Keunikan penyanyi berambut perang ini pantas mencuri perhatian pengikut muzik sedunia. Vokal dan cara nyanyiannya berbeza dengan penyanyi sedia ada membuatkan pendengar tertanya-tanya siapakah gadis berusia 26 tahun ini.
Kemunculan Elena Jane Goulding atau Ellie Goulding membawa dimensi baru apabila genre indie pop, synthpop, folktronica, indietronica, dream pop dan alternative dance membezakan dia dengan penyanyi baru yang lain.
Memiliki identiti tersendiri dan kebolehan membuat lagu membuktikan Ellie tahu hala tujunya serta bagaimana mahu menakluk pendengar masa kini.
Tidak terfikir akan menjadi penyanyi, penyanyi Lights itu pernah menyimpan niat untuk menceburi bidang lakonan, namun sewaktu menamatkan zaman persekolahannya, Ellie mulai sedar dia patut memilih muzik.
Berpeluang mendekati gadis kelahiran Lyonshall, Herefordshire, England ini ketika konsertnya di Singapura baru-baru ini, Ellie berkata, dia bermula agak lambat sebagai penyanyi iaitu di usia 17 tahun.
"Sebenarnya dulu saya selalu fikir akan menjadi pelakon suatu hari nanti. Semua orang boleh menyanyi, namun terlepas pandang sebenarnya saya punya keunikan daripada segi suara dan cara nyanyian.
"Padahal pada masa itu, saya sudah pun berjinak-jinak dengan pelbagai instrumen muzik seperti gitar dan klarinet. Maka, tamat saja zaman persekolahan, saya mula menyanyi di acara kecil, festival dan pub demi menyambung minat dalam muzik," katanya yang mula serius sebagai penyanyi sejak 2007.
Cukup mesra dan tenang bercerita, meniti zaman kemuncak dilimpahi populariti dia turut menyatakan kebimbangan terutamanya setiap kali berhadapan dengan media.
"Saya takut setiap kali menjalani temu bual kerana bimbang ditanya soalan mengenai kisah lampau. Jika boleh saya tidak mahu menceritakan kisah silam saya. Bukan tidak suka, saya tidak kisah ditemuramah, namun sebaiknya tidak menyentuh pasal itu.
"Semakin dikenali ramai, sebenarnya saya juga takut dengan pasang surut seorang artis itu yang sudah menjadi asam garam dalam bidang ini. Kerana itu, saya mahu pastikan akan terus bekerja-keras menghasilkan karya terbaik buat peminat," katanya.
Bakal mengiringi penyanyi tersohor Bruno Mars dalam siri jelajahnya tidak lama lagi, Ellie mengaku teruja dapat menyertai penyanyi itu apatah lagi Bruno memang satu nama besar.
"Selain menjalani siri jelajah sendiri, berpeluang menjadi artis jemputan untuk Bruno adalah satu penghormatan buat saya.
Bukan saja dapat berbual secara dekat dengannya, dia juga seorang penyanyi yang tidak lokek memberikan tips menulis lagu," katanya yang akan membuka konsert itu kelak dan menghiburkan peminat selama setengah jam.
Dia yang pernah bekerjasama dengan nama-nama besar termasuklah Tinie Tempah, Calvin Harris dan Jessie J kini mencari peluang untuk mengikat kolaborasi dengan rapper terkenal, Drake pula.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/02