ALUNAN suaranya pada lagu We Are Young sangat mudah untuk diingati dan diminati. Rata-rata penduduk dunia kini tercari-cari siapa di sebalik suara itu dan hanya tahu dia menganggotai kumpulan Fun.
Awal tahun ini, Fun mencetus kegilaan apabila hanya berbekalkan lagu hasil duet bersama Janelle Monae, nama terus meledak. Dianggotai trio - Nate Ruess (vokalis), Andrew Dost (keyboard) dan Jack Antonoff (gitar), kini mereka teruskan lagi memikat peminat dunia muzik dunia dengan single Some Nights.
Sejurus single berkenaan mengisi gelombang radio, ia mengulangi kecemerlangan We Are Young apabila ternyata menjadi kegemaran pendengar. Sekali lagi, kekuatan vokal Ruess selain himpunan pelbagai instrumen muzik yang dimasukkan pada lagu berkenaan, membuktikan Fun ada pesona tersendiri.
Dimuatkan dalam album terbaru menggunakan judul sama, intro pada lagu itu saja sudah menyentuh hati pendengar untuk lantas teringatkan kumpulan berkenaan. Menceritakan pembikinan di sebalik penghasilan lagu itu, ironinya Ruess yang tidak pandai langsung bermain mana-mana instrumen, mengilhamkan lagu berlirik indah itu.
"Kebelakangan ini, saya mula mendengar pelbagai lagu berentak hip-hop dan menyukainya. Apabila saya terdengar lagu Drake yang kini ligat dimainkan di radio, saya dan Andrew membeli album untuk suka-suka saja.
"Kami pun mendengar album itu berulang kali dan mendapati ia sebuah naskhah yang sangat bagus. Kemudian, muncul pula lagu My Beautiful Dark Twisted Fantasy nyanyi Kanye West membuatkan saya semakin merasa sebahagian daripada muzik berkenaan.
"Lagu Some Nights juga sebenarnya mengambil konsep lagu Kanye berkenaan, namun saya mengubahnya menjadi lagu pop indie sebagaimana muzik yang kami bawakan," katanya.
Kekurangan Ruess tidak pandai bermain instrumen itu bagaimanapun bukan penghalang buatnya mencipta lagu. Berpengalaman kira-kira 10 tahun dalam arena muzik ini, jejaka berumur 30 tahun itu bertuah dianugerahkan kebolehan mengilhamkan melodi dengan hanya menggunakan suaranya.
"Cara saya menulis lagu adalah dengan berfikir dan mendengar sesuatu lagu dalam kepala saya. Seterusnya, bila dapat saja gambarannya, saya terus menjelaskannya kepada Andrew serta Jack dan mereka akan mula mencipta lagu keseluruhannya dari situ.
"Agak sukar pada mulanya, terutama sewaktu menghasilkan album pertama dulu. Saya terpaksa meyakinkan Andrew dan Jack supaya mempercayai saya dalam hal ini. Agak janggal juga kerana selalunya pemuzik akan bermula dengan nota pada alat muzik, tetapi mereka semakin terbiasa dengan rentak sedemikian.
"Pendekatan sama juga kami gunakan terhadap album kedua ini dan sebenarnya, itulah cabaran terbesar yang kami hadapi. Bagaimanapun, saya masih ingat ketika menyanyikan baris pembuka lagu Some Nights kepada mereka, ia terus menjadi. Ia berjalan tanpa ada kejanggalan dan mereka terus mendapat gambaran lagu berkenaan tanpa penjelasan daripada saya.
"Paling menakjubkan, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mencantikkan lagu itu dan satu pencapaian untuk saya sendiri, mereka tidak langsung meragui idea terbabit," katanya yang juga bekas vokalis The Format itu.
Fun ditubuhkan pada 2008 dan setahun berikutnya muncul dengan album pertama mereka, Aim and Ignite. Bagaimanapun, pada waktu itu populariti mereka tidak sekencang apa yang dikecapi sekarang.
Tahun ini, mereka kembali dengan album kedua, Some Nights yang mengangkat perjuangan mereka ke tahap yang lebih atas lagi. Meskipun baru dua single yang dipertaruhkan setakat ini, sudah cukup memberikan impak kepada lapangan muzik global.
Ruess berkata, album ini menyambung lagi kemaraan muzik indie hip-hop yang menjadi konsep album mereka selama ini. Biarpun bukanlah seorang pembuat lirik yang cukup hebat, dia bijak membuatkan lagu mereka menyerlah.
"Lirik adalah apa yang membuatkan saya tertarik kepada sesebuah lagu. Sebelum saya pergi lebih jauh kepada album, saya mahu mencari ilham dan menulis mengenai seseorang yang saya temui di jalanan atau mungkin orang di sebelah saya. Tetapi, acap kali saya tidak dapat membendung untuk bercerita mengenai apa yang dilalui saya sendiri.
"Setiap lagu dalam album berkenaan mewakili pelbagai keadaan yang dihadapi seseorang. Seperti diri saya sendiri, yang kadang-kadang merasa itulah diri saya, tetapi pada masa-masa tertentu sebaliknya," tambahnya.
Selain dua lagu berkenaan, turut dimuatkan dalam album berkenaan adalah lagu Carry On, It Gets Better, Why Am I The One, All Alone, All Alright, One Foot dan Stars.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/05