Khamis, 10 November 2011

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Padah melaram dengan kereta curi

Posted: 09 Nov 2011 07:49 AM PST

LONDON: Dua pencuri dipenjarakan selepas memuat naik gambar mereka dalam Facebook bersama kereta yang dikebas.

Damon Keegan, 20, dan Aaron Wilhelm, 18, melakukan beberapa kecurian dengan mensasarkan kenderaan mewah di bandar raya Manchester.


Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar apabila gambar yang menjadi bukti jenayah dilakukan mereka dan maklumat yang mengaitkan mereka dengan kecurian itu ditemui polis.

Pasangan itu ditahan Krismas tahun lalu selepas dikaitkan dengan tapak kaki yang ditinggalkan di permukaan bersalji dalam satu kejadian pecah rumah.


Namun ketika diikat jamin, mereka masih melakukan jenayah, mengambil gambar kereta yang dicuri oleh mereka.


Polis mendapat maklumat selepas mangsa kecurian menunjukkan mereka mengenai laman Facebook Wilhelm.

Wilhelm mengubah gambar profil dirinya dengan imej menunjukkan dia bergaya di hadapan kereta mangsa yang dicuri.


Daripada imej yang ditemui polis daripada telefon bimbit dan Facebook menyebabkan mereka turut dikaitkan dengan kehilangan kereta di beberapa kediaman di kawasan berkenaan antara Februari dan Mei tahun lalu.

Kenderaan itu termasuk Mercedes, tiga kenderaan iaitu Audi, sebuah Volkswagen Scirocco dan Renault Clio dengan jumlah 200,000 pound (RM1 juta).


Maklumat yang dihantar kepada Keegan di Facebook menunjukkan dia mencuri kereta untuk dijual semula.


Keegan dan Wilhelm yang tidak mempunyai alamat tetap mengakui melakukan lapan perbuatan jenayah termasuk tiga pecah rumah, tiga dakwaan menjual barang curi dan dua kes curi.


Keegan yang sebelum ini disabitkan dengan sembilan kesalahan lampau dihantar ke institusi pemulihan belia selama 50 bulan, manakala Wilhelm yang disabitkan dengan 10 kesalahan sebelum ini akan dipenjarakan selama 40 bulan.


Timbalan Komisioner polis, Paul Jackson berkata: "Keegan dan Wilhelm menyusahkan ramai orang dan melakukan banyak insiden pecah rumah dan mencuri kereta dalam tempoh singkat yang berjumlah RM1 juta.


"Mereka percaya mereka boleh lari dengan jenayah yang dilakukan dan begitu sombong untuk memuat naik gambar mereka bergaya dengan kenderaan curi di Facebook.


Bagaimanapun, sebenarnya mereka hanya menunggu masa ditangkap dan diadili," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Lelaki lebih mudah tertipu di internet

Posted: 09 Nov 2011 07:46 AM PST

LONDON: Menurut keputusan satu kaji selidik terhadap lebih 1,500 pengguna internet di United Kingdom dan Amerika Syarikat, lelaki lebih mudah tertipu di rangkaian laman sosial berbanding wanita.

Ia bukan saja disebabkan oleh wanita yang semula jadinya lebih berhati-hati ketika mendedahkan maklumat peribadi - ia sebenarnya merujuk kepada faktor seks. Kajian yang dianjurkan syarikat perisian anti-virus Bitdefender, berkata, lelaki mudah tertarik terhadap wanita tidak dikenali yang ingin menjadi rakan mereka di laman seperti Facebook.


Apabila mereka sudah memberikan maklumat peribadi, mereka boleh menjadi sasaran dalam jenayah siber.

Tinjauan dilakukan terhadap 1,649 lelaki dan wanita di United Kingdom dan AS, mendedahkan lelaki lebih mudah menerima pelawaan menjadi rakan daripada orang tidak dikenali; mendedahkan lokasi mereka; tidak menghiraukan susun atur peribadi; membiarkan akaun mereka terdedah untuk dilihat orang lain dan gagal membaca polisi laman web.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


‘Usah ragui lagi’

Posted: 09 Nov 2011 09:56 AM PST

KETIKA ramai yang meragui kemampuannya, penyerang negara, Izzaq Faris Ramlan mengotakan janjinya apabila muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan untuk membolehkan Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand dalam kempen bola sepak Kumpulan A Sukan Sea Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, semalam.

Izzaq, 21, yang masuk menggantikan pemain sayap Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-80, merembat masuk gol kedua negara lima minit selepas itu sebaik mendapat hantaran kapten, Baddrol Bakhtiar dalam kotak penalti.


Gol itu cukup penting kerana ia bukan saja kembali menyemarakkan peluang Malaysia dalam misi mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos, dua tahun lalu malah ia begitu bermakna buat Izzaq yang dikritik hebat sebelum ini kerana aksi kurang memberangsangkan.

"Saya gembira kerana diturunkan, malah lebih bermakna apabila dapat menjaringkan gol kemenangan. Sebelum ini ramai yang meragui kemampuan saya dan gol ini bagus untuk karier bola sepak saya," katanya yang ditemui selepas tamat perlawanan.


Sebelum ini, ramai pihak kurang berpuas hati dengan penampilan Izzaq, bukan saja dalam skuad Olimpik, malah ketika dipanggil bersama skuad senior kerana gagal menjaringkan gol di pentas antarabangsa.


Kali terakhir pemain kelahiran Kemaman, Terengganu itu menjaringkan gol ketika skuad bawah 23 tahun negara menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi persahabatan bulan lalu.

Pada perlawanan pertama ketika Malaysia seri 0-0 dengan Singapura pada aksi pertama Isnin lalu, Izzaq turut beraksi 10 minit terakhir kerana tidak cukup cergas sepenuhnya akibat diserang cirit-birit.


Semalam, selepas 25 minit mengatur gerakan, Malaysia berjaya membuka tirai jaringan apabila bola lorongan Mohd Asraruddin Putra Omar ke dalam kotak penalti bijak disempurnakan Baddrol dengan rembatan deras ke penjuru gawang.

Pada babak kedua, skuad muda negara hampir di depan namun rembatan deras pemain sayap kanan Wan Zaharulnizam singgah di tiang gol ketika penjaga gol, Weerawut Kayern sudah tertewas.


Bagaimanapun gerakan Thailand yang beraksi dengan 10 pemain selepas tidak dapat menukar seorang pemain yang cedera kerana sudah memasukkan tiga pemain gantian menyamakan kedudukan menerusi sepakan kencang Natarid pada minit ke-76.


Namun Izzaq membuktikan kenapa dia berhak berada dalam skuad dengan menyumbat gol kemenangan selepas bijak memperdayakan pertahanan lawan pada minit ke-85.

Full content generated by Get Full RSS.

Yi Ting fokus individu

Posted: 09 Nov 2011 09:52 AM PST

PEMENANG tiga emas di temasya Sukan Sea Laos dua tahun lalu, Siow Yi Ting sedar dia tidak boleh memasang angan-angan tinggi di temasya di Palembang kerana hanya berlatih secara serius sejak dua bulan lalu.

Pemenang tiga anugerah Olimpian itu hanya mula menjalani latihan di Kuala Lumpur, Ogos lalu selepas memberi tumpuan terhadap pelajarannya di Amerika Syarikat.


Selepas beraksi di Laos, Yi Ting hanya menyertai satu kejohanan iaitu Terbuka Hong Kong, bulan lalu yang menyaksikan dia menang perak acara 200m kuak dada dengan catatan 2:35.53s dan gangsa 50m kuak dada, 33.69s.

"Meskipun mendapat pingat, catatan masa saya jauh di belakang masa terbaik kerana hanya berlatih sebulan sebelum kejohanan. Tahap kecergasan saya sudah meningkat dan semoga latihan saat akhir dapat membantu saya memenangi pingat di sini," katanya.


Gadis berusia 25 tahun itu menang tiga emas di Laos dengan merakam rekod kejohanan bagi acara 100m, 200m kuak lentang selain 200m rampaian individu.


Justeru dia hanya mahu fokus terhadap acara individu biarpun jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham menyenaraikan namanya dalam enam acara.

"Saya pasti akan bertanding dalam acara 50m, 100m dan 20m kuak lentang dan 200m rampaian individu." Begitupun dia berasa sukar untuk mempertahankan ketiga-tiga emas dimenangi dua tahun lalu iaitu 100m dan 200m kuak dada serta 200m rampaian individu.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


‘Zara rasa bersyukur sebenarnya’

Posted: 09 Nov 2011 06:08 AM PST

SIAPA Fiona yang membuatkan ramai membenci Izara Aishah? Fiona juga membuatkan ramai ingin mengenali bintang baru ini.

Siapa gerangan di sebalik watak Fiona yang membuatkan ramai yang tidak berganjak walau seinci pun dari televisyen untuk menyaksikan siri Soffiya yang bersiaran di TV3 sejak 21 September lalu?

Malah atas desakan seorang rakan yang taksub dengan watak Fiona ini sebagaimana dipaparkan dalam Soffiya menarik minat Harian Metro untuk menjejaki gadis di sebalik watak itu.

Usaha menjejakinya tidak sukar kerana dibantu pengurusnya, Ayu dan pada 1 November lalu, gerangan gadis cantik itu muncul memenuhi sesi fotografi khas untuk Rentak Artis Popular (Rap).


Izara Aishah Hisham, 19, seindah namanya begitulah juga rupa paras gadis bertubuh kecil molek ini. Sekali-sekala, ketika beraksi di hadapan kamera, beberapa bahagian wajahnya kelihatan persis pelakon terkenal Filipina, Kristine Hermosa.


Mukadimah bermula dengan topik mengenai wataknya yang begitu dibenci. Pertanyaan itu disambut Izara dengan tawa, tanpa sedikit pun tercalar perasaannya. Izara yang mesra disapa Zara mengakui gara-gara Fiona, ramai yang membencinya.

"Zara kena kutuk macam-macam dalam Twitter dan facebook. Iya, tidak dinafikan mulanya memang berasa agak bimbang dengan tindakan segelintir penonton drama Soffiya. Bayangkan ada satu kejadian di tempat makan, seorang lelaki menjeling kepada Zara, tapi bila Zara senyum kepadanya, dia nampak tidak keruan.

"Apa pun, Zara memandang positif setiap kritikan dan kutukan. Apabila memikirkan semula tujuan mereka membenci Zara kerana tidak suka pada Fiona, Zara rasa bersyukur sebenarnya.

"Itu menandakan watak Fiona yang dilakonkan Zara menjadi. Zara percaya apabila mereka yang menonton drama itu menemui Zara di luar, mereka akan dilihat perbezaan yang ketara antara Fiona dan Zara.

"Hakikatnya, di alam realiti Zara bukan seorang yang kejam seperti Fiona. Zara sendiri benci kalau individu semacam Fiona itu wujud di muka bumi ini.

"Namun, melihat watak itu sebagai satu cabaran berat buat pelakon baru seperti Zara, Zara menerimanya," katanya petah berkata-kata.

Ada yang menyifatkan lakonan Izara dalam drama Soffiya terbitan Filmscape Sdn Bhd ini lebih menyerlah berbanding pelakon lama yang menjayakan drama itu seperti Fizo Omar (Ilyas), Azhar Sulaiman (Kamal) dan Syazwan Zulkifli. Malah, lakonannya dikatakan menenggelamkan pelakon popular, Tiz Zaqyah (Soffiya) selaku teraju utama.

"Iya ke? Zara rasa drama itu tidak akan diminati ramai atau jadi bagus kalau ia hanya kerja seorang. Semua pelakon ada kekuatan dan tarikan masing-masing untuk membawa sesebuah drama itu ke satu level yang lain.

"Zara juga tidak mungkin dapat memberi lakonan yang baik tanpa bantuan semua pelakon senior yang terbabit. Mereka banyak memberi bimbingan dan nasihat kepada Zara termasuk pengarah, Joeza Rasidi.

"Mungkin ada yang beranggapan watak Zara menyerlah kerana rasanya semua watak jahat orang lebih mudah ingat. Perlu diberikan kredit jalan cerita dipaparkan Soffiya sememangnya sangat menarik," katanya.

Kemuncak kebencian penonton terhadap Fiona bakal berakhir hari ini apabila Soffiya mengakhiri siaran menerusi slot Akasia selama 28 episod.

Pemenang tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010 itu mengakui Fiona adalah watak paling sukar pernah dilakonkan walaupun sembilan drama sudah dibintangi.

Bukan saja diminta menjadi jahat, malah gadis kelahiran Bakar Batu, Johor Bahru, Johor itu perlu menghayati watak wanita hamil, sedangkan usianya baru menginjak 19 tahun pada 28 September lalu. Tentu saja semua itu belum pernah dilaluinya lebih-lebih lagi bagi bagi pelakon baru sepertinya.

"Perlu Zara akui Fiona adalah watak paling mencabar setakat ini. Diminta memainkan karakter jahat namun, bukan secara terang-terangan kerana Fiona ini orangnya penuh muslihat.

"Untuk benar-benar memahami dan menjiwai watak Fiona ini, Zara membuat kajian dengan memerhati cara pergerakan orang mengandung supaya di set Zara tak nampak kekok. Zara juga sering menonton watak antagonis lakonan pelakon tempatan dan barat di YouTube.

"Pun begitu, pengalaman membintangi drama ini adalah yang terindah buat Zara. Zara sering dihambat perasaan rindu untuk kembali di set walaupun penggambaran sudah tamat. Kami bekerja bagaikan sebuah keluarga. Kami makan bersama dan ke mana-mana juga bersama. Zara bertuah kerana terpilih menjadi sebahagian daripada produksi Soffiya," katanya.

Berstatus penuntut Seni Persembahan di Sunway College, sememangnya impian untuk menjadi pelakon terkenal sudah tertanam sejak kecil. Lihat saja jurusan pengajian pilihannya jelas membongkar kecenderungan minat Zara.

Malah sewaktu berusia 12 tahun, anak sulung daripada tiga beradik itu pernah mendapat bimbingan Fauziah Nawi dalam pementasan teater Tok Rimau. Di situ jugalah, bercambah kecintaannya untuk terus menerokai dunia seni persembahan secara serius.

"Ketika masih bersekolah, mama tak benarkan Zara berlakon kerana mahu Zara tumpukan pada pelajaran. Bagaimanapun, masa di tingkatan lima, pak cik Zara bagi dorongan untuk menyertai Dewi Remaja.

"Memang tidak sangka selepas dua tahun terikat dalam pertandingan itu, Zara muncul naib juara manakala Neelofa pemenangnya. Selepas pertandingan itu, Zara masih tidak berkeyakinan untuk terbabit secara aktif dalam bidang lakonan kerana selalu gagal menghadiri uji bakat.

"Bagaimanapun, Lofa (Neelofa) memperkenalkan Zara kepada Erma Fatima dan akhirnya Zara diterima membintangi drama Kasih Najiha. Memang seronok dapat bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Kak Erma.

"Nampak saja garang dan serius tapi kak Erma tidak lokek ilmu. Bertitik-tolak daripada Kasih Najiha, Zara ditawarkan membintangi Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Pusing Beraya dan Soffiya," katanya.

Lebih manis bagi Izara apabila diberi penghormatan oleh penganjur Anugerah Skrin 2011 sebagai penyampai trofi bersama Umie Aida pada 4 November lalu.

Katanya, jadual seninya kembali rancak apabila dia kini dalam persediaan memasuki set penggambaran drama Vanila Coklat untuk siaran TV3. Menerusi drama ini, Zara akan memegang watak menggunakan namanya sendiri jika tidak berlaku sebarang pertukaran.

Drama ini mengisahkan pelajar perempuan dan lelaki yang saling membenci antara satu sama lain tetapi dipaksa berkahwin. Atas permintaan keluarga, mereka akur, tetapi menetapkan perjanjian selepas enam bulan berkahwin mereka akan bercerai.

"Apakah mereka akan jatuh cinta, terus membenci, memutuskan untuk bercerai atau bersama? Penonton perlu menyaksikan konflik yang akan dipaparkan menerusi drama ini," katanya.

PROFIL

Nama sebenar: Izara Aishah Hisham
Tarikh lahir: 28 September 1992
Usia: 19 tahun
Bintang: Libra
Asal: Bakar Batu, Johor Bahru
Adik-beradik: Sulung daripada tiga beradik
Pencapaian: Tempat kedua Dewi Remaja 2009/2010
Drama/Telefilem: Kasih Najiha Hantu Gigi, Keranamu Laila, Masih Membara Cintaku, Selumbar Kasih, Jejaka J, Cikaro, Soffiya, Pusing Beraya, Soffiya dan Vanila Coklat.

Full content generated by Get Full RSS.

Galak karyawan guna CGI

Posted: 09 Nov 2011 05:56 AM PST

SAINGAN filem cereka pada Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) kali ini sengit apabila 41 filem menghantar penyertaan. Daripada jumlah itu, hanya 27 filem tercalon dalam senarai Top 5 setiap kategori ketika pengumuman dibuat kelmarin.

Di sebalik kemeriahan jumlah filem bertanding, turut menarik perhatian adalah pengenalan kategori baru, Kesan Visual Terbaik.

Secara umum, penganjur, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) berhasrat memberi penghargaan dan galakan kepada karyawan filem yang menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI) sebagai satu kelebihan.

Namun, melihat pada pencalonan terbanyak filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) untuk 12 pencalonan membayangkan bukan mustahil anugerah ini menjadi milik KRU Studios selain berpeluang membolot anugerah lain termasuk Pengarah Terbaik dan Filem Terbaik.


Pengerusi FFM24, Jurey Latiff Rosli berkata, kategori baru ini diwujudkan atas faktor pencapaian filem tempatan yang menggunakan CGI semakin bertambah.


"Membuat filem menggunakan CGI sudah menjadi 'trend' ketika ini. Ia membuktikan CGI memainkan peranan penting pada kemajuan perfileman tempatan dan ia seharusnya diangkat ke tahap membanggakan.

"Bagi penganjur, apabila kategori baru ini diperkenalkan ia akan diteruskan pada masa hadapan. Begitu juga, saya percaya jumlah filem kategori ini akan bertambah dari semasa ke semasa sesuai dengan tema FFM24, Gemilang Filem Malaysia," katanya pada sidang media Pengumuman Top 5 FFM24 di TGV, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin.

Bersama HMM, kategori Kesan Visual Terbaik juga menyaksikan pencalonan satu lagi filem terbitan KRU Studios, Karak serta filem lain, Khurafat terbitan Skop Production, Janin (Grand Brilliance) dan Libas (MDAG Marketing).

Jurey berkata, pemilihan Top 5 dan penjurian dibuat 14 juri profesional yang dilantik untuk mengadili FFM24. Namun, penganjur tidak mahu mendedahkan senarai juri lebih awal sehingga Malam Kemuncak berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya pada 20 November ini.

"Penjurian akhir akan dilakukan pada 11 November. Semua juri mempunyai latar belakang berbeza dan mereka bertanggungjawab dalam menilai segala kriteria.

"Dalam pada itu 10 filem yang bertanding dipilih secara rambang untuk ditayangkan secara percuma pada 18 dan 19 November nanti," katanya.

Bagi kategori Pengarah Terbaik, calon Top 5 disaingi Osman Ali mempertaruhkan Cun, Mamat Khalid (Hantu Kak Limah Balik Rumah - HKLBR), Yusry Abdul Halim (HMM), Syamsul Yusof (KL Gangster) dan Ahmad Idham (Senjakala).

Turut menjadi tumpuan, kategori Pelakon Lelaki Terbaik terdiri daripada Awie membintangi HKLBR, Syamsul Yusof (KL Gangster), Shaheizy Sam (Kongsi), Remy Ishak (Nur Kasih The Movie) dan Zahiril Adzim (Senjakala).

Pelakon Wanita Terbaik pula dicabar Maya Karin berlakon Cun, Eja (Janin), Tiz Zaqiyah (Nur Kasih The Movie), Lisa Surihani (Sekali Lagi) dan Liyana Jasmay (Senjakala).

Kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik tidak kurang hebat menyaksikan muka baru seperti Sallehudin Abu Bakar untuk Hantu Bonceng, Syed Mohd Asri (HKLBR), Khir Rahman (HMM), Shoffi Jikan (KL Gangster) dan Hasnul Rahmat (Mantra) manakala wanita disaingi, Intan Ladyana (Bini-Biniku Gangster), Faezah Elai (Cun), Fauziah Ahmad Daud (... Dalam Botol), Sherry Merlis (Janin) dan Sabrina Ali (Khurafat).

Sam berkata, dia menghormati apa jua keputusan juri dalam menentukan pemenang yang layak untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

"Saya berasakan belum ada kerja saya yang sampai ke tahap anugerah. Jika dianalisis, genre komedi sukar untuk menang, tetapi tercalon menerusi Kongsi mungkin kerana lakonan saya dalam membawakan watak komedi itu.

"Apabila diumumkan tercalon Top 5 saya terkejut, tetapi tidak kisah filem mana yang terpilih," katanya.

Pengarah Terbaik FFM23, Syamsul pula tidak menyangka dua filem arahannya, KL Gangster dan Khurafat meraih pencalonan yang banyak termasuk dirinya tercalon untuk kategori Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi KL Gangster.

"Tercalon sebagai Pelakon Lelaki Terbaik membuatkan saya lebih terkejut kerana mengharapkan pelakon filem saya berpeluang masuk Top 5. Walaupun Aaron Aziz dan Ady Putra tidak dapat masuk, saya berbangga apabila Shoffi tersenarai.

"Bagi saya, HMM dan Cun! memberikan saingan kuat. Untuk kategori Kesan Visual Terbaik, ia mewujudkan persaingan hebat dan sihat. Apapun, jika menang ia bergantung pada rezeki dan jika saya menang, seharusnya kejayaan itu dikongsi bersama semua pelakon dan kru yang terbabit," katanya.

Pelakon Nadia Nisaa, menyatakan perasaan gembira tercalon kategori Pelakon Harapan Wanita bersama Shera Aiyob (Karak), Syamira Azmil (Karipap-Karipap Cinta), Shamimie Amalina Norhisham (Klipx 3GP) dan Sara Ali (Nur Kasih he Movie).

"Cabaran melakonkan watak gadis kurang upaya, Manis dalam filem Cun! suatu yang sangat mencabar buat saya. Saya sebenarnya seorang yang serius, tetapi apabila apabila tercalon, ini membuktikan saya berupaya membawa karakter berbeza," katanya.

Dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki menyaksikan calon, Aeril Zafril menerusi Aku Tak Bodoh, Zalif Sidek (Bini-Biniku Gangster), Arja Lee (... Dalam Botol), Adey Syafrien (Flat 3A) dan Sallehudin Abu Bakar (Hantu Bonceng).

Malam Kemuncak FFM24 akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima (saluran 105) bermula 8.30 malam untuk siaran karpet merah sebelum acara bermula jam 9 malam.

FFM24 mencipta sejarah dari aspek penganjuran apabila ia turut mendapat bajet tertinggi sebanyak RM6.68 juta merangkumi penajaan siaran dan penaja lain seperti Asia Media untuk promosi FFM24 sebanyak RM1 juta, Maxx Rewards Global Sdn Bhd menaja 'booklet' bernilai RM2 juta dan barangan kemas tajaan Amee Philips.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 9 November 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Serlahkan anugerah kecantikan

Posted: 09 Nov 2011 07:30 AM PST

TANYALAH mana-mana wanita mahupun lelaki, siapa yang tidak suka dirinya didandan cantik apatah lagi jika diberi peluang tampil lebih menarik.

Bak kata pujangga, kecantikan itu sendiri adalah daya penarik sebenar pada diri seseorang dan suatu entiti yang dikagumi hinggakan diangkat sebagai ciri utama dalam kehidupan sesebuah masyarakat mahupun budaya.

Biarpun kecantikan dalaman amat dititikberatkan dalam menghakimi seseorang individu, aspek luaran sama sekali tidak boleh diketepikan tambahan ia mampu meningkatkan keyakinan diri menerusi penampilan zahir yang lebih cantik dan menarik.

Menurut Jurusolek Kanan Mac Cosmetics Malaysia (Mac), Haritha Shan, kecantikan adalah anugerah utama untuk manusia cuma perlu bijak menggunakannya.


"Setiap manusia dikurniakan kecantikan tersendiri, tetapi ramai yang tidak menggunakan sebaik-baiknya anugerah itu kerana kekangan masa, dihimpit masalah dan pelbagai lagi perkara yang perlu diharungi setiap hari.


"Ia kemudian membuatkan ramai antara kita mula mengabaikan penampilan diri lalu anugerah kecantikan yang ada itu makin tenggelam hingga lama kelamaan pudar ditelan masa," katanya.

Atas faktor itu, Mac tampil memberikan 'bantuan' kepada wanita juga lelaki, yang memerlukan sedikit suntikan semangat daripada segi penampilan gaya wajah.

"Bagi Mac, apa yang boleh kami lakukan ialah membantu mereka dengan mengubah gaya solekan sebagai salah satu cara mengembalikan semula keyakinan diri, sekali gus memberi peluang untuk mereka menghargai semula anugerah yang ada pada diri masing-masing.

"Siapa yang tidak suka wajahnya dibelai dan disolek cantik? Jika tanya pada sesiapa pun, pasti majoriti yang mahu diri mereka didandan anggun walaupun solekan itu hanya untuk sejam.

"Menerusi kempen Mac Me Over yang berlangsung di seluruh dunia baru-baru ini, kami berusaha membantu mereka yang ingin menjalani transformasi dan mencuba sesuatu yang baru.

"Misalnya, jika anda sebelum ini tidak gemarkan pembayang mata rona hijau, inilah masanya untuk berubah dan berani bereksperimen dengan perkara baru.

"Tiada istilah salah atau betul dalam solekan, cuma kita perlu tahu sama ada ia sesuai atau tidak mahupun seiring atau sebaliknya pada penampilan kita," tegasnya.

Idea melakukan perubahan ke atas wanita biasa ini bermula beberapa bulan lalu di New York, Amerika Syarikat apabila Mac membuka penyertaan kepada umum bagi mencari enam wajah biasa yang boleh mewakili setiap lapisan masyarakat.

"Semuanya kembali kepada prinsip asas Mac iaitu semua usia, semua agama dan semua jantina.

"Mac Me Over tidak terhad kepada wanita apabila seorang pemenangnya ialah jejaka dari New York, Ian Marc Saisselin.

"Di Malaysia, Mac Me Over bukanlah berteraskan pertandingan, tetapi lebih kepada antara satu medium bantuan untuk masyarakat tempatan menyerlahkan lagi kecantikan yang dianugerahkan pada mereka.

"Apa yang diperlukan cuma kunjungi mana-mana kaunter Mac seluruh Malaysia dan
jurusolek Mac sedia membimbing mereka mendapatkan solekan yang diingini," ujar Haritha.

Fakta

  • Mac Me Over menampilkan dua produk bintang - Shadestick dan Fluidline yang pelbagai guna dan tahan lama.
  • Pembayang mata Shadestick bersifat kalis air dan sesuai untuk keadaan cuaca panas dan lembap seperti Malaysia. Boleh digunakan begitu saja atau sebagai asas solekan mata. Rona Cake Shop (piuter kabut) misalnya, boleh digunakan sebagai asas dan kemudian diadun bersama pembayang mata untuk lebih impak.
  • Fluidline bukan saja bertindak sebagai penggaris malah pembayang mata. Untuk menjadikannya sebagai pembayang mata, adunkan dengan berus 227 untuk kesan comot dan smokey yang tidak begitu ketara. Buat pertama kali, Mac hadir dengan beberapa pilihan warna bagi Fluidline yang mana sebelum ini hanya biru dan hitam.
  • Full content generated by Get Full RSS.

    Kekal keremajaan kulit

    Posted: 09 Nov 2011 07:04 AM PST

    CORSICA yang dikenali sebagai pulau keindahan di Perancis menyimpan sejarah tersendiri kerana di sanalah L'Occitane menemui bunga kecil berwarna kuning dengan khasiat yang sukar ditandingi.

    Pokok yang dikenali sebagai immortelle ini tumbuh liar di sepanjang pantai Mediterranean dan bunganya tidak layu walaupun selepas dipetik. Rahsia kecantikan dan keremajaan terletak pada pati minyak bunga immortelle yang terbukti mujarab menghalang kesan penuaan dan menjadikan kulit kelihatan muda dan cantik berseri.

    Disebabkan ia memiliki antipenuaan menakjubkan, L'Occitane melancarkan ladang penanaman immortelle organik secara besar-besaran di Corsica pada 1994 bagi menjamin kelestariannya yang sebelum ini tumbuhan ini tidak pernah ditanam
    di mana-mana kawasan. Hasilnya, lebih 44 hektar ladang ditanam dengan tumbuhan ajaib ini dengan pengeluaran 200 kilogram pati minyak pada 2010.

    Selepas 10 tahun membongkar rahsia tumbuhan ini, L'Occitane menemui satu lagi rahsia pada ekstrak sel immortelle yang mengandungi ramuan aktif bagi memperlahankan ciri-ciri penuaan secara ketara.

    Pengarah Saintifik L'Occitane, Jean Louis Pierrisnard, memberitahu ekstrak sel immortelle diperoleh menerusi proses ekologi dan pengekstrakan yang sangat inovatif bagi membolehkan pasukan penyelidikan dan pembangunan L'Occitane mendapatkan molekul paling berharga daripada bunga immortelle ini yang mustahil diperoleh menerusi proses penyulingan biasa.

    Menurut Pengurus Pemasaran L'Occitane Malaysia, Coey Goh, pengekstrakan ini sama seperti proses gelombang mikro yang boleh dilakukan dalam masa beberapa minit dan kurang penghabaan, menjadikan proses ini lebih mesra alam berbanding kaedah biasa.

    Kepakaran dan kejayaan saintifik membolehkan pasukan penyelidikan L'Occitane mengenal pasti gen bagi mengekalkan keremajaan kulit dengan tujuan campur tangan minyak pati immortelle dan ekstrak sel immortelle yang bertindak menentang kedutan kulit menerusi dua peringkat:

    - Dalam kulit: Ia menguatkan sistem sokongan kulit dan memperkukuhkan pendakap mikro yang menghubungkan epidermis dan dermis.

    - Permukaan kulit: Membaiki semula struktur dan melicinkan kulit. Permukaan kulit diperbaharui dan tampak ketara lebih muda.

    Pemakaiannya secara teratur membantu untuk menjadikan kulit lebih licin, tegang dan tampak lebih muda menerusi rangsangan pengeluaran kolagen bagi memperbaiki struktur kulit. Antara produk dipasarkan ialah:

    Krim harian Immortelle Precious (sesuai untuk kulit normal dan kering)
    Krim pekat, licin dan lembut ini secara ketara memperbaiki kedutan dan menambah ketegangan kulit. Ia juga membantu mengekalkan serat kolagen dan meningkatkan pengedaran mikro.

    Krim malam Immortelle Precious Pemakaian pada waktu malam membuatkan wajah tampil berseri keesokan harinya. Krim lembut selicin sutera ini membantu membalikkan proses penipisan epidermis yang berlaku secara semula jadi apabila usia meningkat.

    Selain itu, produk Immortelle lain untuk kulit kelihatan awet muda termasuk Essential Water Face, krim mata Precious dan Precious Protection berharga di antara RM98 sehingga RM225. Semua rangkaian produk penjagaan kulit Immortelle Precious boleh didapati di semua butik L'Occitane bermula 1 November ini.

    Untuk memperingati ulang tahun ke-10 kejayaan rangkaian Immortelle, L'Occitane melancarkan edisi terhad Immortelle eau de parfum yang memenangi Pertandingan Pencipta Pembuat Minyak Wangi Antarabangsa edisi 2010 yang juga boleh didapati bermula 1 November sementara stok masih ada.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Niat murni tinggal kenangan

    Posted: 08 Nov 2011 11:04 AM PST

    KLANG: Mahu membuka klinik sendiri dan memberi khidmat percuma kepada orang susah terutama anak yatim. Itu cita-cita murni pelajar perubatan Universiti Brawijaya, Malang, Indonesia, Adrian Jay Pereira, 22, yang mati akibat ditetak penjenayah di rumah sewanya, kelmarin.

    Ibu mangsa, Mary Catherine De Cruz, 52, berkata kini cita-cita anaknya itu tinggal kenangan dan dia sekeluarga masih sukar menerima hakikat kematian anak sulungnya itu. Menurutnya, Adrian anak yang amat baik dan disayangi semua orang serta menjadi sandaran utama untuk mengubah nasib keluarga supaya menjadi lebih baik.


    Pelajar perubatan tahun tiga itu maut akibat ditetak di leher ketika cuba menghalang pencuri motosikal milik rakannya di kawasan rumahnya di Malang, pada jam 7 malam kelmarin waktu tempatan.

    Mary Catherine berkata, kali terakhir Adrian menghubunginya pada Ahad lalu dengan menyatakan dia sangat sayangkan ibu serta dua lagi adik perempuan iaitu Felicity Janet Pereira, 19, dan Alma Jacelyn Pereira, 16.


    "Adrian juga memberitahu komputernya rosak. Saya kata pakai dulu nanti balik sini kami ganti lain. Namun pada jam 8.40 malam (kelmarin) saya dapat lagi panggilan daripada nombornya.


    "Bagaimanapun, pemanggilnya orang lain yang memperkenalkan diri sebagai senior Adrian. Dia kata Adrian menghadapi malapetaka. "Saya kata jangan main-main dan dia menerangkan hal sebenar anak saya sudah mati akibat ditetak penjenayah," katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemui di rumahnya di Taman Klang Jaya, di sini, semalam.

    Mary Catherine berkata, Adrian anak yang pintar apabila mendapat keputusan cemerlang dalam semua peperiksaan utama iaitu 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 7A Penilaian Menengah Rendah (PMR), 8A Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1A 3B dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).


    "Saya masih sukar mempercayai sudah kehilangan anak sulung dan selalu teringat-ingat keseronokan dia menikmati masakan saya ketika pulang bercuti pada September lalu," katanya.

    Menurutnya, Adrian dijangka tamat pengajian dalam bidang kedoktoran pada 2014.


    Dalam kejadian berhampiran rumah sewanya di Jalan Pisang Kipas, Malang, Jawa Timur, pada jam 7 malam kelmarin, Adrian berehat sebelum terdengar bunyi bising di luar rumah. Selepas meninjau ke luar rumah menerusi jendela, dia melihat seorang lelaki cuba melarikan motosikal. Adrian menyergah lelaki itu dan mengejarnya selepas suspek melarikan diri.


    Selepas suspek gagal dijejaki, Adrian berpatah balik ke rumahnya, namun ketika dia membuka topi keledar, tiba-tiba lehernya ditetak suspek yang dipercayai datang semula.


    Adrian yang parah di leher maut di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Besar Dr Saiful Anwar, Jawa Timur.


    Sementara itu, Pegawai Protokol Universiti Brawijaya, Gotok Kuritor ketika dihubungi berkata satu majlis pelepasan mayat diadakan Fakulti Kedoktoran untuk menyerahkan secara rasmi mayat Adrian kepada perwakilan Kedutaan Besar Malaysia.


    "Selepas proses penyerahan itu, saya difahamkan mayat akan dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.

    Awas perompak berjaket gelap

    Posted: 08 Nov 2011 10:02 AM PST

    KLANG: Satu kumpulan penjenayah yang menggunakan jaket gelap untuk merompak kini diburu polis selepas menyamun dua rumah di Bandar Parklands dan Taman Sri Andalas di sini, pada Ahad lalu dan kelmarin.

    Dalam kedua-dua rompakan itu, kumpulan terbabit melarikan wang tunai dan barangan berharga bernilai RM30,000. Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Azman Abd Razak, berkata dalam kejadian pertama di Bandar Parkland, kumpulan itu merompak sebuah rumah pada jam 10.40 malam manakala di Taman Sri Andalas, kumpulan itu melakukan jenayah sama pada jam 11.15 malam keesokan harinya.


    "Mangsa dalam kedua-dua kes itu selamat dan tidak dicederakan. Kumpulan terbabit memakai jaket berwarna gelap, sarung tangan dan topeng ski serta membawa parang ketika melakukan jenayah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Azman berkata, perompak terbabit menggunakan kereta Toyota Vios berwarna perak ketika melakukan rompakan dan seorang daripada anggota kumpulan itu berbadan gempal.


    "Kumpulan terbabit merompak rumah yang tidak berkunci dan jika ada penghuni, mereka mengikat penghuni rumah itu menggunakan tali sebelum menggeledah mencari barang berharga.


    "Dalam kedua-dua kes ini, mangsa berada di rumah dan mereka tidak mengunci rumah," katanya.

    Sehubungan itu, Azman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu menghubungi polis.


    "Sekiranya orang ramai ternampak sekumpulan lelaki yang menaiki Toyota Vios berwarna perak dan berperwatakan mencurigakan, saya harap mereka menghubungi dan memberi maklumat kepada polis secepat mungkin," katanya.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Murray bersalah bunuh MJ

    Posted: 08 Nov 2011 07:44 AM PST

    LOS ANGELES: Doktor peribadi Michael Jackson, Conrad Murray, diletakkan dalam pengawasan ketat selepas dia dibawa ke penjara dengan tangan bergari sebaik saja didapati bersalah membunuh Raja Pop itu.

    Dengan wajah muram, Murray, 58, kelihatan tidak berkelip matanya ketika juri terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita sebulat suara mensabitkan kesalahan membunuh tanpa niat ke atasnya.


    Keputusan itu diambil selepas mereka berbincang selama sembilan jam.

    Murray didapati bersalah menyebabkan kematian Michael, 50, dengan memberinya ubat penahan sakit secara berlebihan.


    Perbicaraan itu mengambil masa enam minggu.


    Di penjara, pihak berkuasa meletakkan Murray sebagai tahanan berpotensi untuk membunuh diri sementara menunggu hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya.

    Melalui tuduhan itu, Murray boleh dipenjara sehingga empat tahun.


    Sementara itu, keluarga Michael jelas gembira dengan keputusan berkenaan.

    Dalam mahkamah, kakak Michael, La Toya, kedengaran berkata "Yes!" selepas juri membacakan keputusan mereka kira-kira jam 9.15 malam (waktu tempatan).


    Di luar pula, ratusan peminat bersorak dan melompat kegembiraan apabila Murray disabitkan kesalahan membunuh artis kesayangan mereka.


    Hakim Mahkamah Tinggi, Michael Pastor, enggan membenarkan Murray diikat jamin dan mengarahkan tertuduh ditahan sebelum keputusan ditentukan tiga minggu lagi.


    Kata Pastor, orang awam wajar dilindungi dan Murray melakukan jenayah yang menyebabkan kematian.


    Sejurus selepas itu, Murray dikelilingi tiga anggota keselamatan yang menarik tangannya ke belakang untuk digari.


    Peguam bela Murray, Ed Chernoff, dilihat menitiskan air matanya ketika keputusan juri dibaca.


    Selain La Toya, turut hadir di mahkamah, bapa Michael, Joe; ibunya, Katherine; serta adik-beradik Raj Pop itu, Randy, Jermaine dan Rebbie.


    Anak Michael - Prince, 14; Paris, 13, dan Blanket, 9, - tidak menonton liputan keputusan itu di televisyen supaya Katherine boleh menyampaikannya sendiri kepada mereka. - TS

    Full content generated by Get Full RSS.

    Lindsay dibebas dari penjara selepas lima jam

    Posted: 08 Nov 2011 07:40 AM PST

    LOS ANGELES: Selebriti yang sentiasa bermasalah, Lindsay Lohan, masuk ke penjara di Lynwood untuk menjalani hukuman tahanan 30 hari sebelum dibebaskan lima jam kemudian.

    Pembebasan awal itu dibuat kerana pusat tahanan di selatan Los Angeles itu mengalami kesesakan melampau.


    Bekas aktres cilik itu melapor diri di Pusat Tahanan Wilayah Century pada jam 8.58 malam dan dibebaskan kira-kira 1.40 pagi semalam.

    Lindsay, 25, dilihat tiba di rumahnya di Venice Beach menaiki kereta Cadillac Escalade hitam dan ditemani pengawal peribadi sejurus sebelum jam 2 pagi.


    Hakim Stephanie Sautner mengarahkan Lindsay ditahan 30 hari pada Rabu lalu selepas aktres terbabit mengaku melanggar larangan atas kesalahan sebelum ini. Ketika itu Pejabat Sheriff berkata, Lindsay mungkin ditahan semalaman.


    Pesalah tidak berbahaya yang dihukum penjara kurang dari 90 hari dibenarkan dipenjara untuk tempoh singkat.

    Lindsay pernah dianggap bintang harapan melalui lakonannya dalam filem Disney, The Parent Trap dan Freaky Friday. - AFP

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Masa terbaik timba ilmu bisnes

    Posted: 08 Nov 2011 06:32 AM PST

    APABILA wajahnya jarang muncul di televisyen, ramai menganggap pelakon Ainul Aishah sudah tidak lagi minat berlakon. Hingga ada yang menyebarkan cerita pelakon hitam manis ini sudah bersara dari bidang lakonan.

    Hakikatnya, perjalanan pemilik nama Ainul Aishah Azizun yang sudah lima tahun membina nama di persada hiburan tanah air masih jauh dalam bidang lakonan.

    "Siapa kata saya sudah berhenti berlakon? Cerita itu tak betul. Saya masih minat berlakon dan masih wujud dalam bidang seni. Memang saya memperlahankan aktiviti seni kerana ingin memberi fokus pada bisnes keluarga iaitu restoran Tutti Frutti ketika ini.

    "Saya juga tidak 'demand' atau selektif sebaliknya berlakon ikut kemampuan sama ada boleh beri komitmen pada lakonan atau tidak kerana pada masa sama, saya juga ceburi bisnes keluarga," katanya.


    Artis yang bernaung di bawah Aquila Emas Sdn Bhd ini bertuah kerana syarikat pengurusan juga menyokong minatnya menceburi bisnes keluarganya.


    "Selain saya, seorang lagi artis, Aquila Emas, Zed Zaidi juga menceburi bisnes dengan membuka restoran Papa Rich dan pengurusan kami juga memberi sokongan padu kepadanya. Saya juga ingin mengikut jejak Zed kerana bidang bisnes kini menjadi cinta baru saya ketika ini," katanya.

    Tidak lengkap jika tidak menyentuh perkembangan karier seni Ainul. Pelakon ini juga baru selesai berlakon dalam telefilem seram, 696 Kilometer untuk saluran TV2 bergandingan dengan Nazim Othman. Penggambaran drama ini berlangsung pada Disember tahun lalu.

    "Saya pegang watak Amira, gadis 'hippie' yang juga adik kepada Nazim dalam cerita ini. Wataknya tidak berat sangat tapi menarik kerana saya perlu memakai baju dan bergaya imej ala 'hippie'.

    "Saya juga buat kajian mengenai watak Amira dengan menonton filem berkaitan. Sebelum ini, saya pernah buat projek berkaitan gadis 'hippie' di kolej dan sedikit sebanyak ia membantu saya menggunakan apa dipelajari dalam lakonan.

    "Selain itu, saya juga menonton filem komedi Hollywood iaitu Seven's That Show untuk mendapat idea berlakon watak Amira itu dengan baik," katanya.

    Drama lakonannya, Bola Cinta 2 juga menemui penonton di TV3, baru-baru ini. Ainul juga pernah beraksi dalam filem seperti Nana Tanjung, Nana Tanjung 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria.

    Sesibuk mana pun dengan bisnes, penyanyi yang popular dengan single The Old Him ini tidak sesekali melupakan bidang nyanyian yang cukup diminatinya.

    "Bidang nyanyian semakin sebati dalam diri dan saya tetap teruskan minat itu. Buat masa ini, saya masih berbincang dengan komposer yang terbabit dan mencari bahan untuk single baru nanti. Namun, semuanya, masih dalam perbincangan lagi," katanya.

    Ainul fokus bisnes keluarga

    SELEPAS kedai Tutti Frutti Frozen Yogurt di Bandar Baru Bangi, Selangor mendapat sambutan ramai sejak dibuka Februari lalu, Ainul sibuk membantu keluarganya mengusahakan premis keduanya yang beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan pula.

    Majlis pelancaran cawangan kedua kedai yogurt Tutti Frutti Nilai akan berlangsung Lot A2,9 Avenue di Taman Korporat Putra Nilai, Negeri Sembilan pada jam 10 pagi, 12 November ini. Kumpulan Naza adalah pemegang lesen utama bagi rangkaian Tutti Frutti di Malaysia.

    Kata Ainul, dia menceburi bisnes untuk jaminan masa depannya sekeluarga. Baginya, usia muda adalah masa yang tepat untuk timba ilmu bisnes.

    "Saya memang fokus pada bisnes tahun ini kerana tidak ingin lepaskan peluang yang datang untuk buat perniagaan. Saya percaya tak rugi kalau saya timba ilmu dalam bidang bisnes yang sudah lama ingin diterokai.

    "Siapa kata saya main-main dan cari glamor untuk buat bisnes? Terus terang, saya memang serius buat bisnes kerana ia membabitkan masa depan.

    "Sampai bila saya nak berlakon? Kalau saya tak mula sekarang bila lagi? Saya percaya, bisnes Tutti Frutti membawa pulangan lumayan dan boleh buat duit," katanya. Katanya lagi, dia mengimpikan untuk kembangkan empayar perniagaan keluarganya itu.

    "Saya memang banyak perancangan untuk masa depan tapi semua tidak boleh dilaksanakan sekali gus," katanya.

    PROFIL

    NAMA SEBENAR: Ainul Aishah Azizun
    NAMA KOMERSIAL: Ain@Ainul
    TARIKH LAHIR: 16 April 1985
    TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
    KERJAYA: Model, pelakon dan penyanyi
    STATUS: Bujang
    ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada empat beradik
    PENDIDIKAN: Ijazah Creative Multimedia (Advertising), Multimedia Universiti (MMU)
    TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Bong, Enigma, Idola Kecil The Series, Mama Rock, Kecuali Cintamu, Mataku Nampak Hantu, Merah Puteh, Sungai Puaka, Syiling Puaka, The Hoppers, KL Menjerit, Sitkom Anak Mami, Sitkom Senario, Bola Cinta
    FILEM: Nana Tanjung, Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria
    PENCAPAIAN KERJAYA: Finalis Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia Ke-20, Finalis EH! 20 Yang Anggun 2008, Pemenang Loreal Star Search 2006/2007 dan Top 10, Finalists for Cleo Cover Girl Search 2005/2006.
    ANTARA IKLAN: Hotlink, Maxis, Magie, Bursa Malaysia dan iTalk TM

    Full content generated by Get Full RSS.

    Jelajah FFM24 tiada bajet

    Posted: 08 Nov 2011 06:17 AM PST

    HANYA tinggal kurang dua minggu acara berprestij Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

    Acara yang bermula 18 November ini bukan saja menarik perhatian ramai, malah paling diberi tumpuan sudah tentu malam kemuncak dijadual pada 20 November. Seperti penganjuran sebelumnya, banyak perkara diperkatakan.

    Walaupun penganjur mengharapkan sesuatu perkara tidak menjadi isu besar, ia sepatutnya dianggap suatu yang positif dalam membaiki kelemahan dan paling penting menyemarakkan promosi acara ini secara besaran.

    Untuk FFM24, isu promosi turut menjadi persoalan. Merujuk pada acara sampingan, Jelajah FFM24 selesai diadakan di tiga lokasi, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru, apa yang menjadi tanda tanya tiada bajet diberikan untuk aktiviti penting sebegini.


    Perkara ini didedahkan Penasihat Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau Mat London yang bertanggungjawab sebagai pengerusi promosi dan publisiti. Menjawab persoalan itu, Jurey Latiff Rosli bertindak sebagai pengerusi FFM24 menyatakan penganjur, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sememangnya tidak menyediakan bajet.


    "Mengikut peruntukan yang ada, ia sepatutnya dibelanja dengan berhemah. Seperti Jelajah FFM24 , ia dianjur mengikut kemampuan.

    "Acara ini diberi kepada FDAM kerana ada cadangan menyatakan ia penting kerana ia tidak pernah diadakan sebelum ini. Pada peringkat awal, kami ada berikan duit kepada FDAM mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri.

    "Ini kita buat, tetapi tiada bajet untuk acara ini. Kami berikan kuasa penuh kepada FDAM menjalankan acara ini kerana ia dibuat secara francais seperti Golf Amal Selebriti yang dianjurkan kali ini.

    "Dalam perkara ini, Gafim memberi peluang kepada persatuan gabungan ambil bahagian. Bagi penganjur, kita mempunyai program lain untuk diberi tumpuan dan menjaga imej FFM24 agar dikenang.

    "Jika Finas berasakan Jelajah 24 ini penting, mungkin ia dapat diteruskan pada masa hadapan dan diharap mempunyai peruntukan nanti," katanya pada sidang media khas FFM24 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Ketua Pengarah Finas, Mohd Naquib Razak pula menyokong Jelajah FF24 diteruskan dalam mendekatkan hubungan artis dengan peminat serta mempromosikan acara ini lebih meluas.

    "Pembabitan kerajaan negeri dalam menjayakan Jelajah FFM24 suatu yang dialu-alukan dan mereka juga mempunyai inisiatif sendiri menjayakan acara ini di tempat mereka.

    "Apa yang ditekankan, acara ini menjadi langkah pertama dalam membuktikan ia agenda penting untuk diadakan dan berharap diperluas ke kawasan luar bandar," katanya.

    Pada sidang media khas itu, Mohd Naquib bersama Jurey menjelaskan perubahan tarikh malam kemuncak yang sepatutnya dijadual 19 November tidak memberi masalah besar. Penundaan dibuat atas cadangan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana meraikan kedatangan rakan sejawatnya, Dr Yaacob Ibrahim dari Singapura mengadakan kunjungan kebudayaan selama tiga hari ke negara ini bermula 19 November.

    Jurey juga menyatakan mesyuarat antara ahli jawatankuasa FFM24 bersama persatuan di bawah Gafim turut diadakan pada setiap minggu dalam memastikan acara tahunan ini berjalan lancar. Gafim percaya persatuan hiburan di bawah naungannya memberikan kerjasama baik.

    Full content generated by Get Full RSS.
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved