Ahad, 3 Februari 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ular jaga anak

Posted:

Dongguan: Seorang bapa menemui penjaga sempurna untuk anaknya, seekor ular sawa.

Chan Liu meninggalkan anaknya, Azhe, 13, bersendirian dengan ular seberat 100 kilogram itu di kediamannya di Dongguan, selatan China.

Ular itu tidak disimpan dalam kandang. Malah Azhe mengejutkan penduduk tempatan dengan sering mengucup dan memeluk ular sepanjang 4.6 meter itu.

"Dia begitu berhati-hati dengan saya. Tidak pernah dia membelit saya dengan kuat," kata Azhe.

Foto

AZHE bersama 'penjaganya' di bilik tidur.

Foto

Kanak-kanak itu mencium ular sawa yang enam tahun lebih tua daripadanya.


Dia dilahirkan enam tahun selepas bapanya membawa pulang sebiji telur ular sawa dan menetaskannya.


Chan berkata: "Saya sentiasa beranggapan ular adalah haiwan paling cantik dan saya ingin melihat apa yang akan terjadi apabila anak saya dilahirkan.

"Selepas yakin ular itu tidak akan mencederakannya, kami mula meninggalkan mereka bersama bersendirian. Mereka kini tidak boleh berpisah."

Akhirnya, keluarga itu mula menganggap ular sawa Burma itu sebagai penjaga anak mereka.

"Saya tidak fikir penculik berani untuk bergelut dengannya," kata Chan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

Itu bukan isteri saya!

Posted:

Capetown: Seorang suami terkejut semalam apabila membuka keranda di majlis pengebumian isterinya di sebuah gereja dan mendapati mayat orang lain di dalamnya.

Keluarga Galant mengatur majlis itu untuk Magdalene Galant, 58, yang mati pada 26 Januari lalu akibat serangan sakit jantung.


Kematiannya bertukar menjadi tragedi berganda apabila pengurusan rumah mayat menghantar mayat lain dan berkeras menyatakan ia mayat Magdalene.

Si suami, Michael Galant berkata, dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila membuka keranda itu.


"Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila semua yang hadir juga terkejut.


"Anak saya mendekati saya dan berkata, 'Itu bukan emak.' Saya tahu ini kesilapan besar," kata Galant. Keluarga itu kemudian berkata, mereka bertanya mengenai kesilapan itu kepada pekerja rumah mayat.

Anak Galant, Leota Lakay berkata, pekerja terbabit tidak dapat menjelaskan bagaimana mayat itu boleh tertukar.


"Mereka mulanya bertegas berkata, itu ibu saya. Saya memberitahu mereka, saya kenal ibu saya.

"Mereka kemudian mengaku silap, menarik laci yang salah di rumah mayat," kata Leota.


Keluarga itu berkata, mereka cuba menghentikan majlis berkenaan tetapi pekerja berkenaan meyakinkan mereka supaya meneruskannya.


Orang semakin ramai datang untuk memberi penghormatan terakhir tetapi berita kemudian tersebar bahawa mayat di dalam keranda itu bukan Magdalene.


"Kami sungguh trauma. Kami hanya mahu memberi penghormatan terakhir kepada isteri saya. Tetapi ini yang berlaku," kata Galant.


Selepas majlis itu, pekerja membawa keluarga itu ke rumah mayat.


"Apabila tiba, mereka menunjukkan kepada kami mayat Magdalene masih ada di situ dan mereka menghantar mayat orang lain untuk kami kebumi," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Nazmi, ejen bermain teka-teki

Posted:

Kuala Lumpur: Status kepulangan mengejut Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia masih mencetuskan tanda tanya walaupun pemain berbakat berusia 19 tahun itu seboleh-bolehnya cuba meyakinkan pihak media menerusi sidang akhbar semalam bahawa dia sendiri mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air.

"Saya sendiri membuat keputusan ini dan saya juga yang memilih untuk menyertai PKNS FC.


"(SC) Beira Mar dan saya sudah mencapai persetujuan bersama, iaitu mereka melepaskan saya.

"Jadi khabar angin yang menyatakan saya dipinjamkan ke kelab ini selama enam bulan dan akan kembali semula ke Beira Mar, tidak benar. Saya sudah bebas sepenuhnya daripada Beira Mar dan tak akan kembali ke sana," katanya pada sidang media memperkenalkannya sebagai pemain baru PKNS FC, semalam.


Namun di sebalik jawapannya itu, Nazmi seolah-olah membuat kenyataan yang bercanggah apabila menegaskan keputusan untuk pulang ke Malaysia dibuat dalam tempoh yang begitu singkat.


"Keputusan yang dibuat ini memang tidak dijangkakan, keputusan yang saya buat secara mengejut.

"Apapun, saya fikir keputusan ini terbaik untuk saya. Tiada desakan mana-mana pihak," katanya yang sering diganggu ejennya, Marco Guimaraes apabila pihak media bertanyakan soalan 'panas'.


Malah Guimaraes sendiri gagal memberikan jawapan meyakinkan ketika ditanya mengenai kepulangan Nazmi ke Malaysia.

"Saya rasa kami dijemput ke sini untuk memperkatakan mengenai kelab baru Nazmi, iaitu PKNS dan bukannya Beira Mar, FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) atau sebagainya," katanya.


Ditanya adakah FAM dimaklumkan mengenai kepulangan Nazmi, Guimaraes sekadar berkata: "Kenapa perlu babitkan FAM?" Sementara itu, Presiden PKNS FC, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, Nazmi sudah mengikat kontrak tiga tahun bersama pasukan yang beraksi di Liga Super itu dengan membabitkan sejumlah yuran perpindahan yang enggan didedahkan.


"Untuk dapatkan Nazmi bukan sesuatu yang dirancang. Kami didatangi ejennya yang menyatakan kontrak Nazmi dengan Beira Mar sudah tidak ada lagi.


"Bermakna Nazmi bebas untuk bermain dengan mana-mana kelab. Dia diberi pilihan dan PKNS menjadi pilihan utama Nazmi," katanya.


Noor Hisham berkata, pihaknya akan bertemu dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) esok bagi membincangkan mengenai kepulangan Nazmi serta berharap FAM dapat memberi lampu hijau untuk pemain tengah itu beraksi dengan kadar segera.


Jika mengikut peraturan, Nazmi hanya boleh dibenarkan bermain ketika jendela perpindahan pemain kedua yang akan dibuka pada April.


Arena Metro semalam melaporkan penjelasan bapa Nazmi, Mansor Mustapha yang tidak mahu kepulangan anaknya itu disalahertikan, sebaliknya menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang baik bagi meneruskan karier Nazmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03

'Isu Nazmi tutup peluang pemain lain'

Posted:

Brisbane, Australia: Ibarat tikam dari belakang. Itulah perumpamaan tepat yang membayangi kepulangan Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia selepas berkelana di Portugal selama tujuh bulan.

Pemain SC Beira Mar itu yang pada awalnya mengikat kontrak tiga tahun bersama SC Beira Mar, kembali beraksi dalam kancah bola sepak tempatan apabila tidak sampai setahun berada di kelab divisyen satu itu dan mengikat kontrak bersama pasukan berstatus kelab, PKNS FC.


Malah tindakan 'pelik' terbabit langsung tidak ketahui pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bersusah payah membuka ruang untuknya mengembangkan bakatnya di Eropah.

Justeru, apa berlaku kepada Nazmi itu memberikan pengajaran cukup berguna yang jelas amat pahit untuk ditelan, namun ia bukan bermakna perancangan untuk menghantar pemain Harimau Muda yang lain beraksi di luar negara, terbantut.


"Cuma kita perlu berhati-hati apabila mengadakan perbincangan dengan ejen yang lebih jujur. Saya berharap perkara sama tidak menimpa Ahmad Fakri Saarani dan dia dapat meneruskan kariernya di tahap lebih tinggi," katanya.


Pemergian Nazmi Faiz ke Portugal diuruskan Marco Guimaraes yang turut bertindak sebagai ejen Ahmad Fakri yang kini beraksi bersama kelab divisyen tiga Portugal, Atletico SC dengan kontrak enam bulan.

Kepulangan perancang tengah itu dilihat 'membunuh bola sepak negara' kerana Nazmi dianggap sebagai seorang pemain berbakat dan dilihat mampu membawa perubahan dan peningkatan kepada skuad negara, terutamanya menjelang misi mempertahankan emas Sukan Sea penghujung tahun ini.


Perancangan saya untuk Sukan Sea tidak berubah dengan dia perlu membuktikan kemampuannya untuk tersenarai," katanya yang mempunyai bilangan pemain muda yang tidak terhad untuk mengemudi bahagian tengah.

Tindakan Nazmi Faiz itu dikatakan menyebabkan peluang Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Zakaria ke Jepun untuk bersama kelab FC Ryukyu turut terkena tempias.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/03
Kredit: www.hmetro.com.my

Sabtu, 2 Februari 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Global: Wanita Libya turut tumbang Gaddafi

Posted:

"Orang lelaki mati ketika mereka terpaksa berjuang tanpa senjata dan sanggup bergadai nyawa demi melindungi kami sedangkan kami duduk di rumah tidak buat apa-apa. Kami seolah-olah jadi barang antik," kata wanita bertudung itu lagi sambil cuba membetulkan cara dia memegang senjata api.

"Konco-konco Gaddafi boleh datang bila-bila masa, saya bersedia mempertahankan diri sendiri dan rumah kami jika perlu," katanya lagi.

Pelatih sukarelawan di pusat latihan ketenteraan itu berkata, mereka berasa sangat tidak berdaya ketika pergerakan menumbangkan pemerintahan Gaddafi terutama apabila mendengar berita ada wanita dirogol oleh askar. Kini mereka tidak mahu lagi duduk diam, sudah sampai masa untuk menunjukkan bahawa wanita juga boleh melindungi keluarga.

Sekurang-kurangnya 200 wanita sudah berjaya menamatkan program latihan itu sejak ia dimulakan di Kawasan Ketenteraan Teknikal Benghazi hujung Mac lalu. Mereka diberikan pilihan menyertai Pasukan Keselamatan Kebangsaan yang beroperasi seperti Pengawal Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat dan membenarkan wanita berkenaan bergerak di kawasan sendiri. Belum ada cadangan untuk menghantar tentera wanita ini ke barisan hadapan pertahanan negara.


Satu unit yang dianggotai 20 tentera wanita tidak bersenjata bertugas ketika Perdana Menteri British, David Cameron dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy melawat Benghazi bulan lalu dan memberikan ucapan di depan ramai penduduk Libya.


Pasukan keselamatan wanita itu berdiri memerhatikan dan mencari wanita yang mencurigakan kerana bimbang jika ada penyerang yang menyamar dengan memakai pakaian perempuan.

Menurut komander tentera di Benghazi, Abdul Basit Haron, pejuang revolusi termasuk wanita akan menerima sekali bayaran berjumlah RM15,000. Pembabitan wanita dalam ketenteraan sangat penting kerana ia boleh membangkitkan dan menguatkan semangat tentera.

Ini kerana wanita berasa mereka diketepikan dan sanggup datang ke sini untuk membuktikan bahawa mereka setanding dengan lelaki. Mereka mahu menunjukkan kepada dunia keberanian dan sikap terbuka penduduk Libya.

Sebenarnya peranan wanita masih menjadi isu sensitif di negara Islam konservatif itu. Malah, sepanjang pemerintahan Gaddafi, polisi yang dibentuk bertujuan memecahkan pantang larang turun temurun mengenai pekerjaan wanita dan status mereka. Gaddafi sendiri melantik pengawal peribadi wanita tetapi peluang yang diberikan untuk wanita mengisi jawatan di dalam kerajaan masih sangat terhad.

Tentera wanita adalah satu perkara yang sangat asing di kebanyakan negara Arab tetapi kini ia menjadi pemandangan biasa di Libya. Di mana-mana ada saja tentera wanita beruniform, bertudung, bercermin mata hitam dan bermekap tebal mengawal bandar. Satu kumpulan wanita dilaporkan mempunyai pusat soal siasat sendiri bagi menahan aktivis antiGaddafi.

Kolonel Sabriya Mohammed al-Shraidi, anak kelahiran Benghazi yang menamatkan pelajaran di sekolah ketenteraan pada 1986 dan kini berada

di unit penyiasatan tentera berkata, lapan pegawai ditugaskan melatih 36 sukarelawan - iaitu kumpulan keempat yang akan tamat latihan tidak lama lagi.

"Kebanyakan wanita ini adalah suri rumah dan ada yang bekerja. Mereka tiada pengalaman dalam ketenteraan dan tidak tahu bagaimana menggunakan senjata. Jadi mereka datang ke sini untuk menjalani latihan, jika perlu mempertahankan diri sendiri dan anak-anak. Kita tidak tahu bila kemahiran ini diperlukan, segala-galanya boleh terjadi," katanya.

Pelatih tentera ini diberikan pelbagai latihan menggunakan semua jenis senjata ringan dan ilmu mempertahankan diri. Mereka yang diberikan latihan ini akan membantu menjaga keselamatan ketika demonstrasi, di bank dan institusi lain.

"Ramai orang anggap wanita tidak elok masuk tentera. Anggapan ini salah. Ramai wanita terbabit dalam bantuan kemanusiaan dan penyeludupan senjata api untuk pemberontak dengan menyembunyikan senjata dalam jubah mereka.

"Sebenarnya wanita sudah banyak memberi sumbangan dalam revolusi ini melalui pelbagai cara. Tetapi mereka masih dipinggirkan dan diketepikan. Kini sudah ada peluang untuk kami menunjukkan sumbangan secara terang-terangan, tiada apa yang hendak dimalukan apabila menjadi tentera. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti zaman Gaddafi dulu yang memandang rendah wanita yang masuk tentera," katanya.

Wafa al-Rayth, 29, suri rumah, berkata dia menyertai program ketenteraan itu untuk menunjukkan pada dunia bahawa wanita Libya berupaya berganding bahu dengan lelaki dalam menjaga keamanan negara.

"Sudah sampai masa kami membantu meluaskan keamanan dan mengawal negara, terutama dalam tradisi kami yang memerlukan wanita mengawal tempat perjumpaan wanita dan memeriksa beg mereka bagi memastikan tiada lelaki menyamar untuk melakukan jenayah," katanya.

Bagi jurutera berusia 20 tahun, Lameis Aghnaish, dulu ketika era Gaddafi dia cuba berhijrah ke negara lain tetapi kini dia bangga tinggal di Libya.

"Dulu hidup kami sangat susah, sebab itulah saya mahu berhijrah. Masa itu saya tidak rasa sayang pun pada negara, tetapi keadaan kini sudah berubah. Saya sanggup mati demi negara ini. Saya akan kembali bekerja selepas keadaan kembali aman. Apa yang penting kini ialah memastikan negara aman dan selamat," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2011/10/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


'Siapa kenal saya?'

Posted:

"Siapa saya...siapa kenal saya?" tanya wanita warga emas berusia 70-an secara tiba-tiba apabila dia dipercayai hilang ingatan selepas mendapatkan rawatan di Unit Pesakit Luar Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, warga emas dikenali sebagai Ah Soi ditemui merayau di sekitar HSA dan gagal mengingati apa-apa berkaitan diri dan tempat tinggalnya.


Menceritakan kejadian, pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya Anthony Lee berkata, gelagat Ah Soi yang tidak tentu arah menyebabkan seorang individu prihatin cuba membantunya.

"Ketika ditanya, Ah Soi langsung tidak dapat mengingati maklumat berkaitan dirinya dan hanya minta dihantar ke taman perumahan di sekitar Johor Jaya.


"Namun selepas dihantar ke situ, Ah Soi langsung tidak mengingati rumahnya walaupun sudah dibawa mengelilingi kawasan berkenaan beberapa jam. Dia juga tidak mengingati ahli keluarganya," katanya.


Menurutnya, bagi menjamin keselamatan Ah Soi, dia dihantar ke Balai Polis Taman Johor Jaya sementara warisnya dikesan.

"Kami dapati Ah Soi datang ke HSA bersendirian. Kami harap waris atau sesiapa yang mengenali wanita ini dapat membantu kami mengesan keluarganya," katanya.


Sementara itu, jurucakap Balai Polis Taman Johor Jaya ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Wanita itu dibawa ke sini pada jam 3 petang dan kami masih berusaha mengesan warisnya. "Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita itu diminta menghubungi talian 07-3534827/4861," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Kepulangan Nazmi tiada penjelasan

Posted:

Kepulangan pemain sensasi negara, Nazmi Faiz Mansor ke Malaysia seharusnya tidak disalah erti, sebaliknya ia adalah satu keputusan baik bagi meneruskan karier pemain muda negara itu.

Bapa pemain berusia 19 tahun itu, Mansor Mustapha berkata, beliau sendiri tidak dapat memberikan maklumat lebih lanjut mengenai anaknya itu kerana masih belum mendapat penjelasan terperinci dengan Nazmi sendiri yang pulang kelmarin.


"Nazmi pulang semalam (kelmarin) tapi setakat ini saya belum bersedia untuk memberi sebarang komen.

"Semua ini adalah untuk kebaikan Nazmi. Dia berada dalam keadaan baik dan tidak menghadapi sebarang tekanan," katanya.


Jelas Mansor, soal kepulangan Nazmi sudah dibincangkan oleh ejennya bersama kelabnya, S C Beira Mar serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Semua pihak perlu faham perkara ini masih belum jelas. "Yang pasti, semua ini tidak ada kena-mengena dengan isu yang timbul sebelum ini," katanya merujuk kepada percakaran antara Nazmi dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak dalam laman sosial Twitter.

Usaha untuk mendapatkan komen Nazmi menemui jalan buntu selepas tinjauan ke rumahnya semalam mendapati tiada sesiapa menghuni rumah itu.


Arena Metro semalam melaporkan Nazmi yang berkelana di Portugal selepas menandatangani kontrak bersama Beira Mar pertengahan tahun lalu dilaporkan pulang untuk beraksi dengan pasukan Liga Super, Selangor PKNS.

Menurut laporan laman web FOX Sports.my, Nazmi mendapat pelepasan selama enam bulan.


Sementara itu, laman sosial Facebook PKNS FC semalam memuat naik gambar Nazmi bersalaman dengan pengurusan PKNS dengan menyatakan pemain itu sudah sah menjadi milik mereka.


Namun pengurus pasukan, Azmi Adnan enggan mengulas lanjut, sebaliknya mengesahkan satu sidang media akan diadakan hari ini bagi merungkai segala persoalan membabitkan Nazmi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

'Kami akan berjaya'

Posted:

Penyerang Arsenal, Lukas Podolski menegaskan kelab yang disertainya itu pasti akan memenangi pemburuan untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara.

Arsenal akan menanti kunjungan Stoke malam ini untuk mengelak daripada meraih keputusan hambar selepas sekadar seri 2-2 ketika bertemu Liverpool.


Keputusan itu menyebabkan skuad kendalian Arsene Wenger menduduki tangga keenam liga, ketinggalan empat mata di belakang Tottenham yang menduduki tangga keempat, tetapi Podolski yakin Arsenal bukan saja mampu memintas Everton dan Tottenham, malah Chelsea yang menduduki tangga ketiga ketika ini.

"Kami perlu bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara dan inilah fokus utama kami.


"Kami mahukan tempat ketiga liga dan banyak perlawanan perlu dilalui. Kami juga bersaing dalam Piala FA dan Liga Juara-Juara tapi fokus utama adalah Liga Perdana Inggeris.


"Kami mahu menamatkan saingan di tangga pertama tapi kami kehilangan banyak mata pada separuh saingan Liga Perdana dan kini jurangnya agak jauh," katanya.

Arsenal melepaskan gol pertama pada lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, satu fakta yang pasti akan diambil kira oleh Stoke yang sentiasa mencetus masalah buat Gunnners.


Liverpool di depan 2-0 menerusi gol Luis Suarez dan Jordan Henderson sebelum Olivier Giroud dan Theo Walcott menyamakan kedudukan dan Podolski berkata: "Masalah kami pada perlawanan terakhir ialah kami melepaskan gol dan terpaksa bangkit semula.

"Kami perlu bermula dengan baik sejak minit pertama dan menjaringkan gol pertama.


"Namun apabila anda ketinggalan 0-2, anda bangkit dengan penuh bersemangat. Inilah corak permainan kami sejak kebelakangan ini," katanya.


Wenger menyaksikan skuad kendaliannya menjaringkan 10 gol dalam tiga perlawanan terakhir tetapi turut dibolosi lima gol.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


BAYAR RM500 TEMPAH PENYAKIT

Posted:

Menggunakan laman web berlatar belakang warna merah jambu, satu sindiket pelacuran secara online kini dikesan menawarkan wanita dari Russia dan negara bekas blok komunis Kesatuan Soviet untuk menarik lelaki hidung belang melanggan perkhidmatan seks.

Laman itu memaparkan model wanita berpakaian seksi dan tanpa berpakaian untuk ditempah.


Lebih menarik, laman iklan itu mendakwa wanita dipamerkan adalah model majalah pesawat komersial Russia yang boleh dilanggani untuk khidmat seks dengan bayaran RM500.

Laman itu turut menyiarkan nombor telefon bagi memudahkan pelanggan yang berminat menempah wanita terbabit di hotel.


Selain itu, iklan terbabit turut menawarkan khidmat pelacur dari China pada harga RM180.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Bahana dituduh pondan

Posted:

Seorang wanita warga asing nyaris putus telinga kiri akibat dilibas menggunakan botol kaca minuman keras dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di pekan Donggongon, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa Josephine Lama Larua Levatora, 42, berasal dari Papua New Guinea terpaksa menerima 30 jahitan di belakang telinga kiri hingga ke leher. Lebih malang, anak perempuan mangsa berusia 22 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan turut menerima tiga jahitan di dagu selepas ditikam menggunakan benda tajam dipercayai serpihan botol kaca oleh suspek.


Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama anaknya serta seorang rakan mengunjungi pusat hiburan berkenaan untuk minum sambil berkaraoke kira-kira jam 7.30 malam.

"Lebih kurang jam 11 malam, mangsa menuju ke kaunter untuk memesan air suam, namun seorang pelanggan tidak dikenali terus menegur dan mengatakan mangsa seorang pondan.


"Mangsa yang berang menegur tindakan suspek sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka," katanya di sini, kelmarin.


Sumber itu berkata, anak mangsa yang menyedari kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan dan membawa ibunya ke meja mereka.

"Selepas itu, mangsa bersama anak serta rakannya menyambung semula aktiviti mereka, tetapi tidak lama kemudian suspek datang ke meja mangsa lalu terus memukul kepala wanita itu dengan botol kaca.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Mati jika makan buah lagi

Posted:

Charlotte Jefferson diberi amaran oleh doktor, dia boleh mati jika makan buah lagi.

Ibu berusia 25 tahun itu menghidap alahan luar biasa yang menyebabkan dia mengalami kesan sampingan yang boleh membawa maut setiap kali makan buah.


Dia dimasukkan ke hospital sebelum pihak perubatan akhirnya mengenal pasti alahannya tahun lalu.

Pengalaman pertama Charlotte berlaku selepas dia makan buah lai yang menyebabkan badannya gatal dan dia batuk darah.


Dalam kejadian lain, dia mengalami pening dan meracau selepas makan tomato.


Charlotte berasal dari Hull kini berhati-hati memastikan tiada makanan yang dilarang dalam dietnya kerana bimbang jika dia makan apa juga buah, ia mungkin kali terakhir untuknya.

"Saya bimbang untuk makan lai atau rempah kerana ia akan menyebabkan saya mati," katanya Selepas bertahun-tahun menderita tanpa mengetahui puncanya, doktor akhirnya memutuskan bahawa dia alah kepada salisilat yang terdapat dalam buah dan makanan lain.


Senarai makanan yang perlu dielak oleh wanita itu, termasuk kerang-kerangan, daging dalam tin, semua jenis buah kecuali pisang, brokoli, timun, inti pai, sayur berminyak, dadih, jem, air buah, air gas, sos, kebanyakan herba dan rempah, biskut, gula-gula dan kastard. Ini bermakna, kunjungan ke restoran menjadi satu mimpi ngeri bagi Charlotte yang sentiasa membawa sebuah Epifen yang diisikan dengan adrenalina sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya dia termakan makanan yang dilarang dan mengalami reaksi.

"Sekiranya saya ingin keluar bersama rakan, saya terpaksa telefon restoran itu terlebih dulu dan bertanya banyak soalan mengenai masakan mereka dan bagaimana ia dimasak. Banyak yang saya tak boleh makan. Selalunya, saya hanya makan semangkuk bubur kerana ia paling mudah untuk disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02

Kulit menggelupas seperti serangga

Posted:

London: Kanak-kanak kecil yang berani ini masih mampu tersenyum di depan kamera meskipun berdepan dengan masalah kesihatan yang teruk.

Kulit tubuh Maisy Keetch, tujuh, akan melecur walaupun dengan sentuhan paling lembut.


Maisy menghidap Epidermolysis Bullosa, yang bermakna lapisan teratas kulitnya tidak bercantum dengan betul.

Walaupun dengan dakapan daripada ibunya, Amy, akan menyebabkan kulit kanak-kanak itu merah menyala, kelihatan seperti melecur.


Kerana itu Maisy terpaksa berhati-hati ketika bermain dengan kanak-kanak lain dan jangka hayatnya hanya 30 tahun.


Kanak-kanak itu yang penyakitnya dikenali sebagai sindrom kupu-kupu kerana kulitnya begitu mudah menggelupas, sama seperti serangga itu. Ini menyebabkan lengannya sentiasa dibalut dan memerlukan rawatan perubatan sepanjang hayat.

Amy dari London Tenggara berkata: "Sebaik dia dilahirkan, saya tahu ada yang tidak kena. Dia meraung sekuat-kuat hati. Tangannya dilitupi tanda gelap dan lidahnya merah menyala. Mulanya saya terkedu. Akhirnya, saya menyedari, bayi saya memerlukan saya untuk menjadi kuat." Amy belajar daripada jururawat cara-cara menjaga Maisy, termasuk membalutnya serta memberitahu anak sulungnya, Harry yang ketika itu berusia empat tahun supaya berlembut dengan adiknya.


Bagaimanapun, wanita itu mengaku, setiap pagi dia bergelut apabila Maisy bangkit dari tidur dengan lecuran baru dan menjerit kesakitan. "Saya terpaksa memeluknya dengan begitu berhati-hati. Saya akan mandikannya dengan salap khas," katanya kepada majalah love it! Amy juga menceritakan bagaimana kecederaan Maisy bertambah teruk apabila dia membesar.

"Mulanya dia cuba menggosok kulitnya yang melecur, tetapi ia menyebabkannya sakit. Merangkak juga membuatnya sakit. Saya terpaksa meletakkannya di dalam 'walker' yang dialas dengan kapas. "Satu hari ketika berjalan di luar dengan memimpin tangannya, dia jatuh. Saya menarik tangannya tetapi kulitnya mengelupas, tergantung seperti sarung tangan." Bagaimanapun, Maisy yang sering menggunakan kerusi roda kerana kakinya terlalu sakit untuk berjalan, sudah tahu untuk menjaga keadaannya. Dia memberitahu kanak-kanak lain di tadika supaya mereka lebih berhati-hati apabila bermain dengannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/02
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved