Ahad, 28 Ogos 2011

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Fergie hati-hati

Posted: 27 Aug 2011 07:22 AM PDT

MANCHESTER, United Kingdom: Sir Alex Ferguson mengingatkan Manchester United perlu berwaspada dengan kebangkitan Arsenal apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris, malam ini.

Juara bertahan itu memulakan kempen penuh bergaya dengan kemenangan berturut-turut manakala Arsenal pula hanya berjaya mengutip satu mata.


United mungkin mempunyai kelebihan lapan mata selepas perlawanan di Old Trafford itu tetapi Ferguson enggan mememandang mudah aksi itu.

Beliau sedar Arsenal dan pengurusnya Arsene Wenger kini terluka selepas permulaan hambar serta penjualan dua bintang, Cesc Fabregas dan Samir Nasri.


Namun, Feruson mengiktiraf kemampuan Arsenal selepas menewaskan Udinese untuk layak beraksi di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dan ia pastinya menaikkan semangat pemain kelab itu.


"Mereka menjawab segala kritikan kerana ramai menyangka mereka akan tersingkir tapi saya tidak fikir begitu," katanya.

"Saya yakin mereka menang. Perlawanan hari ini menjadi satu lagi batu loncatan buat mereka.


"Mereka pasti cuba menang tapi prestasi kami baik dan tidak sabar menantikan perlawanan itu.

"Pertembungan ini selalunya hangat dan penting menentukan kedudukan liga pada hujung musim. Ia perlawanan yang sering dinantikan," katanya.


Wenger yakin zaman tidak berdisiplin kini sudah berakhir.


"Saya percaya kami lebih mantap Ahad ini dan mempamerkan persembahan hebat," katanya.


"Kami tertekan dan anda boleh rasakan suasana tegang dalam pasukan sebelum perlawanan menentang Udinese. Pada perlawanan pertama saya boleh rasakan kedudukan skuad terancam dan ia terserlah ketika menentang Liverpool.


"Semua itu sudah berakhir dan saya yakin anda akan melihat pasukan yang lebih meyakinkan di Manchester," katanya.


Pertahanan, Thomas Vermaelen menjalani ujian kecergasan tetapi Laurent Koscielny dijangka kembali manakala Tomas Rosicky dan Johan Djourou bakal kembali cergas. - AFP

Messi julang Barcelona

Posted: 27 Aug 2011 07:19 AM PDT

MONACO: Cesc Fabregas menjaringkan gol pertamanya buat Barcelona ketika juara Eropah itu mengetepikan cabaran Porto 2-0 untuk menjuarai Piala Super, semalam.

Fabregas, yang berpindah dari Arsenal dengan bayaran 29 juta euro (RM125.5 juta) awal bulan ini menjaringkan gol dua minit sebelum tamat perlawanan selepas diturunkan sebagai pemain gantian lapan minit sebelum itu.


Lionel Messi meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-39 ketika skuad gergasi Sepanyol itu menambah gelaran Piala Super Eropah selepas Piala Super Domestik, minggu lalu.

Porto, juara Liga Europa musim lalu menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Jorge Rolando dan Fredy Guarin dilayangkan kad merah pada hujung permainan. Jaringan Fabregas pasti dikenang sebagai antara yang tercantik pernah dijaringkannya.


Messi menyungkit bola melepasi barisan pertahanan untuk disambut Fabregas yang dengan tenang mengawal bola di dada sebelum melakukan voli melepasi Helton di gawang Porto.


Ia adalah jaringan pertama Fabregas selepas dia menjaringkan gol Arsenal ke atas Huddersfield dalam Piala FA Januari lalu.

"Terima kasih atas sokongan anda. Apa yang boleh saya ingati ketika ini adalah apa yang dilakukan Arsenal untuk karier saya. Pastinya akan saya kenang selama-lamanya," tulis Fabregas di laman Twitter selepas Barcelona memenangi Piala Super kedua dalam tempoh tiga tahun.


Messi menyumbang jaringan awal buat Barcelona di Stade Louis II apabila Porto kehilangan bola di bahagian tengah dan lenggokan tubuh Messi berjaya memperdayakan Helton sebelum menolak bola ke gawang.

Jurulatih Barcelona, Josep Guardiola memuji bintang Argentina itu.


"Kami semua tahu apa yang Leo mampu lakukan. Dia melakukan perkara hebat biarpun ketika latihan," kata Guardiola.


"Bila kami dalam perlawanan akhir, saya sedar kami boleh mengharapkannya. Pemain saya sungguh bangga. Mereka masih muda dan inginkan kejayaan," katanya. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Ada maklumat dirahsia

Posted: 27 Aug 2011 08:10 AM PDT

SUNGAI SIPUT: Ada yang menghantar surat berserta biodata lengkap seperti surat memohon kerja, meluahkan perasaan secara bertulis, malah tidak kurang yang lebih 'gentleman' berjumpa ayahnya semata-mata mahu menyampaikan hasrat di hati.

Memegang status janda popular menyebabkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 34, menjadi perhatian ramai lelaki, sama ada orang kebanyakan mahupun berstatus VIP.


Lebih-lebih lagi kisahnya menjadi perhatian tiga tahun dulu berikutan kesanggupannya menjalani hukuman sebat atas kesalahan minum arak dan sejak itu setiap perkembangannya menjadi hiasan di dada akhbar hinggalah kisah perceraiannya dengan seorang warga Singapura.

Namun, buat masa ini, tidak terlintas di hati wanita kelahiran Kampung Jawang, di sini, itu untuk mengakhiri zaman jandanya, apatah lagi dia baru kehilangan anak sulung, Mohamad Azfar Muhammad Affandi, 9, akibat lemas pada 8 Mei lalu.


Kartika tidak menafikan tertarik dengan surat 'lamaran' diterima, namun individu yang melamarnya merahsiakan beberapa maklumat, terutama status terkini.


"Surat yang saya terima rata-rata menyertakan maklumat positif, namun saya terpaksa menolak kerana mereka masih berstatus suami orang.

"Saya tidak percaya 100 peratus maklumat diberi, sebaliknya melakukan siasatan bagi memastikan ia benar," katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.


Menurutnya, dia tidak sanggup menghancurkan hati wanita lain semata-mata mahu mengakhiri status janda kerana percaya faktor takdir yang pasti berbalik kepadanya jika melakukan sesuatu yang buruk.

Katanya, bukan bermakna dia menutup pintu hatinya kepada lelaki lain selepas bercerai dengan bekas suami, Muhammad Afandi Amir, 39, tahun lalu, tetapi Kartika enggan memikirkannya dalam masa terdekat.


"Saya baru mengambil alih perniagaan inap desa Perak River Safari daripada ayah dan tumpuan kini hanya kepada kerja untuk mempromosikannya yang diuruskan bersama dua abang saya.


"Wanita mana tidak mahu hidup bersama lelaki bergelar suami, tetapi ia (berkahwin) bukan keutamaan saya dalam tempoh lima tahun ini.


"Namun, jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam tempoh itu, siapalah saya untuk menolaknya," katanya.


Kartika berkata dia tidak meletakkan syarat bagi mereka yang ingin menyuntingnya sebagai suri hati tetapi paling penting, lelaki berkenaan menerima anaknya, Wann Kaitlynn Saridewi Muhammad Affandi, 7.


Katanya, anak adalah keutamaannya kini, lebih-lebih lagi sejak melalui kejadian sedih yang meragut nyawa anak sulungnya ketika insan lain yang bergelar ibu gembira menyambut Hari Ibu.


Bagaikan menjadi penawar duka, Kartika menerima seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang diberi seorang wanita seminggu selepas pemergian Azfar untuk dijadikan anak angkat.


Kanak-kanak perempuan itu yang dikenali sebagai Qaisara tidak dianggap pengganti Azfar, sebaliknya sebagai kawan kepada Wann Kaitlynn.


"Qaisara tidak akan sama dengan Azfar kerana anak sulung saya mempunyai tempat istimewa dalam hati saya dan dia (Azfar) tetap saya kenang dan sayang sehingga ke hujung nyawa.


"Bagaimanapun, saya tetap mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bagi kepada Qaisara kerana dia adalah amanah yang perlu saya pelihara dengan sewajarnya," katanya.


Seperti Azfar, Qaisara tergolong dalam kategori kanak-kanak istimewa kerana mengalami masalah lembam tetapi Kartika reda menerima kekurangan anak angkatnya itu.

Ke rumah mentua

Posted: 27 Aug 2011 08:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Insya-Allah, tahun pertama bergelar isteri, saya akan mengikut abang pulang berhari raya di kampungnya di Sungai Besar (Selangor)," kata isteri muda pengacara dan penyampai radio popular, Salih Yaacob, Samihah Sheikh Ali, 25.

Samihah atau lebih mesra dengan panggilan Emi mengikat tali perkahwinan dengan Salih penghujung Mei lalu, mengakui ia adalah pengalaman baru baginya yang sebelum ini meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Mersing, Johor.


"Sekarang saya berada di kampung (Mersing) dan akan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad (hari ini) ini menaiki bas bagi menyediakan persiapan raya di keluarga mentua pula.

"Selama empat bulan bergelar isterinya, saya mula memahami sikapnya yang terlalu bersederhana malah persiapan hari raya kali ini pun ditentukan abang dan kakak (madu) yang lain," katanya ketika dihubungi Metro Ahad.


Menurutnya, Salih sering mengingatkannya mengenai sambutan perayaan secara sederhana dan mengikut kemampuan mereka, selain membuang tanggapan hanya menziarahi kubur serta bermaafan di Aidilfitri. Menjawab persoalan mempunyai keistimewaan bergelar isteri muda, Emi menafikan tanggapan berkenaan malah menyifatkan suaminya bersikap adil terhadap keempat-empat isterinya.


Malah ia terbukti sepanjang Ramadan lalu, apabila mereka sekeluarga kerap berbuka puasa bersama-sama sekali gus mengeratkan lagi hubungan mesra yang sedia ada.

Emi juga tidak menolak kemungkinan mereka sekeluarga bakal menyambut hari raya bersama-sama, namun tarikhnya masih belum ditentukan Salih.


Lebih melegakan Emi yang juga pembantu peribadi Salih, adalah pengertian dan sokongan ibu bapanya yang sentiasa memahami kedudukannya mempunyai keluarga besar.

Sementara itu, Salih ketika dihubungi berkata, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya apabila memiliki keluarga besar, dia mempraktikkan sistem giliran pulang ke kampung empat isterinya.


"Saya beruntung apabila dianugerahkan isteri yang memahami dan berdikari. Malah diakui keempat-empat isteri saya bijak memainkan peranan mereka sendiri sambil mendapatkan pandangan saya sebagai suami sebelum membuat keputusan.


"Saya tidak pernah menghalang isteri jika mereka ingin menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa masing-masing biarpun lebih afdal mereka berada di sisi saya kerana memahami kerinduan mereka terhadap keluarga," katanya.


Menurutnya, dia akan mencuri masa untuk menziarahi keluarga mentuanya di Kajang, Selangor (isteri pertama), Bagan Serai, Perak (isteri kedua), Alor Setar, Kedah (isteri ketiga) dan Mersing (isteri keempat).


Katanya, dia akan memanfaatkan sebarang jemputan pertunjukan pentas di tiga negeri berkenaan untuk beraya di kampung mentuanya. Selain itu, Salih berkata, dia bercadang mengadakan rumah terbuka untuk peminat namun enggan menetapkan sebarang tarikh kerana bimbang hajat itu tidak kesampaian.


Tambahan pula, dia kini bakal melancarkan produk berasaskan makanan jenamanya sendiri bulan depan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Sabtu, 27 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sebulan layan along di kelab

Posted: 26 Aug 2011 11:48 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya dah tak ada jalan, terpaksa buat pinjaman dengan along. Sekarang hutang dah RM15,000. Semua ini berlaku akibat kecewa dengan institusi perbankan," kata Syarifah Azliner Hajar Syed Khalid, 40.

Dia mendakwa permohonan untuk mendapat pinjaman skim mikro kewangan dengan beberapa institusi perbankan tidak diluluskan tanpa alasan munasabah manakala permohonan dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional yang dibuat pada 13 Julai lalu di Bandar Tasik Selatan, di sini, masih dalam status 'menunggu'.


Berikutan itu, dia yang mengusahakan pakej hantaran untuk perkahwinan kini dalam dilema apabila ramai pelanggan tetapnya mula melarikan diri berikutan gagal menyiapkan tempahan dalam tempoh ditetapkan.

"Malah, untuk dapatkan pinjaman along bukan mudah. Saya terpaksa layan mereka hampir sebulan di kelab malam.


"Jika tak permohonan saya tidak diluluskan. Untuk buat pinjaman dengan individu persendirian, lain pula ceritanya, saya diajak ke hotel," katanya yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dan beroperasi di rumahnya di Bandar Tun Razak, di sini.


Syarifah Azliner mengusahakan perniagaan itu sejak tiga tahun lalu. Dia mendakwa tidak mempunyai hutang tertunggak melainkan lewat membayar kad kredit dan kereta.

Dia mendakwa, pinjaman dengan along jalan terakhir yang mampu dilakukan selepas putus harapan terhadap institusi perbankan dan agensi berkaitan kerajaan kerana pelbagai kerenah birokrasi.


"Bermula dengan RM2,000, kemudian saya pinjam sedikit demi sedikit dan sekarang angkanya mencecah RM15,000 termasuk bunga.

"Saya tahu akibat membuat pinjaman dengan along, tapi dah terdesak. Di mana lagi mahu dapatkan wang untuk berniaga," katanya menambah hanya bidang perniagaan yang mampu dilakukan sejak 20 tahun lalu.


Syarifah Azliner berkata, dia berusaha mengikuti nasihat diberikan institusi perbankan bagi membolehkannya mendapatkan modal perniagaan.


"Pihak bank nasihatkan saya bayar cukai perniagaan dan saya pernah buat.


"Malah, saya juga menukar alamat dalam kad pengenalan, kononnya mudah untuk mendapatkan kepercayaan daripada pihak bank, tapi itu semua tidak betul," katanya.

Si cilik jual bunga pusara

Posted: 26 Aug 2011 11:45 AM PDT

KUALA LUMPUR: Syakira Wira, si kecil berusia lima tahun ini ringan tulang membantu neneknya, Wan Sakinah, 46, dan ibunya, Noryulaila Mohd Din, 30, berniaga bunga rampai untuk ditabur di atas pusara di hadapan pintu masuk tanah perkuburan Islam Jalan Ampang, dekat sini.

Mereka menjual bunga rampai dan air mawar yang masing-masing berharga RM2 dan RM3 dari awal Ramadan sehingga hari ketiga Syawal bermula jam 7 pagi hingga 2 petang.


Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat dua peniaga lain di pintu masuk tanah perkuburan itu yang turut menjual bunga rampai dan air mawar.

Menurut seorang peniaga di situ yang hanya hanya dikenali sebagai Liza, mereka berniaga setiap tahun dalam tempoh terbabit memandangkan pada masa itu ramai pengunjung yang akan menziarahi pusara.


"Awal puasa tidak ramai pengunjung dan kami hanya berniaga pada hujung minggu saja dari pagi sampai petang. Dua minggu terakhir puasa hingga awal Syawal memang ramai pengunjung," katanya ketika ditemui.


Nurul Amira, 12, dan Amri, 10, kakak dan abang kepada Syakira turut membantu nenek dan ibu mereka dengan mengambil upah membersihkan pusara.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Safiq uji nasib

Posted: 26 Aug 2011 10:48 AM PDT

KAPTEN skuad Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim bersedia untuk menguji nasib bersama Cardiff City apabila ditawar menjalani pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan itu selepas tamat kempen Piala Malaysia hujung Oktober ini.

Peluang itu hadir selepas pengerusi kelab The Bluebirds itu yang juga ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee mengadakan perbincangan dengan Safiq semalam.


"Memang betul saya ditawarkan tempat untuk menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff City. Saya sudah menyerahkan semua dokumen peribadi untuk urusan itu dan perbincangan lanjut akan diadakan selepas hari raya, minggu depan.

"Saya gembira dengan tawaran yang diberikan ini walaupun ia hanya ujian pemilihan. "Tawaran yang diberikan kelab ini juga membuktikan betapa aksi pemain tempatan juga sudah dipantau kelab luar.


"Saya berjanji akan memberikan yang terbaik, InsyaAllah saya harap akan berjaya di sana," kata pemain tengah skuad Liga Super, Selangor itu.


Usaha pemain berusia 24 tahun itu nampak lebih realistik memandangkan syarat untuk bermain dalam Liga Kejuaraan itu tidak begitu ketat berbanding beraksi di Liga Perdana Inggeris.

Menurut Safiq yang mengetuai skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu, jika pemilihan itu berjaya, dia akan ditawarkan kontrak oleh Cardiff City.


"Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, tak ada masalah untuk saya beraksi dalam divisyen satu (Liga Kejuaraan) berbanding Liga Perdana Inggeris yang mengenakan syarat hanya pemain dari negara ranking dunia 70 ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya 75 cap bersama skuad senior kebangsaan.

"Saya akan menjalani ujian pemilihan selama tiga minggu dan jika mereka berpuas hati dengan prestasi saya, mereka akan menawarkan kontrak ketika musim perpindahan pemain Januari tahun depan," kata Safiq yang turut menyatakan kemungkinan penyerang, Mohd Safee Sali turut mengikut jejak langkahnya.


Selain dianggap pemain berpengaruh di bahagian tengah, Safiq juga cukup terkenal sebagai pakar sepakan percuma. Antara gol menarik yang pasti dikenang penyokong Harimau Malaya adalah ketika dia menjaringkan gol menentang Liverpool pada perlawanan persahabatan Julai lalu.

Beng Hai ketepi Azlan

Posted: 26 Aug 2011 10:42 AM PDT

BEBERAPA tonggak utama termasuk Azlan Misron tidak tersenarai dalam skuad hoki negara beraksi di saingan Trofi Kejuaraan Asia pada 3 hingga 11 September di Ordos, China.

Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) memberi alasan kumpulan pemain yang diketepikan itu akan direhatkan tetapi bakal menjadi watak penting untuk dua saingan utama selepas ini.


Selain Azlan yang berdepan masalah kecederaan, beberapa pemain lain seperti Kevinder Singh umpamanya juga tidak tersenarai sementara Hafifihafiz Hanafi memohon untuk diketepikan selepas baru kehilangan bapanya awal Ramadan lalu.

Sebaliknya, ketiadaan beberapa tonggak utama itu memberi ruang kepada dua pemain dari skuad remaja, Mohd Fitri Saari serta Amir Farid Ahmad Fuzi untuk membuktikan kemampuan mereka selepas berjaya memikat hati jurulatih, Tai Beng Hai untuk di bawa ke Ordos.


Beng Hai pada sidang media pengumuman kumpulan 18 pemain ke Ordos oleh Timbalan Presiden PHM, Datuk Nur Azmi Ahmad semalam menegaskan, pemain yang diketepikan itu akan menjadi watak penting untuk Cabaran Juara-Juara 1 di Afrika Selatan hujung November serta pusingan kelayakan Sukan Olimpik awal tahun depan.


"Mungkin ada sesetengah pihak menganggap pemilihan pemain tidak adil, tetapi inilah barisan pemain terbaik yang kami ada untuk memikul tugas di China.

"Pemilihan pemain juga bergantung kepada objektif satu-satu kejohanan. Trofi Kejuaraan Asia tidak menawarkan mata untuk memperbaiki kedudukan ranking skuad negara dan lebih baik untuk kami memberi peluang kepada pemain muda," katanya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Habuan’ selamat dua adik maksiat

Posted: 26 Aug 2011 01:13 PM PDT

JOHOR BAHRU: Demi menyelamatkan dua adik perempuannya daripada terus bergelumang dosa, seorang kakak menempuh pengalaman pahit apabila putus jari kelengkeng akibat ditetak teman lelaki seorang adiknya.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Hidayah itu berkata, selain putus jari kelengkeng, jari manisnya cedera dan kecacatan itu menyebabkan dia kehilangan pekerjaan sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

"Lebih memilukan majlis perkahwinan saya yang sepatutnya diadakan akhir Jun lalu turut dibatalkan. Itu 'habuan' yang saya terima dalam usaha menyelamatkan dua adik daripada kancah maksiat," katanya.

Menurutnya, insiden itu berlaku pada 24 Mei lalu di rumah sewa kedua-dua adik perempuannya, dikenali sebagai Aishah, 20 dan Ain, 16, di sebuah taman perumahan di sini dan mereka bersekedudukan dengan teman lelaki masing-masing.


"Kakak mana boleh bersabar dengan sikap mereka yang bukan saja tinggal bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam itu sejak April lalu, malah teman lelaki seorang daripada adik saya juga terbabit penagihan dadah," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Putus kaki, tangan kiri

Posted: 26 Aug 2011 01:10 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki putus kaki dan tangan kirinya akibat ditetak dengan parang selepas diserang 10 lelaki bertopeng ketika menunggu hidangan di sebuah restoran di Taman Intan Baiduri, Kepong di sini, kelmarin.

Difahamkan, semua lelaki terbabit yang bersenjatakan parang dan kayu turut menyerang semua pelanggan di restoran berkenaan sebaik tiba di tempat kejadian.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, semua pelanggan dan pekerja restoran itu dapat melarikan diri kecuali mangsa yang terperangkap menyebabkan dia dipukul dan ditetak sebelum ditinggalkan berlumuran darah dan tidak bermaya.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berusia 20 tahun sedang menunggu makanan dipesan sebelum tiba-tiba diserang 10 lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan kayu.


"Semua penyerang menaiki dua kereta ke restoran itu. Sebaik turun dari kenderaan, mereka terus menyerang pelanggan yang berada di restoran berkenaan.

"Mangsa yang gagal melarikan diri dipukul dengan kayu dan ditetak tanpa belas kasihan," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Seronok sambut raya dua budaya

Posted: 26 Aug 2011 08:24 AM PDT

DENGAN pakej menarik yang dimiliki mereka, sepantas kilat nama Nur Fathia Abd Latiff (Fathia), 24, Syakila Nisha Jahangir Khan (Kilafairy), 19, berjaya menempa populariti dalam dunia hiburan yang disimbah glamor.

Jadi usah terkejut andai menyelak muka depan halaman hiburan arus perdana mahupun majalah ketika ini apabila wajah mereka mula terpampang di sana-sini sebagai penyeri.

Lalu RAP turut tergerak mempertemukan dua jelitawan ini untuk berkongsi cerita raya mereka sekalipun menyedari kesibukan jadual seni masing-masing.

Berdarah campuran, Fathia dilahirkan dalam keluarga berketurunan Arab sebelah ibu manakala ayah Kilafairy (Kila) pula keturunan Pakistan.


Memulakan perbualan, Fathia berkata, jika kebanyakan wanita Melayu menggayakan baju kurung di pagi raya, dia dan saudara-mara yang lain akan mengenakan jubah selain bertudung.


"Situasi sebegini dapat dilihat jika perayaan Aidilfitri itu disambut sebelah keluarga ibu Fathia kerana mereka berketurunan Arab. Tidak hanya pemakaian di pagi raya saja yang unik, tapi juga menu juadah Aidilfitri.

"Rendang dan ketupat masih ada, tapi ia bukan hidangan utama. Pagi raya menu yang terhidang biasanya makanan Arab seperti roti putar, bamya, nasi bukhari, kacang pool dan harisa.

"Harisa diperbuat daripada tepung kanji dan biji gandum, dibentuk menjadi bulat. Kemudian bahagian tengahnya yang separa berlubang diletakkan minyak dan sekelilingnya pula di tabur bawang serta lada. Manakala bamya, sejenis gulai yang sangat enak apabila dicicah dengan roti," kata bintang Stanza Cinta ini.

Mengakui bertuah dilahirkan dalam keluarga campuran, seperkara yang menarik setiap kali pulang beraya ke Ayer Itam dan Tanjung Bungah, Pulau Pinang, ada acara tari-menari Arab di kalangan saudara perempuan.

"Acara itu hanya membabitkan saudara-mara perempuan saja sementara lelaki tidak dibenarkan. Malah, ia diadakan ketika semua adik-beradik ibu berkumpul.

"Selepas memastikan tiada seorang pun orang lelaki berada di rumah, kami akan memasang lagu Arab kuat-kuat kemudian menari beramai-ramai. Jangan tak tahu, ibu, mak cik malah nenek pun akan menari sakan!" kata anak sulung daripada empat beradik ini.

Ramah melayani segala pertanyaan, sambutan Aidilfitri kali ini juga dirasakan sedikit berbeza oleh mahasiswi jurusan undang-undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini kerana buat pertama kalinya dia menyediakan duit raya untuk si kecil.

Jelas gadis bakal muncul dengan drama Cinta & Harapan itu, meski tidak memperuntukkan jumlah yang banyak, dia tetap mahu berkongsi rezeki hasil titik peluh sendiri dengan ahli keluarga dan saudara-mara.

"Tahun lalu saya masih mendapat duit raya. Duit raya yang kami peroleh ada kalanya boleh mencecah lebih RM1,000 kerana keluarga sebelah ibu dan bapa memang sangat ramai.

"Berbeza tahun ini, tiba giliran saya pula yang berbelanja. Walaupun masih bergelar pelajar dan masa yang sama bekerja sambilan sebagai pelakon, selayaknya status saya ini dianggap sudah bekerja," katanya.

Beralih pada cerita Kilafairy yang memiliki sepasang mata serta bibir yang seksi, sekian lama tidak menyambut Aidilfitri di sebelah ayahnya, tahun ini Terengganu menjadi destinasi pilihan mereka sekeluarga.

"Sebelum ini setiap tahun boleh dikatakan kami lebih banyak beraya di sebelah Mama (penyanyi Rohana Jalil) kerana di Terengganu sudah tiada lagi datuk dan nenek. Bagaimanapun tahun lalu, nenek sebelah Mama pula kembali ke rahmatullah, jadi kami memutuskan untuk beraya di Terengganu bersama keluarga serta saudara-mara sebelah ayah tahun ini.

"Bezanya perayaan di Johor dan Terengganu, Aidilfitri disambut agak unik oleh keluarga sebelah Papa Kila. Tidak ada lontong di pagi raya sebaliknya Roti Pakistan serta beberapa lagi makanan tradisional dari sana.

"Bagaimanapun ketupat, rendang dan lemang itu tetap ada. Sebelah malam pula, kami akan berkumpul di chalet kepunyaan milik keluarga Papa untuk mengadakan majlis BBQ (barbeku)," katanya.

Ada kisah menarik yang berlaku lima tahun lalu sewaktu beraya di Terengganu apabila dia bersama abang sepupu dan sepupu perempuan yang lain pergi memancing.

"Itu adalah perkara paling 'happening' pernah saya lakukan semasa menyambut hari raya. Saya sangat rindukan saat itu dan tidak sabar untuk meraikan
Aidilfitri lagi bersama mereka.
"Saudara-mara sebelah Papa, 'rock' sikit. Manakala sebelah Mama pula mereka lebih tertib dan mengikut jadual. Seronok dibesarkan dalam keluarga yang berbeza cara hidup dan budaya," katanya.

Tidak seperti Fathia, penuntut jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles ini merasakan dirinya belum mampu memberikan duit raya kerana masih belajar.

Malah, tahun pertama menyambut Aidilfitri dengan gelaran selebriti juga tidak membawa sebarang perubahan dalam hidup Kilafairy kerana sudah terbiasa dengan keadaan ibunya yang menjadi perhatian masyarakat.

"Duit hasil lakonan Kila disaran Mama untuk disimpan bagi kegunaan masa depan. Papa cakap, selagi dia ada dan Kila masih belajar, Papa akan uruskan semuanya," kata pelakon filem Karak itu.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Nur Fathia Abd Latiff
LAHIR: 1 September 1987
ZODIAK: Virgo
ASAL: Ayer Hitam, Pulau Pinang
KELUARGA: Anak sulung daripada empat beradik
KERJAYA: Pelakon, model dan pelajar
CITA-CITA: Peguam, seniwati yang dihormati
DRAMA: Joe & Faridah, Nur Kasih, Dunia Batinku, Di Bawah Ketiak Isteri, Bila Musang Berjanggut, Laila Asyikin, Hani, Mek Kelate, Hani
FILEM: Al Hijab
IKLAN: Sunsilk, Nespray, Brylcream, Hotlink, Perodua, Panasonic

PROFIL

NAMA SEBENAR: Syakila Nisha Jangir Khan
ASAL: Kuala Lumpur
AKDEMIK: Jurusan Pengurusan & Pemasaran Fesyen di Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur.
KERJAYA: Penyanyi, pelakon, pelajar
KELUARGA: Anak bongsu daripada tiga beradik
DRAMA: Hotel Mania, Alam Hitam, Pengasih Minyak Dagu, Darah Pontianak, Ayu Suraya
FILEM: Karak, Hore Hore

Aizat raih pulangan RM100,000

Posted: 26 Aug 2011 07:58 AM PDT

MESKIPUN Ramadan semakin hampir ke garis penghujung, masih banyak pihak rancak mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan rakan perniagaan, pihak media, peminat serta golongan kurang bernasib baik.

Kesempatan bulan yang penuh keberkatan ini nyata digunakan sebaik mungkin bagi menjalinkan ikatan silaturahim sesama sendiri serta menggandakan pahala dengan bersedekah terhadap mereka yang memerlukan.

Inilah yang mendorong syarikat rakaman Dream Music menganjurkan majlis berbuka puasa bertemakan Aizat & Friends Up Close And Personal - Majlis Berbuka Puasa Dream Music anjuran Dream Music Sdn Bhd dengan kerjasama Dream Chorus Sdn Bhd serta Celcom Axiata Berhad di sebuah hotel, di ibu negara baru-baru ini.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran 20 pelanggan Celcom yang terpilih menerusi peraduan 'Download and Win Call Me Tones' yang dianjurkan dari 19 Julai sehingga 15 Ogos lalu di laman web Channel X.


Mereka memperoleh peluang ini apabila memuat turun nada dering pemanggil nyanyian Aizat dan artis-artis Dream Music iaitu Keena, Iqwal, Adzrin Azhar dan Yus Raja Lawak.


Turut hadir ialah Ketua Pengarah Urusan Dream Chorus, Datuk Mohd Fauzi Zakaria serta Ketua Pegawai Operasi, Data Lanjutan Celcom Axiata Berhad, Afizulazha Abdullah dan Naib Presiden Celcom Axiata Berhad, Mahsuri Sharkawi.

Biarpun sederhana, majlis berlangsung hangat dengan persembahan semua artis terbabit terutamanya Aizat yang menyanyikan barisan lagu-lagu popularnya antaranya Sungai Lui dan Lagu Kita.

Ditemui selepas itu, Aizat berkata, dia hadir ke majlis ini sebagai memberi sokongan terhadap Dream Music yang menjadi pengedar lagunya dalam bentuk digital untuk nada dering.

"Saya berterima kasih kepada peminat yang menyokong dengan membeli lagu saya menerusi cara ini. Sokongan yang diberikan buatkan saya gigih menghasilkan lagu yang terbaik dalam album akan datang," katanya yang kini sudah menghasilkan lagu terbaru untuk albumnya.

Aizat yang turut diberi kepercayaan menghasilkan lagu untuk Ella dan Yuna bertuah kerana menduduki tempat ketiga jualan lagu digital selepas Maher Zain yang berada di tempat pertama dan diikuti Dakmie.

Dia berjaya memperoleh pulangan sebanyak RM100,000 menerusi keseluruhan lagunya yang dibeli oleh peminat menerusi kempen yang diadakan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Aizat yang baru pulang dari bercuti di Brisbane, Australia selama dua minggu kini sibuk dengan pelbagai perancangan dan antara yang bermain di fikirannya ialah mahu menaik taraf studionya, Kasi Gegar Studio di Ampang sebagai studio lengkap untuk merakamkan lagu.

"Saya dah bincang dengan abang saya, Anas untuk buat begini dan kami sudah senaraikan peralatan yang perlu dibeli. Kami perlu teliti, ambil kira semua aspek. Buat permulaan studio ini akan melalui proses ubah suai dengan kos RM10,000. Peralatan yang dipilih juga bersifat 'personal'. Kalau boleh saya nak jadikan studio ini seperti Abbey Road Studio, London.

"Saya nak reka studio ini supaya cantik. Anas dah buat kajian daripada pihak yang boleh melakukannya. Sasaran kami ada studio ini sebenarnya lebih untuk senangkan kerja. Saya bercadang nak lebihkan masa di studio. Kami juga sudah kenal pasti jurutera bunyi yang terbaik untuk kendalikan studio ini. Saya sasarkan bajet untuk buat studio ini tak lebih dari RM100,000 kerana ada banyak lagi cara untuk kurangkan kos," katanya yang meletakkan tempoh masa setahun bagi studio ini disiapkan.

Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Pemberontak siap gempur Zuwarah

Posted: 26 Aug 2011 10:31 AM PDT

SABRATHA: Pemberontak semalam bersiap sedia untuk apa yang mereka jangka pertempuran sengit terakhir di barat Libya, memecahkan kepungan tentera Gaddafi di bandar Zuwarah dan membuka laluan Tripoli-Tunisia.

"Insya-Allah kami akan menamatkannya secepat mungkin," kata Anwar Elmeshri pemerintah pemberontak yang bertanggungjawab terhadap operasi itu.


Persiapan melancarkan serangan terhadap Zuwarah, sebuah bandar Berber yang terletak kira-kira 30 kilometer ke timur sempadan Tunisia di lakukan sejak Rabu lalu.

Mereka menawan bandar itu hujung minggu lalu tetapi kini dikepung oleh tentera yang setia kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.


Jika berjaya, kumpulan itu berada dalam kedudukan baik untuk melancarkan serangan terhadap pos sempadan Ras Jdir yang masih dikuasai tentera Gaddafi dan juga menjadi laluan untuk membolehkan bekas pemimpin itu meninggalkan Libya.


Ketika ini, Zuwarah masih berada dalam jarak serangan roket dari kubu Gaddafi lain, Zeltyen di barat, Al-Jamil di selatan dan Al-Ajilat di barat daya. Jalan raya sejauh 40 kilometer yang menghubungkan Zuwarah dengan Sabratha di timur juga masih tidak selamat sepenuhnya.

"Pejuang di Zuwarah merayu rakan mereka di Zintan dan wilayah lain supaya menghantar pasukan tambahan," kata Abdu Salem, penyelaras tentera pemberontak di Zintan, bandar di tenggara Zuwarah.


Pemerintah pemberontak di Sabratha, Bilal Mansur berkata, pasukan tambahan sudah bersiap sedia untuk melancarkan serangan terhadap tentera Gaddafi tetapi jumlahnya masih terhad kerana ramai pejuang berada di Tripoli dalam usaha menamatkan tentangan daripada penyokong pemimpin itu.

Dalam pada itu, hospital di Zawiyah dilapor turut bersiap sedia untuk menerima mangsa peperangan yang cedera apabila pertempuran bermula, kata Abdullatef Gadi, anggota majlis tempatan yang ditubuhkan selepas bandar yang terletak 60 kilometer ke timur Zuwarah itu di bebaskan Sabtu lalu.


Seorang penduduk, Ali Mussa berkata, penduduk Zuwarah kini menanti ketibaan pasukan tambahan. Zuwarah bertukar tangan lebih daripada sekali sejak pemberontakan bermula pertengahan Februari lalu.


Ia antara bandar pertama yang bangkit menentang Gaddafi apabila pemberontakan bermula dan dijangka yang terakhir 'dibebaskan.' - AFP

Tentera kerajaan dituduh rogol kanak-kanak

Posted: 26 Aug 2011 09:36 AM PDT

LONDON: Tentera penyokong kerajaan Libya didakwa merogol kanak-kanak, manakala pemberontak menjadikan pekerja warga asing sebagai tahanan, lapor Amnesty International (AI) semalam.

Menggesa kedua-dua pihak menghormati hak asasi tahanan, AI berkata, delegasinya menemui bukti budak lelaki dalam tahanan di Penjara Abu Salim dibawa keluar dari sel mereka untuk diliwat.


Seorang bekas tahanan berkata, ada antara mangsa liwat itu dibawa dalam keadaan longlai dengan pakaian koyak dan hampir berbogel.

"Ada dua budak mengadu dia dirogol berkali-kali," katanya.


AI berkata, pemberontak juga melakukan salah laku dan mempunyai bukti terhadap penganiayaan di bandar Zawiyah.


"Pegawai tahanan Zawiyah berkata, satu pertiga penghuni penjara itu adalah 'tentera asing', termasuk dari Chad, Niger dan Sudan.

"Bagaimanapun, wakil AI diberitahu tahanan, mereka adalah pekerja asing," katanya.


Beberapa tahanan pula mendakwa, mereka ditahan semata-mata kerana berbeza warna kulit dan diancam untuk dibunuh. - AFP

Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved