Khamis, 14 Julai 2011

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Mahu kembali kepada keluarga

Posted: 13 Jul 2011 06:21 AM PDT

KETIKA industri seni masih memperkatakan kontroversi mengenai dirinya, bintang muda yang menyerlah melalui watak bertudung, Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, mengambil keputusan untuk bersara buat seketika.

Gadis berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ini berehat bukan kerana mahu berkahwin malah bukan juga kerana ada kaitan dengan kontroversi yang tercetus ketika penggambaran Stanza Cinta sehingga mencalarkan imejnya.

Katanya, rancangan berehat seketika daripada dunia lakonan diambil kerana Stanza Cinta banyak menggunakan tenaga dan bermain dengan emosi.

"Lagipun, sudah lama saya tidak luangkan masa berkualiti bersama keluarga dan kawan-kawan. Jadi sepanjang bercuti, saya ingin mendapatkan semula kehidupan saya sebelum ini.


"Dalam Stanza Cinta, saya memegang watak Amni Sorfina, seorang gadis baik dan beriman. Watak ini mungkin mudah bagi pelakon berpengalaman tetapi bagi pendatang baru seperti saya, ia cukup mencabar.


"Saya perlu menghayati watak dengan mendalam kerana watak Amni sangat berlainan dengan karakter peribadi saya. Kadangkala dalam sehari, ada saja babak air mata perlu dijayakan sedangkan saya seorang yang susah untuk menangis.

"Amni juga meninggalkan kesan mendalam kepada diri saya daripada seorang yang banyak bercakap dan lasak (tomboi), kini perlakuan lebih feminin sampaikan ibu saya sendiri sedar akan perubahan yang berlaku kepada saya," katanya yang mempunyai niat untuk bertudung suatu hari nanti apabila hati sudah sedia untuk berubah.

Mengimbas kontroversi yang melandanya di lokasi Stanza Cinta, Fathia dikatakan membaling telefon bimbitnya ke arah pengarah, Along Kamaruddin ekoran tidak mampu mengendalikan tekanan dihadapi untuk wataknya itu.

Fathia berharap, perkara itu tidak diungkit lagi kerana perbuatan itu tidak disengajakan dan sudah dijelaskan sebelum ini. Malah kata Fathia, dia sendiri sudah meminta maaf kepada Along sebaik kejadian itu berlaku.

"Cerita yang sampai ke pengetahuan media adalah cerita yang sudah ditokok tambah pihak tertentu. Yang penting, saya tahu apa yang berlaku.

"Apapun, saya kena hadapi kontroversi ini dengan tenang selain belajar mempersiapkan diri untuk menghadapi lebih banyak dugaan yang bakal mendatang. Dalam dunia ini bukan semua orang sukakan kita. Bukan semua orang suka tengok kita senyum," katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini mengakui, ibu bapanya sedih mendengar perkhabaran itu namun tidak menghalangnya meneruskan minat berlakon walaupun mereka sebenarnya tidak begitu menggalakkan Fathia terbabit dalam bidang seni.

Fathia sendiri menyakinkan keluarganya yang dia mampu membahagikan waktu antara pelajaran dan kerjaya dengan baik.

Bakal muncul dengan dua filem iaitu Hijab serta Nasi Lemak 2.0 juga sebuah filem untuk pasaran antarabangsa, Fathia berkata, sebaik tamat pengajian dalam jurusan undang-undang dua tahun lagi, dia mahu memberi tumpuan pada kerjaya guaman.

"Lakonan hanyalah sebagai satu minat manakala bidang perundangan adalah sesuatu yang saya cita-citakan sejak dulu. Tetapi jika mempunyai peluang merencanakan kedua-duanya, saya pasti akan melakukannya," katanya.

Mengenai kekasih, Fathia mengakui dirinya masih mencari teman yang setia dan berpelajaran. Katanya, dia lebih tertarik jika lelaki itu berpelajaran dan bukan daripada orang berada.

"Pada saya, lelaki berpelajaran lebih menjamin masa depan. Jika dia beriman dan boleh membimbing saya, itu lagi baik. Saya sukakan lelaki yang ringkas dan bersederhana," katanya.

Bertudung hanya untuk lakonan

PESONA dan kecantikan semula jadi milik Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, cukup kuat hingga mengundang buah mulut orang. Peluang bertentang empat mata dengan gadis yang mempunyai ketinggian mencecah 171 sentimeter, auranya tidak dapat disangkal.

Dia memang cantik dan asli tetapi ketika diminta komennya mengenai hal ini, reaksi Fathia kurang selesa digelar artis wanita cantik Malaysia. Katanya, setiap orang ada keistimewaan dalam diri masing-masing.

"Dalam soal pekerjaan, saya mahu memperoleh tawaran kerana pengarah meyakini bakat saya bukan kerana rupa paras. Begitu juga saya harapkan daripada penonton, menerima saya kerana kemampuan lakonan saya. Terus-terang, saya seorang yang terbuka menerima kritikan asalkan ia teguran membina," katanya.

Seketika pertemuan, banyak perkara yang dibualkan. Antaranya kebimbangan Fathia sekiranya penonton mahupun peminat prejudis terhadap dirinya yang realitinya tidak bertudung.

Sejak terjun ke bidang lakonan, belum pernah satu pun watak dibawakan paparkan rambutnya sebagaimana imej sebenarnya di luar. Justeru, ramai yang beranggapan Fathia bertudung.

"Saya mula masuk industri hiburan ini pun dengan membintangi iklan Sunsilk khusus untuk wanita bertudung. Drama pertama lakonan saya, Nur Kasih arahan Kabir Bhatia juga menuntut saya bertudung.

"Saya percaya peminat boleh menerima diri saya di luar yang tidak bertudung. Kalau terserempak dengan saya di khalayak umum, harap-harap mereka tak terkejut," katanya.

Akui pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, meski selesa melakonkan watak gadis bertudung, dia juga mempunyai keinginan mempelbagaikan lakonan.

Jelas Fathia, dia enggan digelar pelakon 'streotype' dan sedia mencabar kemampuannya dengan menerima watak di luar normal. Watak impian Fathia adalah menjadi hantu atau perempuan yang dirasuk.

"Selain drama, saya mahu mengintai peluang berlakon dalam filem, itupun kalau ada rezeki. Selain berlakon, saya juga minat menyanyi tetapi belum ada ruang tunjukkan bakat. Mungkin ada kesempatan untuk masa akan datang, Insya-Allah," katanya.

PROFIL:

NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff
LAHIR: 1 September 1987
ZODIAK: Virgo
ASAL: Ayer Hitam, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
CITA-CITA: Peguam/Seniwati yang dihormati
DRAMA: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
FILEM: Al Hijab
IKLAN:Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua dan Panasonic

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Raih kutipan RM500,000

Posted: 13 Jul 2011 06:05 AM PDT

SELEPAS enam hari menjengah 51 pawagam tempatan, filem Tolong! Awek Aku Pontianak (TAAP) arahan James Lee terbitan Astro Shaw (ASHW) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd (TUSB) mencatat kutipan RM500,000.

Filem genre komedi seram yang mempertaruhkan gandingan julung kalinya Zahiril Adzim dan Sazzy Falak sebagai teraju utama ini mula ditayangkan di pawagam bermula 7 Julai lalu.

Pengurus Besar ASHW dan Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, pihaknya berharap jumlah kutipan filem TAAP akan meningkat pada hujung minggu ini.

"Mana-mana produser pun menyasarkan filem terbitan mereka mendapat kutipan box office. Saya juga mengharapkan filem TAAP ini akan mencecah kutipan seperti disasarkan itu selepas dua minggu ditayangkan di pawagam tempatan nanti," katanya.


Ditanya kenapa kutipan minggu pertama itu tidak seperti diharapkan, kata Gayatri, pihaknya dimaklumkan semua produser filem juga berdepan jumlah kutipan yang jatuh sebanyak 60 peratus membabitkan semua pawagam di sekitar Kuala Lumpur pada minggu lalu.


"Selain kutipan yang jatuh, TAAP juga terpaksa bersaing dengan filem blokbuster Hollywood iaitu Transformers. Saya juga berharap peminat yang masih belum menonton filem ini supaya tidak melepaskan peluang menontonnya di pawagam berhampiran dan menilai sendiri hasil kerja James Lee," katanya.

Dua filem yang ditayangkan sebelum RAAP, 3,2,1 Cinta (16 Jun), Rasuk (23 Jun) dan Sekali Lagi (30 Jun) kurang memberangsangkan berbeza dengan KL Gangster yang ditayangkan 9 Jun mencatat kutipan tertinggi filem Melayu dengan RM12 juta.

Filem romantik 3,2,1 Cinta arahan Azhari Zain mencatat RM1.25 juta selepas dua minggu manakala Sekali Lagi RM1.6 juta untuk tempoh seminggu tayangan. Mulai hari ini, satu lagi filem seram terbitan Metrowealth Pictures (MIG), Flat 3A lakonan Intan Ladyana ditayangkan.

Kata Gayatri, pihaknya tetap mendapat maklum balas yang cukup memberansangkan dari peminat filem menerusi laman sosial facebook dan Twitter.

"Rata-rata peminat yang sudah menonton filem ini mengakui komedinya juga keluar dan ada kelainan untuk menarik perhatian penggemar filem di luar sana. Pada masa sama, peminat juga berpuas hati gandingan Zahiril dan Sazzy sebagai Bob dan Maya yang memang ada keserasian," katanya.

TAAP menceritakan percintaan pasangan dari dua dunia berbeza membabitkan Bob dan Maya. Filem komedi seram ini bermula dengan Bob yang lurus bendul bekerja di syarikat pengiklanan bawah penyeliaan Faizal.

Selepas berpisah dengan teman wanitanya (Ina), Bob dan kawannya, Pian berpindah ke apartmen lain. Kehidupan baru Bob bermula selepas berpindah dan bertemu dua beradik iaitu Maya dan Liyana. Pada mulanya Liyana tidak menyenangi kehadiran Bob dan Pian kerana takut identiti mereka terbongkar.

Namun selepas menguji Bob, mereka mengakui Bob tidaklah seperti yang disangka. Sejak itu, mereka berempat menjadi kawan baik. Hubungan Bob dan Maya bertambah rapat selepas insiden beg Maya diragut. Selepas bertemu Maya di rumah Bob, Faizal melamar Maya bekerja di syarikatnya.

Faizal cuba memikat Maya, namun hampa. Kemudian Faizal berpakat dengan Kamal untuk menakutkan Maya. Tetapi berlaku sebaliknya, Faizal dan Kamal pula yang ketakutan selepas dikacau pontianak. Faizal mula curiga dengan kehadiran Maya dan menyuruh Kamal mencari bomoh bagi menyiasat kehadiran pontianak di pejabatnya.

Faizal memberitahu Pian mengenai keraguannya pada Maya dan mereka berpakat membongkar identiti Maya dan Liyana. Ketika parti yang dianjurkan Faizal, mereka melakukan pelbagai cara untuk membuktikan Maya dan Liyana adalah pontianak.

TAAP turut menampilkan barisan pelakon pembantu yang tidak kurang hebatnya iaitu Liyana Jasmay (Liyana), Sufian Mohamed (Pian), Nurul Wahab (Nadia), Rashidi Ishak (Faizal), Yus Waisar (Kamal), Syanie, Harun Salim Bachik (Aaron Slam Bach), Faezah (Ina) dan Nasrizal Ngasri. Barisan pelakon undangan ialah Datuk Jalaluddin Hasan, Afdlin Shauki, Ruminah Sidek dan Jehan Miskin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tali leher jadi bantal untuk tidur di pejabat

Posted: 13 Jul 2011 10:12 AM PDT

TOKYO: 'Tali leher Nemuri' yang bermakna 'Tali Leher Tidur' dalam bahasa Jepun adalah peralatan unik yang membolehkan pekerja yang keletihan tidur dalam keadaan selesa dan bergaya di meja mereka.

Ia kelihatan seperti tali leher biasa tetapi mempunyai lubang udara kecil yang tersembunyi di belakangnya. Ia akan menggelembung seperti bantal apabila ditiup.


Tali leher itu diperbuat daripada sutera dan mempunyai fiber mikro khas yang akan membantu menyejukkan kulit ketika cuaca panas, menurut akhbar Asahi.

Tali Leher Tidur itu, yang dicipta oleh KTM Co, mensasarkan pekerja pejabat yang suka tidur sekejap di meja mereka dan buat masa ini ia dijual dengan harga 2,500 yen (RM100).


Jepun terkenal dengan budaya korporat yang menyaksikan rakyatnya bekerja untuk tempoh masa yang panjang dan satu daripada segelintir tempat di dunia di mana perkataan 'mati akibat terlalu kuat bekerja' dicipta. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Laman web China merosot

Posted: 13 Jul 2011 08:27 AM PDT

BEIJING: Jumlah laman web di China merosot kepada hampir separuh tahun lalu, mendorong kebimbangan di kalangan pakar mengenai dasar penapisan yang semakin berleluasa oleh kerajaan negara itu.

Menurut laporan Akademi Sains Sosial China (CASS), sebuah badan pemikir kerajaan, terdapat 1.91 juta laman web pada hujung tahun lalu, kejatuhan sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya.


Ini kali pertama jumlah laman web di negara itu menurun dan pakar mengaitkannya dengan kempen yang dilancarkan baru-baru ini bagi mengawal Internet.

"Jumlah laman web interaktif, termasuk forum online, merosot mendadak," kata penganalisis Internet Universiti Tsinghua, Wu Qiang, kepada akhbar China Morning Post.


"Penurunan jumlah itu ada berkesan dalam mengawal kebebasan bersuara. "Forum online dan paparan buletin kini tidak aktif seperti sebelumnya." Bagaimanapun, pengarang laporan penyelidikan itu di CASS berkata, pengurangan jumlah laman itu berpunca daripada kemelesetan ekonomi dan kempen untuk menghapuskan pornografi dalam Internet serta spam.


"China mempuntyai tahap yang amat tinggi dalam kebebasan bersuara di Internet," kata Liu Ruisheng, antara pengarang laporan itu.

"Kes penutupan laman web dalam usaha untuk mengawal kebebasan bersuara amat sedikit sejak beberapa tahun kebelakangan," katanya.


Menurut Ruisheng, beberapa laman web muflis sementara yang lain ditutup kerana tidak mematuhi peraturan.

"Ada beberapa laman web haram ditutup kerana mengandungi bahan lucah," katanya.


CASS juga berkata, terdapat peningkatan dalam kesedaran terhadap usaha negara asing untuk menceroboh ideologi China menerusi Internet dengan penyiar seperti BBC dan Voice America mengalihkan tumpuan mereka pada perkhidmatan online negara itu. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Siasatan serentak kes bunuh lain

Posted: 13 Jul 2011 09:55 AM PDT

SHAH ALAM: Penahanan empat orang termasuk tiga lelaki yang didakwa membunuh Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting tahun lalu, bertitik tolak daripada siasatan berhubung satu kes pembunuhan lain di Gombak.

Pegawai Staf D9 Unit Siasatan Khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Denis Leong Sung Kuai (gambar), 49, berkata, pasukannya mengunjungi ladang itu pada 3 petang, 9 September tahun lalu dan menahan T Thilaiyagan, 20; R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, serta U Suresh, 27.

Beliau berkata, pada peringkat awal, tangkapan itu dibuat berhubung kes bunuh di Gombak.

"Apabila saya pergi ke ladang itu pada 9 September, saya sebenarnya turut menjalankan siasatan serentak dengan satu kes bunuh di Gombak. Pada masa sama, kami juga menyiasat kehilangan Sosilawati di ladang itu," katanya ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela Manjeet Singh Dhillon.


Denis berkata, dia tidak ada memberikan butiran mengenai kes kehilangan Sosilawati dalam laporan polis berhubung penahanan Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan serta Suresh.


"Apabila saya lihat dalam kawasan ladang, saya tidak melihat sebarang kaitan (empat lelaki ditahan) dengan kehilangan Sosilawati dan tiga individu itu. Oleh sebab itu, saya tidak boleh tulis dalam laporan saya," katanya.

Saksi pendakwaan ke-27 itu memberi keterangan pada hari kelapan perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Tiga pekerja ladang, Thilaiyagan, Matan dan Khatavarayan bersama-sama majikan mereka yang juga bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, didakwa membunuh semua mangsa di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Rakan mereka, Suresh dan K Sarawanan, 20, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun selepas mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.

Terdahulu, pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Denis berkata, pasukannya disertai 10 anggota bertolak ke Ladang Gadong pada jam 3 petang, 9 September tahun lalu, sebelum menahan Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan dan Suresh.

ISHAK: Siapa yang ada ketika kamu tiba di ladang itu?

DENIS: Dua perempuan, seorang Indonesia dan seorang Filipina, (dan) dua wanita India. Seorang lelaki dewasa India dan dua atau tiga budak lelaki.

ISHAK: Adakah wanita Indonesia dan Filipina itu ditahan?

DENIS: Ya. Mereka ditahan anggota saya, yang lain tidak ditangkap.

ISHAK: Bagaimana kamu memasuki ladang itu?

DENIS: Ketika kami tiba, pintu pagar ladang itu berkunci. Kami melihat banyak anjing berkeliaran. Kami menjerit apabila melihat ada orang dan tertuduh keempat (Khatavarayan) kemudian datang dan membuka pintu pagar automatik itu. Kami masuk selepas memastikan semua anjing dimasukkan ke dalam sangkar.

ISHAK: Bagaimana dengan orang lain dalam ladang itu?

DENIS: Mereka berada di rumah pekerja di bahagian belakang kawasan ladang itu.

Menurutnya, Thilaiyagan, Matan, Khatavarayan dan Suresh digari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Banting, manakala dua wanita warga asing itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen.

Beliau berkata, dia merampas dua telefon bimbit daripada Suresh.

"Kami tinggalkan ladang itu pada jam 6.45 petang," katanya.

Denis berkata, tangkapan dibuat terhadap seorang lagi individu iaitu V Selvapandian, 46, dan merampas jam tangan Longiness berwarna perak metalik di rumah lelaki itu di nombor 23, Taman Damai, Simpang Morib, Banting, pada jam 11 pagi, 11 September 2010.

Beliau berkata, Sarawanan (yang sudah mengaku salah melupuskan bahan bukti) pula ditahan dan telefon bimbitnya dirampas di Paya Jaras, dekat Sungai Buloh, pada jam 2.10 pagi keesokan harinya.

"Saya bertanyakan kepada Selvapandian sama ada dia ada menerima jam tangan dan dia kata ada, ... daripada Suresh," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kalah judi pukul isteri

Posted: 13 Jul 2011 09:50 AM PDT

BATU PAHAT: Baru sembilan bulan mengecap nikmat alam perkahwinan namun seorang wanita menganggap dirinya berada dalam neraka dunia kerana bukan sekadar dikurung, malah hanya disajikan biskut kering, roti dan air kosong, manakala tubuhnya teruk dibelasah dengan wayar elektrik oleh suaminya.

Ketika mendedahkan perkara itu mangsa hanya mahu dikenali sebagai Wati, 26, berkata, dia turut diugut dilacurkan suaminya yang juga kaki judi tegar tidak lama selepas mereka bernikah, September tahun lalu.

"Sepanjang berkahwin, saya sentiasa dikurung dan tidak dibenarkan menghubungi ahli keluarga termasuk ibu. Setiap kali suami kalah berjudi, saya perlu 'menyerahkan' badan untuk didera atau dilibas dengan wayar elektrik.

"Saya meraung dan menangis sekuat hati kerana tidak tahan dengan kesakitan akibat libasan itu, tetapi suami semakin menggila, seluruh badan hinggakan paha, mata, betis cedera. Itulah azab yang saya lalui selama ini," katanya, semalam.


Menurut Wati, kali terakhir dia menjadi mangsa belasahan suaminya yang dikenali sebagai Shahrul, 38, pada awal Jun lalu ketika berada di rumah sewa mereka di Segambut, Kuala Lumpur.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rajagobal naik angin

Posted: 13 Jul 2011 10:09 AM PDT

SEMANGAT wira 1975 gagal meresap dalam skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal apabila tumpas 4-0 pada aksi persahabatan menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal semalam.

Dua gol pada setiap babak The Gunners itu menceritakan betapa masih banyak kelemahan yang perlu dilakukan Rajagobal bagi menghadapi Singapura pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.


Dan apa yang dipamerkan pemain negara nyata mengecewakan Rajagobal.

"Saya kecewa dengan permainan yang ditunjukkan kerana mereka tidak menunjukkan permainan sebenar. Ini menyukarkan saya untuk menilai kemampuan pemain sebelum perlawanan dengan Singapura," katanya pada sidang media selepas perlawanan berakhir.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu yang disaksikan lebih 50,000 penonton, kesilapan tonggak pertahanan Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak menjatuhkan Jack Wilshere membawa padah apabila pengadil, Mohd Yussof Mat Karim menghadiahkan sepakan penalti kepada Arsenal.


Bintang Wales, Aaron Ramsey tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan itu menewaskan penjaga gol berpengalaman Mohd Nasril Mat Nourdin di minit kelima.

"Saya mahu pemain bermain dengan agresif pada babak pertama untuk memberi tekanan kepada pihak lawan, tapi gol awal Arsenal membunuh permainan ini.


"Kita kena terima realiti mereka pasukan hebat, saya harap pemain dapat mempelajari sesuatu," kata Rajagobal.

Walaupun cuba mengancam menerusi larian deras di sebelah kiri S Kunanlan namun satu-satunya percubaan bahaya yang dihasilkan Malaysia menerusi sepakan percuma kapten Mohd Safiq Rahim di minit ke-38 berjaya ditepis keluar penjaga gol Wojcieh Szczesny.


Biarpun tanpa bintang Samir Nasri dan Robin Van Persie yang hanya masuk pada babak kedua, The Gunners berjaya menggandakan jaringan menerusi pemain sayap England, Theo Walcott dengan melambungkan bola memerangkap Nasril.


Arsenal terus selesa pada babak kedua apabila percubaan pemain gantian Carlos Vela gagal diselamatkan Khairul Fahmi Che Mat yang masuk menggantikan Nasril pada minit ke-58 dan Tomas Rosicky minit ke-90.


Selepas Malaysia, anak buah Wenger akan berlepas ke China bagi meneruskan Jelajah Asia menentang Hangzhou Greentown, Sabtu ini.


Pada kunjungan pertama Arsenal ke negara ini pada 13 Mei 1975 mereka tumpas 2-0 kepada skuad Malaysia bimbingan Datuk M Chandran menerusi jaringan legenda Datuk Mokhtar Dahari.


Dua hari selepas itu giliran Isa Bakar pula mencipta nama dengan menyumbat gol untuk skuad Harimau Malaya mencatat keputusan seri 1-1 pada perlawanan kedua.


Bagaimanapun zaman berubah, skuad The Gunners ternyata lebih hebat apabila menumpaskan Malaysia 2-0 pada 1999.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gimnas harapan

Posted: 13 Jul 2011 10:02 AM PDT

SELEPAS melakar kejayaan di Sukan Sekolah-Sekolah Asia (ASG) di Singapura dan Kejohanan Remaja Asean di Astana, Kazakhstan, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) semakin yakin meraih lebih banyak pingat di Kejohanan Gimrama Dunia di Montpellier, Perancis, 19-26 September ini.

Justeru, Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah berkata, persiapan rapi sudah dimulakan untuk menghantar Lee Wan Nin dan Amy Kwan Dict Weng bagi menggalas tanggungjawab itu di Perancis.


"Ketika umum melihat negara ketandusan gimnas selepas pengunduran beberapa 'ayam tambatan' negara, kami yakin wajah sebenar harapan penyumbang pingat negara akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.

"Wan Nin dan Amy Kwan giat menjalani latihan intensif di bawah pimpinan jurulatih yang semakin terbukti kewibawaannya walaupun dihimpit isu mendera gimnas sehingga sukar untuk berlatih, Elena Kholodova.


"Hanya kesabaran dan sokongan semua pihak diperlukan untuk mereka kembali melahirkan gimnas gemilang selepas pengunduran Ng Shu Wai (artistik lelaki), Nurul Fatiha Abd Hamid (artistik wanita), Durratun Nashihin Rosli, Crystal Lim Wen Chean, Foong Seow Ting, Brenda Yap, Nur Hidayah Abdul Wahid dan terkini Elaine Koon," katanya penuh semangat.


Mengulas lanjut, katanya Kejohanan Dunia di Perancis penting untuk mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di arena sukan gimnastik dunia apatah lagi selepas Wan Nin mempamerkan aksi konsisten dalam lima kejohanan Piala Dunia Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) di Eropah, Mei lalu hingga mencatat kedudukan ke-18 antara 50 gimnas terbaik dunia.

Wan Nin pernah mencipta kejayaan dengan menduduki tempat keempat keseluruhan individu Sukan Olimpik Remaja (YOG), Singapura 2010 selepas dipisahkan hanya 0.675 mata dengan Berezko Marggrander dari Jerman yang meraih gangsa. Lantaran kejayaan konsisten itu, Wan Nin bersama rakan karibnya, Amy Kwan yang diibarat pengganti Hidayah dan Elaine berjaya menempah tiket ke Sukan Sea, Palembang Disember ini.


"Walaupun kami tetapkan had ke kejohanan antarabangsa tahun ini tapi sinar baru sukan gimnastik membuatkan kami yakin mereka bakal menyumbang pingat di Perancis," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 13 Julai 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Dua produk asas jaga rambut

Posted: 13 Jul 2011 07:28 AM PDT

RAMBUT yang lebat, halus dan menarik sentiasa menjadi dambaan wanita hinggakan ia dianggap mahkota yang perlu diberi perhatian sepenuhnya.

Rambut turut menerima tempias kesan pencemaran alam sekitar yang mengakibatkan rambut mula kusam, kering, bercabang dan hilang kilauannya.

Justeru, rawatan demi rawatan perlu dilakukan bagi memastikan rambut kembali sihat dan dalam keadaan terkawal. Ironinya, makin sihat keadaan rambut, makin kempis poket dek terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar untuk rawatan-rawatan itu.

Menurut Dr G Govindarajan, Ketua Saintis di Himalaya, India, situasi itu sebenarnya boleh diatasi jika rambut menerima rawatan awal iaitu membasuh menggunakan syampu serta melembapkan dengan perapi yang sesuai.


"Asas kepada penjagaan rambut ialah menggunakan syampu dan perapi yang benar-benar menepati keperluan rambut serta kulit kepala.


"Dua produk itu bukanlah semata-mata berfungsi sebagai pembersih dan pelembap kerana biasanya kandungan di dalamnya mampu memberi khasiat tambahan kepada rambut," katanya.

Bagaimanapun ramai yang tidak pasti atau faham dalam memilih syampu serta perapi sesuai dengan keadaan rambut lalu membeli syampu kerana tertarik dengan rekaan botol, harumannya dan iklan menarik yang ditonton di media massa.

"Pengetahuan dalam memilih syampu terbaik untuk rambut adalah penting bagi memperoleh serta mengekalkan rambut yang sihat dan cantik. Amat penting untuk menggunakan syampu yang sesuai mengikut jenis rambut anda dan ia tidak bertindak secara efektif jika tersilap memilihnya.

"Syampu dihasilkan untuk menghilangkan kotoran dan minyak di rambut serta menyuburkannya dari dalam. Wujud bermacam syampu yang memberi tumpuan kepada setiap jenis rambut dan kebanyakannya mengandungi protein, vitamin, mineral, minyak pati dan pelbagai bahan semula jadi yang dapat membaiki rambut rosak dan memeliharanya," tegas Govindarajan.

Selain faktor luaran, rambut dan kulit kepala makin kotor apabila sebum iaitu bahan berminyak yang dirembeskan oleh kelenjar kulit melapisi liang roma dan menutup permukaan helaian rambut.

Sel-sel kulit mati dan pendedahan kepada pencemaran kemudiannya melekat pada sebum. Justeru penggunaan syampu yang sesuai boleh membantu membuang semua kotoran itu dan membuatkan rambut lebih terurus, mudah disikat dan berkilau.

Namun, syampu yang anda gunakan mungkin tidak sesuai dengan orang lain kerana faktor pengeluaran sebum dan jenis kulit kepala yang berbeza.

"Oleh itu, sentiasa pastikan jenis rambut anda terlebih dulu sebelum memilih syampu. Tentukan sama ada ia kering, berminyak, biasa, menggelupas dan tidak bermaya.

"Contohnya jika rambut berminyak, jangan gunakan syampu atau perapi yang direka untuk rambut kering kerana ia tidak akan mengeluarkan minyak berlebihan daripada kulit kepala hingga boleh menyebabkan masalah lain seperti kelemumur, sukar diurus dan hujung rambut yang bercabang.

"Sebaiknya rambut berminyak perlu menggunakan syampu yang lembut dan kurang kandungan minyak di dalam bahan-bahannya. Jika benar-benar berminyak, hadkan penggunaan perapi dan tumpukan penggunaannya pada hujung rambut.

"Elakkan daripada meramas perapi pada kulit kepala kerana ia mampu merangsang pengeluaran lebih banyak minyak semula jadi.

"Bagi jenis kering pula, pilih syampu yang mempunyai tahap pelembap tinggi dengan bahan-bahan seperti minyak zaitun, minyak badam, madu dan kamomil.

"Perapi juga perlu digunakan setiap kali selepas bersyampu kerana ia dapat membekalkan lembapan yang diperlukan rambut jenis ini," katanya.

Tidak dilupakan rambut yang diwarnakan atau sering menjalani rawatan di salun kerana rambut jenis ini lebih mudah rapuh dan tidak bermaya.

Biasanya rambut sebegini memerlukan syampu yang mempunyai tabir suria dan bahan-bahan yang boleh mengekalkan warnanya walaupun kerap dicuci.

Bagi yang mengalami masalah kelemumur, syampu berubat sesuai digunakan terutama yang mengandungi bahan khusus seperti ketoconazole yang bertindak membunuh bakteria pada kulit kepala lalu mengembalikannya ke tahap pH normal.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bibir merah menawan

Posted: 13 Jul 2011 07:07 AM PDT

BAHAGIAN wajah manakah yang sering menarik perhatian. Adakah mata atau bibir? Tahukah anda di antara bahagian wajah yang paling penting selepas mata ialah bibir. Ini kerana apabila kita berbual selain daripada memerhatikan matanya, kita tidak akan terlepas pandang pada bentuk bibir yang seksi dan menawan.

Sebenarnya penampilan solekan pada bibir amat penting bagi wanita. Bibir yang menggelupas dan kering akan membuatkan seseorang itu nampak selekeh dan tidak sihat walaupun selepas disapu gincu. Ini kerana bibir akan kelihatan putih dan tidak rata disebabkan kesan menggelupas ini.

Sebelum anda melakukan perawatan bibir sebaiknya anda harus tahu sifatnya. Bibir adalah anggota yang sangat sensitif, nipis dan memerlukan penjagaan sempurna. Kurangnya jumlah lapisan lemak pelindung (yang terletak pada epidermis kulit iaitu kulit luar), kelenjar sebum (minyak) dan kandungan melanin akan menyebabkan kulit bibir mudah kehilangan lembapan, kering dan pecah.

Apabila terlalu lama terkena cahaya matahari, bahan kimia dan bahan-bahan lain yang mungkin terdapat dalam makanan atau minuman akan menyebabkan kulit bibir mengering.


Oleh itu, pastikan anda tidak memakai kosmetik mengandu– ngi terlalu banyak plumbum atau merokok yang boleh memberi kesan tidak baik pada bibir anda. Ada beberapa cara untuk mendapatkan bibir yang sihat dan cantik antaranya:

  • Menggunakan salap bibir pada waktu malam mampu memberikan nutrisi serta memperbaiki kulit bibir. Sebaiknya sapukan salap bibir mengandungi penapis matahari sebelum memakai gincu atau sapukan gincu mengandungi pelindung matahari ketika melakukan aktiviti di luar rumah.
  • Jangan memakai salap bibir mengandungi perasa. Perasa ini membuatkan anda menjilat bibir atau membasahi bibir selalu.
  • Elakkan memakai gincu jenis pusam (matte). Gincu jenis ini selalunya tidak mengandungi pelembap, sekiranya ada, jumlahnya terlalu sedikit.
  • Bersihkan bibir setiap kali ketika mandi. Pastikan sisa-sisa kosmetik dibersihkan dengan sempurna daripada bibir anda.
  • Gunakan pelindung matahari (UV) untuk bibir setiap kali keluar dari rumah.
  • Gunakan pelembap bibir untuk mengekal kelembapan kulit bibir anda.
  • Kurangkan kebiasaan membasahi bibir dengan air liur. Ini kerana air liur yang digunakan untuk membasahkan bibir selalunya menjadi punca kekeringan pada bibir.
  • Biasakan mengambil sayur dan buah-buahan segar terutamanya yang tinggi kandungan vitamin C. Anda juga boleh mengambil vitamin C dalam bentuk pil.
  • Sekiranya anda tidak mahu memakai salap bibir, gantikan dengan sapuan madu sebelum tidur. Cairan manis ini berfungsi sebagai pelembap dan bekerja secara maksimum ketika anda tidur.

    Selain itu ada petua tradisional yang boleh diamalkan antaranya:

    Supaya bibir nampak merah

  • Ambil madu asli, kemudian sapu sedikit pada bibir sehinga rata. Lakukan setiap kali ketika hendak tidur.

    Untuk membersihkan bibir

  • Tuangkan beberapa titis minyak zaitun dan campurkan sedikit madu. Sapu ramuan pada bibir, gosok perlahan-lahan (fungsinya sebagai penyental) dan kemudian cuci dengan bersih.
  • Untuk mengelakkan bibir menjadi hitam, banyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran, segera berhenti merokok dan elak memakai gincu terlalu lama melebihi lapan jam.

    Bagi mendapatkan warna gincu sesuai bergantung kepada bentuk bibir iaitu garis bibir yang mengikut bentuk atau susunan gigi serta tulang rahang. Bentuk dan garis bibir ini menentukan warna gincu yang serasi pada bibir anda.

    Bibir bergaris lembut dengan bentuk mendatar memerlukan gincu berkilat dengan warna merah, merah jambu atau ungu. Bibir bergaris keras dengan bentuk yang cembung memerlukan gincu jenis berkrim atau pusam dengan warna coklat seperti merah muda coklat atau krim muda.

  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Ditikam dua kali

    Posted: 12 Jul 2011 09:22 AM PDT

    KLANG: Gara-gara berebut teman wanita, dua lelaki bergaduh sebelum seorang daripada mereka mati ditikam di dada dan paha kanan di hadapan koridor sebuah premis di Jalan Meru, semalam.

    Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, mangsa, warga Indonesia berusia 21 tahun dan berasal dari Jawa Tengah, Indonesia itu maut ditikam dengan sebilah pisau oleh suspek juga warga negara sama.


    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.55 tengah hari dan apabila bergegas ke sana mangsa didapati sudah meninggal dunia.

    "Hasil siasatan kami mendapati mangsa ditikam dengan sebilah pisau di bahagian dada dan paha kanan, manakala terdapat sedikit kesan luka pada pergelangan tangan kirinya akibat ditetak.


    "Mangsa dikatakan sedang berjalan dengan seorang wanita warga Indonesia sebelum dia dikejar suspek di lorong belakang premis manakala seorang lagi suspek dipercayai menunggu di motosikal.


    "Mangsa melarikan diri ke dalam sebuah bengkel kereta yang terletak bersebelahan dengan premis itu sebelum dia terjatuh dan ditikam dua kali," katanya.

    Mohamad Shukor berkata, motif pembunuhan dipercayai kerana dendam akibat merebut teman wanita dan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek memakai kemeja-T berwarna putih serta berseluar jeans biru cerah.


    "Kami masih menjalankan siasatan menerusi CCTV yang dipasang di premis berdekatan tempat kejadian bagi mengenal pasti suspek. Polis meminta agar orang ramai yang melihat kejadian tampil memberi kerjasama dalam siasatan," katanya.

    Ditanya mengenai senjata digunakan untuk menikam mangsa, Mohamad Shukor berkata, pisau itu belum ditemui.


    Menurutnya, siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.


    Difahamkan, wanita bersama si mati sebelum itu turut melarikan diri dengan suspek.

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    2 pekerja kumpulan rock ditahan miliki dadah

    Posted: 12 Jul 2011 09:08 AM PDT

    AMPANG: Dua pekerja chalet milik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air ditahan di Kampung Kemensah, di sini kerana memiliki dua kilogram ganja, petang semalam.

    Dalam serbuan dilakukan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 5 petang itu, kedua-dua lelaki berusia 40-an itu berehat dalam sebuah rumah di chalet itu.


    Difahamkan, ketika serbuan kelima-lima ahli kumpulan rock yang muncul dengan album pertamanya pada 2001 itu tiada di chalet berkenaan.

    Bagaimanapun, kumpulan terbabit yang juga majikan kepada kedua-dua lelaki itu sudah dimaklumkan polis berhubung penahanan mereka.


    Menurut sumber, hasil maklumat orang awam sepasukan polis menjalankan siasatan di rumah dalam kawasan chalet berkenaan.


    "Sebaik tiba di rumah itu, terdapat lima lelaki di rumah berkenaan. Dua daripada mereka cuba meloloskan diri namun gagal.

    "Hasil pemeriksaan dalam bilik kedua lelaki berkenaan polis menemui dua kilogram dadah dipercayai ganja. Berikutan penemuan itu, semua mereka ditahan polis untuk siasatan lanjut," katanya.


    Sumber berkata, hasil keterangan dan ujian saringan air kencing, tiga daripada mereka dibebaskan, tetapi dua lelaki terbabit didapati positif dadah jenis ganja.

    "Kedua-dua lelaki itu ditahan reman sehingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan itu," katanya.


    Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Schwarzenegger beraksi lagi

    Posted: 12 Jul 2011 08:39 AM PDT

    LOS ANGELES: Dua bulan selepas menangguhkan kemunculan semula di Hollywood ekoran pendedahan skandal seks, Arnold Schwarzenegger kini bersedia menjadi tumpuan sekali lagi.

    Bekas hero filem aksi yang menjadi ahli politik itu dijadual memulakan penggambaran filem The Last Stand pada September ini.


    Sumber berkata, The Last Stand adalah filem era zaman lampau sesuai untuk seorang lelaki 63 tahun yang mempunyai masalah moral.

    "Kami sentiasa perlukan seorang ikon untuk filem begitu," katanya kepada sebuah laman sesawang hiburan Hollywood, semalam.


    Schwarzenegger menjadi perhatian dunia apabila didapati manjalin hubungan dengan pembantu rumahnya dan menyebabkan wanita terbabit hamil dan melahirkan anak luar nikah, 13 tahun lalu.


    Pendedahan itu turut memusnahkan rumah tangga Schwarzenegger bersama Maria Shriver.

    Laman sesawang Deadline Hollywood adalah sumber berita pertama melaporkan pembabitan Schwarzenegger dan ia disahkan majalah Entertainment Weekly.


    Menurut sumber, penggambaran filem itu akan diteruskan dan Schwarzenegger, 63, menjadi bintang utamanya.

    Mei lalu, Schwarzenegger berkata, dia menangguhkan seketika perbincangan untuk menerbitkan filem baru Terminator serta projek lain bagi memberi perhatian kepada masalah peribadi.


    Minggu lalu, Maria memfailkan permohonan bercerai daripada bekas Gabenor California itu selepas 25 tahun hidup sebagai suami isteri.


    Pasangan itu mempunyai empat anak.


    Media Amerika Syarikat mempersenda Schwarzenegger selepas dia terbukti mempunyai anak luar nikah dan menyimpan rahsia itu sehinggalah ia dibongkar beberapa bulan lalu.


    Filem The Last Stand bakal diarahkan sutradara Korea Selatan, Jee-woon Kim, dan dijangka ditayangkan pada 2012.


    Sebelum skandal seksnya terbongkar, Schwarzenegger sibuk menyiapkan filem Cry Macho.


    Bekas juara bina badan dunia itu juga menyatakan rancangan menggunakan suaranya untuk filem animasi The Governator, mengenai seorang hero rahsia.


    Bagaimanapun, kedua-dua projek itu kini masih digantung. - Reuters

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Buaya kudung jadi tarikan pelancong

    Posted: 12 Jul 2011 08:37 AM PDT

    DARWIN: Seorang jurugambar sangat bertuah apabila berjaya merakamkan aksi yang jarang dapat diabadikan melalui lensa - seekor buaya besar melompat di Sungai Adelaide.

    Sepanjang 5.5 meter, Brutus ialah seekor buaya air masin yang hidup di sungai berkenaan dan menjadi perhatian di kalangan pelancong di Wilayah Utara Australia kerana keunikannya yang kudung.


    Brutus kehilangan kaki kanan depan dipercayai selepas bertarung dengan jerung di kawasan muara Sungai Adelaide.

    Ketika gambar ini dirakamkan, Brutus cuba mencapai daging kerbau yang dihulurkan bersebelahan bot sarat berisi pelancong.


    Jurugambar terbabit, Katrina Bridgeford, berkata dia tidak menyangka dapat mengambil aksi Brutus dalam keadaan istimewa begitu.


    "Ia sangat hampir dengan pelancong dan anda boleh menyentuh Brutus jika menghulurkan tangan ke arahnya," katanya.

    Aktiviti melihat aksi buaya melompat dari sungai adalah tarikan utama aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan. - TS

    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved