HAMPIR dua tahun menanti, filem drama aksi terhebat, KL Gangster 2 sudah siap sepenuhnya dan hanya menantikan tayangan umum sekitar Oktober ini.
Perkara ini disahkan produser Skop Productions Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, ketika ditemui di makmal Siam Film Development Co Ltd (SFD) di Bangplad, Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Yusof berkata, filem arahan anaknya, Syamsul Yusof itu baru selesai menjalani proses pos-produksi di makmal berkenaan dan pihaknya sangat berpuas hati melihat hasil arahan serta garapan terbaru Syamsul.
"Alhamdulillah segala proses akhir ke atas KL Gangster 2 berjaya dilaksanakan oleh Syamsul dan dia kini sedang menyiapkan trailer untuk filem ini sepanjang dua minit.
"Saya akui proses pembikinan filem bercorak prekuel ini paling lama dalam sejarah Skop Productions kerana penggambaran saja memakan masa 68 hari manakala bajet juga sehingga kini mencecah RM4.5 juta. Bagaimanapun, saya gembira kerana maklum balas yang diperoleh daripada mereka yang terbabit dalam pemprosesannya terutama di SFD, sangat positif.
"Saya sendiri melihat kualiti yang bagus dari sudut pengarahan Syamsul malah memberikan sepenuh kebebasan kepadanya untuk berkarya.
"Walaupun belum lagi siap, pihak pawagam sudah bertanyakan mengenai filem ini dan kalau tiada aral melintang, ia akan ditayangkan di 100 pawagam seluruh Malaysia dan Singapura sekitar Oktober ini," kata Yusof.
Apa yang membanggakan, Pengurus Pemasaran SFD, Pakin Maliwan atau Chartchai, berkata beliau sendiri cukup kagum melihat hasil arahan Syamsul dan menganggap KL Gangster 2 adalah filem aksi terbaik arahan pengarah itu dan lebih menggegarkan.
"Ia setaraf filem aksi antarabangsa lain yang pernah saya tonton dan diproses di makmal kami. Saya kagum melihat mutu lakonan, penampilan babak aksi dan gaya suntingan Syamsul yang semakin mantap. Saya yakin sesiapa saja akan terhibur menonton filem ini, selain mudah difahami," kata Chartchai kepada RAP.
Antara proses yang dilakukan ke atas filem ke-29 terbitan Skop Productions itu di SFD termasuklah kesan khas (special-effects), imej janaan berkomputer (CGI), kesan bunyi, gred warna, penataan bunyi Dolby Digital 5.1 serta adunan (mixing).
Seperti KL Gangster yang pertama, prekuel kali ini masih ditunjangi ramai bintang hebat seperti Aaron Aziz, Adi Putra, Ridzuan Hashim, Zizan Razak, Sofi Jikan, Corrie Abdullah, Sheera Iskandar serta Syamsul sendiri. Buat pertama kalinya juga, bintang handalan Rosyam Nor muncul dengan watak gangster psiko dan ganas bernama Tailong.
Daripada sedutan babak yang dipertontonkan kepada penulis di SFD, jelas kemunculan Rosyam begitu meninggalkan impak dan bakal menjadi bualan peminat kelak.
Syamsul tabik Rosyam
Bagi Syamsul sendiri, tugas yang sangat besar terpaut ke bahunya dalam menghasilkan filem yang kelapan itu kerana dia bukan saja berlakon watak penting, malah terus duduk di kerusi pengarah.
"Saya tak nafikan, saya rasai tekanan tiga kali ganda apabila menghasilkan filem ini berbanding KL Gangster yang pertama dulu. Saya sedar saya mesti berikan yang lebih baik untuk kepuasan penonton dan sebab itulah saya mengambil masa yang lebih lama untuk menyiapkan KL Gangster 2. Memang kali ini semuanya lebih istimewa dari segi skrip, pelakon, lokasi dan juga suntingan.
"Saya lega kerana semua pelakon memberikan komitmen yang terbaik dan cukup terharu apabila Abang Rosyam akhirnya dapat berlakon filem saya. Dia memang pelakon yang hebat, rajin banyak 'homework' dan tidak lokek memberikan idea kepada kami.
"Saya sangat berpuas hati dengan lakonan Abang Rosyam malah dia membuat sendiri semua babak aksi dan 'stunts'. Memang dia pelakon contoh kepada mereka yang baru," kata Syamsul yang menghargai sepenuh kepercayaan yang diberikan ayahnya kepada filem itu.
Beliau berkata, walaupun KL Gangster 2 filem aksi, dia tetap menitikberatkan elemen drama dan dramatik kerana menyedari semua filem antarabangsa juga mementingkan jalan cerita.
"Berbanding KL Gangster pertama, kali ini saya tonjolkan lebih banyak drama. Ini bukan filem percintaan antara kekasih sebaliknya ikatan kasih sayang kekeluargaan.
"Namun terus terang saya tak pernah anggap filem saya filem terbaik. Kalau filem saya disukai, saya anggap ia rezeki yang membakar semangat saya untuk terus mengarah lagi," kata Syamsul yang teringin menghasilkan filem aksi bercorak patriotisme pula selepas ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/05