Jumaat, 1 Mac 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Penentang tawan Masjid Ummaiyad

Posted:

Beirut: Pejuang antikerajaan menguasai kawalan Masjid Umayyad di Aleppo, semalam, selepas berlaku pertempuran sengit beberapa hari di situ.

Menurut badan Pemantau Hak Asasi Manusia Untuk Syria, tentera kerajaan terpaksa berundur ke beberapa lokasi di bangunan sekitar masjid terkenal itu.


Bagaimanapun, kata pemantau itu, bangunan bersejarah berkenaan mengalami kerosakan akibat pertempuran kedua-dua pihak. Pegawai badan itu berkata, muzium masjid berkenaan terbakar ketika pejuang antikerajaan dan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad berbalas tembakan.

"Ia menyebabkan siling masjid runtuh, memburukkan lagi kerosakan yang berlaku pada Oktober tahun lalu apabila pelbagai perabot antik dan satu daripada tiang berukir di situ musnah. Masjid Umayyad menjadi tempat umat Islam beribadah sejak abad kelapan, tetapi bangunan asalnya dimusnahkan tentera pada abad ke-13. Sementara itu, Badar Purba di Aleppo menyaksikan pertempuran sengit berlaku berhampiran Istana Keadilan dan Medan Sabaa Baharat.


Pengarah badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, berkata jika pejuang antikerajaan menguasai istana berkenaan, mereka mampu memutuskan laluan tentera tambahan ke Aleppo. Kubu itu - pernah dijadikan tempat pertahanan untuk 10,000 orang pada zaman silam - kini dikawal tentera yang setia kepada Bashar.


Pejuang berkata, tentera terbabit hanya mendapat bantuan dan bekalan melalui satu laluan yang belum mereka kuasai. - AFP

Foto

PEJUANG Tentera Pembebasan Syria dari Briged Pahlawan Utara meninggalkan satu daripada gua mereka untuk bertempur dengan tentera kerajaan di al-Karmid di Jabal al-Zaweya, Idlib, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Tawar isteri untuk disembelih

Posted:

New York: Lebih banyak maklumat mengerikan terbongkar dalam perbicaraan seorang anggota bandar raya ini yang dituduh bersubahat membunuh dan memakan wanita.

Pendakwa raya berkata, Gilberto Valle, 28, terbabit dalam perbualan di e-mel dengan seorang lelaki Pakistan, Aly Khan mendakwa dirinya penyembelih haiwan dan menghantar Valle video menunjukkan seekor kambing yang dikelar tekaknya.


Mahkamah juga diberitahu Valle mempunyai 'mentor' Inggeris yang mendakwa telah membunuh dan memakan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun.

Di Mahkamah Persekutuan Manhattan, ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Corey Walsh memberi keterangan dengan mengemukakan perbualan dalam talian antara Valle dan Khan tahun lalu, di mana Khan berkata, dia "ingin menyembelih seorang gadis dan menganggapnya sebagai daging". Perbualan berterusan: "Saya membunuh beberapa ekor kambing untuk melihat apa berlaku kepada binatang itu dan bagaimana ia dilakukan," katanya sebagaimana dipetik daripada kenyataan di mahkamah.


"Saya dapati ia sangat mudah. Hanya perlu membaringkan, ikat haiwan itu lalu terus mengelar tekaknya." Juri hanya diperlihatkan adegan utama penyembelihan kambing dalam video itu kerana ia sangat mengerikan, lapor akhbar New York Post.


Valle yang mengenali Khan menerusi laman web untuk golongan yang berfantasi memakan daging manusia menulis bahawa dia "cuba memilih seorang gadis yang boleh dihantar kepada Khan." Dia menambah: "Saya boleh memujuk teman wanita saya pergi ke India." Valle merujuk kepada Kathleen Mangan, wanita yang menjadi isterinya enam bulan selepas itu.

Kathleen memaklumkan kepada polis mengenai fantasi seksual suaminya selepas menemui bahan mengerikan pada komputer riba lelaki itu. Valle dan Khan terus berbicara untuk 'memalukan' Kathleen, bergilir-gilir memperkosanya dan kemudian membunuhnya bersama-sama.


Walsh juga membacakan petikan e-mel dan mesej pesanan ringkas antara Valle dan seorang lelaki Inggeris menggunakan nama Moody Blue.

Moody Blues mendakwa dia berfantasi makan daging manusia sejak berusia enam tahun, tetapi tidak dapat memenuhi keinginannya hingga 35 tahun kemudian.


Dalam satu e-mel, Valle memberitahu Moody Blue bahawa pemain sofbal dikenalinya adalah 'daging paling mengghairahkan pernah saya temui, menurut Daily Telegraph. Perbicaraan masih diteruskan. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pegang watak penghidap kanser

Posted:

Nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau mesra dengan panggilan Ejad bukanlah asing dalam bidang lakonan tanah air. Namun, selepas agak lama menyepi diri, kini dia sedia muncul kembali.

Apatah lagi, dia sekarang masih keseorangan akibat cinta dijalin tidak kesampaian dan putus di tengah jalan.

Sehubungan itu, Ejad berasakan dia perlu aktif dan pastikan dirinya sibuk de-ngan kerja. Ia sedikit sebanyak mampu merawat hatinya yang luka dan lembaran 2013 diharapkan membawa sinar baru dan lebih keceriaan dalam hidupnya.

Atas sebab itu, Ejad gembira dia diberi peluang membintangi drama Kerana Lelaki Itu, baru-baru ini.


Melakonkan watak Diana, wanita yang harus berkongsi kasih suami dengan wanita lain kerana tidak mampu memberikan zuriat disebab kan menghidap kanser, Ejad mengakui watak itu agak berat. Ia memerlukannya bijak bermain emosi dan juga sering berendam air mata.


"Menjadi Diana bukan saja satu cabaran besar tetapi pe-nyakit dihadapinya juga dekat dengan diri saya. Ia kerana, saya datang daripada keluarga yang mempunyai sejarah penyakit kanser. Jadi, segala perasaan sedih itu dapat dirasai dengan cepat kerana ada juga ahli keluarga meninggal dunia akibat kanser.

"Menyedari saya mempu-nyai risiko tinggi menghidap penyakit itu, maka langkah pencegahan diambil sekarang adalah kerap melakukan pemeriksaan kesihatan pada setiap bulan," katanya.

Secara kebetulan, Ejad mengalami masalah ketumbuhan 'ovarian cyst' dan sudah menjalani pembedahan tahun lalu.

"Saya menjalani pembedahan pada November tahun lalu sebaik saja disahkan doktor terdapat 'ovarian cyst' seberat empat kilogram di saluran peranakan," katanya.

Ejad berkata, sebelum itu dia pelik apabila melihat perutnya membuncit, namun hanya memikirkan ia mungkin berpunca akibat dia kerap makan banyak.

Bagaimanapun, dia semakin pelik kerana apabila menekan perut pasti ketulan itu bergerak-gerak. Justeru, apabila pemeriksaan kesihatan dibuat, ada kejutan di sebaliknya.

"Apapun, saya tetap bersyukur kerana tergerak untuk ke hospital melakukan pemeriksaan. Mujur, tidak terlambat dan masih boleh dibuang lagi. Kini saya masih dalam proses rawatan susulan dan perlu mengambil pil perancang setiap hari untuk tujuan penyusunan semula hormon dalam badan.

"Sekarang, saya berhadapan dengan masalah sukar mengawal selera makan. Jadi, sebab itu badan agak naik. Pil itu membuatkan selera makan saya meningkat, " katanya.

Ejad berkata, dia dinasihatkan doktor supaya tidak mendirikan rumah tangga dalam tempoh terdekat ini hingga dia betul-betul pulih.

"Jadi, daripada tidak melakukan apa-apa dan bosan di rumah, lebih baik saya pastikan diri sibuk dengan kerja. Sekurang-kurangnya, saya tidak perlu berasa tertekan," katanya.

Menurut gadis berusia 28 tahun ini, dia juga sangat seronok menghabiskan masa berlakon di lokasi peng-gambaran. Ia secara tidak langsung kesibukan kerja itu mampu menjadi terapi buat dirinya untuk pulih segera.

"Jika di rumah, saya keseorangan kerana ibu, Nazariah Mohd Salleh sudah meninggal dunia dua tahun lalu. Saya anak perempuan tunggal daripada lima beradik tetapi semua adik-beradik lelaki sudah berkeluarga.

"Jadi, sejak kematian ibu, hidup saya jadi kosong dan sunyi. Justeru, tak dinafikan memang keluarga pun mengharapkan saya bertemu jodoh segera," katanya.

Sekali pun menanggung perasaan sedih akibat putus cinta tetapi Ejad selesa berpandangan positif. Ujarnya, soal jodoh adalah ketentuan Tuhan, maka sebagai manusia biasa, dia harus bersedia menerimanya dengan hati terbuka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01

Dilema tomboy

Posted:

Permintaan novel untuk diterjemahkan ke drama televisyen atau layar lebar semakin mendapat sambutan dan menjadi 'trend' kepada produser drama dan filem. Penonton juga kini gemar melihat watak yang mereka baca dalam novel dihidupkan dalam drama.

Justeru, Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut tidak ketinggalan untuk berkongsi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel popular Cinta Kau dan Aku karya Siti Rosmizah terbitan Buku Prima.

Tampil dengan tajuk sama, siri Cinta Kau Dan Aku ini menggandingkan pelakon, Sara Ali dan Fizz Fairuz di samping Mardiana Alwi, Dynas Mokhtar, Syawal AF dan Mustafa Kamal bakal yang sudah menemui penonton dalam slot Arca setiap Khamis dan Jumaat, jam 10.05 malam menerusi TV1.

Peminat novel ini pastinya teruja menyaksikan lakonan pelakon kecil molek Sara Ali menghidupkan watak Nur Farisya Iman selain Fizz Fairuz selaku pelakon utama yang membawa watak Farish Hakimi.


Ia mengisahkan bagaimana seorang 'tomboy' mampu mencintai lelaki yang juga ketuanya di pejabat.


Cinta Kau dan Aku mengisahkan mengenai seorang gadis cantik dan baik hati bernama Nur Farisya Iman atau Risya. Selepas bapanya meninggal dunia, keluarganya hidup dalam serba kekurangan dan sejak itu dia mengubah penampilannya menjadi seorang yang kasar tetapi masih berbudi bahasa.

Kemiskinan hidup mengakibatkan Risya tidak dapat meneruskan pelajaran ke universiti dan terpaksa membantu ibunya berniaga kecil-kecilan di warung. Kemudian dia mengambil keputusan untuk mengikut temannya, Milah berhijrah dan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pemandu peribadi kepada majikan Milah iaitu tokoh korporat yang terkenal.

Dengan kesungguhannya, Risya berjaya meyakinkan majikannya untuk diterima bekerja. Bagaimanapun tiada siapa menyedari dalam diam Farish Hakimi jatuh hati terhadap Risya dan kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya lelaki itu apabila ibu Risya jatuh sakit, dia segera menghulurkan bantuan kos pembedahan penyakit jantungnya.

Rasa terhutang budi dengan lelaki itu membuatkan ibu Risya menyarankan agar Farish Hakimi mengahwini anaknya Risya. Untuk menyaksikan apakah yang berlaku antara Risya dan Farish Hakimi, anda harus mengikuti drama ini hingga akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Khamis, 28 Februari 2013

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Lori terbabas rempuh pagar balai polis

Posted:

Kuala Lumpur: Sebuah lori yang sarat membawa muatan tar seberat 15 tan dikatakan mengalami masalah brek sebelum terbabas dan merempuh tembok pagar Balai Polis Sungai Besi, di sini, pagi semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lori berkenaan dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Kampung Malaysia Tambahan, di sini.


"Lori terbabit sedang menuruni jalan berbukit dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) sebelum terbabas dan merempuh tembok balai polis itu.

"Akibat rempuhan itu, lori berkenaan terbalik di tengah jalan dengan separuh badannya masuk ke dalam balai," katanya ketika ditemui, semalam.


Berikutan insiden itu, pemandu lori terbabit patah kaki kiri manakala sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di persimpangan lampu isyarat berdekatan balai polis ditimbus limpahan tar yang tumpah dari lori itu.


"Bagaimanapun, pemandu dan penumpangnya yang dalam perjalanan melakukan kerja-kerja di Kem Sungai Besi, di sini, tidak mengalami kecederaan," katanya.

Foto

KEADAAN lori bawa muatan tar yang terbalik sebelum rempuh pagar Balai Polis Sungai Besi, semalam.

Katanya, selain kenderaan pacuan empat roda berkenaan, sebuah lagi kereta Proton Satria milik seorang anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan turut rosak terkena tayar lori yang tercabut selain muatan tar yang tertumpah.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Setiausaha akhbar maut dalam kemalangan

Posted:

REMBAU: Setiausaha Akhbar Menteri Sumber Manusia, B Sivam, 35, dan pemandunya Hazrin Hasan, 35, yang menaiki pacuan empat roda Toyota X-trail maut dalam kemalangan di kilometer 232 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, jam 9 pagi tadi.

Mangsa bersama seorang pemandu Kementerian Sumber Manusia yang dalam perjalanan dari Putrajaya ke Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Melaka, untuk program penyerahan baucer buku dan dan MOU dengan Asia E Univesiti yang dihadiri Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dimaklumkan seorang kakitangan ketika dia dalam perjalanan ke Alor Gajah dari Segamat, Johor.

Beliau berkata Sivam datang dari Kuala Lumpur untuk bertemu dengannya di Alor Gajah.


"Pihak polis memaklumkan kejadian kepada pihak kementerian yang kemudian memberitahu saya dan saya segera bergegas ke Hospital Tampin," kata Subramaniam ketika dihubungi di sini.


Subramaniam berkata, beliau masih menunggu laporan lanjut mengenai kejadian itu daripada pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Kejar kereta pulang RM37,500

Posted:

Batu Pahat: Usianya baru 13 tahun namun kejujuran dan kemurnian hati Amir Azizan Hashim mungkin jauh mengatasi orang dewasa apabila dia memulangkan semula beg tangan berisi RM37,500 (SG$15,000) milik seorang wanita warga Singapura yang tercicir.

"Saya mengayuh basikal selaju mungkin mengejar kereta dinaiki wanita itu bagi mengembalikan beg tangannya," katanya mengimbas kejadian itu yang berlaku berhampiran sebuah pasar raya di Taman Soga, di sini, awal Januari lalu.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Syed Esa, di sini, ditemui selepas menerima sijil penghargaan atas kelakuan terpujinya itu daripada pihak sekolah, semalam.

Sijil penghargaan itu disampaikan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) SMK Dato' Syed Esa, Mohd Taat Kasran.

Foto

Amir Azizan


Amir Azizan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi, awal Januari lalu ketika dia ke pasar raya berkenaan untuk membeli akhbar.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Peminat sangka Rimba Bara wujud

Posted:

Kutipan filem Rock yang pertama dulu mungkin tidak begitu besar dari segi keuntungannya apabila meraih RM1.5 juta, namun apabila bercerita soal 'impak' yang dialami barisan pelakonnya, ia tetap luar biasa.

Betapa hebatnya penangan Mamat Khalid selaku pengarah filem ini, sehingga penonton mempercayai bahawa Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan (Soffi) dan Hasnul Rahmat adalah anggota kumpulan Rimba Bara sebagaimana ditontoni mereka menerusi filem itu.

"Ada orang yang percaya kewujudan Rimba Bara dan beberapa kali saya di sapa dengan individu yang berbeza dan saya kira pernah menonton filem Rock. Mereka bertanya bila Rimba Bara hendak keluar album?

"Saya menjelaskan kami bukan kumpulan rock. Kami pelakon dan beraksi sebagai sebuah kumpulan adalah tuntutan dalam watak kami.


"Saya kira pertanyaan seperti itu satu kejayaan besar membuktikan bahawa kami sebagai pelakon berjaya menyatukan emosi dan keserasian sebagai sebuah kumpulan sehingga penonton terpedaya dan menganggap Rimba Bara itu 'wujud'.


"Pada masa yang sama, ia turut menjelaskan pemilihan pelakon yang dibuat oleh abang Mat (Mamat Khalid) tidak perlu mempertaruhkan wajah-wajah popular untuk menghidupkan setiap karektor yang mengisi perjalanan filem," kata Khir Rahman.

Khir berkata lagi, Abang Mat juga membuktikan untuk melakonkan watak komedi tidak semestinya mereka itu harus dari kelompok pelawak. Ini kerana, andai asas dan dalaman seseorang itu kuat berilah apa saja watak pasti mereka boleh menjiwai.

"Saya memang terhutang budi dengan Abang Mamat dan filem Rock sendiri memberikan impak cukup besar terhadap kerjaya lakonan saya yang dulunya tidak dipandang," katanya.

Bersetuju dengan pendapat Khir itu, Soffi berkata, Mamat Khalid satu-satunya pengarah yang tidak prejudis dan memilih bintangnya kerana bakat mereka.

"Ditolak atau 'reject' daripada sesuatu watak adalah perkara biasa kerana semuanya memandang pakej, muka kacak dan jambu, tapi tidak sekali-kali dengan Abang Mat. Sebab itulah, setiap kali Abang Mat menawarkan saya berlakon, saya tak pernah kisah langsung soal bayaran.

"Apa yang penting bagi saya, mahu bekerja dengan Abang Mat. Berlakon di bawah arahan Abang Mat, pelakon bukan sekadar berlakon, tetapi banyak perkara yang boleh kita pelajari kerana falsafah filemnya cukup mendalam.

"Sindiran yang memenuhi lawak jenakanya, diwujudkan bersebab untuk kita fikir dengan dalam berhubung banyak perkara yang selalu bangsa Melayu lupa.

"Kembali kepada Rock Oo! saya berani jamin ini adalah filem terbaik Mamat Khalid setakat ini dan penonton perlu menyaksikannya di panggung. Ia hebat dari pelbagai aspek bukan sahaja pengarahnya Mamat Khalid tetapi juga filem ini menggunakan khidmat pengarah fotografi Raja Mukhriz Ahmed Kamaruddin malah pelakon berjiwa besar," katanya.

Khir dan Soffi hadir bersama Que Haidar di Balai Berita, Bangsar baru-baru ini, bagi mempromosikan Rock Oo! - sekuel atau kesinambungan kepada Rock yang dihasilkan pada 2005.

Soffi percaya, sambutan yang bakal diberikan kepada Rock Oo! akan lebih baik berbanding Rock yang pertama, tujuh tahun lalu di mana ia ketika itu ditayangkan serentak dengan filem Hollywood, King Kong dan Narnia.

Melalui ulasan peng–kritik filem, laporan akhbar, blog dan online, rata-rata memberikan komen positif terhadap kemunculan Rock Oo! yang disifatkan lebih baik daripada filem Rock.

Rock Oo memaparkan kisah kehidupan kumpulan Rimba Bara yang berpecah kerana Zul Kapan (Soffi), selaku penyanyi utama kumpulan itu beralih arah kepada kumpulan 'black metal' Malaikat Maut.

Semangat ahli kumpulan Rimba Bara, iaitu Jijo watak yang dimainkan Khir Rahman dan Azmi Black (Norazmi Bahron), semakin lumpuh dengan tindakan Zul.

Bagaimanapun, kehadiran Amy Mat Piah (Que Haidar) yang memegang kepada prinsip 'pantang anak petani moden mengaku kalah', berhajat untuk menyatukan kembali kumpulan yang pernah menjadi kegilaan ramai itu selain menyerapkan anggota baru Slash Haji Tapah (Pekin Ibrahim) yang kacak.

"Amy Mat Piah digambarkan sebagai simbolik semangat di dalam filem ini.

Walaupun dia tidak diterima sebagai vokalis Rimba Bara kerana suaranya tidak bagus tambahan pula, Zul Kapan kembali menyertai Rimba Bara namun bersatunya Rimba Bara yang hampir musnah kerana semangat Amy Mat Piah. Walaupun dia hanya penjual ais kacang di kampung, jiwa seninya sangat hebat yang diwarisi daripada datuknya, pemuzik ghazal.

"Watak saya untuk sekuel Rock ini juga lebih besar berbanding yang pertama. Susah juga untuk saya mengingati semula karektor Amy Mat Piah yang pernah saya bawakan tujuh tahun lalu.

"Tambahan pula, ketika tawaran itu diberikan Abang Mamat, saya mengambil keputusan untuk bersara dalam dunia lakonan. Hampir tidak mahu ambil tawaran ini, tapi Khir yang bersungguh-sungguh meyakinkan saya dan selepas membaca skrip tertanya sukar untuk saya menolak tawaran ini kerana ia adalah satu lagi karya paling baik pernah dihasilkan Abang Mat.

"Terus-terang, saya tidak suka berlakon watak komedi kerana saya tidak suka melihat diri dan lakonan saya dalam situasi itu walaupun ramai penonton menyukai saya begitu.

"Saya lebih cenderung kepada watak-watak yang berat. Namun, ada pengecualian untuk Abang Mamat kerana hanya filem komedi arahannya akan saya bintangi," katanya yang tidak jadi bersara dari dunia lakonan sebaliknya lebih selektif memilih watak.

Sementara itu, sebelum meng–akhiri perbualan Khir menambah, pembabitan semula Que di dalam Rock Oo! adalah berita gembira buat seluruh produksi filem berkenaan.

"Amy Mat Piah itu adalah Que. Tiada siapa yang layak membawakan watak berkenaan melainkan hanya Que saja paling layak dan sajak.

"Sebagai sahabat dan abang, saya berharap Que terus berlakon kerana dia berbakat dan disukai peminat. Dia tidak perlu bersusah-payah seperti saya untuk mencipta nama kerana jalan yang ditakdirkan untuknya dalam lapangan lakonan mudah.

"Mungkin Que selepas ini hanya perlu berkarya untuk watak yang mendatangkan kepuasan bagi seorang pelakon.

"Individu seperti Que perlu ada dalam mengisi kekosongan pelakon hebat di negara ini," kata Khir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Pinjam suara 100 bakat tempatan

Posted:

Awal tahun 2013 menjadi permulaan baik buat Animasia Studio apabila program animasi terbitan mereka, Ask Lara dicalonkan di International Emmy Kids Awards bulan ini sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk terus tampil dengan produk bermutu.

Bulan depan, Animasia Studio bakal tampil dengan Bola Kampung The Movie selepas menerima reaksi positif dari siri Bola Kampung yang kini disiarkan di TV9 dan Cartoon Network Asia.

Kini, Animasia Studio mempertingkatkan lagi portfolio dengan menjadikan siri popular ini dalam bentuk filem 3D.

Bakal ditayangkan pada 21 Mac ini, Animasia Studio berharap filem Bola Kampung The Movie mendapat sokongan umum yang kini dilihat semakin giat menyokong produk tempatan.


Pengarah Urusan Animasia Studio Sdn Bhd dan Penerbit Eksekutif filem berkenaan Edmund Chan berkata, apa yang menarik mengenai pembikinan filem animasi ini ialah ia menampilkan ramai selebriti yang menyumbangkan suara untuk setiap watak.


"Projek ini disertai lebih 100 bakat tempatan dan filem ini akan mempersembahkan format Imej Janaan Komputer (CGI) yang baru dan menakjubkan.

 "Setiap karakter dalam filem ini diberikan 'nyawa' melalui suara yang dipinjamkan oleh pelakon, pe­nyanyi, komposer dan penyanyi tempatan. De­ngan bajet RM6 juta, kita menjanjikan hasil kerja tempatan dengan kreativiti yang hebat," katanya.

Edmund berkata, antara selebriti yang terbabit sebagai pelakon suara ialah Afdlin Shauki, Ezlynn, Deanna Yusoff, Datuk Aznil Nawawi, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan, Marsha Milan, Baki Zainal, Noh dan Douglas Lim.

Turut terbabit dalam proses menyumbangkan suara adalah Harris Alif, Adila Shakir, Meester Bones dan Mamat.

Edmund berkata, Bola Kampung bermula sebagai siri televisyen animasi buatan Malaysia yang disiarkan dalam bahasa Melayu di saluran RTM dan TV9 sebelum dialih bahasa ke bahasa Inggeris dan bahasa lain dengan judul Football Kids untuk taya­ngan Disney Channel di 16 buah negara termasuk Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Vietnam dan Turki sejak 2007.

Bola Kampung juga adalah siri animasi pertama dari Malaysia yang mendapat saluran melalui Disney Channel Asia dan hingga kini, siri berkenaan disiarkan empat musim di kaca televisten.

"Pada 2011, siri ini diperbaharui dengan judul Bola Kampung X dan ditayangkan secara perdana di saluran Cartoon Network. Sebelum ini, sejak 17 tahun lalu, pihak Animasia Studio sudah menghasilkan pelbagai produk animasi antaranya Bola Kampung, ABC Monster, Chuck Chicken, Balla Bowl, Bola Kampung X, Supa Strikas, Harry Bunny dan Asian Folklores," katanya.

Bola Kampung The Movie mengisahkan Amanda, seorang puteri dari dunia permainan maya Kingdom Hill dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari wira bergelar Suria Warrior untuk menyelamatkan Kingdom Hill yang diserang virus.

Setibanya di Kampung Gong Lechar, Puteri Amanda tiba-tiba hilang ingatan dan berkawan dengan wira Bola Kampung seperti Iwan, Azizul, Sabok, Kumar dan lain lain.

Iwan pula salah anggap Puteri Amanda adalah sepupunya yang sedang bercuti sempena cuti persekolahan dan terus memperkenalkan Puteri Amanda kepada kawannya.

Tanpa disedari, seorang penjahat dari Kingdom Hill juga dihantar ke Kampung Gong Lechar untuk mencari dan membunuh Puteri Amanda.

Selepas beberapa hari, ingatan Puteri Amanda beransur pulih sedikit demi sedikit dan menyedari bahawa Sabok ialah wira Suria Warrior yang dicari-carinya selama ini. Malang sekali, Puteri Amanda ditangkap dan dilarikan penjahat itu serta dipaksa pulang ke Kingdom Hill.

Filem animasi pengembaraan ini wajib ditonton khalayak untuk mengenal sebuah ikatan antara persahabatan dan kekeluargaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bahana minta kasut

Posted:

London: Sebagai seorang daripada lima kumpulan muzik paling terkenal di dunia, Harry Styles sudah biasa dihujani limpahan hadiah.

Tetapi remaja itu mengalami kesakitan kelmarin apabila hasrat peminat untuk memberinya hadiah bertukar menjadi insiden buruk.


Selepas seorang peminat membaling kasut ke atas pentas ketika konsert di Glasgow, Scotland, Styles bertanya kepada penonton mengapa dia hanya mendapat sebelah kasut.

Pada waktu itu, peminat membaling sebelah lagi kasut ke pentas dan mengenai kelangkangnya. Penyanyi berusia 19 tahun itu dilihat memegang bahagian kemaluannya sebelum rebah di pentas dengan anggota One Direction (1D) yang lain iaitu Liam Payne dan Zayn Malik bergegas ke arahnya.


Namun, selepas melaungkan 'Man down!' setelah menyaksikan insiden itu, anggota kumpulan itu segera memastikan kepada penonton bahawa Styles dalam keadaan baik. Dan Styles berupaya bangun dan meneruskan persembahan. Penyanyi itu dilihat meluru dan menggeliat bagi memastikan semuanya baik sebelum dia meneruskan persembahan dengan anggota kumpulan yang lain ketika konsert jelajah Take Me Home mereka. Sementara kasut menjadi hadiah paling luar biasa dibaling ke pentas, ia adalah hadiah paling pelik yang diterima kumpulan itu setakat ini - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

Perenang maut dibaham jerung

Posted:

Auckland: Perenang Auckland dibaham hingga mati oleh seekor jerung berukuran 4.3 meter, dipercayai jenis Great White, semalam.

Adam Strange, 46, diserang dan ditarik ke dalam air 200 meter dari pantai Muriwai di Auckland pada jam 1.30 petang di depan beratus-ratus pengunjung pantai.

Lebih tiga lagi jerung dikatakan terbabit dalam serangan itu ketika anggota polis melepaskan 20 tembakan dari bot keselamatan dan helikopter dalam usaha menyelamatkan Strange.

Polis berkata, mereka tidak tahu sama ada tembakan mereka mengenai jerung itu, tetapi haiwan itu berundur dan menghilangkan diri.


Tubuh mangsa kemudian ditemui di laut. Polis berkata, keluarganya sangat kecewa. Mereka menyifatkan mangsa, penerbitan filem sebagai bapa, suami dan kawan yang hebat serta baik.


Pengawal pantai yang mengenali Strange mengambil masa setengah jam untuk menemui mayatnya yang di kelilingi dua jerung.

Menurut laman web stuff.co.nz, seorang nelayan, Pio Mosie yang menyaksikan serangan itu menyifatkan kejadian itu mimpi ngeri.

"Kami melihat jerung muncul dan seminit kemudian ia menyerang mangsa dan kelihatan darah dekat permukaan air.

"Mangsa bergelut dengan jerung itu sebelum ikan itu meninggalkan kawasan. Kemudian, beberapa lagi jerung datang menyerang mangsa.

"Kami hanya dapat melihat ikan itu menarik mayat mangsa ke kawasan lebih jauh," katanya. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Sengaja persia peluang

Posted:

Kuala Lumpur: Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara (B-23), Ong Kim Swee melahirkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi anak buahnya selepas mensia-siakan peluang melakar kemenangan apabila membenarkan Laos bangkit mengikat kedudukan 3-3 pada aksi persahabatan di Vientiane, kelmarin.

Selepas mendahului 3-1, skuad muda negara melakukan kesilapan hingga memberi ruang kepada Laos yang dibarisi pemain senior menyumbat dua gol dalam tempoh lima minit terakhir.


Biarpun mengaku prestasi pemain lebih baik berbanding ketika seri dengan Myanmar 0-0 dalam satu lagi aksi persahabatan minggu lalu, Kim Swee nyata kurang senang dengan keputusan diraih di Vientiane kali ini.

"Kita bermain lebih baik berbanding menentang Myanmar tapi selepas mendahului 3-1, kita gagal mengawal keadaan hingga dibolosi dua gol dalam lima minit terakhir menerusi sepakan penalti dan kesilapan pemain mengeluarkan bola.


"Saya mahu semua pemain khususnya pemain baru lebih matang apabila berada dalam tekanan. Saya memang belum puas hati dengan prestasi keseluruhan pasukan," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Vientiane semalam.


Pada perlawanan itu, gol skuad negara disumbang A Thamil Arasu, Rozaimi Abd Rahman dan Muhammad Nurridzuan Abu Hassan.

Foto

ROZAIMI (kiri) berjaya jaring satu gol.

Skuad kendalian Kim Swee kembali ke tanah air malam semalam dan akan berlatih seperti biasa sebelum berlepas ke Slovakia bagi sesi latihan dan perlawanan bermula 15 Mac sebagai persiapan menghadapi misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar hujung tahun ini.


Sementara itu, Kim Swee mengesahkan masih belum ada kata putus mengenai kontrak dua pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria bersama Ryukyu FC meskipun wakil kelab divisyen tiga Jepun itu datang ke Laos untuk mengadakan perbincangan.

"Hasil perbincangan dengan wakil kelab itu nampak positif tapi keputusan akhir hanya diketahui selepas satu lagi perbincangan pada 11 Mac ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28

'Sedia anjur lagi tahun depan'

Posted:

Kuching: Sambutan yang cukup menggalakkan pada saingan Karnival Futsal Harian Metro di Kuching, Sarawak hujung minggu lalu mendorong penganjur untuk menganjurkannya lagi pada masa akan datang.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar berkata, sambutan diterima membuktikan rakyat Sarawak sangat menyokong karnival yang kali pertama dibawa ke negeri Bumi Kenyalang itu selepas tujuh tahun berlangsung di Semenanjung.


"Kami terpaksa menolak permohonan selepas tamat tarikh tutup pada 15 Februari lalu kerana mahu memastikan perjalanan karnival ini berjalan dengan lancar.

"Situasi itu menunjukkan jumlah penyertaan melebihi sasaran ditetapkan dan ia benar-benar menggembirakan kami.


"Kualiti permainan yang dipamerkan juga amat menarik sekali gus membuktikan rakyat Sarawak juga mempunyai bakat dan skil cukup tinggi dalam sukan futsal," katanya.


Jelas beliau, Karnival Futsal Harian Metro tidak mustahil menjadi acara tahunan di Sarawak sekiranya mendapat sokongan tajaan yang kukuh.

"Kami memang berhasrat untuk terus menganjurkannya pada masa depan tetapi terpulang juga kepada sokongan penajaan.


"Jelas sekali rakyat Sarawak sangat menyokong penganjuran karnival ini dan kami yakin sambutan lebih hebat pasti diterima sekiranya kami terus menganjurkannya selepas ini." Karnival Futsal Harian Metro edisi Sarawak yang berlangsung hujung minggu lalu mencatat sejarah apabila sebanyak 193 pasukan daripada tiga kategori iaitu Terbuka Lelaki, Wanita dan Remaja Bawah 17 mengambil bahagian, melebihi jumlah disasar penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved