Isnin, 8 Oktober 2012

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Artis biarlah berilmu

Posted: 07 Oct 2012 06:51 AM PDT

ARJA Lee serba salah untuk memilih dua tawaran yang tiba-tiba sampai ke ribaannya, sama ada untuk menerima tawaran berlakon dalam drama 26 episod ataupun menyertai program Fear Factor Selebriti Malaysia yang akan dirakamkan di Cape Town, Afrika Selatan bermula 23 Oktober hingga 15 November ini.

Dia tidak menyangka pihak Astro akan mempelawanya menyertai projek itu dan apabila ditanya macam mana mereka tertarik untuk mengajaknya bersama, jelas wakil Astro, mereka terbuka hati untuk memanggilnya selepas menyaksikan lakonan mantapnya dalam telefilem Pulut Kacau Meriam Kabait.

"Saya terkejut dengan tawaran Astro kerana saya orang baru dalam industri.
Bagaimanapun, saya tidak terus memberikan persetujuan kerana pada masa sama, pengarah Amy Maziah mahu saya berlakon dalam drama arahannya. Kedua-dua rezeki itu datang serentak sehingga membuatkan saya sukar membuat pilihan.

"Dapat berlakon dalam episod memberi pendedahan yang besar dalam kerjaya seni saya yang baru bermula selepas tamat pengajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) kerana penonton dapat melihat lakonan saya setiap minggu. Ini boleh memberi impak baik kepada saya yang baru memulakan langkah ini.

"Tetapi Fear Factor pengalaman baru yang tidak boleh dilepaskan, apatah lagi program itu sangat popular di seluruh dunia. Kalau program itu dibuat di Malaysia, boleh saya menerima kedua-dua tawaran itu. Selepas ditimbang tara, saya memilih Fear Factor dan terpaksa 'mengorbankan' tawaran berlakon drama.

"Saya dan rakan artis serta selebriti lain akan bertolak ke Cape Town pada 20 Oktober ini dan tempoh berapa lama berada di sana bergantung kepada penyingkiran. Saya dan rakan sepasukan, Alam Wakaka akan bertahan selagi terdaya," katanya.

Seramai 30 artis dan selebriti akan beradu fizikal dan mental di Cape Town termasuk Didie Alias, Zoey, Dafi, Jehan Miskin, Kaka, Elfira Loy, Hairul Azreen, Farish Aziz, Gambit Saifullah, Ezlynn, Mejar Dr Faiz, Zawen Anwar, Hafizul (On Air), Roslan Shah, Azam Pitt, Norisham Ismail dan Johan As'ari.

Mereka dibahagikan kepada 13 kumpulan untuk mengisi 13 episod program yang bersiaran di Astro Ria.

Jelas Arja atau nama sebenarnya, Azharudin Ramli, benda jijik dan aktiviti yang menyalahi budaya negara ini tidak akan ditonjolkan dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia.

"Astro tidak akan mengikut format program itu yang mendedahkan peserta dengan perkara tidak senonoh. Jika melihat format program asal, peserta akan diuji dengan memakan benda yang menjijikkan, tetapi ia tidak akan berlaku dalam program ini.

"Ia dihasilkan mengikut kesesuaian budaya negara kita. Namun ujian yang membabitkan rasa ketakutan, ketinggian dan psikologi mental masih lagi digunakan kerana itu adalah sebahagian 'fear factor' dalam program ini.

"Kami semua diberi latihan selama lima hari dalam Boot Camp di Batu Caves, Selangor. Kami dikerah dengan pelbagai latihan lasak seperti menyertai latihan askar. Aktiviti lain termasuk 'rock climbing' dan menyelam. Saya dan Alam juga mendapatkan khidmat jurulatih peribadi bagi memastikan yang kami benar-benar bersedia dalam persaingan di Afrika Selatan nanti.

"Bukan saja persiapan fizikal, tetapi juga mental kerana kami tak tahu apa cabaran yang menanti di sana. Saya berharap pembabitan saya dalam Fear Factor Selebriti Malaysia ini boleh menambah 'mileage' saya dalam bidang seni dan penonton akan ingat kemunculan saya dalam program itu. Adakala saya bimbang mengenangkan tawaran berlakon yang sekejap ada dan sekejap tiada, namun saya yakin sebagai orang baru saya perlu berhadapan dengan dugaan itu.

"Dalam pementasan teater, saya sudah membawakan pelbagai watak dan dalam drama pula nampaknya pengarah suka memberikan saya watak antagonis. Hanya satu saja peranan yang belum diterima iaitu sebagai hero dalam drama. Itulah impian saya dan saya berharap 'waktu' itu akan datang," katanya.

Sementara itu, drama lakonan terbarunya, Saiful Nita, sedang ditayangkan di slot Samarinda TV3, setiap Selasa dan Rabu pada jam 10.30 malam dan Khamis, jam 9.30 malam. Drama itu diterbitkan sebanyak 25 episod yang turut dilakonkan Aidil Aziz, Linda Hashim, Arash Mohd, Maria Faridah, Datuk Jalaludin Hassan, Hamidah Wahab, Fauzi Nawawi dan Syura.

Cerita Arja, ketika tawaran berlakon dalam Saiful Nita datang kepadanya, wataknya hanya muncul dalam dua babak saja kerana Amy Maziah yang mengarahkan drama itu belum mengenali kemampuannya.

"Selepas melihat saya beraksi, barulah Amy menyedari bakat saya dan terus watak itu dikembangkan lagi yang akhirnya saya muncul dalam semua episod drama itu.
Saya berlakon sebagai lelaki yang baru keluar dari penjara dan kerjanya mengeksploitasi wanita sehinggalah dia cuba mempergunakan Nita (Kilafairy).

"Saya suka dan puas melakonkan watak itu, tetapi saya masih berharap diberi peluang sebagai teraju utama dalam drama," katanya.

Pada pertemuan itu, Arja tidak lupa untuk berkongsi kejayaan dan kegembiraannya dengan peminat yang dia baru saja menerima Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (Kepujian) dalam kursus lakonan dan pengarahan pada majlis konvokesyen USM, 21 September lalu.

Selama tiga tahun mengorbankan minatnya terhadap seni lakon demi mencari seberapa banyak ilmu sebagai persediaannya menjadi anak seni yang mempunyai ilmu pengetahuan.

"Ketika belajar, banyak tawaran yang datang, tetapi saya tak boleh terima. Saya hanya sempat berlakon dalam filem ...Dalam Botol kerana tawaran daripada produser filem itu, Raja Azmi memang tidak boleh saya tolak. Membawa watak mak nyah, cabaran yang perlu saya sahut.

"Saya tak terdaya berulang-alik setiap minggu antara Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Apapun yang terjadi, saya mesti tamatkan pengajian kerana saya yakin kalau saya bekerja keras, pasti peluang untuk membina nama dalam industri akan datang juga.

"Bekas dekan menawarkan saya menyambung pengajian pada peringkat sarjana, tetapi saya mahu cari duit dulu untuk membantu keluarga. Insya-Allah, andai ekonomi sudah stabil, saya akan belajar semula. Turut menerima ijazah pada hari itu, komposer Azmeer dan kami cukup terharu kerana USM sangat menghargai kejayaan kami berdua sehingga mereka mengadakan sidang akhbar khas dengan media.

"Mereka mahu kami menjadi contoh kepada artis lain dan remaja kerana menuntut ilmu itu bukan milik orang tertentu saja. Siapapun boleh berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


30 Cent lebih segar

Posted: 07 Oct 2012 06:38 AM PDT

JIKA dulu kumpulan menggelar diri mereka 30 Cent ini menampilkan wanita sebagai penyanyi utama dan pemilihan nama itu sempena usia masing-masing yang berada dalam lingkungan 30-an.

Setahun kemudian kumpulan yang masih aktif menyanyi pada majlis membabitkan Kumpulan Telekom Malaysia (TM) ini menukar haluan dengan menambah dua anggota baru lebih muda dan segar selepas penyanyi wanitanya mengundurkan diri.

Kini, 30 Cent dianggotai lima anak muda iaitu Hilmi Sulaiman, 32, (Helmy/gitar), Azfa Samsudin, 30, (Affa/dram), Mohammad Farid Hamdan, 37, (Farid/bass), Mohd Arif, 20 (Mat Yep/vokal) dan Muhammad Fakhrul Mohammad Farid, 14 (Aiman/keyboard).

Kembali dengan single terbaru berjudul Sudah-Sudahlah ciptaan sepenuh–nya Farid yang juga ketua kumpulan ini, 30 Cent yang ditubuhkan sejak awal 2010 ini tidak akan berhenti berkarya selagi masih diterima peminat.


Pernah hadir dengan album penuh berjudul Serasi Bersama yang memuatkan tujuh lagu baru dan satu lagu lama berjudul 30 Cent, kemunculan dua ahli baru diharap dapat menampilkan pembaharuan lebih segar dan bertenaga.


"Kami memang kurang mendapat publisiti mungkin disebabkan saya, Affa dan Helmy bekerja sepenuh masa di TM menyebabkan waktu menyanyi hanya dapat dilakukan pada hujung minggu.

"Namun tidak dinafikan selepas menjadi juara pada pertandingan TM Got Talent tahun 2010, kami sering dijemput mengadakan persembahan pentas bagi aktiviti membabitkan TM di seluruh negara.

"Sambutan begitu menggalakkan malah ramai peminat sudah mengenali kumpulan kami, cuma publisiti di dada akhbar kurang menyebabkan mereka yang kurang mendengar radio tidak kenal siapa kami," kata Farid.

Kumpulan yang pernah popular dengan lagu Tunggang Jangan Tunggang Langgang duet bersama Black Mentor ini juga berharap dengan kemunculan Mat Yep sebagai vokalis baru dapat menarik peminat remaja untuk mengenali lebih dekat lagi kumpulan 30 Cent di samping lagu-lagu yang dibawakan.

"Jika diikutkan pada asal pemilihan lagu 30 Cent adalah sempena usia masing-masing yang menginjak 30-an, namun selepas memikirkan semula kami mahukan peminat daripada semua golongan, saya sepakat dengan yang lain
mengadakan pencarian vokalis dan akhirnya Mat Yep dipilih selepas melihat vokalnya yang mantap dan jarang-jarang dimiliki remaja lain.

"Mat Yep mempunyai latar belakang yang aktif dengan bidang nyanyian sejak berada di bangku sekolah lagi. Dia juga sempat menyertai program Mentor musim ke-5 di bawah Afdlin Shauki namun rezeki tidak berpihak padanya.

"Namun saya yakin bakat serta rupa yang dimiliki Mat Yep mampu menarik golo–ngan muda untuk sama-sama menghayati genre muzik Moden Pop Rock yang kami bawakan," kata Farid lagi.

30 Cent yang bernaung di bawah syarikat FMC Music Sdn Bhd turut menjalinkan kolaborasi bersama TM dan secara tidak langsung mereka akan terbabit menjayakan persembahan bagi setiap aktiviti yang sering diadakan syarikat korporat berkenaan di seluruh negara.

"Kami rasa beruntung, selain menjadi kakitangan TM, kolaborasi yang dilakukan juga memberi peluang untuk kami mengadakan persembahan pada setiap karnival anjuran mereka.

"Ia satu platform untuk kami memperkenalkan diri dan lagu yang dibawa di samping dapat mendekatkan 30 Cent dengan peminat," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM mula bertegas

Posted: 07 Oct 2012 09:24 AM PDT

SEBANYAK 10 pasukan dan kelab yang mempunyai tunggakan berjumlah RM2.1 juta kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Perkeso dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berdepan tindakan pemotongan sebarang peruntukan yang disalurkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ia diluluskan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM yang dipengerusikan presidennya, Sultan Ahmad Shah yang jelas terkilan kerana ia membabitkan kebajikan pemain yang boleh mengundang rasa tidak puas hari sehingga mencetuskan gejala yang tidak sihat.


Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata mulai sekarang sebarang peruntukan kewangan yang diberikan badan induk bola sepak negara seperti insentif, wang kemenangan, geran tahunan, kutipan wang tiket perlawanan dan sebagainya akan digunakan untuk membayar terus kepada badan-badan yang berwajib seperti KWSP.

"Kami bukan membuat langkah ini untuk menghukum namun lebih kepada menjadi imej FAM dan persatuan negeri serta kelab namun terlebih dulu surat amaran dan peringatan akan diberikan kepada mereka yang terbabit," katanya yang turut menjelaskan jumlah tunggakan pada tiga tahun lalu adalah RM11.2 juta.


FAM turut membuat pusingan 'U' apabila menetapkan jumlah pasukan bersaing Piala Malaysia 2013 hingga 2016 turut dikekalkan kepada 16 pasukan walaupun sebelum ini mengumumkan ia membuka kepada semua 24 pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Perdana.


Hamidin turut mengulangi amaran kepada mana-mana pasukan yang masih mempunyai masalah tunggakan gaji tidak akan dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan seandainya gagal menyelesaikannya menjelang 23 November yang menjadi tarikh akhir pendaftaran pasukan.

Difahamkan terdapat dua atau tiga kes masih belum diselesaikan sehingga kini dengan lima kes sudah berjaya diselesaikan.


Pemain import yang menghiasi kancah bola sepak tempatan musim ini turut berpeluang terus beraksi di negara ini apabila FAM memutuskan untuk menghapuskan 'cooling period' namun kuota awang import masih dikekalkan kepada dua pemain serta empat pemain untuk pasukan yang beraksi di Piala AFC.

"Mereka perlu mematuhi segala syarat ditetapkan seperti pemain yang berasal dari benua Asia dan Oceania mestilah beraksi di liga utama negara terbabit," katanya.


Antara keputusan lain yang diambil ialah penolong jurulatih mesti mempunyai lesen A, lampu stadium yang perlu mencapai 1000 lux bermula musim depan, saingan musim 2014 akan berlangsung dalam bulan puasa selain saingan Piala Pestabola Merdeka akan berlangsung pada 19 hingga 31 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Ogheneme kunci kejayaan HELP

Posted: 07 Oct 2012 09:11 AM PDT

PENGALAMAN selaku pemain skuad remaja kebangsaan Nigeria digunakan sebaik mungkin oleh Michael Ogheneme bagi membantu pasukan Universiti HELP muncul juara Karnival Bola Keranjang 3 on 3 merebut Piala Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang melabuhkan tirainya di Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.

Ogheneme, 27, yang juga kapten pasukan berkata formula kejayaan mereka adalah semangat berpasukan tinggi yang dipamerkan setiap pemain.


"Bola keranjang adalah sukan yang memerlukan semangat berpasukan. Saya yakin itulah yang membantu kami muncul juara. Kami sentiasa mengutamakan semangat berpasukan dan saling membentuk persefahaman utuh di kalangan ahli pasukan.

"Semangat sebegini adalah elemen paling penting dalam sukan bola keranjang," katanya.


Ogheneme yang mula bermain bola keranjang sejak berusia 16 tahun berkata, mereka menjalani latihan intensif sejak beberapa bulan lalu sebaik mengesahkan penyertaan ke kejohanan itu.


"Kami menjalani sejak berbulan lalu tetapi mula serius dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum kejohanan dan hasilnya boleh dilihat hari ini," katanya selepas menewaskan Universiti Taylor pada perlawanan akhir 12-7.

Tempat ketiga dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM) yang menundukkan Universiti Malaya (UM).


Bagi kategori wanita IPT, juara dimenangi Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas menundukkan Universiti HELP manakala Universiti Taylor memenangi tempat ketiga selepas mengalahkan Kolej Tuanku Abdul Rahman.

Juara bagi kategori IPT membawa pulang wang tunai RM2,500, piala iringan dan medal manakala naib juara RM1,500, piala iringan dan medal. Tempat ketiga RM1,000, piala iringan dan medal.


Kategori sekolah menengah lelaki dikuasai SMK Tanah Putih A selepas menewaskan SMK Tanah Putih B, manakala SMK Air Putih menduduki tangga ketiga diikuti SMK Kuala Krau.


Juara kategori perempuan pula diungguli SMK Air Putih, naib juara SMK Semambu, diikuti Kolej Tunku Khursiah, ketiga dan SM Sains Pasir Putihm keempat.


Juara bagi kategori sekolah menengah membawa pulang wang tunai RM1,500, piala iringan dan medal manakala naib juara RM1,000 dan tempat ketiga RM750.


Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor berkata, pihaknya gembira dengan penyertaan semua IPT dan sekolah menengah pada kejohanan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Sophie wanita RoboCop

Posted: 07 Oct 2012 09:40 AM PDT

LONDON: Sophie Morgan boleh dianggap seorang RoboCop apabila separuh daripada tubuhnya berfungsi dengan bantuan peralatan canggih bernilai 90,000 (RM443,747).

Bagi sesiapa yang melihat Sophie, pasti akan berasa kagum.


Dari pinggang ke bawah, setiap tubuhnya disokong alat bermotor diperbuat daripada gentian karbon. Sophie, 27, mengawal pergerakan mesin itu menggunakan alat pada tangannya bagi membolehkan kakinya berjalan. Pada tiga langkah terawal, Sophie kelihatan menahan sakit tetapi dia tersenyum lebar beberapa detik kemudian. Hanya lima minit sebelum itu, dia hanya mampu duduk di kerusi roda apabila pergerakannya jadi sangat terbatas akibat lumpuh dari paras dada ke bawah.

Sophie ditimpa bencana sembilan tahun lalu apabila kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan dan insiden itu merosakkan tulang belakangnya.


Selepas beberapa tahun, dia menerima kenyataan tidak akan berjalan lagi seperti sebelum ini. Namun, media semalam melaporkan, Sophie adalah antara manusia pertama mendapat faedah daripada alat dikenali sebagai Rex itu.


Rex adalah kemajuan perubatan besar pertama dicapai untuk membantu orang lumpuh sejak beberapa dekad lalu. Ia membantu pesakit termasuk yang lumpuh dari paras leher ke bawah - untuk kembali berjalan.

Dalam perkataan lain, Rex akan menamatkan penggantungan pesakit lumpuh kepada kerusi roda. Sophie - kini bertugas sebagai penyampai televisyen - mencuba Rex kali pertama pada Mei lalu.


Katanya, ia adalah pengalaman yang sukar diceritakan.

"Dengan ketinggian 1.5 meter, lantai kelihatan begitu jauh apabila memakai Rex.


"Saya berasa selamat tetapi emosi bercampur-baur dan selepas beberapa minit saya tidak percaya boleh berjalan," katanya. Pengalaman itu menyebabkan dia terus mahu mencuba Rex secara berterusan. Teman lelaki Sophie, Tom, 28, berkata sejak berkenalan lima tahun lalu, Rex membolehkan dia melihat kekasihnya berdiri untuk kali pertama. Ketika ini ada hanya 10 unit Rex dicipta dan 30 orang pernah mencubanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Aktivis desak Arab Saudi bebas Raef Badawi

Posted: 07 Oct 2012 09:35 AM PDT

KUWAIT CITY: Sebuah pertubuhan sivil Teluk semalam menggesa Arab Saudi membebaskan seorang aktivis yang ditangkap empat bulan lalu kerana membuka laman sesawang berfahaman liberal.

Setiausaha Agung Forum Teluk Untuk Persatuan Sivil, Anwar al-Rasheed, berkata Raef Badawi perlu dibebaskan kerana semua tuduhan yang dikaitkan dengannya tidak berasas. Kata Anwar, Raef dipenjara sejak Jun lalu dibicarakan di Jeddah kelmarin.


"Satu daripada tuduhannya digugurkan dan perbicaraan disambung sebulan lagi," katanya. Raef, 35, dituduh "menderhaka kepada ibu bapa" dan membuka laman sesawang liberal di Internet.

Tuduhan derhaka itu digugurkan kelmarin. Anwar menggesa badan hak asasi manusia Arab dan antarabangsa mendesak Riyadh membebaskan Raef dan membolehkan dia kembali kepada isteri dan dua anaknya. "Kami juga mendesak supaya kerajaan membayar pampasan kepada Raef kerana menahannya secara haram selama beberapa bulan," katanya. Raef mengasaskan laman sesawang itu bersama pejuang hak asasi wanita Suad al-Shammari serta aktivis lain. Laman sesawang itu mengisytiharkan 7 Mei sebagai "Hari Liberisme" di Arab Saudi serta menggesa campur tangan pihak berkuasa terhadap agama dalam kehidupan seharian dihentikan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/08


Kredit: www.hmetro.com.my

Ahad, 7 Oktober 2012

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Posted:

[unable to retrieve full-text content]
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


GRO meringkuk dalam kabinet

Posted: 06 Oct 2012 09:36 AM PDT

SERI KEMBANGAN: Seorang pelayan pelanggan (GRO) sebuah pusat karaoke di Taman Pinggiran Putra, di sini, cuba bersembunyi dalam kabinet sebelum ditemui dalam keadaan meringkuk ketika pusat hiburan itu diserbu Unit Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) Bukit Aman, malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10.55 malam, 23 wanita warga Thailand, China dan Vietnam berusia 19 hingga 30 tahun ditahan selepas didapati menyalahguna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat karaoke yang beroperasi sejak Januari tahun ini.

Ketua Unit ATIP Bukit Aman, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi berkata, wanita terbabit yang bertubuh kecil cuba mengambil kesempatan menyorok dalam kabinet menempatkan pemain set karaoke ketika anggota unit berkenaan sibuk memeriksa premis itu.

Menurutnya, pusat karaoke itu didapati berselindung atas nama hiburan keluarga tetapi disyaki turut menawarkan khidmat seks pada kadar RM160.


"Serbuan dilakukan hasil maklumat awam yang mendakwa wujud aktiviti eksploitasi seks membabitkan wanita warga asing.


"Malah, ketika serbuan, dua pelanggan lelaki tempatan sedang melakukan hubungan seks di bilik yang disediakan khas di premis lain, 50 meter dari pusat karaoke," katanya.

Nor Omar berkata, pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat seks akan membuat rundingan di kaunter bagi memilih wanita diingini sebelum dibawa ke premis lain yang menempatkan enam ranjang dan dijaga seorang pekerja.

"Pekerja terbabit akan memberi kunci bilik ranjang itu kepada pelanggan terbabit apabila dimaklumkan pihak kaunter selepas bayaran dibuat.

"Pelanggan karaoke juga disediakan khidmat GRO warga asing yang akan melayan mereka mulai jam 8 malam hingga 4 pagi untuk setiap bilik mengikut pakej tertentu pada harga antara RM500 hingga RM1,000," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pusat karaoke terbabit turut beroperasi tanpa lesen dan pernah dua kali diserbu sebelum ini, tetapi pengusahanya masih tidak serik apabila meneruskan aktiviti persundalan di sebalik pusat hiburan.

"Oleh itu, kami turut menahan 14 pelanggan dan lima pekerja untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Dua GRO yang ditahan ketika melakukan seks dengan pelanggan pula akan didakwa mengikut Seksyen 12, Akta ATIP 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Krisis keluarga punca gadis 12 tahun liar

Posted: 06 Oct 2012 09:23 AM PDT

KUALA LUMPUR: Akibat tabiat si bapa yang gemar memukul ibunya, anak perempuan pasangan berkenaan berusia 12 tahun menunggang motosikal tanpa lesen sejauh 40 kilometer (km) untuk mencari hiburan sebelum dicekup dalam Ops Samseng Jalan Raya di sekitar ibu kota, semalam.

Kanak-kanak bawah umur itu juga berhenti sekolah sejak sebulan lalu kerana mendakwa tidak mampu fokus pada pelajarannya akibat krisis keluarganya.


Ketua Unit Kuat Kuasa Khas Trafik Kuala Lumpur (U3K), Asisten Superintendan Azmi Wahid berkata, kanak-kanak itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bersama seorang rakannya berumur 16 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua remaja berasal dari Kajang itu tidak memiliki lesen memandu dan tidak membawa kad pengenalan.


"Siasatan lanjut mendapati mereka keluar dari rumah pada awal pagi menaiki sebuah motosikal milik ahli keluarga dan menuju ke Kuala Lumpur untuk mencari hiburan.


"Mereka mengaku mencari ketenangan dan mengalami tekanan akibat tabiat bapa yang suka memukul ibu di depan anak-anak," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Katanya, kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur sebelum ibu bapa masing-masing diminta hadir untuk diberi amaran.


Azmi berkata, turut ditahan seorang lelaki berumur 24 tahun yang bekerja sebagai pekerja landskap atas kesalahan menunggang motosikal dalam keadaan mabuk.

"Sebanyak 92 saman dikeluarkan selepas memeriksa 230 kenderaan dalam operasi yang dijalankan dari 12 tengah malam hingga 3 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Maut diseksa ala ‘Resident Evil’

Posted: 06 Oct 2012 08:55 AM PDT

LONDON: Tiga individu yang menjadikan seorang lelaki sebagai bahan penyeksaan tanpa peri kemanusiaan sebagaimana siri permainan video Resident Evil hingga mangsa menemui ajal, dipenjarakan seumur hidup.

Derek Blake, 44, ditemui mati dalam tab mandi dipenuhi air di flet kediamannya di Great Yarmouth, Norfolk, pada 24 Mei lalu.


Ahli patalogi dalam sidang di Mahkamah Agung Norwich memberitahu, mangsa mengalami 104 kecederaan dan menjadi bahan penyeksaan menggunakan pisau dapur dan tukul besi.

Seorang daripada pembunuhnya kemudian membandingkan serangan itu seperti siri permainan video, Resident Evil yang turut mememberi inspirasi kepada lima filem ngeri.


Serangan dilakukan terhadap mangsa termasuk, disiram air panas, dikelar dan dibakar seluruh tubuh serta diseksa dengan kayu snuker.


Huruf J turut diukir di sisi muka mangsa.

Ricky Roys, 20, Andrew Brown, 42, and Helen Cooke, 19, dari St Nicholas, Great Yarmouth mengaku bersalah melakukan pembunuhan itu.


Hakim Peter Jacobs menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada ketiga-tiga tertuduh.

"Pembunuhan ini membabitkan tindakan tanpa peri kemanusiaan. Kesan kecederaan ke atas mangsa emmbuktikan kamu memang bertujuan mahu membunuhnya," katanya.


Pendakwa raya Graham Parkins mendakwa Blake masih hidup ketika dicampak ke dalam tab mandi walaupun mengalami pelbagai kecederaan.


"Blake adalah mangsa penyeksaan dalam tempoh yang panjang.


Keputusan bedah siasat menunjukkan dia menjadi bahan kekejaman sadis," katanya.


Blake berkenalan dengan ketiga-tiga pembunuh itu di sebuah asrama di Norwich dan mereka menjadi teman minum arak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Korea Selatan, AS sepakat

Posted: 06 Oct 2012 08:48 AM PDT

SEOUL: Korea Selatan bercadang mengumumkan perjanjian baru dengan Amerika Syarikat bertujuan meningkatkan jarak peluru berpandu balistiknya agar meliputi seluruh Korea Utara, kata laporan semalam.

Agensi berita Yonhap memetika kenyataan pegawai tinggi kerajaan sebagai berkata, dua sekutu itu sepakat dalam perjanjian berkenaan.


"Kami berhasrat membuat pengumuman seawal pagi esok (hari ini) atau minggu depan," kata kenyataan pegawai itu.

Pegawai itu juga enggan memberi ulasan lanjut, tetapi satu sumber diplomatik memberitahu Yonhap, persetujuan itu mencapai jarak lebih dua kali ganda peluru berpandu Korea Selatan kepada 800 kilometer berbanding had sedai ada iaitu 300 kilometer. Ia bermakna jaraknya meliputi seluruh Korea Utara, tetapi kapasiti maksimum muatan peluru berpandu itu kekal 500 kilogram. Perjanjian sedia ada dengan Washington yang membolehkan Seoul memperoleh akses terhad terahdap teknologi peluru berpandu AS akan berakhir pada hujung tahun ini. Seluruh Korea Selatan berada dalam jarak peluru berpandu Korea Utara dan Presiden Lee Myung-Bak pada Mac lalu berkata, Seoul memerlukan "perubahan realistik" dalam peluru berpandunya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Hanya jadi pemuas nafsu

Posted: 06 Oct 2012 09:47 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dia hanya gadis naif berasal dari sebuah kampung di utara Semenanjung. Tanpa kelulusan tinggi, Nadia yang ketika itu berusia 21 tahun berhijrah ke ibu kota untuk mencuba nasib sebagai pekerja kilang.

Bagaimanapun, tidak sampai dua bulan di Kuala Lumpur, perkenalannya dengan ahli perniagaan, Zahrain, 53, mengubah kehidupannya untuk bakal bergelar 'penghuni neraka'.

Diberi duit poket RM5,000 sebulan seperti gaji eksekutif muda dan disediakan rumah serta kereta, Nadia nekad berhenti kerja 12 tahun lalu, semata-mata inginkan kemewahan dan keselesaan hidup selepas lelaki itu berjanji menjadikannya isteri kedua.

Namun janji tinggal janji. Impiannya untuk menjadi suri hidup lelaki kaya itu belum kesampaian, sebaliknya dia hanya dijadikan pemuas nafsu sejak 12 tahun lalu.


Setiap kali diajukan soalan berkaitan perkahwinan, pelbagai alasan diberikan Zahrain seperti belum bersedia dan minta bersabar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/06


‘Ia satu kesilapan jujur’

Posted: 06 Oct 2012 09:46 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Shazrina Azman, 30, atau Mizz Nina memohon maaf berhubung kesilapan membabitkan ucapan penghargaan dalam album terbarunya, Take Over, yang dipasarkan Mei lalu.

Kesilapan sewaktu merakam rasa syukur terhadap kelahiran album terbabit dan disiarkan dalam kulit album Take Over mencetuskan kontroversi apabila perkataan yang sepatutnya ditulis Allah SWT dicatat sebagai Allah SAW.


Kesilapan itu berlaku dalam ayat 'I would like to say thank you to Allah SAW (saya ingin mengucapkan syukur kepada Allah SAW).

Walaupun album itu sudah lama dipasarkan, kesilapan dilakukan pihak pengurusan Mizz Nina dibangkitkan apabila ia dicalonkan dalam Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19) bagi kategori Cover Album Terbaik.


Akibat kesilapan itu, Mizz Nina menerima kecaman daripada peminat berita hiburan tempatan, seterusnya mempertikaikan pencalonan album berkenaan.


Ketika dihubungi, Mizz Nina enggan mengulas panjang mengenai perkara terbabit, tetapi dengan rendah hati mengakui ia 'satu kesilapan jujur'.

"Saya memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dan akan memastikan kesilapan sama tidak berulang lagi," katanya yang kini tampil dengan single terbaru, Summer Burning.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran AIM19, Rosmin Hashim menjelaskan, pihaknya tidak menyedari isu dibangkitkan ketika pencalonan album berkenaan.

"Setahu saya, sewaktu proses penjurian, tiada juri membangkitkan isu berkenaan dan pada kami, ini kali pertama pihak AIM mendengar mengenai kesilapan yang berlaku," katanya.


Begitupun, kata Rosmin, sepanjang pengadilan dibuat membabitkan kategori Cover Album Terbaik AIM19, pihak juri melihat daripada sudut teknikal, termasuk reka letak dan foto dihasilkan penyanyi dalam album dipertandingkan.


"Ia satu kategori di mana penilaian dibuat secara teknikal dan juri tidak melihat perkataan yang tertera pada kulit album, termasuk lirik mahupun kata-kata penghargaan.


"Disebabkan itu, kesilapan dilakukan Mizz Nina sehingga dijadikan isu tidak disedari mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved