Selasa, 6 Disember 2011

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Meraung ratap anak hanyut

Posted: 05 Dec 2011 01:40 PM PST

TANAH MERAH: Seorang wanita hanya mampu meraung memanggil nama anaknya yang hilang dihanyutkan arus deras di Lata Hujan, Ulu Kusial, di sini, selepas gagal menarik tangan kanak-kanak itu yang terkapai-kapai dalam air, kelmarin.

"Saya cuba menyelamatkan Irfan dengan menarik tangannya, tetapi air terlalu deras menyebabkan dia hanyut sebelum hilang daripada pandangan," kata Aznira Abdullah, 37, ibu kepada Muhammad Irfan Anuar, 12.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, kegembiraan Aznira membawa dua anaknya berkelah di pusat rekreasi berkenaan sempena cuti sekolah berakhir tragedi apabila Muhammad Irfan maut dihanyutkan arus deras.

Berikutan itu, usaha mengesan mangsa digerakkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat, polis serta Skuad Keselamatan Tanah Merah/Machang/Jeli (SKTMJ).


Misi menjejaki mangsa berakhir lebih enam jam kemudian apabila mayat Muhammad Irfan ditemui pada jam 10.37 malam, sejauh 50 meter dari tempat dia terjatuh dan hanyut.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Dikubur tanah

Posted: 05 Dec 2011 01:40 PM PST

JELI: Seorang pekerja kontrak yang sedang mencangkul bagi meratakan tanah dalam lubang sedalam 1.5 meter bagi kerja penggantian paip lama, di Kilometer 81, Kampung Air Puteh, Lakota, dekat sini, terbunuh akibat tertimbus tebing lubang berkenaan yang runtuh, pagi semalam.

Kejadian jam 10.50 pagi itu berlaku ketika remaja berkenaan, Mohamad Amir Mohd Azmi, 14, bersama empat pekerja lain melakukan kerja penggantian paip lama apabila tebing lubang yang dikorek menggunakan jengkaut sebelum itu, runtuh.

Kemalangan menyebabkan mangsa yang tidak bersekolah parah di kepala dan patah tulang rusuk kanannya sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut saksi, Mohd Shukri Mohd Rashid, 19, tanah di sebelah kanan Mohamad Amir runtuh tiba-tiba dan menimbus seluruh tubuhnya.


Mohd Shukri yang juga sepupu mangsa berkata, dia serta rakan lain tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas dan ketika ketika itu, dia berada dua meter dari Mohamad Amir.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


12 ‘supercar’ remuk redam

Posted: 05 Dec 2011 10:28 AM PST

TOKYO: Memandu dengan laju dikatakan penyebab beberapa buah kereta mewah bernilai AS$4 juta (RM12.54 juta) musnah dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Lapan Ferrari dan sebuah Lamborghini serta sebuah Toyota Prius adalah antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.

Menurut beberapa saksi, ia berlaku apabila satu daripada kenderaan yang dipandu laju, tergelincir di atas permukaan jalan yang licin.

Rakaman televisyen menunjukkan beberapa buah Ferrari, remuk kebanyakannya berwarna merah dan serpihan kenderaan berada di atas jalan sepanjang 400 meter di lebuh raya Chugoku, jalan utama ke selatan Honshu.


Sekumpulan 20 kereta mewah bergerak dalam konvoi semalam di atas lebuh raya yang basah apabila kereta Ferrari yang menjadi ketua konvoi itu tergelincir ke arah pagar jalan, kata polis.

Pemandu yang di belakang, terus menekan brek tetapi sudah terlewat.

"Saya tidak pernah lihat kejadian begini.

"Jarang kereta Ferrari bergerak dalam satu konvoi besar," kata peronda lebuh raya, Leftenan Eiichiro Kamitani.

Kamitani berkata, lima lelaki dan lima wanita, cedera ringan akibat kemalangan itu.

"Mungkin mereka memandu secara berpasangan," katanya.

"Kemalangan ini mungkin disebabkan memandu dengan laju tetapi kami masih menyiasat punca sebenar," tambahnya lagi.

Toyota Prius dan sebuah lagi Toyota turut terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan 14 kereta remuk teruk tetapi dipercayai bukan ahli konvoi itu.
Tiga lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu adalah kenderaan jenis Mercedes-Benz.

Menurut seorang saksi, "Mereka memandu selaju 140 hingga160 kilometer sejam. Salah satu daripada kereta itu berpusing dan menyebabkan kemalangan."

Had laju di lebuh raya itu 80 kilometer sejam.

Satu daripada kereta Ferrari yang remuk adalah jenis F430 Scuderia, yang boleh mencapai kelajuan 320 kilometer sejam. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Veena tidak mengaku berbogel dalam FHM

Posted: 05 Dec 2011 10:23 AM PST

NEW DELHI: Aktres Pakistan, Veena Malik memfailkan saman malu terhadap sebuah majalah India kerana menyiarkan gambar dirinya yang telah diubah, berbogel dengan huruf singkatan agensi perisikan Pakistan di lengannya, di kulit majalah itu.

Jurucakap Veena, Sohail Rasheed berkata, aktres itu menuntut 100 juta rupee (RM6.27 juta) daripada majalah FHM India.

Editor majalah itu mempertahankan gambar kulit majalah itu adalah asli dan mendapat kebenaran Veena.

"Gambar itu telah diubah," kata Sohail yang berada di Islamabad. Katanya lagi, majalah itu telah menjatuhkan 'karektor dan kredibiliti' Veena.


FHM keluaran Disember belum diedarkan, tetapi prebiu untuk kulit hadapan majalah itu yang disiarkan di laman webnya, membuatkan keadaan kelam kabut.


Editor FHM India, Kabeer Sharma berkata, dia pelik dengan tuduhan Veena.

"Mungkin kerana dia menerima kecaman hebat sebab itu dia menafikannya.

"Kami tidak mengubah gambar itu untuk dijadikan gambar kulit hadapan. Begitulah rupanya dan dia mempunyai bentuk tubuh yang sangat menarik," kata Sharma.

Dalam laman Twitternya semalam, Sharma berkata dia akan menerbitkan beberapa gambar daripada sesi fotografi itu untuk menjelaskan kedudukan sebenarnya. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


MSN, KOM berdamailah!

Posted: 05 Dec 2011 08:30 AM PST

"SAYA percaya apa yang berlaku dalam Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) berpunca daripada masalah dalaman persatuan itu terutama di kalangan pegawai kerana saya masih yakin dengan kepemimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim (Presiden KOM) untuk menerajui KOM," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, Shahidan bukan saja menerajui KOM tetapi turut memimpin Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) yang meraih 19 pingat emas dalam acara akuatik pada temasya Sukan Sea di Jakarta baru-baru ini, sekali gus membuktikan kepemimpinan beliau dalam memastikan kecemerlangan atlet di peringkat antarabangsa.


"Jika kepemimpinan beliau (Shahidan) dipertikai tidak mungkin kejayaan memberangsangkan itu dicapai dengan keseluruhannya meraih 25 pingat emas termasuk enam menerusi atlet olahraga.

"Saya tiada masalah dengan Shahidan dan yakin dengan kepemimpinannya untuk menerajui badan induk olahraga negara itu," katanya selepas merasmikan Konvensyen Pegawai-Pegawai Belia dan Sukan SeMalaysia di Kompleks Belia dan Sukan Paroi Seremban, semalam.


Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Mohid Mohamed.


Beliau mengulas percakaran membabitkan KOM dengan Majlis Sukan Negara (MSN) seperti tiada kesudahan sehinggakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Indonesia 2011, Datuk Naim Mohamad (gambar) menyuarakan kesediaan menjadi orang tengah bagi menamatkan pertelagahan itu.

Malah, baru-baru ini, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong sedia menawarkan diri mengendalikan atlet olahraga yang berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi tetapi tidak mahu campur tangan daripada KOM.


Ahmad Shabery bagaimanapun berharap masalah yang berlaku dalam KOM itu dapat diselesaikan dengan baik dan secepat mungkin demi kepentingan persatuan dan atlet yang bernaung di bawahnya.

Sementara itu, beliau berkata, konsep pembangunan bola sepak di negara ini didapati terlalu bergantung kepada apa yang dilakukan di peringkat pusat apabila ramai pemain berbakat dilahirkan dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar di Johor manakala pembangunan di peringkat negeri didapati kurang memberangsangkan.


"Saya sudah mengemukakan kepada kabinet misalnya peruntukan padang tiruan yang kita berikan mesti diselaraskan untuk diberikan kepada negeri-negeri yang mempunyai program pembangunan bola sepak mereka," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jamaluddin sedia undur

Posted: 05 Dec 2011 08:17 AM PST

ANDAI khidmatnya sebagai ketua jurulatih sepak takraw negara tidak lagi diperlukan berikutan kegagalan pada Sukan Sea Indonesia, Jamaluddin Hassan bersedia menerimanya dengan hati terbuka.

Malah pengendali berpengalaman itu menegaskan, beliau memikul tanggungjawab penuh pencapaian buruk anak-anak buahnya yang sekadar meraih dua gangsa pada temasya dwitahunan terbabit berbanding satu pingat emas yang menjadi idaman.


"Saya menyerahkan kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menentukannya. Sekiranya merasakan saya tidak menjalankan tanggungjawab diberikan, saya menerima sebarang keputusan termasuk menamatkan kontrak.

"Saya juga masih menanti untuk dipanggil PSM atau MSN bagi memberikan penjelasan terperinci mengenai prestasi skuad yang dibentuk April lalu," katanya yang mempunyai kontrak hingga April 2013.


Menurutnya lagi, tempoh tidak sampai setahun mengendalikan skuad negara belum cukup bagi dirinya untuk mengenali karektor sebenar anak-anak buahnya selain pemain sendiri juga sukar mengenali corak permainan rakan.


"Indonesia yang menewaskan skuad negara sudah membuat persiapan sejak 2007 bagi menghadapi Sukan Sea kali ini. Ia bukan tempoh yang singkat untuk meraih perak kerana perancangan hampir lima tahun dilakukan mereka.

"Malah ketika kali terakhir skuad negara memenangi emas pada Sukan Sea 2005, barisan pemain negara dibentuk bermula pada 2003 dengan kebanyakan pemain berusia 18 tahun. Saya bukan memberi alasan namun ia adalah kenyataannya," katanya yang turut menjadi ketua jurulatih ketika itu.


Malah beliau turut menggesa PSM dan MSN segera membuat keputusan mengenai nasib skuad negara yang kini sudah kembali menjalani latihan di MSN Bukit Jalil agar perancangan teliti dan tersusun dapat dirangka menjelang beberapa kejohanan penting pada tahun depan seperti Siri Super Istaf.

"Sepatutnya perkara ini diselesaikan dengan kadar segera kerana ia bakal membabitkan pelepasan pemain," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Isnin, 5 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Mahu pelanggan puas hati

Posted: 05 Dec 2011 05:30 AM PST

BAGI sesetengah orang, kerjaya hakiki tidak bermakna rezeki yang diperoleh setiap bulan hanya terhenti setakat itu saja.

Mereka sanggup melakukan apa saja bagi menambah pendapatan terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga apatah lagi jika perkara yang dilakukan itu mampu mendatangkan kepuasan.

Apa yang penting, ada kerajinan untuk berusaha dan rezeki yang diperoleh juga halal.

Bagi pasangan serasi, Muhammad Yusri Md Nor, 27 dan isterinya Roz Izzany Zainal Abidin, 28, keputusan membuka perniagaan sampingan yang menyediakan set buaian untuk majlis cukur jambul ternyata bukan satu pilihan sia-sia.


Bermula awal tahun lalu, Izzany dan suaminya melakukan usaha secara berperingkat untuk melengkapkan perniagaan mereka sebaik mungkin walaupun sibuk dengan kerjaya masing-masing.


Namun kerana mahu komited terhadap perniagaan, mereka langsung tidak kisah apabila terpaksa mengorbankan waktu terluang terutama jika menerima sebarang tempahan.

"Kami seronok menggerakkan perniagaan ini, jadi tidak timbul soal penat atau letih.

"Malah kami rasa teruja setiap kali menyiapkan tempahan terutama apabila hendak menghias buaian yang diminta oleh pelanggan.

"Biarpun kadangkala terpaksa tidur lewat, kami tidak kisah, janji setiap pelanggan puas hati dengan kualiti dan hasil kreativiti yang kami persembahkan.

"Hanya bergerak berdua untuk menjayakan misi kami, saya mengakui sangat bertuah kerana mempunyai suami yang amat bertimbang rasa dan prihatin selain memahami setiap kehendak saya dalam menyiapkan tempahan.

"Saya juga rasa bersyukur kerana suami banyak membantu dalam apa jua keadaan,"
kata Roz Izzany ketika ditemui di kediamannya, di Ukay Perdana, Kuala Lumpur.

Pasangan ini turut menjadikan rumah mereka sebagai studio peragaan bagi pelanggan yang mahu melihat dahulu contoh buai sebelum membuat keputusan.

Selain berkorban masa, mereka berdua juga sentiasa peka terhadap material terkini yang berada di pasaran dan untuk itu, mereka sering meninjau setiap barangan baru di pasaran.

"Saya dan suami berbuat demikian kerana mahukan yang terbaik untuk produk kami.

"Bukan hanya perlu berkualiti dan cantik, tetapi perlu juga peka dengan material atau hiasan terbaru yang terdapat di pasaran.

"Selain kami, ada juga ahli perniagaan lain yang turut menawarkan jenis perniagaan yang sama. Jadi saingan tidak kurang hebatnya dan sebab itu, kami mesti sentiasa peka," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Set buaian yang disediakan oleh Izzany merangkumi beberapa pakej, bergantung kepada bajet pelanggan.

Setiap set dilengkapi dengan dekorasi, tilam dan bantal manakala pakej yang lebih mahal akan dilengkapi dengan permaidani, set merenjis, lampu tumpu serta cenderamata untuk kumpulan marhaban.

Mengulas lanjut mengenai pembabitan awal Izzany yang bertugas di sebuah bank di ibu kota, segala-galanya bertitik tolak daripada majlis cukur jambul anak mereka, Muhammad Rifqi pada tahun lalu.

Mereka menyewa kelengkapan untuk majlis cukur jambul daripada seorang kenalan dan daripada situ, tercetus idea bagi menjalankan perniagaan berkenaan.

"Sebelum membuat keputusan, kami berbincang terlebih dahulu dengan rakan saya untuk buka perniagaan yang sama dan dia sedikit pun tidak menghalang.

"Alhamdulillah, sehingga kini, perniagaan kami berjalan dengan baik dan tidak pernah putus pelanggan.

"Sejak bermula pada awal tahun lalu, tempahan sentiasa ada, cuma kami perlu bijak dan berhati-hati dalam menerima tempahan kerana tidak mahu mengecewakan hati pelanggan," katanya.

Selain set buaian cukur jambul, Izzany dan Yusry turut menyediakan set tambahan makanan seperti kek cawan, macaroon dan gula-gula bagi tetamu cilik mengikut harga dan tempahan yang dipilih oleh pelanggannya.

Full content generated by Get Full RSS.

Mudah gantung beg

Posted: 05 Dec 2011 04:58 AM PST

MANA hendak makan, mana hendak diletak beg tangan. Dikelek di ketiak, diselimpang di bahu. Diriba saja di atas paha?

Diletak di atas meja, mungkin mengganggu hidangan. Diletak di tempat lain, risau beg tangan kesayangan hilang pula. Tumpuan makan atau bersembang dengan teman asyik terganggu kerana sentiasa membetulkan kedudukan beg tangan sendiri.

Ya, wanita dan beg tangan memang sentiasa rapat dan akrab.

Meletak beg tangan di atas lantai di celah kaki memang biasa, tetapi sangat tidak digemari. Ia boleh saja terpijak oleh diri sendiri atau orang lain yang duduk semeja dengan kita.


Sebab itu, penyelesaian yang paling mudah dan berjaya ialah mempunyai penyangkut beg tangan di sisi!


Alat ini sangat berguna dan tentu saja wanita gembira mempunyainya. Setiap wanita harus ada dan dibawa di dalam tas terutama sekiranya aktiviti membabitkan makan-makan di luar. Tidak kira di restoran besar, kecil mahupun gerai.

Ia selalunya dibuat daripada besi berwarna perak ataupun keemasan. Sesuaikan reka bentuknya dengan suasana kerana ada pelbagai gaya yang boleh dibawa ke setiap tujuan.

Sama ada ke jamuan makan malam berprestij, jangan risau, ada penggantung beg tangan yang sesuai untuk itu. Biar ia kena dengan beg tangan.

Penggantung beg tangan ini memang sudah lama ada di pasaran, tetapi masih ramai yang tidak tahu kewujudan serta kegunaannya. Apabila dipakai di mana-mana majlis, ia sering menjadi tumpuan dan wanita yang melihat mula bertanya di mana boleh membelinya kerana merasakan ia amat praktikal.

Ia ada pelbagai jenis dan cara gantungan. Ada yang separuh membulat dan ada yang membulat semuanya, tetapi perlu diubah kedudukan sekiranya mahu menggantung beg di situ.

Penyangkutnya boleh digantung di beg tangan sebagai rantai kunci atau simpan sahaja di dalam beg.

Hiasan pada penggantung itu pula ada pelbagai ukuran, bentuk serta warna. Ia menepati semua selera, ada yang biasa, berbatu permata dan ada juga hiasan cukup ringkas.

Bukan sekadar bergaya tetapi paling penting, ia praktikal. Sebab itu ia sesuai dijadikan hadiah mahupun cenderahati kepada sesiapa jua. Ia boleh menjadi pemberian yang istimewa kerana boleh dikatakan semua wanita boleh menggunakannya.

Harganya pelbagai mengikut reka bentuk dan ukuran. Harga penyangkut terbabit biasanya bermula daripada RM20 sehingga RM100. Sekiranya rekaannya eksklusif dan ditambah mutiara atau kristal, harganya lebih tinggi.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lima kemalangan dalam 48 jam

Posted: 04 Dec 2011 12:21 PM PST

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan lorong khas untuk bas dan teksi di sepanjang Jalan Tun Sambanthan dan Little India, di sini, sejak Sabtu lalu yang bertujuan mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan, bertukar tragedi apabila lima kemalangan berlaku dalam tempoh kurang 48 jam.

Rata-rata kemalangan itu membabitkan bas dan pejalan kaki yang ingin melintas di kawasan itu.


Pengunjung, Pramenenth, 41, berkata kebanyakan pengunjung di kawasan itu tidak menyedari perubahan yang dilaksanakan.

Katanya, pihak bertanggungjawab tidak memasang papan tanda amaran secukupnya atau menyediakan laluan melintas jalan untuk pejalan kaki.


"Ketika jalan ini sehala, pengguna hanya melihat ke kiri jalan untuk memastikan tiada kenderaan dan boleh melintas dengan selamat.


"Apabila jalan ini dibuka kepada dua hala, pengunjung yang tidak tahu dengan perubahan ini melintas tanpa melihat kiri serta kanan dan menyebabkan kemalangan," katanya ketika ditemui.

Katanya, sistem baru itu juga mengakibatkan keadaan jalan bertambah sesak dan menganggap pembaharuan itu sia-sia, bukan mengurangkan masalah sebaliknya memburukkan keadaan.


"Saya tidak faham tujuan bas dan teksi dibenarkan melalui jalan ini kerana tiada perhentian bas di sini, malah mereka juga tidak dibenar menurunkan penumpang," katanya yang berharap sistem jalan berkenaan dikaji semula.

Sabtu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka lorong khas untuk kegunaan bas dan teksi dari pusat bandar raya menghala Taman Seputeh dan Bangsar bermula dari persimpangan Jalan Tun Sambanthan atau Jalan Tun Sambanthan 4 melalui kawasan Little India ke Taman Seputeh dan Bangsar melalui Jalan Travers.


Lorong berkenaan berkuat kuasa setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 8 malam. Penduduk P Yuthis, 22, berkata penduduk berharap jalan berkenaan dikembalikan kepada sistem asal kerana lebih memudahkan, biarpun terpaksa mengalami sedikit kesesakan.


Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan melahirkan rasa dukacita mengenai lima kemalangan di kawasan berkenaan.


"Kami akur kehendak rakyat yang mahukan perubahan, biarpun ia tidak bersesuaian. Apabila berlakunya kemalangan seperti ini, siapa yang perlu dipersalahkan dan perlu bertanggungjawab? Namun, saya akan berbincang dengan Menteri, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Anak gajah mati di Zoo Melaka

Posted: 04 Dec 2011 12:17 PM PST

MELAKA: Seekor daripada lapan gajah yang ditempatkan di Zoo Melaka bagi tontonan pengunjung ditemui mati, kelmarin, dipercayai disebabkan faktor kesihatan.

Pengarah Zoo, Ahmad Azhar Mohammed, berkata anak gajah berusia satu tahun setengah itu pernah luka kerana terkena jerat dan dihantar ke Zoo Melaka untuk menjalani rawatan.


"Anak gajah itu masih menyusu dan ditinggalkan ibu. Ia dihantar ke sini (Zoo Melaka) untuk proses rawatan dan seperti biasa ada kalanya haiwan yang dirawat berjaya diselamatkan, ada yang tidak.

"Ia perkara biasa kerana selain luka akibat dijerat mungkin anak gajah ini tidak serasi di tempat baru. Bagaimanapun, kematiannya tidak disebabkan penyakit," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau mengulas mengenai dakwaan seekor gajah dan zirafah di bawah jagaan Zoo Melaka mati masing-masing pada kelmarin dan minggu lalu.


Dalam pada itu, beliau berkata, seekor zirafah dewasa yang ditempatkan di zoo itu mati pada minggu lalu akibat komplikasi ketika melahirkan anak.

"Seperti manusia, zirafah juga mempunyai masalah ketika bunting dan zirafah dewasa yang mati minggu lalu disebabkan komplikasi ketika mahu melahirkan anak. Bagaimanapun, ia dan kandungannya gagal diselamatkan," katanya.


Sementara itu, tinjauan Harian Metro di zoo berkenaan mendapati ia menerima kunjungan orang ramai. Gajah dan zirafah dipertontonkan seperti biasa.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ikon filem Bollywood meninggal dunia

Posted: 04 Dec 2011 10:55 AM PST

MUMBAI: Hero filem romantik Bollywood dan ikon fesyen, Dev Anand, 88, meninggal dunia, semalam.

Sejak berita itu diketahui, ucapan takziah mula mencurah masuk daripada mereka yang berada dalam industri perfileman Hindustan.

Agensi berita The Press Trust of India melaporkan, Dev yang sebaris pelakon Raj Kapoor dan Dilip Kumar ketika di zaman kegemilangan mereka di Bollywood, meninggal dunia akibat sakit jantung di London.

Menurut sumber keluarga, dia berada di sana untuk pemeriksaan kesihatan dan tidak sihat sejak beberapa hari lalu.


Dev sering dibandingkan dengan pelakon AS Gregory Peck kerana kerana raut wajahnya dan menjadi idola peminat.


Dikenali sebagai 'Dev Yang Periang', dia terkenal kerana sangat aktif dan cintanya kepada filem. Dia membintangi lebih daripada 100 filem.

Kerjayanya bermula dengan filem 'Hum Ek Hain' (Kita Satu) bersama sahabat Guru Dutt pada 1946. Dia terus berlakon sehingga ke usia emas dan filem terbarunya, 'Chargesheet', adalah filem yang diterbitkan oleh syarikat filemnya sendiri, awal tahun ini.

"Saya tak boleh hidup tanpa filem, panggung wayang dan kerja saya," katanya kepada bollywoodhungama.com, pada 2007.

"Bagi saya, saya akan terus menerbitkan filem dan berlakon hinggalah hari saya mati. Itulah cinta pertama dan terakhir saya," katanya.

Bintang filem Amitabh Bachan dan Anupam Kher, Shabana Azim dan Shah Rukh Khan begitu sedih dengan pemergian Dev. Mereka menulis balasungkawa di laman Twitter masing-masing dengan memuji sikap optimistiknya dan menyifatkan mendiang sebagai orang yang sentiasa riang.

Anupam Kher menyifatkan Dev sebagai seorang yang "baik, sangat emosi, berani, jujur, menawan, sering memberi perangsang, kontemporari, seorang ketua dan insan yang sangat baik. Kami akan merinduinya."

Penulis, Salman Rushdie menulis, "RIP Dev Anand. Saya membesar dengan menonton filem anda. Sedih kerana terpaksa ucapkan selamat tinggal."

Dev Anand dilahirkan pada 26 September, 1923 di Gurdaspur di wilayah Punjab, bekas tanah jajahan Britian di India dan sekarang sebahagian daripada Pakistan. Dia mendapat pendidikan di Lahore.

Dia ke Bombay, (sekarang Mumbai) untuk meneruskan karier dalam lakonan. - AFP

Full content generated by Get Full RSS.

Bayi sebulan dirogol

Posted: 04 Dec 2011 10:52 AM PST

LONDON: Polis semalam cuba menyekat orang ramai daripada cubaan mengadakan perhimpunan sepanjang malam yang boleh mencetuskan kekacauan selepas seorang bayi berusia sebulan dilapor dirogol dan dipukul sehingga hampir mati.

Mesej dalam Facebook mendedahkan rancangan untuk mengadakan upacara sepanjang malam bagi berdoa untuk keselamatan bayi berkenaan berhampiran kediamannya, yang dipercayai mangsa paling teruk kes penderaan kanak-kanak di Britain.

Bayi itu mengalami kecederaan teruk termasuk patah tangan, patah tulang selangka, kecederaan paru-paru dan lebam di seluruh tubuh. Menurut laporan lagi, semua tulang rusuknya patah.

Lebih memeranjatkan, terdapat laporan menyatakan bayi itu turut mengalami kecederaan dalam kemaluan, dipercayai akibat dirogol.


Seorang lelaki dan seorang wanita dari Gravesend, Kent, ditangkap berhubung kejadian itu.


Mereka bagaimanapun dibebaskan atas ikat jamin polis sementara menunggu siasatan lanjut.

Satu kumpulan menulis dalam Facebook: "Penjarakan penjahat yang merogol dan memukul bayi berusia sebulan di Gravesend."

Ia juga mendesak supaya nama pasangan berkenaan didedahkan.

Seorang pengunjung lain menulis: "Pasangan itu perlu dipenjara dan tidak dibenarkan diikat jamin, Mereka adalah penjahat."

Seorang wanita menambah: "Kami terkejut dengan kejadian ini dan mahu menyuarakan "sokongan kami terhadap kanak-kanak itu dengan mengadakan upacara khas untuknya malam ini."

Bayi itu yang namanya tidak disiarkan, berada dalam keadaan tenat ketika dihantar ke hospital, Khamis lalu.

Bagaimanapun, malam tadi, dia menunjukkan tanda-tanda semakin pulih selepas dipindahkan ke sebuah hospital di London.

Polis turut menghantar pakar forensik untuk memeriksa sebuah rumah di Gravesend.

Jiran berkata, seorang lelaki dan seorang wanita tinggal di rumah berkenaan bersama-sama seorang bayi yang baru lahir.

Mereka disifatkan sebagai peramah.

Seorang jiran bagaimanapun berkata, dia terdengar bunyi orang bergaduh di rumah berkenaan, Khamis lalu. - DM

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Norizman puas

Posted: 04 Dec 2011 10:39 AM PST

PASUKAN Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mencatatkan musim gemilang tahun ini apabila meraih gelaran Anugerah Berpasukan Keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 selepas berakhirnya pusingan ke 10 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, semalam.

Mengumpul sebanyak 232 mata dengan mengatasi pesaing terdekat, Yamaha Maju Motor Racing ditempat kedua dengan 182 mata, pasukan yang dijana Soong Chee Kieong itu mencatat sejarahnya tersendiri apabila turut membawa jentera Honda untuk muncul juara keseluruhan berpasukan buat pertama kali dalam sejarah perlumbaan cub prix.


Kejuaraan pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing itu disahkan menerusi perlumbaan di pusingan kesembilan Litar Sepang (Selatan) pada pertengahan November lalu hasil kejayaan pelumbanya, Mohd Affendi Rosli muncul juara. Pasukan itu turut mencatatkan kejuaraan berganda apabila penunggangnya, Norizman Ismail (gambar) pula dinobatkan juara keseluruhan CP130 selepas meraih 129 mata termasuk meraih tempat ketiga dalam saingan di Litar Padang Kota Lama sepanjang 1,152 meter itu.

Lebih manis lagi apabila Mohd Affendi pula mencatatkan tempat kedua keseluruhan kategori tertinggi dalam perlumbaan cub prix itu dengan 111 mata mengatasi pencabarnya, Abdul Muhaimin Roslan yang ketinggalan tiga mata.


Kejayaan manis yang dilakar pasukan itu disaksikan sendiri Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Abdul Ghafar Ismail di Litar Padang Kota Lama sekali gus membuktikan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sebagai pasukan digeruni dalam saingan cub prix tempatan.


Seorang lagi pelumba pasukan itu, Azlan Shah Kamaruzaman yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam perlumbaan pusingan ke-10 semalam, hanya mampu meraih tempat kesembilan keseluruhan dengan 82 mata.

Norizman yang gembira dengan kejayaannya meraih juara keseluruhan musim ini melahirkan perasaan bangganya selepas cubaannya pada musim lalu tidak berjaya apabila sekadar berada di tempat kedua di belakang, Hafizh Syahrin Abdullah.


Menurutnya, lebih menggembirakannya apabila pasukannya juga berjaya meraih juara keseluruhan dan menjadikan musim ini adalah terbaik bagi dirinya.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama rakan sepasukan, mekanik dan pihak pengurusan yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada pelumba bagi mendapatkan hasil terbaik dalam setiap perlumbaan," katanya yang pernah meraih juara expert pada saingan musim 2005.


Bagi, Mohd Affendi pula dia reda walaupun sasarannya untuk bergelar juara keseluruhan musim ini tidak kesampaian dan tetap berpuas hati dengan prestasinya sepajang musim ini hingga menempatkannya di kedudukan kedua keseluruhan.


Katanya, sekurang-kurangnya gelaran juara menjadi milik rakan sepasukan dan paling penting pasukan berjaya mencatat sejarah cukup bermakna musim ini dan pelumba berada di kedudukan pertama serta kedua keseluruhan.


"Musim depan menjadi satu cabaran besar bagi kami sepasukan kerana untuk mempertahankan gelaran adalah lebih sukar daripada mencapainya dan diharapkan kami semua dapat menghasilkan sebuah jentera yang lebih baik nanti.


"Pastinya pasukan lain akan membuat persediaan lebih rapi lagi musim depan dengan masing-masing cuba merampas kembali gelaran yang kami miliki musim ini," kata pemuda berusia 26 tahun itu.

Full content generated by Get Full RSS.

Perlumbaan S1K sengit

Posted: 04 Dec 2011 10:31 AM PST

PASUKAN PROTON R3 menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan dan dalam Kelas 2 pada perlumbaan Sepang 1000km (S1K) menerusi Syafiq Ali dan Syahrizal Jamaludin dengan mencatatkan masa 8 jam 50 minit.

Ini adalah edisi ketiga S1K dengan 28 pasukan memulakan perlumbaan pada tengah hari membabitkan kategori 1600cc(Kelas 2) dan melebihi 1900cc(Kelas 1).


Keadaan panas melampau berterusan apabila hujan tidak turun sepanjang perlumbaan berlangsung dengan bukan menyaksikan bukan saja mesin yang diuji malah pemandu terpaksa berlumba dalam suhu dalam kereta sekitar 50 darjah selain bersaing dengan pelumba lain.

Walaupun ia lebih kepada perlumbaan ketahanan, mereka bersaing sengit sejak awal yang kelihatan seperti perlumbaan pecut dengan setiap pelumba cuba mendapat kedudukan terbaik.


Ia adalah keputusan yang memuaskan untuk Syafiq dan Syahrizal selepas mengalami masalah brek sekali gus memaksa mereka berada di pit stop bagi tempoh lebih lama untuk mengatasi masalah terbabit dan jatuh ke tempat ketujuh serta ketinggalan dua pusingan di belakang pendahulu.


Manakala satu lagi wakil R3, Faidzil Alang dan James Veerapen yang bermula di petak pertama tidak bernasib baik apabila menamatkan perlumbaan lebih awal selepas mengalami masalah mekanikal pada pusingan ke-96 dengan masa 4 jam 30 minit.

Faidzil yang baru dinobatkan selaku juara Malaysian Super Series adalah salah seorang peserta pilihan untuk menjuarai perlumbaan dan mendahului sejak pusingan pertama mengatasi satu pusingan pencabar terdekatnya sebelum menarik diri.


Suasana yang sukar sepanjang perlumbaan menyaksikan lebih satu perempat peserta gagal menamatkan perlumbaan.

Ketua PROTON Motorsports, Datuk Abdul Razak Dawood ketika mengulas mengenai perlumbaan terbabit berkata, "Kami gembira dengan kedudukan keempat dalam perlumbaan yang sangat mencabar ini. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan R3 kerana tekad dan komitmen untuk menang serta dedikasi kepada perlumbaan ini." "Walaupun bagaimanapun, kami kecewa kerana salah sebuah kereta terpaksa menarik diri namun sukan ini adalah sukar dijangka dengan pelbagai perubahan boleh mengubah keputusan perlumbaan. Secara keseluruhan, kami mengharungi perlumbaan yang hebat dan membawa pula banyak maklumat teknikal yang baru bagi menghadapi perlumbaan tahun depan." "Keputusan keempat dalam perlumbaan ketahanan masih hebat dan kemampuan menamatkan perlumbaan turut dianggap sebagai kejayaan kepada semua pihak," kata Pengarah Pemasaran, Penjenamaan dan Motorsports Kumpulan PROTON, John Chacko.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved