BUKAN mudah menggenggam status aktres terbaik. Ini kerana, jika mahu menjadi benar-benar 'terbaik' perlulah berani berdepan tuntutan skrip yang berat serta mencabar kemampuan diri. Itulah dilakukan Sharifah Amani, 25, dan Carmen Soo, 33.
Sebagai aktres berbakat besar, kedua-duanya nyata cukup berani menyahut cabaran yang diberikan dalam filem terbaru mereka, The Hunter sentuhan pengarah terkenal, Bjarne Wong. Ia memberikan pengalaman lakonan sebenar yang lebih hebat.
Pernah menjalin kerjasama sebelum ini menerusi filem Possessed pada 2006 dan Sayang You Can Dance (2009), Sharifah Amani mengakui dia suka dengan hasil kerja dan kreativiti Bjarne yang disifatkan berkaliber dan tahu apa yang diinginkannya.
Sharifah Amani yang ditemui pada majlis promosi awal The Hunter yang turut dihasilkan mengguna format 3D di Facekara, Viva Home, Cheras, baru-baru ini, berkata banyak pengalaman baru dan menarik diperolehnya ketika bekerja di bawah arahan Bjarne.
"Terlalu banyak pengalaman berharga saya peroleh sepanjang bekerja dengan Bjarne dalam filem The Hunter ini. Malah, saya terima tawaran untuk membintangi The Hunter pun kerana sangat sayang kepadanya. Bjarne, seorang pengarah yang baik.
"Bahkan, apa yang boleh dikatakan kami sudah umpama satu keluarga. Hubungan dijalin sangat rapat bagaikan adik-beradik dan saya suka bekerja dengan Bjarne kerana semua dilakukan bersama. Hubungan sesama pelakon juga rapat dan ada keserasian.
"Tak dinafikan, The Hunter adalah filem unik kerana kepelbagaian bahasa diketengahkan berikutan barisan pelakon yang membintangi terdiri dari pelbagai negara iaitu Malaysia, China, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan. Malah, masing-masing pun saling tak faham bahasa dituturkan.
"Namun, ia nyata bukan satu masalah kepada kami semua kerana atas dasar kasih sayang seperti satu keluarga itu, apa yang cuba diperkatakan sudah boleh difahami antara satu sama lain. Ia berlaku antara saya dan Lou Qi, pelakon dari China.
"Pernah saya jatuh sakit ketika penggambaran yang dilakukan di Sarawak, Lou Qi suruh saya makan ubat, tapi dia cakap dalam bahasa Cina, mestilah tak faham. Tetapi, disebabkan hubungan baik kami biarpun saya bercakap dalam bahasa Malaysia, kami boleh saling memahami," katanya.
Menurut Sharifah Amani dalam soal ini pemahaman bahasa itu mudah saja iaitu niat untuk faham apa yang cuba dikatakan. Sekalipun berlainan bahasa, tetap akan boleh memahaminya.
"Selain itu, dalam pembikinan filem The Hunter ini juga saya buat pertama kalinya belajar teknik 3D. Tak dinafikan, menghasilkan filem format 3D ini peralatan digunakan berbeza. Ia perkara yang baru buat saya, tetapi sangat menyeronokkan.
"Ini kerana, selain keserasian antara pelakon, saya juga menjalin hubungan baik dengan tenaga produksi terbabit. Mereka semua sangat baik kerana tidak lokek ilmu dan sentiasa sedia berkongsi pengetahuan serta pengalaman," katanya.
Kata Sharifah Amani, sekalipun menghasilkan filem dalam format 3D menuntut lebih kesabaran, tetapi gambaran babak yang dirakam cukup menarik. Katanya, ia perkara yang menakjubkan dan pengalaman menonton nanti pastinya lebih hebat.
Katanya lagi, cabaran lain yang dirasakan sangat mencabar sepanjang menjayakan penggambaran The Hunter ialah lokasi. Ini kerana, penggambaran bukan saja di buat di hutan, tetapi dia juga perlu masuk ke dalam kawasan berair yang dalam.
Carmen puas hati lakukan aksi lasak sendiri
MENJADI heroin dalam filem, pastinya bukan tanggungjawab yang ringan. Ini kerana hasil lakonan terbaik perlu ditonjolkan demi kepuasan diri dan menghargai kepercayaan diberikan pengarah. Justeru, Carmen nyata membuktikan keupayaannya.
Kata Carmen, dia membawakan watak seorang pengarah rancangan dokumentari dalam filem thriller dan membabitkan babak pembunuhan dalam The Hunter. Katanya, watak dilakonkannya cukup lasak dan dia berpuas hati dapat melakukan semua aksi itu sendiri.
"Saya akui, ia bukan mudah dilakukan kerana saya berdepan dengan banyak bahaya yang membawa risiko jika tidak berhati-hati. Namun, demi pengalaman dan kepuasan, saya seronok melakukannya walaupun badan sakit-sakit dan sangat penat.
"Dalam filem The Hunter ini juga, ia benar-benar mencabar ketahanan fizikal saya apabila semua aksi berlawan, dilakukan sendiri. Malah, paling mencabar apabila badan saya dipasangkan wayar selama 10 jam. Ia nyata membuatkan badan saya sakit.
"Sebaik habis penggambaran, ada kesan lebam di lengan dan badan saya. Mujur, doktor kata tiada apa-apa yang boleh membahayakan kesihatan dan saya hanya perlukan lebih rehat. Kemungkinan, dalam tempoh dua bulan baru semuanya akan pulih semula.
"Apapun, seperti yang diperkatakan Sharifah Amani, saya juga mengakui berlakon filem The Hunter sangat menyeronokkan dan memberikan pengalaman berbeza. Banyak yang saya belajar dan yang pasti dalam filem ini saya suka dengan apa yang dilakukan," katanya.
Dalam filem 3D The Hunter nanti, Carmen membuktikan dia adalah pelakon serba boleh dan tidak hanya bergantung kepada kejelitaan semata-mata. Carmen boleh diandaikan sebagai 'wanita besi' yang berani menghadapi cabaran sukar.
Ditanya mengenai tawaran diberikan Bjarne kepadanya, Carmen atau nama sebenarnya, Carmen Soo Wai Mun berkata, dia sudah dilamar berlakon dalam filem The Hunter sejak dua tahun lalu. Justeru, katanya, persediaan untuk menjiwai watak sudah dilakukan lebih awal.
"Saya sudah kenal lama dengan Bjarne. Ketika dia (Bjarne) membincangkan mengenai filem The Hunter kepada saya, ia dapat diterima dengan baik. Sebagai pelakon, apa yang penting, saya berasa seronok dan boleh bekerja dengan pengarah itu," katanya.
Apapun, bakat lakonan Carmen nyata cukup menyerlah di negara jiran, Filipina. Ini kerana, drama bersiri Kahit Isang Saglit atau A Time For Us yang dilakonkannya bersama aktor kacak, Jericho Rosales berjaya menarik perhatian ramai.
PROFIL SHARIFAH AMANI
NAMA KOMERSIAL: Sharifah Amani
NAMA PENUH: Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya
TARIKH LAHIR: 10 Jun 1986
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon
DRAMA: Gol & Gincu The Series, Emil Emilda, Sindarela, Rona Roni Makaroni, Tiramisu dan telemovie, Antara Garisan serta Dalil Cinta
TEATER: Hamlet
FILEM: Selubung, Mimpi Moon, Sepet, Gol & Gincu, Gubra, Cinta, Puaka Tebing Biru, Mukhsin, 1957: Hati Malaya, Punggok Rindukan Bulan, Selamat Pagi Cinta, Cicakman 2 - Planet Hitam, Sayang You Can Dance, Muallaf, Merong Mahawangsa, Possessed (filem seram Kantonis)
ANUGERAH: Anugerah Pelakon Harapan Wanita filem Sepet pada Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) dan Pelakon Wanita Terbaik filem Gubra di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19)
PROFIL CARMEN SOO
NAMA KOMERSIAL: Carmen Soo
NAMA PENUH: Carmen Soo Wai Mun
TARIKH LAHIR: 14 Oktober 1977
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
KARIER: Pelakon, model dan pengacara
DRAMA: Ghost (8TV), Trio And A Bed (drama interaktif) Astro Wah Lai Toi, The Pupil (TV Singapura)
TEATER: The Girl from Ipoh, Rose Rose I Love You
FILEM: Gorgeous, The 3rd Generation, Baik Punya Cilok, Visits, Sayang
You Can Dance, Tenement 2 (filem seram Filipina) Star Cinema, A Love Affair,
The Hunter
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.