BAKAT semula jadi dan cetusan emosi dimiliki aktres serba boleh, Jue Aziz dalam bidang lakonan sememangnya mendapat perhatian ramai pengarah terkenal di persada hiburan tanah air.
Malah, dia sering menerima tawaran memegang pelbagai watak dalam drama, filem mahupun teater arahan mereka.
Justeru, tidak hairanlah, Jue kini menjadi calon utama membawa watak Dara untuk pementasan teater Semerah Padi di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dalam masa tidak sampai empat bulan lagi.
Kata Jue atau pemilik nama sebenar, Zuliana Abd Aziz, dia menerima tawaran berlakon dalam teater itu yang disifatkan pentas terbaik menguji kemampuan sebenar.
Nampaknya, aktres berusia 28 tahun itu kini menjadi pilihan penerbit teater berkenaan, Megat Mohd Nor atau Keno menawarkannya membawa watak terbabit. Teater Semerah Padi bakal dipentaskan bermula 22 Disember hingga 31 Disember nanti.
Apa lebih menarik, barisan pelakon turut menampilkan beberapa pelakon berpengalaman - Zul Huzaimy, Zamarul Hisham, Khir Rahman dan Jalil Hamid.
Berkesempatan bertemu pelakon pernah digelar 'gedik' ini pada penggambaran telemovie Tidak Terputus Tasbih Itu di Batu 18, Hulu Langat, Selangor, baru-baru ini, Jue begitu bersemangat sekalipun berdepan dilema 'mendapatkan masa sesuai' untuk Semerah Padi.
Dia berterus terang meluahkan rasa gembira impian membawa watak Dara dalam Semerah Padi terlaksana.
"Kebetulan, tarikh pementasan Semerah Padi bertembung dengan komitmen menjalani penggambaran sebuah drama bersiri untuk stesen TV3.
"Jika difikirkan, tidak tahu mana satu nak terima atau lupakan saja watak Dara itu. Lagipun, komitmen teater bukan sesuatu yang mudah.
"Buat masa ini, masih tiada kepastian 100 peratus dan harap semuanya berjalan lancar. Saya akui berlakon teater sebati dalam diri," katanya.
Kata Jue lagi, dia juga memang menanti peluang beraksi dalam teater berkenaan.
"Siapa yang tidak mahu berlakon dalam cerita diangkat daripada filem klasik arahan Tan Sri P Ramlee pada pertengahan 50-an?
"Saya mahu mencabar diri, merasai aura watak Dara dipegang Seniwati Saadiah ketika bergandingan bersama beberapa nama besar seperti Nordin Ahmad dan Salleh Kamil ketika itu.
"Ia turut mengingatkan saya kerana sebelum terjun bidang lakonan pun saya bermula menerusi lakonan teater Naga Tasik Cini. Lebih banyak lebih bagus kerana mahu memperkayakan pengalaman sebagai anak seni sekali gus membalas kepercayaan diberikan," katanya.
Pada masa sama, Jue tidak sabar menantikan tayangan dua filem lakonannya yang dijangka pada Syawal dan November depan.
Filem terbabit ialah Hantu Bonceng bergandingan dengan Zizan Raja Lawak serta Juliana Evans.
Dia juga berlakon dalam filem Abuya bergandingan dengan hero watak Azroy dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986, Faizal Hussin.
Jue yang turut meminati motosikal berkuasa tinggi bercerita lanjut mengenai lakonannya dalam telefilem Tidak Terputus Tasbih Itu yang julung kalinya disiarkan untuk TV Al-Hijrah.
"Memang menyeronokkan apatah lagi cabaran penggambaran pada Ramadan. Kena banyak bersabar dan sesekali fokus terganggu akibat batuk ketika dialog kerana tekak kering.
"Apapun, ia pengalaman bagus memandangkan berbuka puasa bersama kru produksi membuat kami mesra seperti sebuah keluarga," katanya.
Ditanya sama ada dia tidak ada masalah bertudung dalam drama, akui Jue, sudah banyak drama lakonannya sebelum ini dia tampil bertudung.
"Cuma dalam telefilem ini, saya mengenakan tudung lebih labuh dan menutup aurat. Memang tidak sama kerana syarat dan mesej drama berbeza. Jadi perlu cepat menyesuaikan diri dan cuba beri yang terbaik.
"Bukan mudah dapat peluang berlakon dengan orang lama seperti Datuk Rahim Razali, Nasir Bilal Khan dan Aznah Hamid yang bersikap profesional. Mereka 'cool' dan secara tidak langsung, kita juga mahu jadi seperti mereka," katanya.
Dalam pada itu, Jue menyuarakan pendirian tegasnya mengenai sikapnya yang dikatakan memilih untuk berlakon di stesen televisyen tertentu.
"Tidak wujud persoalan saya pilih drama, telefilem atau apa saja untuk siaran stesen tertentu. Tidak sama sekali. Saya tidak pilih drama untuk stesen ini atau itu kerana semuanya ada karakter dan tema masing-masing.
"Tidak kisah mana-mana stesen televisyen, saya suka bekerjasama. Bukan sebab sesebuah stesen ada ramai penonton, lebih popular, lebih ramai peminat atau mengenakan syarat etika paparan, saya terpaksa buat keputusan kurang bijak.
"Seseorang artis perlu bagus berlakon dan menyampaikan mesej baik untuk disiarkan oleh stesen televisyen. Selagi ada tawaran dan selagi khidmat lakonan ditagih pengarah, mengapa menolak?," katanya.
Berkongsi cerita peribadinya iaitu sama ada dia sudah dilamar seseorang, kata Jue, dia enggan mengulas mengenai perkara itu.
"Saya tidak mahu bercakap soal hati sudah dimiliki atau belum. Apabila ada orang masuk meminang dan hati saya terbuka untuk menerimanya, saya tidak mahu tangguh untuk mendirikan rumah tangga.
"Saya harap peminat di luar sana bersabar sehingga detik penting itu tiba," katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Zuliana Abd Aziz
TEMPAT LAHIR: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983
ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Setiausaha Kolej Stamford
HOBI: Menonton wayang, menunggang motosikal berkuasa tinggi, mengikuti perkembangan teknologi elektronik dan komunikasi terbaru pasaran
CITA-CITA: Menjadi pelakon filem, drama dan teater berjaya
TELEMOVIE: Wasiat Anak Dara, Unjul Nak Jadi Orang, Berlari Ke Belakang, Anak Rintih, Kekasih Sejati, Ab Taufan, Seputih Salju, Tidak Terputus Tasbih Itu.
DRAMA EPISOD: Lagenda Budak Setan, Janji Kekasih, Kata Hati, Sebuah Ilusi, Intan Sayang Manja, Orang Minyak Naik Minyak.
FILEM: Hantu Bonceng, Abuya
TEATER: Tasik Naga Cini, Impak Maksima The Musical
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.