Harian Metro: Rap |
Posted: 11 Jul 2013 07:59 AM PDT Judul Cekak & Hanafi - Mini Teater Silat & Pahlawan ini sudah mengundang naluri ingin tahu peminat untuk hadir menyaksikan pementasan teater ini di Auditorium Kompleks Jabatan Kesenian & Kebudayaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hasilnya, pementasan selama tiga malam (termasuk sesi latihan penuh) pada 5, 6 dan 7 Julai lalu dipenuhi penonton di lokasi yang boleh menempatkan kapasiti 250 orang pada satu-satu masa itu. Agak sukar untuk memahami konsep teater begini jika tidak menghayatinya dengan mendalam. Apatah lagi, paparan elemen di dalamnya hanya dipenuhi aksi silat tanpa sebarang dialog yang dituturkan oleh pemegang watak yang beraksi di atas pentas. Bagaimanapun dengan maklumat yang dibekalkan, sedikit sebanyak kita boleh memahami apa sebenarnya yang ingin disampaikan oleh pengarahnya Mohd Poizi Nawi. BABAK pertarungan yang diperlihatkan sangat menarik. TEATER ini memperlihatkan kegagahan pengamal seni Silat Cekak Hanafi. FAUZIAH menerima penghargaan di atas tugasnya sebagai penasihat teater ini.
Mengikut sejarah, Panglima Ismail dihantar untuk memerangi ancaman berbangsa Batak dan kehebatan Silat Cekak terserlah apabila dia berjaya mengalahkan musuh terbabit. Pada elemen ini pergerakan randai ditampilkan bagi menggambarkan berakhirnya era Panglima Ismail dan bermula pula era Panglima Tok Rashid. Era Panglima Tok Rashid (1845-1888) pula menggambarkan keharmonian hidup dan budaya bangsa Melayu mula diganggu gugat bangsa asing. Serangan wabak taun di Kedah juga membuatkan Panglima Tok Rashid berhijrah ke Perak. Ketika ini muncul pendekar tekpi berbangsa asing yang sering mencabar pengamal Silat Melayu hingga ramai yang kecundang serta maruah dunia persilatan Melayu diperlekehkan. Kemunculan Panglima Tok Rashid menyuntik kembali semangat dalam diri masyarakat Melayu untuk mempelajari silat selepas beliau berjaya menewaskan pendekar tekpi hanya dengan bersenjatakan sebilah Parang Lading. Randai tangan kosong menggambarkan tamatnya zaman Panglima Tok Rashid dan berikutnya bermulalah era Ustaz Hanafi. Era Ustaz Hanafi (1923-1986) menyaksikan pembaharuan dan pemodenan yang disuntik dalam pentadbiran dan pembelajaran Silat Cekak termasuk menerapkan nilai-nilai agama dalam membanteras amalan tahyul dan khurafat dalam fahaman amalan silat. Babak terakhir ini menggambarkan perjuangan Syeikh Dr Md Radzi Hanafi pada 1961 sehingga kini. Beliau meneruskan kesinambungan legasi agung ayahandanya. Bukan satu tugas mudah kerana beliau juga terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri. Cabaran dan pengkhianatan diterima dari pelbagai sudut termasuk daripada sesetengah orang yang diberi kepercayaan sekian lama. Cabaran hebat ini dipaparkan menerusi formasi serangan tekpi, tempur lading dengan pelbagai senjata dan gerak tongkat menentang pelbagai senjata. Mohd Poizi Nawi mengakui sukar untuk menggambarkan gerak dan falsafah silat dalam bentuk teater. Dia juga tidak mahu memasukkan pencerita (narrator) kerana bimbang teater ini dilihat sebagai sketsa. "Saya nak pertahankan unsur 'performing arts' di dalamnya. Setiap gerak silat yang dipertontonkan ada falsafah di sebaliknya dan unik. Usaha menjadikan seni silat dalam bentuk 'performing arts' ini memang tak pernah dibuat. Cabaran yang diterima memang banyak kerana ia adalah satu projek eksperimental," katanya yang mengakui teater ini juga menghadapi kekangan bajet yang terhad. Teater tulisan Ar A Aziz Darmawan yang turut menerima sentuhan penggiat teater dari Stefani Event iaitu Fauziah Nawi sebagai penasihat serta Iryanda Mulia selaku pengarah muzikal ini dimasukkan dalam program 'Semarakkan Seni Budaya' sempena KLFEST 2013. Biarpun hanya 45 minit, pementasan ini berupaya menunjukkan kehebatan Seni Silat Melayu yang selama ini sering dipinggirkan dari arus perdana. Elemen gerak tari silat yang tersusun sempurna serta iringan 10 pemuzik yang bermain peralatan muzik tradisional, berjaya menghidupkan mood persembahan teater ini. Puas hati dengan persembahan Ditemui selepas persembahan berakhir, Fauziah Nawi melahirkan perasaan puas hatinya dengan persembahan yang diperlihatkan oleh 18 pelakon ini, apatah lagi, ia pengalaman pertama mereka beraksi di atas pentas yang disaksikan ramai penonton. "Saya sebenarnya ahli persatuan Silat Cekak Hanafi, tapi saya bukanlah pandai bersilat. Mereka minta bantuan saya sebagai penasihat untuk bantu dari aspek muzik, instrumen dan muzikal. Sebabnya mereka memang tiada pengalaman langsung untuk persembahan begini. "Kalau adapun mereka hanya pernah buat demonstrasi seni mempertahankan diri di depan khalayak tapi ia sangat berbeza. Pada 2010 mereka buat demonstrasi di Dataran Merdeka yang menampilkan seramai 7,300 ahli. Pada 2015 mereka rancang nak buat lagi dengan 50,000 ahli di lokasi sama," katanya. Menurutnya, memang agak susah untuk membawa seni silat dalam bentuk teater. Justeru, dia tidak mengubahnya hingga lari daripada terma sebenar. Cuma, paparan babak perlu ada elemen performing arts. "Saya nak Silat Cekak Hanafi buka mata semua orang dan paling penting boleh dihantar ke luar negara. Saya percaya orang akan lihat sesuatu yang boleh dibanggakan, disiplin teguh serta ajaran murni dalam seni silat," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11 |
Posted: 11 Jul 2013 07:48 AM PDT Sejak ditubuhkan pada 11 November lalu, Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) yang diterajui Datuk Irwan Shah Abdullah atau DJ Dave terus komited membantu golongan penggiat seni terdiri daripada pemuzik, pelakon dan penyanyi. Pelbagai dakwaan yang mempertikaikan peranan YA1M langsung tidak menjadi penghalang buat DJ Dave dan ahli jawatankuasanya untuk terus membantu artis tidak bernasib baik dan menghidapi penyakit terutamanya yang berusia 60 tahun ke atas. Terbaru, bantuan sebanyak RM2,000 terus dihulurkan kepada 48 artis veteran yang disampaikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia. Hadir sama, DJ Dave bersama ahli jawatankuasanya iaitu Datuk A Rahman Hassan, Datuk M Nasir, Nash dan Nancie Foo. Menurut Dave, ini adalah kali keempat program ini diadakan dan membabitkan dana sebanyak RM2 juta yang diperoleh tahun lalu. JAILANI menyampaikan sumbangan kepada Kismah sambil diperhatikan oleh Dave dan Nancie.
Penerima sumbangan kali ini antaranya pelakon Tawil, Jamaludin Mat, Z Lokman, Othman Hafsham, Kismah Johar, Mior Ahmat Zaudi, S Sahlan, Fatimah Yassin, Datuk Baharudin Omar, Sony Abdullah, Hisham Ahmad Tajudin, Wazata Zain, Abu Bakar Omar dan ramai lagi. Mungkin ada mempertikaikan kelayakan penerima sumbangan ini kerana ada di antaranya boleh disifatkan hidup senang. Namun bagi Dave, ini bukan penghalang kerana matlamat pengagihan dibuat kepada semua yang pernah berjasa membangunkan dunia seni tanah air dan paling penting berusia 60 tahun ke atas. "Kami juga bantu golongan artis muda jika mereka mengidap sakit kronik. Memang matlamat saya nak bagi sama rata tapi tumpuannya lebih kepada artis veteran kerana kita maklum mereka tiada sumber pendapatan dan selalu mengidap pelbagai penyakit. "Saya memang nak jalankan amanah ini secara telus kerana niat YA1M ditubuhkan sebenarnya untuk membantu rakan artis terutama kawan-kawan lama yang susah pada usia tua," katanya. Sementara itu, pelawak Jamaludin Mat, 61, atau lebih dikenali sebagai Abang Jem bersyukur dan gembira kerana tersenarai sebagai penerima sumbangan. Katanya, sebelum ini dia tidak pernah bertanyakan mengenai sumbangan ini kerana berasakan ada orang lain yang lebih layak menerimanya. Seorang lagi penerima sumbangan, pelakon Razali Buyong berterima kasih dengan rakannya, Mior Ahmat Zaudi yang bersusah payah mencarinya dan memaklumkan mengenai bantuan ini. "Dua hari sebelum majlis diadakan, dia datang membawa khabar gembira ini. Katanya, artis-artis veteran macam saya ada hak untuk dapat wang ini. Dia minta saya sediakan segala dokumen lengkap untuk diberikan kepada YA1M. Saya dah lama lama jadi ahli SENIMAN. Tak sangka saya akhirnya dapat juga bantuan ini katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/11 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan