KAJANG: Dua kamera Sistem Penguatkuasa Automatik (AES) yang dipasang di Kilometer (KM) 301.5 Lebuhraya Utara- Selatan arah Bangi menuju Kajang, di sini, disembur cat merah, dipercayai angkara sabotaj, semalam.
Pihak berkuasa percaya kejadian dilakukan sekumpulan individu antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu jam 2.30 petang semalam.
Menurutnya, ketika rondaan terakhir di kawasan berkenaan jam 8 malam kelmarin, kamera AES itu berada dalam keadaan baik.
"Saya percaya ada pihak hendak mensabotaj kerana seperti diketahui umum, ada individu tidak berpuas hati dengan pemasangan kamera AES," katanya.
Ab Rashid bagaimanapun berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mahupun mana-mana pihak berkaitan.
Ditanya mengenai keberkesanan pemasangan kamera AES di kawasan itu, Ab Rashid berkata, sejak dipasang, tiada kemalangan dilaporkan berlaku di situ.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09
0 ulasan:
Catat Ulasan