CANTIK, ternama dan popular. Tiga artis wanita yang ditemukan bagi sesi fotografi khas sempena Aidilfitri hari ini jelas ada pengaruh kuat dalam industri hiburan Malaysia.
Mereka mewakili bidang masing-masing. Lisa Surihani Mohamed sangat menyerlah dalam lakonan, Noor Hasliah Abu Hasan atau Alyah begitu melonjak dalam nyanyian dan Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain pula hebat dalam dunia pengacaraan.
Mempunyai bakat dan populariti juga menyebabkan ketiga-tiga bintang jelita ini sering dikaitkan dengan pelbagai gosip, begitupun apa yang berlaku tidak pernah menghalang Lisa, Alyah dan Nurul Syuhada untuk melangkah dengan yakin sekali gus memberikan yang terbaik buat peminat.
Lisa sendiri yang sebelum ini heboh dikatakan akan mengahwini jejaka pilihan hati, Yusry Abdul Halim sekitar 2013 tetap tenang berdepan dengan pelbagai spekulasi membabitkan dirinya.
Pelakon utama filem S.A.M. terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu akui dia akan memastikan gosip perkahwinan yang timbul itu tidak akan mengganggu fokus pada kerjanya.
"Kenyataan itu datang daripada pihak Yusry dan waktu sama pihak pengurusan KRU Berhad sendiri memberitahu bahawa mereka akan mengeluarkan satu kenyataan khas. Jadi saya tidak mahu memberikan sebarang komen sebab takut nanti ia bercanggah. Bagaimanapun saya lega apabila semuanya sudah selesai," katanya.
Lisa mengakui dia dan keluarganya terkejut namun enggan melatah.
"Sekurang-kurangnya biarlah kami memberitahu ahli keluarga terlebih dulu mengenai apa-apa perancangan. Kalau ada apa-apa perkembangan yang sah, pasti kami akan beritahu juga nanti," kata Lisa.
Bercerita mengenai sambutan raya, Lisa akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan semua ahli keluarga dan saudara-maranya menetap di sini.
Alyah pula yang semakin melonjak dengan lagu Kisah Hati turut terkena tempias gosip apabila dia dilaporkan menjalin hubungan rapat dengan pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS. Cerita itu jelas membuatkan ramai pihak terkedu kerana tiada angin, tiada ribut, pokok sudah bergoyang.
Pada fotografi itu, Alyah menjelaskan perkara itu usahlah diperbesarkan lagi kerana dia hanya bersahabat dengan Ramli. Dia faham, itu bukan kali pertama Ramli digosipkan dengan artis dan enggan melatah.
"Alyah baru kembali bernafas dalam dunia nyanyian. Susah untuk Alyah bina semula nama yang pernah tenggelam satu ketika dulu. Jadi buat masa ini biarlah Alyah bekerja keras untuk terus mengukuhkan nama dalam bidang ini dan barulah berfikir soal bercinta apa lagi berkahwin.
"Alyah anggap itu semua asam garam dunia hiburan. Tidak salah rasanya kalau Alyah berkawan dengan orang yang baik termasuk juga Ramli," ujarnya.
Syawal kali ini Alyah semakin sibuk dengan pelbagai program hiburan dan hanya berpeluang balik kampung di Gelang Patah, Johor pada pagi hari raya pertama.
"Alyah mesti menyambut raya dengan mak. Persiapan raya lebih bertumpu kepada anak angkat Alyah (Afiqah) yang umurnya baru tiga tahun," katanya.
Sementara itu bagi Nurul Syuhada, tahun ini rayanya pasti berbeza kerana baru saja mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan, Raja Amir Shah Raja Azwa.
Walaupun dia dulu pernah digosipkan dengan orang lain termasuk VIP, ternyata jodoh Nurul ada dengan Raja Amir.
Bercerita mengenai statusnya sebagai isteri sekarang, semangat tugas Nurul tidak pernah luntur. Malah dari satu sudut, perkahwinan memberikan dia lebih keyakinan untuk memberikan yang terbaik buat penonton TV3.
"Sebelum ini ada ramai penyampai TV3 lebih 'senior' sudah berkahwin dan masih berjaya mengimbangi kerjaya dan rumah tangga. Pada saya perkahwinan tidak sepatutnya dijadikan isu atau penghalang," katanya.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri, kata Nurul dia tidak berdepan masalah untuk beraya di rumah siapa kerana rumah mentuanya terletak di Damansara manakala ibu bapanya pula menetap di Sungai Buluh, Selangor.
Bagi pengacara Majalah 3 itu, bukan raya di mana yang menjadi isu persoalannya, sebaliknya bagaimana cara umat Islam memenuhi tuntutan raya itu agar mendapat rahmat dan kesejahteraan.
PROFIL LISA SURIHANI:
NAMA SEBENAR: Lisa Surihani Mohamed
PANGGILAN: Lisa Surihani
TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
USIA: 25 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: anak keempat daripada lima beradik
STATUS: Bujang
KETURUNAN: Melayu-Bugis
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda HELP University College & Ijazah Undang-Undang dari Aberystwyth University United Kingdom.
KERJAYA: Model, pengacara, pelakon.
FILEM: Goodbye Boys, I'm Not Single, Jangan Pandang Belakang Congkak, V3 Samseng Jalanan, Semerah Cinta Stilleto, Lagenda Budak Setan, Kapoww!!, Zoo, Jangan Pandang Belakang Congkak 2, Sekali Lagi, Papa I Love You, Ombak Rindu, Lagenda Budak Setan 2, Cyber X: Ancaman Penggodam, S.A.M.
DRAMA: Ayah Kami, Jeff's Place, Obsesi Suriati, 3 Janda Intan, Seputih Salju, AdaMaya, Mertua vs Menantu, Tudung Ekspress
IKLAN: Johnson & Johnson, McDonald's, Hotlink, Rexona, MyEG, Lip Ice, Garnier, Honda Icon
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Festival Filem Malaysia 2, Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 dan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010.
PROFIL NURUL SYUHADA
NAMA PENUH: Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zain
PANGGILAN: Nurul Syuhada
TARIKH LAHIR: 29 November 1984
USIA: 27 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KERJAYA: Personaliti TV3, pengacara program
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Kolej Universiti Sains & Teknologi Malaysia
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Raja Amir Shah Raja Azwa, 29
KELUARGA: Anak perempuan tunggal daripada tiga beradik
PROGRAM TV: Majalah 3, Wanita Hari Ini
MINAT: Selam skuba, berenang, beli-belah, melancong, memasak, mengacara
BUKU KEGEMARAN: Oceanography
FILEM KEGEMARAN: Tomb Rider, LOTR, Finding Nemo
PROFIL ALYAH
NAMA PENUH: Noor Hasliah Abu Hasan
PANGGILAN: Alyah
TARIKH LAHIR: 3 Januari 1981
USIA: 30 tahun
ASAL : Gelang Patah, Johor
KERJAYA: Penyanyi
HOBI: Berenang, memasak, melancong, beli-belah
IDOLA: Celine Dion, Christina Aguilera, Aishah, Sheila Majid, Anita Sarawak.
SINGLE POPULAR: Tak Mungkin Kerna Sayang, Ku Pinjam Satu Bintang (feat Riz AF6), Realiti Dewi, Kau Bisu, Kisah Hati
ALBUM: Album Kompilasi Khas Dr Mahathir - Kita Adalah Kita, Permata, Kompilasi GEMPAQ, Fantastik/The Fabulous Cats, Alyah, Kisah Hati
PENCAPAIAN: Juara Wirawan EON, Juara Suara Johor, Juara Bintang Asli, Juara Bintang Sensasi Johor, Naib Johan Asia Bagus! Juara Bintang MPPJ, Juara Bintang HMI, Lagu Paling Popular Era FM - Tak Mungkin Kerana Sayang, Persembahan Terbaik GAH1 Akhir RTM, Lagu Terbaik Best Song GAH1 Akhir RTM (2010) - Tak Mungkin Kerna Sayang.