Harian Metro: Hati |
Posted: 05 Nov 2012 08:26 AM PST DERUAN puluhan enjin motosikal memecah keheningan pagi itu. Walaupun muzik senamrobik terlebih dulu berkumandang, bunyi enjin motosikal kecil dan besar yang memenuhi perkarangan pusat beli-belah Kiara Square di Bahau, Negeri Sembilan, Sabtu lalu, lebih mencuri perhatian. Apa yang membuatkan pengunjung serta penduduk sekitar lebih teruja melihat deretan motosikal itu ialah si penunggangnya semuanya wanita! Bagaikan sebuah sororiti, kumpulan wanita ini ralit berkongsi tip dan cerita tanpa mengira usia serta jenis motosikal yang ditunggangi. Nyata, program konvoi Jelajah Srikandi 7 Perhentian yang berlangsung selama dua hari itu mempertemukan mereka, dengan sebahagiannya daripada kumpulan Beliawanis Negeri Sembilan sementara sebilangan lagi adalah ahli kelab Biker Babes dan Wima (Persatuan Motosikal Wanita Antarabangsa) yang majoriti datang dari Lembah Klang.
"Atas faktor gender dan pandangan tradisional, masih ramai yang belum dapat menerima idea bahawa wanita berupaya menyertai konvoi bermotosikal seperti ini. "Justeru, Jelajah Srikandi 7 Perhentian ini menjadi bukti kepada keupayaan penunggang motosikal wanita dan diharapkan dapat memberi pendedahan kepada masyarakat, di samping mencetuskan impak positif di kalangan wanita lain. "Peserta juga tidak hanya berpeluang menjelajah beberapa daerah menarik di Negeri Sembilan tapi berkongsi ilmu menerusi program pengisian di Muzium Angkatan Tentera Port Dickson, Klinik Cure & Care 1Malaysia di Tampin dan Rumah Seri Kenangan (penempatan warga emas) di Seremban. "Selain itu, jelajah konvoi ini juga menjadi platform motivasi di kalangan penunggang muda agar lebih berdaya saing untuk memajukan diri. "Aspek kesabaran, kerjasama dan bertimbang rasa dengan pengguna jalan raya lain juga menjadi antara intipati konvoi ini," katanya yang menunggang motosikal Can-Am Spyder RT tajaan USF-Hicom. Dimulakan dengan sesi pelepasan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Perladangan, Sumber Manusia, Alam Sekitar dan Pengaduan Awam Negeri Sembilan, Datuk VS Mogan, 55 peserta bergerak ke perhentian pertama di Jeram Toi, Jelebu sambil diiringi anggota polis trafik Negeri Sembilan. Menariknya, polis trafik pengiring bagi jelajah ini dibarisi tujuh pegawai wanita sambil dibantu beberapa anggota lelaki yang diketuai Inspektor Faizrizarina Mohamad Fauzi. Usai bergambar di Jeram Toi, perjalanan diteruskan ke Nilai sebelum berhenti di Seremban bagi menyampaikan cenderahati serta tajaan burger Mat Salai untuk peserta dan penghuni Rumah Seri Kenangan. Konvoi diteruskan lagi dan selepas mengharungi perjalanan hampir 120 kilometer dengan laluan kampung yang mencabar, halangan binatang sepanjang laluan serta meredah banjir di Mambau, Port Dickson menjadi destinasi terakhir pada hari pertama. Jelajah hari kedua pula dimulakan seawal jam 9 pagi dengan perhentian kelima di Muzium Angkatan Tentera Malaysia yang jaraknya kira-kira 10 minit dari hotel. Klinik Cure & Care 1Malaysia yang terletak di Tampin pula menjadi perhentian seterusnya, di mana peserta diberi penerangan mengenai fungsi klinik serta perkhidmatan dan rawatan untuk mereka yang ingin bebas daripada dadah. Sambil menikmati hidangan tengah hari, kumpulan busking Blue Roses yang terdiri daripada penghuni klinik tampil mendendangkan beberapa lagu. Awan mendung kemudiannya mengiringi peserta konvoi kala bergerak ke Kiara Square bagi perhentian terakhir. Sejurus tiba, peserta disambut meriah oleh penduduk tempatan sebelum acara secara rasminya tamat dengan sesi penyampaian sijil. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05 |
Sokongan kuat nenek buat rakan Posted: 05 Nov 2012 08:06 AM PST "JANGAN sesekali jadikan usia sebagai penghalang. Apa yang penting, percaya serta bangga pada kemampuan diri," kata Fatimah Ahmad De Polo, salah seorang peserta Jelajah Srikandi 7 Perhentian Negeri Sembilan, Sabtu lalu. Pada usia mencecah 52 tahun dan berstatus nenek, Fatimah nyata berpegang teguh kepada kata-katanya itu dan tidak kekok menyertai konvoi dengan menunggang motosikal Yamah FJR1300. "Saya sebenarnya jarang sertai konvoi dan lebih gemar bergerak sendirian atau dalam kumpulan kecil. Tapi demi beri sokongan kepada rakan-rakan serta adik-adik yang baru menunggang motosikal, saya seronok melakukannya walaupun cuma sempat menyertainya sehingga ke perhentian keempat. "Bagi saya, tidak salah wanita menunggang motosikal dan menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja dapat menanam sifat positif dalam diri tapi turut memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sebagai salah seorang pengguna jalan raya," katanya.
"Saya hanya berpeluang membeli motosikal selepas berkahwin dan motosikal pertama saya ketika itu ialah Suzuki 535. Saya terus menunggang motosikal ketika sarat mengandung, dek terlalu minat dalam aktiviti bermotosikal. "Suami amat memahami dan menyokong saya, malah kami sering habiskan masa santai bersama dengan menunggang motosikal," ujarnya yang turut memiliki Suzuki Intruder 800 serta pernah menunggang Yamaha VMAX. Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/05 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |