Ketika bertemu pelanggan hampir setiap malam, wanita ini membawa tiga anaknya bersama. Sewaktu berbincang mengenai perniagaan, suaminya ditugaskan menjaga anak-anak sehingga mereka tertidur di dalam kereta. Perbincangan biasanya memakan masa dua hingga tiga jam dan berlarutan sehingga jam 2 pagi.
Keadaan ini berterusan setiap hari malah bertambah pada hujung minggu kerana dia terpaksa bertemu pelanggan dua atau tiga orang sekali gus.
Walaupun jadual hariannya sibuk dengan urusan kerja pada waktu siang
di sebuah syarikat kontraktor, bagi memastikan kelangsungan minat dalam seni hiasan dalaman, pemilik Akma Deco and Interior, Marina Abd Khalid tidak pernah merungut malah yakin suatu hari nanti dia mampu membuka perniagaan sendiri.
Pemegang Diploma Ukur Bahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini sentiasa positif dalam apa juga yang dilakukan. Baginya, apa saja yang diinginkan akan cuba diperoleh dengan usaha bersungguh-sungguh. Walaupun bukan dilahirkan dalam keluarga peniaga, Marina tekad ingin memecah tradisi keluarga dengan berniaga. Tetapi ketika itu dia tidak tahu jenis perniagaan yang akan diceburinya.
"Saya cuba berniaga pinggan mangkuk menerusi Internet tetapi saya berhadapan risiko pinggan pecah dan terpaksa membayar ganti rugi kepada pelanggan. Akhirnya saya memilih memasarkan kertas dinding selepas teruja melihat kepelbagaian rekaan di pasaran, juga kurang berisiko berbanding makanan atau pakaian. Lebih penting ia bersesuaian dengan minat dalam bidang seni hiasan dalaman," katanya.
Berpegang kepada prinsip melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang, wanita ini tekad mendapatkan perbandingan harga menerusi pembekal yang kebanyakan dimonopoli daripada bangsa Cina. Sedikit demi sedikit Marina belajar cara menguasai pasaran terutama mendapatkan produk pada harga murah tetapi berkualiti.
"Sejak menuntut di UiTM, minat dalam bidang seni hiasan dalaman sudah ada. Ditambah pergaulan dengan rakan dalam jurusan ini, sedikit demi sedikit saya belajar bagaimana memenuhi kehendak pelanggan. Hal ini berterusan selepas menamatkan pengajian apabila saya mula menjalankan perniagaan menerusi dalam talian dengan menjual kertas dinding," ujarnya.
Menurut Marina, sebagai pereka hiasan dalaman secara sambilan masanya sangat terhad. Hanya pada waktu malam dia dapat bertemu pelanggan kerana waktu siang dia bertugas di sebuah syarikat kontraktor.
Lama-kelamaan wanita ini terfikir sampai bila harus begini kerana sampai masanya dia harus berganjak daripada satu tahap dengan membuka perniagaan sendiri.
Bermula daripada kertas dinding, Marina menambah produk kepada permaidani, bidai, kabinet dapur, sofa dan langsir. Malah kreativiti serta hasil usaha menyebabkan dia mendapat perhatian daripada jabatan kerajaan.
"Mungkin kerana produk ditawarkan berkualiti serta harga berpatutan, kebanyakan pelanggan setia mendapatkan khidmat saya. Malah tidak terhad di Lembah Klang saja tetapi seluruh Malaysia," jelasnya.
Oleh kerana tidak mampu menanggung jumlah pelanggan yang semakin ramai, pada Februari 2012 anak bongsu enam beradik ini tekad membuka perniagaan di Shah Alam selepas mendapat sokongan suami dan keluarga.
Perkara pertama dilakukannya adalah mempergiatkan promosi menerusi Internet, menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran serta memberi percuma bagi setiap pembelian kertas dinding. Ini sebagai langkah promosi serta memperkenalkan jenama Akma Deco and Interior bukan saja menjual kertas dinding tetapi segala kelengkapan rumah.
Jika dulu kebanyakan individu tidak mahir mengenai seni hias tetapi kini, mereka semakin bijak menghias rumah kerana banyak membaca dan membuat kajian. Kebanyakan pelanggan berilmu dan tahu mengenai asas menghias. Misalnya dalam pemilihan kabinet dapur, semakin ramai pelanggan memilih jenis kaca bukannya seramik begitu juga konsep langsir yang sekarang ditukar kepada bidai untuk menampakkan unsur moden dan elegan.
"Kemahiran pelanggan turut mempengaruhi dalam membuat keputusan. Kadang-kadang saya minta mereka memilih apa yang disukai berdasarkan konsep dan tema diinginkan. Sekiranya ada yang tidak kena, barulah saya memberikan pendapat dan mencadangkan konsep sesuai. Setakat ini tiada masalah dari segi idea atau pemilihan produk," ujarnya yang memberitahu konsep moden mengambil alih minat pelanggan untuk menghias kediaman mereka.
Walaupun baru memasuki tahun pertama membuka perniagaan secara fizikal, Marina mempunyai perancangan sendiri bagi memastikan Akma Deco and Interior berdiri sebaris dengan syarikat hiasan dalaman yang lain.
Akuinya apa juga perniagaan, risiko serta cabarannya tetap ada. Sebagai pengurus dia harus bijak menangani masalah terutama ketika berhadapan dengan pelanggan.
"Dalam apa juga keadaan pelanggan memang betul. Saya selalu tetapkan dalam diri supaya bersabar menghadapi kerenah mereka. Jika difikirkan masalah akan membuatkan kita menjadi lebih tertekan. Oleh itu perlu tahu cara menangani dan bertindak dengan sebaiknya," katanya yang berasal dari Johor Bahru.
Jelas Marina, sepanjang menguruskan Akma Deco and Interior walaupun perlu bekerja keras memastikan mampu mendapat pulangan pada setiap bulan, kepuasan diperoleh tiada tandingannya jika dibandingkan dengan kerja makan gaji.
"Dulu seharian di pejabat seakan tiada apa diperoleh. Tetapi kini walaupun penat ditambah tekanan berhadapan kerenah pelanggan dan pembekal, apabila memperoleh hasilnya ibarat segala penat lelah saya terbayar selama ini," katanya yang kini mempunyai dua pekerja tetap dan sambilan terdiri daripada ahli keluarga.
Seperti mana peniaga lain, Marina komited untuk memperluaskan jenama Akma Deco and Interior dengan membuka cawangan di negeri lain seperti Johor Bahru, Kuantan dan negeri di utara seperti Pulau Pinang atau Kedah dalam masa dua tahun lagi.
"Dengan membuka cawangan, saya dapat membuka peluang perniagaan kepada orang ramai terutama anak-anak muda supaya mereka belajar membuka perniagaan secara kecil-kecilan serta meningkatkan kemahiran dalam seni hiasan dalaman," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30