Isnin, 18 Februari 2013

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Blues mara bergaya

Posted:

Chelsea berjaya mengelak daripada menjadi mangsa terbaru pada saingan Piala FA apabila juara bertahan itu melangkah ke pusingan kelima selepas mencatat kemenangan 4-0 ke atas pasukan Divisyen Satu, Brentford semalam.

Arsenal, Tottenham dan Liverpool adalah antara kelab gergasi Liga Perdana Inggeris yang dimalukan pasukan liga bawahan musim ini, tetapi Chelsea bermula hambar.


Mujur jaringan pada separuh kedua menerusi Juan Mata, Oscar, Frank Lampard dan John Terry pada perlawanan ulangan semalam selepas sekadar seri 2-2 di Brentford sebelum ini, menggembirakan penyokong di Stamford Bridge.

Masih terlalu awal untuk melabelkan pasukan kendalian Rafael Benitez kembali berada di landasan tepat selepas melalui kempen yang tidak konsisten, namun sekurang-kurangnya keputusan itu mengelak mereka daripada malu di hadapan penyokong sendiri.


Chelsea yang memenangi Piala FA sebanyak empat kali sepanjang enam musim terakhir, akan berkunjung ke pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough untuk menghadapi perlawanan pusingan kelima pada 27 Februari ini.


Terry, kapten Blues yang baru pulih daripada kecederaan lutut, adalah antara pemain utama yang membarisi skuad Chelsea sekali gus membuktikan betapa Benitez begitu menghormati lawan mereka itu selepas berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 di Griffin Park.

Chelsea dilihat bergelut pada babak pertama dengan cubaan Branislav Ivanovic tersasar, begitu juga tandukan Mata.


Lampard juga beraksi cemerlang apabila melorongkan bola cantik kepada Oscar, namun rembatan jarak dekat pemain Brazil itu berjaya dinafikan pertahanan lawan, Harlee Dean. Aksi hambar Chelsea itu di bawah kendalian Benitez semakin menyukarkan bekas pengendali Liverpool itu dalam usahanya untuk memenangi hati peminat dan mereka sekali lagi secara terbuka mengejek pengendali dari Sepanyol itu di dalam stadium sebagai rasa tidak puas hati pemecatan pengurus terdahulu, Roberto Di Matteo.

Chelsea bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol pertama Mata yang merembat deras menewaskan penjaga gol Brentford, Simon Moore pada minit ke-54. Gol pertama itu mengurangkan tekanan Chelsea yang kemudiannya terus membunuh aksi cemerlang Brentford.


Oscar menambah gol kedua pada minit ke-68 sebelum Lampard menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-72.


Gol itu adalah jaringan ke-199 peribadinya sepanjang bersama Chelsea sekali gus menjadikannya penjaring terbanyak kelab pada saingan Piala FA.


Terry menambah derita Brentford apabila menambah gol keempat pada minit ke-81.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Segera lupakan kekalahan: Wenger

Posted:

LONDON: Arsene Wenger (gambar) menggesa anak buahnya supaya bangkit semula daripada kekalahan memalukan kepada Blackburn pada saingan Piala FA apabila bakal turun bertemu Bayern Munich di saingan Liga Juara-Juara.

Jaringan tunggal Colin Kazim-Richards pada separuh mas kedua sudah cukup memberikan kemenangan 1-0 kepada Blackburn di Stadium Emirates kelmarin sekali gus menyaksikan mereka melangkah ke saingan suku akhir Piala FA.


Bayern akan berkunjung ke London untuk perlawanan pertama pusingan kedua.

Arsenal perlu bangkit apabila bertemu gergasi Jerman itu jika mereka masih mahu menamatkan kemarau lapan tahun tanpa trofi utama selepas Gunners ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester United.


"Amat penting untuk menunjukkan karakter sebenar kami," kata pengurus Arsenal itu dalam usaha menaikkan semula semangat anak buahnya.


"Hanya itu saja yang kami mampu lakukan," tambahnya.

"Kami perlu buktikan betapa kuat dan bagusnya kami pada perlawanan seterusnya. Adalah satu kesilapan jika kami berasa bersalah ke atas diri sendiri," kata pengendali dari Perancis itu.


"Kami melalui perlawanan yang agak teruk dan sebab itu kami perlu bangkit semula." Tewas kepada Blackburn menyaksikan kekalahan kali pertama Arsenal kepada pasukan di Liga Kejuaraan pada saingan Piala FA sejak Wenger mengambil alih tugas selaku pengurus sejak 1996.

Pengurus Blackburn, Michael Appleton menegaskan beliau masih tidak percaya anak buahnya dapat menempah tiket ke suku akhir.


"Saya hanya meminta mereka yakin kepada diri sendiri bahawa mereka boleh menang," kata Appleton, pengurus ketiga Rovers pada musim ini.


"Kami ada berbincang mengenainya dalam mesyuarat pasukan.


"Kami kini tinggal selangkah sebelum ke separuh akhir di Wembley. Saya yakin barisan pemain begitu bersemangat untuk beraksi di Wembley," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


KENDURI TANPA PENGANTIN

Posted:

Majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung meriah, semalam bertukar kenduri doa selamat selepas pengantin perempuan menghilangkan diri tiga hari sebelum dinikahkan.

Norazlina Ismail, 23, sepatutnya diijab kabul dengan tunangnya, kelmarin, tetapi ia terpaksa dibatalkan selepas dia gagal pulang ke rumah sejak Rabu lalu.


Ibunya, Salmiah Ahmad, 56, berkata, ketika kejadian dia dan suami, Ismail Saad, 60, tiada di rumah kerana pergi ke mahkamah di Jawi atas satu urusan dan kehilangan anak kelima daripada enam beradik itu disedari selepas dia gagal pulang ke rumah mereka di Taman Pekatra, Simpang Ampat, di sini.

Menurutnya, anaknya tiada masalah dengan keluarga atau tunangnya dan Norazlina mahu mengahwini lelaki itu kerana mereka sudah tiga tahun mengikat tali pertunangan.


"Ketika saya dan suami keluar rumah pagi itu (Rabu), dia (Norazlina) ada di rumah bersama anak bongsu (Norsyamira, 16). "Tetapi, menurut Norsyamira, kakaknya meminta dia menghantarnya ke jalan besar di depan taman ini kerana mahu berjumpa kawan yang pernah bekerja kilang bersamanya untuk mengambil wang di Taman Pelangi.


"Kebiasaannya, kalau keluar dia akan pulang jam 1 tengah hari, tetapi sehingga hari ini dia tidak pulang. "Saya menghubunginya jam 11 pagi pada hari kejadian bertanyakan mengenai komputer riba adiknya. Itu kali terakhir saya bercakap dengannya dan cubaan kedua menghubunginya gagal apabila talian telefonnya dimatikan," katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

'Dendam todak'

Posted:

"Mungkin ikan todak ini dendam dengan saya kerana bapa tiri saya pun orang panggil 'Hashim Todak' kerana zaman mudanya suka memburu ikan todak untuk dimakan setiap kali turun ke laut," kata nelayan Telok Kemang, Abu Bakar Bachik, 57, yang cedera ditusuk ikan todak di bahagian perut ketika menjaring ikan berhampiran sebuah resort di Batu 7 di sini, awal pagi Isnin lalu.

Menurut Abu Bakar, ayah tirinya itu berhenti menjadi nelayan kira-kira 20 tahun lalu.


"Setahu saya, sepanjang ayah menjadi nelayan dan memburu ikan todak, tidak pernah dia diserang ikan ini," katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan, dekat sini, semalam.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Abu berkata, ketika kejadian jam 3 pagi itu dia dan rakannya, Rosli Abd Manap, 55, melalui kawasan berhampiran resort itu.


Katanya, dia memandu bot manakala Rosli duduk di tengah bot hampir dengannya.


"Tiba-tiba saya nampak kelibat ikan todak 'terbang' dan terus menusuk perut sebelah kiri dan hampir mengenai pusat. Saya rasa macam kena tumbuk dan terkejut dengan kejadian yang berlaku begitu pantas.

"Ikan todak lebih satu meter itu kemudian melompat ke laut. Saya ketika itu memakai dua lapis baju belum berasa sakit, sebelum darah mengalir membasahi baju dipakai.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Janji mereka tertunai

Posted:

Malam kelmarin Dataran Merdeka menjadi saksi kepada satu lagi acara bersejarah apabila 50,000 orang warga kota hadir menyaksikan Konsert Ekspresi Harian Metro 2013.

Acara gemilang itu dianjurkan akhbar nombor satu Malaysia, Harian Metro (HM) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Hot FM dan TV3.

Persembahan selama lebih dua jam itu sesak dengan penonton pelbagai latar dan generasi untuk menyaksikan persembahan menarik penyanyi hebat seperti Ramli Sarip, Ella, Black & RJ, Azlan & Typewriter, Najwa Latif, SleeQ, Alyah, Caroline, Soo Wincci, Khir Rahman dan Zivilia Band dari Indonesia. Konsert yang dihoskan Nabil dan Along Raja Lawak itu turut menampilkan pelakon jelita Anzalna.

Dengan iringan Orkestra DBKL di bawah pimpinan Mirza Eleno Abdullah, konsert itu sememangnya memberi impak tersendiri yang membuka dimensi baru penanda aras konsert moden di negara ini.


Malah ia boleh dianggap antara persembahan pentas paling berjaya anjuran akhbar dengan lebih empat juta pembaca itu selepas penganjuran Konsert Terima Kasih sempena 20 tahun operasi HM pada 2011.


Konsert itu turut diadakan bagi menghargai pembaca sempena pelancaran wajah baru Harian Metro/Metro Ahad pada 6 Januari lalu.

Hadir sama menyaksikan konsert berkenaan, Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times Press (NSTP), Datuk Abdul Jalil Hamid; Pengarang Kumpulan HM/MA, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid; Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Abdul Ghafar Ismail.

Konsert berkenaan dimulakan dengan gimik Black menunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati Diavel diiringi RJ yang turut dibawa dengan motosikal berkuasa tinggi Ducati Monster.

Deruman enjin dua motosikal dibawa khas Ducati Malaysia itu nyata membuatkan penonton teruja sebaik Black menanggalkan jaket dan topi keledarnya serta membuka persembahan dengan lagu Teman Pengganti bersama RJ.

Lagu terbabit turut menyaksikan kemunculan pelakon meningkat naik, Anzalna diikuti aksi solo Black dengan lagu Sofia Jane.

Suasana dihangatkan lagi dengan medley lagu Idola dan Lagu Untukmu serta Tanda Tanya daripada Azlan & The Typewriter. Kemeriahan konsert diteruskan dengan tarian lilin sewaktu Soo Wincci membawa lagu Kau Lilin Cintaku.

Tidak ketinggalan kemunculan pengarah filem, Mamat Khalid dengan gimik filem terbarunya, Rock Oo! bersama barisan pelakon filem itu seperti Que Haidar, Soffi Jikan sementara Khir Rahman menyampaikan lagu bertajuk Tika.

Bagi generasi muda, kehadiran artis duo dengan muzik kombinasi rap dan R & B, SleeQ dengan lagu Salam Untuk Semua serta duet bersama Najwa Latiff menyanyikan lagu Untuk Dia sebelum Najwa membawakan lagu Kosong.

Dengan dua lagu penyanyi sensasi Alyah membawakan lagu Kau Yang Terindah dan Where Have You Been yang mendapat sorakan gemuruh penonton serta seorang peminat fanatiknya yang memiliki iras seperti Ziana Zain.

Sekalipun hanya tiba beberapa jam sebelum konsert Ekspresi Harian Metro, kumpulan dari Indonesia, Zivilia Band tetap memberi impak dengan tiga lagu iaitu Kokoro No Tomo, Aishiteru dan Aishiteru 2. Malah, mereka antara yang mendapat sambutan paling meriah daripada penonton.

Kemunculan Ella berduet bersama Caroline untuk lagu Melawan Arus Cintamu dengan Ella sendiri menyanyikan lagu Rama-Rama dan Kesal.

Apapun, sorakan konsert itu benar-benar bergema sewaktu Ramli Sarip pada persembahan lagu Istilah Bercinta sebelum lagu keramat Kamelia dengan sebahagiannya duet bersama Black.

Upacara penutup juga berlangsung meriah dengan penutup dengan tarian Oppa Gangnam Style versi Hari Wilayah oleh penari-penari DBKL bersama percikan bunga api di angkasa Dataran Merdeka.

Ucapan terima kasih daripada Harian Metro buat semua yang terbabit dengan acara ini dan terima kasih juga kepada semua penonton yang datang memeriahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

Rekaan 'Pop Art'

Posted:

Seramai 26 pelajar cemerlang dari Jabatan Seni Reka Fesyen Fakulti Seni Lukis & Seni Reka Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mempamerkan kreativiti mereka 'UiTM Graduate Fashion Show / January 2013 - Gala Awards, baru-baru ini.

Acara dilangsungkan di White Box, Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur itu dihadiri ramai pereka fesyen terkenal yang juga bekas graduan UiTM antaranya, Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry dan Nik Erwan.

Seperti yang diketahui umum, UiTM sememangnya lubuk melahirkan pereka fesyen yang berwibawa. Maka, tidak hairanlah hasil rekaan yang dipamerkan pelajar tahun akhir fakulti berkenaan laksana pereka profesional.

Seperti jangkaan tetamu yang terdiri daripada pereka fesyen, pengkritik fesyen dan penulis fesyen, Nurul Diyana Zainul Ihsan, muncul sebagai pemenang Anugerah Emas.


Rekaannya yang menerapkan elemen 'pop art' iaitu komik dan 'flat clour' nyata cukup ringkas namun 'trendy' dan apa mengagumkan mengenai empat persalinan bertemakan 'Popped Out Kuala Lumpur' itu ia mengabadikan ilustrasi bangunan pencakar langit yang begitu ikonik seperti KLCC dan Menara Kuala Lumpur.


Penulis berpendapat, rekaan Nurul boleh diketengahkan sebagai produk 'signature' Kuala Lumpur untuk dijadikan cenderahati buat pelancong yang menggemari fesyen.

Mungkin dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Nurul boleh memulakan langkahnya menghasilkan sesuatu rekaan yang mampu membanggakan negara.

Manakala pemenang Anugerah Perak pula disandang Mohd Azmyl Mohd Amin, manakala Farah Izyan Suhaidi yang berinspirasikan elemen 'rangka' diumumkan pemenang Anugerah Gangsa. Antara rekaan yang turut menyerlah pada acara itu adalah, Azliana Meor Hamzah walaupun tidak menang.

Kesemua pemenang diadili individu yang cukup terkenal dalam industri fesyen iaitu Marini Ramlan, Sheena Falconer, Mahani Awang, Prof Majib Nor dan Jimmy Wong.

Setiap pereka yang terbabit diwajibkan menghasilkan empat rekaan dan secara keseluruhannya 104 dipamerkan kepada tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Aku dah bunuh babaku'

Posted:

Oscar Pistorius menangis teresak-esak ketika dia menghubungi sahabat karibnya pada awal pagi Hari Valentine lalu, sejurus selepas teman wanitanya ditembak.

Kata Justin Divaris, Pistorius jelas panik dan berkata: "Babaku, aku dah bunuh babaku. Tuhan, ambillah nyawaku." Kata Divaris, 27, Pistorius menghubunginya jam 3.55 pagi dan memberitahu teman wanitanya, Reeva Stennkamp, ditembak.


"Saya bertanya kepada Pistorius apa yang berlaku.

"Dia mengulang kata-katanya memberitahu berlaku kemalangan ngeri," katanya.


Menurut Divaris, Pistorius, 26, mendakwa dia menembak Reeva. Tidak lama kemudian, kata Divaris, jiran Pistorius menghubunginya dan meyakinkan apa diberitahu atlet terbabit adalah benar.


Katanya, dia sangat terkejut dan bertanya sama ada Reeva selamat.

"Kata jiran Pistorius, Reeva dalam keadaan parah dan saya mesti segera ke sana," katanya. Selepas memaklumkan kepada pihak berkuasa, Divaris memecut keretanya ke rumah mewah atlet digelar Blade Runner itu.


Kata Divaris, Pistorius menangis sejam di garaj rumahnya ketika polis menyiasat rumah berkenaan. Reeva, 29, sedang duduk di tandas ketika dia ditembak empat kali, masing-masing pada lengan, kepala, pinggul dan jari melalui pintu.

Pistorius mengangkat tubuh Reeva ke pintu depan dan cuba menyematkan kekasihnya dengan bantuan pernafasan.


Ketika itu juga, pengawal keselamatan dan jiran yang terdengar tembakan itu tiba ke rumah. Saksi berkata, mereka melihat Reeva menghembus nafas terakhirnya di pangkuan Pistorius.


Divaris bertanggungjawab mempertemukan Reeva dengan jaguh lumba lari berkaki palsu itu.


Katanya, dia berada bersama Pistorius kira-kira 10 minit dan bertanya apa yang berlaku.


Bagaimanapun, kata Divaris, Pistorius tidak mampu menjawabnya dan terus mengulang ratapannya.


Sementara itu, sumber lain berkata, keluarga Reeva sangat sedih dengan tragedi itu dan ibu bapa bekas model berkenaan kini dirawat akibat terkejut. Bapa Reeva, Bary Stennkamp berkata, hatinya hancur dengan kematian itu, tetapi yakin ada sesuatu yang dilalui Pistorius.


"Kami tak berdendam. Ini waktu sukar untuk kami dan kami berdoa Tuhan memberi petunjuk yang jelas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18

10 maut tanah runtuh di Manado

Posted:

Jakarta: Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh di utara Sulawesi, semalam selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh, kata pihak berkuasa.

Insiden banjir dan tanah runtuh yang melanda Manado itu turut memaksa 1,200 penduduk berpindah, kata jurucakap agensi pengurusan bencana nasional, Sutopo Purwo Nugraha.


Menurutnya sembilan daripada 10 orang yang terkorban itu ditimbus dalam kejadian tanah runtuh manakala seorang mangsa maut selepas dihanyutkan air banjir.

"Bilangan mangsa mungkin meningkat kerana tanah runtuh dilaporkan berlaku di beberapa kawasan. Kami masih berusaha memindahkan penduduk walaupun proses pemindahan dihalang air banjir yang belum surut di beberapa kawasan," katanya. Air setinggi dua meter menenggelamkan lebih 1,000 kediaman di tujuh daerah menyebabkan 1,200 penduduk terpaksa berpindah. - Jakarta Globe

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/18
Kredit: www.hmetro.com.my

Ahad, 17 Februari 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lemas selepas rendam kepala, basuh muka

Posted:

Melaka: "Seperti kebiasaan kami melihat dia merendam kepala serta membasuh muka di pantai, namun apabila menyedari dia tidak bergerak kami segera berlari ke tepi pantai untuk melihatnya."

Begitu kata seorang nelayan, Idris Jauh, 65, saksi kejadian seorang warga emas lelaki yang lemas di Pantai Kampung Hailam, Tanjung Kling, petang kelmarin.


Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Kembar, 70-an, lemas selepas merendamkan kepala dan membasuh muka di pantai itu.

Menurut Idris, ketika kejadian dia dan beberapa penduduk sedang berehat di sebuah pondok di pangkalan nelayan, tidak jauh dari lokasi.


Katanya, sebelum kejadian mangsa ada bertanya sama ada terdapat nelayan yang membawa ikan cabuk sebelum beredar dari situ.


"Namun, sebaik menoleh ke arah pantai tempat nelayan menurunkan perahu, kami lihat dia sudah berada di dalam air dan pada masa sama dia merendamkan kepala dan bangun sambil tangan kanannya memegang tali sauh perahu yang ada di situ.

Foto

MAYAT mangsa diangkat ahli keluarganya.

"Dia (mangsa) memang selalu begitu tetapi selepas kira-kira tiga kali berbuat demikian (merendamkan kepala dan bangun) kami menjadi cemas apabila mendapati dia tidak bangun sebelum kami berlari ke tepi pantai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.


Idris berkata, khuatir sesuatu yang buruk berlaku, mereka tidak berani masuk ke dalam air sebaliknya hanya berdiri di tepi pantai sebelum dia bergegas ke rumah mangsa memaklumkan kejadian berkenaan.

Katanya, mayat mangsa dipapah naik ke pantai oleh keluarganya yang datang ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian.


"Kami mengenalinya kerana dia kerap ke sini dan rajin membantu nelayan mengangkat jaring dan hasil tangkapan," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Leftenan Kolonel ditahan dalam operasi JAWI

Posted:

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel berusia 50an antara sembilan yang ditahan dalam satu operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di dua buah kelab malam berasingan, awal pagi tadi.

Turut ditahan ialah dua orang perempuan yang juga anak saudara kepada pegawai berkenaan di dalam sebuah bilik di kelab terbabit dipercayai meminum minuman keras berdasarkan resit pembelian ditemui anggota penguatkuasa.

Pegawai Perhubungan Awam Kanan JAWI, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata operasi rutin disertai 15 anggota diketuai Ketua Pegawai Penguat kuasa JAWI, Wan Jaafar Ahmad itu diadakan di Jalan Genting Klang di ibu negara, turut menahan lima lagi anggota tentera bersama tiga pegawai perhubungan pelanggan (GRO) berumur 40an.

"Dalam operasi biasa yang dijalankan, anggota kita menahan kesemua mereka sekitar jam 1 pagi sebelum dibawa ke ibu pejabat Jawi untuk siasatan lanjut. Apabila pemeriksaan alkohol dilakukan, kita dapati mereka mengambil minuman keras

Foto

Seorang pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel (kiri) antara sembilan yang ditahan dalam satu operasi JAWI. FOTO Mohammad Ersyad Jamaluddin


"Setakat ini, keterangan mereka sudah pun direkodkan dan pegawai terbabit dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan," katanya.


Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 19 akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana meminum minuman memabukkan dan Seksyen 29 akta sama kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

38 ditahan dalam serbuan pesta liar

Posted:

KUALA LUMPUR: Kegembiraan 38 lelaki dan wanita ketika mengadakan pesta liar serta mengambil dadah di sebuah kondominium mewah di ibu kota membawa padah apabila ditahan dalam satu serbuan, awal pagi tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 2.30 pagi, 26 lelaki dan 12 wanita berusia 18 hingga 31 tahun ditahan ketika leka berseronok di sebuah unit di tingkat 18 kondominium yang terletak di Jalan Anjung Putra, Off Jalan Sultan Ismail, dengan 22 daripadanya positif dadah dan enam orang pula memiliki dadah.

Ketika serbuan dijalankan, kesemua mereka dikatakan berada di premis terbabit dan asyik bersuka ria menikmati alunan muzik ala disko.

Dalam serbuan itu juga, polis merampas sejumlah dadah jenis ganja, pil Estacy dan Eramin 5.


Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kondominium mewah itu disewa pada harga RM800 antara RM1,000 semata-mata untuk mengadakan parti lalok.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


'Terbayang waktu kiamat'

Posted:

Moscow: Ketika satu objek bercahaya terbang pantas di udara, kelas gimnastik yang diadakan di Institut Kereta Api Chelyabinsk pagi kelmarin terhenti.

Semua pelajar tertumpu ke tingkap untuk melihat objek aneh berkenaan. Beberapa detik berlalu, dan tiba-tiba dengan dentuman kuat kaca tingkap di situ berkecai dan bandar Chelyabinsk bergegar. Hentaman meteorit (tahi bintang yang gugur ke bumi) di bandar Chelyabinsk yang tidak jauh dari sempadan memisahkan Eropah serta Asia itu membayangkan bagaimana suasana dunia apabila tiba waktu kiamat.


Walaupun ia bukan yang pertama, saintis berkata, hentaman sebelum ini tidak pernah mencederakan begitu ramai orang. Pelajar di institut berkenaan bergegas menuruni tangga untuk mencari tempat selamat di luar bangunan.

Di situ, ratusan orang terpaku memandang pancaran cahaya yang amat terang - bermula dengan warna kuning sebelum bertukar menjadi oren - di langit.


Sejurus kemudian, terdengar jeritan di mana-mana dan orang ramai kelihatan keliru. Kira-kira 1,200 orang dengan 200 daripadanya kanak-kanak cedera dan sebahagian besar mereka akibat terkena kaca yang berkecai di sekolah atau tempat kerja. Kementerian Dalam Negeri berkata, beberapa mangsa mengalami kecederaan kepala dan patah tulang.


Sehingga petang semalam, tiada laporan kematian diterima. Pihak berkuasa tempatan berkata, ada hampir 305,000 meter persegi kaca pecah, menyebabkan banyak bangunan terdedah kepada cuaca sejuk. Ketika saintis cuba mencari jawapan kepada insiden itu, penduduk Chelyabinsk terpaksa berdepan kenangan yang sebelum ini hanya dapat dilihat dalam filem fiksyen sains. Bloger Darya Frenn berkata, dia terkejut apabila ada haba panas menerpa masuk ke rumah ketika dia membuka tingkap.

Foto

ASAP dari meteorit dapat dilihat di langit.

"Seolah-olah laman saya mengalami musim panas. Kemudian saya nampak cahaya terbang di langit dan semakin kecil sebelum hilang di kawasan hutan," katanya.


Beberapa saat kemudian, kata Darya, dia terdengar letupan kuat menyebabkan tingkapnya tertanggal. "Mudah-mudahan Tuhan melindungi anda daripada mengalami insiden ini," katanya. Guru Valentina Nikolayeva berkata, dia melihat cahaya luar biasa yang menerangi kelasnya. "Ia cahaya yang tak pernah saya lihat, mungkin hanya berlaku pada hari kiamat," katanya. Pada jam 9 pagi (waktu tempatan), matahari baru naik di Pergunungan Ural yang memanjang antara bahagian Eropah Russia hingga ke Siberia di timur.

Chelyabinsk adalah bandar perkilangan industri pertahanan Russia, termasuk sebahagiannya menghasilkan senjata nuklear.


Kawasan kilang di situ dipisahkan kawasan hutan luas dan tidak berpenghuni. Ketika penduduk Chelyabinsk memulakan hari baru kelmarin, seketul meteorit seberat 10 tan dan selebar tiga meter jatuh ke bumi dengan kelajuan sehingga 19 kilometer sesaat. Akademi Sains Russia berkata, ia dianggap luar biasa kerana sifatnya terlalu keras dan mungkin dihasilkan daripada besi, membolehkan serpihan daripada meteor lebih besar sampai ke bumi.


Pengarah Pusat Sains Planet dan Penerokaan di Universiti Western Ontario Peter G Brown berkata, saiz asal meteor itu mungkin selebar 15 meter dan seberat 7,000 tan. "Tenaga dihasilkan daripada letupan itu menyamai 300 kilotan bahan letupan.


"Ini menjadikannya yang terhebat direkodkan sejak kejadian di Tunguska, Siberia pada 1908," katanya. - NYT

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17

Asteroid hampiri Bumi

Posted:

Florida: Sebutir asteroid terbang 27,600 kilometer dari Bumi hanya beberapa jam selepas sebuah meteorit terhempas di Pergunungan Ural di Chelyabinsk, kelmarin. Saintis berkata, ia adalah asteroid besar pertama mencatat jarak terbang paling hampir dengan Bumi.

Saintis dan Agensi Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) AS bertegas, meteorit itu tidak ada kena mengena dengan asteroid berkenaan kerana kedua-duanya terbang dalam arah bertentangan.


Asteroid adalah objek yang lebih besar berbanding meteor (tahi bintang) dan mengujakan peminat astronomi di Australia yang menyaksikan ia berlalu tanpa membahayakan Bumi. Dikenali sebagai Asteroid 2012 DA14, objek itu berada lebih hampir berbanding kebanyakan satelit komunikasi dan cuaca di angkasa.

Asteroid itu terlalu kecil untuk dapat dilihat dengan mata kasar walaupun ketika ia berada di kedudukan paling hampir dengan Bimi pada jam 2.25 petang (10.25 malam waktu Malaysia) di Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Tempat terbaik untuk menyaksikan asteroid itu menggunakan teropong ialah di Asia, Australia dan timur Eropah. Walaupun begitu, mereka hanya dapat melihat satu titik kecil bercahaya kerana ia bergerak pada kelajuan 28,000 kilometer sejam.


Secara bandingan, asteroid kelmarin itu dianggap kecil berbanding meteorit yang memusnahkan dinasor 65 juta tahun lalu selebar 9.6 kilometer. Bagaimanapun, saintis berkata, asteroid kelmarin masih boleh menyebabkan kemusnahan besar berdasarkan beratnya (143,000 tan) yang mampu menghasilkan tenaga bersamaan 2.4 juta tan TNT.


Dalam keadaan itu, kata saintis, ia boleh memusnahkan kawasan seluas 1,942 kilometer persegi. Nasa menganggarkan, meteor yang terhempas di Russia kelmarin jauh lebih kecil - kira-kira 15 meter lebar dan seberat 7,000 tan sebelum memasuki atmosfera. Ia bersamaan satu per tiga daripada asteroid yang terbang berhampiran Bumi kelmarin. Pegawai kanan Nasa, Jim Green, berkata kejadian kelmarin itu sangat luar biasa dan bersejarah. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/17
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved