Rabu, 2 November 2011

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


‘Suamiku luar tabii’

Posted: 01 Nov 2011 03:34 PM PDT

KLANG: "Selepas hampir tujuh tahun berkahwin dan dikurniakan dua anak, saya langsung tidak menyangka akan berdepan badai yang amat dahsyat apabila suami berubah cinta dengan menyintai kaum sejenisnya.

"Hati isteri mana yang tak remuk kerana suami yang disanjung rupa-rupanya gay," rintih isteri yang hanya mahu dikenali sebagai Liza.


Ibu berusia 29 tahun itu berkata, pada mulanya dia mengesyaki suaminya yang berusia 30-an menjalin hubungan sulit dengan perempuan lain selepas mengesan beberapa petanda mencurigakan.

"Suami saya seorang yang lembut, begitu juga dengan tingkah laku dia, tetapi saya tak sangka sampai ke tahap dia melakukan hubungan songsang dengan kaum sejenisnya," katanya yang juga kakitangan sebuah hospital swasta di ibu kota.


Liza berkata, perkahwinannya dengan suami diatur keluarga, namun dia mencintai dengan sepenuh hati lebih-lebih lagi selepas mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki berusia enam dan tiga tahun.


Menurutnya, perubahan sikap suaminya mula dikesan Mac lalu apabila sering marah tanpa sebab munasabah, panas baran dan sering memaki-hamunnya.

Liza semakin curiga apabila menemui kondom di bawah pelapik kaki di dalam kereta, namun apabila ditanya, suaminya memberi alasan ia milik rakan.


"Selepas kejadian itu, saya nekad untuk mengintip setiap perlakuan suami. Pada Ogos lalu, saya membohongi suami kononnya terpaksa bekerja sehingga lewat petang, padahal saya sengaja ingin memerangkapnya.

"Tanpa diketahuinya, saya pulang awal ke rumah dan sejurus tiba saya nampak ada lelaki lain yang tidak berbaju bersama suami di dalam bilik tidur kami. "Apabila saya masuk ke rumah secara mengejut, muka suami pucat dan menggelabah, namun masih cuba berselindung dengan memberi alasan lelaki itu rakannya yang datang ke rumah untuk berehat," katanya.


Selepas kejadian itu, perasaan Liza semakin kuat mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena terutama apabila membaca SMS berunsur lucah di dalam telefon bimbit milik suami dan perbualan di laman sosial facebook suaminya juga ada banyak perkataan lucah.


"Saya juga menemui e-mel berunsur lucah selain gambar bogel lelaki dan perempuan. Lebih mengejutkan, semua gambar dan e-mel lucah yang diterima suami datangnya daripada lelaki.


"Saya sungguh sedih, lebih-lebih lagi bila terbaca perbualan kotor suami saya dengan pasangan gaynya," katanya.


Bagi mengatasi masalah dihadapinya, Liza mendapatkan nasihat daripada jabatan kaunseling di tempat kerjanya dan dia dinasihatkan banyak berdoa serta melakukan solat hajat supaya suaminya diberi petunjuk oleh Allah. "Saya nampak ada perubahan pada sikap suami. Dia tidak lagi panas baran, tetapi saya tetap kecewa kerana perasaan suami terhadap pasangan songsangnya yang dia panggil 'adik' masih tidak berubah.


"Malah, suami saya mengaku dia melakukan hubungan sejenis dengan ramai lelaki dan memberi alasan pengalaman diliwat ketika zaman sekolah menengah menyebabkan dia jadi begitu," katanya.


Berikutan itu, Liza meminta suaminya menjalani ujian mengesan virus HIV kerana bimbangkan risiko dijangkiti penyakit kelamin itu.


"Alhamdulillah, keputusannya negatif, tetapi saya tetap berasa tidak tenang kerana suami kini kembali kepada perangai lamanya selepas saya terbaca mesej lucah di telefon bimbitnya.


"Saya sayangkan keluarga, tidak mahu bercerai, tetapi saya keliru dengan keadaan ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Rompak bank silih berganti

Posted: 01 Nov 2011 03:34 PM PDT

KUALA LUMPUR: Dua lelaki bersenjatakan parang dan pistol bertindak nekad merompak dua bank berasingan pada jarak lapan kilometer dalam tempoh lebih lima jam membabitkan kerugian lebih RM69,000, semalam.

Dalam kejadian pertama jam 10 pagi di Jalan Metro Pudu, di sini, dua lelaki terbabit melarikan wang tunai RM44,000.


Menurut sumber, dua lelaki bertopi keledar itu melulu masuk ke dalam bank berkenaan sebelum seorang daripada mereka ke kaunter dan mengacukan parang ke arah seorang wanita berusia 29 tahun yang juga pengurus di bank berkenaan.

"Rakan suspek yang mengekori suspek pertama mengacukan pistol ke arah seorang lagi pekerja dan mengarahkan mereka memberikan kerjasama.


"Mereka mengarahkan pengurus bank terbabit memasukkan wang ke dalam beg dibawa mereka," katanya.


Sumber berkata, ketika kejadian terdapat lima pekerja bank di premis berkenaan termasuk seorang pengawal keselamatan.

"Dua suspek dilapor hanya mengambil masa kurang tiga minit sebelum melarikan diri," katanya.


Pengurus bank terbabit membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, dua suspek terbabit melakukan satu lagi rompakan di sebuah bank di Taman Saujana Cheras, di sini lima jam kemudian.


Dalam kejadian kedua kira-kira jam 3.45 petang itu, kumpulan terbabit berjaya melarikan lebih RM25,000.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ditemui di lokasi kejadian, terdapat lima hingga enam pelanggan termasuk pekerja bank dalam premis itu.


Beliau berkata, sebaik masuk ke bank berkenaan, suspek yang bersendirian meluru ke arah kaunter.


"Suspek melompat ke dalam kaunter berkenaan dan mengacukan pistol ke arah seorang pekerja. Dia (suspek) mengarahkan pekerja bank itu menyerahkan wang kepadanya dengan memasukkan wang ke dalam sebuah beg dibawa sebelum melarikan diri," katanya.


Menurutnya, biarpun suspek dikejar beberapa pengawal keselamatan, namun suspek meloloskan diri.


Siasatan mengesyaki rakan suspek menunggu di kawasan berhampiran bank memudahkannya melarikan diri.


Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa yang dihubungi berkata, polis tidak menolak kemungkinan dua bank dirompak kumpulan perompak sama.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pencalonan bayar segala penat lelah

Posted: 01 Nov 2011 07:14 AM PDT

LIMA belas tahun lalu, dua pesona jelita ini pernah disatukan dalam drama bersiri yang mencetus fenomena, Salam Taj Mahal, dengan kelainan pada plot penceritaan diterjemah.

Meskipun masih baru ketika itu dan tidak mempunyai profil sehebat hari ini, dua pelakon ini, Umie Aida dan Eja, mampu mengheret emosi penonton hingga kenal akan bakat yang diperjudikan.

Merentasi sedekad perjalanan seni, masing-masing mencatur langkah sendiri, mengukuhkan empayar seni dan membina nama hingga berjaya meletakkan bakat yang ada sebaris dengan populariti yang dicurahkan.

Tanpa kontroversi yang terpalit, Umie dan Eja masing-masing berjaya bertahan hingga ke hari ini. Tidak sesekali hanyut dibuai glamor, kedua-dua figura ini mengecapi kebahagiaan dengan suami dan anak selain terus meletak fokus pada keluarga tersayang.


Gurau Eja atau nama sebenar, Siti Shahrizah Saifuddin, 39, sebaik tiba di kediaman mewah Umie pagi itu, lama sudah mereka tidak bertemu. Namun, sesekali berjumpa, terus teringat seribu satu kenangan ketika berlakon bersama.


Bezanya, ketika itu kedua-duanya masih muda dan tidak punya komitmen sebagai isteri seperti hari ini yang menjadi alasan kukuh kedua-duanya jarang berkesempatan bertemu.

"Bayangkan Salam Taj Mahal menemukan kami berdua dan selama sebulan penggambaran di India. Ketika itu, kami sebilik dan berkongsi pelbagai cerita bersama.

"Sekarang, masing-masing sudah berkeluarga dan ada kerjaya sendiri.
Alhamdulillah, saya dan Umie masih di sini dan kekal memperjuangkan minat dalam seni lakon meskipun sudah berkeluarga," katanya.

Meninjau perwatakan dan personaliti dua bintang popular ini, mereka memang mempunyai banyak persamaan. Kebetulan pula kedua-duanya berkongsi tarikh lahir yang sama, cuma Umie muda setahun daripada Eja.

Kali terakhir mereka dipertemukan menerusi drama rantaian Rindu Semakin Jauh lima tahun lalu.

Kini mereka dipertemukan sekali lagi dalam satu sesi fotografi eksklusif bagi mendengar cerita dan kisah mereka apabila kedua-duanya tersenarai sebagai calon akhir dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang akan berlangsung Jumaat ini.

Umie atau nama sebenar, Umi Khalsum Rahmad Ali, 38, berentap bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Drama) menerusi karya kakaknya sendiri, Erma Fatima iaitu Air Mata Nur Salina manakala Eja yang popular menerusi drama bersiri Ahmad Durrah dan Mantera Anjasmoro bertanding untuk kategori filem melalui Janin.

Bersandar pada bakat lakonan yang tersendiri dan dibantu dengan penceritaan mampu menterjemah kesungguhan mereka membina perwatakan diberi, baik Umie mahupun Eja kedua-duanya menyifatkan pencalonan awal meletak nama mereka hingga ke gelanggang ASK tahun ini sudah cukup membayar penat lelah.

Menang atau kalah bukan lagi menjadi taruhan ketika melangkah pada malam penentu itu nanti.

Umie yang sebelum ini pernah menggenggam trofi ASK sebanyak tiga kali iaitu Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Embun dan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Ayuni dan Surat Terakhir), mengakui ASK pentas terbaik bagi mengukur kemampuan diri sebagai pelakon selain meletak penghargaan yang indah buat barisan anak seni.

"Berita saya tersenarai hingga ke peringkat akhir menerusi drama Air Mata Nur Salina adalah satu penghargaan buat saya dan karya sentuhan Erma.

"Bohong jika saya katakan tidak mahu memang kerana setiap pelakon yang dicalonkan pasti menyimpan hasrat untuk menggenggam trofi kemenangan. Namun, ia bukanlah komponen penting buat saya. Saya hanya ingin memastikan drama itu berjaya dipandang pihak lain kerana jujurnya ia sebuah cerita yang kuat.

"Watak Salina yang saya pegang bukan sembarangan karakter, namun Alhamdulillah saya mampu melakukan apa yang diinginkan pengarah. Reaksi positif daripada penonton juga begitu baik membuat saya gembira dan bersyukur.

"Namun, saya sendiri gementar apabila melihat drama lain yang turut diletak ke pentas akhir kerana lakonan setiap pelakon utamanya begitu kuat dan hebat.

"Jika ada rezeki dan ketentuan sudah tersurat buat saya, pastinya ia adalah satu pembakar semangat untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik," katanya.

Umie dikatakan bakal bersaing dengan teman baiknya, Erra Fazira menerusi drama Sanggul Beracun yang disiarkan melalui Astro Citra, pelakon veteran, Norlia Ghani menerusi drama Janji Syurga, Rozita Che Wan (Masihkah Ada Sinar) dan Amyza Adnan (Midah Kuih Bangkit).

Bagi Eja pula, sejak berkecimpung dalam dunia seni selama 15 tahun, inilah kali pertama namanya membolosi pencalonan akhir ASK. Eja mengakui cukup terharu dan menganggap ia satu penghargaan terindah buatnya.

"Memang sudah lama saya membina nama sebagai pelakon dengan puluhan drama dan filem, namun rezeki itu belum menyebelahi saya. Bagaimanapun, tidak sekelumit saya berkecil hati atau putus semangat kerana pada saya, apa yang penting adalah keikhlasan, disiplin dan kesungguhan untuk melakonkan setiap tanggungjawab yang diberi.

"Janin sebuah filem hebat sentuhan penulis skrip hebat yang turut menerbitkannya, Wan Hasliza, namun ia tidak punya publisiti yang besar.
Alhamdulillah tanpa promosi dan tiada yang bercerita lebat mengenainya, Janin masih mampu mengutip RM1.5 juta di panggung.

"Lebih membanggakan, Janin adalah karya yang mampu memimpin saya ke fasa yang lebih baik sebagai pelakon kerana watak dan jalan ceritanya.

"Saya bersyukur apabila ada pihak memandang kesungguhan menghidupkan watak utama filem itu selain menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam lakonan.

"Saya tidak mahu membebankan fikiran dengan mencongak soal menang atau kalah sebaliknya hanya ingin hadir malam Jumaat ini bagi mengiktiraf karya bermutu yang dihasilkan anak tempatan," jelasnya.

Eja dan Umie mengakui, fokus utama mereka kini bukan lagi dunia lakonan sebaliknya tanggungjawab terhadap keluarga paling diutamakan.

Eja kini lebih cenderung membesarkan anak kesayangannya, Nur Eishal Mohd Silahuddin, 2, manakala Umie memberi perhatian kepada rumah tangga yang dibina bersama Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada 14 Mac tahun lalu selain tanggungjawab kepada anak, Mohd Daniel Firdaus dan Mohd Dzulhilmy.

"Saya bersyukur dan bertuah kerana suami memahami dan tidak pernah menghalang cuma tugas saya perlu pandai memilih tawaran yang tiba," kata Eja.

PROFIL UMIE AIDA:

Nama sebenar: Umi Khalsum Rahmad Ali
Tarikh lahir: 18 Januari 1973
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak ketiga daripada enam beradik
Suami: Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan

Anak: Mohd Dzulhelmy, 16, dan Mohd Daniel Firdaus, 17
Filem: Azazil, Ombak Rindu, Hikayat Merong Mahawangsa, Dukun, Apa Kata Hati, Cuci, Kala Malam Bulan Mengambang, Puaka Tebing Biru, Salah Bapak, Diva Popular, Buli Balik, Qaisy Dan Laila, Gangster, Cinta Luar Biasa dan banyak lagi

Drama: Abadi Sebuah Cinta, Spa Qistina, Kek Lapis Kak Ida, Seruling Kasih, Rumah Di Tengah Sawah, Intan Mahsuri, Tarantula I & II, Cinta SMS, Nur Fitri, Kesetiaan, Feloni Aka Ecstasy, Takdir Sedang Berbisik, Serpihan Laungan Takbir, Bukan Bidadari, Korban Kasih Marlisa, Masyitah, Airmata Nur Salina, Karma Salina dan banyak lagi

Penerbit: Diva Popular
Teater: Dejavu Seorang Perempuan, Suara Palestine, Natrah, Natrah 2, Badai Semalam dan banyak lagi
Album: Romeo & Juliet dan Gema Kasih

Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik di FFM ke-16 menerusi filem Embun, Pelakon TV Wanita Popular Menang di ABP 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Surah Terakhir pada 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Ayuni pada 2001 dan Pelakon Wanita Filem Terbaik
di ASK 2003 menerusi filem Embun.

PROFIL EJA:

Nama penuh: Siti Shahrizah bt Saifuddin
Tarikh lahir: 18 Januari 1972
Tempat lahir: Kuala Kubu Baru, Selangor
Keluarga: Anak sulung daripada lima beradik
Suami: Mohd. Silahuddin Jamaluddin
Anak: Nur Eishal Mohd. Silahuddin, 2 tahun 2 bulan
Filem: Sara, Anak Mami The Movie, Bilut, Kayangan, Misi: 1511, Sepi dan Janin

Drama: Ejen 88 & 44, Rahsia Demi Rahsia, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Tiga Dara, Rindu Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Cinta Semerbak Kayu Manis, Mya Zara, Seputih Qaseh Ramadan, Sadiq & Co, Dimata Mu Aku Dijiwa Mu Dia, Pembunuh Upahan, Igawan, Sangga Saadah, Talkin Terakhir, Wadi Unung, Demi Tuhan Kuizinkan, Satu Permintaan, Cinta Dari Kaabah, Tasbih Cinta, Dia Bukan Maryam, Ahmad Durrah dan Mantera Anjasmoro

Full content generated by Get Full RSS.

Peluang keemasan Sasi The Don

Posted: 01 Nov 2011 07:03 AM PDT

SUDAH menceburi industri hiburan selama 11 tahun, pasti segelintir masyarakat tidak menyangka penyanyi yang memperjuangkan genre reggae ini, Sasi The Don, mendapat peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi reggae dari luar negara.

Tidak semua artis tempatan mendapat peluang seperti ini hingga Sasi tidak mampu untuk menolaknya. Katanya, tidak sangka dia mendapat peluang bekerjasama dengan nama besar dalam genre reggae iaitu Maxi Priest yang menjadi idolanya kerana genre reggae yang dibawanya digabungkan dengan pop agar dapat diterima masyarakat.

Menceritakan detik pertemuannya dengan Maxi, Sasi yang diundang Umno Malaysia untuk mengadakan persembahan sempena sambutan kemerdekaan di London berkata, segalanya bermula apabila berkongsi berita pemergiannya ke London melalui laman sosial facebook.

"Saya tidak sangka seorang peminat British-India mengundang saya mengadakan 'show' dan terus bersetuju dengan cadangannya itu. Saya memang tidak pernah bayangkan mempunyai peminat di luar negara.


"Sebagai peminat Maxi, saya cuba menjemputnya hadir ke pertunjukan itu dan tidak sangka dia datang melihat persembahan saya. Apabila acara selesai, Maxi berjumpa saya dan menawarkan untuk berkolaborasi kerana kami sama-sama memperjuangkan reggae.


"Tambahan pula ia adalah satu cara untuk mendekatkan artis antarabangsa dengan artis Malaysia. Memang sangat gembira dapat menyanyi bersama penyanyi legenda reggae kerana saya baru 11 tahun dalam industri ini manakala Maxi adalah nama besar. Ini adalah satu penghormatan buat saya," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengambil masa seminggu untuk merakamkan lagu duetnya dengan Maxi, Island Queen, Sasi mengakui ia sangat mencabar kredibilitinya sebagai penyanyi reggae.

Katanya, sebelum berangkat ke London, Sasi membuang jauh-jauh perasaan takut berhadapan dengan Maxi dan berharap segalanya berjalan lancar kerana ia membabitkan kos yang besar.

"Terlebih dulu saya menyiapkan lagu kolaborasi dengan Maxi, tetapi apabila tiba di London, hari pertama kami masuk studio rakaman Maxi tidak menyukai konsep lagu itu dan saya tidak mempunyai perancangan kedua.

"Saya hanya ada masa seminggu untuk merakamkan lagu itu dan sangat kesuntukan masa kerana terpaksa bermula dari awal. Hanya tajuk lagu saja yang kekal.

"Saya akui, itu adalah saat paling memberikan tekanan dalam hidup, tetapi sangat bernasib baik kerana studio yang kami gunakan milik penulis lagu untuk Black Eye Peas, Tippalrie. Dia membantu saya dan Maxi untuk mengubah lirik lagu itu," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Sasi melancarkan album terbarunya pada Julai lalu. Ia memuatkan 14 lagu termasuk satu lagu instrumental. Mempertaruhkan lagu Inggeris dan Tamil, album kedua ini lebih menumpukan pasaran luar negara.

Tambahan pula Universal Music India bercadang memasarkan album itu di India dan Sri Lanka. Walaupun menyesal tidak merakamkan lagu dalam bahasa Melayu untuk album ini, Sasi tetap melihat perkara itu dari sudut positif.

Selain berkolaborasi dengan Maxi, Sasi juga berpeluang bekerjasama dengan Anita Sarawak menerusi lagu One Love dan Jaclyn Victor (Devathai). Idea bergabung dengan artis lain itu timbul selepas kejayaan duetnya dengan Amy Search menerusi lagu Satu Impian.

Katanya, Anita turut nasihatkan dirinya supaya memikirkan pasaran luar negara dan sebab itulah memilih menghasilkan lagu Inggeris.

"Kata Anita, Industri hiburan tanah air sangat kecil dan untuk berjaya, seseorang artis perlu mengembangkan kerjayanya sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Bukan mudah untuk berkolaborasi dengan artis lain kerana kerjasama itu perlu memberikan impak kepada pendengar. Saya bangga berpeluang bekerjasama dengan Anita. Malah penantian saya selama empat tahun berakhir apabila berpeluang menyanyi bersama Jaclyn.

"Sebagai kelainan, kami menyanyikan lagu Tamil dan ia mendapat komen positif peminat. Lagu Devathai yang bermaksud Malaikat, mungkin akan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Selasa, 1 November 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kesan mudarat tukar jenama

Posted: 01 Nov 2011 09:01 AM PDT

PENJAGAAN kesihatan kulit bayi sememangnya menjadi keutamaan ibu bapa terutama apabila membabitkan penggunaan lampin pakai buang yang tidak betul hingga mengakibatkan masalah ruam lampin kepada si manja mereka.

Secara kebiasaannya, ruam muncul pada bahagian kemaluan, paha dan punggung bayi apabila bayi dibiarkan memakai lampin pakai buang yang basah atau kotor untuk jangka masa lama.

Apabila ini berlaku, kulit bayi akan menjadi kemerahan-merahan dan membengkak hingga adakalanya menyebabkan kegatalan dan menimbulkan ketidakselesaan kepada bayi.

Ibu mana yang tidak panik apabila berhadapan situasi sebegitu terutama mereka yang baru pertama kali bergelar ibu.


Situasi sebegini turut berlaku kepada Amber Chia dan anak lelakinya, Ashton, berusia setahun yang mengalami masalah ruam lampin kesan penggunaan lampin pakai buang yang berlainan.


Menurutnya, dia secara tidak sengaja ingin mencuba produk lampin pakai buang berlainan untuk anaknya, tetapi sebaliknya memberi kesan yang memudaratkan.

"Bayangkan perasaan anda sebagai ibu apabila anak menangis kesakitan disebabkan ruam dan kita hanya mampu memujuknya. Saya rasa seolah-olah tidak berdaya untuk menolongnya," katanya.

Selepas kejadian itu Amber berkata, kini dia cukup berhati-hati memilih penggunaan lampin pakai buang yang diperlukan anaknya.

"Ruam yang dialami itu bukanlah satu pemandangan yang 'cantik' untuk dilihat kerana melihatnya saja sudah membuatkan saya tidak senang duduk apatah lagi Ashton.

"Saya tidak ingin perkara yang sama berlaku buat kali kedua kerana kejadian kali pertama dulu itu pun sudah cukup membuatkan saya panik dan kelam kabut," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Huggies Dry Comfort dan kempen Protect Your Baby's B (Lindungi 'B' Bayi Anda) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Namun, walaupun sering menukar lampin pakai buang berkenaan, adakalanya ruam masih berlaku dan jika tidak ditangani segera ia boleh menyebabkan masalah lebih serius kepada bayi.

Bagi Kartini Ariffin atau lebih dikenali sebagai Tini, dia cukup bersyukur puteri kesayangannya, Kaseh, 10 bulan tidak pernah mengalami masalah ruam lampin.

Tini berkata, walaupun Kaseh mengalami masalah kulit sensitif terutama di kawasan pipinya, ia masih boleh ditangani melalui penjagaan kebersihan secara menyeluruh.

"Kehadiran Kaseh adalah sesuatu yang amat bermakna buat saya dan sudah pasti kebajikannya amat saya titik beratkan. Oleh itu, saya ingin berikan hanya yang terbaik kepadanya sepanjang masa," katanya.

Katanya, penjagaan kebersihan perlu dijadikan subjek utama ibu bapa terutama terhadap bayi kerana mereka memerlukan penjagaan lebih khusus berbanding orang dewasa.

Bermula daripada pemilihan lampin pakai buang yang betul, kebersihan diri bayi itu sendiri serta kekerapan penukaran lampin berkenaan semuanya perlu diberikan perhatian khusus.

"Saya akui tidak mudah menjadi ibu terutama ibu muda berkerjaya, tetapi ia bukan penghalang untuk memberikan yang terbaik untuknya.

"Saya sentiasa risau apabila anak tak sihat atau tidak ceria kerana ia boleh memberikan kesan terutama kepada emosi dan fizikal mereka serta perasaan saya sebagai ibu," katanya.

Di samping itu, sebagai jenama terkemuka lampin pakai buang, Huggies memperkenalkan Huggies Dry Comfort baru yang memiliki 100 peratus lapisan pernafasan dan menggunakan teknologi mencegah kebocoran bagi memastikan kulit bayi tetap kering dan selesa sehingga 10 jam.

Pengarah Urusan Kimberly-Clark Malaysia/Singapura, Nathan Kandapper, berkata setiap ibu bapa hanya inginkan yang terbaik untuk anak mereka.

Malah, menurutnya kempen yang dijalankan ini bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kulit bayi mereka melalui pelbagai saluran termasuk lagu tema menarik yang diilhamkan daripada pengalaman kedua-dua selebriti bersama anak mereka.

Untuk maklumat lanjut mengenai Huggies Dry Comfort dan kempen Protect Your Baby's B, layari www.huggies.com.my atau www.facebook.com/huggiesmalaysia atau hubungi 1800-82-1188.

Full content generated by Get Full RSS.

Kain net seri cenderahati

Posted: 01 Nov 2011 07:40 AM PDT

TIDAK kira pada ulang tahun kelahiran, pertunangan, perkahwinan atau sekadar ziarah untuk mengeratkan hubungan, masyarakat kita sudah terbiasa membawa bersama cenderahati untuk menzahirkan lagi ukhuwah hubungan yang terbina.

Amalan menghulur cenderahati atau buah tangan bukan hanya dilihat pada besar atau kecil hadiah dibawa, tetapi terpenting adalah cara menunjukkan rasa simpati, hormat atau gambaran diri yang tulus.

Pengasas Akademi Kecantikan Nu'Della, Norulnaha Abdul Razak, berkata, dulu bentuk gubahan atau hamper hanya bersalut kertas plastik dan hanya diikat dengan cantuman bunga reben.

Namun, hari ini gubahan dan hiasannya lebih moden dan terkini dengan penggunaan kain net serta hiasan bunga yang lebih pelbagai.


Malah, hamper atau cenderahati lebih bermakna jika diri sendiri yang menggubahnya.


"Asas terpenting dalam seni menggubah, menurutnya, adalah cara mengolah bekas gubahan serta susunan hiasan.

"Misalnya jika ingin membawa cenderahati ketika melawat ahli keluarga yang baru menyambut kelahiran cahaya mata, barangan seperti jus, vitamin atau makanan tambahan adalah antara yang boleh diselitkan dalam hamper berkenaan.

"Cenderahati untuk ziarah atau musim perayaan pula lebih sesuai jika menyertakan bersama biskut atau makanan kering yang bersesuaian.

"Paling penting, pilih saiz bakul yang sesuai dan seeloknya tidak terlalu besar sehingga menyusahkan anda ketika membawanya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


‘Saya tak tahan’

Posted: 31 Oct 2011 10:28 AM PDT

KUALA LUMPUR: Bagaikan telur di hujung tanduk. Itu perumpamaan bagi menggambarkan nasib tiga beranak yang ditetak bertubi-tubi dua penyamun bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Bandar Mahkota Cheras, di sini, Rabu lalu.

Akibat pergelutan itu, pemilik kedai berusia lewat 40-an menerima 10 jahitan di kepala, isterinya yang berusia awal 40-an pula lapan jahitan di kedua-dua tangan manakala anak lelaki berusia 19 tahun, enam jahitan di kepala.


Kejadian bermula jam 1 tengah hari, apabila sekumpulan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis berkenaan.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, dua daripada lelaki itu yang memakai topi keledar masuk ke kedainya dan berpura-pura untuk membeli barang manakala dua lagi rakan mereka menunggu di luar.


"Kedua-dua mereka tiba-tiba mengeluarkan sebilah parang yang disembunyikan di pinggang mereka dan mengacukan senjata berkenaan ke arah saya.


"Tanpa berfikir, saya mengeluarkan kayu yang disembunyikan di bawah kaunter wang sebelum memukul seorang daripada mereka," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, kedua-dua mereka yang berang dengan tindakannya itu menghayunkan parang ke arahnya dan isteri.


"Anak lelaki saya yang yang berada berhampiran segera memberikan bantuan.

"Lelaki itu terus menetak kami tiga beranak bertubi-tubi dan ketika itu saya menepis tetakan berkenaan menggunakan tangan dan kayu.


"Tanpa saya sedari, kepala dan tangan saya sudah berdarah sebelum jeritan kuat anak dan isteri menyebabkan dua lelaki itu panik dan melarikan diri," katanya.


Mangsa berkata, dia bersama isteri dan anaknya cuba mengejar kumpulan terbabit namun gagal.


"Saya menerima 10 jahitan di kepala dan cedera ringan di tangan, isteri pula menerima lapan jahitan di kedua-dua tangan dan anak lelaki saya, enam jahitan di kepala," katanya.


Mengulas tindakannya yang bertindak berani dengan melawan dua penjenayah itu, mangsa memberitahu, dia sudah tidak tahan kerana kedai runcitnya itu sering dijadikan sasaran kumpulan penyamun sejak dua tahun lalu.


"Sebab itu saya sediakan kayu dan melawan mereka (penjenayah)," katanya.


Katanya, biarpun cedera, dia berpuas hati kerana kumpulan terbabit gagal menyamun kedainya.


Tiga beranak itu bergegas ke hospital swasta berhampiran berkenaan, di sini, sebelum pihak pengurusan hospital terbabit membuat laporan polis mengenai insiden itu.


Difahamkan, seorang pegawai penyiasat bergegas ke hospital berkenaan dan merakamkan percakapan tiga beranak terbabit.


Pihak berkuasa kini meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang menunjukkan kekejaman kumpulan penyamun terbabit.

Full content generated by Get Full RSS.

Pakatan madu

Posted: 31 Oct 2011 10:00 AM PDT

SEREMBAN: Seorang suami terpaksa melakukan tanggungjawab yang mungkin tidak pernah dibayangkannya sebelum ini iaitu menjamin dua isterinya yang ditahan pihak berkuasa kerana berkhalwat dengan seorang lelaki di sebuah hotel di Port Dickson, dekat sini.

Difahamkan dalam operasi itu, sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melakukan pemeriksaan di sebuah bilik hotel berkenaan selepas menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat yang berlaku. Kedua-dua wanita bermadu berusia 30-an itu ditahan selepas didapati bersekedudukan dengan lelaki berusia 30-an di sebuah hotel terkemuka di kawasan pantai peranginan popular itu.


Sumber berkata, ketika serbuan kira-kira jam 3 pagi Khamis lalu, anggota penguat kuasa memberi salam sebelum mengetuk pintu bilik beberapa kali dan menunggu kira-kira setengah jam sebelum dibuka seorang wanita berpakaian lengkap.

Menurutnya, anggota penguat kuasa melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang lelaki dan wanita lain berpakaian lengkap juga berada di bilik hotel berkenaan.


"Ketika disoal siasat, dua wanita dan lelaki itu mengaku mereka bukan suami isteri atau mahram. Lebih mengejutkan, hasil soal siasat mendapati kedua-dua wanita berkenaan bermadu dan datang ke daerah itu kononnya untuk bercuti dari ibu kota," katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.


Katanya, untuk membuktikan dakwaan dua wanita itu sahih, anggota penguat kuasa menghubungi suami mereka dan lelaki berkenaan turut mengakui kedua-duanya adalah isterinya yang sah.

"Hasil soal siasat, kedua-dua wanita itu mengakui mereka menipu suami mengatakan mahu pergi bercuti bersama di tempat peranginan itu. Malah, kedua-dua mereka memang madu yang baik dan rapat berdasarkan soal siasat dijalankan," katanya.


Menurut sumber, ketika disoal siasat madu terbabit dengan keadaan muka yang pucat lesi memberi alasan mereka datang bercuti bersama.

Katanya, lebih menyedihkan, suami kedua-dua wanita itu terpaksa datang dari ibu kota semata-mata untuk menjamin isterinya yang curang.


"Semua mereka dilepaskan dengan jaminan sebelum didakwa di mahkamah atas tuduhan berkhalwat," katanya.


Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa JHEAINS, Ahmad Husaini Mustafa mengesahkan tangkapan berkenaan.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 61 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 kerana terbabit dengan kegiatan khalwat atau melakukan persetubuhan haram," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Lakonan karier sepenuh masa

Posted: 31 Oct 2011 06:41 AM PDT

TIGA tahun bergelar pelakon, nama Mon Ryanti barangkali masih 'kabur' dalam kalangan penonton tanah air. Malah, mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan si jelita ini dan apakah produk filem dan drama pernah dibintanginya?

Meraih peluang secara kebetulan pada 2009 apabila bahagian kakinya terpilih untuk menjadi poster filem Remp-It V3 Samseng Jalanan arahan Farid Kamil, anak jati Johor ini berkata dia tidak pernah pun berangan untuk membina karier dalam bidang seni.

Mon Ryanti atau nama sebenarnya, Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee, 23, berkata tuah kaki itu yang membuka jalannya. Walaupun, poster dihasilkan tidak lulus kerana hanya menampilkan paras punggungnya hingga kaki, peluang tetap ada.

"Saya kemudian dilamar pemilik MIG Productions Sdn Bhd, David Teo untuk menjadi pelakon. Ketika itu, perasaan saya berbelah bagi untuk menerima atau menolaknya kerana sedar diri tiada bakat dan tahu memang tak boleh berlakon langsung.


"Sifat malu yang tebal untuk beraksi di hadapan kamera adalah faktor utama.

Saya juga tak yakin boleh berlakon memandangkan tiada asas dalam lakonan. Ini kerana saya tidak pernah mendapat pendedahan dengan mengikuti bengkel atau kursus.

"Jadi, macam mana saya hendak berlakon dan pasti akan menyusahkan pihak produksi nanti. Apapun, David meyakinkan saya supaya mencuba dulu. Justeru, saya bulatkan tekad berlakon sekadar mencari duit poket," katanya.

Menurut Mon Ryanti, ketika itu pun dia masih melanjutkan pengajian dalam bidang akaun dan kewangan. Jadi, enggan terlalu bergantung kepada kewangan keluarga, dia gigih berusaha mencari sumber pendapatan dengan terbabit sebagai model peragaan.

Memulakan langkah dalam lakonan dengan drama E-Toyol.com dan Julia Juli pada 2009, rezeki Mon Ryanti semakin murah pada 2010 dengan pelbagai drama terbitan MIG Productions dibintanginya seperti Epilog Syurga Cinta, Jalan Pinang Sebatang dan Cinta Tikar Sejadah.

Selain itu, dia juga berlakon dalam drama Takut Bini Sayang Suami, Adnan Sempi-It The Series, Duda & Dara serta Diva-Diva Pencen. Tidak terhenti setakat itu, Mon Ryanti turut memperoleh peluang beraksi di layar perak menerusi filem Mantra.

Apapun, lembaran 2011 nyata lebih luas untuknya apabila MIG Productions memberi kepercayaan lebih besar dengan melakonkan watak utama dalam filem seperti Nongkrong, Hantu Dalam Botol Kicap dan Keramat. Dia juga muncul dalam filem Super Duper Lover.

Tidak sekadar filem, Mon Ryanti juga terbabit menjayakan drama dan telefilem seperti Saya Tahu Apa Awak Buat Raya Lalu dan Klik. Katanya, dengan rezeki yang tak putus diterima, kini lakonan menjadi karier sepenuh masa walaupun saingan sengit.

"Kemunculan artis baru sekarang terlalu ramai dan di bawah naungan pengurusan MIG Productions saja kini ada 60 orang. Bagaimanapun, saya tidak gusar menghadapinya kerana yakin dengan bakat yang dimiliki pasti ruang rezeki tak ke mana.

"Apa yang penting bagi saya, lakonan ditonjolkan perlulah berkesan dan terbaik. Oleh itu, untuk memperolehnya saya sanggup mengulang beberapa kali sehingga mendapat apa yang diinginkan pengarah. Sebagai pelakon baru, saya masih belajar," katanya.

Menurut Mon Ryanti, bukan mudah meraih kejayaan. Oleh itu, dia tidak malu mengulang babak dilakonkan beberapa kali demi kepuasan diri. Ujarnya, memandangkan lakonan adalah sumber pendapatannya, dia perlu melakukan sebaik mungkin.

Mon enggan dikait kontroversi

MEMILIKI pakej lengkap dengan wajah cantik dan tubuh seksi, apakah Mon Ryanti tidak bimbang dirinya akan dikaitkan dengan kontroversi?

Katanya, tak dinafikan ada juga kerisauan itu. Namun, dia sedar kontroversi adalah lumrah kehidupan artis.

"Dalam soal imej, saya berpakaian mengikut keselesaan. Justeru, saya harap tiada pihak cuba menyalah tafsir atau menjadikannya ruang untuk saya terbabit dengan kontroversi. Jujurnya, saya akui tidak mahu terjebak dengan sebarang kontroversi.

"Saya mahu diri ini dinilai dengan bakat lakonan ditonjolkan dan bukan menerusi perkara bukan-bukan termasuk imej. Apapun, jika terjebak juga dengan kontroversi, saya lebih selesa berbincang dengan pihak pengurusan, MIG Productions.

"Menerusi perbincangan, mungkin akan memperoleh jalan penyelesaian terbaik.
Bagaimanapun, saya sangat berharap penonton dapat menerima dengan menilai hasil lakonan dijayakan. Saya mahu dikenali dengan bakat diri," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Mon Ryanti berkata dia gembira mendapat sokongan daripada ibu bapanya. Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia takkan mensia-siakan kepercayaan keluarga dengan mempamerkan lakonan terbaik.

Full content generated by Get Full RSS.

41 filem rebut anugerah

Posted: 31 Oct 2011 06:32 AM PDT

DEBARAN menantikan acara Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) semakin memuncak apabila ia dijangka berlangsung pada 18 hingga 20 November ini.

Lebih sekadar platform artis melaram dan meraih glamor terima anugerah, acara tahunan ini sepatutnya diberi tumpuan lebih serius dalam mengangkat martabat industri perfileman tanah air.

Menerusi acara ini, penggiat seni termasuk masyarakat dapat melihat sejauh mana pencapaian filem tempatan sama ada ia boleh dibanggakan atau sebaliknya.

Untuk FFM24, kemeriahan awal dapat dirasakan apabila 41 filem bertanding termasuk lapan filem bukan bahasa Malaysia turut mencuba nasib. Mengikut jumlah ini, ia menunjukkan penyertaan filem bertanding semakin meluas dan mendapat perhatian ramai pihak produksi.


Pengerusi Promosi & Publisiti FFM24, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, sepatutnya acara ini mendapat perhatian lebih banyak filem tempatan untuk bertanding dan ini secara tidak langsung mewujudkan suasana meriah yang diharapkan penganjur.


"Kami sendiri meletakkan matlamat untuk mencapai 50 filem masuk acara ini pada tahun depan. Walaupun kuantiti banyak, tetapi saya percaya masih ada filem yang mempunyai kualiti.

"Semua filem yang bertanding kali ini sudah ditayangkan. Buat masa ini persiapan rancak dijalankan dan sudah mencecah hingga 70 peratus," katanya ketika ditemui pada acara Jelajah FFM24 di Johor Bharu, baru-baru ini.

Mat London berkata, mengenai perubahan tarikh malam kemuncak yang sepatutnya dijadualkan pada 19 November tidak memberi masalah pada penganjur, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Dalam pada itu, ketiadaan Presiden Gafim, Jurey Latif Mohd Rosli turun padang pada acara Jelajah FFM24 di Johor Bharu menimbulkan tanda tanya mengenai pendirian badan persatuan itu terhadap acara anjuran sendiri.

Mat London menjelaskan, acara Jelajah FFM24 adalah inisiatif Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dalam menyemarakkan FFM24. Kerajaan memberikan peruntukan RM1 juta untuk penganjuran FFM24.

Walaupun tiada peruntukan diberikan Gafim pada acara sampingan ini, FDAM tetap mencari jalan menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri dan beberapa penaja untuk meneruskannya. Johor Bharu menjadi lokasi terakhir acara Jelajah FFM24 selepas Ipoh dan Pulau Pinang.

"Saya tidak kecewa dengan Gafim berhubung perkara ini kerana FDAM diberi kebebasan dalam menjalankan acara ini. Sepanjang 23 tahun FFM dianjurkan, ini kali pertama acara jelajah diadakan.

"Acara jelajah seperti ini bukan saja membawa artis bertemu peminat lebih dekat, tetapi turut mempromosikan filem yang bertanding. Menerusi tiga lokasi yang dijalankan, sambutan yang diterima cukup meriah.

"Di sebalik acara ini, saya berharap setiap kali penganjuran ia memberi pengajaran pada penganjur memperbaiki pada masa akan datang.

"Menariknya, lokasi Iskandar Malaysia (Koridor Pembangunan Johor) sudah menyatakan minat untuk bekerjasama menganjurkan festival ini pada 2013.

"Saya sendiri berpandangan sepatutnya acara ini diperbesarkan dengan menjemput ramai penggiat seni dan artis dari rantau Asia hadir.

"Pertemuan bersama karyawan tempatan ini bukan saja suatu yang meriah dan dinamik, tetapi ia juga memberi pendedahan pada orang luar menilai acara ini suatu yang hebat dan dapat dibanggakan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Irfan angkat kaki

Posted: 31 Oct 2011 08:48 AM PDT

SELEPAS gagal mendakap Piala Malaysia pertama kali dalam sejarah kariernya sebagai jurulatih, jodoh Irfan Bakti Abu Salim bersama Terengganu tidak kekal lama apabila jurulatih itu memilih untuk tidak menyambung kontraknya bersama skuad Penyu sebaliknya memilih Selangor musim depan.

Kekosongan kerusi panas skuad Penyu itu bakal diisi bekas pengendali KL Pos, Malaysia, Mat Zan Mat Aris, yang pernah melakar kejayaan membawa skuad Terengganu menjulang piala berprestij itu pada 2001.


Irfan Bakti berkata, beliau memilih tidak menyambung kontrak bersama Terengganu kerana ingin berubah angin selain menimba pengalaman melatih pasukan baru selepas dua tahun bersama skuad itu sejak 2010.

"Saya tiada masalah dengan PBSNT, malah persatuan sudah menawarkan kontrak dua tahun lagi, tetapi keinginan untuk mengutip cabaran baru membuatkan saya tidak menyambung kontrak dan memilih Selangor destinasi musim depan.


"Bagi saya, sepanjang menjadi jurulatih sejak 20 tahun lalu, pemain Terengganu adalah antara yang terbaik pernah saya latih terutama daripada segi disiplin dalam dan luar padang.


"Saya begitu selesa dengan pemain, mereka bukan saja mempunyai azam tinggi setiap kali beraksi, malah memiliki semangat kekeluargaan dipupuk PBSNT sejak awal lagi, inilah pasukan terbaik pernah saya latih," katanya.

Sepanjang bersama Terengganu, Irfan Bakti membawa skuad itu juarai Piala FA Jun lalu, naib juara Liga Super, dua pemain menjadi penjaring gol terbanyak dua tahun berturut-turut dan terbaru naib juara Piala Malaysia.

Full content generated by Get Full RSS.

Sedia hadapi kemungkinan

Posted: 31 Oct 2011 08:42 AM PDT

"HARUS bersedia hadapi segala kemungkinan" itulah amanat terakhir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong kepada kontinjen atlet negara yang akan beraksi pada temasya Sukan Sea Indonesia, bulan depan.

Zolkples berharap 608 atlet daripada 38 jenis sukan yang disertai kontinjen negara pada temasya dwitahunan itu tidak mempedulikan sebarang masalah, sama ada daripada segi penganjuran, jadual perlawanan, logistik dan masalah seumpamanya.


"Saya harap ia tidak dijadikan sebagai alasan kenapa kita tidak dapat memberikan persembahan terbaik pada temasya nanti," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Atlet Fasa Akhir Sukan Sea Ke-26 di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata, pelbagai kejayaan atlet negara sepanjang tahun ini antaranya Datuk Lee Chong Wei (badminton), Datuk Nicol David (skuasy) dan Jacqueline Sijore (bowling) seharusnya dijadikan rangsangan di kalangan atlet untuk memberikan persembahan terbaik mereka pada temasya kali ini.


"Ada di kalangan atlet negara sudah berpengalaman bertanding di peringkat lebih tinggi antaranya Sukan Asia dan Sukan Komanwel dan mereka patut menghasilkan persembahan terbaik.


"Masalah ini adalah masalah yang biasa berlaku dan ia patut dijadikan pengajaran oleh atlet supaya lebih bersedia.

"Sukan Sea diharap menjadi pelengkap kepada pelbagai kejayaan yang kita capai sepanjang tahun ini," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Bawa parang tikam isteri

Posted: 31 Oct 2011 10:36 AM PDT

SANDAKAN: Seorang wanita kini bertarung dengan maut akibat ditetak di kepala manakala perutnya ditikam menggunakan parang jenis 'barung' oleh suaminya yang mengamuk kerana sering dituduh mengamalkan ilmu hitam.

Mangsa, Amah Mohd Ali, 36, dan kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Mangkalinau di sini, pada jam 7.30 malam kelmarin.

Sebelum kejadian, Amah bertengkar dengan suaminya yang berusia 30 tahun kerana lelaki itu mengamalkan ilmu hitam dan menuntut ajaran sesat dengan seorang 'tok guru' sejak beberapa bulan lalu.

Suaminya yang tidak puas hati dengan tohmahan itu meninggalkan rumah sebelum kembali semula beberapa jam kemudian sambil membawa parang dan nekad menyerang isterinya yang menonton televisyen bersama tiga anak dan bapa mentua.


Seorang anak lelakinya berusia 16 tahun cuba menghalang lelaki itu daripada menyerang mangsa dan kesempatan itu digunakan wanita terbabit melarikan diri dan bersembunyi di sebuah kedai runcit berhampiran.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Lisdawati menang

Posted: 31 Oct 2011 10:27 AM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintah pelakon Nadia Mustafa membayar ganti rugi RM50,000 kepada seorang lagi pelakon, Lisdawati berhubung saman fitnah terhadap penyiaran artikel di Majalah Media Hiburan, enam tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan saman fitnah difailkan Lisdawati terhadap Nadia tahun lalu.

Beliau turut memerintahkan Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, membayar kadar faedah empat peratus bermula dari tarikh penghakiman iaitu semalam hingga tarikh penyelesaian kes serta membayar kos mengikut skala.

"Selepas meneliti hujahan dan keterangan pihak-pihak, mahkamah membenarkan tuntutan plaintif," katanya.


Nadia dan Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, bagaimanapun tidak hadir pada prosiding semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved