Tiga tahun berusaha membina nama dalam bidang seni suara tempatan, nasib penyanyi remaja jelita, Amanda Imani, 21, semakin menyerlah.
Kelmarin, bertempat di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, Amanda melancarkan dua lagi single ciptaannya sekali gus sebagai taruhan baru untuk menambat hati penggemar muzik tanah air. Ujarnya, sekarang adalah masa paling sesuai untuk tampil dengan lagu sendiri mengikut hala tuju diinginkan.
"Dua single saya itu, Fobia Cinta dan Like A Boss dicipta sepenuhnya tahun lalu dan ia hasil ilham daripada pengalaman saya sendiri dan orang lain yang rapat dengan saya. Umpamanya, Fobia Cinta pastinya mengisahkan perihal cinta saya yang tidak kesampaian apabila putus di tengah jalan dan saya akui pernah melaluinya beberapa kali.
"Ia perkara yang amat menyakitkan dan membuat saya rasa sangat sedih. Ketika lagu ini dicipta pun ia memang salurkan segala perasaan geram saya kerana saya sudah dilukai. Pun begitu, ia bukanlah bermakna sampai sekarang saya masih bersedih kerana hidup perlu diteruskan dengan pemikiran positif. Saya akui lebih matang dengan pengalaman yang saya lalui dulu.

Amanda bersama Pengarah Urusan Warner Music, Darren Choy pada majlis pelancaran lagunya.

Teruja dapat wakili negara jayakan konsert 'Malaysia Supernova' di Cannes, Perancis, Ahad ini.
"Bagi lagu Like A Boss pula ia lebih menjurus kepada kisah wanita yang mempunyai matlamat untuk mengejar cita-cita dan berjaya menggapai impian. Walau pun lagu ini dicipta dalam bahasa Inggeris, ia nyata menggambarkan hala tuju saya yang sentiasa menyimpan keinginan untuk menjadi penyanyi berjaya di Malaysia," katanya.
Menurut Amanda, dia sebenarnya berasa pelik kerana selepas pelbagai usaha dilakukan beberapa tahun ini untuk memahat namanya sebagai penyanyi dikenali ramai tetapi masih belum berhasil. Katanya, dia juga sudah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di luar negara tetapi agak sukar diterima di tanah air sendiri.
"Apapun, saya tidak pernah berasa mahu berputus asa sebelum apa yang diinginkan dalam karier muzik ini dicapai. Pun begitu, saya tetap mengharapkan semoga suatu hari nanti bakat seni dimiliki ini akan memperoleh pengiktirafan daripada penggemar muzik tempatan. Bahkan, saya yakin usaha ini akan berjaya.
"Ditambah lagi, kini saya sudah tahu apa hala tuju dan keinginan diimpikan dalam karier nyanyian diceburi. Atas sebab itu, dua karya saya ini jelas menunjukkan betapa kerja keras yang dilakukan itu takkan pernah berakhir sehingga mengecapi kejayaan. Kini, tiba masanya juga untuk pendengar menilai bakat sebenar saya," katanya.
Menyentuh soal jalinan kerjasamanya dengan pemuzik terkenal, Dennis Lau dalam lagu Fobia Cinta, gadis berdarah kacukan Melayu, China dan Turki ini memaklumkan mereka sudah lama kenal antara satu lama lain. Malah, sering juga terbabit dalam pelbagai acara hiburan sama ada di dalam dan luar negara.
"Perkenalan yang agak lama itu akhirnya membuatkan kami jadi sahabat. Justeru, tatkala keinginan untuk kerjasama ini disuarakan kepada Dennis, dia tidak menolak sebaliknya menerima dengan hati terbuka. Apapun, di antara kami tiada hubungan istimewa melainkan rapat dalam erti kata persahabatan saja.
"Oleh itu, tidak perlulah cuba mengaitkan soal cinta di antara kami berdua. Ini kerana, perkara itu sememangnya tidak pernah berlaku. Apatah lagi, kini fokus dan tumpuan saya hanya kepada memantapkan karier semata-mata. Ditambah lagi, dalam usia yang masih muda ini, saya harus terus gigih berjuang," katanya.
Cukup matang berbicara, Amanda berkata dia harus sentiasa bijak mengambil peluang yang datang kepadanya memandangkan perjalanan kerjaya nyanyian diceburi itu diurus sendiri dengan bantuan ibunya.
Selain menyanyi, Amanda yang berkebolehan mencipta lagu memberitahu dia sudah mencipta sebanyak 75 buah lagu sejak setahun lalu. Begitu mendapat perhatian di luar negara, Amanda pernah mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi anugerah Bakat Muda Terbaik dan Lagu Asal Terbaik menerusi lagu Selamilah Cinta di World Association of Festivals & Artists (WAFA) di Bulgaria, dua tahun lalu.
Teruja jayakan Malaysia Supernova
MENGAKUI selesa bersikap 'low profile' dan tidak mempunyai kisah kontroversi, Amanda menjelaskan dia lebih bersedia untuk dikenali peminat menerusi bakat nyanyiannya berbanding cerita peribadi. Jelasnya lagi, dikenali menerusi karier itu lebih memberikan kepuasan dalam mencipta nama sebagai anak seni.
Sekali pun 'kurang tuah' di negara ini, perjalanan karier nyanyian Amanda tetap berjalan lancar apabila dia terpilih sebagai salah seorang artis yang akan mewakili Malaysia ke Cannes, Perancis untuk menjayakan acara muzik dikenali `Malaysian Supernova' di MarchÈ International du Disque et de l'Edition Musicale 2013 (MIDEM), Ahad ini.
Berangkat ke Cannes, Sabtu ini bagi melengkapkan penyertaan dalam acara yang berlangsung dari 26 hingga 29 Januari itu, artis lain yang turut terpilih bersama-sama Amanda dalam MIDEM 2013 ialah Jaclyn Victor, Hujan, Bunkface, Goldfish & Blink, Nadhira, ZE! dan Sasi The Don.
MIDEM 2013 yang juga dianggap sebagai program acara pameran dagangan muzik terbesar dunia mula diwujudkan pada 1967. Bahkan, dalam pameran berprestij ini dijangkakan seramai lebih 6,000 penggiat seni terdiri daripada karyawan muzik, penerbit, pengurus dan wartawan dari 75 negara di seluruh dunia akan berkumpul.
Berkongsi kegembiraannya, Amanda berkata dia berasa sangat berbangga apabila terpilih untuk mewakili negara pada persembahan konsert 'Malaysia Supernova' itu. Malah, ujarnya, dia akan mendendangkan enam buah lagu hasil ciptaannya seperti Like A Boss, Fobia Cinta, Salem, Black Widow dan City of Angles.
Amanda berkata, perasaannya kini sudah tentu sangat gembira dan teruja dengan kepercayaan diberikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang memilihnya untuk turut sama menjayakan persembahan itu.
"Saya melihat ini satu langkah baik dilakukan RIM dengan sokongan penuh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang berusaha membawa artis muda tempatan berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
"Secara tidak langsung, ia satu pendedahan yang sangat baik. Apapun, pemilihan saya untuk terbabit dalam persembahan ini berdasarkan beberapa kriteria antaranya boleh menyanyi dalam bahasa Malaysia dan Inggeris, pernah meraih pengiktirafan di luar negara dan mampu berinteraksi dengan baik," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/24