Rabu, 7 Disember 2011

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Nanti masa serah banglo

Posted: 06 Dec 2011 02:22 PM PST

KOTA BHARU: Banglo hadiah kerajaan Kelantan kepada Khairul Fahmi Che Mat sebagai penghargaan kerana membantu Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki tahun lalu sudah siap, namun ia belum diserahkan kepada penjaga gol skuad bola sepak kebangsaan itu kerana belum menemui masa sesuai.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Abdul Latiff Ab Rahman berkata, mengikut perancangan banglo itu akan diserahkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan Apek.

Menurutnya, sehingga kini majlis penyerahan rasmi banglo itu masih tertangguh berikutan Menteri Besar masih mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan manakala Khairul Fahmi pula sibuk menjalani latihan.

"Kita (kerajaan negeri) akan menyerahkan rumah banglo itu kepada Khairul Fahmi seperti yang dijanjikan kerana rumah terbabit sudah siap sepenuhnya, malah majlis ringkas akan diadakan sempena penyerahan itu.


"Bagaimanapun, disebabkan kedua-dua pihak masih sibuk dengan urusan masing-masing, kita tangguhkan penyerahan rumah berkenaan sehingga tiba waktu sesuai. Namun kita akan berusaha mempercepatkan proses penyerahan banglo itu," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Full content generated by Get Full RSS.

Meronta minta tolong

Posted: 06 Dec 2011 02:22 PM PST

ALOR SETAR: "Separuh badannya sudah keluar, tetapi kakinya tersepit menyebabkan dia mati terbakar. Saya cuba bantu, tapi gagal kerana api semakin marak."

Demikian kata Mohd Suhaimi Hamid, 24, menyaksikan kematian tragik Peh Tiong Boon, 30, yang sebahagian tubuhnya rentung apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandunya meletup dan terbakar selepas merempuh sebatang pokok di Kampung Peragam, Jalan Teluk Bagan, di sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Peh dikatakan cuba memotong sebuah lori, namun keretanya terbabas lalu merempuh sebatang pokok, seterusnya berpusing beberapa kali sebelum meletup dan terbakar. Mohd Suhaimi berkata, dia nampak mangsa meronta-ronta sambil menjerit meminta tolong serta cuba keluar, namun gagal disebabkan kakinya tersepit.

"Apakan daya, saya tidak mampu membantu kerana api marak dengan cepat. "Sebelum itu, saya dengar dentuman kuat. Sejurus keluar rumah untuk melihat apa yang berlaku. Saya nampak kereta itu berpusing-pusing selepas merempuh sebatang pokok dan akhirnya terbakar," katanya yang ditemui di tempat kejadian.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jalan Raja, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.44 malam.


"Sebaik tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati kereta itu terbakar dan terdapat seorang lelaki di dalamnya. Mangsa hampir rentung di bahagian badan.

"Kebakaran dapat dikawal dalam masa lima minit dan anggota bomba mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit," katanya.


Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah Kota Setar, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mangsa dalam perjalanan dari Batas Paip menghala ke Kuala Kedah, di sini.

"Mangsa cuba memotong sebuah lori, tetapi hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang pokok. Kereta mangsa terbalik dan berpusing-pusing sehingga berlaku percikan api sebelum meletup dan terbakar.


"Sebelum keretanya terbakar, mangsa masih sedar dan cuba menyelamatkan diri serta cuba dibantu orang ramai. Bagaimanapun, usaha itu gagal kerana kedua-dua kaki mangsa tersepit dan api mula marak," katanya.


Katanya, mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, untuk dibedah siasat.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Parah kena kipas pesawat

Posted: 06 Dec 2011 03:09 PM PST

AUSTIN (Texas): Seorang model cedera parah kerana terkena kipas kapal terbang 2011 Aviat Husky selepas dia merempuh alat itu kerana teruja mahu melihat lampu Krismas.

Akibat kemalangan itu, Lauren Scruggs, 23, hampir putus tangan kirinya, selain luka di muka serta bahagian atas tubuh.


Dia kini dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan, tetapi doktor terpaksa memotong tangan kirinya.

Lauren - banyak menulis mengenai fesyen dalam blog dan mengedit majalah dalam talian di Texas - terkena kipas berkenaan sejurus selepas keluar dari pesawat.


Dia tiba di Lapangan Terbang Aero di McKinney untuk melihat sambutan Krismas di situ.


Menurut rakannya, sebaik saja dia keluar dari pesawat berkenaan, Lauren terus berjalan ke aras kipas.

Jurucakap keluarga mangsa berkata, satu blog dibuka khas sebagai penghormatan terhadapnya.


"Sebaik saja Lauren sedar, dia tahu bagaimana keadaannya," katanya.

Menurut jurucakap itu, adik Lauren, Brittany, menjelaskan kepadanya bahawa dia terbabit dalam kemalangan dan cedera parah.


"Nampaknya Lauren memahami apa dikatakan Brittany," katanya.


Walaupun mata kirinya berbalut, kata jurucakap itu, Lauren masih mampu membuka mata kanannya.


"Tolong berdoa supaya penglihatan mata kirinya selamat," katanya.


Lauren - terbabit dalam siri televisyen Gossip Girls di bahagian pakaian - dikejarkan ke hospital di Dallas sebaik saja kejadian berlaku. Setakat ini juruterbang itu belum dikenal pasti, tetapi dipercayai rakan Lauren yang baru membeli pesawat ringan berkenaan baru-baru ini. - DM

Full content generated by Get Full RSS.

Suami isteri parah dibelasah atlet bina badan

Posted: 06 Dec 2011 03:07 PM PST

COLTON: Polis California berkata, seorang atlet bina badan ditahan dalam keadaan berbogel kerana menyerang sepasang suami isteri di rumah mereka, semalam, menyebabkan mangsa cedera parah.

Ruben Arzu, 22, dipercayai berada dalam keadaan separuh sedar kerana dipengaruhi steroid dan pelbagai dadah lain.


Disebabkan mempunyai badan seberat 140 kilogram, empat anggota polis dan dua senapang pegun terpaksa digunakan untuk menahan Arzu.

Jurucakap polis berkata, mereka menerima panggilan kecemasan daripada pasangan suami isteri itu beberapa minit sebelumnya.


"Mangsa mengadu ada lelaki berbogel di depan rumah mereka," katanya.


Apabila ditegur si suami yang berusia 35 tahun, katanya, Arzu menyerang mangsa sehingga mengalami trauma di kepala.

"Isteri mangsa menghubungi talian kecemasan 911 sebelum dia turut dibelasah suspek," katanya. - AP

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei atasi Lin Dan

Posted: 06 Dec 2011 02:12 PM PST

JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei menerima undi tertinggi daripada peminat sukan berkenaan dalam tinjauan 'siapa yang mereka inginkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2011.'

Pemain nombor satu dunia itu mengatasi musuh ketatnya dari China, Lin Dan, sebanyak 12 peratus dalam undian secara online yang dianjur BWF di laman web rasminya www.bwfbadminton.org dan platform media sosial Twitter, Weibo dan Facebook.


Menurut BWF, Chong Wei meraih 34 peratus undi, Lin Dan (22 peratus), pasangan beregu Cai Yun/Fu Haifeng dari China (16 peratus) dan beregu dari Korea Selatan Lee Yong-dae/Jung Jae-sung (14 peratus).

"Undian peminat ini terbukti menjadi 'dendam yang manis' buat Lee Chong Wei yang berada di tempat keempat dalam undian itu manakala Lin Dan pula menjadi pendahulu.


"Chong Wei akhirnya menduduki tempat teratas sebagai pilihan peminat selepas mengetepikan juara dunia empat kali itu dengan 12 peratus undian," kata BWF.


Peminat badminton di seluruh dunia diberi peluang mengundi selama 24 jam bermula 8 malam pada 4 Disember.

Keputusan undian peminat akan dikongsi bersama dengan Majlis BWF yang ketika ini mengadakan mesyuarat di Queenstown, New Zealand dan akan membuat keputusan akhir mengenai pemenangnya.


"Sungguhpun keputusan dan pencapaian pada musim 2011 menjadi faktor utama yang diberi pertimbangan, tarikan peminat dan kualiti seseorang pemain sebagai contoh ikutan semakin penting sebagai kriteria dalam menentukan pemenang anugerah Pemain Terbaik BWF," kata BWF. Sementara itu, bagi kategori Pemain Wanita Terbaik BWF 2011, pemain beregu campuran Liliyana Natsir dari Indonesia memperoleh undi tertinggi, 78 peratus diikuti beregu China Wang Xiaoli/Yu Yang (enam peratus) dan dua pemain perseorangan dari China Wang Shixian (lima peratus) serta Wang Yihan (empat peratus).

Pemenang dua anugerah berprestij itu akan diumum pada perlawanan akhir Kejohanan Super Siri Dunia BWF Li Ning di Liuzhou, China, minggu depan.

Full content generated by Get Full RSS.

Tentera ikat 5 pemain

Posted: 06 Dec 2011 02:08 PM PST

TENTERA berjaya mengikat sekurang-kurangnya lima pemain yang membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia 2011 menyertai pasukan dalam bola sepak Liga Perdana musim 2012.

Mereka ialah pemain adik beradik, Zaquan Adha Razak dan Aidil Zafuan Razak, Irwan Fadzli Idrus, Hairudin Omar dan Farizal Harun. Jurulatih pasukan, B Sathianatahn berkata, mereka antara 15 pemain import tempatan daripada 30 pemain yang disenaraikan oleh pasukan menjelang tarikh penutup pendaftaran esok.


Selebihnya ialah pemain dari pelbagai negeri melainkan Kelantan sebagai memenuhi janjinya tidak memancing pemain negeri berkenaan yang pernah dibimbing dua musim lalu.

Selain pemain import tempatan, Tentera juga menggunakan khidmat 13 pemain dari kalangan anggota Tentera dan dua pemain import luar negara.


Pemain import luar negara datangnya dari Argentina dan Amerika Tengah untuk bermain di bahagian tengah dan serangan.


Pemain Argentina yang dimaksudkan ialah Juan Manuel Arostegui yang pernah membantu Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) muncul juara Piala Malaysia 2003. Sementara penyerang dari Amerika Tengah belum lagi dikenal pasti identiti sebenar.

"Pengumuman nama pemain pasukan akan diumum pengurusan atasan pasukan pada minggu depan," kata bekas pengendali skuad kebangsaan musim 2007 dan 2008 itu.


Katanya, tugas memilih pemain sudah selesai kini tumpuan membina sebuah pasukan yang mantap menerusi perlawanan persahabatan menjelang kejohanan.

Dalam minggu ini Tentera yang berbelanja besar selepas dua musim gagal mencapai matlamat ke liga super mengadakan dua perlawanan persahabatan.


Perlawanan pertama menentang Kuala Lumpur dan pasukan T-Team esok.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Yuna, Najwa saling menyokong

Posted: 06 Dec 2011 04:55 AM PST

BAIK Yuna atau Najwa Latif, masing-masing punya aura tersendiri dan mereka berdua bukanlah bintang kelahiran program realiti TV seperti kebanyakan penyanyi kini, sebaliknya lahir dari medium hiburan jalur lebar.

Jika Yuna atau nama sebenar, Yunalis Zarai, 24, popular menerusi lagu Dan Sebenarnya, Najwa Latif, 16, mencetus fenomena menerusi lagu nyanyiannya, Cinta Muka Buku menerusi laman YouTube dengan mencatat jumlah tontonan antara yang tertinggi lebih empat juta peminat.

Tidak dinafikan dunia seni tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini dimeriahkan dengan kemunculan ramai bakat baru dan indie (bergerak bebas). Bukan hanya menyanyi, malah kebanyakan mereka mampu menulis lirik sendiri. Secara tidak langsung mewujudkan satu persaingan sihat dalam dunia seni tanah air.

Bagaimanapun, kehadiran Najwa Latif membuatkan ramai yang membandingkan mereka berdua kerana banyak persamaan antara mereka seperti menyanyi dengan lagu ciptaan sendiri, penampilan mereka bertudung dan tidak lekang bersama gitar setiap kali menjayakan persembahan.


Dalam pertemuan ketika hadir menjayakan Malam Mesra MACP pada 29 November lalu, Yuna dan Najwa kelihatan mesra ketika digandingkan bersama. Walaupun Yuna sudah mencipta nama, malah fesyen tudungnya juga menjadi ikutan, nyata sebagai kakak, Yuna turut memberi pandangan dan nasihat buat Najwa.


Katanya, kehadiran bakat baru seperti Najwa Latif sememangnya satu yang positif buat industri seni tanah air. Kemunculan bakat baru sepertinya harus disokong dan diberi galakan.

"Banyak orang samakan saya dengan Najwa (Latif), tetapi muzik dan penampilan kami memang berbeza. Cuma kami berkongsi minat yang sama iaitu menjadikan muzik sebagai hobi.

"Perjalanan seni kami juga berbeza. Saya mula mempertaruhkan karya lagu saya menerusi myspace manakala Najwa pula menerusi Youtube. Tidak dinafikan, Najwa seorang yang berbakat besar.

"Saya rasa tidak adil jika orang menyamakan kami berdua. Dia harus diberi peluang untuk membuktikan bakatnya. Dia juga ada identiti dan muzik tersendiri. Sudah pasti lagunya juga mempunyai peminat tersendiri," katanya.

Yuna yang kini mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan menghasilkan album di Amerika Syarikat, makin popular dengan lagu, Come As You Are yang pernah dipopularkan legenda rock antarabangsa, Nirvana. Lagu yang dinyanyikan dengan cara tersendiri itu menarik perhatian banyak pihak.

Katanya, lagu yang disampaikan Najwa mempunyai tarikan tersendiri biarpun muziknya kedengaran masih 'muda' bagi penyanyi belasan tahun sepertinya.

"Buat masa ini lebih elok jika Najwa memberi tumpuan kepada apa yang hendak dilakukannya terlebih dahulu dalam dunia seni. Duta jenama Canon ini tidak menolak kemungkinan akan berkerjasama dengan Najwa pada masa hadapan.

Mereka juga akan berentap pada kemuncak Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) yang akan berlangsung pada 29 Januari nanti. Ini juga kali pertama kemaraan Najwa di AJL menerusi Cinta Muka Buku manakala Yuna kali ketiga selepas Dan Sebenarnya, tahun lalu dengan Cinta Sempurna dan tahun ini mempertaruhkan dua lagu, Gadis Semasa dan Penakut.

Najwa pula sedar sebagai artis baru, dia tidak layak dibandingkan dengan artis senior yang lain. Padanya, kemunculan untuk memeriahkan industri tanah air kerana didorong minat yang mendalam pada dunia muzik.

"Yuna seorang penyanyi yang hebat. Dia berani membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Saya pula masih baru. Saya perlu mengasah bakat dalam nyanyian dan masih banyak yang perlu saya belajar.

"Mungkin kami mempunyai persamaan dari segi penampilan bertudung dan menggunakan alat muzik yang sama iaitu gitar. Begitupun, muzik kami memang berbeza," kata Najwa, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor.

Mengulas kolaborasi bersama artis lain termasuk Yuna sendiri, Najwa memaklumkan buat masa ini dia belum memikirkan kerjasama dengan Yuna sebaliknya untuk single terbaru dia bakal berkolaborasi bersama artis luar negara. Buat masa ini, dia tidak dapat memaklumkan mengenai lagu berkenaan kerana masih dalam perbincangan.

Mengenai persaingan AJL26 pula, Najwa memberitahu dia berasa seronok dan teruja dapat bersaing di pentas akhir. Baginya ia satu pengalaman baru dan saat yang ditunggu-tunggu.

"Ini satu pengalaman baru buat artis baru seperti saya. Seronok apabila berpeluang beraksi di pentas yang sama dengan artis berpengalaman yang lain seperti Faizal Tahir dan Anuar Zain, termasuk Yuna sendiri.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi. Sebaliknya berharap dapat menjayakan persembahan pada malam itu dengan sebaik mungkin," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif
NAMA KOMERSIAL: Najwa Latif
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1995
TEMPAT LAHIR: Batu Pahat, Johor
STATUS: Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor
HOBI: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
LAMAN SOSIAL: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
YOUTUBE: www.youtube.com/najwa595

PROFIL

NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIL: Yuna
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).

Facebook (Yuna) dan twitter (@yunamusic)

Full content generated by Get Full RSS.

Mahu peminat puas

Posted: 06 Dec 2011 04:42 AM PST

NAMA mereka cukup besar dan kerana itu penganjur konsert tempatan yang sebelum ini berjaya menganjurkan konsert Rossa di sini, Splendid Entertainment yakin kumpulan Funk & Soul dari negara jiran Indonesia, Maliq & D'Essentials mampu menggegarkan KL Live.

Melihat kepada kemunculan mereka sebanyak lima kali dalam Festival Java Jazz Antarabangsa Jakarta sejak 2005 menyebabkan mereka dikenali bukan saja di negara sendiri, tetapi juga rantau Nusantara.

Dalam erti kata lain, walaupun tidak popular seperti kumpulan Ungu mahupun Sheila On 7 (S07), kredibiliti kumpulan itu sangat dihargai peminat terutama dalam genre muzik yang ditampilkan.

Penolong Pengurus Splendid Entertainment, Shaun Chin berkata, setakat ini sambutan diberikan peminat tempatan terhadap konsert Maliq & D'Essentials, yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember bermula jam 8.30 malam sangat menggalakkan.


Katanya, anggota kumpulan Maliq & D'Essentials iaitu Angga selaku vokalis utama, Indah (vokal), Ifa (keyboard), Javafinger (bass), Lale (gitar) dan Amar (horn) tidak sabar mahu menghiburkan peminat setia mereka.


"Mereka juga kini sedang melakukan latihan intensif bagi memastikan perancangan untuk persembahan pada malam itu nanti berjalan lancar. Apa yang penting bagi anggota kumpulan Maliq & D'Essential peminat yang hadir menyaksikan persembahan pada malam itu akan pulang dengan senyuman lebar dan puas menikmati muzik ditampilkan," katanya.

Pada malam itu nanti, Maliq & D'Essentials akan mempersembahkan lagu hit yang mampu membuai perasaan peminat mereka di sini seperti Terdiam, Untitled, The One, Heaven, Free Your Mind, Sunshine, Dia dan Kau Yang Bisa.

Tidak ketinggalan lagu berirama rancak pop dan acid jazz seperti Pilihanku dan Coba Katakan serta lagu pilihan daripada album terbaru yang sudah diedarkan tahun lalu dan popular seperti Terlalu dan Menari turut berada dalam senarai bakal dipersembahkan nanti.

Kata Shaun, pihaknya juga sudah memperoleh senarai pendek kumpulan muzik tempatan berbakat yang berpeluang memenangi hadiah iaitu mengadakan persembahan sebagai pembuka tirai konsert itu nanti.

Pertandingan itu dibuka menerusi laman web dan dianjurkan bersama JunkOnline. Ia bertujuan bagi membolehkan mereka yang meminati bidang muzik mencipta nama.

Penyertaan dibuka pada 27 Oktober hingga 20 November lalu dan menariknya apabila Maliq & D'Essentials sendiri akan memilih pemenang daripada lima kumpulan yang memperoleh undian online tertinggi. Pengumuman kumpulan manakah yang berjaya akan diadakan beberapa hari sebelum konsert berlangsung.

Sementara itu, jualan tiket untuk menyaksikan persembahan Maliq & D'Essentials masih dibuka kepada orang ramai. Mereka yang mahu mendapatkannya boleh mengunjungi kaunter jualan tiket TicketCharge dan AirAsiaRedTix atau melayari laman sesawang di www.ticketcharge.com dan www.airasiaredtix.com.

Seribu pembeli pertama akan mendapat diskaun 15 peratus. Harga tiket yang standard adalah RM98 dan harga jualan tiket tidak termasuk bayaran pemprosesan RM3.

Bagi pembaca setia Harian Metro, anda berpeluang memenangi dua tiket untuk menyaksikan konsert Maliq & D'Essentials secara percuma. Sebanyak 20 tiket untuk dua orang disediakan.

Mereka yang berminat boleh melayari mechanism@www.facebook.com/splendid8. Anda hanya perlu menekan 'like' dan beritahu mengapa anda menggemari Maliq & D'Essentials dengan tidak lebih daripada 30 patah perkataan.

Mereka yang berjaya menghasilkan komen paling kreatif berpeluang memenangi tiket disediakan. Peraduan ini bermula 4 Disember dan akan berakhir 11 Disember ini.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Selasa, 6 Disember 2011

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Aktiviti tingkat hubungan keluarga

Posted: 06 Dec 2011 12:13 PM PST

KAWASAN dapur biasanya menjadi tempat larangan bagi anak-anak bermain tatkala ibu sibuk memasak. Ada kalanya mereka enggan beredar walaupun beberapa kali dilarang kerana ingin menghulur bantuan bagi meringankan beban ibu menyediakan hidangan untuk keluarga.

Sesetengah ibu merasakan anak-anak masih terlalu kecil dan belum tiba waktunya mendedahkan serta melatih mereka untuk membantu di dapur.

Selain itu, faktor keselamatan membuatkan kebanyakan ibu bimbang membenarkan anak menggunakan peralatan dapur yang tajam seperti pisau dan gunting.

Maklumlah, dalam usia yang sangat muda itu, semua barang boleh dijadikan alat permainan.


Walaupun begitu, ibu bapa harus mendedahkan anak-anak mengenai keselamatan ketika berada di dapur supaya mereka memahami sebab mengapa anda menetapkan larangan tertentu iaitu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.


Bagi Eileena Dardir, anak perempuannya tidak pernah didedahkan dengan sebarang kerja di dapur kerana bimbang perkara buruk akan berlaku.

"Jika anak-anak yang masih kecil diajar menggunakan peralatan dapur dan memasak, saya bimbang mereka akan mempraktikkan sendiri pengetahuan apabila ibu bapa tiada di rumah.

"Jadi untuk memenuhi keinginan anak-anak untuk membantu, biasanya saya mengajak anak membuat kek dan biskut saja kerana tidak membabitkan dapur gas dan peralatan tajam yang lain," katanya ketika menemani anaknya, Ameerah Zulaiha Esmady, 8, mengikuti bengkel memasak di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, baru-baru ini.

Tambahnya, bengkel Ceria dan Kreatif di Dapur Bersama Scott itu dijadikan panduan dan pengajaran kepada anaknya jika ingin melakukan aktiviti memasak di dapur.

"Menyertai program sebegini dapat memberi pendedahan kepada anak perempuan saya mengenai perkara tidak patut dilakukan ketika berada di tempat memasak.

"Malah mereka juga diajar mengenai aspek keselamatan diri yang harus diambil berat ketika berada di dapur.

"Selain itu, bengkel ini juga memberi penekanan kepada faktor yang penting iaitu soal kebersihan ketika menghasilkan makanan sendiri serta cara membersihkan makanan yang tumpah yang boleh membuatkan anak terjatuh disebabkan lantai licin," katanya yang sentiasa menyokong aktiviti membabitkan anaknya tidak kira di rumah mahupun di sekolah.

Sementara itu, bagi Mohamed Nazrin Abdul Kudus, anak-anak harus dididik dengan perkara sepatutnya ketika mereka di dapur.

"Disebabkan saya dan isteri bekerja, jadi kami mengambil kesempatan pada program ini untuk memberi sokongan dan menghabiskan masa bersama anak-anak dalam mendidik mereka mengenai kebersihan dan keselamatan ketika berada di dapur.

"Selepas pulang dari kerja masa kami dengan anak-anak sangat terbatas, hanya empat jam sehari. Inilah peluang yang baik untuk menemani mereka menerusi bengkel yang dianjurkan.

"Untuk mendekatkan anak-anak dengan kerja di dapur, pada hujung minggu kami sekeluarga akan bersama-sama menyediakan sarapan pagi. Biasanya kami akan pilih menu yang mudah dan ringkas seperti membuat lempeng. Anak-anak berasa lebih gembira, bersemangat dan berselera menikmati juadah yang ada 'sentuhan' tangan mereka.

"Bengkel ini memang sangat bermanfaat bukan untuk anak-anak saya tetapi ibu bapa kerana ada kalanya kita terlepas pandang sesetengah perkara. Jadi dalam bengkel ini, kami (anak-anak dan ibu bapa) sama-sama didedahkan kepada perkara penting yang perlu dititikberatkan ketika berada di dapur atau di mana-mana tempat memasak," katanya yang mengambil cuti pada hari itu bagi menyertai bengkel bersama anaknya, Nelysa Khadija, 8, dan Naqib, 10.

Bengkel anjuran Scott itu mengajar resipi mudah dan panduan membersih secara bijak kepada pelajar dan ibu bapa. Ia disertai 30 murid sekolah terbabit yang dipilih selepas berjaya memenangi peraduan Scottigami dengan menghantar rekaan origami paling kreatif menggunakan tuala dapur Scott.

Sepanjang bengkel memasak berlangsung, peserta ditemani ibu bapa masing-masing bagi memberi peluang merasai pengalaman memasak dan membersih kotoran yang jarang dilakukan apabila berada di rumah.

Semua peserta dan ibu bapa mendapat tunjuk ajar chef selebriti, Sjaiful Anuar Adzhar yang memberi peluang kepada murid-murid untuk menyediakan dua resipi mudah seperti Tasty Tortilla Wrap dan minuman Slurpy Smoothie.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta turut diajar cara penyediaan makanan yang betul, kebersihan dan kepentingan menjaga ruang dapur supaya sentiasa bersih dengan cara mudah serta berkesan.

Chef Sjaiful juga menekankan kepentingan kebersihan diri di dapur dengan membasuh tangan menggunakan sabun dan air mengalir sebelum atau selepas pengendalian makanan.

Bukan itu saja, chef Sjaiful turut melakukan demonstrasi mengeringkan sayuran segar dengan mudah selepas membasuhnya atau membersihkan tumpahan daripada alat pengisar apabila menyediakan minuman.

"Anda juga harus membersihkan kawasan sekitar seperti tumpahan atau sisa minyak pada ruang bekerja atau tangan yang menyebabkan peralatan memasak menjadi licin.

"Ini boleh mengakibatkan kemalangan. Oleh itu, keringkan atau lap peralatan yang digunakan dengan segera menggunakan tuala dapur yang dapat menyerap dengan baik," kata Chef Sjaiful mengingatkan peserta cilik pada hari itu.

Sementara itu, Pengurus Jenama Dagangan Scott, Kimberly-Clark Malaysia, Sumeet Parab turut hadir pada hari itu bagi memberi sokongan kepada peserta yang menyertai bengkel.

Full content generated by Get Full RSS.

Kawal paras gula

Posted: 06 Dec 2011 10:28 AM PST

RAMAI tidak tahu pesakit diabetes boleh menjamah makanan sama seperti individu sihat asalkan masakan disediakan berkhasiat dan memenuhi keperluan makanan seimbang.

Biasanya pesakit dinasihatkan mengurangkan gula dan lemak atau berpantang manis, mengurangkan karbohidrat dan melebihkan lemak dalam makanan.

Menurut pakar kulinari serta chef selebriti, Amy Beh, pengawalan pengambilan diet satu faktor penting dalam pengawalan tahap gula dalam darah.

Ini bermakna diet hendaklah seimbang dan konsisten setiap hari. Diet diabetes adalah diet yang sihat dan sesuai diikuti semua orang.


"Bagi pesakit diabetes, mereka perlu berhati-hati memilih jenis makanan kerana ia mempengaruhi paras gula dalam darah.


"Pesakit harus mengamalkan diet mengikut piramid makanan iaitu mengandungi semua zat diperlukan tubuh iaitu karbohidrat, protein, vitamin dan gula.

"Namun keadaan itu bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan serta keadaan penyakit," jelasnya.

Amy yang juga penulis buku resipi untuk pesakit diabetes berjudul Raikan, berasa teruja kerana dapat berkongsi hidangan enak yang pasti memenuhi selera pesakit.

"Biasanya pesakit diabetes dihalang untuk mengambil makanan sama seperti individu sihat, namun dengan pengubahsuaian bahan seperti santan yang ditukar kepada susu atau soya mampu memberi rasa enak kepada mereka selain menjaga kesihatan," katanya.

Untuk resipi kari sayur, dia menggunakan kacang panjang, terung, kubis dan bendi selain telur dan kerang.

Menariknya, Amy menggantikan santan dengan susu untuk rasa lebih enak dan berkhasiat. Nilai pemakanan setiap hidangan disediakan mengandungi 400 tenaga, 38.1 gram karbohidrat, 10.1 gram protein dan 32 gram lemak.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


DBKL beri tempoh tiga bulan cuba lorong khas

Posted: 05 Dec 2011 12:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi tempoh percubaan tiga bulan terhadap pelaksanaan lorong khas untuk kegunaan bas dan teksi di Jalan Tun Sambanthan dan Little India, di sini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Yusop, berkata pihaknya melihat kelemahan sistem diperkenalkan itu dan membuat penambahbaikkan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselesaan pengguna.


Katanya, laluan kontra itu diperkenalkan berikutan permintaan penduduk dan peniaga di kawasan itu yang tidak mahu bas melalui kawasan berkenaan dan meminta laluan khas disediakan.

"Penduduk mendakwa laluan bas sering menyebabkan kesesakan dan membahayakan pengguna kerana melalui sekolah, Persatuan Orang Buta, masjid dan gereja di sepanjang Jalan Thambipillay dan Jalan Sultan Abdul Samad" katanya ketika dihubungi.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Drebar bas kami tak lari’

Posted: 05 Dec 2011 12:32 PM PST

KUALA LUMPUR: Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) menafikan laporan media bahawa pemandu bas RapidKL melarikan diri selepas melanggar dua pejalan kaki di Jalan Tun Sambanthan petang kelmarin.

Pengarah Kumpulan Bahagian Bas, Prasarana, Zohari Sulaiman, berkata pemandu bas terbabit sudah menghentikan kenderaan itu dan membantu pejalan kaki yang cedera.


"Bagaimanapun, polis di tempat kejadian membawanya ke balai polis untuk merekodkan kenyataannya dan mencegah insiden yang tidak diingini di tempat kejadian.

"Andaian bahawa pemandu melarikan diri tidak berasas dan tidak benar," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.


Zohari berkata, ketika ini pemandu terbabit digantung tugas buat sementara sehingga inkuiri dalaman berhubung perkara itu selesai kerana terdapat dakwaan dia memandu laju ketika kejadian.


"Bagi perkhidmatan kami, ia berjalan seperti biasa," katanya.

Zohari mendakwa, ketika kejadian 3.30 petang itu, pemandu bas syarikat itu tidak dapat membrek dengan segera apabila dua pejalan kaki itu memasuki laluan bas untuk menyeberang jalan dan hanya memerhati laluan trafik sehala tanpa mengetahui jalan itu lorong dua hala.


"Syarikat juga sudah membuat laporan polis berhubung vandalisme selepas kejadian dengan cermin depan bas dipecahkan," katanya.

Katanya, kejadian itu amat malang, tetapi masih boleh dielakkan jika semua pihak bekerjasama dan faham mengenai perubahan laluan trafik di kawasan itu.


Zohari mencadangkan supaya kehadiran polis dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditingkatkan di kawasan itu bagi memastikan orang ramai melintas di kawasan yang ditetapkan selain meletakkan papan tanda jelas mengenai perubahan lorong bas lawan arus.


Ini perlu memandangkan lima kemalangan dilaporkan sejak dua hari lepas di kawasan itu berikutan perubahan trafik itu. — Bernama

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Impi watak Dara

Posted: 05 Dec 2011 04:31 AM PST

BERMULA dari Bangsawan Naga Chini bergandingan dengan Ako Mustapha dan Jehan Miskin pada 2006, pelakon Jue Aziz mengakui dirinya sudah semakin sebati di pentas teater.

Teater lain lakonannya ialah Impak Maksima The Musical dan terbaru, pemilik nama sebenar, Zuliana Abd Aziz, menjadi pilihan untuk pementasan Semerah Padi yang diangkat daripada filem klasik karya Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee.

Bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) tidak lama lagi, memegang watak Dara lakonan Seniwati Saadiah dan digandingkan dengan Khir Rahman dan Fauzi Nawawi.

Kata Jue, sebelum terjun dalam bidang lakonan dan dikenali ramai melalui drama televisyen, anak kelahiran Ampang, Selangor ini lebih dahulu menimba pengalaman di pentas teater.


"Memang saya mengimpikan watak Dara lakonan Seniwati Saadiah dalam filem Semerah Padi dan menantikan peluang beraksi dalam teater klasik ini apabila Keno Production Sdn Bhd berminat mementaskannya. Saya lihat watak Dara memang mampu mencabar lakonan saya.


"Sebenarnya, saya juga dapat tawaran berlakon drama bersiri untuk stesen TV3 pada tarikh yang sama dengan pementasan ini, tapi saya tetap utamakan teater ini.

"Saya akui, lakonan drama, filem dan teater adalah cabang seni yang berbeza, tapi saya bersedia menyahut cabaran untuk merealisasikan watak Dara dalam teater Semerah Padi ini.

"Sebagai pelakon, saya pastikan komitmen terbaik diberikan pada teater ini kerana tidak mahu mensia-siakan kepercayaan diberikan produksi sekali gus pengarahnya," kata pelakon filem Hantu Bonceng dan Abuya ini.

Pada sesi fotografi eksklusif di IB, Jue digandingkan dengan Khir dan Fauzi sekali gus gandingan julung kalinya mereka bertiga di pentas teater.

Tampil dengan kebaya ketat warna merah cili, aura Saadiah sudah mula terserlah pada penampilan Jue petang itu disamping Khir dan Fauzi yang segak dengan kostum pendekar pada zaman purba itu.

Teater Semerah Padi arahan Rosdeen Suboh, bakal dipentaskan di IB bermula 22 hingga 31 Disember ini. Barisan pelakon lain yang turut beraksi ialah Baharuddin Omar sebagai Tok Penghulu, Baby Erin (Galak), Bohari Ibrahim (Jejaka), Azlan Komeng (Kelana), Abu Bakar (Ayah Taruna), Azizah Mahzan (Ibu Aduka), Siti Habsah (Ibu Taruna) dan Zolkafli Komeng (Kachiwa).

Sekalipun menggantikan tempat pelakon Zul Huzaimy untuk memegang watak utama Aduka, Khir tidak menganggap dirinya sekadar pelakon pilihan kedua.

Saya hanya dapat tahu pelakon asal watak Aduka dipegang Zul Huzaimy apabila Rosdeen menawarkan watak ini pada saya.

Saya pun nyaris tidak dapat berlakon dalam teater ini kerana ada komitmen lain.
"Namun, memikirkan kepercayaan yang diberikan pengarah teater ini, Rosdeen, saya memang tidak mampu untuk menolaknya. Maklumlah, kami sudah sering bekerjasama dalam teater sebelum ini," katanya.

Pada masa sama, Khir juga bersandarkan pengalaman luasnya selepas lebih 20 tahun di pentas teater. Kali terakhir, Khir berlakon dalam pementasan ialah watak utama dalam teater Wangi Jadi Saksi arahan U-Wei Saari pada 2007.

"Saya juga sudah mengarah teater sejak di bangku sekolah sampailah sekarang dan pengalaman luas dalam bidang teater dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kejayaan teater ini," katanya.
Sepanjang dua minggu latihan intensif, Khir mengakui sudah dapat keserasian dengan Jue dan Fauzi seperti dikehendaki pengarah dan penulis skripnya.

"Mungkin saya ada kelebihan kerana ada asas dalam bidang teater berbanding Jue dan Fauzi yang kurang dari aspek lakonan pentas tapi ia bukan penghalang kerana masing-masing memang berbakat besar dalam bidang lakonan.

"Insya Allah, gabungan kami bertiga akan menjadi nanti di pentas. Saya bukan saja menggunakan aspek fizikal (luaran) untuk menjiwai watak Aduka, malah, aspek tarian, gerak dan nyanyian. Saya perlu berlatih secukupnya untuk memahirkan diri," katanya. Kata Khir lagi, kekuatan teater itu juga bukan bergantung pada pelakon semata-mata sebaliknya filem Semerah Padi juga sudah dikenali ramai dan ada peminatnya tersendiri.

"Teater ini juga bakal mengimbas semula kegemilangan filem Melayu klasik. Cuma ada elemen baru dalam persembahannya yang diubah sedikit untuk menjadikan jalan ceritanya lebih menarik.

"Penampilan babak Borek yang jahat dan dilakonkan Opie Zami yang lebih dikenali dalam cerita komedi. Babak paling susah dilakonkan ialah ketika Aduka berzina dengan Dara. Apapun, saya harapkan ialah semua penonton terhibur bila menontonnya nanti," katanya.

Bagi Fauzi pula, dia terima tawaran bawa watak Taruna kerana ingin beraksi dalam teater bercorak purba. Kali terakhir, dia berlakon teater ialah pementasan Tsunami pada Disember 2007.

"Saya terima tawaran berlakon watak Taruna dalam teater ini kerana sangat mengagumi Seniman Nordin Ahmad yang juga idola saya dalam bidang lakonan, sejak dulu.

"Saya menyukai watak Taruna kerana dia seorang yang sangat taat pada pemimpin dan tunangnya. Selain itu, saya juga perlu bersilat untuk menjiwai watak Taruna dan ia sesuatu yang saya minat bila berlakon pentas. Bagaimanapun, jangan bandingkan lakonan saya dan Nordin Ahmad kerana beliau adalah legenda.

"Sebagai pelakon, saya akan berikan yang terbaik dalam lakonan. Apa yang saya janjikan, penonton pasti menangis melihat Taruna kerana kesetiaannya yang tidak berbelah bagi itu," katanya.

Seperti Khir, Fauzi juga percaya dia tidak ada masalah digandingkan dengan Jue dan Khir dalam pementasan itu.

"Saya percaya, keserasian kami bertiga boleh digilap ketika latihan intensif ini. Sepanjang tiga minggu latihan, saya melihat masing-masing dapat menjiwai watak diserahkan dengan baik.

"Sepanjang latihan, Jue juga tampilkan kelainan dalam lakonannya yang pernah ditonton sebelum ini. Apa yang mencabar, babak Dara dirogol beramai-ramai oleh Borek dan rakan-rakannya," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Zuliana Abd Aziz
TEMPAT LAHIR: Ampang, Selangor
TARIKH LAHIR: 18 Februari 1983
KERJAYA: Pelakon
KELUARGA ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada lima beradik
PENDIDIKAN: Diploma Setiausaha Kolej Stamford
TELEFILEM: Wasiat Anak Dara, Unjul Nak Jadi Orang, Berlari Ke Belakang, Anak Rintih, Kekasih Sejati, Ab Taufan, Seputih Salju, Tidak Terputus Tasbih Itu.
DRAMA BERSIRI: Lagenda Budak Setan, Janji Kekasih, Kata Hati, Sebuah Ilusi, Intan Sayang Manja, Orang Minyak Naik Minyak.
FILEM: Hantu Bonceng, Abuya
TEATER: Bangsawan Naga Chini, Impak Maksima The Musical

PROFIL

NAMA PENUH: Mohd Fauzi Mohd Nawawi
NAMA KOMERSIAL: Fauzi Nawawi
TARIKH LAHIR: 7 Mac 1973
ASAL: Pantai Remis, Perak
KERJAYA: Pelakon dan pengarah
PENCAPAIAN: Pelakon Lelaki Terbaik (Anugerah Skrin dan Anugerah Seri Angkasa, 2010)
FILEM: Orang Minyak dan Anak Halal (2007), Tipu Kanan Tipu Kiri (2008) dan Songlap
DRAMA: Sari Maya, Sudu & Garpu, Kemboja Putih, You Saka Pergi Jauh-Jauh, Sebelum Akhirat, Pucuk Muda Kerabu Tauge dan Jiwa & Lara

PROFIL

NAMA PENUH: Khairulizam bin Abdul Rahman
NAMA KOMERSIAL: Khir Rahman
TARIKH LAHIR: 12 Mac 1973
TEMPAT LAHIR: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pelakon, komposer, pengarah, jururunding skrip dan penyanyi.
FILEM: Puteri Gunung Ledang, Hikayat Merong Mahawangsa, Kapoww!!, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Los Faun, Cuci, Gubra, Rock, Pontianak Harum Sundal Malam 2, Potret Mistik dan Rentaz.
DRAMA: Kasih Ke Syurga, Cahaya, Mingguan Lelaki, Pabila Larut Malam dan Oh Yeah!
ARAHAN: ...Dalam Botol

Full content generated by Get Full RSS.

Empat hari RM4 juta

Posted: 05 Dec 2011 04:26 AM PST

SELEPAS beberapa filem arahannya sebelum ini gagal mencatat kutipan membanggakan walaupun mendapat pujian ramai, akhirnya pengarah Osman Ali mampu tersenyum lebar apabila filem barunya, Ombak Rindu mencatat kutipan membanggakan.

Ombak Rindu yang mula ditayangkan di pawagam sejak 1 Disember lalu, mengumpul RM4 juta untuk tempoh empat hari tayangan.

Malah hari pertama tayangan mencecah RM750,000 dan dikatakan mengatasi kutipan filem blockbuster Hollywood, The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 1 yang ditayangkan 18 November lalu.

Pengarah yang menang Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia 21 (FFM21) menerusi filem Anak Halal, menyifatkan sambutan yang diterima itu adalah hadiah daripada kerja keras dan kesungguhannya selama ini.


Katanya, ini pertama kali filem arahannya diterima baik peminat filem tempatan selepas Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Cun. Malah Anak Halal yang menerima banyak pencalonan di FFM21 hanya mecatat kutipan keseluruhan RM2 juta, Puaka Tebing Biru hanya RM1.1 juta dan Cun! RM1.2 juta.


"Saya tidak pernah berkecil hati atau kecewa kerana apa yang penting dalam pembikinan sesebuah filem adalah ikhlas dan terus jujur berkarya.

"Soal keuntungan dan sambutan daripada penonton adalah bonus dan jika ada rezeki, Alhamdulillah.

"Justeru apabila saya diberitahu Ombak Rindu sudah mencapai kutipan RM4 juta dalam masa empat hari tayangan, itu satu suntikan semangat buat saya kerana saya langsung tidak menjangkakannya.

"Namun itulah rezeki buat saya dan kesungguhan barisan pelakon yang saya sifatkan luar biasa dalam memberikan jalur lakonan terbaik," katanya.

Mengenai kekuatan atau formula digunakannya menerusi Ombak Rindu hingga mendapat sambutan penonton, Osman berkata, formulanya hanya menekankan sebaik mungkin pada mainan emosi serta garapan pada aspek babak air mata agar penonton mampu mengikuti plot cerita syahdu yang ingin disampaikan.

"Saya akui ada perasaan gusar pada awalnya kerana ada teman yang berbisik kalau-kalau filem ini mengulangi sambutan beberapa filem saya sebelum ini.

"Maklumlah masyarakat kini lebih tertarik untuk menyaksikan filem komedi dan seram.

"Saya percaya populariti novel asalnya turut memainkan peranan penting hingga mampu menarik minat kaki wayang membanjiri panggung. Sebelum mengarahkannya
lagi, kami pernah membuat kajian menerusi laman sesawang mengenai langkah membawa novel Ombak Rindu ke filem.

"Ternyata ramai yang berminat dan saya yakin kebanyakan yang datang menonton adalah mereka yang pernah membaca novel karya Fauziah Ashari," katanya.

Kata Osman, dia turut turun padang ke panggung untuk meninjau sambutan penonton di beberapa lokasi. Katanya, ada pasangan suami isteri berusia 60-an datang bersama begitu juga pasangan kekasih serta remaja yang menitiskan air mata menonton Ombak Rindu.

"Malah ada peminat sanggup terbang ke bandar utama di Sabah bagi menonton sendiri filem ini selepas membaca ulasan filem dan komen-komen mereka yang sudah menyaksikannya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved