MEMANDANG wajahnya yang jelita itu, ternyata dia memiliki pesona aura yang hebat bagi seorang bintang filem.
Sering menjadi perhatian orang ramai tatkala muncul di khalayak umum, Marion Cotillard, 35, ternyata sangat bijak menyesuaikan diri dari sudut penggayaan. Pelakon dan penyanyi ini sedar lensa kamera pihak media sentiasa memburu sesuatu yang menarik.
Ketika ini juga, filem terbaru lakonan Marion arahan Steven Soderbergh sedang ditayangkan di seluruh dunia. Filem menarik itu - Contagion - menyaksikan Marion memegang peranan seorang doktor bernama Leonora Orantes yang berusaha mencari penawar untuk wabak penyakit yang pantas merebak.
Dalam satu kenyataan media antarabangsa, Marion yang pernah merangkul Oscar dan trofi Golden Globe Awards menjelaskan, watak terbaru yang dipegangnya itu bukanlah semudah yang dilihat.
Sebelum memulakan penggambaran lagi katanya, dia perlu terlebih dulu membaca buku mengenai perubatan dan menonton beberapa dokumentari yang berkaitan dengan wataknya demi menjiwai peranan itu.
"Mungkin penonton melihat watak saya nampak mudah, malah saya sendiri terfikir seperti itu pada mulanya. Namun apabila diberikan penerangan mendalam mengenai watak itu, barulah saya menggelabah kerana watak Dr Leonora itu sebenarnya sangat mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.
"Saya mula pergi ke perpustakaan dan membaca buku berkaitan perubatan agar mendapatkan 'mood' terbaik bagi memainkan peranan itu.
"Bercakap mengenai Leonora pula, dia ditugaskan untuk mencari punca asal penyakit yang melanda Eropah. Leonora terpaksa turun padang mencari pesakit yang dijangkiti sejenis virus yang amat berbahaya itu. Dia kena menjejaki sama ada virus itu datang daripada sumber haiwan atau air.
"Ketika mencari punca penyakit itu serta penawarnya, dia terpaksa berdepan dengan saat mendebarkan kerana dengan hanya sekali sentuhan, seseorang itu sudah boleh dijangkiti virus itu," jelasnya.
Marion yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak 1993 menyifatkan pengarah filem itu, Steven, sangat serius ketika bekerja tetapi dia sebenarnya cukup peramah apabila di luar set penggambaran.
Pelakon jelita itu akui rasa sangat bertuah kerana diberikan peluang hebat untuk bekerjasama dengan pengarah itu bersama pelakon kelas A di Hollywood.
Antara pelakon terkenal lain yang membintangi Contagion adalah Jude Law, Kate Winslet, Gwyneth Paltrow, Matt Damon dan Laurence Fishburne.
Katanya mereka semua insan seni yang baik dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk berkerja dan mengeratkan hubungan persahabatan.
"Saya sangat teruja apabila mendapat tahu mereka semua turut membintangi Contagion, inilah peluang saya untuk berkongsi pengalaman dengan mereka.
"Walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari dan diasah demi menjadi pelakon yang lebih baik. Setiap mereka ada pengalaman berbeza, jadi elok sangatlah kami bertukar pandangan di lokasi," ujarnya.
Filem ini antara lain mengisahkan seorang ahli perniagaan (Gwyneth Paltrow) yang sering ke luar negara tiba-tiba dijangkiti sejenis virus dan dalam masa 24 jam, virus berbahaya itu mula merebak dengan pantas.
Ini membuatkan saintis dan pakar di seluruh dunia mula panik dan seterusnya mula bertindak mencari jalan penyelesaian.
Selain Contagion, anak kepada seorang pengarah terkenal, Jean-Claude Cotillard ini turut membintangi sekuel Batman terbaru, The Dark Knight Rises yang akan ditayangkan tahun depan. Marion kini sibuk menjalankan penggambaran filem itu yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Memegang watak sebagai Miranda Tate, Marion berkata, bekerja di bawah arahan Christopher Nolan adalah sesuatu yang sangat menggembirakan dirinya.
"Filem itu adalah projek yang sangat besar dan saya berpeluang bekerja dengan pasukan produksi yang hebat," katanya.
Tidak dapat dinafikan bakat Marion yang diasah sejak kecil lagi banyak membantunya untuk berjaya seperti hari ini.
Sememangnya darah seni yang mengalir dalam tubuhnya itu bukan asing kerana ibunya, Monique Theillaud seorang pelakon handalan di Perancis manakala ayahnya, Jean-Claude ialah pelakon, pengarah dan guru lakonan 'mime' yang terkenal di Perancis.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Marion Cotillard
TARIKH LAHIR: 30 September 1975
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
FILMOGRAFI: Contagion, TaxI, Big Fish, Innocence, A Very Long Engagement, The Last Flight, Nine, Inception, Midnight In Paris, Little White Lies, Public Enemies, La Vie en Rose, Fair Play, Love Is In The Air
PENCAPAIAN: Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Cesar, Pelakon Wanita Terbaik (Academy Awards), Pelakon Wanita Terbaik (Golden Globe Awards)