JIKA ditanya pada mana-mana wanita secara rambang mengenai celana pilihan mereka, majoriti pasti memilih potongan skinny kerana ia berupaya menyerlahkan bentuk kaki agar tampak lebih panjang dan memberi ilusi bentuk tubuh seimbang.
Namun apabila ditanya semula sama ada mereka sanggup mengenakan celana itu, tidak ramai pula yang rela kerana rata-rata tidak yakin dengan bentuk tubuh serta menganggap celana skinny hanya padan untuk si kurus.
Tanggapan itulah yang cuba diubah Uniqlo, label pakaian popular dunia dari Jepun, dengan memperkenalkan koleksi seluar jean Ultra Stretch yang bukan saja boleh digayakan hampir semua bentuk potongan badan kecil, kurus, sederhana, tinggi, rendah mahupun bentuk epal atau pir malah selesa untuk apa jua aktiviti.
Berteraskan slogan Made For All (Dibuat Untuk Semua), celana jean Ultra Stretch ini nyata menonjolkan aspek revolusi dan inovasi yang menjadi salah satu tunjang Uniqlo, di mana ia direka untuk memberikan kesan regangan maksimum tanpa kekangan pergerakan bagi si pemakai.
"Uniqlo percaya bahawa produk yang sesuai dapat meningkatkan tahap kehidupan pengguna, justeru kami hasilkan helaian yang bukan saja ringkas dan mudah dipadu padan bersama helaian lain malah tiada kompromi dalam isu keselesaan.
"Seluar jean Ultra Stretch ini adalah salah satu produk inovasi kami bagi 2012, dicetuskan daripada kehendak pelanggan yang mahukan helaian asasi menarik, selesa dan padan dengan bentuk tubuh mereka.
"Berdasarkan daripada kajian dan pemantauan kami terhadap wanita Jepun, lebih 80 peratus mahukan seluar jean skinny yang tidak keras, kasar serta sendat di sesetengah bahagian tubuh.
"Mereka juga inginkan sesuatu yang boleh meregang dengan mudah dan seluar terbabit perlu kembali ke bentuk asal.
"Biarpun ada banyak jenis legging dan jegging (gabungan jean dan legging) di pasaran, mereka tetap mahukan sekurang-kurangnya sehelai seluar jean skinny yang mampu memberikan keselesaan maksimum, selain boleh dipadankan untuk apa jua stail.
"Atas faktor itu, Ultra Stretch hadir di pasaran dan mendapat sambutan hangat di Jepun lalu inovasi ini dibawa ke seluruh dunia agar wanita tampil lebih yakin kala mengenakan seluar jean skinny," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) Fast Retailing bagi Malaysia dan Singapura, Satoshi Onoguchi ketika majlis pelancarannya di Orchard Ion, Singapura, baru-baru ini.
Tambah Onoguchi, penggunaan material seperti denim berkualiti tinggi, kapas, poliester dan spandeks bertindak memberikan rasa keselesaan optimum berbanding jegging serta seluar jean biasa.
Menerusi lapan pilihan warna - empat rona denim manakala empat lagi menepati tema musim luruh - celana jean Ultra Stretch ini menawarkan 40 peratus kesan regangan dengan 90 peratus kembali ke bentuk asal berbanding seluar jean lain.
Ia memberikan lebih definisi pada bentuk kaki, selain siluet langsing dengan menyediakan alternatif bagi wanita yang gemarkan potongan lurus berbanding potongan but atau flare.
Menariknya, sesetengah wanita yang mencuba celana jean Ultra Stretch ini mendapati saiz seluar mereka juga berkurangan.
Misalnya jika sebelum ini perlu mengenakan saiz 29, Ultra Stretch membolehkan mereka bergaya dengan saiz 28.
Uniqlo buka butik lagi
DENGAN pilihan saiz 22 hingga 28, dapatkan celana jean Ultra Stretch anda pada harga tawaran sempena pembukaan butik keenam dan ketujuh Uniqlo di Malaysia.
Sunway Pyramid menjadi butik keenam dan bakal dibuka pada 15 November ini, di mana ia bertujuan menghubungkan kumpulan peminat Uniqlo baru dan sedia ada di kawasan pinggir bandar khususnya Sunway serta Subang Jaya.
Butik di Paradigm Mall yang akan dibuka pada 6 Disember pula menyasarkan kumpulan profesional iaitu golongan pekerja serta keluarga, dengan meningkatkan keupayaan jenama ini untuk memenuhi keperluan pengguna di sekitar Kelana Jaya.
Uniqlo Sunway Pyramid bakal menawarkan rangkaian fesyen terkini bagi lelaki dan wanita manakala, Uniqlo Paradigm Mall akan memperluaskan rangkaiannya yang merangkumi koleksi kanak-kanak dan bayi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/09
0 ulasan:
Catat Ulasan