BIDANG kreatif begitu dekat di hati Natalia Mokhtar kerana bidang itu jugalah kerjayanya iaitu sebagai pereka grafik. Pelbagai kerja tangan kreatif diceburinya, antaranya membuat perhiasan seperti gelang, subang dan tasbih.
Membuat kerja tangan kreatif memang memberi kepuasan diri terutama apabila melihat hasilnya. Tambah menyeronokkan sekiranya ia dapat digunakan untuk menjana pendapatan.
Kini, Natalia yang bekerja sendiri menemui hobi menarik terbaru pada awal tahun ini. Dia sendiri baru mempelajarinya. Namun, kerana minat yang semakin mendalam, bidang itu bagaikan sebati dengannya.
Ada saja waktu terluang, kelihatan Natalia tekun menjahit bukunya sendiri.
Menjahit buku? Ya, kelihatan buku yang mempunyai kulit muka depan keras, menarik dan unik dijahit Natalia sendiri dan boleh diandaikan sebagai edisi terhad memandangkan ia buatan tangan.
Membelek buku itu, hati terus berkata, "Cantiknya buku ini!"
Menemubual Natalia dan bertanya bagaimana segalanya bermula, anak kelahiran Terengganu itu ramah bercerita.
"Semuanya bermula pada awal tahun ini apabila saya diajak oleh seorang kawan menyertai kursus membuat buku handbound iaitu buku jahitan tangan," katanya.
Buku jahitan tangan dibuat dan dijahit sendiri. Kita boleh menentukan saiz dan rupa bentuk buku itu kelak. Kita memilih kertas, benang dan kulit muka depan mengikut kesukaan sendiri. Malah dapat dilihat, seperti menjahit juga ia adalah hobi yang sangat menarik dipelopori bagi menenangkan fikiran.
"Itulah permulaannya. Daripada mengetahui satu teknik membuat buku, saya pelajari lagi teknik lain di Internet dan Youtube," katanya.
Semakin lama dan semakin banyak yang dipelajari, Natalia merasa membuat buku sesuatu yang sangat menarik untuk dipelajari. Ini membuatkannya mahu terus belajar bagi mendapat ilmu baru.
"Buku sebegini boleh digunakan untuk pelbagai kegunaan. Mencatat jurnal harian, jurnal kehamilan, perkahwinan, resipi dan juga boleh ditampal gambar.
Disebabkan ia buatan tangan, buku ini tampil eksklusif dan peribadi," katanya.
Buku yang dihasilkan Natalia ini sesuai dijadikan hadiah atau cenderahati kepada insan istimewa kerana buku itu sendiri sangat istimewa.
Bayangkan mendapat hadiah buku buatan tangan yang kulit muka depannya daripada kain songket atau batik yang bercirikan tradisi. Kita boleh saja memilih corak kegemaran atau disesuaikan dengan tema majlis yang diadakan seperti hari keluarga ataupun perjumpaan rakan sekolah lama.
Natalia biasanya menggunakan kain sebagai muka depan bukunya. Dia turut menggunakan rekaan ilustrasinya sendiri yang kemudian dicetak.
"Untuk muka depan saya suka kain kapas kerana senang membentuk dan menampalnya. Sekiranya membuat buku yang ditempah khas untuk catatan tetamu di majlis perkahwinan, saya gunakan kain renda dan juga satin," katanya.
Peralatan yang diperlukan untuk menjahit buku ialah kertas keras, kain, kertas biasa atau kraf, benang, jarum dan gam pelekat.
Natalia memerlukan kira-kira dua jam bagi menyiapkan sesuatu buku. Pelbagai saiz buku dibuatnya seperti 8x8 inci, 8x6 inci, 6x6 inci dan 6x5 inci. Dia kini melabelkan hasilannya dengan jenama Notalia.
Buku jahitan tangan Natalia sering dijadikan sebagai hadiah korporat. Walaupun masih baru diperkenalkan, ia mendapat sambutan yang memuaskan.
Buku ini akan dicadangkan Natalia kepada pelanggannya sekiranya mereka memerlukan ilham dalam pemberian hadiah korporat. Selain itu, sebaran dari mulut ke mulut juga membuatkan hasilan Natalia semakin dikenali.
Natalia meletakkan harga berdasarkan saiz dan kemasan buku bermula daripada RM15.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/07
0 ulasan:
Catat Ulasan