Sabtu, 13 Ogos 2011

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bangga pegang watak isteri PM

Posted: 12 Aug 2011 06:41 AM PDT

"DIA seorang lelaki sejati," kata pelakon semakin mencipta nama, Faezah Elai, 29, mengenai lelaki yang bakal dinikahi yang juga pengarah drama dan duda anak tiga, Heykal Hanifah, 38.

Ternyata wajahnya kelihatan sangat berbunga apabila bercerita mengenai tarikh pernikahannya yang dijadualkan berlangsung pada 9 September ini di rumah kelahirannya di Gelugor, Pulau Pinang.

Ditemui pada majlis doa selamat selepas selesai penggambaran dan berbuka dan puasa memperkenalkan barisan pelakon Tanda Putera di Perbadanan Filem Nasional (Finas) baru-baru ini, kata Faezah atau nama sebenar, Noor Faezah Elai, dia menerima Heykal kerana menyenangi sikap pengarah itu.

Pengakuan Faezah bakal dinikahi Heykal sudah tentu sedikit sebanyak akan menimbulkan perasaan skeptikal di kalangan peminat. Apatah lagi sebelum ini namanya turut diheret sama dalam masalah rumah tangga pengarah itu.


Lebih menyakitkan apabila pelakon yang memegang peranan sebagai Tun Rahah Mohd Noah dalam Tanda Negara, didakwa punca kepada perceraian Heykal dan bekas isterinya, Pengurus Muzik dan Media KRU Studios, Jaja Nadzir.


"Seperti yang saya perjelaskan sebelum ini, saya tiada kaitan dengan masalah dihadapi mereka berdua, tetapi apabila nama saya diheret, barulah saya rapat dengan Heykal. Itu pun apabila saya menghubunginya untuk meminta penjelasan apa yang sudah berlaku dan kenapa nama saya turut diheret sama.

"Ekoran peristiwa itu, Heykal menghubungi saya untuk menjelaskan kedudukan sebenar dan mahu meyakinkan yang saya tiada kena-mengena dalam masalah rumah tangga dihadapinya.

"Bagaimanapun, kontroversi rumah tangganya yang dikaitkan dengan saya menjadi besar menyebabkan kami selalu bertemu bagi mencari jalan penyelesaian. Akhirnya selepas tiga bulan, kami terus menjadi rapat," katanya.

Faezah juga menegaskan perhubungannya dengan Heykal berlaku selepas pengarah itu berpisah dengan bekas isterinya. Sebelum itu dia hanya mengenali bakal suaminya sebagai pengarah dan tidak lebih daripada itu.

Bercerita mengenai perasaannya untuk bergelar isteri, kata Faezah sebenarnya dia tidak sempat untuk merasai apa-apa memandangkan kesibukannya menghabiskan beberapa projek yang masih tertunda.

"Saya baru selesai menjalani penggambaran drama Di Mana Kan Ku Cari Ganti arahan Osman Ali. Selepas ini, saya ada satu lagi penggambaran drama sebelum hari raya.

"Saya memang tidak ada cuti langsung dan tak boleh nak fikir bagaimana perasaan saya bakal menjadi raja sehari. Saya serahkan segala-galanya kepada perunding perkahwinan untuk membantu membuat segala persiapan. Tunggulah bila tiba hari nikah, baru saya akan fikirkan," katanya.

Orang kata, tidak mustahil seseorang lelaki itu mengulangi perkara sama apabila berlaku perceraian. Bagi Faezah sendiri, tidakkah dia bimbang perkara itu akan terjadi? Memberikan komen membabitkan kenyataan itu, Faezah mengakui sedikit pun dia tidak takut.

"Saya menerima Heykal dengan hati terbuka kerana saya tahu apa yang berlaku sebelum ini. Saya faham mengenai perpisahan dia dengan bekas isterinya. Saya tidak berhak bercakap mengenai kehidupan lampaunya, namun saya tahu isi hati bakal suami saya," katanya bersungguh-sungguh.

Faezah turut memberitahu dia beberapa kali bertemu dengan anak Heykal sebelum ini dan ternyata mereka merestui keputusan dibuat bapa mereka.

Beralih kepada pembabitannya dalam filem Tanda Negara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba, Faezah mahu menjadikan filem yang mengisahkan pengorbanan dan persahabatan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan timbalannya, Allahyarham Tun Dr Ismail sebagai medan menguji bakat.

"Saya masuk ke dalam industri seni ini bukan untuk suka-suka sebaliknya mahu membuktikan saya pelakon serba boleh dan bakat dimiliki tidak terhad kepada watak ringan saja.

"Ternyata watak bekas wanita pertama negara, Tun Rahah satu penghormatan bagi saya apatah lagi watak itu tokoh dihormati ramai dan masih hidup," katanya.

Sebagai pelakon, apa yang diperoleh Faezah menjadi idaman ramai dan selalunya hanya mereka yang berkaliber saja diberikan peluang memainkan peranan tokoh besar yang masih hidup seperti Meryl Streep melakonkan watak Margaret Thatcher, Datuk Michelle Yeoh (Aung San Suu Kyi) dan Jennifer Hudson melakonkan watak Winnie Mandela.

Menjelaskan tawaran diterima daripada Pesona Pictures, kata Faezah dia dipanggil pihak produksi untuk menjalani uji bakat. Tambahan pula sebelum ini dia pernah menjayakan drama Dolce Amira yang diterbitkan mereka.

"Melakonkan watak Tun Rahah memang benar-benar mencabar kerana tidak banyak rujukan diperoleh selain daripada bahan bacaan mahupun sedutan dokumentari mahupun berita. Sepanjang sesi latihan dan penggambaran saya tidak berkesempatan bertemu Tun Rahah jadi segalanya bergantung kepada kreativiti dan pemerhatian mata kasar.

"Mengambil contoh melihat sedutan sewaktu Allahyarham Tun Abdul Razak dikebumikan, saya nampak orang sekeliling menangis kecuali Tun Rahah.

"Untuk melakonkan kembali babak itu tidak mudah kerana saya tidak boleh membayangkan apa yang sedang bermain dalam fikiran mahupun emosi Tun Rahah ketika itu. Ia benar-benar mencabar saya sebagai pelakon," katanya.

Begitupun kata Faezah, cabaran yang diperoleh membuatkan dia puas. Apatah lagi bekerja dengan Shuhaimi atau mesra dengan panggilan Shumi sebagai pengarah banyak mencabarnya dengan bertanyakan pelbagai soalan.

"Tidak seperti pengarah lain, Shumi akan bertanyakan kepada pelakonnya pelbagai soalan bagi memastikan kami benar-benar faham apa yang ingin dilakukan. Kadang-kadang soalan yang diajukan itu membuatkan kita sebagai pelakon berfikir, sekali gus membantu kita memberikan persembahan terbaik," katanya.

PROFIL:

NAMA PENUH: Noor Faezah Elai
TEMPAT LAHIR: Gelugor, Pulau Pinang
TARIKH LAHIR: 16 Ogos 1982
USIA: 29 tahun
STATUS: Bujang
ADIK BERADIK: Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
HOBI: Mendengar muzik
KERJAYA: Pelakon, pengacara dan model
FILEM: Otai, Adik Manja Returns, Cun, Awekku Pontianak, Senjakala, Mantera dan Tanda Putera.

DRAMA: Antaranya, Cinta & Keadilan, Enigma, Cempaka Berbunga, Sitkom Puteri, Sutera Maya, Hartamas, Anak Mamak Menantu Mami, Dendam Kesumat, Asmara 1 & 2.

IKLAN: Kotex, Canon, Milo, Radox, Vanish dan Celcom.

HOS RANCANGAN: Mango TV (8TV), TV Trivia (TV3), Inspirasi Comel (RTM), Gegar U (Astro), Hypermarket Saga (TV9) dan Seri (TV3).

PENCAPAIAN: Best TV Look Elite Model Search 2006 sempena KL Fashion Week dan 50 Goergeous People bagi majalah Female.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Demi hak pemuzik

Posted: 12 Aug 2011 06:26 AM PDT

HAMPIR empat dekad membabitkan diri dalam industri muzik tempatan mahupun serantau, belum pernah sekali pun pengarah muzik dan komposer berpengalaman Datuk Ramli Mohamed Salleh atau Ramli MS ditipu penganjur dan promoter.

Hakikat ini kerana dia begitu teliti mengenai soal bayaran terutama apabila bekerja dengan sekumpulan pemuzik dalam orkestra mini mahupun band muziknya.

Biasanya apabila membabitkan organisasi besar, Ramli sangat yakin bayaran untuk pemuziknya akan dapat dilunaskan tanpa sebarang masalah.

Namun, apa yang berlaku kini adalah sebaliknya apabila Ramli mendakwa penganjur konsert penyanyi 1980-an, Francissca Peter atau Fran yang berlangsung di Istana Budaya (IB), Februari lalu, belum melunaskan sejumlah hutang kepada beliau.


Berikutan itu, Ramli yang dilaporkan mahu menyaman pihak terbabit bagi mendapatkan haknya yang masih tertunggak.


Lebih daripada itu, apa yang dikesalkan pengarah muzik yang sudah bekerja dengan ramai artis handalan seperti Tan Sri SM Salim, Hetty Koes Endang, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Siti Nurhaliza itu, dia juga mendakwa pihak terbabit menabur janji palsu dengan meminta dia muncul juga memimpin muzik pada malam terakhir konsert Fran itu.

Ditemui pada majlis berbuka puasa dan rakaman hari raya Melodi TV3, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini Ramli menjelaskan sudah menjadi lumrah pemuzik tempatan akan mengenakan syarat bayar dulu kemudian baru mereka akan bermain muzik.

"Syarat sebegitu hanya akan dikenakan apabila kita bekerja dengan penganjur yang bergerak secara individu. Bagaimanapun organisasi besar seperti stesen TV seperti TV3 dan Astro, tiada masalah. Selama bertahun-tahun bekerja, saya tidak pernah pun ada masalah.

"Mana pernah saya fikir pemuzik kita tidak akan menghadapi masalah bayaran terhadap persembahan yang diadakan di tempat yang hebat dan gah seperti Istana Budaya. Sayangnya, sewaktu kami bermain dalam konsert Fran, berbeza pula jadinya," kata Ramli.

Bercerita lebih lanjut, Ramli berkata, sudah dapat mengesan masalah yang dihadapi produksi konsert itu apabila bayaran pada malam pertama hanya mampu diberikan separuh. Konsert terpaksa lewat 20 minit dari masa yang ditetapkan kerana barisan pemuzik saya enggan naik ke atas pentas. Selepas pihak terbabit membayar bakinya, barulah persembahan bermula.

"Pada malam terakhir, perkara sama juga berlaku lagi. Kali ini bagi meyakinkan saya dan semua pemuzik untuk terus bermain, wakil daripada bahagian tiket2u.biz iaitu Zulkhairi Ghazali, berjanji membayar penuh menggunakan kad kredit.

"Dia kemudian memberikan alasan proses transaksi mengambil masa 10 hari jadi bayaran akan diterima selepas itu. Bayangkan, sekarang sudah hampir tujuh bulan, bayaran itu belum diterima. Saya pernah juga ketengahkan perkara ini kepada pihak berwajib di Istana Budaya tapi ia juga masih senyap dan tidak tindakan dibuat," katanya.

Memandangkan pihak penganjur itu terus senyap, Ramli menghantar surat peringatan kepada mereka dan pada waktu sama peguamnya sedang merangka draf saman ke atas mereka.

"Bukan saya seorang tapi ramai lagi pemuzik yang belum dibayar. Sikap lepas tangan pihak penganjur sangat tidak bertanggungjawab. Saya sendiri terpaksa keluarkan sejumlah wang untuk membayar pemuzik yang benar-benar memerlukan wang. Ramai lagi yang belum dibayar," jelasnya.

Tegas Ramli, pihak penganjur tidak boleh menjadikan soal untung atau rugi sebagai alasan untuk tidak membayar pemuziknya.

Ramli menegaskan bahawa tindakan itu dibuat agar menjadi satu peringatan kepada semua pihak bahawa jangan sesekali mempermainkan pemuzik seperti mereka yang begitu serius bekerja dan berkarya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei waspada

Posted: 12 Aug 2011 10:32 AM PDT

DATUK Lee Chong Wei menganggap Chen Jin kemungkinan besar ditemuinya di separuh akhir hari ini sebagai lawan sukar yang boleh ditumbangkan.

Selepas cemerlang menumbangkan Kevin Cordon dari Guatemala 21-7, 21-13, pemain utama negara itu kini menunggu keputusan perlawanan antara pemain China itu dengan Hans-Kristian Vittinghus dari Denmark lewat malam ini.


Berdasarkan prestasi pemain nombor satu dunia itu setakat ini dan persembahan kurang meyakinkan Chen Jin, Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah untuk mara ke perlawanan akhir pertamanya, esok.

"Saya sudah melihat permainannya di Wembley Arena ini dan tahu apa yang perlu dilakukan.


"Walaupun saya sudah menang banyak kali, saya tetap menganggap dia lawan sukar," kata Chong Wei.


Chong Wei mara ke separuh akhir tanpa menggugurkan sebarang set tapi Chen Jin pula berhempas-pulas dan terpaksa bekerja keras ketika bertemu Ajay Jayaram dari India sebelum menang tiga set di pusingan ketiga, kelmarin.

Kali terakhir Chong Wei bertemu Chen Jin yang juga juara tahun lalu, adalah di separuh akhir Sukan Asia Guangzhou tahun lalu.


"Bagaimanapun, saya menjangkakan jika Chen Jin ke separuh akhir, dia akan turun habis-habisan kerana saya pasti dia akan cuba membuatkan saya penat bagi memudahkan tugas Lin Dan," katanya.

Chong Wei dijangka bertemu Lin Dan dalam perlawanan akhir edisi ke-19 ini - pertemuan yang dinanti-nantikan kerana membabitkan dua pemain terbaik era ini.


Jurulatih Tey Seu Bock pula beranggapan Chong Wei selaku pembawa cabaran tunggal negara selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tersingkir, perlu terus fokus dengan permainannya ketika menentang Chen Jin.


"Setakat ini, dia sentiasa fokus terhadap permainannya dan saya harap dia terus mengambil pendekatan sama. Hanya tinggal dua langkah lagi (untuk bergelar juara) dan Chong Wei perlu kekal fokus," katanya.


Sementara itu, apa yang diharapkan daripada Chong Wei dalam pertemuan menentang Cordon itu menjadi apabila pemain nombor satu dunia itu tidak menghadapi masalah untuk menang walaupun diberikan tentangan pada set kedua.


"Saya terkejut dengan corak permainannya. Walaupun saya pernah bertemunya di pusingan pertama di Paris tahun lalu, peningkatan persembahannya di kejohanan ini boleh dikatakan mendadak.


"Mungkin dia antara pemain masa depan yang perlu diberikan perhatian," katanya merujuk kepada Cordon yang setakat ini menjadikan Chen Long sebagai mangsa paling besarnya apabila menewaskan pemain China itu di pusingan pertama.


Kemenangan ke atas Cordon itu juga bermakna Chong Wei sudah melepasi badi suku akhir untuk menyamai pencapaiannya mara ke separuh akhir ketika beraksi buat kali pertama di Anaheim pada 2005.


Sebelum ini, Chong Wei kecundang tiga kali di suku akhir ketika beraksi di Madrid pada 2006, Hyderabad (2009) dan Paris (2010). Di Kuala Lumpur 2007, dia tumpas di pusingan kedua.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Aksi Apek tak terjejas

Posted: 12 Aug 2011 10:28 AM PDT

JURULATIH skuad bola sepak Olimpik negara, Ong Kim Swee tidak sesekali meragui kemampuan Khairul Fahmi Che Mat untuk terus memikul tanggung jawab besar sebagai kapten meskipun penjaga gol nombor satu negara itu dilanda masalah peribadi.

Menurut Kim Swee, Khairul Fahmi langsung tidak menunjukkan sebarang masalah ketika menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia ketika ini biarpun sebelum ini wira Harimau Malaya itu membuat keputusan menggemparkan mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi bulan lalu.


"Sebenarnya, saya tahu Apek (Khairul Fahmi) berdepan masalah peribadi sebelum perlawanan dengan Singapura lagi tapi dia tetap mempamerkan prestasi baik ketika perlawanan menentang Singapura di Bukit Jalil.

"Saya percaya dia pemain yang cukup profesional dan tidak perlulah saya dedahkan apa yang dia lakukan kerana sehingga kini saya puas hati dengan prestasi yang ditunjukkannya," katanya.


Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek membuat keputusan mengejut mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia tiga hari selepas beraksi dengan skuad kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan Singapura.


Walaupun dihimpit dengan masalah peribadi ketika itu, Khairul Fahmi tetap mempamerkan ketangkasan biarpun Malaysia tidak layak ke pusingan ketiga menerusi agregat 6-4 selepas seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Kim Swee berkata, sejak menyertai latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia, Khairul Fahmi sentiasa memberi komitmen tinggi dalam latihan.


Malah beliau menafikan kekalahan pertama anak buahnya di tangan kelab liga utama Hungary, Budapest Honved FC 4-1 Selasa lalu disebabkan kemerosotan prestasi penjaga golnya itu.

"Biarpun kami kalah apabila saya menurunkan Apek dalam perlawanan itu, itu tidak bermakna dia mempunyai masalah. Saya lihat kekalahan ini berpunca daripada aksi semua pemain, bukan sebab dia seorang saja," jelas Kim Swee.


