Harian Metro: Hati |
Posted: Pernyataan rasa cinta bukan hanya sekadar dilafazkan di bibir atau mampu dizahirkan menerusi gerak bahasa tubuh tetapi lakaran pada busana antara kenangan terindah yang akan kekal dan tersimpan kemas dalam lipatan sejarah mempelai. Sebab itu, pasangan raja sehari sanggup mendapatkan rekaan busana yang bukan saja anggun dan mempesonakan, tetapi mampu membuatkan mereka segak dan menawan ketika bersanding. Menyedari busana perkara terpenting dalam meraikan hari bahagia, pereka tersohor, Datuk Radzuan Radziwill mengetengahkan rekaan bertemakan Kenangan Cinta yang digayakan barisan model profesional di pentas utama di Zebra Square, Kuala Lumpur. Percikan rona keemasan pada fabrik renda serta kilauan perincian manik dan batu permata pasti menambah keindahan pada setiap helaian busana. Lebih penting, setiap persalinan menjadi tanda pengenalan Radzuan dalam mengetengahkan potongan yang bersifat feminin dan moden dengan tidak melupakan nilai tradisi.
Ini dapat dilihat apabila hampir semua persalinan yang dipersembahkan pada malam itu mengekalkan gaya lama dengan mengambil potongan baju kurung labuh dan kebaya dengan diberi sedikit sentuhan moden pada perhiasan ditampilkan. "Walaupun fesyen beralih mengikut musim, gaya lama tetap kekal dan berada dalam kelas tersendiri. Untuk tahun ini, saya menjangkakan rekaan tradisional akan mewarnai penggayaan pakaian pengantin. Malah, kombinasi tradisi dengan sentuhan glamor akan menjadi pilihan mempelai," katanya yang memilih tema romantik untuk setiap potongan kerana setiap wanita mahu tampil anggun bersama pasangan mereka pada hari bahagia. Bagi menyerlahkan nilai romantik selain penggunaan fabrik bermutu seperti sifon, broked, renda dan satin, rona malap seperti merah jambu cair, krim, kristal, perak, kelabu dan keemasan akan mengambil tempat. "Warna sebegini jika dilihat memang seakan-akan tiada tarikannya, namun selepas diberikan nilai menerusi potongan dan perincian, ia akan menyerlah dan nampak hebat lebih-lebih lagi apabila digayakan wanita. Rona sebegini juga nampak mewah dan sesuai untuk semua tema," katanya. Terkenal dengan padanan nikah dan persandingan, Radzuan masih mengekalkan potongan kurung moden, kaftan dan kebaya untuk majlis pernikahan kerana nampak lebih klasik dan sopan manakala untuk persandingan, pereka ini menerapkan unsur tradisional dengan potongan kebaya dan gaun labuh. Memulakan tradisi pernikahan bertudung menerusi pengantin Siti Nurhaliza, Radzuan turut menyediakan padanan tudung dan selendang sesuai untuk majlis pernikahan dan persandingan yang kini menjadi gaya pilihan ramai kerana nampak lebih sopan selain mengekalkan keanggunan mempelai. Selain pakaian pengantin, butik Radzuan Radziwill di bangunan Daya Bumi Kuala Lumpur ini turut menyediakan rekaan kasual untuk majlis rasmi atau makan malam menerusi gaun, kaftan labuh dan pendek serta padanan baju kurung moden untuk majlis rasmi. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16 |
Posted: Kebanyakan pengantin mengakui masalah paling ketara memilih baju pengantin ialah warna yang ingin dipakai ketika majlis persandingan. Ada berpendapat memilih rona kesukaan membuatkan anda nampak biasa kerana warna itu sering dipakai dan kelihatan kurang seri manakala ada pula mengatakan pilih rona yang jarang dipakai kerana ia akan membuatkan mempelai tampil glamor dan berseri-seri.
Walau apa juga pendapat, pelbagai faktor harus diambil kira. Antaranya ukuran badan, warna kulit serta bajet yang akan menentukan jenis dan gaya padanan bersesuaian serta warna tema pakaian. Bagi mempelai berkulit sawo matang tentunya pemilihan rona busana tidak menjadi masalah berbanding mempelai yang berkulit cerah atau lebih dikenali sebagai putih melepak atau rona gelap. Golongan ini harus berhati-hati memilih warna busana supaya nampak serasi dengan kulit dan sesuai dengan pasangan.
Warna hitam, biru, ungu gelap, hijau gelap dan merah hati juga dikenali sebagai warna mewah. Kemewahan himpunan warna gelap ini amat berkesan jika dipadankan dengan warna kulit cerah kerana mempunyai ciri yang berlawanan lantas menimbulkan kesan dramatik. Sekiranya mempelai berkulit gelap mengenakannya, ia kurang menyerlah, malah akan menenggelamkan seri si pemakai. Ini kerana sekiranya tiada unsur berlawanan, kesannya kurang menonjol. Rona segar sesuai untuk kulit cerah Rona pakaian seperti putih susu, kuning air, ungu lembayung, oren cair, coklat cair dan seumpamanya sesuai untuk mempelai berkulit cerah kerana ia akan menonjolkan gaya harmonis serta kelembutan seseorang.
Jangan bergantung pada warna kulit saja Pengantin juga tidak seharusnya bergantung pada warna kulit saja, sebaliknya ukuran badan si pemakai juga amat penting kerana pilihan warna boleh menyebabkan si pemakai kelihatan lebih besar atau kelihatan lebih kurus. Warna terang seperti kuning atau merah jambu akan menyebabkan pengantin berbadan besar nampak lebih besar manakala warna gelap boleh memberi ilusi yang lebih langsing. Sebaiknya pilih rona coklat, hitam, kelabu atau perak untuk melindungi kekurangan tubuh. Pilih rona lembut untuk pernikahan Untuk pernikahan, sebaiknya pilih rona lembut dan tidak terlalu terang. Putih rona yang biasa dipakai dan warna selamat. Jika inginkan kelainan, pilih warna merah jambu lembut, kelabu, keemasan atau coklat bagi menandakan anda akan menghadiri majlis pernikahan. Warna ini sesuai untuk semua jenis kulit. Dapatkan pandangan perunding majlis perkahwinan Kebiasaannya apa yang disukai mempelai tidak semestinya cantik pada pandangan mata ramai. Sebaiknya sebelum memilih tema majlis atau menempah baju, pastikan anda mendapatkan pandangan daripada jurusolek atau perunding majlis perkahwinan supaya warna dipilih bersesuaian dengan personaliti anda. Jangan kerana sukakan sesuatu warna, anda memakainya tanpa memikirkan penampilan anda pada hari bahagia. Pilih rona sedondon Sekiranya anda sudah menetapkan tema pakaian, pilih rona tudung dan kasut sepadan dan tidak berbeza dengan warna busana bagi mengelak anda nampak janggal pada hari bahagia. Ada juga mempelai yang ingin memakai warna tudung berbeza tetapi pastikan ia masih di dalam ton warna yang sama, begitu juga dengan kasut. Ini kerana bagi mempelai yang mengenakan layah, ia cukup menaikkan seri pengantin terutama apabila berjalan memasuki pintu utama dewan menuju ke pelamin. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/16 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan