang menyusu badan minum bahan daripada susu lembu," katanya.

Sebab itu sekiranya ibu bapa mengesyaki kelainan pada kulit bayi, mereka digalakkan berjumpa doktor seberapa segera sebelum lebih memudaratkan bayi.

Menurutnya, doktor akan memastikan ruam yang timbul pada kulit bayi itu ruam biasa atau ekzema, ini kerana rawatan yang digunakan untuk kedua-dua masalah kulit ini berbeza.

Salah satu cara untuk melihat anak yang mengalami ekzema ialah apabila mudah berpeluh dan berasa gatal terutama ketika cuaca panas.

Selain itu, tanda lain ialah kulit kering dan merah. Kadang-kadang, ekzema boleh menyebabkan kulit melecet dan berdarah. Paling teruk apabila kulit menjadi kering dan bersisik sementara menggarunya berulang kali boleh menyebabkan kulit menebal dan berkerak.

"Ekzema biasanya terjadi pada wajah, leher dan di bahagian siku, lutut dan pergelangan kaki manakala pada bayi biasanya mudah kelihatan di sekitar dahi, pipi, lengan, kaki, kulit kepala dan leher," jelasnya.

Perlu juga diingatkan kepada ibu bapa penggunaan bahan kimia dalam sabun bayi boleh membawa kepada timbulnya penyakit ini. Ini kerana sabun biasanya mengandungi bahan kimia tinggi dan mengeringkan kulit bayi seterusnya menyebabkan ekzema semakin teruk.

"Disarankan supaya ibu bapa yang mempunyai bayi menghidap ekzema menggunakan sabun khas yang tidak mengandungi steroid dan bahan kimia. Pemilihan produk sesuai kulit ini sangat berkesan bagi memastikan ekzema dapat dikawal supaya tidak menjadi lebih kronik," katanya.

Selama lebih 50 tahun krim berasaskan steroid meluas digunakan untuk penghidap ekzema. Malangnya krim ini boleh menyebabkan kerosakan serta penipisan kulit yang akan mengurangkan sifat pelindung semula jadi kulit bayi. Kulit bayi juga mudah berparut akibat kesan jangka panjang krim berasaskan steroid. Malah penggunaan yang keterlaluan menyebabkan bahan ini masuk ke dalam saluran darah dan membawa kesan negatif yang lain.

Mengetahui kesan sampingan ini, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan I-Green (M) Sdn Bhd, Soo Kian Kheng menghasilkan produk untuk penghidap ekzema atopik.
Ini berdasarkan pengalamannya sendiri membesarkan dua anak, Soo Hui Xin dan Soo Hui Jing yang turut mengalami ekzema yang teruk.

"Selepas menyaksikan kesakitan dan ketidakselesaan dua anak yang menghidap ekzema, saya terpaksa melakukan sesuatu dengan menghasilkan produk rawatan kulit menggunakan bahan asli dan organik daripada pati tumbuh-tumbuhan.

"Saya inginkan produk yang bebas steroid kerana tidak mahu anak-anak terdedah kepada bahan kimia pada usia muda. Akhirnya selepas menjalankan kajian dan pelbagai percubaan, saya gembira kerana formula rangkaian produk Buds dapat dihasilkan seterusnya dipasarkan kepada pengguna," katanya.

Ujarnya, penggunaan krim ini memberi tindak balas serta-merta. Ruam merah semakin berkurangan dan dalam masa beberapa hari ia hilang.

"Saya dan isteri begitu lega dan semua kerisauan dan kebimbangan kami hilang kerana kini bayi yang menghidap ekzema mampu dikawal dengan produk yang selamat," jelasnya.

Selain tidak mengandungi steroid dan disahkan organik oleh EcoCert, rangkaian produk Buds Organics Super Soothing dipertingkatkan dengan seni prabiotik semula jadi iaitu mengandungi glucan alfa oligosaccharide yang menggalakkan kesihatan kulit serta meningkatkan kehadiran bakteria sihat dan pada masa sama, menghalang pertumbuhan bakteria yang tidak diperlukan.

Rangkaian Buds Organics Super Soothing mengandungi mandian dan losen serta buku mengenai pengurusan ekzema dan panduan penggunaannya.

Pembersih mandian mengandungi aloe vera, fructan dan prabiotik manakala losen membantu merawat dan menyembuhkan ekzema menerusi kandungan bahan yang menenangkan seperti daun lidah buaya, zaitun minyak jojoba serta bunga matahari.

"Pengurusan ekzema bukanlah sekadar memilih mandian dan krim badan yang tepat saja tetapi bagaimana membantu bayi untuk berada dalam situasi yang selesa.
Sebab itu rangkaian Buds Super Soothing ini dilancarkan dengan harapan dapat membantu ibu bapa menangani masalah ekzema anak mereka," kata Pengarah Pemasaran I-Green (M) Sdn Bhd, Soo Siew Peng.

Selain pelancaran produk, majlis turut dihadiri 40 ibu bapa bersama bayi masing-masing yang menghidap ekzema.

Rangkaian produk ekzema Buds Super Soothing kini boleh didapati di farmasi Caring, Vitacare, butik Mothercare Mom's Care dan rangkaian farmasi yang memasarkan produk organik. Dijual pada harga RM80 untuk satu pek.

Sementara itu, seorang ibu yang bayinya mengalami ekzema, Nor Fadzillah Haron, 27, berkata, walaupun ekzema pada bayi perempuannya yang baru berusia 10 bulan tidak begitu teruk namun Damia Nadyne Hannah kerap tidak selesa dengan keadaan itu.

"Selepas dilahirkan dua bulan, Damia mula mengalami ekzema pada seluruh badan yang menyebabkan saya membawanya berjumpa doktor. Doktor memberi ubat dan keadaan ekzema Damia pulih. Namun selepas beberapa bulan ekzemanya datang semula. Apa yang saya tahu produk mengandungi steroid tidak bagus untuk bayi jadi saya cuba elakkan dan mencuba produk organik Buds.

"Saya juga berpantang makan dan memastikan keadaan rumah bersih dan bebas habuk. Alhamdulillah selepas patuh pada arahan doktor, sedikit demi sedikit ekzema Damia mula berkurangan," katanya.

Menurut Fadzillah, Damia mudah berasa tidak selesa apabila cuaca panas dan ruam akan timbul di merata tubuh daripada kepala hingga hujung kaki. Sebab itu dia akan pastikan suhu di rumah dalam keadaan terkawal juga tidak membawa Damia ke tempat terbuka dan panas.

Panduan pengurusan ekzema:

  • Elakkan mandi terlalu lama.
  • Jangan mandi air panas atau agak suam.
  • Gunakan sabun yang lembut, mempunyai kelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
  • Elakkan tersentuh sabun, minyak wangi, serbuk pencuci, barang perhiasan dan persekitaran yang boleh menyebabkan ekzema.
  • Memakai baju longgar, nipis dan diperbuat daripada kapas.
  • Elakkan makanan yang menjadi alahan kepada bayi seperti susu lembu, telur dan kekacang.
  • Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
  • Mempertahankan suhu sejuk di kawasan bilik tidur kerana panas boleh menyebabkan berpeluh yang memburukkan keadaan gatal dan rengsa.
  • Pastikan persekitaran rumah bersih dan bebas daripada habuk dan kotoran.
  • Pastikan kuku anak sentiasa pendek agar dia tidak boleh menggaru dan seterusnya memudaratkan lagi ekzema.
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Menyara diri urus jenazah

    Posted: 29 Nov 2011 06:45 AM PST

    MENYARA diri di usia senja dengan mengambil upah memandikan serta menguruskan jenazah wanita pasti memerlukan daya ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.

    Namun bagi Rapiah Jamaludin, 73, ia adalah pekerjaan yang cukup mulia dan ikhlas bagi memperoleh sesuap nasi memandangkan kudrat yang ada kini untuk melakukan pekerjaan lain tidak lagi seperti dulu.

    Menurutnya, dengan upah yang diberikan sebanyak RM150 bagi setiap proses memandikan jenazah, dia berjimat selain mengagihkannya untuk membeli barangan keperluan harian.

    "Tidak dinafikan mungkin ramai beranggapan upah yang diberikan amat kurang dengan keadaan ekonomi sekarang manakala harga barangan melambung tinggi.


    "Tetapi bagi saya, apa yang dilakukan terbit daripada hati yang ikhlas untuk membantu keluarga di samping menyara hidup sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pantai Permai, Pantai Dalam, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    Rapiah berkata, pendapatan diperoleh melalui kerja memandikan jenazah tidak tetap kerana ia bukan diperoleh secara bulanan sebaliknya bergantung kepada bilangan jenazah yang perlu diuruskan.

    "Mungkin dalam masa sebulan, hanya tiga kali saja khidmat saya diperlukan ataupun kurang daripada itu dan ia pasti menjejaskan pendapatan diperoleh.

    "Tetapi bukan bermakna ia kurang baik. Jika kurang kerja, saya boleh berehat kerana penyakit yang saya alami tidak membolehkan saya bergerak dan banyak berjalan," katanya.

    Ibu kepada tiga cahaya mata itu tidak pernah mengeluh ataupun bersungut dengan apa yang tidak dimilikinya kerana mengetahui pasti ada hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku.

    Bagaimanapun, dia kini mengalami masalah berjalan ataupun berdiri terlalu lama kerana cepat berasa kebas di kedua-dua kaki dan tangan.

    "Mungkin keadaan ini disebabkan penyakit yang saya hadapi iaitu darah tinggi dan kencing manis, tetapi saya tetap bersyukur kerana masih tetap mampu bertahan walaupun sukar sedikit.

    "Saya akan melakukan apa yang termampu selagi terdaya dan tidak akan meminta-minta daripada sesiapa terutama anak kerana mengetahui mereka mempunyai masalah sendiri," katanya.

    Dia yang menjadi ibu tunggal sejak 33 tahun lalu mengakui jumlah pendapatan diperoleh dengan tambahan bantuan Baitulmal sebanyak RM350 sememangnya tidak mencukupi.

    Katanya, walaupun anak-anak tidak lagi tinggal bersama, jumlah perbelanjaannya masih lagi tinggi kerana kos sara hidup kini yang tinggi.

    "Walaupun tinggal berasingan, mereka tetap menjenguk saya apabila mempunyai kelapangan dan saya selesa berada di rumah sendiri biarpun serba kekurangan.

    "Tidak terlintas di fikiran saya untuk berhenti daripada terus berkhidmat menguruskan jenazah wanita kerana selagi termampu, saya akan meneruskannya tanpa rasa letih," katanya.

    Malah, kini rumah tempatnya menumpang teduh sejak 30 tahun lalu juga sudah uzur dan memerlukan bantuan tambahan untuk membaik pulih bahagian yang rosak itu.

    Boleh dikatakan bahagian dapur rumahnya sudah tidak boleh digunakan lagi kerana jika hujan lebat, bahagian berkenaan akan digenangi air longkang sehingga paras buku lali.

    Rapiah berkata, keadaan itu menyebabkan barangan perkakasan dapur rumahnya berada dalam keadaan berselerak kerana sering dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain terutama ke kawasan lebih tinggi.

    "Saya tidak mempunyai kudrat untuk terperuk di situ dalam jangka waktu lama mengemaskan barangan terbabit setiap kali dipindahkan kerana tinggal berseorangan.

    "Apa yang boleh dilakukan hanyalah membiarkan barangan di situ dan pastikan ia tidak berterabur ataupun pecah hingga menyukarkan pergerakan," katanya.

    Dengan pendapatan yang hanya cukup makan saja, ia menyukarkan Rapiah meneruskan niatnya membaik pulih bahagian yang rosak berkenaan.

    "Sebelum ini pun rumah saya pernah dimasuki pencuri dari dinding bahagian dapur yang berlubang kerana ia hanya dihadang dengan kayu.

    "Namun, saya bernasib baik kerana pencuri itu hanya mengambil barangan perkakasan dapur lama, mungkin untuk dijual tetapi saya tetap bersedih kerana ia adalah barangan kenangan," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    ‘Bersih zoo tak popular’

    Posted: 28 Nov 2011 11:01 AM PST

    AMPANG: "Remaja sekarang fikir buat aktiviti amal seperti bersihkan zoo tidak popular," kata pelajar dari University of Management and Technology (Umtech), Ahmad Suhaimi Sanny Toh, 20, apabila ditanya sama ada dia mengajak rakannya untuk melakukan aktiviti sukarelawan di Zoo Negara, di sini, semalam.

    Menurutnya, ini pertama kali dia menyertai aktiviti seumpama itu selepas mendapat peluang daripada pensyarahnya jika tidak mana mungkin dia mahu melakukan kerja khidmat masyarakat lebih-lebih lagi tidak mendapat sokongan rakan.


    "Tanggapan saya berubah selepas melakukan kerja membersihkan kandang haiwan kerana pada mulanya saya anggap busuk dan kotor, tetapi tidak seteruk mana.

    "Jika suatu hari nanti pihak zoo menghubungi dan minta saya datang menolong mereka melakukan aktiviti seperti ini, saya tidak tolak," katanya.


    Sementara itu, Pensyarah Umtech, Normaziah Che Musa, 37, berkata tujuan beliau melakukan aktiviti itu untuk melatih pelajarnya mengenai kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, keyakinan diri dan pemikiran kritikal selain mendedahkan realiti cara mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Penyanyi rap kena keroyok

    Posted: 28 Nov 2011 10:59 AM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang penyanyi rap cedera di kepala dan badan selepas diserang 10 lelaki dipercayai samseng jalanan di Jalan Selangor, di sini, kelmarin.

    Difahamkan, dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan ke sebuah kedai bagi membeli barangan keperluan harian.


    Menurut sumber, ketika tiba di jalan berkenaan, mangsa didatangi sekumpulan lelaki seramai 10 orang menaiki dua kereta dan tiga motosikal.

    Sumber berkata, mangsa menyedari dikepung kumpulan samseng terbabit sebaik pintu keretanya ditendang dari luar.


    Katanya, mangsa yang sibuk menyiapkan persiapan majlis resepsi perkahwinannya yang bakal berlangsung dua hari lagi keluar dari kereta dan bertanyakan punca tindakan mereka menendang pintu keretanya.


    "Akibatnya, seorang daripada mereka merampas kunci kereta mangsa sebelum menyerang dan memukul mangsa bertubi-tubi menggunakan batu, kayu dan batang besi.

    "Mangsa yang tidak tahu punca diserang cuba mempertahankan dirinya, tetapi gagal kerana bersendirian ketika kejadian," katanya.


    Beliau berkata, kumpulan terbabit turut memecahkan cermin depan dan merosakkan pintu serta bumbung kereta Proton Iswara mangsa.

    "Serangan itu menyebabkan mangsa cedera di kepala, muka dan badan, malah mangsa memberitahu kumpulan lelaki itu berhenti menyerang selepas dia merayu beberapa kali," katanya.


    Susulan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.


    Katanya, mangsa yang juga seorang artis tempatan itu diserang individu tidak dikenali dan tindakan pantas anggota polis berdasarkan maklumat yang diterima, semua lelaki berusia 30-an ditahan di sekitar ibu kota.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Esakan di makam keramat

    Posted: 28 Nov 2011 11:33 AM PST

    KUALA TERENGGANU: "Tiga lelaki berserban dan berjubah itu merayu sambil menangis teresak-esak kepada saya meminta pertolongan menunjukkan jalan keluar dari kawasan makam Tok Pulau Manis selepas semalaman berlegar-legar kerana tidak nampak pintu keluar," kata Imam Masjid Pulau Manis di sini, Kori Endut.

    Kori, 68, berkata demikian ketika mendedahkan mengenai padah menimpa tiga lelaki berlagak alim yang melakukan upacara pemujaan nombor ekor di kubur ulama terkenal, Syeikh Abdul Malik Syeikh Abdullah di Kampung Pulau Manis, Serada, di sini.

    Beliau berkata, tiga lelaki berusia 40-an terbabit lengkap berserban dan berjubah bagi mengabui mata orang ramai ketika memuja nombor ekor di kubur ulama yang lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis itu.

    Menurutnya, kejadian yang menimpa tiga sahabat itu yang tidak dapat mencari jalan keluar selepas melakukan aktiviti pemujaan, antara padah yang menimpa mereka yang melakukan perbuatan khurafat di kubur berkenaan.


    Kori bertanggungjawab menjaga kubur berkenaan yang terletak kira-kira 50 meter dari Masjid Pulau Manis berkata, dia melihat tiga lelaki itu menangis teresak-esak sambil berlegar-legar di sekeliling kawasan makam itu jam 7 pagi.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Culik tak sengaja

    Posted: 28 Nov 2011 11:33 AM PST

    KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terpaksa menempuh detik hitam hampir lima jam apabila 'diculik' secara tidak sengaja oleh seorang lelaki yang melarikan kenderaan mewah jenis BMW milik bapanya, semalam.

    Dalam kejadian di Jalan KIP 1, Desajaya, di sini kira-kira jam 9.30 pagi itu, kanak-kanak malang terbabit ditinggalkan bapanya berusia 37 tahun dalam kenderaan di bahu jalan seketika kerana mahu membeli makanan di sebuah restoran di kawasan berhampiran.


    Difahamkan, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba meluru masuk ke dalam kenderaan yang tidak dimatikan enjinnya itu ketika bapa mangsa baru meninggalkan kenderaan itu.

    Menyedari kenderaan dan anak lelakinya dilarikan, bapa mangsa bergegas membuat laporan di Balai Polis Kepong, sebelum kes dirujuk ke Balai Polis Desajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.


    Menurut sumber, suspek yang melarikan kenderaan mewah itu dikatakan hanya menyedari ada seorang kanak-kanak lelaki di tempat duduk belakang selepas mangsa menangis ketakutan lima minit kemudian.


    "Suspek bagaimanapun masih meneruskan niatnya melarikan kenderaan berkenaan tanpa menghiraukan tangisan kanak-kanak itu," katanya.

    Sumber berkata, sebaik laporan mengenai insiden itu diterima pihak berkuasa, usaha mengesan kanak-kanak terbabit giat dijalankan.


    "Selain menghebahkan kejadian itu kepada semua unit peronda, beberapa sekatan jalan raya dilakukan bagi mengesan suspek di sekitar ibu negara," katanya.

    Usaha hampir lima jam itu membuahkan hasil apabila pihak berkuasa menerima maklumat mengatakan mangsa sedang di disembunyikan di sebuah hotel di Sri Damansara.


    Sumber berkata, sepasukan polis dari Balai Polis Sri Damansara yang dimaklumkan bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan empat individu termasuk seorang wanita masing-masing berusia antara 20 hingga 34 tahun, kira-kira jam 2 petang. "Ketika ditahan, pihak berkuasa turut merampas sebuah kereta jenis Nissan Latio dipercayai milik kumpulan terbabit," katanya.


    Katanya, sebaik ditahan, seorang daripada suspek mengaku hanya berniat melarikan kenderaan mewah milik bapa mangsa tanpa menyedari terdapat kanak-kanak dalam kereta berkenaan.


    "Semua yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis berhampiran kawasan itu untuk soal siasat," katanya yang turut memberitahu, pihak berkuasa sudah mengenal pasti lokasi kereta BMW milik mangsa disembunyikan.


    Difahamkan, selepas merakamkan percakapan bapa mangsa, kanak-kanak malang itu kemudian diserahkan kembali kepada keluarganya.


    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan keempat-empat suspek.


    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 dan 379A kerana menculik daripada penjaga yang sah.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    ‘Pejam mata, tulikan telinga’

    Posted: 28 Nov 2011 04:31 AM PST

    PROFIL kerjayanya belum pun penuh selebar kertas. Terlalu hijau dan baru untuk diukur menjadi penggiat seni yang berjuang dalam gelanggang hiburan. Namun itu, bukanlah kayu pengukur bagi melihat populariti si empunya senyuman manis ini kerana entah apa formula yang digarap kemas, nama Nur Anzalna Md Nasir lekas meniti bibir peminat.

    Memiliki wajah jelita dengan tutur bicara yang tersusun, Anzalna juga finalis Dewi Remaja 2010 berjaya mencipta nama terlebih dulu apabila muncul dalam drama bersiri Suria Di Cordoba.

    Akuinya berkali-kali, semua rezeki dan peluang yang hadir buatnya adalah sesuatu yang tidak sekali disangka kerana sejak awal lagi tidak terlintas untuknya menceburi lapangan lakonan.

    "Mungkin inilah dikatakan rezeki dan ketentuan. Selepas mencipta nama dalam pertandingan Dewi Remaja, cepat saya ditawarkan berlakon. Alhamdulillah, percubaan sulung itu mengundang rasa percaya pihak produksi terhadap saya dan kini saya sedang mencatur untuk meletak sepenuh fokus pada bidang ini. Lakonan sudah menjadi kerjaya buat saya meskipun ia adalah satu bidang terjun pada awalnya," katanya berseloroh.


    Bertemu dengannya di lokasi penggambaran filem pertama lakonannya, Sepah The Movie bertempat di Johor Bahru bulan lalu memberi ruang terbaik untuk mengenali gadis berusia 23 tahun ini.


    Meskipun beberapa kali kisah nakal mengenainya pernah singgah ke telinga sebelum ini, kononnya gemar meraih publisiti murahan, kontroversi gambar bersama bekas kekasih dan dipalit pula percintaannya dengan aktor muda Shahz Jaszle, namun pertama kali bertemu dan melontar setiap persoalan, tidak sekelumit berbekas rasa kurang selesa buatnya.

    Usik Anzalna, kontroversi dan spekulasi adalah makanan dalam dunia hiburan, lantas pejamkan mata dan tulikan telinga saja jika ingin kekal lama.

    "Kalau saya sibuk memikirkan apa orang bercakap, memang sudah lama saya mati. Maklumlah belum sempat bernafas ada saja yang datang menghimpit. Namun itulah cabaran yang harus saya telan," katanya.

    Meneliti personalitinya dengan raut wajah kacukan Cina Punjabi serta memahami sepak terajang dunia seni, bukan mustahil buat Anzalna menjadi tumpuan tembakan kontroversi.

    Mengakui ada yang datang menghimpit namun katanya terbuka, hatinya sudah punya insan istimewa. Walaupun masih terlalu baru membina empayar sebagai anak seni, ia tidak langsung menjadi penghalang buatnya mengakui kisah cintanya.

    "Sejak dalam Dewi Remaja lagi saya sudah didedahkan dengan permainan sebegini. Ada saja yang datang dekat ingin berkenalan dan tidak kurang yang mencari kelemahan untuk dijadikan sasaran. Namun alhamdulillah saya kuat dengan sokongan keluarga dan teman-teman yang tidak lekang memberikan nasihat dan tunjuk ajar.

    "Saya sudah mempunyai teman istimewa. Kami masih dalam proses mengenali hati budi dan mencari keserasian. Namun itulah hakikat yang ada buat masa ini. Saya selesa berkawan dengannya dan memang mengharapkan ia kekal ke fasa yang lebih baik. Soal populariti atau takut kehilangan peminat hanya kerana mengakui sudah berpunya tidak menjadi masalah buat saya kerana apa yang penting adalah jujur dan sentiasa ikhlas.

    "Lelaki yang kini rapat dengan saya adalah Hanif Zaki yang seusia dan masih lagi menuntut dalam jurusan automotif di sebuah institusi pengajian tempatan. Dia adalah satu-satunya teman yang menjadi tempat saya mencurah segala perasaan dan berkongsi kegembiraan. Saya bersyukur Hanif memahami dan tidak henti memberi sokongan untuk saya terus kuat mengejar apa yang diinginkan.

    "Bagaimanapun tidak pula kami berdua memikirkan soal untuk berkahwin kerana masing-masing masih sibuk membina kerjaya. Saya sendiri masih muda dan tidak mahu soal cinta membebankan perjalanan kerjaya yang baru hendak bermula ini. Biarlah saya dapat apa yang saya impikan tercapai dulu dan Hanif sendiri dapat mengejar cita-citanya. Kemudian nanti baru kami bercerita soal seterusnya pula.

    "Insya-Allah jika diberi rezeki dan jodoh, pastinya saya akan berkongsi dengan peminat," katanya yang mengakui mengenali Hanif sejak enam tahun lalu menerusi laman sosial MySpace sebelum menjalin hubungan serius lima bulan lalu.

    Anak kelahiran Pulau Pinang yang pernah menetap lama di Tasmania, Australia sebelum ini tidak henti berkongsi pengalaman indahnya sebagai pelakon. Belumpun setahun usia pembabitan, gaya ceritanya seakan sudah lama bertapak memperjuangkan seni.

    Jelasnya yang kini baru saja selesai menghidupkan watak Ayu Sofea dalam filem Sepah The Movie, peluang dan tawaran lakonan sentiasa ada buatnya meskipun masih baru dan tidak punya pengiktirafan dalam kerjayanya itu.

    "Saya bersyukur sangat kerana ada saja yang datang memberikan skrip kepada saya. Awalnya saya sendiri tertanya kepada diri sendiri mengapa begitu yakin sekali mereka mengundang saya berlakon namun saya fikirkan itu semua satu rezeki dan menuntut untuk saya terus berusaha memberikan yang terbaik.

    "Filem Sepah The Movie adalah sebuah karya komedi dan aksi yang begitu menarik. Saya memang peminat kepada kumpulan Sepah dan pastinya saya berbangga kerana berpeluang beraksi bersama mereka dan pelakon handalan lain termasuk Jehan Miskin. Ini satu permulaan yang baik buat saya sebelum terus ke lokasi naskhah besar yang lain.

    "Selepas ini saya akan kembali sibuk untuk drama siri terbaru, Gemersik Kalbu bersama Aqasha dan Ayu Raudhah untuk slot Akasia TV3 dengan memegang watak sebagai Tasha. Kemudiannya saya masih dalam pertimbangan untuk dua lagi filem baru yang akan menyusur akhir tahun nanti. Jika ada kelapangan pastinya peluang ini tidak sekali saya tolak," katanya.

    Namun kelakarnya dalam pada bersembang bercerita soal rezeki lakonan yang mencurah, anak kedua dari lima beradik ini masih gementar setiap kali ditawarkan watak utama dan pernah juga dia menolak untuk membintangi beberapa drama hanya kerana diberikan teraju utama.

    "Memang ada kalanya saya sendiri ketawa tapi itulah realitinya. Saya masih takut dan bimbang untuk memikul watak utama. Lantas beberapa juga saya menolak tawaran drama kerana mereka inginkan saya memegang watak utama. Mungkin saya perlukan lagi ruang untuk belajar dan melihat kelemahan sendiri sebelum benar-benar yakin melakonkan watak besar," katanya tergelak.

    Jika tepat percaturannya membina nama sebagai pelakon, Anzalna yang turut pernah membintangi drama Ramadan Terakhir ini akan mencuba melebarkan sayapnya sebagai penyanyi kerana itulah lapangan seni yang pernah menjadi angan-angannya.

    PROFIL

    Nama Penuh: Nur Anzalna Md Nasir
    Tarikh lahir: 9 Januari 1988
    Umur: 23 tahun
    Tempat lahir: Tasik Gelugor, Pulau Pinang
    Keluarga: Anak kedua daripada lima beradik
    Pendidikan: Diploma Bahasa Perancis dari Launceston College, Tasmania, Australia
    Pencapaian: Finalis Dewi Remaja 2010
    Komersial: Trenz (Siaran TV Indonesia), Celcom, Franch Oil dan Ecpi
    Drama: Suria Di Cordoba, Ramadan Terakhir dan Gemersik Kalbu
    Filem: Sepah The Movie

    Full content generated by Get Full RSS.

    MJL diterima wanita

    Posted: 28 Nov 2011 04:25 AM PST

    BERSANDARKAN genre fantasi drama, filem Misteri Jalan Lama (MJL) arahan penerbit, pelakon, pengacara, pelawak dan sutradara terkenal, Afdlin Shauki mampu mencatat kutipan RM400,000 dalam tempoh tiga hari tayangan bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

    Bagaimanapun, Pengurus Besar Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB), Gayatri Su-Lin Pilai selaku penerbit memaklumkan jumlah kutipan untuk tayangan Ahad hingga semalam, masih belum diperolehnya. Apapun, angka kutipan diraih itu nyata tidak menghampakan.

    Menurut Gayatri, lagi pun MJL adalah filem serius pertama karya Afdlin. Katanya, Afdlin yang cukup sinonim dengan filem komedi, sebenarnya sudah mengambil langkah berani dengan mengetengahkan genre baru seperti fantasi drama untuk tatapan penonton.

    "Malah, mengikut maklum balas positif diterima menunjukkan penonton wanita rata-rata menyukai filem ini. Cuma, penonton lelaki saja agak kurang. Namun, kelompok penonton lelaki yang berusia 25 tahun dan ke atas nampaknya tiada masalah untuk terima.


    "Bagi saya sendiri, jalan cerita filem ini (MJL) pun bagus kerana pertama kali menonjolkan kelainan dengan memaparkan kisah kasih sayang dua beradik lelaki. Apapun, barangkali genre ini masih baru dan penonton nyata belum terbiasa dengannya.


    "Selain itu, saya juga tidak melihat filem ini gagal apatah lagi berasa kecewa de-ngan jumlah kutipan diraih. Sekurang-kurangnya, Afdlin sudah cuba membawa kelainan dalam filemnya untuk dikongsi bersama penonton tanah air," kata Gayatri.

    Jelas Gayatri lagi, sememangnya benda baru sukar untuk diterima. Dalam soal ini, ujarnya ada orang yang suka dan tidak terkecuali sebaliknya. Begitu juga dengan Afdlin, tidak semua karyanya disukai kerana penerimaan penonton yang berbeza-beza.

    Membabitkan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM1.8 juta, filem MJL sudah disiapkan Afdlin kira-kira dua tahun lalu, tetapi 'terperap' agak lama berikutan penggunaan teknik janaan komputer (CGI) yang terperinci dan ia mengambil masa panjang.

    Selain Afdlin, barisan pelakon lain yang membintangi MJL ialah Hans Isaac, Liyana Jasmay, Que Haidar dan Vanidah Imran. Berkisar pada hubungan dua beradik Indra dan Ilya yang saling menyayangi antara satu sama lain. Namun, satu tragedi menimpa mereka.

    Dalam perjalanan pulang ke kampung ketika mengikut jalan lama, dua beradik itu tiba-tiba masuk ke dunia lain. Pelbagai peristiwa pelik, dialami mereka seperti diganggu makhluk ngeri sehinggalah kepada perkara yang menyeronokkan. Apa sebenarnya yang berlaku?

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved