KALAU sebelum ini filem aksi seperti KL Gangster, Jiwa Taiko, Kongsi dan Pe3 mengisi pawagam, akan muncul pula kisah mengenai budak-budak nakal menerusi Budak Pailang.
Budak Pailang atau dalam bahasa Hokkien bermaksud budak nakal dilakonkan barisan pelakon muda seperti Aeril Zafrel, Niezam Zaidi dan Wawa Zainal. Ia arahan Hashim Rejab yang sebelum ini pernah mengarah filem Halim Munan dan Sekali Lagi.
Bagi Aeril, filem yang akan memulakan tayangan pada 1 November ini menonjolkan sisi berbeza kerana sebelum ini dia lebih lebih sinonim dengan watak romantik.
Kali ini, Aeril bawa watak Badrul (Bad) yang juga seorang budak samseng lepasan sekolah.
Secara peribadi, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Suhari, 24, akui tertarik dengan watak Badrul kerana ia ada kelainan daripada yang pernah dilakonkan sebelum ini.
"Badrul berasal daripada keluarga miskin. Akibat tidak tahan hidup dalam kemiskinan, dia mula membabitkan diri dalam dunia kongsi gelap. Kehidupannya berubah menjadi mewah kerana kerja haram sehinggalah Badrul ditangkap dan dimasukkan ke sekolah Juvana sekali gus insaf atas perbuatannya itu.
"Apa yang mencabar, 60 peratus daripada filem ini membabitkan aksi pergaduhan yang memerlukan kekuatan dari segi fizikal. Saya tidak ada masalah menjayakan babak pergaduhan kerana kebanyakan lelaki memang ada asas 'street fighting'.
"Selain itu, saya juga ada belajar seni mempertahankan diri Muay Thai tidak lama dulu serta bimbingan daripada pengarah aksi di lokasi penggambaran," katanya. Ditanya gandingannya dengan Wawa, kata Aeril dia tiada masalah mendapatkan keserasian.
"Kami pernah digandingkan dalam drama Klik untuk saluran Astro Ceria sebelum ini. Penonton juga akan dapat melihat Wawa bawa watak antagonis yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini. Ia menampilkan sesuatu yang baru dalam lakonannya," katanya.
Mengenai kerjasamanya dengan Hashim pula, kata Aeril, dia pernah bekerja dengan pengarah itu dalam drama Klik 1 dan Klik 2.
"Saya tidak ada masalah bekerja dengan Hashim kerana sudah tahu cara dan rentak dia bekerja. Satu kelebihan Hashim ialah dia sentiasa memberi semangat kepada pelakon untuk melakonkan babak diserahkan dengan baik.
"Bagi saya, tekanan yang diberikan pengarah pada seseorang pelakon itu akan membuatkan pelakon itu lebih bersedia. Sedikit sebanyak, memang kita berasa tertekan untuk melakonkan babak seperti dikehendaki pengarah itu tetapi kita akan berasa puas apabila melihat hasilnya," katanya.
Sementara itu Aeril akui jiwanya lebih tenang dan damai sejak mendalami ilmu agama dan perubatan alternatif Islam, hampir setahun lalu. Sudah lapan bulan, aktor muda meningkat naik, Aeril Zafrel ini menyepi dan tidak berlakon drama atau filem sedangkan namanya di puncak populariti ketika ini.
Terus terang, anak kelahiran Rengit, Batu Pahat, Johor ini belum terfikir untuk bersara daripada bidang lakonan mahupun membataskan watak pada filem bercorak Islamik semata-mata seperti tanggapan masyarakat.
"Cuma buat masa ini, saya belum bersedia untuk berlakon dalam mana-mana projek drama atau filem baru dalam tempoh terdekat ini kerana ingin memberi fokus kepada ilmu agama dan perubatan Islam yang baru dipelajari ini.
"Saya berminat menceburi perubatan Islam ini pun selepas terkena penyakit misteri, sebelum ini. Alhamdulillah, penyakit misteri itu sudah pun pulih. Pada masa sama, saya putuskan untuk berehat seketika dari bidang seni bagi mengkaji kelemahan dalam aspek lakonan kerana saya sangat pentingkan kualiti dihasilkan," katanya.
Bagaimanapun, pelakon yang dikenali dalam filem seperti Tujuh Petala Cinta, Cinta Kura-Kura, HACKS (Hanya Aku Cinta kau Seorang) dan Aku Tak Bodoh ini sempat beraksi dalam filem genre aksi, Budak Pailang (budak nakal) terbitan Metrowealth (MIG) yang menjalani penggambaran pada tahun lalu. Selain Budak Pailang, dia turut berlakon dalam filem 99 Kali Rindu.
Berbanding Aeril, pendatang baru di persada hiburan tanah air, Niezam Zaidi pula bermula dari bawah sebelum diberi kepercayaan bawa watak pembantu dalam drama dan filem.
Pemilik nama sebenar Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 20, dari Ipoh, Perak ini pernah berlakon dalam filem 99 Kali Rindu, Pada Suatu Cinta Dahulu, Khalimah dan Adnan Sempit 3. Manakala, drama lakonannya pula ialah Takdir Qismah, Bini-Bini Perkasa dan Diari Platun dan telefilem Cikgu Kamala.
Pemegang sijil Bengkel Lakonan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (2011) ini juga julung kalinya di beri kepercayaan memegang watak penting iaitu sebagai budak jahat bernama Rodi dalam filem Budak Pailang.
"Jiwa saya memang pada watak antagonis dan watak budak jahat seperti Rudy memang sesuai dengan diri saya. Sebelum penggambaran, kami perlu menghadiri kelas lakonan selama empat hari untuk menjiwai karakter diserahkan.
"Apapun, saya tidak serik atau takut walaupun badan saya lebam-lebam kerana disepak terajang serta mengalami kecederaan di bawah mata ketika menjiwai aksi pergaduhan dalam cerita ini. Bayangkan, saya juga pengsan sekejap ketika ada benda tiba-tiba terjatuh atas kepala. Mujur, kecederaan tidak serius," katanya.
Sebagai orang baru, Niezam mengakui perlu menyesuaikan diri dengan pengarah dan barisan pelakon dalam filem itu.
"Setakat ini, semua berjalan lancar. Pada pandangan saya, Hashim seorang pengarah yang tegas dan sebagai pelakon, saya perlu berasa hormat padanya.
"Pelakon yang sudah ada nama seperti Ariel dan Wawa juga memberikan kerjasama yang baik pada saya ketika di lokasi," katanya.
Filem yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 1 November ini turut dibantu barisan pelakon lain seperti Zul Handy Black, Zalif Sidek, Epy Raja Lawak, Man Rahman, Arien Yunus dan ramai lagi.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/30