Khamis, 20 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Berganding lagi dengan Zizan

Posted: 19 Oct 2011 07:31 AM PDT

PADA satu temu bual tidak lama dulu, dia pernah menyatakan belum bersedia untuk memikul watak berat memandangkan pengalaman lakonannya sendiri belum cukup mantap atau boleh dibanggakan.

Namun, kenyataan yang diungkapkan itu tidak bererti Juliana Sophie Johari Evans, 22, tak endah sekiranya graf lakonannya hanya statik di takuk sama.

Tentu saja dia mahukan peningkatan, cuma dia tidak mengharapkan proses perubahan berlaku secara drastik akan tetapi memadai seandainya berdikit-dikit.

Ujar gadis berbintang Taurus ini, sekian lama disogok peranan gadis kolej, dia mula teringin melakonkan watak yang mampu menyerlahkan kebolehan dirinya serta tidak disangka-sangka penonton.


"Mungkin pengarah gemar memberikan watak remaja kepada saya kerana mereka merasakan ia sesuai dengan usia serta karakter saya. Terus terang saya juga senang membawakan watak sebegini yang berkait rapat dengan kehidupan sebenar saya sebagai remaja kerana lebih mudah dijiwai.


"Cuma dari segi tawaran, saya sedar sebenarnya ramai pengarah tidak berani memberikan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak berkarakter atau saya sifatkan sebagai mencabar.

"Apabila sering disogok peranan yang sama, maka timbul dakwaan kononnya lakonan saya 'stereotype' sedangkan saya bukan tidak berkemampuan memberikan hasil lakonan yang lebih baik, cuma saya tidak punya peluang untuk membuktikannya.

"Saya inginkan watak berbeza dan peluang ini saya dapat melalui filem Mail Lambung sedikit berbeza kerana Maria watak yang dibawakan ini memerlukan ketangkasan kerana saya difahamkan terdapat babak aksi yang harus saya tempuhi kelak," katanya.

Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang masih di peringkat praproduksi itu, penggambarannya akan dijalankan dalam masa terdekat.

Menerusi filem itu, Jue yang mencipta nama seawal usia 12 tahun sekali lagi akan bergandingan dengan pasangan gosipnya, Zizan Raja Lawak.

Jue membayangkan penggambaran pastinya menyeronokkan dan lebih mudah dengan kehadiran Zizan kerana mereka sememangnya rapat dan saling mengenali.

"Sebelum ini kami berdua berlakon sama dalam filem Hantu Bonceng, jadi tidak sukar untuk mencari keserasian. Seronok sebab kami sekepala. Cumanya, saya bimbang jika ada babak membabitkan kami berdua, saya akan ketawa.

"Zizan tidak perlu buka mulut, tengok wajah selambanya saja pecah perut. Malah, dia tidak akan membiarkan keadaan set penggambaran sunyi," katanya.

Mail Lambung yang diterjemahkan Idham melalui idea Zizan adalah filem kelima lakonan Jue selepas Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Hantu Bonceng.

Mengenai hubungannya dengan Zizan yang kini dikatakan bertambah serius bukan sekadar sahabat seperti didakwa, Jue mengatakan sudah lama tidak bertemu Zizan.

"Kalau ada yang masih bercakap mengenai hubungan saya dan Zizan, memang saya terkejut. Sebabnya, kami sudah lama tidak berjumpa. Kalau bertemu pun atas dasar kerja saja.

"Maklumlah, Zizan sekarang tersangat sibuk, begitu juga saya terikat dengan kuliah hampir setiap hari. Sebelum ini, kami berdua sudah jelaskan status hubungan kami tidak lebih daripada kawan rapat, namun orang masih lagi menganggap kami bercinta.

"Jawapan saya mudah. Terpulang apa orang nak kata, yang penting kami berdua tahu kebenarannya," katanya.

Selain Mail Lambung yang bakal dibintangi, Jue juga baru selesai menjalani penggambaran Tudung Tweet bersama Liyana Jasmay. Pada 14 hingga 17 Oktober lalu, pelajar jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway ini sempat melancong selama empat hari tiga malam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.

Gadis kacukan Melayu-Inggeris itu antara selebriti bertuah apabila diundang memenuhi program AirAsia Travelogue yang bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi.

Walaupun ramai yang menganggap Vietnam bukan destinasi pilihan, namun berbeza buat Juliana kerana negara itu juga punya keunikan dan sejarah gemilang yang tersendiri.

"Saya tidak pernah ke Vietnam dan ini adalah pengalaman pertama. Dulu ibu pernah bercerita mengenai keunikan negara itu. Oleh yang demikian, saat menerima tawaran daripada AirAsia ini, saya bersetuju untuk melihat sendiri kehidupan dan budaya mereka.

"Banyak tempat kami lawati antaranya 'Cu Chi Tunnel' yang menjadi kubu komunis sewaktu peperangan, Mekong River Cruise dan banyak lagi. Sewaktu di Cu Chi Tunnel, saya sempat memasuki terowong bawah tanah selain menembak menggunakan senapang AK47.

"Saya berasa seronok sepanjang percutian ini dan terima kasih kepada AirAsia kerana memberikan peluang ini kepada saya," katanya yang pernah melancong ke Eropah, Bangkok, Phuket, Jepun dan Korea.

Full content generated by Get Full RSS.

Tolong bayar!

Posted: 19 Oct 2011 07:23 AM PDT

PEMENTASAN teater tradisional, Rebab Berbisik sudah enam bulan berlalu. Walaupun ia sudah selesai, pendukung utama, Rosnan Rahman, berdepan situasi yang mencalar reputasinya.

Ini semua gara-gara pihak produksi pementasan itu, Jazuil Entertainment didakwa Rosnan gagal melunaskan bayaran yang dijanjikan kepada tiga pelakon makyung iaitu Dollah Daud, Tuan Kecik Tuan Yeh dan Aminah Hussin.

Akibatnya, Rosnan kini dipersalahkan kerana menjadi orang tengah yang mengatur urusan bayaran untuk tiga pelakon ini dengan produser Jay Jazuil.

Rosnan berkata kepada Harian Metro semalam, insiden yang berlaku membabitkan namanya itu sangat dikesali.


"Pementasan ini dibuat atas matlamat kebajikan dianjurkan dengan kerjasama IB (Istana Budaya) dan mendapat penajaan satu produk kecantikan.


"Pada peringkat awal, Jay menyatakan kepada saya yang dia mahu memberi bayaran kepada empat pelakon makyung ini termasuk Ibrahim Senik. Saya bertanya kepada dia, sama ada dia boleh bayar atau tidak kerana bimbang kalau kutipan tiket tidak memberangsangkan.

"Namun dia yakin boleh bayar sambil menyifatkan perkara itu adalah tanggungjawabnya. Pada persembahan akhir, acara penyerahan replika cek dibuat kepada empat pelakon ini yang tertera jumlah RM2,000 untuk setiap seorang.

"Buat masa ini, hanya Ibrahim mendapat bayaran, itupun selepas mendesak tapi tiga pelakon lain masih menunggu sampai sekarang.

"Saya banyak kali menghubungi dan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) termasuk menerusi mesej di facebook kepada Jay tapi dia cuba mengelak dan memberi bermacam alasan," kata Rosnan.

Rebab Berbisik dipentaskan di Lambang Sari, IB, Kuala Lumpur selama empat hari dari 8 hingga 11 April lalu membabitkan lima persembahan.

Mengenakan harga tiket RM32 dan RM52 yang menyediakan 280 tempat duduk untuk satu persembahan, Rosnan menyifatkan pementasan ini sangat berjaya.

Rosnan yang juga berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) berkata, sepatutnya perkara membabitkan bayaran artis ini tidak berlaku hingga berlanjutan dalam tempoh panjang. Dia yang hairan dengan sikap produser terbabit dan berharap bayaran dapat dijelaskan dengan segera.

"Dia patut bayar pada persembahan akhir malam itu tapi dia menyatakan mahu kira jumlah kutipan diterima dulu. Sebagai produser, dia tak boleh berdiam diri tetapi bertindak memberi penjelasan kepada pelakon terbabit.

"Cubalah faham nasib pelakon teater seperti Pak Dollah yang sakit tua dan mereka juga tidak ada kerja tetap. Pihak penaja ada memberi bayaran penajaan dan ia sudah boleh digunakan untuk melunaskan bayaran itu.

"Saya cuma tak mahu orang lain memutar belit cerita mengenai perkara ini sampaikan saya menjadi mangsa dan dituduh menipu. Sebolehnya, saya tidak mahu panjangkan perkara ini hingga perlu membuat laporan polis atau membawa ke mahkamah.

"Saya hanya mahu nama saya dibersihkan. Bagi saya, empat aktivis makyung ini adalah tempat saya bergantung dalam menimba ilmu dan saya perlukan mereka untuk melatih saya.

"Apa yang berlaku membuatkan saya berasa bersalah terhadap mereka dan saya sendiri tertekan. Saya memohon agar mereka faham ini bukan kesalahan saya dan pementasan ini juga bukan projek anjuran IB," katanya.

Rosnan yang sangat kecewa dengan insiden ini menyatakan dia sudah lama bersabar menantikan tindakan produser ini untuk menjelaskan bayaran yang dijanjikan.

"Kalau boleh saya mahu dahulukan duit sendiri untuk membayar pada mereka tapi ini saya berpegang pada janji. Saya bimbang kalau saya bantu, Jay akan buat perkara yang sama kepada orang lain. Saya tak mahu bermusuh dengan sesiapa dan lebih baik dia selesaikan perkara ini secepat mungkin," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Peluang masih ada

Posted: 19 Oct 2011 08:45 AM PDT

SELANGOR tidak mempunyai pilihan selain memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menyerang seawal minit pertama sekiranya mahu memastikan tempat ke final Piala Malaysia di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam pada hujung bulan ini menjadi milik mereka.

Skuad kendalian P Maniam itu perlu meledak tiga gol tanpa bolos untuk merealisasikan impian itu apabila bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada Sabtu ini.


Malah mereka tidak lagi boleh memberikan ruang kepada pemain lawan untuk menguasai permainan seperti yang berlaku ketika tewas 0-2 malam kelmarin kerana jentera pemusnah Terengganu sememangnya diakui antara yang berbahaya dalam kancah bola sepak tempatan ketika ini.

Kekalahan itu bagaimanapun belum memaksa Maniam untuk mengangkat bendera putih menjelang aksi timbal balik yang menjadi peluang terakhirnya menyalakan kembali "Misi 33".


"Sudah pasti ia bukan tugas yang senang untuk kami terutamanya apabila mereka mendahului dua gol di sini (Stadium Shah Alam) namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil (mengatasi lawan) sekiranya pemain mampu memberikan aksi yang terbaik. Kami masih berpeluang," katanya.


Tambahnya antara aspek penting yang perlu ditingkatkannya adalah sentuhan penyudah selepas mendapati barisan pemainnya mampu mencipta beberapa peluang meledak gol terutamanya pada separuh masa pertama.

"Anda boleh lihat terdapat kekurangan dalam jentera serangan kami dengan ketiadaan Mohd Amri Yahyah yang mengalami kecederaan. Dia mungkin dapat diturunkan pada Sabtu ini kerana kehadirannya amat penting bagi memberi keyakinan kepada pemain lain, kita akan bermain dengan lebih baik," katanya.


Pada aksi malam kelmarin, dua jaringan Abdul Manaf Mamat pada babak pertama menyentap juara 32 kali Piala Malaysia itu sehingga memaksa Maniam memasukkan pemain penyerang, Rudie Ramli selepas perancangan awalnya menggunakan pemain tengah, Azidan Sarudin sebagai penyerang menemui kegagalan.

Piala Malaysia adalah buruan terakhir Selangor musim ini untuk sekurang-kurangnya meraih satu piala selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah serta gagal melangkah jauh dalam Piala FA.

Full content generated by Get Full RSS.

Skuad Jang belum boleh dabik dada

Posted: 19 Oct 2011 08:40 AM PDT

SEKALIPUN anggapan banyak pihak bahawa Negeri Sembilan sudah hampir pasti melangkah ke pentas final Piala Malaysia buat kali ketiga berturut-turut susulan kemenangan bergaya 4-2, ke atas T-Team dalam perlawanan separuh akhir pertama malam kelmarin, namun pemain skuad itu diingatkan tidak terlalu cepat berpuas hati kerana separuh akhir kedua, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini, menjanjikan saingan lebih mencabar.

Ingatan itu diluahkan ayam tambatan Negeri Sembilan, Hairuddin Omar kerana menyedari T-Team yang dibimbing Yunus Alif pasti berazam bangkit menafikan kelebihan dimiliki Negeri Sembilan untuk mencipta sejarah kali pertama beraksi di perlawanan akhir Piala Malaysia.


Menurutnya, kelebihan dua gol selain jaringan di tempat lawan yang dimiliki pasukan ketika ini perlu dipertahankan semua pemain untuk memastikan impian melangkah ke pentas final piala berprestij ini tidak terjejas.

"Walaupun kita memiliki kelebihan dua gol tetapi itu belum menjamin kemaraan pasukan ke perlawanan akhir, oleh itu kita perlu pertahankan kelebihan jaringan itu untuk memastikan impian beraksi pada final dapat direalisasikan.


"Apa pun saya yakin rakan sepasukan tidak akan melakukan kesilapan dengan mensia-siakan peluang yang ada ini, namun tetap mengingatkan kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dan paling penting ialah sikap berhati-hati serta sentiasa fokus kepada sasaran ditetapkan," katanya yang setakat ini menjadi penjaring terbanyak kempen musim ini dengan tujuh gol, bertekad untuk meneruskan aksi cemerlang, Sabtu ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Tebus talak demi kekasih

Posted: 19 Oct 2011 10:29 AM PDT

JOHOR BAHRU: Untuk memastikan wanita dicintai menjadi milik mereka biarpun si dia sudah berkahwin, ada lelaki tidak kisah mengeluarkan puluhan ribu ringgit untuk membayar wang tebus talak.

Mungkin ada menganggap perbuatan itu ibarat `membeli isteri orang' namun bagi lelaki dan wanita terbabit, itu bukan persoalan penting kerana segala urusan dilakukan mengikut prosedur termasuk proses di mahkamah.

Berkongsi pengalamannya, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Normah, 31, mengaku teman lelakinya membayar RM20,000 kepada mahkamah untuk kos tebus talak bagi mengesahkan perceraiannya dengan bekas suami.

Normah berkata, selepas diceraikan dia terus berkahwin dengan teman lelakinya itu dan kini mereka bahagia sebagai suami isteri.


"Suami saya sekarang tidak kisah mengeluarkan RM20,000 sebagai bayaran tebus talak asal kami dapat bersama," katanya yang berkahwin buat kali kedua hanya selepas empat bulan dicerai suami pertama.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Bas rempuh treler

Posted: 19 Oct 2011 10:26 AM PDT

JASIN: "Saya terkejut kerana ketika cuba masuk ke lorong kecemasan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman dan melihat sebuah bas terbabas ke kanan jalan," kata pemandu treler, Aziz Romzi Sarkam, 42.

Dalam kejadian jam 2.30 petang semalam, dua penumpang termasuk wanita sarat mengandung lima bulan cedera, manakala 14 penumpang lain tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan treler di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Lipat Kajang.


Menurut Aziz, ketika kejadian dia cuba memasuki lorong kecemasan bagi memberhentikan treler muatan besi buruk yang dipandu berikutan masalah brek kanan dialami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, bas berkenaan membawa 16 penumpang dengan empat daripadanya ke Singapura dan selebihnya ke Johor Bahru, manakala treler itu dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.


"Dua penumpang cedera dalam kemalangan itu, seorang daripadanya yang identitinya masih belum dikenal pasti mengalami patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tangkak, Ledang untuk rawatan.


"Manakala, wanita mengandung lima bulan dikenali sebagai Loh Hua Moi, 40, dari Kampung Sarang Buaya, Semerah, Batu Pahat, Johor pula hanya cedera ringan dan kini menerima rawatan di Hospital Melaka sebagai pesakit luar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Che Suza berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas dikenali sebagai Raja Chandran berusia 40-an dari syarikat Jebat Ekspres itu dipercayai cuba memotong di sebelah kanan jalan, sebelum terlanggar belakang treler terbabit yang ketika itu sedang bergerak perlahan ke lorong kecemasan.


"Ketika kejadian, treler ini mengalami kerosakan pada bahagian brek kanannya dan bergerak perlahan dari laluan kiri untuk memasuki ke lorong kecemasan dan sebelum sempat keseluruhan bahagian badan treler masuk ke lorong itu ia dilanggar bas ekspres terbabit.

"Akibat rempuhan kuat itu, seluruh dinding bahagian kanan badan treler ini rosak teruk dan termasuk ke dalam bas, manakala bas ekspres berkenaan pula rosak di bahagian kiri depannya," katanya.


Menurutnya, pemandu bas dan treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 19 Oktober 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kesan boleh dilihat dalam 4 minggu

Posted: 19 Oct 2011 06:48 AM PDT

"BERTENANG, jangan marah, nanti cepat tua," gurau teman-teman. Gurauan yang tidak lapuk ditelan zaman ini rupanya ada benarnya kerana kajian sains menunjukkan sikap kurang molek seperti cepat marah, mudah tertekan dan resah bukan saja boleh menjejaskan kesihatan tetapi turut memberi kesan pada keadaan kulit.

Tekanan antara faktor yang boleh membuatkan kulit kita nampak lebih tua. Itu belum masuk faktor gaya hidup tidak sihat dan jarang bersenam, kurang menitikberatkan soal pemakanan, penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak bersesuaian dan pencemaran - termasuk asap rokok.

Selain itu, kulit yang selalu terdedah pada sinaran ultra lembayung juga akan lebih cepat tua tetapi malangnya masih ramai wanita tidak memakai krim tabir suria walaupun pakar kulit menegaskan ia satu keperluan harian, kata Naib Presiden Pembangunan Produk Clinique, Debbie D'Aquino.

Memang tiada siapa dapat menafikan pentingnya kesihatan kulit muka. Bagi perempuan, memiliki kulit halus, bercahaya dan bersih daripada cela umpama mendapat harta yang tidak ternilai harganya - yang perlu dijaga sentiasa.


"Apabila kulit kita sihat, seri dan sinarnya boleh dilihat. Untuk mendapatkan kulit yang sihat, sel mati perlu dibuang setiap hari dengan cara lembut," katanya pada pelancaran Clinique Turnaround Concentrate Extra Radiance Renewer di Bangkok, baru-baru ini.


Hadir sama, Timbalan Presiden merangkap Pengurus Besar Clinique Asia Pasifik, Paul Slavin.

Menurutnya, memang ada pihak berpendapat kita tidak boleh melakukan proses pengelupasan iaitu untuk membuang sel kulit yang mati. Pendapat ini tidak benar kerana secara semula jadi badan kita membuang lebih 100,000 sel mati setiap hari. Masalahnya proses pembuangan sel mati secara semula jadi ini tidak berlaku dengan sekata dan akibatnya kulit akan kelihatan kusam dan tidak bermaya.

"Memang ramai orang keliru dengan isu ini sama ada boleh dilakukan pembuangan kulit mati setiap hari atau hanya dua kali seminggu seperti pendapat sesetengah pihak. Sebenarnya kita boleh dan memang disarankan membuang kulit mati setiap hari dengan cara yang lembut.

"Salah faham timbul apabila kita menggunakan produk kerana ikut orang iaitu selepas nampak ia berkesan pada orang berkenaan. Bukan semua orang boleh menggunakan produk yang sama. Apa yang nampak sangat 'menakjubkan' pada orang lain tidak semestinya menunjukkan kesan sama pada kita kerana pilihan produk penjagaan kulit perlu dibuat berdasarkan keadaan keadaan kulit setiap individu," katanya.

Debbie berkata, proses semula jadi kulit ada tiga peringkat iaitu:

  • Pembahagian sel - Ini adalah proses menghasilkan lapisan sel baru yang berlaku sepanjang masa, 24 jam sehari. Sel induk akan membahagi menghasilkan sel baru.
  • Kematangan - Sel yang baru terhasil ini akan mengalami proses kematangan dan lebih mengkhusus bagi membolehkan ia menjalankan fungsi biologinya untuk kesejahteraan badan. Sel yang mengkhusus menjadi sel kulit akan menjalankan tugasnya sebagai pelindung atau benteng pertahanan daripada kemasukan bahan asing. Ia juga bertugas menjaga dan mengekalkan keserian kulit.
  • Deskuamasi - Ini adalah proses di mana sel mati pada lapisan luar epidermis kulit yang dibuang melalui proses pengelupasan semula jadi.

    Apabila usia kita meningkat, proses pembuangan sel mati yang berlaku secara semula jadi akan semakin perlahan. Pada usia 25 tahun, proses daripada pembentukan sel baru hinggalah ia mati mengambil masa 30 hari.

    Pada umur 30 hingga 40 tahun, proses ini mengambil masa antara 35 hingga 45 hari dan melebihi 50 hari bagi individu berumur 50 tahun ke atas. Ini bermakna sel kulit baru yang sampai ke permukaan kulit muka ketika kita dalam tempoh 30 hari kini mengambil masa lebih lama sehingga menyebabkan kulit menjadi kusam, kering, kasar, nipis dan sekali gus membuat kita nampak tua.

    Walaupun sel mati ini akan tanggal sendiri tetapi masih ada partikel, sisa atau sel mati yang terlekat pada kulit. Jadi di sinilah pentingnya kita membuang sel mati supaya bahan sisa ini tidak terus terkumpul yang lama kelamaan boleh menjejaskan keadaan kulit muka kita.

    Inilah sebabnya, kata Debbie, pembuangan sel kulit yang mati perlu dimasukkan dalam rutin penjagaan kulit harian bagi setiap wanita tanpa mengira umur, khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas.

    "Jika anda pergi berjumpa pakar kulit, perkara pertama yang mereka akan lakukan ialah menyegarkan dulu kulit kita dengan membuang sel kulit mati sebelum memberikan rawatan lain," katanya.

    Kenapa proses pembuangan sel kulit mati penting?

    Ia adalah cara semua jadi untuk menyerlahkan kecantikan kulit dengan:

  • Memperbaiki ton kulit.
  • Membuatkan kulit lebih lembut dan cerah.
  • Merangsang pertumbuhan sel baru.
  • Memperbaiki aliran darah ke kulit.
  • Memperbaiki tekstur dan warna kulit.
  • Membolehkan kulit mempunyai jumlah minyak yang mencukupi.
  • Menghilangkan kekotoran pada kulit.
  • Mencegah jerawat.

    Namun ada satu perkara penting, jangan cuba menggosok kulit yang rosak akibat selaran matahari (terbakar). Ini kerana ketika ini kulit berkenaan sudah mengalami keradangan dan apa yang perlu dilakukan ialah menunggu sehingga kulit anda pulih sendiri sebelum mencuba sebarang produk pengelupasan.

    Apa yang boleh menghalang kita daripada memperoleh kulit yang berseri?

    Menurut Debbie, ada banyak faktor yang boleh membuatkan kulit tampak kusam dan tidak bermaya iaitu:

  • Tekanan - Ia memberi kesan negatif dengan menjejaskan proses pembaharuan kulit secara semula jadi.
  • Pendedahan setiap hari kepada sinar ultraungu (UV) yang berbahaya - Terlalu banyak sinar UV juga akan menjejaskan proses pembaharuan kulit.
  • Pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.
  • Penggunaan produk penjagaan kulit yang tidak bersesuaian, mempunyai bahan yang bertindak agresif atau berbahaya.
  • Mencuba terlalu banyak produk penjagaan kulit.
  • Pencemaran - Pencemaran alam terutama di kawasan bandar yang memberi impak besar pada kesihatan kulit.
  • Penuaan - Keadaan kulit yang kusam antara tanda pertama penuaan. Namun, ia berlaku secara perlahan-lahan yang membuatkan ramai orang tidak menyedarinya. Biasanya wanita mengadu mengalami masalah kulit kering dan kasar selepas mereka menopaus.

    Kulit kusam

    "Kulit kusam adalah isu global yang mendapat perhatian wanita di seluruh dunia daripada semua peringkat umur termasuklah di Asia. Mungkin ramai tidak sedar kulit wanita Asia sangat unik kerana ia tidak mudah mempunyai garis halus atau berkedut berbanding kulit wanita Barat. Ia juga mempunyai daya kerintangan atau ketahanan yang lebih tinggi terhadap pendedahan sinar UV.

    "Selain itu, kebanyakan wanita Asia mempunyai kulit yang bersih dan mulus.
    Bagaimanapun, ia agak lemah dan lebih mudah rosak, cepat bertindak balas terhadap tekanan dan ada tompok kusam. Keperluan kulit Asia sebenarnya berbeza sedikit dengan wanita Barat," katanya.

    Katanya, kulit wanita Asia memerlukan pencucian dan pembuangan sel mati yang lembut. Penjagaan ini perlu disusuli dengan penggunaan pelembap dan pengambilan makanan tambahan.

    Bagaimanapun, ada kalanya selepas puas mencuba pelbagai produk, keadaan kulit masih tidak berubah. Bagi yang masih tercari-cari, bolehlah mencuba Clinique Turnaround Concentrate Extra Radiance Renewer untuk membantu merangsang tiga peringkat proses semula jadi kulit seperti yang disebut di atas melalui:

  • Pembahagian sel - kandungan perangsang tenaga seperti ekstrak Saccharomyces lysate yang membantu merangsang dan memberikan tenaga yang diperlukan untuk proses ini.
  • Kematangan sel - Padina pavonica iaitu bahan baru yang diambil daripada alga perang Mediterranean mengaktifkan enzim transglutaminase pada kulit untuk mengawal proses kematangan sel dan menguatkan lapisan epidermis kulit. Ekstrak Salvia sclarea yang ditapai pula membantu mengawal dan memastikan proses pembezaan sel (proses dari sel asas kepada yang lebih khusus) berlaku secara normal.
  • Deskuamasi - Asid laktobionik iaitu bahan baru dalam rumusan Clinique Turnaround Concentrate Extra Radiance Renewer membantu proses pengelupasan kulit dengan lembut. Asid ini akan 'mengikat' air pada kulit supaya kulit berasa lembut.

    Ekstrak berangan akan bertindak sebagai pemberi 'amaran palsu' kepada kulit untuk merangsang pembaharuan sel kulit dan menanggalkan sel mati tanpa memberi tekanan pada kulit. Asid salisilik pula membantu meleraikan ikatan yang memegang sel-sel kulit. Ia akan tertarik pada tompok paling kering pada kulit supaya bahagian ini menjadi lembut dan licin.

    Asetil glukosamine pula membantu mengawal pusingan proses pembentukan sel kulit dan menyingkirkan sel mati daripada permukaan kulit supaya ia tampak bersih dan berseri.

    Selain itu, ia juga mengandungi bahan antioksidan seperti ekstrak penapaian akar Polygonum cuspidatum, vitamin E dan sodium hyaluronate yang mampu 'memegang' air sehingga 1,000 kali berat asalnya. Ekstrak bran beras juga dimasukkan ke dalam formulasi ini supaya warna kulit jadi lebih sekata di samping memberi perlindungan daripada kesan kerosakan akibat terdedah pada cahaya matahari.

    Produk yang lembut ini sesuai digunakan untuk semua jenis kulit dan peringkat umur dan kesannya boleh dilihat dalam masa empat minggu dan kehalusan kulit meningkat sebanyak 74 peratus, kata Debbie lagi.

    "Kami bukannya mempercepatkan apa-apa proses tetapi cuba membantu supaya proses biologi ini berlaku secara semula jadi untuk mendapat kulit lebih sihat dan cantik tanpa kesan sampingan," katanya.

  • Full content generated by Get Full RSS.

    Penuh yakin seharian

    Posted: 19 Oct 2011 06:20 AM PDT

    GAYA hidup kini menjadikan kita sentiasa sibuk di tempat kerja dan di rumah menyebabkan kesihatan terabai kerana tidak sempat bersenam atau beriadah.

    Antara mereka termasuklah eksekutif muda yang sering kali kesuntukan masa menjaga kesihatan dan kecergasan badan.

    Seiring dengan perkembangan teknologi kini, pelbagai cara boleh digunakan sebagai alternatif untuk memastikan kesihatan badan terjaga terutama selepas keletihan dek sibuk melakukan tugasan seharian.

    Namun, tidak kira sama ada dilakukan sendiri di rumah, pejabat atau gimnasium, senaman masih dianggap penting dan paling berkesan bagi memastikan badan terus cergas untuk mengekalkan stamina.


    Selepas penat bersenam, jika dapat merehatkan diri dengan mandian yang mempunyai aroma menyegarkan, ia pasti lebih mengasyikkan.


    Justeru, Himalaya Herbal Healthcare (Himalaya), bekerjasama dengan Celebrity Fitness melancarkan kempen 'Bersihkan Diri' bertujuan menggalakkan eksekutif muda mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dan mandi menggunakan mandian badan baru. Ini untuk membantu mereka mengekalkan kecergasan, kesegaran dan bertenaga sepanjang hari.

    Ketua Pegawai Operasi Embut Elit, Marcel Gan berkata, kempen itu bermatlamat menggalakkan golongan muda dewasa yang berkerjaya mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang.

    "Senaman berat disusuli mandian dengan Mandian Badan Himalaya membentuk satu kombinasi yang ideal untuk membantu mereka melalui hari kerja dengan penuh yakin dan bertenaga," katanya.

    Mandian Badan Himalaya boleh didapati dalam dua variasi. Pertama, formula herba tanpa sabun dengan khasiat kebaikan Neem dan kunyit serta ciri-ciri antibakteria yang membersihkan kulit. Ia juga berkesan mengurangkan jerawat.

    Selain itu, krim dan madu pula memberi kelembapan dan kelegaan yang turut membantu kulit terasa lembut, halus dan mulus.

    Menurutnya, tekanan kerja, faktor cuaca tidak menentu dan gaya hidup terlalu aktif boleh melemahkan seseorang individu.

    "Itulah sebabnya, eksekutif yang sentiasa sibuk perlu menjaga kesihatan, kesegaran dan kecergasan diri kerana kesannya boleh membawa banyak perbezaan.

    "Mandi bukan lagi aktiviti membersihkan badan semata-mata. Ia adalah ibarat sesi pembersihan rapi dan terapi. Selain membersihkan kotoran dan daki daripada badan, mandi mampu menyegar dan mencergaskan badan serta perasaan selain menyediakan kita untuk menghadapi cabaran mendatang," katanya.

    Kedua-dua variasi Mandian Badan Himalaya 200 mililiter berharga RM13.90 kini boleh didapati di kedai farmasi, pasar raya dan gedung butik Himalaya di seluruh negara.

    Himalaya diiktiraf sebagai pelopor dan pemimpin dalam penggunaan sains moden untuk pembangunan produk berasaskan herba.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Wanita nyaris maut motosikal terbabas

    Posted: 18 Oct 2011 03:15 PM PDT

    SEREMBAN: Seorang wanita nyaris maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh di Jalan Forest Height, di sini, semalam.

    Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Siti Qursiah Mohd Zain, 21, dari Taman Desa Chembong, Rembau, cedera di muka dan tangan akibat terjatuh atas jalan.


    Saksi dikenali sebagai Hashim, 25, berkata, dia melihat wanita itu yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Seremban menuju Senawang.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah Perodua Alza menghimpit motosikal mangsa menyebabkan wanita itu terbabas ke bahu jalan sebelum terjatuh.


    "Saya nampak mangsa berguling beberapa kali selepas terjatuh sebelum terbaring kesakitan di atas jalan.


    "Saya terkejut melihat kejadian itu, namun kemudian berusaha menahan beberapa kenderaan bagi membantu wanita itu.

    "Kami cuba membantunya, tetapi dia tidak dapat bergerak sebelum menghubungi ambulans kerana risau dengan keadaannya yang seperti tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui, semalam.


    Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) dengan menaiki sebuah ambulans.

    Sementara itu, sumber di HTJS berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan seperti luka di muka dan tangan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Ikat, samun, rugi RM30,000

    Posted: 18 Oct 2011 03:07 PM PDT

    KAJANG: Sepasang suami isteri bukan saja diikat tiga lelaki bersenjatakan tiga parang panjang, malah turut kerugian RM30,000 selepas rumah mereka disamun dalam kejadian di Sungai Long, di sini, kelmarin.

    Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, pasangan terbabit sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran tiga lelaki berparang dalam bilik tidur mereka.


    Menurut sumber polis, mangsa terkejut selepas mendapati tiga lelaki dipercayai warga asing yang memakai topeng itu mengacukan parang ke arah mereka dan diberi amaran agar tidak melawan.

    Katanya, mereka kemudian mengikat mangsa dengan menggunakan kain, manakala isterinya pula diikat menggunakan wayar elektrik.


    "Mereka diletakkan di atas katil dengan dikawal seorang perompak bagi mengelakkan pasangan itu melepaskan diri.


    "Mangsa dipaksa memberitahu tempat menyimpan barang berharga dalam rumah itu sekiranya mahu selamat," katanya di sini, semalam.

    Sumber berkata, bimbang dicederakan, mangsa memberitahu tempat barang berharga mereka disimpan.


    "Selepas menggeledah rumah mangsa, ketiga-tiga perompak itu melarikan diri. Mangsa yang melepaskan diri dari ikatan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kajang," katanya.

    Menurutnya, antara barangan berharga dilarikan perompak ialah barang kemas, telefon bimbit, kamera digital dan komputer riba. Semua dianggarkan bernilai RM30,000.


    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    10 sekolah latih penipu

    Posted: 18 Oct 2011 03:31 PM PDT

    KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nigeria yang memperdaya mangsa terutama golongan wanita di Malaysia dikesan menjalani latihan kemahiran menipu di beberapa sekolah khas yang diwujudkan di beberapa kawasan terpencil di negara mereka sebelum dihantar ke negara sasaran.

    Siasatan polis di peringkat antarabangsa mendapati ada lebih 10 sekolah melatih penipu diwujudkan di negara itu sejak awal 1990-an bagi memastikan kebolehan menipu mereka mampu diwarisi mengikut peredaran zaman dan sukar ditumpaskan.


    Kewujudan sekolah menipu itu didedahkan Ketua Unit Keselamatan Siber, Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Superintendan Victor Sanjos berdasarkan siasatan pihaknya selepas mendapati ramai warga negara ini diperdaya warga Nigeria sejak beberapa tahun lalu.

    Beliau berkata, sekolah itu hanya menetapkan satu syarat iaitu pelatih hanya perlu tahu berkomunikasi dengan menggunakan komputer dan Internet.


    "Pusat itu tidak berkonsepkan sekolah harian atau institusi pendidikan secara terbuka, sebaliknya beroperasi secara sembunyi bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa negara itu.


    "Semua bentuk latihan dibahagi mengikut jenis penipuan termasuk penipuan popular yang dikatakan mampu mengaut keuntungan tinggi seperti penipuan Internet, Black Money dan penyamaran pegawai polis," katanya kepada Harian Metro.

    Victor berkata, ada sebahagian 'pelatih' sekolah menipu itu berjaya menguasai kemahiran disediakan akan dihantar ke negara yang dijadikan sasaran untuk mempraktikkan kemahiran yang diajar.


    "Mereka inilah yang akan menjadikan wanita tempatan di negara kita sebagai kekasih sebelum diperangkap sebagai mangsa penipuan sama ada dalam aktiviti jenayah siber atau pengedaran dadah," katanya.

    Menurutnya, sekolah menipu itu juga dipercayai menyediakan latihan praktikal kepada pelajarnya mengenai kaedah penipuan Black Money.


    "Kaedahnya mudah iaitu bahan kimia khas digunakan untuk mengembalikan keadaan asal wang kertas yang disaluti warna hitam dan Black Money diperkenalkan negara Barat bertujuan menghantar wang ke negara mundur tanpa disedari musuh.


    "Malangnya, kaedah yang sama dimanipulasikan sindiket berkenaan untuk menjual bahan kimia khas berkenaan kepada mangsa pada harga yang tinggi," katanya.


    Beliau berkata, kewujudan sekolah menipu itu terbukti memberi impak besar dalam penularan kegiatan jenayah lelaki Nigeria apabila siasatan polis di beberapa negara mendapati suspek yang ditahan mengesahkan mereka adalah 'lulusan' sekolah itu.


    Pada 29 September lalu, muka depan Harian Metro mendedahkan penemuan koleksi surat, skrip dan puisi cinta serta gambar lelaki berkulit putih kacak dalam komputer riba warga Nigeria yang digunakan untuk mengaut RM24 juta daripada 774 wanita tempatan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang 2010 hingga Ogos lalu, seramai 232 warga Nigeria ditahan kerana terbabit penipuan Internet dengan menyasarkan wanita Malaysia sebagai mangsa. Siasatan polis mendapati, sindiket penipuan warga Nigeria di negara ini mempunyai skrip atau ayat cinta yang dicipta khusus bagi memancing wanita tempatan.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Laut bergelora berubah tenang

    Posted: 18 Oct 2011 03:31 PM PDT

    LUMUT: Abu pembakaran puluhan ribu naskhah al-Quran seberat satu setengah tan yang dibuang ke laut berhampiran Pulau Sembilan di sini, pagi semalam, mempunyai warna kelabu walaupun dibakar yang dianggap pelik dan jauh berbeza berbanding kertas biasa yang menjadi hitam apabila dibakar.

    Kejadian itu disaksikan lebih 30 ahli rombongan diketuai Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika melakukan proses melupuskan abu al-Quran di sekitar perairan pulau berkenaan yang pertama kali dilakukan di kawasan laut dalam.


    Abu al-Quran yang dibakar itu dikumpul Syarikat Percetakan Saufi di Batu 10, Jalan Cheras, Kajang, Selangor, sebelum dihantar ke dermaga Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada jam 9.30 pagi semalam menggunakan van milik syarikat berkenaan.

    Sebanyak 170 plastik hitam mengandungi abu itu dipindahkan ke kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum dibawa ke tengah laut kira-kira 8.2 batu nautika dari pangkalan TLDM.


    Proses memindahkan abu al-Quran itu dilakukan dengan tertib apabila semua plastik seberat lapan kilogram setiap satu itu disusun teratur dengan bantuan anggota APMM.


    Tugas membuang abu al-Quran itu seolah-olah dipermudahkan apabila laut yang mulanya agak berombak tiba-tiba menjadi tenang sebaik petugas terdiri dari pegawai Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) cawangan Perak, Pegawai Pejabat Mufti dan Majlis Agama Islam Perak memulakan proses membuang abu.

    Harusssani yang memberi taklimat ringkas berhubung tugas itu kemudian menjatuhkan bongkah abu berkenaan satu persatu ke laut.


    Tugas menjatuhkan bongkah abu Al-Quran itu kemudian dilakukan beramai-ramai dalam masa 10 minit.

    Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Teks dan Pelesenan al-Quran, berkata ulama sebelum ini bersependapat membuang abu al-Quran ke dalam laut adalah kaedah terbaik walaupun cara menanam di dalam tanah juga dibenarkan.


    "Bagaimanapun kaedah menanam abu al-Quran di dalam tanah dibimbangi boleh tercemar jika ada aktiviti dilakukan di atas tanah berkenaan. Oleh itu, kaedah membuang abu al-Quran ke laut paling selamat dan akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.


    Sementara itu, Pengerusi Syarikat Percetakan Saufi, Rahmat Mahdan, yang turut mengikuti proses membuang abu al-Quran itu memberitahu berkata, proses pembakaran dan mengumpul abu dimulakan sejak tiga bulan lalu.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Drebar teksi jadi mumia

    Posted: 18 Oct 2011 02:18 PM PDT

    LONDON: Seorang memerintah kerajaan yang besar dari istananya di tebing Sungai Nil. Manakala, seorang lagi menguasai jalan raya sebagai pemandu teksi di Torquay.

    Walaupun kehidupan dua individu berkenaan berbeza dan dipisahkan oleh jarak ribuan tahun, namun Raja Tutankhamun dan Alan Billis mempunyai persamaan dalam satu perkara utama. Billis yang sudah meninggal dunia adalah lelaki pertama yang diawet menjadi mumia mengikut cara penduduk Mesir kira-kira 3,000 tahun lalu. Menggunakan teknik yang mengawet mayat Tutankhamun selepas kematiannya pada 1323 SM, saintis mengawet lelaki berusia 61 tahun terbabit ekoran kematiannya akibat kanser paru-paru.


    Billis yang gemar menonton dokumentari bersetuju supaya tubuhnya diawet selepas menyaksikan iklan syarikat televisyen yang berhasrat merakam proses pengawetan itu. Isterinya, Janet, 68, memberitahu suaminya berkata: "Saya baru menghubungi seseorang mengenai proses pengawetan mayat. "Saya terkejut kerana ia sesuatu yang dijangka akan dilakukan oleh Billis," katanya.

    Bagaimanapun, Janet dan tiga anak mereka merestui keputusan Billis dan hasilnya: - Proses Mumia Alan: Rahsia Terakhir Mesir - dijangka ditayangkan pada Saluran 4, Isnin ini.


    Billis yang digelar Tutankhamun Torquay menjelaskan keputusan luar biasanya itu dalam dokumentari berkenaan sambil berkata: "Manusia menyerahkan tubuh mereka kepada sains sejak bertahun-tahun lamanya dan jika mereka tidak menawarkan diri untuk kajian tiada penemuan dapat diperoleh," katanya. Sejak beberapa bulan ekoran kematiannya Januari lalu, organ dalaman Billis diambil dan disimpan di dalam balang kecuali otak dan jantungnya. Kulitnya dilumur dengan campuran minyak serta resin dan dimandikan dengan natron, sejenis garam ditemui di dasar sungai kering di Mesir.


    Selepas sebulan berada dalam tangki kaca di Pusat Perubatan di Sheffield yang menempatkan rumah mayat di bandar raya itu, mayatnya dikeluarkan, diletakkan di kamar kering serta dibalut dengan kain.

    Dr Stephen Buckley dari Universiti York yang membantu melakukan penyelidikan mengenai teknik pengawetan mumia sebelum program itu berkata, mayat Billis kini dapat bertahan hingga beberapa milenium lagi.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Bayi mungkin dikorban untuk selamat nyawa kembar

    Posted: 18 Oct 2011 02:15 PM PDT

    HANOI: Seorang ibu yang melahirkan anak kembar siam perempuan mungkin terpaksa mengorbankan bayi yang lebih lemah bagi menyelamatkan kembarnya.

    Kembar siam itu berkongsi tubuh dengan dua kaki, dua jantung, dua perut dan dua tulang belakang.


    Mereka dilahirkan secara pembedahan Caesarean Rabu minggu lalu dan doktor di Vietnam berkata, seorang daripada pasangan kembar itu mungkin terpaksa dikorbankan bagi menyelamatkan kembarnya.

    Dua beradik kembar itu dikatakan mengalami bentuk kembar siam yang jarang berlaku iaitu dicephalic parapagus.


    Ia bermakna hanya satu tubuh yang membesar di dalam rahim dan disebabkan kedua-duanya berkongsi tubuh yang sama, mereka tidak dapat dipisahkan dengan sempurna.


    Ibu kembar siam itu yang berusia 35 tahun diberitahu dia akan mempunyai anak kembar kerana terdapat dua degupan jantung selepas melakukan imbasan ketika kehamilannya.

    Pakar sakit puan, Dr Dao Trung Hieu berkata, organ dalaman dua kembar siam itu perlu diperiksa sebelum pakar membuat keputusan akhir mengenai masa depan mereka.


    "Kembar siam itu dalam keadaan sihat. Ini adalah kes kembar dicephalic parapagus kerana mereka mempunyai dua kepala, dua leher dan berkongsi tubuh mulai dari bahagian dada.

    "Selain daripada mempunyai dua kaki, dua lengan, dengan salah satu tangan mempunyai enam jari, lengannya juga tidak sempurna dari belakang.


    "Organ dalaman kembar itu agak rumit. Selepas pemeriksaan selama dua jam, kami dapati mereka mempunyai jantung yang bersambung dan berkongsi dinding antara dua ruang di atasnya. Kedua-duanya mempunyai kecacatan kardiovaskular tetapi keadaan kembar di sebelah kanan lebih serius," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved