MEMBUKA kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro khususnya 'team' RAP yang memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk menulis bagi kolum sendiri mulai hari ini, setiap Rabu, dua kali sebulan. Tahniah buat Harian Metro/ Metro Ahad kerana sudah berwajah baru sejak kita melangkah ke 2013 dan saya gembira kerana menjadi ahli keluarga baru di akhbar terkemuka ini.
Satu lagi fasa baru buat diri saya untuk berkongsi apa yang pernah, sedang dan bakal saya lalui. Ketika ini saya masih berada di Amerika Syarikat dan akan pulang ke Malaysia pada hujung minggu ini atas beberapa urusan termasuk majlis meraikan kejayaan lagu Terukir Di Bintang dalam Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27), baru-baru ini. Jika tiada aral melintang, majlis itu akan diadakan di kediaman Aizat (terima kasih sekali lagi Aizat!), di Ampang, Ahad ini.
Baiklah sebagai permulaan, saya ingin membawa anda sedikit ke belakang dan berkongsi pengalaman saya ketika terbabit dalam 'road tour' sekitar Jun lalu bersama David Gray.
Catatan ini sebenarnya saya tulis ketika berada lebih kurang 10,000 kaki di udara - dalam penerbangan dari Dayton, Ohio menuju ke New York.
Saya masih ingat lagi, ketika itu, kami baru saja 'refuel' di Georgia kerana cuaca tidak begitu baik untuk kami terbang terus ke Atlanta dan kemudian baru ke New York.
Mengikut perancangan awal, saya sepatutnya membuat 'opening act' bagi persembahan David bagaimanapun atas sebab-musabab tertentu hasrat untuk beraksi tidak kesampaian.
'Basically' masalah itu disebabkan garis panduan yang mengharuskan kita membuat permohonan visa dengan tarikhnya mesti ditetapkan. Jadi, saya bersama Ryan McCauley (pengurus 'tour'), Lincoln Jesser (sessionist) dan Faiz Rosli (jurutera bunyi) beralih ke New York selama tiga hari sebelum kami berangkat ke destinasi seterusnya, Vermont.
Jujurnya, saya selalu terlupa lokasi sebenar kami berada dan pertanyaan seperti "Where are we?" atau "Where are we heading to again?" kepada Ryan adalah hal biasa.
Sebelum 'road tour' itu, saya baru selesai 'summer tour' bersama Graffiti6. Mereka adalah band baru dari UK dan Jamie Scott sangat berbakat. Dia boleh mencipta lagu, bermain keyboards serta gitar. Ahli kumpulan mereka sangat baik dan peramah. Mereka juga sangat positif dan banyak memberi galakan kepada saya begitu juga Lincoln. Mereka tahu ini adalah persembahan jelajah pertama saya dan mereka selalu memaklumkan kepada saya yang mereka gembira dapat membuat 'tour' bersama saya.
Kadang-kadang, saya rasa susah untuk mempercayai pujian sebegitu. Masakan tidak, saya hanyalah gadis biasa dari Malaysia. Nak ucap 'terima kasih' jujurnya saya pun rasa bertuah atau mereka yang sebenarnya yang 'gila' sebab mereka adalah graffiti6!
Jelajah satu pengalaman baru buat saya tapi memang budaya muzik di sini apabila pemuzik-pemuzik melakukan 'tour' setiap malam. Saya juga begitu, kami melakukan persembahan, kemudian bermalam di negeri berkenaan.
Keesokan hari kami akan memandu selama empat hingga tujuh jam, sambil-sambil berhenti sebentar untuk makan, kemudian terus ke hotel di negeri seterusnya. Di hotel dalam masa sejam lebih itu, kami bersiap, mandi, solat dan bersiap untuk ke lokasi persembahan, buat 'soundcheck' diikuti persembahan.
Kemudian saya akan bersembang dengan peminat selepas pertunjukan habis, menjual 'merchandise' (CD, t-shirt) dan kemudian pulang ke hotel. Kami akan mengulangi benda yang sama pada hari-hari berikutnya. Begitulah hari-hari saya ketika 'touring'. Nasib baik van kami besar. Walaupun bukan 'tour' van', ia cukup besar untuk peralatan muzik dan beg-beg kami. Alhamdulillah untuk 'tour' berkenaan, saya ada rakan perempuan yang bersama sama saya, Didi yang bertindak sebagai 'tour manager' kami.
Jadi dialah yang paling memahami apa yang saya perlukan sepanjang jelajah. Contohnya kami akan cari tempat yang halal untuk makan tengahari atau malam. Saya bersyukur sepanjang 'tour', makan saya terjaga. Dengan teknologi sekarang, senang untuk cari restoran halal. Klik saja negeri dan kawasan di zabihah.com dan semua senarai restoran halal akan terbit dan saya terkejut, betapa bertuahnya saya kerana sangat senang untuk mencari makanan halal di Midwest America.
Selalu pegang nasihat mak
Sepanjang 'road tour' juga, saya dapat berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru. Saya rasa bertuah kerana ada peminat yang memandu dua jam dari kediaman mereka ke lokasi acara untuk melihat saya membuat persembahan. Saya secara peribadi hanya mampu ucap terima kasih kepada mereka.
Pelik kerana apabila saya 'perform' di tempat yang bukan bandar besar seperti New York dan Los Angeles yakni di kawasan 'midwest', lazimnya hanya masyarakat tempatan yang akan datang menonton.
Ada juga yang kenal saya dan datang. Saya selalu cerita perkara ini kepada ayah saya "Best babah! Ada 'mat salleh' tahu lagu Alis!" Saya rasa terharu apabila mereka beritahu saya mereka suka lagu Dan Sebenarnya.
Bagaimanapun, paling bermakna apabila menerima kehadiran pelajar dari Malaysia. Selalunya jika saya tidak penat lepas persembahan, saya akan meluangkan masa bersama mereka. Di Indianapolis, saya belanja mereka makan pizza kerana kesian mereka sampai lambat dan terlepas persembahan saya. Di Nashville, lebih kurang 15 orang sanggup pelajar datang, itu pun kami makan pizza tetapi mereka yang belanja saya!
Saya suka luangkan masa dengan kelompok pelajar, mungkin sebab masa saya menuntut dulu, saya selalu teringin nak lanjutkan pengajian di luar negara tetapi tidak kesampaian. Jadi mungkin saya rasa gembira untuk mereka dan saya selalu ingatkan mereka, mereka sangat bertuah kerana dapat peluang untuk menyambung pelajaran di luar negara.
Saya juga berjumpa dengan ramai masyarakat Islam Amerika sepanjang 'tour'! Paling seronok di New York, ramai betul gadis gadis 'American Muslim' yang datang berhijab atau berturban menghampiri saya. Kebanyakan mereka adalah 'African American Muslims', dan saya selalu terfikir, luas betul dunia ini dan ramai betul orang Islam, bermacam macam warna kulit, dan budaya. Seronok apabila saya dapat berhubung dengan mereka selepas persembahan dan kemudian kami akan saling berbalas e-mel.
Namun dalam segala keseronokan dan pengalaman indah, rasa penat, keletihan, kurang tidur, kadang-kadang tidak sempat makan dan senang untuk demam, antara perkara yang cukup menduga. Namun semua itu alhamdulillah, dapat saya atasi.
Memang saya suka mengembara. Saya jatuh cinta apabila mengembara. Masih ingat lagi ketika berusia 16 tahun saya pernah menjalani program pertukaran pelajar ke Turin, Itali, selama tiga bulan. Tidak dinafikan ia pengalaman yang banyak mengajar saya untuk berdikari.
Saya tawakal saja dan memberanikan diri kerana ketika itu, saya diletakkan di sebuah tempat yang tiada seorang pun orang Malaysia, tiada siapa yang saya kenal dan majoritinya bertutur bahasa Inggeris.
Sepanjang 'tour' juga saya akan merakamkan keindahan pemandangan untuk dikongsi bersama peminat menerusi Instagram atau Twitter. Kadang saya minta Faiz berhenti di sesebuah tempat jika lokasi itu ada pemandangan indah supaya saya boleh mengambil gambar.
Saya dapat lihat tasik membiru, gurun luas berwarna jingga terang, gunung menghijau dan paling cantik Mount Shasta ketika kami memandu pulang ke Los Angeles. Gunung itu sangat tinggi dan bersalji di puncak.
Perkara sebegini saya akan kongsi bersama peminat, terutama peminat di Malaysia kerana saya selalu teringatkan mereka. Apabila saya nampak sesuatu yang 'cool' atau cantik, yang mampu memberikan inspirasi kepada mereka, saya tunjukkan kepada peminat supaya dapat memupuk minat untuk mengembara atau melanjutkan pengajian di luar negara.
Paling penting, jangan sentiasa selesa dengan 'comfort zone' kita. Kita harus buka fikiran mereka dan kenal dengan dunia luar yang cukup luas. Sebagai anak muda, kita harus berfikiran kreatif, inovatif dan positif selain sering rajin menimba ilmu.
Mak saya selalu pesan, jangan perasan kita sudah tahu semua benda. 'Always think like a student'. Mesti ada perasaan mahu belajar walaupun kita 26 tahun, 30 tahun atau 50 tahun. Saya selalu berpegang kepada nasihat mak. Saya setuju, kerana itu salah satu cara untuk 'keep us grounded and smart'. Sampai jumpa lagi dalam catatan lain.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/15