Kuala Lumpur bukanlah kali pertama dikunjungi Ronan Keating, baik ketika bersama Boyzone mahupun selepas bergerak solo. Namun, kehadirannya sebagai artis undangan dalam Bella Awards 2013 anjuran ntv7, Sabtu lalu berbeza.
Kehadiran penyanyi berusia 36 tahun itu ditemani kekasihnya, Storm Uechtritz, 31, sekali gus mengubah fokus berita yang sepatutnya lebih tertumpu pada karier muzik serta pembabitannya sebagai artis undangan Bella Awards 2013.
Ternyata kisah cinta Keating dan Storm, produser kelahiran Australia lebih menarik perhatian media tempatan. Tambahan pula, Keating tidak menetapkan sebarang syarat atau keka--ngan untuk diajukan soalan berhubung cinta barunya.
"Saya sangat gembira kerana dia (Storm) ada bersama saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjayakan Bella Awards," katanya tiba sehari sebelum anugerah itu dilangsungkan di hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Mengakui dirinya berasa amat bahagia di samping Storm sepanjang lima bulan berhubungan, Keating bagaimanapun tidak merancang untuk melamar teman wanitanya dalam masa terdekat ini.
"Oh! Tidak sama sekali dan tiada perancangan ke arah itu. Kami gembira dengan perhubungan kami sekarang." katanya.
Sebagaimana diketahui umum, Keating sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas model, Yvonne Connolly pada April 1998, sebelum ikatan perkahwinan terlerai selepas 14 tahun berkahwin.
Francine Cornell, penari latar kepada penyanyi itu adalah wanita yang bertanggungjawab di atas segala kemusnahan yang berlaku. Enam bulan hubungan mereka berlanjutan sebelum ianya dihidu Yvonne.
Menyorot perkembangan terbarunya, Keating yang memulakan karier solo pada 1999 kembali bersatu dengan anggota Boyzone iaitu Keith Duffy, Mikey Graham, dan Shane Lynch sempena meraikan ulang tahun ke-20 penubuhan kumpulan itu.
Penyatuan semula itu dirancakkan lagi dengan kehadiran konsert jelajah yang bakal bermula di seluruh Eropah mulai November ini.
"Ia satu berita yang menggembirakan. Saya berharap selain Eropah, Boyzone dapat kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur tahun depan," katanya.
Ketika nama kumpulan itu berada puncak, Boyzone dianggotai lima jejaka tampan. Bagaimanapun salah seorang daripada mereka adalah Stephen Gately yang ditemui mati pada 1 Oktober 2009 ekoran masalah jantung.
"Setiap saat saya merinduinya. Kehadirannya amat penting bagi kami berempat untuk memasukkannya ke dalam persembahan. Namun dalam apa cara kami belum tahu.
"Kami juga tidak pasti bagaimana akan menyampaikan setiap lagu tanpa dia, memandangkan Gately terbabit dalam kumpulan ini sejak dari mula Boyzone ditubuhkan.
"Saya berharap kami dapat lakukan sesuatu sebagai penghormatan buat Gately dengan menayangkan semula detik-detik penting dia bersama kumpulan ini seperti mana yang sentiasa dilakukannya. Ini adalah penting untuk saya dan Boyzone," katanya.
Rancangan besar Keating tahun ini tidak tertumpu pada persediaan konsert bersama Boyzone saja, malah dia yang memulakan karier nyanyian seawal usia 16 tahun, terus relevan dalam industri muzik antarabangsa, muncul dengan album studio kelima berjudul Fires yang disifatkannya sebagai himpunan karya-karya terbaik daripadanya.
Album yang mengambil masa cukup lama untuk disiapkan itu, masih mengekalkan muzik pop yang cukup sinonim dan sebati dengan imejnya.
Keating juga meluahkan rasa bangga dengan kebang-kitan 'boyband' generasi baru yang mana dulu pernah diperjuangkan Boyzone sendiri termasuk beberapa nama popular lain seperti Westlife, Backstreet Boys, Nsync dan banyak lagi.
"Terdapat banyak kumpulan pop yang menyinari arena muzik ketika ini dan paling berpengaruh pada saat ini adalah The Wanted dan One Direction. Malah, One Direction artis paling popular di Eropah.
"Saya merasakan mereka ini hebat dan ia satu perkembangan yang baik untuk industri muzik pop. Tambahan pula, 'boyband' adalah keunikan yang penting dalam industri muzik Eropah," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/07