Selasa, 21 Jun 2011

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Parkir asmara ‘berdarah’

Posted: 20 Jun 2011 11:32 AM PDT

DI SINI...saksi menunjukkan tempat mangsa ditikam.
DI SINI...saksi menunjukkan tempat mangsa ditikam.

KOTA BHARU: 'Parkir asmara' sebuah pasar raya di sini, seperti didedahkan muka depan akhbar ini 8 Jun lalu, bertukar 'parkir berdarah', apabila seorang pelatih salun parah ditikam sekurang-kurangnya tujuh kali di kepala, leher dan muka menggunakan gunting oleh bekas suaminya dipercayai kerana gila talak, semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari petugas pasar raya berkenaan sejurus terdengar jeritan wanita berusia 28 tahun itu ketika dia cuba melarikan diri daripada 'ditawan' bekas suami yang memandu kenderaannya.

Dalam keadaan yang tidak bermaya dan berlumuran darah, mangsa, Hazita Mohamad memberitahu kejadian berkenaan kepada petugas pasar raya itu bahawa dia ditikam bekas suaminya dan memberitahu lelaki berusia 30-an terbabit melarikan diri dengan berjalan keluar dari parkir berkenaan.

Melihat keadaan mangsa yang parah, kakitangan pasar raya berkenaan menghantarnya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi mendapatkan rawatan segera di wad kecemasan.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan kejadian menimpa mangsa dan wanita itu dipercayai diekori bekas suaminya dari sebuah pusat beli-belah di sini, sehingga ke lot parkir pasar raya itu.


"Bekas suaminya menerpa masuk ke dalam kereta dan menikamnya menggunakan gunting hingga menyebabkan dia cedera di belakang kepala, leher kiri dan kanan serta muka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

‘Apa lagi nak siasat?’

Posted: 20 Jun 2011 11:28 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya hairan mengapa keputusan kes sama ada saya melakukan khalwat atau tidak sekali lagi ditangguhkan. Keadaan ini seolah-olah menganiaya dan mahu 'memerangkap' saya," kata bekas pemain badminton negara, Roslin Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar pejabat Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, semalam, selepas dimaklumkan pegawai Jawi mengenai perundingan kes khalwat dia dengan penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman sekali lagi ditangguhkan sehingga 20 Julai depan.

Roslin hadir pada jam 8 pagi di pejabat Jawi sebelum keluar dari situ kira-kira tiga jam kemudian manakala Raja Azmi dan peguamnya, Roslizam Rahim tidak hadir kerana tidak sihat.

"Saya tidak puas hati apabila pegawai Jawi memberitahu mereka masih belum menemui apa-apa keputusan kerana kes itu masih dalam siasatan.


"Tapi hati saya terdetik apa lagi yang mahu disiasat sedangkan tiada penangkapan khalwat dibuat ketika itu," katanya.


Menurut Roslin, dia juga terpaksa membatalkan penyertaannya pada Kejohanan Badminton Terbuka di Indonesia kerana ia jatuh pada tarikh dia dikehendaki hadir di pejabat Jawi, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Perlu kekal fokus

Posted: 20 Jun 2011 11:09 AM PDT

"JANGAN mudah berasa bangga, kita masih ada 90 minit permainan untuk diharungi," tegas Ong Kim Swee memberi peringatan kepada anak buahnya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan mengikat Lubnan, 0-0 pada aksi pertama pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012 di Beirut, kelmarin.

Menurut jurulatih skuad Olimpik negara itu, beliau menuntut pemain memberi tumpuan kepada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini yang bakal menjadi penentu hidup mati saingan Malaysia dalam merebut slot ke London.


"Kita masih ada satu lagi perlawanan menentang Lubnan di Kuala Lumpur dan semua pemain harus kekal fokus.

"Memang pasukan negara banyak mencipta peluang dan hampir menang tapi sekurang-kurangnya misi kita tercapai kerana tidak dibolosi," katanya.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, Malaysia hampir mencipta kejutan namun peluang milik penyerang Izzaq Faris Ramlan dan Wan Zack Haikal Wan Nor terlepas begitu saja.


Malah penyerang gantian, Syahrul Azwari Ibrahim turut berpeluang mencipta nama di penghujung perlawanan tapi gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Lubnan, Mohamad Dakramanji.

Bagaimanapun Kim Swee tetap memuji pasukannya yang diketuai Khairul Fahmi Che Mat atas kesungguhan mengekang serangan Lubnan.


"Kami menyukarkan Lubnan bermain, pemain tengah berjaya menghalang mereka menyusun permainan. Strategi kita menjadi dan saya harap aksi lebih baik dipamerkan apabila bermain di depan penyokong sendiri," katanya yang akan tiba di tanah air bersama skuad Olimpik awal pagi ini.

Skuad Olimpik negara sebelum ini layak ke pusingan kedua selepas mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 Mac lalu.


Jika mampu menewaskan Lubnan pada pusingan kedua, mereka akan layak ke peringkat kumpulan bagi merebut slot ke Sukan Olimpik London 2012.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Irwan nekad undur

Posted: 20 Jun 2011 11:04 AM PDT

SEMUANYA bagaikan serba tidak kena buat gimnas negara, Mohd Irwan Miskob, apabila laluannya untuk melayakkan diri ke Sukan Sea, Palembang Disember ini bagaikan dihalang.

Justeru, gimnas berusia 28 tahun itu, tekad mengundur diri sementara sehingga seorang daripada 'orang atasan' Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) bersara.


"Siapa yang makan cili, dialah yang rasa pedas. Bagi saya, pihak persekutuan dikendalikan orang yang tidak pakar dalam gimnastik. Mereka tidak mengemukakan alasan yang wajar mengapa saya tidak boleh terus berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) sedangkan saya sudah melepasi saingan kelayakan dan menulis surat rayuan kepada MSN. Usaha saya sejak setahun lalu bagaikan ada yang menghalang," katanya kesal.

Februari lalu, Irwan tampil melaporkan kepada Arena Metro dirinya bingung sama ada mahu meneruskan latihan atau sebaliknya apabila status permohonannya untuk terus berada di bawah program MSN masih kabur sejak setahun lalu.


Susulan itu, Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah menjawab, permohonan gimnas yang pernah meraih dua pingat emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 itu tidak mendapat sokongan ahli jawatankuasa yang membabitkan pihak persekutuan dan MSN kerana usianya sudah lanjut.


Namun, sejak dari itu, Irwan masih berusaha untuk tersenarai dalam program MSN tapi masih gagal.

Kini, Irwan yang awalnya meletakkan sasaran mengulang kejayaan meraih pingat emas di Sukan Sea, Disember ini sah mengundur diri buat sementara.


"Saya tidak menyalahkan MSN dalam isu ini, semuanya berpunca dari MGF kerana mereka tidak menyokong usaha gimnas sendiri," katanya.

Susulan itu, Irwan nekad meneruskan pengajiannya di Universiti Terbuka Malaysia dalam Ijazah Pendidikan sejak bulan lalu.


"Bagi saya, tiada gunanya untuk terus berlatih apabila tidak mendapat sokongan, malah jika cedera perlu mengeluarkan duit sendiri sedangkan saya ingin menabur bakti kepada negara. Langkah meneruskan pengajian lebih baik dari terus dihimpit tanda tanya.


"Malah, jika saya teruskan latihan di gimnasium pun turut mengundang bahaya kerana ia masih tidak lengkap. Jika ada perkara buruk terjadi, pastinya semua pihak akan menuding jari kepada saya umpama 'mencari padah sendiri'," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Terkilan lagu jarang diputar

Posted: 20 Jun 2011 09:12 AM PDT

EPISOD duka yang sebelum ini membelit empunya senyuman manis ini, Samihah Omar atau Misha, 29, sudah lama ditinggalkan. Meskipun masih pedih berbekas luka, semua itu ditelan walaupun maruah dan reputasi terpaksa diperdagangkan.

Masak dengan sepak terajang dunia seni yang ada kalanya hanya bijak menghukum daripada memberi ruang buatnya bernafas sendiri, Misha akur dengan segala apa yang tersurat. Jelasnya, hakikat dan realiti sudah tidak relevan lagi kerana kisah peribadinya sudah jauh dijaja.

Katanya, biarlah orang yang membawa fitnah itu terus bercerita. Lebih banyak dirinya membuat penjelasan, menafikan serta menjawab seribu satu persoalan, sebanyak itu juga kisah peribadinya terus dijaja.

"Saya hanya mampu pekakkan telinga, pejamkan mata dan memandang ke depan untuk fokus kepada kerjaya semata-mata. Jujurnya, cerita kononnya saya sudah berkahwin atau menyembunyikan suami itu sudah berlalu. Saya sudah tutup buku dan enggan lagi menoleh.


"Tumpuan saya kini untuk album baru, Dia...Misha yang dilancarkan April lepas serta perkembangan lakonan. Saya bersyukur kerana hingga kini ia masih kuat dipasarkan," katanya.


Bertemu dengan Misha dalam sesi fotografi bersamanya baru-baru ini, benar-benar membuka ruang buat penyanyi Bunga-Bunga Cinta dan Cinta Adam dan Hawa ini meluahkan rasa. Bersahaja dengan sikapnya yang rendah diri dan begitu mudah menyusun cerita, Misha jelas lebih bahagia dan gembira.

Bagaimanapun, Misha menyimpan rasa terkilan kerana promosi album barunya itu tidaklah sekuat mana. Bagi Misha, peminat yang memang menantikan karya barunya tidak pernah berfikir dua kali bagi membelinya. Malah, paling menggembirakannya, reaksi mereka juga positif.

"Namun perlu saya akui, kemelut sama yang selalu menghantui ramai penyanyi turut sama saya rasakan. Lagu daripada album itu masih gagal menembusi beberapa stesen radio. Mereka tidak mahu memutarkan dan memberi alasan yang saya fikir begitu longgar. Tapi itulah hakikat dan sebagai seorang penyanyi, apa lagi yang mampu kita lakukan.

"Bagaimanapun, saya tidak kesal walaupun meletak sepenuh komitmen dan fokus kepada pembikinan album itu kerana semua itu adalah tanggungjawab.

"Mungkin ia tidak dimainkan sekarang namun, jika punya peluang dan rezeki lagu itu diputarkan 10 tahun lagi, pendengar akan mengenal pasti identiti saya dalam merakamkan album. Kualitinya begitu kemas dan saya kagum dengan semua pihak yang terbabit dalam proses pembikinan Dia...Misha itu," katanya.

Sejak anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 6 Januari 1982 ini mencuri tumpuan selepas menjuarai Bintang RTM 2001, pencapaiannya seimbang, tidak terlalu tinggi diangkat atau meraih populariti, tidak juga jauh ke bawah hingga ada yang terlupa.

Tatkala teman seperjuangan lain dalam program nyanyian yang sama hilang entah ke mana, namanya terus kekal berdiri meskipun puluhan wajah baru tumbuh. Empayar seninya terus diperkasa apabila pemenang pelbagai anugerah dan pengiktirafan ini mula menjengah lapangan lakonan pula.

Dalam diam, anak seni yang selesa dengan tiga album penuh dan satu kompilasi ini sudah membintangi dua filem, puluhan drama dan telefilem serta berpeluang ke pentas teater. Ke mana arah yang ingin dituju Misha sebenarnya?

"Alhamdulillah, itulah yang dinamakan rezeki. Saya terima dengan tangan terbuka dan tidak henti melafazkan syukur dengan apa yang diberikan. Mungkin ramai yang tidak tahu, awalnya percubaan dalam lapangan lakonan bukan kerana minat atau ingin mencuba semua aspek seni sebaliknya ini semua bagai tongkat untuk saya terus berdiri.

"Saya seorang yang komited dan tidak boleh duduk diam. Justeru jika ada kelapangan dan tiada undangan persembahan, saya lebih gemar isikan waktu itu dengan aktiviti seni yang lain.

"Mungkin rezeki buat saya lebih banyak kepada lakonan sekarang, untuk apa saya pejamkan mata sedangkan itu juga satu minat yang ada pada saya.

"Minat saya memang dalam nyanyian. Ia sudah menjadi darah daging dan kekal menjadi keutamaan saya. Lakonan adalah sesuatu yang baru dan bertuah kerana diberi peluang menuntut ilmu di pentas teater sebelum ini. Pengarahan emosi dan pemahaman watak itu begitu penting dan kini menjadi semakin mudah untuk saya rasai.

"Namun sejak dulu hingga kini, saya memang mengimpikan untuk menjadi seorang seniman. Itu adalah kiblat yang ingin saya tempuhi. Menjadi terbaik dalam lapangan nyanyian dan kini cuba menjadi yang terbaik sebagai seorang pelakon teater serta drama pula.

"Seniman itu adalah pengiktirafan paling berharga buat anak seni terutama seseorang yang begitu inginkan sandaran itu seperti saya.

"Insya-Allah jika benar laluan ini adalah tersurat buat saya, dengan komitmen dan kesungguhan, ikhlas serta jujur dengan percaturan sendiri, saya akan terus berada di gelanggang ini," katanya tersenyum.

Menyentuh perkembangan terbaru, anak keempat daripada tujuh beradik ini bakal muncul dengan Mak Dara Nyonya di samping pelakon popular lain termasuk Tania Zainal, Sherry Abdullah, Sarimah Ibrahim dan Fara Fauzana. Teater sentuhan Siti Rohayah Atan ini akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 6 hingga 12 Julai.

Jelas Misha, Mak Dara Nyonya adalah sebuah naskhah menarik yang penuh warna pada jalan ceritanya. Mana tidaknya, teater ini menggabungkan dua kisah berbeza, perihal si Nyonya dan perjalanan harian Dara yang penuh drama namun disulam komedi sinis.

"Saya begitu kagum dan tidak sabar untuk kembali ke pentas teater kerana pengalaman menghempas-pulas tenaga menghidupkan perwatakan untuk sebuah naskhah pementasan adalah tersendiri.

"Kepuasannya berbeza dan saya sendiri begitu bersemangat untuk membelek skrip Mak Dara Nyonya pula. Alhamdulillah semua pihak membantu terutamanya produksi dan pengarah sendiri.

"Saya cukup berterima kasih kerana diberi kepercayaan sebesar ini. Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik nanti," katanya yang melakonkan watak Keponakan C.

PROFIL

NAMA PENUH: Samihah Omar
TARIKH LAHIR: 6 Januari 1982
UMUR: 29 tahun
TEMPAT LAHIR: Kota Bharu, Kelantan
KELUARGA: Anak keempat dari tujuh beradik
PENDIDIKAN: SPM
ALBUM: Misha (2002), Aksara (2004), Misha Omar (2008) dan Dia...Misha (2011)
FILEM: GK3 The Movie dan Main-main Cinta
DRAMA: Julia Juli
TEATER: Muzikal Gamat, Muzikal Uda dan Dara, Muzikal Tun Mahathir dan Mak Dara Nyonya
PENGACARA: Sehati Sejiwa
PENCAPAIAN: Penyanyi Baru Terbaik Anugerah Era 2003, Anugerah Gold Awards Shanghai (2003), Artis Baru Wanita Terbaik Anugerah Bintang Popular Berita Harian (2003), Vokal Wanita Terbaik Anugerah Era 2004, Juara Hitz 1 (Pulangkan), Juara Lagu 2003 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Bunga Bunga Cinta), Juara Lagu 2005 Kategori Lagu Balada dan Vokal Terbaik (Pulangkan), Tempat Kedua Lagu Terbaik pertandingan Hits 1 (Ku Seru), Anugerah Emas dan Platinum album Misha & Aksara dan pemenang Anugerah Industri Muzik ke-16 menerusi kategori Album Pop Terbaik dan Lagu Etnik Terbaik

Mekap: Chomel
Busana: House of Wanpa,
Lot 5.92, Level 5, Wisma
Central, Jalan Ampang,
50450 Kuala Lumpur
(019-6690717 & 012-2386148 atau wanpa84@gmail.com)
Lokasi: Malaysia Tourism Centre (MTC)

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Salam perdamaian

Posted: 20 Jun 2011 09:03 AM PDT

AWALNYA suasana di Majlis Kesyukuran dan Musyawarah antara Skop Production Sdn Bhd dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) bagi membincangkan isu berbangkit menerusi filem KL Gangster yang berlangsung di Restoran Haslam pada malam Jumaat lalu kelihatan seakan tegang.

Apatah lagi majlis yang dihadiri Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Datuk Roslan Dahaman itu turut disertai beberapa barisan tertinggi dan ahli-ahlinya. Manakala Skop Production diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Yusof Haslam dan pengarah KL Gangster, Syamsul Yusof yang juga anaknya.

Turut hadir, penerbit filem Metrowealth (MIG) Pictures, David Teo yang turut mencetus pertikaian dengan Pekida menerusi filem Kongsi arahan Farid Kamil dan penerbit Kuasatek Pictures Sdn Bhd, Mohd Noor Kadir serta barisan pelakon KL Gangster, Aaron Aziz, Adi Putra, Sheera Iskandar, Shoffi Jikan dan Adam Corrie.

Biarpun kedua-dua belah pihak mempertahankan kebenaran dan hak masing-masing mengenai isu penggunaan nama rujukan seperti ayahanda, abang long dan abang kawasan yang digunakan dalam filem blockbuster yang menemui penonton sejak 9 Jun lalu, pertikaian berkenaan berjaya diselesaikan menerusi sikap profesional dan matang.


Ibarat menarik rambut dalam tepung di mana rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak, mereka bersetuju menghulurkan salam tanda perdamaian.


Yusof menyatakan permohonan maafnya jika filem berkenaan menyinggung perasaan anggota Pekida.

"Saya hulur tangan. Kalau ada benda-benda tersinggung, kami susun 10 jari memohon maaf. Bagi saya, ular kalau menyusur akar takkan hilang bisanya.

"Saya tiada niat sebesar kuman untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak. Kalau tahu, saya sendiri akan halang perkataan ini digunakan. Kita ambil jalan tengah untuk menjernihkan keadaan," katanya di akhir ucapannya.

Terdahulu, Yusof berkata, selama 26 tahun menerbitkan filem, dia tidak menafikan apabila menayangkan sesebuah filem yang agak keras, pasti akan ada kontroversi yang berlaku.

"Saya buat Gerak Khas pun ada kontroversi yang berlaku. Kita pandang jauh, tapi tanpa sedar timbulkan isu negatif pada sesetengah pihak. Apa yang dikeluarkan dalam akhbar oleh Pekida tentang KL Gangster, saya tak melatah. Ada orang suruh saya bantai Pekida, tapi saya perlu bercakap secara profesional dan harus jaga sensitiviti.

"Sedangkan cakap dengan isteri pun kena beralas, inikan pula dengan orang lain. Saya rasa ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan berbalik kepada isu Pekida, saya anggap ia adalah salah faham.

"Saya sentiasa buat filem yang elakkan sensitiviti agama dan perkauman. Justeru, saya dengan rendah hati hulurkan tangan kepada Pekida. Demi Allah, saya tiada niat nak persendakan Pekida.

"Apa yang digambarkan adalah rekaan, tapi ada ahli yang kena tempias. Ia berlaku secara tak langsung dan tanpa disengajakan. Skop Productions tiada niat nak sindir mana-mana pihak," katanya.

Yusof juga mengakui sentiasa mengingatkan Syamsul bahawa di akhir filem arahannya perlu ada pengajaran kepada masyarakat.

Kata Yusof, selepas mendengar ucapan dan luahan Roslan, dia menghormati apa saja pandangan Pengerusi Pekida itu memandangkan kedudukannya sebagai individu yang jauh lebih berusia daripadanya.

"Syamsul sendiri janji takkan gunakan lagi perkataan begini dalam prekuel filem KL Gangster 2 selepas ini. Dia kata tak sedar benda-benda ini akan menyinggung perasaan orang. Bukan salah Pekida, bukan juga salah kami. Budak-budak Pekida juga ada berlakon, tetapi mereka tak terangkan perkara sebenar," katanya.

Ditemui selepas majlis berakhir, Yusof memberitahu lega apabila masalah berkenaan selesai dan tidak mahu memanjangkannya lagi.

"Mengalah bukan bererti kalah, tapi saya mohon maaf kerana mahu menjernihkan keadaan dan mementingkan perpaduan kita sesama umat Islam," katanya tenang.
Senada dengan bapanya, Syamsul turut menyatakan perasaan lega kerana polemik yang berlaku kebelakangan ini berakhir dengan baik.

"Alhamdulillah kedua-dua belah pihak sudah menghujahkan apa yang terbuku dalam hati masing-masing. Saya tak suka dengan cara ini di mana kedua-dua belah pihak saling berbalas kenyataan di media.

"Ini semua adalah salah faham. Sejak isu ini tercetus, dah terlintas dalam fikiran saya, sama ada salah atau tak, saya kena minta maaf kerana dah singgung perasaan ayahanda (Datuk Roslan). Saya beritahu papa hasrat ini, tapi dia beritahu supaya tunggu majlis ini.

"Selepas apa yang berlaku, saya sedar sensitiviti harus diutamakan kerana masyarakat Malaysia ada adab dan budaya sendiri," katanya yang kini sedang merangka skrip KL Gangster 2.

Dalam pada itu, KL Gangster terus mendapat sambutan penonton apabila kutipannya sehingga Ahad mencecah RM10.3 juta walaupun pihak panggung meramalkan mampu mencatat RM11 juta berdasarkan purata kutipan harian RM1.5 juta.

Bagaimanapun kutipan untuk Ahad sekitar RM600,000 dan filem kelima Syamsul selepas Evolusi KL Drift, Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift 2 dan Khurafat ini dijangka mampu mengumpul lebih RM11 juta.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tersepit celah penyaman udara

Posted: 20 Jun 2011 09:32 AM PDT

BEIJING: Seorang budak terselamat daripada maut apabila tersangkut di celah dinding bangunan dan peti penyaman udara selepas dia dipercayai tergelincir dari tingkat lapan sebuah bangunan, semalam.

Budak lelaki terbabit dilaporkan ditinggalkan bersendirian oleh ibu bapanya dan bermain di kawasan balkoni di rumahnya.


Menurut saksi, mereka terkejut apabila terdengar suara budak menjerit meminta tolong.

Melihat ada seorang budak yang tersepit di antara peti penyaman udara bangunan berkenaan, penduduk apartmen di situ segera menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.


Menurut saksi, sementara menunggu polis tiba, mereka melihat budak terbabit semakin terancam apabila bergerak ke bawah sedikit demi sedikit.


"Akhirnya orang ramai bertindak nekad dengan cuba menyelamatkan budak terbabit sebelum polis tiba," katanya.

Untuk mengelak budak terbabit terjatuh, dua pekerja kedai runcit - hanya dikenali sebagai Wang dan Zhour - memanjat keluar melalui tingkap di tingkat tujuh dan sempat memegang tangan mangsa.


Saksi berkata, dia cemas melihat kaki budak itu terkapai-kapai di antara dinding bangunan dan peti penyaman udara itu sebelum dia diselamatkan.

"Mujur seorang daripada mereka sempat menangkap tangannya sebelum terjatuh," katanya.


Setakat ini belum diketahui bagaimana budak terbabit terjatuh dari kediamannya. - TS

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Baju Marilyn dilelong RM14 juta

Posted: 20 Jun 2011 09:29 AM PDT

LOS ANGELES: Sepasang pakaian putih terkenal milik Marilyn Monroe pada 1950-an dilelong pada harga RM14 juta, jauh lebih tinggi daripada jangkaan, semalam. Pakaian itu digunakan Marilyn ketika membintangi filem The Seven Year Itch pada 1955.

Pada peringkat awal, baju itu dijangka dijual pada harga di antara RM3 juta hingga RM6 juta.


Bagaimanapun, ketika sesi lelongan dibuat, pakaian "subway" - kini berwarna krim akibat faktor masa - dibida sehingga RM14 juta (atau RM16.8 juta termasuk bayaran tambahan).

Lelongan itu adalah sebahagian daripada barangan milik aktres Debbie Reynolds yang ditawarkan kepada pembida.


Turut dilelong, beberapa pakaian lain Marilyn.


Jurucakap firma lelongan Profiles in History berkata, nilai kutipan keseluruhan lelongan itu dianggarkan lebih RM69.4 juta.

Ditandatangani pereka fesyen Amerika Syarikat, William Travilla, pakaian itu menyumbang kepada identiti Marilyn sebagai simbol seks abad ke-20. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Isnin, 20 Jun 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Pengorbanan tanpa batasan

Posted: 20 Jun 2011 12:20 PM PDT

[unable to retrieve full-text content]MEREKA wanita hebat juga ibu cemerlang. Mempunyai kisah dan cerita menarik untuk diselami yang tentunya memberi inspirasi kepada sesiapa saja.

Keajaiban gerhana bulan

Posted: 20 Jun 2011 12:01 PM PDT

[unable to retrieve full-text content]BUKAN semua teruja mahu menyaksikan gerhana bulan atau matahari. Mungkin kerana astronomi sering dikaitkan dengan sains dan tidak ramai yang meminati sains. Sebenarnya ilmu astronomi memberikan kita lebih kefahaman mengenai alam cakerawala selain mendekatkan kita kepada pencipta alam semesta, Allah s.w.t.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Bapa, anak bersekedudukan hingga lahir tiga zuriat

Posted: 19 Jun 2011 10:16 AM PDT

KOTA BHARU: "Dalam rayuan, tertuduh pertama (ayah) nak bertaubat, tetapi taubat kerana ditangkap, dikira 'taubat terpaksa' dan mahkamah tidak dapat terima taubat itu. Jika kamu nak bertaubat, taubat betul-betul (taubat nasuha).

"Bagi tertuduh kedua (anak), sebagai pelajar, kamu perlu menjaga diri dan jika ada situasi mencurigakan, kamu boleh keluar rumah atau memberitahu ibu kamu, tetapi kamu gagal dalam situasi itu," kata Hakim Syarie Abu Bakar Abdullah Kutty di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.


Abu Bakar berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara dan denda terhadap ayah dan anak selepas mengaku salah berkelakuan sumbang dan bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak masing-masing berusia enam, lima dan tiga tahun bermula dari 2004 sehingga ditahan kira-kira jam 1.30 pagi, semalam.

Dalam penghakimannya, Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara setahun dan enam bulan serta denda RM2,500, terhadap tertuduh pertama berusia 45 tahun, yang juga seorang mekanik dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.


Bagaimanapun, tertuduh kedua, berusia 25 tahun yang juga anak tertuduh pertama bernasib baik kerana dikenakan hukuman denda RM2,000 dan berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda. Kedua-dua tertuduh juga dilarang tinggal serumah untuk selama-lamanya.


Hukuman berkenaan tidak diduga anak dan ayah itu kerana kedua-duanya tinggal bersama (bersekedudukan) sejak 2004 sehingga ditahan pada pagi semalam oleh anggota penguat kuasa agama Tumpat dalam operasi di rumah mereka di Jalan Palekbang, Wakaf Bharu, Tumpat.

Dengan tangan bergari, anak-beranak terbabit ditahan di lokap sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah dekat sini, kira-kira jam 3 petang, semalam, untuk berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan.


Sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah, kedua-dua tertuduh mengaku salah bersekedudukan hingga melahirkan tiga anak serta mengaku salah di atas sebab dan akibat daripada pengakuan salah berkenaan.

Pengakuan kedua-dua tertuduh, menyebabkan Abu Bakar yang mendengar kes berkenaan memberi peluang kepada anak beranak terbabit mengemukakan rayuan sebelum hukuman mengikut Seksyen 10 Kanun Jenayah Syariah Nombor 2/85 Negeri Kelantan diputuskan mahkamah.


"Saya minta hukuman denda dikurangkan kerana masih mempunyai tanggungjawab terhadap anak-anak, selain mahu memberi didikan sempurna kepada mereka. Kalau boleh tidak terjadi macam saya kerana saya bertaubat dan tidak akan melakukan zina dan dosa besar.


"Saya sudah berkahwin dengan dua isteri dan bercerai dengan mempunyai lima anak termasuk tertuduh kedua yang juga anak kedua dari isteri pertama. Saya sudah bercerai dengan isteri sejak tujuh tahun lalu," kata si bapa ketika mengemukakan rayuan.


Timbalan Pendakwa Syarie negeri, Zaini Sulaiman dalam hujahan pemberatan hukuman sempat menyifatkan perbuatan dilakukan mereka keji kerana ketika anak-anak menyambut hari bapa, tiga anak pasangan berkenaan tidak kenal ayah mereka.


Zaini yang mencadangkan pasangan berkenaan dipisahkan dan tidak tinggal bersama turut memohon supaya mahkamah tidak memberi belas kasihan kepada pasangan berkenaan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

5,000 meriahkan ulang tahun MBPJ

Posted: 19 Jun 2011 10:11 AM PDT

PETALING JAYA: Sambutan ulang tahun kelima Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meriah selepas program hari terbuka yang diadakan selama dua hari di Stadium Kelana Jaya, di sini, berakhir semalam dibanjiri kira-kira 5,000 penduduk.

Sebanyak 15 aktiviti diadakan bagi penduduk pelbagai peringkat umur antaranya pertandingan bola jaring, futsal dan mewarna selain konvoi kereta mini klasik.


Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata selain menyatupadukan penduduk di kawasan pentadbirannya, sambutan itu juga sebagai tanda penghargaan mereka.

Katanya, pihaknya sentiasa memberi keutamaan kepada penduduk dalam menunaikan tanggungjawab sosial menerusi penyediaan bas komuniti percuma, van orang kelainan upaya (OKU) dan klinik MBPJ.


Menurutnya, selari dengan pembangunan bandar raya berkenaan, pihaknya menyasarkan pertumbuhan ekonomi Kerajaan Selangor sebanyak RM10 juta menjelang hujung tahun ini bersempena pembaharuan semula bandar itu.


"Cadangan pembangunan yang bakal dijalankan dalam masa terdekat ini membabitkan Seksyen 52, Seksyen 51, Seksyen 51A, Seksyen 13 dan Seksyen 8 di bawah pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Selangor," katanya ketika merasmikan Pertandingan Perbarisan Lintas Hormat dan Kawad Formasi Piala Datuk MBPJ.

Sementara itu, beliau turut merasmikan perkhidmatan terbaru pihaknya, 'Mr EZ Pay' iaitu perkhidmatan kaunter pembayaran mudah bergerak yang bakal memulakan operasi awal Julai ini.


"Perkhidmatan ini akan bergerak pada jam 9 pagi hingga 5 petang di kawasan tumpuan ramai setiap hari sekitar Petaling Jaya bagi memudahkan urusan pembayaran dan pembaharuan lesen dan 100 peratus pembayaran cukai akan dicapai tahun ini berbanding 85 peratus tahun lalu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pantang Fasha di lokasi

Posted: 19 Jun 2011 08:07 AM PDT

LETAK ke tepi sebentar segala spekulasi dan kontroversi yang pernah membelit Nur Fasha Sandha Hassan atau Fasha Sandha, 27, jika semua itu dijadikan ukuran, tiada keadilannya kerana kata-kata nakal seperti yang pernah menghimpitnya bagai tiada noktah.

Tinjau pula aspek kerjaya dan gerak lakonnya yang kian mantap dan hebat. Nama Fasha Sandha tidak perlu disangkal lagi popularitinya. Tidak hanya bersandar pada publisiti dan kegemilangan yang sudah selesa di genggaman, Fasha seorang pelakon yang hebat dan berjaya membina empayar seninya sendiri.

Mungkin ramai yang tidak tahu, aktres berbakat besar kelahiran Johor Bahru ini seorang yang mementingkan disiplin dan bangun pagi (morning person), sejak dulu.

Pengalaman sebagai pengawas ketika di sekolah dan pendedahan sepanjang membina kerjaya sebagai peragawati sebelum ini membuatkannya seorang yang begitu berdisiplin dan mudah bangun waktu pagi.


Bertemu dengan Fasha ketika majlis pelancaran drama terbaru lakonannya, Dewa Cinta baru-baru ini, kisah peribadi dan segala gosip bukan lagi menjadi topik perbualan sebaliknya ingin sekali dibongkar rahsia dirinya hingga berjaya mendaki ke tahap hari ini.


Meskipun pernah disisihkan media sebelum ini dan hampir mati lemas dipijak kontroversi, nama Fasha Sandha masih berdiri teguh. Bagi Fasha, segala yang berlaku sebagai ketentuan dan suratan yang mustahil diubah. Katanya, sikap jujur dan ikhlas juga adalah petua terbaik agar setiap langkah yang disusun tidak mudah tergelincir.

"Apa yang saya kecapi bukanlah usaha sehari atau komitmen yang baru bermula semalam sebaliknya sejak dulu, disiplin dan komitmen dalam kerja sudah dijadikan amalan. Mungkin kerana saya melihat percaturan seni sebagai satu perjuangan, lantas saya tidak mengambil mudah dalam apa saja aspek membabitkan kerja.

"Saya juga seorang yang cukup menepati masa dan menghormati waktu. Semua pelakon atau pihak produksi yang pernah bekerja dengan saya sudah tahu perihal itu dan oleh sebab itu juga, saya begitu mengharapkan pihak lain juga menghormati masa saya juga.

"Jika ditanya mengapa, saya memang tiada jawapan yang konkrit kerana apa yang diamalkan itu adalah satu tanggungjawab dan komitmen sebagai seorang pelakon.

"Saya ikhlas berada di gelanggang seni dan tujuan utama untuk mencari rezeki. Justeru, saya melihat disiplin itu sebagai satu resipi terbaik yang menjadi rahsia buat saya selain persediaan sebelum membawa watak diberikan," katanya.

Bintang filem Cicakman dan Anak Halal ini juga mempunyai pantangnya ketika di set penggambaran iaitu begitu menghormati skrip miliknya. Jika ada orang yang melangkah atau pelakon lain tidak membawa skrip mereka hingga terpaksa meminjam 'nyawanya' itu, ia memang jelas mengundang marah kepadanya.

Mungkin sebab itu juga, biar dipalit seribu satu kisah panas, hakikatnya, Fasha tetap menjadi pilihan produser dan pengarah untuk menjayakan drama atau filem mereka. Wajahnya tetap menjadi taruhan untuk menarik minat penonton hingga berderet-deret drama lakonannya menanti tayangan.

Siri Chinta membuka mata penonton mengenai bakat lakonannya begitu juga Samson Delaila dan Dia Atilia. Baru saja selesai penggambaran 5 Tahun 5 Minit, Fasha terus berkejar ke set drama Dewa Cinta pula. Selepas ini, Fasha bakal melangkah ke set drama siri terbitan Suhan Movies pula.

Menyifatkan semua itu sebagai rezeki dan hadiah atas kesungguhannya, pemilik pusat kecantikan Chinta Saloon ini mengakui terpaksa menolak dua tawaran filem semata-mata tidak mahu hilang fokus dengan mengambil dua kerja dalam satu masa.

"Bohong kalau saya katakan tidak terkilan kerana terpaksa menolak dua tawaran filem. Lebih-lebih lagi saya sudah lama tidak beraksi di layar perak. Namun saya tidak mahu mengaut semua tawaran hingga nanti terkejar-kejar pula.

"Lagipun, jujurnya sebagai seorang pelakon, saya tidak boleh mendalami sesebuah watak itu jika tiada fokus. Oleh kerana itu, saya hanya mengambil watak yang sudah saya persetujui terlebih dulu.

"Alhamdulillah, pihak produksi tidak henti meletak kepercayaan kepada saya dan selesa dengan apa yang saya berikan. Memang tidak dinafikan saya banyak membintangi drama televisyen akhir-akhir ini kerana setiap tawaran yang datang itu lengkap memberikan watak yang kuat serta plot cerita yang berbeza hingga mampu menonjolkan bakat lakonan saya.

"Malah saya merasakan mungkin ini juga alternatif terbaik untuk mendekati peminat baik di kawasan bandar mahupun jauh di pedalaman apabila saya banyak tampil untuk drama televisyen," katanya yang merancang kembali membintangi filem tahun depan.

Dewa Cinta bakal disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam mulai hari ini. Kali ini, Fasha digandingkan dengan Iqram Dinzly dan turut dijayakan Aida Khalida, Nabila Huda, Bkay Nair serta penampilan sulung, Black.

Drama siri 26 episod yang diarahkan Haris Fadzillah ini mengangkat Fasha selaku teraju utama membawakan watak Dewi Junita Anastasia atau June, penyanyi kelab malam yang menyimpan misteri kisah silamnya hingga mengheret jiwanya memberontak ingin kebebasan daripada perasaan trauma lampau itu.

Fasha yang pertama kali dipertemukan bersama Iqram, menyifatkan plot ceritanya begitu kuat dan pembangunan watak yang begitu berbeza menyuntik rasa ingin mencuba buatnya.

"Selain watak dan jalan ceritanya yang berbeza dan menarik, Dewa Cinta pertama kali menampilkan watak saya sebagai penyanyi dan ini memaksa saya belajar bermain alat muzik. Maklumlah, kononnya saya penyanyi yang penuh karektor dan misteri. Namun saya bersyukur kerana ada Black yang sudi mengajar bermain gitar bagi menghidupkan watak June.

"Kelakarnya, ini juga pertama kali peminat dapat menyaksikan saya menyanyi sendiri menerusi dua lagu, Endless Love dan Dewa Cinta. Memang ia satu pengalaman yang indah dan begitu hebat sekali," katanya.

Dewa Cinta menemukan dua jiwa berlainan latar belakang, Iqbal lakonan Iqram, seorang anak muda yang lahir daripada keluarga berada namun cuba melarikan diri selepas memberontak dengan perasaan sendiri akibat ayahnya yang terlalu garang.

Iqbal meninggalkan kemewahan dan menyembunyikan perasaannya sebelum bertemu June, wanita yang lebih berusia daripadanya namun punya sikap dan personaliti menarik.

June masih setia menanti kekasihnya di luar negara untuk bermain muzik namun hingga ke saat ini belum pulang kepadanya. Akhirnya, atas dasar ikhlas dan keserasian yang lama-kelamaan muncul, June dan Iqbal mula terperangkap dengan kemelut cinta.

PROFIL

Nama Penuh: Nur Fasha Sandha Hassan
Tarikh Lahir: 28 Mac 1984
Tempat Lahir: Johor Bahru, Johor
Keluarga: Anak kedua daripada empat beradik
Drama: Kasih... Relaku pujuk, Songket Cinta Bertenun Duka, Natasha, Natasha 2, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Duniaku, Mentari Jingga, Usia, Seiras, Sutera Maya, Spa Qistina, Duyung Aridinata, Chinta, Samson Delaila, Dia Atilia, 5 Tahun 5 Minit dan Dewa Cinta.
Filem: Skrip 7707, Cicakman 2: Planet Hitam, Cinta U-Turn, Evolusi KL Drift, Anak Halal, Nana Tanjung 2, 9 September, Cicakman, Cinta, Nana Tanjung, Gong, Bujang Senang, Anak Mami Kembali, SH3 The Movie, Berlari Ke Langit, Bintang Hati dan Black Maria.
Iklan: Darlie, Sunsilk, Maybelline, Garnier, Maxis, Petronas, Nokia, Darlie,Pantene,Total Image, Walls Ice Cream dan Fair & Lovely
Pencapaian: Pelakon Wanita TV dan Filem Popular sebanyak empat kali di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Belasungkawa Zami Ismail (1944 - 2011): Bawa nama Pak Uda ke akhir hayat

Posted: 19 Jun 2011 07:53 AM PDT

SUASANA tenang ketika kebanyakan warga seni berehat pada hujung minggu dikejutkan dengan berita pelakon dan pelawak terkenal, Zami Ismail menghadap Ilahi.

Pelakon popular dengan watak Pak Uda menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kira-kira jam 10.30 pagi semalam akibat kompilasi jantung dan paru-paru. Arwah berusia 67 tahun dibawa ke tempat kelahirannya di Tapah, Perak untuk pengebumian selepas solat Asar.

Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak dua minggu lalu dan tenat malam sabtu apabila terpaksa bergantung dengan bantuan mesin pernafasan.

Sepanjang aktif berlakon, arwah pernah berulang kali mengalami sesak nafas sejak membintangi Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dia dimasukkan ke hospital pada 1997 dan 2007 sehingga koma hampir tiga hari. Bulan lalu, arwah


dimasukkan ke Hospital Ampang kerana penyakit asma yang teruk, tetapi dibenarkan pulang selepas kesihatan bertambah baik.


Aktif sebagai anak seni sejak era 1960-an, anak seni kelahiran Tapah, Perak ini pernah membintangi pelbagai drama termasuk 18 filem. Penampilan akhirnya di layar perak menerusi Hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid pada tahun lalu.

Satu lagi filem baru bersama Mamat iaitu Husin, Mon Dan Jin Pakai Toncit menjalani penggambaran pada Februari lalu serta filem, Shh... Dia Datang arahan Saiful Apek belum ditayangkan.

Arwah meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim, 58, dan sembilan anak, Mohd Hitler, 39, Ahmad Yamashita, 38, Opie Zami, 37, Ismail Fahmi, 36, Khairul Affendi, 30, Aida Nurul Asyikin, 29, Aida Nurul Wahyu, 27, Mohd Firdaus, 24, dan Zahid Albukhman, 21.

Pengarah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Prof Dr Hatta Azad Khan berkata, pemergian arwah satu kehilangan besar pada bidang hiburan tempatan. Dia yang berkenalan dengan arwah sejak aktif menerusi drama pentas di Ipoh, Perak pada penghujung 60-an, cukup mengagumi dan menghormati bakat lakon dalam diri rakannya itu.

"Dia seorang pelakon yang sangat berbakat. Malah, bakatnya dihargai apabila menang Festival Teater Kebangsaan. Saya melihat bakat lakonnya semula jadi sejak zaman muda.

"Ketika dia berlakon bersama saya menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia bersama kumpulan pelakon yang sama-sama berbakat. Sumbangannya terhadap sitkom itu cukup mengagumkan hingga nama watak Pak Uda dikenali ramai sehingga akhir hayatnya.

"Secara peribadi mengikut pengalaman saya bersamanya, dia seorang pelakon yang mudah bekerjasama, sentiasa ceria dan apabila saya bagi skrip kepadanya dia nampak mudah untuk berlakon.

"Saya percaya karakter itu sudah ada dalam dirinya yang membuatkan lakonannya hidup dan menjadi. Begitu juga dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia serasi dengan rakan pelakon yang lain," katanya.

Kali terakhir Hatta bertemu dengan arwah ketika tayangan semula, Mat Som sempena program Merakyatkan Filem di Coliseum, Kuala Lumpur, tahun lalu.

Katanya, ketika berlakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia ada menunjukkan masalah kesihatan akibat sesak nafas, tetapi keadaan itu tidak kerap berlaku.

"Apa yang saya lihat, semangat dia kuat untuk terus bekerja. Memang itu sikapnya sejak dulu dan tidak putus asa terhadap masalah kesihatan dihadapi," katanya.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez pula berkata, kehilangan arwah membawa berita mengejutkan semua warga seni khususnya mereka yang pernah bekerjasama.

"Sepatutnya, arwah terbabit dalam satu acara persembahan makan malam, Pesta Lawak anjuran Karyawan di Restoran Seri Melayu pada 26 Jun ini.

"Pada mulanya, acara ini dirancang persembahan pada 5 Jun lalu, tetapi ditangguh untuk memberi masa kepada arwah berehat sebelum latihan bermula pada minggu depan.

"Sebelum ini, dia nampak begitu bersemangat dan teruja mahu menjayakan acara ini. Tiga minggu lepas, saya bersama beberapa rakan artis melawatnya di rumah selepas dia keluar hospital, bulan lalu.

"Ketika melawatnya, saya meminta dia banyak berehat dan tidak bimbang kerana acara Pesta Lawak tetap diteruskan apatah lagi dia membawakan watak utama," katanya yang mendapat berita kematian Zami menerusi Imuda yang berada di Pulau Pinang.

Freddie berkesempatan menziarah arwah buat kali terakhir di IJN berkata, acara Pesta Lawak akan tetap dijalankan sebagai penghormatan mengenang jasanya. Karyawan mengharapkan penjualan meja untuk acara ini mendapat sokongan rakan artis agar hadir beramai-ramai.

"Sebahagian kutipan jualan meja itu nanti akan disumbangkan pada balu arwah. Sepanjang mengenali arwah, dia seorang yang ceria dan aksi jenakanya sering menghiburkan. Bagi saya, dia seorang pelawak disanjung ramai," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved