IMPIAN Faizal Saari untuk beraksi di luar negara tercapai akhirnya selepas penyerang skuad hoki negara berusia 21 tahun itu disambar oleh kelab Mumbai Magicians untuk beraksi dalam Liga Hoki India (HIL) yang bakal berlangsung selama sebulan bermula 16 Januari depan.
Kali pertama dianjurkan, HIL menyaksikan penampilan ramai pemain berstatus bintang dari seluruh dunia yang dipilih untuk beraksi bersama lima kelab yang bakal bersaing dalam liga itu.
Selain Faizal, penjaga gawang negara, S Kumar juga terpilih untuk beraksi dengan kelab Uttar Pradesh Wizards.
Apa yang menarik kedua-duanya bakal menerima gaji cukup lumayan dalam tempoh singkat itu dengan Faizal ditawarkan gaji sebanyak AS$26,000 (RM79,560) sementara Kumar pula AS$15,000 (RM45,900).
Jumlah itu difahamkan lebih besar berbanding gaji diterima oleh pemain negara yang beraksi di Liga Hoki Malaysia (LHM).
"Inilah impian yang saya nantikan sejak dulu lagi iaitu untuk beraksi di luar negara. Saya memang mahu belajar sesuatu yang baru selain daripada beraksi di liga Malaysia.
"Sudah tentu saya gembira kerana terpilih untuk beraksi di HIL sebab bukan mudah untuk menempatkan diri di liga yang juga disertai ramai pemain hebat.
"Bagi saya wang bukan soal utama tapi seperti yang saya katakan tadi, kesempatan ini akan saya gunakan sebaik-baiknya untuk menimba pengalaman baru," katanya yang mengesahkan menerima gaji lumayan itu.
Jelas Faizal, dia mungkin akan berangkat ke India pada 8 Januari kerana jurulatih kelabnya itu mahu menemui pemain hari berikutnya.
Faizal yang sering menjadi tonggak utama skuad negara, sebelum ini pernah menimba pengalaman di liga Australia bersama kelab Southern Hotshots tetapi dia tidak dapat menyertai satu musim penuh berikutan masalah visa.
Pemain kelahiran Terengganu itu kemudiannya menerima tawaran untuk beraksi bersama kelab Sepanyol, Athletic Terassa Club sekitar Julai lalu, tetapi dia terpaksa menolaknya kerana khidmatnya lebih ditagih skuad negara menghadapi saingan Cabaran Juara-Juara 1 di Quilmes, Argentina November lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/30
0 ulasan:
Catat Ulasan