SUDAH lama dia mengimpikan saat ini. Saat di mana, dia sendiri dapat menyarungkan sari mahupun kurta buat si kecil pada hari pertama perayaan Diwali (Pesta Cahaya). Dulu dia hanya bisa memerhati di samping tumpang gembira melihat keseronokan perayaan itu diraikan teman-temannya, berstatus ibu dan ayah.
Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya juga aktor terkenal Bollywood, dilahirkan daripada kalangan keluarga paling berpengaruh di India iaitu Abhishek Bachchan, impian Aishwarya Rai atau mesra disapa, Aish, untuk bergelar ibu tercapai.
Tanggal 16 November 2011, adalah detik paling manis dalam kalendar hidup wanita yang pernah terkenal dengan gelaran wanita tercantik di dunia itu apabila selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang dinamakan sebagai Aaradhya Bachchan.
Apa yang menarik, nama bayi itu hanya diberikan selepas empat bulan kelahirannya. Ini kerana menurut kepercayaan penganut agama Hindu, nama yang baik diberikan kepada anak mampu menentukan tuah bayi itu di masa hadapan.
Secantik nama Aaradhya, begitulah wajah puteri sulung Aish diibaratkan.
Sehinggakan, bayi itu dilaporkan kanak-kanak paling popular di India ketika ini.
Diwali pertama dengan Aaradhya, nyata ia saat begitu dinantikan Aish dan suami bahkan keluarganya juga Bachchan (mentua).
"Kegembiraan saya tidak mampu dibayangkan dengan kata-kata kerana sebelum kelahiran Aaradhya, sudah empat tahun saya dan Abhishek meraikan Diwali berdua saja.
"Keistimewaan tetap saya rasakan apabila menyambutnya dengan suami tercinta, namun apabila mempunyai anak perasaan itu lebih istimewa dan berbeza. Diwali kali ini bukan saja istimewa buat saya dan suami, tetapi juga keluarga saya dan mentua.
"Walaupun Aaradhya bukanlah cucu sulung dalam keluarga Bachchan misalnya, dia adalah cucu pertama perempuan manakala dua cucu lagi sebelum ini adalah lelaki.
Kehadiran Aaradhya ternyata menambahkan lagi seri dalam perayaan Diwali kali ini.
"Kadangkala saya seperti mahu ketawa melihat Abhishek dan mentua saya, Amitabh Bachchan, yang lebih 'excited' berbanding saya sendiri dalam menyediakan kelengkapan Diwali untuk Aaradhya," katanya gembira melalui pengalaman sebagai ibu.
Aish juga berasa gembira kerana mentuanya itu cukup mengambil berat mengenai Aaradhya dan ia dinyatakan Amitabh secara terbuka kepada umum.
Sejak mendapat cucu ketiganya itu, Amitabh dilihat cukup gembira bahkan status twitter mahupun blognya sering menyebut tumpuannya ketika ini tidak lagi ke set penggambaran filem, tetapi untuk berada di sisi cucu perempuan tunggalnya itu.
Melanjutkan perbualannya, sejak berkahwin perayaan Diwali disambut dengan begitu meriah kerana rumah mentuanya sering dikunjungi insan-insan ternama di India. Kesibukan di rumah Bachchan selalunya bermula seawal pagi sehingga lewat malam.
Sedikit informasi bagi mereka yang tidak mengetahui budaya di India, wanita yang sudah berkahwin akan berbakti sepenuhnya kepada keluarga suami dan kerana itu bekas Miss World 1994 itu menyebut setiap tahun dia berada di rumah mentua.
"Kami jarang mempunyai kesempatan untuk mengunjungi kediaman saudara-mara kerana biasanya mereka yang akan datang ke rumah mentua.
"Saya memang jarang sekali berpeluang menyediakan hidangan istimewa Diwali kerana mentua tidak mahu nanti kepenatan kerana dia tahu sepanjang hari saya akan keletihan melayani tetamu.
"Bayangkan Diwali disambut saban tahun bersama keluarga suami ibarat sebuah pesta gilang-gemilang. Tahun ini tentunya lebih meriah kerana ramai yang tidak sabar-sabar bertemu Aaradhya," katanya.
Melalui perkahwinan yang kini berusia lima tahun dengan Abhishek, ditempuhi dengan penuh rasa cinta dan kebahagiaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata oleh Aish.
Dengan sepenuh hati, Aish mengakui lelaki yang menjadi tunangannya pada 14 Januari 2007 sebelum bersatu sebagai suami-isteri pada 20 April 2007 itu adalah seorang lelaki yang budiman, penyayang, menghormati dirinya sebagai wanita dan bertolak ansur.
"Saya tidak pernah bertemu dengan lelaki yang mempunyai kesabaran cukup tinggi sepertinya. Abhishek juga seorang yang matang dan sering memberikan saya pendapat yang baik untuk saya contohi," ujarnya amat menyayangi suaminya itu.
Mengakui tidak cukup dengan hanya seorang cahaya mata, Aish yang kelihatan semakin langsing kini nampaknya semakin rancak membuat 'comeback!'.
Selepas menyatakan persetujuan membintangi filem projek antarabangsa, arahan Daniel Silva, yang menjalani penggambaran di Los Angeles pada 13 September lalu dan turut dibintangi Billy Zane, Sara Khan dan Lucky Ali, Aish mempunyai lebih 20 tawaran untuk dipertimbangkan.
"Ada beberapa watak yang menarik dan belum pernah saya bawakan sebelum ini namun semuanya masih dalam pertimbangan kerana saya kini sedang sibuk di set penggambaran arahan Daniel Silva.
"Dengan status saya sekarang sebagai ibu membuatkan saya perlu lebih selektif supaya setiap watak yang dipilih kelak tidak menjejaskan nama baik saya sebagai isteri dan ibu.
"Saya juga harus mempertimbangkan tempoh penggambaran yang diambil kerana tidak sanggup untuk berjauhan dengan anak. Sebolehnya saya tidak mahu meninggal Aaradhya," katanya tidak mendapat halangan daripada suami untuk kembali aktif.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/12
