LAKONANNYA sebagai Fatin dalam drama bersiri Spa Q sememangnya meninggalkan impak besar buat Farahdhiya Mohd Amin, 26, atau nama manjanya, Farah, sehingga ke hari ini.
Pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu berjaya membawa karakter tersendiri dalam drama terbitan Global Station Sdn Bhd itu sehingga ia meninggalkan emosi yang mendalam kepada penonton. Malah ada peminat yang turut geram dan membenci karakter itu.
Perkembangan watak menerusi drama popular itu turut menyerlahkan bakatnya dalam Spa Q musim kedua dan Spa Qistina.
Impak daripada lakonan itu membuktikan Farahdhiya sememangnya mampu melaksanakan pelbagai watak yang diberikan. Sama ada sebagai wanita baik sehingga watak antagonis, ia cuba dilaksanakan dengan cukup berkesan.
Kini selepas sekian lama tidak bekerja sama dengan Global Station penyanyi yang popular menerusi lagu Bertakhta Di Hati ini berasa teruja untuk membawakan watak yang lebih mencabar lagi daripada penampilan sebelumnya.
Farahdhiya bakal bergandingan dengan pelakon popular tanah air, Aqasha dan pelakon kontroversi Neelofa untuk drama bersiri 26 episod bagi slot Akasia (TV3) berjudul Gemersik Kalbu yang bakal memulakan penggambaran Oktober ini.
Walaupun mendapat maklum balas yang pelbagai mengenai lakonan, Farah tidak mudah puas dengan pencapaiannya itu. Bukan hanya berpeluang melakonkan pelbagai watak malah boleh dikatakan bakat lakonannya mendapat perhatian peminat.
"Saya tidak berdepan apa-apa masalah jika sering ditawarkan watak jahat atau antagonis. Pada saya melakonkan watak antagonis atau mencabar seperti ini memberi kepuasan tersendiri. Apatah lagi apabila peminat mula memperkatakan mengenai watak dalam drama itu. Ia menunjukkan ada yang menerima dan tidak kurang yang benci dengan watak itu.
"Pada saya ini satu bonus bagi pelakon. Bukan semua pelakon yang boleh diberikan watak seperti ini. Saya bersyukur kerana pembabitan saya dalam lakonan turut menerima maklum balas positif daripada peminat. Hendak diikutkan sejak dulu lagi saya agak memilih soal watak," kata Farah.
Pembabitan dalam lakonan turut membuatkan ramai tertanya mengenai karier nyanyiannya. Walau bagaimanapun, Farah memaklumkan masih aktif menyanyi dan tampil dengan beberapa lagu. Komitmen pada lakonan cukup berbeza dengan nyanyian. Memandangkan nyanyian membabitkan persembahan hujung minggu atau waktu tertentu manakala lakonan membabitkan tempoh penggambaran yang panjang.
Dia yang pernah terbabit dalam pementasan teater muzikal, Terima Kasih Cinta mengakui nyanyian masih menjadi keutamaannya.
Walaupun agak berwaspada dengan situasi dunia seni suara yang perlahan dengan penjualan album dan jemputan menjayakan persembahan tidak menentu.
"Setakat ini Kau Telah Pergi ciptaan Julfekar yang sudah siap dirakamkan awal tahun ini antara lagu terbaru saya. Begitupun, entah di mana silapnya lagu ini tidak begitu mendapat perhatian.
"Sebelum ini saya sudah merakamkan tiga lagu ciptaan dan di bawah kelolaan Julfekar. Kesemua lagi berkenaan berentak balada. Saya masih mempunyai dua lagi lagu baru yang perlu dirakamkan. Begitupun, disebabkan faktor masa yang tidak sesuai selain terbabit dengan penggambaran drama membuatkan proses rakaman lagu berkenaan tidak dapat dijalankan.
"Saya tidak berani meletakkan sasaran bila album ini akan siap. Namun saya berharap album ini dapat disiapkan secepat mungkin," katanya.
Sering kali imej seksi dan kisah cinta dikaitkan dengan gadis cantik ini. Cukup terkenal dikalangan rakan-rakan dan mereka yang rapat dengannya Farah ternyata seorang yang suka berterus terang. Malah penampilan di majlis hiburan tidak kurang menarik perhatian.
Biarpun, Farah sendiri memaklumkan dirinya seorang yang sangat ringkas ketika tampil di majlis-majlis. Malah mengenakan kemeja-T, jeans dan topi hampir setiap masa bagaikan sinonim dengan peminat sukan golf ini.
Bercerita lanjut mengenai pengalaman beberapa kali gagal dalam percintaan. Farah menganggap tidak istilah serik bercinta bagi dirinya. Sebaliknya dia mengakui selesa dengan kehidupannya sekarang.
"Walaupun beberapa kali gagal dalam bercinta namun saya tidak pernah serik. Sudah tentu saya mahu kahwin. Tapi tidak tahu bila. Saya belum jumpa orang yang sepatutnya.
"Setakat ini saya masih berkawan dengan semua orang dan belum memikirkan soal serius. Jika ada yang sesuai saya pasti tidak mahu berkawan lama seperti pasangan saya sebelum ini. Kalau boleh saya hendak melangsungkan pernikahan cepat-cepat," katanya.
PROFIL
Nama Penuh: Farahdhiya Mohamed Amin
Tarikh Lahir: 28 April 1984
Tempat Lahir: Sarzana, Itali
Status: Bujang
Kerjaya: Penyanyi, pengacara, pelakon
Album: Bertakhta Di Hati (2005), Yang Ku Puja (2006)
Drama/sitkom: SpanarJaya, Senario Raya, Mencari Arah Kiblat, Kau Curi Cinta Ku, Ku Milik Mu, Spa Q 1 & 2, Spa Qistina
Program TV: Jaguh Futsal (RTM), Discovery Smiles Treasure (TV3)