Harian Metro: Hati |
Keunikan kebaya, kurung Riau kain kapas Posted: 04 Jan 2013 07:45 AM PST JIKA dulu pakaian tradisi hanya digayakan pada musim perayaan tetapi kini dengan rekaan serta perincian moden, busana yang memiliki nilai estetika ini boleh digayakan sama ada ke majlis rasmi atau kasual. Ini kerana sifat busana itu sendiri terutama dari segi potongan yang dipermodenkan seperti tambahan perincian manik pada bahagian tertentu menjadikannya tampak anggun dan hebat apabila dipakai. Ini boleh dilihat menerusi potongan kebaya dan kurung Riau pada fabrik kapas dan songket menjadikannya tampil eksklusif dan ada kelas tersendiri. Menurut pemilik Zaida's Collection, Zaida Abdul Aziz, kini wanita bukan saja mencari busana untuk pakaian pada musim perayaan tetapi boleh disarungkan ke tempat kerja.
Menurut Zaida, apa yang menjadikan helaian tampil istimewa ialah potongan yang berbeza berbanding baju kurung biasa. Baju kurung Riau memiliki pesak kembang yang disambung pada kekek gantung. Namun tidak semua baju kurung sesuai dengan pesak dan kekek jenis berkenaan kerana ia hanya sesuai untuk baju kurung Riau. Selain itu, bagi penggemar baju kurung, Zaida's Collection menyediakan padanan kurung moden dengan tambahan ropol pada bahagian bawah baju dan hujung lengan. Ini menjadikan setiap helaian tampil comel dan berbeza berbanding baju kurung sedia ada di pasaran. "Setiap padanan didatangkan dalam pelbagai warna dan corak. Baju kurung ini menjadi kegemaran pelanggan kerana sesuai dipakai ke pejabat serta menghadiri majlis perayaan," katanya. Kebanyakan busana didatangkan dalam rona ceria dan terang seperti hijau, merah, biru dan kuning yang sentiasa diminati. Malah gabungan padanan panel corak abstrak serta bunga-bungaan ternyata menjadi tumpuan ramai serta pilihan sepanjang zaman. "Untuk lebih bergaya, pakaian bercorak dihiasi manik serta sulaman menjadikan rekaan anggun digayakan bersama selendang manakala wanita bertudung boleh memilih selendang polos atau tudung bersengkuap untuk tampil eksklusif," katanya. Pada 2013 ini, ramai yang masih menggemari rekaan baju kurung ringkas serta berwarna-warni. Selain itu Zaida's Collection turut menampilkan baju kurung waka-waka dengan sedikit kembang pada bahagian bawah. Potongan sebegini sebagai memenuhi cita rasa wanita berbadan besar namun mereka yang langsing juga anggun menggayakannya. Setiap padanan boleh didapati pada harga RM329 ke bawah. Selain baju kurung Riau, moden dan waka-waka, jenama terbabit menyediakan selendang, tudung sedia dipakai, baju kanak-kanak, baju Melayu serta kasual tanpa mengira peringkat usia. Selain cawangan di Bangi Utama Shopping Complex (Warta) Bandar Baru Bangi, Zaida's Collection juga boleh didapati di Tesco Seremban 2 serta rangkaian terbesar di Seri Bangi. Terima kasih: Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04 |
Posted: 04 Jan 2013 06:59 AM PST DEK pentingnya beg tangan dalam kehidupan wanita, aksesori ini berkembang dalam pelbagai cara. Label Inggeris, Anya Hindmarch antara jenama popular apabila dikaitkan dengan beg tangan dan biarpun berstatus mewah, jenama ini terus jadi pilihan bagi wanita yang ingin tampil elegan tanpa perlu berhias secara keterlaluan.
Gaya minimalis sememangnya sinonim dengan jenama ini dan Anya sendiri selaku pengasasnya amat mementingkan kesederhanaan serta praktikal di samping mencerminkan keanggunan seseorang wanita. Unsur ini banyak ditekankan dalam hampir setiap musim di mana beg tangan rekaannya dihiasi perincian unik, selain dilengkapi ruang kecil khas bagi memudahkan pengisian barangan.
"Saya percaya beg tangan yang baik perlu ada ruangan khas untuk menyimpan alat solekan, telefon bimbit, kad dan seumpamanya. Ia bukan saja tampak teratur, tapi mudah mencarinya apabila diperlukan. "Justeru, saya sentiasa cipta rekaan yang memberi kepuasan pada diri sendiri dan berharap wanita lain dapat manfaat daripada apa yang saya hasilkan," katanya. Ketelitian dan kecenderungan Anya nyata diterjemahkan dengan baik dalam tiga rekaan edisi terhadnya sempena meraikan ulang tahun ke-25 Parkson, bulan lalu. Anya menzahirkan aspek praktikal dan minimalis pada koleksi Anya Hindmarch - Ostrich yang dibuat daripada kulit burung unta. Dengan pilihan warna seperti merah, hijau dan perang, beg tangan istimewa ini turut disertai mesej peribadi daripada Anya yang dijahit di ruangan dalamannya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |