Geram dengan iklan yang mengajak dan menggoda wanita untuk 'melunturkan' warna kulit, satu pergerakan spontan muncul di Senegal dengan menegaskan bahawa hitam itu cantik dan tindakan mencerahkan kulit boleh menjejaskan kesihatan seseorang.
Kempen mengekalkan warna asal kulit itu timbul tidak lama selepas kehadiran iklan krim kosmetik dipanggil 'Khess Petch' atau 'semua putih' (semua cerah) dalam bahasa tempatan, Wolof, di Dakar, ibu kota Senegal tahun lalu.
Kata-kata dalam poster iklan itu menjanjikan 'tindakan segera' dan 'hasilnya boleh dilihat dalam tempoh 15 hari'. Mereka menunjukkan gambar sebelum dan selepas seorang wanita muda yang asalnya berkulit gelap, tetapi menjadi lebih cerah melalui proses penyahpigmenan, dalam bahasa tempatan dipanggil 'kheessal' atau pelunturan warna kulit.
"Kita ditipu oleh poster yang mengatakan bahawa hitam itu tidak cantik kerana ia menyarankan supaya wanita muda melakukan transformasi diri dalam tempoh dua minggu," kata Aisha Deme, yang mengendalikan laman web budaya Agendakar.com
"Sebagai tindak balas spontan, kami mahu meningkatkan kesedaran wanita berkulit hitam dengan melancarkan 'Nuul Kukk', yang bermakna 'hitam seluruhnya', kata wanita muda itu.
Penggiat kempen menampal poster yang mereka sendiri di ibu kota Senegal. Poster ini memaparkan wanita berkulit gelap yang bangga dengan warna kulitnya. Gambar poster itu adalah sentuhan kreatif seorang jurugambar fesyen, Stephane Tourne dan reka letaknya hasil kerja tenaga mahir pengiklanan yang dibuat secara percuma.
Kempen Nuul Kukk, yang dijalankan dengan aktif secara dalam talian dan mempunyai laman web, Facebook dan Twitter sendiri, turut memaparkan artis tempatan termasuk penyanyi rap Keyti, perunding gaya Dior Lo dan aktivis hak asasi wanita, Kine Fatim Diop.
Kempen berkenaan turut mendapat sokongan pakar kulit, Fatimata Ly, yang sudah 10 tahun berjuang menentang amalan 'kheessal' sebagai sebahagian daripada usaha penerangan Persatuan Maklumat Penyahpigmenan Buatan Antarabangsa.
Bagi Ly, pelunturan warna kulit adalah satu perkara yang perlu dipandang serius kerana 67 daripada 100 wanita mengamalkan penyahpigmentasi buatan dengan menggunakan pelbagai produk mencerahkan kulit.
Produk mencerahkan warna kulit ini mengurangkan kebolehan badan untuk 'mempertahankan dirinya daripada pelbagai jangkitan' dan ia juga mempunyai 'kesan lebih besar ke atas kesihatan contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi," katanya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan pakar kulit Perancis dan Senegal pada 2003, penggunaan krim pencerah kulit ini amat berleluasa dalam kalangan wanita di negara sub Afrika Sahara. Dianggarkan 25 hingga 67 peratus wanita di negara ini adalah pengguna tegar krim pencerah kulit.
Di Senegal, fenomena pencerahan kulit ini melanda wanita, namun ada juga lelaki yang turut terjebak khususnya mereka yang menjadi penghibur.
Krim, susu dan gel pencerah mengandungi bahan yang asalnya bertujuan untuk tujuan terapeutik, seperti kortikosteroid dan hidrokuinon yang sepatutnya hanya boleh diperoleh melalui priskripsi doktor saja, kata Ly lagi.
"Malangnya, anda boleh membeli semua produk pencerah ini di mana-mana pasar di Senegal. Ia memang mudah didapati," sambungnya lagi.
Harganya juga murah - antara satu hingga 1.5 euro (RM4.20 hingga RM6.20) lima hingga enam kali lebih murah berbanding di kedai farmasi, kata Ly, sambil menunjukkan gambar di skrin komputernya. Gambar akibat kesan pelunturan warna kulit termasuklah kaki bengkak; kulit lebam, luka dan melecur.
Jadi amalan
Selama 20 tahun, Diop, 50, seorang suri rumah, tidak lupa menyapukan krim pencerah setiap malam sebelum tidur untuk menjadikan dirinya 'cantik' - sehinggalah tompok hitam mula kelihatan tiga tahun lalu.
Diop, yang malu untuk memberitahu nama penuhnya berkata, sebenarnya dia sudah diingatkan mengenai risiko penggunaan krim pencerah seumpama itu, tetapi seperti kebanyakan wanita Senegal lain - dia memilih untuk tidak menghiraukan pesanan berkenaan.
"Saya suka gunakan krim pencerah kerana orang cakap saya nampak lebih cantik," katanya.
Selepas dua dekad, amat sukar bagi Diop untuk menghentikan amalan yang sudah diamalkan sejak muda; walaupun selepas kemunculan tompok hitam itu.
"Untuk berhenti, saya mendapatkan sokongan kawan. Tanpa dia, susah juga hendak berhenti menggunakan krim pencerah. Kawan saya menunjukkan majalah di mana seorang wanita menderita kerana kesan krim pencerah. Melihat gambarnya, saya beritahu diri sendiri supaya betul-betul nekad untuk berhenti," katanya.
Penjualan krim pencerah di Senegal memang meluas; kebanyakannya diimport dari Mali dan Ivory Coast. Ia dijual pada harga semurah 500 CFA francs (RM3.20) dan krim yang lebih mahal berharga 25,000 CFA francs (RM166) sebotol.
Mounass, 22, menyapukan krim pencerah dua kali sehari dan setiap bulan dia membelanjakan 40,000 CFA francs (RM256) - lebih tinggi daripada gaji minimum di Senegal untuk membeli produk kecantikan kerana 'lelaki lebih sukakan wanita berkulit cerah'.
"Saya tidak tahu ia ada kesan buruk pada kesihatan," katanya apabila ditanya mengenai risikonya selepas meninggalkan kedai dengan membawa beberapa botol krim pencerah.
Walaupun label pada kebanyakan produk mengatakan kandungan hidrokuinon tidak melebihi dua peratus dalam produk mereka, tetapi jurujual di Sandaga berkata sebenarnya ia mungkin mengandungi lebih lima peratus.
Penggunaan hidrokuinon sudah diharamkan di Kesatuan Eropah sejak 2001 kerana ia bersifat karsinogenik (bahan yang boleh menyebabkan kanser).
Walaupun Senegal mengharamkan penggunaan krim pencerah pada pelajar sekolah rendah dan menengah, yang berisiko dibuang sekolah jika ditangkap menggunakan krim berkenaan, namun doktor berkata penjualan produk kecantikan seperti itu tidak dipantau.
Antara risiko terbesar penggunaan krim pencerah ialah jangkitan kulit akibat steroid yang boleh menyebabkan keracunan darah. Selain itu, pengguna juga kerap berjumpa doktor kulit akibat akne, tompok hitam dan nanah akibat menggunakan krim pencerah.
Kajian unit kehamilan di Institut Kebersihan Sosial di Dakar pada 2006 menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan krim mengandungi steroid mempunyai berat badan lebih rendah, kata Ly.
Seperti Diop, ramai wanita mengalami masalah yang dipanggil kebergantungan psikologi pada produk yang dikatakan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka.
Kajian pada 2004 yang dijalankan pakar kesihatan Senegal termasuk psikologi mendapati ramai wanita berpendapat berkulit cerah itu membuatkan mereka lebih moden, menarik dan dipandang tinggi.
Bagaimanapun Diop berkata, dia tidak sangka mendapat pujian selepas berhenti menggunakan krim pencerah.
"Semua orang kata saya nampak lebih muda berbanding suami. Kulit saya pun sudah kembali ke warna asalnya," katanya.
Wanita tertarik dengan produk pencerah kerana percaya ia membuatkan mereka lebih cantik. Penyelidik dan doktor mengakui sukar untuk meyakinkan wanita bahawa warna kulit asal yang dianugerahkan tuhan itu sudah cukup cantik.
"Masyarakat hari ini sangat menekankan kriteria kecantikan...semua orang mempromosikan wanita yang berkulit cerah sama ada dalam akhbar, majalah atau klip video," kata Deme.
"Kami mahu menyarankan masyarakat supaya menghentikan amalan penyahpigmenan.
Kita perlu menghentikan pengimportan dan penjualan produk kecantikan seperti ini, supaya iklan yang memberi pengaruh tidak baik ini dapat disekat. Kami tahu, usaha ini akan mengambil masa, tetapi kami akan terus berjuang," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04