Pada tiga perlawanan awal, skuad Olimpik mencatat kemenangan ke atas kelab liga Slovakia, Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1) sebelum tumpas kepada Honved FC.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Jumaat, 12 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Mak cik tak perlu lagi angkut air sungai’

Posted: 11 Aug 2011 10:52 AM PDT

HULU LANGAT: Kemeriahan Ramadan dan Syawal pada tahun ini membawa seribu erti kepada seorang warga emas berusia 79 tahun selepas menerima sumbangan air percuma selama enam bulan dan pemasangan paip percuma menerusi Program Ehsan Ramadan Tabung Budi, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (Puncak Niaga).

Seya Sinaga yang dulu penjual sayur kampung dengan memperoleh pendapatan RM280 sebulan, berkata dia bersyukur nasibnya mendapat pembelaan selepas lebih 50 tahun hidup tanpa bekalan air paip.


"Rezeki ini ialah rezeki Ramadan dan Syawal. Saya bersyukur dan gembira kerana tidak perlu mengangkut air dari sungai belakang rumah untuk membasuh baju, memasak dan mandi.

"Saya sudah tak risau mengenai risiko terjatuh atau tergelincir ketika mengambil air sungai," katanya.


Pengarah Eksekutif Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam, Abdul Halem Mat Som, berkata sumbangan itu lanjutan kepada Program Tabung Budi yang diperkenalkan pada tahun lalu.


"Walaupun kami bukan menyumbang dalam bentuk wang, tetapi saya percaya ia mengurangkan bebanan lebih-lebih lagi air sumber asas kehidupan.

"Pemberian bekalan air selama enam bulan diharap membantu golongan yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan seharian mereka. "Semoga kemeriahan Ramadan dan Syawal tahun ini membawa seribu erti dan kenangan terindah," katanya ketika menyampaikan penyerahan itu.


Selain Seya, empat keluarga lain tinggal di Kampung Lubuk Kelubi, Batu 19 3/4, di sini, yang turut menerima sumbangan Ehsan Ramadan Tabung Budi semalam ialah Mahanum Md Noor, 58, Aman Kelewon, 43, Taharuddin Wahib, 50, dan Norleya Aziz, 45.

Program Tabung Budi diilhamkan Syabas dan Puncak Niaga diperkenalkan pada 24 Ogos tahun lalu mendapat kerjasama 2,600 individu terdiri daripada kakitangan Syabas, Puncak Niaga dan individu luar.


Abdul Halem berkata, sejak Tabung Budi diperkenalkan sehingga semalam, tabung berkenaan mengumpul RM291,754.10 manakala RM15,540.30 akan diterima secara berperingkat menjadikan nilai keseluruhan kutipan RM307,294.40.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Suami ditahan

Posted: 11 Aug 2011 10:49 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 29 tahun yang mengaku suami kepada seorang wanita yang dibunuh dengan kejam sebelum mayatnya dikerat bersama anak lelakinya yang berusia 20 bulan di sebuah pangsapuri di tingkat lima Blok Chryssa, Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang, ditahan semula untuk membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki berasal dari Sabah itu ditahan reman mulai kelmarin hingga 15 Ogos ini berikutan kegagalannya mengemukakan dokumen perkahwinan.


Sebelum ini, lelaki terbabit dibebaskan selepas keterangannya diambil. Lelaki itu dipercayai tidak melaporkan kehilangan isteri dan anaknya itu kerana menyangka mereka pergi menziarah rumah keluarga.

Setakat ini, polis sudah menahan sembilan lelaki termasuk lapan warga Bangladesh bagi membantu merungkai kejadian yang bermotifkan cinta dan cemburu.


Kedua-dua mangsa yang juga warga Indonesia dipercayai dipukul dengan tukul besi sebelum mayat mereka dikerat dan dibuang dalam tandas di unit pangsapuri berkenaan yang tidak dihuni sejak 10 tahun lalu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita dan kanak-kanak pada 3 Ogos lalu.


Menurutnya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti sama ada lelaki terbabit suami kepada mangsa seperti dakwaannya sebelum ini.

"Kami menahan reman dia selama enam hari sehingga 15 Ogos ini bagi membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu," katanya.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan misteri bau busuk di sebuah pangsapuri terbongkar apabila pihak pengurusan menemui kaki kiri manusia yang sudah berulat dan beberapa organ manusia dalam tandas di tingkat lima bangunan itu. Difahamkan, beberapa anggota badan manusia turut ditemui dalam tiga bungkusan plastik berasingan di atas siling tandas dan beberapa tempat di dalam rumah berkenaan. Dipercayai, mangsa dibunuh tidak lebih dari seminggu lalu sebelum anggota badannya dikerat melebihi 15 bahagian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Simbah asid selepas perkosa

Posted: 11 Aug 2011 11:28 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bukan saja dirogol dan disamun, malah wajahnya turut disimbah sejenis cecair dipercayai asid menyebabkan mangsa berdepan risiko kemungkinan buta dan kini terlantar menerima rawatan di hospital.

Itu nasib yang menimpa seorang wanita bujang dan tinggal bersendirian selepasnya rumahnya dicerobohi seorang penjenayah bertopeng, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa yang berusia 32 tahun baru pulang ke rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju, di sini, selepas membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan berhampiran.

Menurut sumber polis, sebaik tiba di rumah, mangsa membuka kunci pintu rumahnya tanpa menyedari seorang lelaki menceroboh masuk dan bersembunyi.


"Selepas meletakkan juadah berbuka di dapur, mangsa masuk ke bilik untuk menukar pakaian sementara menunggu waktu berbuka dan ketika itu lelaki terbabit yang bertopeng menghampiri mangsa dan merogolnya," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Dikejut buaya waktu sahur

Posted: 11 Aug 2011 11:21 AM PDT

KUCHING: Bunyi bising ayam dalam sangkar ketika waktu sahur mengejutkan seorang penduduk Kampung Tanjung di tebing Sungai Sarawak, di sini apabila pemeriksaannya membawa kepada penemuan seekor buaya sepanjang kira-kira 1.5 meter, pagi semalam.

Mohammad Ali Jais, 51, berkata dia baru bangun untuk bersahur bersama keluarganya pada kira-kira jam 4 pagi sebelum terdengar ayam diternak dalam sangkar depan rumahnya bising seperti 'diganggu' sesuatu.


"Saya terus melakukan pemeriksaan selepas mendapati bunyi itu tidak berhenti, sebaliknya semakin kuat dan bergegas keluar sebelum terkejut mendapati buaya berkenaan cuba menyambar ayam saya.

"Buaya itu dilihat sudah berada di tepi sangkar dan menunggu mangsa untuk menerkam ayam itu," katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.


Mohammad Ali berkata, dia meminta bantuan tiga jiran sebelum menangkap dan mengikat kaki buaya itu dalam tempoh 15 minit walaupun reptilia itu cuba melawan.


Mohammad Ali mengakui sering melihat buaya itu timbul di sekitar tebing Sungai Sarawak, namun kejadian reptilia terbabit naik ke darat adalah pertama berlaku di perkampungan berkenaan.

"Sepanjang menetap di perkampungan ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku dan saya percaya buaya itu naik ke darat kerana mahu mencari makanan disebabkan kelaparan," katanya.


Katanya, dia bernasib kerana menyedari kehadiran buaya itu dan tidak menolak berkemungkinan reptilia itu bertindak ganas dan menyerang penduduk yang melalui kawasan berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Askar akan dikerah: Cameron

Posted: 11 Aug 2011 08:11 AM PDT

LONDON: Britain akan bertindak tegas ke atas kumpulan samseng yang mencetuskan huru-hara di beberapa bandar negara itu dan mungkin mendapatkan bantuan tentera jika rusuhan berulang.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, berkata kerajaan tidak akan membenarkan "budaya takut" wujud di jalanan negara itu.


"Kerajaan juga akan memberi kuasa kepada polis untuk menuntut orang awam membuka sebarang penutup muka selepas mendapati ramai penjarah memakai topeng ketika memecah masuk pelbagai kedai pada minggu ini, katanya kepada Parlimen yang mengadakan sidang tergempar, semalam.

Sidang itu diadakan khusus membincangkan rusuhan melanda Britain ekoran pembunuhan seorang pemuda disyaki penjenayah, Mark Duggan, 29, di Tottenham.


Menurut Cameron, mana-mana pihak yang mengalami kerugian akibat rumah atau kedai mereka dirosakkan sepanjang tempoh rusuhan boleh menuntut pampasan kepada kerajaan seperti diperuntukkan Akta Kemusnahan Rusuhan.


"Ia adalah perbuatan jenayah dan langsung tiada sebarang alasan untuk menghalalkannya," katanya.

Selain melakukan kekacauan di jalan raya, perusuh turut membakar bangunan serta kenderaan, selain menyerang polis.


Kata Cameron, kerajaan tidak akan membiarkan kekacauan tercetus di negara itu.

"Kerajaan akan melakukan apa saja bagi mengembalikan keamanan serta membangunkan semula komuniti yang terjejas.


"Kepada penjenayah yang minoriti, saya ada pesanan ini: Kami akan memburu kamu dan untuk mendakwa dan menghukum kamu.


"Semua perbuatan kamu akan dibalas," katanya.


Mengenai kehadiran polis yang meningkat kepada 16,000 orang di London ketika ini, Cameron berkata, jumlah itu akan dikekalkan sehingga hujung minggu ini.


Apabila keadaan memerlukan, kata Cameron, tentera akan dipanggil bagi menghadapi perusuh - sesuatu yang tidak pernah dilihat berlaku di Britain setakat ini. - Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Polis lancar gerakan tahan, dakwa perusuh

Posted: 11 Aug 2011 08:08 AM PDT

LONDON: Pihak berkuasa mengerah anggota polis menahan beratus-ratus suspek perusuh dalam operasi mengesan mereka menjelang subuh semalam.

Dilengkapi peralatan bersesuaian, mereka merempuh rumah yang disyaki menjadi tempat perlindungan perusuh di sekitar London.


Seorang lelaki ditahan di Brixton selepas maklumat mendakwa, dia terbabit dalam siri rusuhan berlangsung selama empat hari lalu.

Insiden itu bukan saja menyebabkan kekacauan, malah polis turut membekukan semua cuti kepada anggotanya.


Orang awam yang berang terhadap tindakan perusuh, membekalkan banyak maklumat kepada polis dan membolehkan hampir 800 orang suspek ditahan di sekitar London saja.


Penahanan berterusan itu membayangkan kesungguhan polis memburu semua suspek rusuhan terburuk di Britain sejak beberapa dekad itu.

Sementara itu, sebahagian perusuh dihadapkan ke mahkamah memaksa pendakwa bekerja lebih masa.


Antara yang didakwa, seorang budak perempuan berusia 11 tahun yang dituduh melakukan kerosakan jenayah di Nottingham. - TS

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Giliran Leya beraya di konti

Posted: 11 Aug 2011 06:16 AM PDT

PETANG itu, tidak menang tangan si ibu muda ini melayan kerenah si kembarnya. Bayangkan, belum sempat kasut dipakai dan anting-anting dipadankan dengan rantai, si kakak mula mencari perhatian, merengek agar ibunya bercakap dan melihatnya pula. Tatkala si ibu sibuk mencari posisi terbaik bagi wajahnya dirakamkan, si adik pula datang menyelinap dari belakang, ingin duduk sekali.

Penat bukan lagi persoalan kerana apa yang difikirkan, semua itu adalah anugerah terindah dan hadiah paling manis buat pelakon dan penyampai Hot FM, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid bersama suaminya, pemuzik serta komposer Muhammad Ashraf Aasimudin.

Membina perkahwinan pada usia muda iaitu pada penghujung 2007 dan percaya dengan jodoh yang ditentukan, Leya bersama suami tambah bahagia apabila dikurniakan pasangan kembar perempuan yang comel, Aza Ameena dan Asha Ameena Muhd Ashraf. Usia mereka kini sudah pun dua tahun.

"Beginilah keadaannya sekarang sebagai seorang ibu, tapi setiap saat dapat saya rasakan nikmat kebahagiaannya. Memang ada kalanya penat melayan kerenah anak kembar namun ajaibnya, rasa letih itu hilang sebaik memandang wajah mereka," katanya yang kini menetap bersama keluarga mentua di Sungai Buloh.


Meskipun masih lagi muda dan kekal dengan personalitinya yang cukup periang serta gemar bergurau, Leya yang juga anak guru lakonan, Fatimah Abu Bakar kini semakin kemas memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu dan isteri.


"Alhamdulillah saya dan Ashraf sangat bahagia. Siapa menyangka niat saya untuk berkahwin pada usia muda sangat berbaloi kerana terus dikurniakan anak kembar.
Ia memang sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam imaginasi saya sendiri.
Apabila dikaji, kebahagiaan yang saya dan suami rasai ketika ini adalah hak kegembiraan yang dikongsi bersama ahli keluarga lain terutama ibu serta ayah saya.

"Maklumlah Aza dan Asha cucu sulung mereka, jadi segala-galanya adalah buat mereka berdua. Ada kalanya saya sendiri rasa kelakar melihat orang tua saya begitu seronok melayan cucu mereka," ujar Leya kakak sulung kepada empat beradik yang semuanya anak seni.

Sesekali terdengar bisikan Asha dan Aza memanggil 'mummy' dan 'daddy' dan ketika itu juga Leya dan Ashraf cuba mendengar apa yang cuba dituturkan anak mereka walaupun tidak jelas.

Terlanjur bertemu Leya yang begitu padat dengan jadual tugasnya bersama stesen radio terbabit selain tanggungjawab di rumah, terbit juga cerita mengenai Ramadan dan Syawal.

Kata Leya, puasanya juga sama seperti Muslimin dan Muslimat lain yang dilakukan secara sederhana terutama waktu berbuka. Kalau ada masa dia akan berkunjung ke mana-mana bazar Ramadan untuk membeli juadah selain memasak sendiri di rumah.

"Bersahur macam biasa, kami makan sekadar mengalas perut. Kalau terlalu kenyang susah pula hendak tidur," kata Leya yang akan menyediakan rendang daging dan kuah kacang kegemaran suaminya tahun ini.

Daripada sudut persiapan raya pula, Leya belum sempat melakukannya, namun tumpuan yang lebih akan diberikan kepada dua anak kembarnya itu.

"Sebenarnya saya dan adik-beradik yang lain tidak membuat persiapan yang besar untuk menyambut Aidilfitri kerana sejak kecil lagi, ibu bapa kami lebih mengutamakan sambutan Ramadan.

"Justeru apabila sudah ada anak sendiri, saya rasa macam kekok untuk sambut raya besar-besaran. Bagaimanapun, saya dan Ashraf tetap akan membeli baju raya buat Asha dan Aza sebab seronok tengok mereka pakai baju sama corak dan warna pada pagi raya.

"Insya-Allah kalau ada peluang dan kelapangan, saya akan membawa mereka pergi membeli-belah nanti," kata Leya yang kali ketiga beraya sebagai isteri.

Bersulam dengan senyuman, Leya sambil membetulkan baju Melayu Ashraf itu memberitahu, tahun ini gilirannya bekerja pada hari raya.

Meskipun terpaksa beraya di konti Hot FM, penyampai radio yang juga pelakon handalan ini tidak sekelumit pun merungut kerana baginya semua itu sudah komitmen kepada majikannya.

"Memang inilah situasi penyampai radio mahupun warga kerja bidang penyiaran. Tidak kira cuti atau hari perayaan, kita terpaksa bersedia untuk bekerja demi terus menghiburkan pendengar dan menyalurkan maklumat.

"Mungkin selepas bertahun-tahun bersama Hot FM, giliran saya pula yang kena bekerja pada hari raya. Sebelum ini penyampai lain juga sudah pernah merasa. Kita kena bertimbang rasa dan berkompromi.

"Mujur juga saya dan suami memang asal orang Kuala Lumpur dan tidak perlu khuatir sangat memikirkan soal nak balik kampung. Memang rutin setiap tahun pun saya dan suami akan beraya di sini saja dan kemudian barulah meronda bersama keluarga untuk melawat sanak-saudara yang lain.

"Jadi bekerja pada pagi raya bukanlah satu masalah kerana selepas habis tugas, saya sudah boleh bergegas pulang ke rumah keluarga di Bandar Sri Damansara. Apa yang penting kita masih berpeluang jumpa ahli keluarga lain," katanya yang kini bertugas bagi segmen Menu Muzik Hot FM setiap Isnin hingga Jumaat jam 11 pagi hingga 3 petang.

PROFIL ALEYA

Nama penuh: Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid
Tarikh lahir: 27 April 1983
Usia: 28 tahun
Tempat lahir: Petaling Jaya, Selangor
Suami: Muhammad Ashraf Aasimudin
Anak: Aza Ameena Muhd Ashraf & Asha Ameena Muhd Ashraf
Kerjaya: Penyampai radio Hot FM, pelakon, pengacara, jurucakap produk
Filem: Idola, Diari Romeo, Mimpi Moon, Trauma, Pontianak Harum Sundal Malam, Man Laksa, Mukhsin, Magika
Pengacaraan TV: Golden Teen Stuff, KFC's Chicky Hour, Manggo TV, Latido
Teater: Teater Muzikal Terima Kasih Cinta
Pencapaian: Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-17 (FFM17) menerusi Trauma
Jurucakap produk: Nuvafemme

PROFIL ASHRAF:

Nama penuh: Muhammad Ashraf Aasimudin
Tarikh lahir: 10 April 1980
Usia: 31 tahun
Tempat lahir: Sunderland, England
Pendidikan: Diploma Muzik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Kerjaya: Pemuzik, komposer
Karya: Lagu untuk Wana, Nashrin, Fiq (Mentor), Faradhiyya

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Sambung pembikinan di London

Posted: 11 Aug 2011 06:01 AM PDT

BERJAYA dengan 1957: Hati Malaya, Datin Paduka Shuhaimi Baba atau Shumi kembali lagi dengan filem genre serupa berjudul Tanda Putera.

Kali ini pengarah berpengalaman itu menampilkan kisah hidup, pengorbanan serta persahabatan dua rakan karib yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia dan timbalannya, Tun Abdul Razak serta Tun Dr Ismail.

Filem yang dihasilkan Pesona Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) serta Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDEC) itu sudah 95 peratus siap dan bakinya akan disudahkan seminggu selepas Aidilfitri termasuk menyambung penggambaran di London, England.

Ditemui pada majlis doa selamat selesai penggambaran dan majlis berbuka puasa sekali gus memperkenalkan pelakon filem itu di Dataran Finas, Hulu Klang, Selasa lalu, Shumi bagaimanapun menjelaskan ada beberapa babak terpaksa dilakukan semula kerana ia tidak menjadi seperti yang diharapkan.


Antara halangan itu, Shumi tidak dapat melakukan babak rusuhan kaum memandangkan pada tarikh yang sama, 9 Julai lalu, berlaku tunjuk perasaan 'Bersih' di ibu negara, mengakibatkan banyak kereta peronda serta trak polis yang sepatutnya menjadi props dibawa keluar bertugas.


"Lima peratus lagi baki penggambaran memang membabitkan babak penting. Untuk meneruskan penggambaran babak rusuhan pada bulan puasa rasanya memang tidak sesuai dan selebihnya babak Tun Razak sakit di London selama empat hari. Ia perlu dilakukan pada musim dingin kerana dengan ini barulah penonton boleh rasai suasana sebenar," katanya.

Kata Shumi lagi, sebelum ini pihaknya pernah cuba menjalani penggambaran babak Tun Razak sakit ketika musim panas, tetapi ia tidak mampu menzahirkan gambaran sebenar situasi yang pernah berlaku.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai filem yang menampilkan Rusdi Ramli sebagai Tun Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin) itu, Shumi akui dalam merencanakan filem berkenaan, masalah kekurangan bahan rujukan turut menjadi cabaran bukan saja kepada dirinya, tetapi juga pelakon.

"Seperti yang diberitahu sebelum ini, kami mengambil masa empat tahun untuk membuat rujukan sebagai persediaan. Bagaimanapun, tidak semua yang kami mahu diperoleh. Wakil keluarga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) turut membantu. Selebihnya maklumat diperoleh menerusi pembacaan, pementasan teater yang pernah dilakukan sebelum ini dan sedutan berita atau filem dokumentari.
Rujukan membabitkan watak sampingan juga agak sukar," katanya.

Bagi mengatasi masalah terbabit Shumi bertumpu kepada penghayatan pelakon sewaktu sesi latihan diadakan. Begitupun ada antara pelakon terbabit berkesempatan bertemu dengan keluarga rapat kedua-dua negarawan itu bagi mengenali watak sebenar ketika hayat mereka.

"Kami juga berjaya mengesan kembali orang gaji Tun Ismail yang kami panggil Amoi. Syukur ingatannya masih kuat jadi banyak juga bahan yang kami peroleh daripadanya. Kami juga dapat tahu Tun Dr Ismail turut membantu Amoi membeli rumah sebelum beliau meninggal dunia," katanya.

Shumi nyata mengharapkan Tanda Putera akan lebih berjaya berbanding 1957: Hati Malaya apabila ia ditayangkan kelak memandangkan latar filem itu berlatarbelakangkan era 1970-an.

"Bagi saya dua Tun ini adalah hero sejati. Bayangkan Tun Razak tahu dia akan pergi kerana penyakit yang dihidapinya itu, tetapi dia tidak pernah tunjuk kesengsaraan yang dialami walaupun kepada isterinya sendiri. Bukan itu saja, dia juga cuba membantu rakyat miskin di setiap ceruk kampung. Masanya dihabiskan untuk rakyat. Dia kata akan membantu rakyat sepenuh jiwa raga dan itu jugalah yang dilakukan.

"Persahabatan Tun Razak dan Tun Dr Ismail juga hebat. Mereka menangani setiap masalah yang berlaku dalam negara dengan begitu cepat. Apatah lagi pada waktu sama negara turut berhadapan peristiwa rusuhan 13 Mei dan penguasaan komunis dalam bandar yang mahu membunuh pemerintah negara. Semua ini turut dipaparkan dalam Tanda Putera," katanya.

Menyentuh mengenai isu sensitif membabitkan filem itu jelas Shumi, sebagai pengarah dia mengekalkan rentetan peristiwa penting terutama rusuhan 13 Mei.

"Tapi ia bergantung kepada pihak LPF (Lembaga Penapisan Filem). Namun, pada saya ia sangat penting untuk dikekalkan agar masyarakat hari ini faham dan mengambil iktibar. Contohnya, rusuhan 13 Mei berpunca daripada sambutan kejayaan satu pihak dalam pilihan raya. Dalam meraikan kegembiraan itu, terkeluar kata-kata yang melampau.

"Dalam kajian dilakukan menunjukkan kejadian bermula apabila dua orang Melayu cedera sewaktu ditahan dalam satu sekatan jalan raya. Kebetulan yang melakukan sekatan itu adalah kaum Cina. Jadi cerita sudah dipusing-pusing sehingga tercetusnya perbalahan.

"Apapun kita boleh dijadikan semua itu satu pengajaran terutama kepada generasi sekarang kerana itu saya meletakkan harapan tinggi terhadap filem ini agar ia ditonton semua lapisan masyarakat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Cabaran lebur setengah jam

Posted: 11 Aug 2011 08:40 AM PDT

TENTANGAN yang dijangkakan daripada Park Sung-hwan tidak kunjung tiba dan akhirnya pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei melangkah mudah ke suku akhir.

Turun dengan tanggapan pemain Korea itu akan memberikannya cabaran sengit, Chong Wei sebaliknya tidak perlu mengerah seluruh keringat ketika menang 21-10, 21-5 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.


"Berbanding dua perlawanan sebelum ini, ini pertemuan paling mudah buat saya. Memang saya tak sangka akan menang cara sebegini. Saya tidak tahu mengapa tapi saya lihat Park bagaikan tidak bermain seperti biasa," kata Chong Wei selepas pertemuan pusingan ketiga di Arena Wembley semalam.

Sung-hwan bagai mati akal apabila setiap pergerakan dapat dibaca Chong Wei sehingga membuatkan pemain itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun cuba menukar taktik permainan daripada perlahan menjadi laju.


Ganjaran daripada kemenangan itu buat Chong Wei adalah tiket dalam kelompok lapan terbaik, bertemu pemenang antara 'pembunuh gergasi' Kevin Cordon dari Guatemala yang pernah dikalahkannya di pusingan pertama di Paris atau Pablo Abian dari Sepanyol.


"Mana-mana pemain yang saya jumpa nanti tidak menjadi hal. Yang penting tidak memandang rendah kedua-duanya kerana mereka juga hebat. Jika tidak sudah tentu mereka tidak membuat kejutan dan mara sejauh ini," kata Chong Wei.

Cordon, terutamanya, membuatkan kehadirannya di temasya ini dirasai apabila mencipta kemenangan mengejut ke atas Chen Long di pusingan pertama.


"Oleh itu, saya akan terus memberi fokus kepada permainan saya sendiri tanpa perlu memikirkan mereka," katanya.

Mengenai ketiadaan Taufik Hidayat dari Indonesia yang tewas mengejut kepada pemain Singapura, Derek Wong di pusingan kedua, lewat malam kelmarin, Chong Wei berkata: "Saya sebenarnya tidak begitu bimbangkan Taufik tapi lebih kepada Chen Jin." Taufik dan Chen Jin berada dalam undian Chong Wei dan berikutan ketiadaan pemain Indonesia itu, besar kemungkinan pemain China itu akan ditemuinya di separuh akhir.


Sementara itu, jurulatih perseorangan, Tay Seu Bock pula berkata, Sung-hwan tidak dapat bermain baik kerana Chong Wei bertindak cemerlang mematikan setiap pergerakannya.


"Sung-hwan pemain stroke dan dia berdepan masalah permainan pantas Chong Wei. Apabila dia cuba bermain pantas, Chong Wei pula lebih laju," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tekanan Seu Bock

Posted: 11 Aug 2011 08:36 AM PDT

TAY Seu Bock mengakui menghadapi tekanan sejak menjadi jurulatih Datuk Lee Chong Wei sejak lapan bulan lalu.

Sambil mengakui sekarang baru beliau mengetahui tekanan yang dialami bekas jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek, jurulatih berusia 38 tahun itu berkata, kadangkala apa yang dihadapinya itu terlalu berat untuk dipikul.


"Suka atau tidak, saya terpaksa menghadapi tekanan itu, biarpun terlalu berat kerana seluruh rakyat Malaysia mahukan Chong Wei menang setiap kali beraksi," katanya semalam.

Sejak mengambil alih daripada Misbun yang meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan awal tahun ini, Seu Bock bagaimanapun sudah membuktikan keupayaannya dengan membimbing Chong Wei memenangi enam kejuaraan sepanjang tahun ini.


Kecuali Terbuka Korea yang menyaksikannya tumpas kepada Lin Dan, Chong Wei memenangi Siri Super Masters Final, Terbuka Malaysia, Seluruh England, Terbuka India, Siri Emas Terbuka Malaysia serta Terbuka Indonesia dan kini berada dalam laluan tepat ke arah pemburuan takhta sulungnya di Kejohanan Dunia.


Begitupun, Seu Bock mengakui yang ramai orang bercakap mengenai dirinya yang mengambil kredit atas segala yang dilakukan bekas jurulatih Li Mao dari China dan Misbun.

"Macam-macam mereka kata dalam blog dan facebook. Ada yang kata, saya curi Chong Wei. Tapi, bagi mereka yang mengetahui permainan Chong Wei, mereka tidak akan bercakap begitu. Mereka tahu saya membuat perubahan dengan apa yang saya lakukan," katanya.


Mengenai perbezaan yang dicapai Chong Wei sejak berada di bawah bimbingannya, Seu Bock berkata jika dulu pemain nombor satu dunia itu hanya beraksi menggunakan satu atau dua skil, tapi kali ini dia sudah boleh mempelbagaikan pergerakannya.

"Chong Wei juga kini lebih berdikari, tahu apa yang perlu dilakukannya setiap kali turun ke gelanggang dan semua itu memudahkan saya membimbingnya," katanya.


Menurutnya, dia juga mengamalkan corak komunikasi dua hala ketika membimbing Chong Wei apabila setiap latihannya dibincangkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan.


"Jika Chong Wei cakap latihan yang akan diterapkan itu ok buatnya, baru saya laksanakan kerana saya mahukan yang terbaik daripadanya," katanya.


Seu Bock berkata, tugasnya membimbing pemain utama negara itu menjadi mudah dengan sikap profesional Chong Wei.


"Sungguh mudah membimbingnya kerana dia tahu apa yang dimahukannya. Bagi sesetengah orang mengendalikan pemain bertaraf bintang mungkin menghadirkan masalah tapi tidak Chong Wei kerana dia masih seorang pemain yang bersikap rendah diri," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved