Isnin, 4 Mac 2013

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Detik gemilang, berprestij

Posted:

ACARA gemilang Bella Awards 2013 yang julung kali dianjurkan ntv7 boleh dianggap satu lagi acara anugerah negara yang hebat dan menarik apabila memfokus kepada kejayaan golongan wanita di Malaysia.

Kejayaan itu merangkumi pelbagai bidang yang diceburi golongan wanita atau 'bella' (dalam bahasa Latin) selain sumbangan besar mereka terhadap masyarakat.

Dari sudut hiburan, acara kemuncak yang berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur itu tentunya lebih tertumpu kepada pembabitan selebriti tanah air bersama persembahan artis jemputan dari dalam dan luar negara.

Paling mendapat tumpuan dan tepukan gemuruh adalah kemunculan bekas anggota Boyzone, Ronan Keating yang tampil pada segmen terakhir bersama dua lagunya, When You Say Nothing At All serta Fire.

Foto

SAIDAH menerima trofi bagi pihak adiknya, Siti Nurhaliza.

Foto

WAJAH ceria Farra Fauzana menjulang trofinya.

Foto

KEMAMPUAN Ngai Yuen terbukti.

Foto

AKSI Rossa sewaktu di pentas Bella Awards 2013.


Lebih menarik, ulang tahun hari jadi Keating yang jatuh semalam juga diraikan lebih awal di pentas oleh barisan hos pada malam itu, Vanessa Chong, Elaine Daly, Daphne Iking dan Hans Isaac.


Keating yang masih kacak dan sasa menjadi pujaan ramai pada malam itu dan menganggap pembabitannya dalam Bella Awards 2013 sangat bermakna sekali. Dia juga cuba berkomunikasi dalam bahasa Malaysia tatkala memuji kehebatan wanita tempatan.

Selain Keating, kemunculan Rossa dan Marcell dari Indonesia turut menyerikan lagi acara yang dilihat cuba meminjam aura Golden Globe Awards itu. Lebih 500 tetamu yang bergaya dengan gaun petang dan 'black tie', diraikan dalam majlis koktel pada lewat petang dan kemudian ke acara makan malam dengan juadah Barat.

Apapun kejayaan manis dirasai penyampai Hot FM, Fara Fauzana, 33, apabila berjaya merangkul trofi Bella Radio Award yang menyaksikan saingan sengit daripada finalis lain iaitu Hunny Madu, Dilly, Linda Onn, Patricia K, Sara-Jane Lo, Sarimah Ibrahim, Serena C, Yoon Ng dan Tham Zher Pheen.

"Pagi tadi saya berada di Pulau Pinang untuk aktiviti Planet Radio, kemudian tengah hari bergegas pula ke Sungai Petani, Kedah, sempena' road tour' Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

"Dalam perjalanan pulang, saya ketepikan soal lelah untuk berada di majlis ini. Terus terang saya datang ke mari untuk memberi sokongan kepada Hunny Madu. Saya sangkakan dia yang akan menang kerana nama Hunny Madu cukup dikenali dalam kelompok 'urban'.

"Lagipun, kami bernaung di bawah satu syarikat yang sama justeru itu kehadiran saya lebih kepada sokongan sesama rakan setugas. Jadi saya berasa sangat terkejut apabila diumumkan menang kerana selama ini saya peminat saya terdiri dari kelompok 'mass'.

"Bagaimanapun, saya yakin kemenangan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan sebilangan kecil peminat yang begitu aktif di Facebook, Twitter dan Instagram, sekali gus menyarankan orang ramai menghantarkan undian demi memastikan kejayaan saya," kata Fara.

Datuk Siti Nurhaliza pula masih unggul apabila memenangi kategori 'Bella On-Stage'. Pengundi di luar sana memilih beliau, sekali gus mengenepikan Datuk Sheila Majid, Anita Sarawak, Jaclyn Victor, Joanna Bessey, Joanne Kam Po Po, Ning Baizura, Shila Amzah, Soo Wincci dan Suhaili Micheline.

"Terima kasih buat semua peminat yang tidak jemu-jemu menyokong kerjaya Siti sehingga hari ini dan anugerah Bella On-Stage Award bukti kesetiaan mereka," kata Siti menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada media selepas acara berkenaan.

Siti tidak dapat datang kerana terbabit dengan kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam yang sama.

Sebanyak 11 anugerah dipertandingkan kesemuanya menerusi Bella Awards 2013 dan empat daripadanya memberikan hak kepada penonton memilih pemenang.

Selain Bella Radio Award dan Bella On-Stage Award, dua anugerah lain adalah Bella Sports Award dan Bella On-Screen Award.

Bagi kategori 'sports' Cheong Jun Hoong muncul sebagai pemenang manakala, 'On-Screen' menyaksikan kejayaan pelakon jelita, Debbie Goh. Debbie menewaskan wajah-wajah tekenal antaranya Lisa Surihani, Maya Karin, Nora Danish, Fazura, Cheryl Samad dan Siti Saleha.

Sementara kategori yang dinilai juri profesional iaitu Bella Creative Award menyaksikan kejayaan, Long Ngai Yuen; Bella Style Award (Gillian Hung); Bella Beautiful Award (Dr Premitha Damodaran), Bella Business Award (Datuk Rosaline Ganendra) dan Bella Heart Award (Datuk Ruby Khong).

Datuk Ruby Khong turut membawa pulang satu lagi trofi untuk anugerah tertinggi malam itu, Bella Award. Tidak melupakan kepentingan kaum lelaki Bella Awards 2013 turut mengiktiraf Datuk Jimmy Choo yang menerusi kategori Bella Mars Award.

Persembahan artis cukup bertenaga

Beralih kepada pengisian persembahan malam itu, Bella Awards 2013 boleh disifatkan majlis penganugerahan yang 'grand' dan eksklusif. Selain Ronan Keating, ia turut menerbangkan tiga artis dari Indonesia iaitu Rossa, Marcell dan band ternama Maliq D'Essentials. Rossa.

Rossa yang memakai gaun anggun, menyampaikan single terbarunya, Katakan secara berduet bersama 'rapper' terkenal Joe Flizzow.

Marcell pula mengalunkan vokal seksi dan romantiknya dengan lagu Denganmu, sambil dimeriahkan dengan acara pertunjukan fesyen rekaan Datuk Radzuan Radziwill.

Manakala Maliq D'Essentials yang baru bergegas tiba selepas menjayakan menyampaikan medley, Pilihanku dan Terlalu.

Sebelum itu, penyanyi tempatan Mizz Nina menggegarkan pentas dengan persembahan cukup bertenaga menerusi lagu Summer Burning. Sementara Gary Chaw pula mendendangkan dua lagu The World's Only You dan Close To You.

Bagaimanapun, untuk persembahan pembukaan di samping pertunjukan fesyen dari Fizi Woo, penganjur memberi penghormatan kepada artis baru Darren Ashley dan The Impatient Sisters.

Penyampai-penyampai trofi pula termasuklah Bernard Chauly, Low Ngai Yuen, Syafinaz Selamat, Soo Wincci, Jason Low, Amber Chia, Marcell, Rossa, Carmen Soo, Hanis Zalikha, Alex Yoong, Nur Fazura serta Lina Teoh.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

TSB martabat irama keroncong

Posted:

Kemunculan kumpulan muzik adik-beradik bukanlah asing dalam industri hiburan kita. Antaranya Quinary M yang dianggotai Mazuin dan Mazlan Hamzah serta tiga lagi kakak mereka iaitu Mahani.

Mahyon dan Maznah yang popular pada tahun 80-an. Ia kemudian diteruskan kumpulan Cenderawasih sebelum tiga beradik KRU meneruskan legasi itu pada awal 90-an.

Kini tampil pula The Siblings Band (TSB) yang dianggotai lima beradik berusia 10 hingga 17 tahun. Mereka terdiri daripada Aimi Zulaikha Suhaimi, 17, selaku vokalis dan pemain gitar utama, Muhammad Arif Haikal, 14 (biola), Muhammad Ariff Hazim, 11, (gitar utama) dan Aimi Batrisyia, 10 (ukulele). Lebih menarik, dua lagi anggota kumpulan ini kembar se—iras iaitu Aimi Nabihah dan Aimi Najihah yang masing-masing berusia 15 tahun.

Selain berkemampuan bermain alat muzik, TSB yang berasal Melaka ini juga berbeza berbanding kumpulan muzik remaja lain yang lebih cenderung kepada muzik rock, free pop, alternatif atau muzik moden lain, sebaliknya TSB berhasrat memartabatkan irama keroncong.


Mengapa keroncong?


Aimi Nabihah berkata, sejak kecil lagi mereka didedahkan dengan lagu klasik dan keroncong kerana bapa mereka tidak gemar mendengar muzik yang bingit.

"Hampir setiap hari abah buka lagu lama. Daripada tidak minat, sekarang sudah sebati dengan jiwa kami. Abah kalau dengar lagu yang bingit selalunya dia akan tutup radio.

"Kami sangat bangga dapat memperjuangkan muzik sedemikian. Kalau nak pilih genre rock, hampir semua kumpulan pun buat lagu rock. Kamu mungkin satu-satunya kumpulan muzik remaja yang menampilkan penggunaan alat muzik seperti biola, ukulele dan double bass. Lagipun menyanyi dan bermain muzik secara 'unplugged' lebih mudah tidak perlu menggunakan ba—nyak efek muzik," katanya.

Aimi Zulaikha pula berkata, walaupun ada yang beranggapan muzik TSB kedengaran tua, mereka melihatnya sebagai satu keunikan dan bonus. Sekurang-kurangnya de—ngan adanya TSB dapatlah memberi kelainan dan kepelbagaian dalam industri seni tanah air.

Mewarisi bakat seni kedua ibu-bapa, Suhaimi Ismail dan Noorismazatulaqtar Ismail yang suatu ketika dulu pernah menyertai program Bintang HMI, TSB mula serius bermain muzik sekitar pertengahan 2011.

Serius bukan kerana desakan orang tua, sebaliknya minat bermain muzik ini timbul dengan sendiri dan Aimi Najihah dianggap pencetus.

Aimi Najihah berkata, dia adalah pelajar ranca—ngan khas di mana setiap murid diwajibkan mengambil muzik sebagai aktiviti kurikulum. Justeru, dia dibenarkan membawa pulang alat muzik selain terdapat gitar dan keyboard milik bapa mereka di rumah.

Disebabkan selalu melihat saya berlatih di rumah menimbulkan minat Haikal dan adik-beradik yang lain. Malah, tidak mengambil masa yang lama untuk menguasai instrumen masing-masing.

"Memandangkan Nabihah juga sama seperti saya iaitu ahli persatuan muzik di sekolah selain Haikal pelajar muzik di Sekolah Seni Johor Bahru, semuanya menjadi mudah.

"Sejak dari itu, kami kerap berlatih dan akhirnya kebolehan kami menarik minat Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung di tempat tinggal kami yang dikenali sebagai Bakar untuk mengundang kami membuat persembahan di majlis perkahwinannya," katanya.

Katanya, Bakar yang mempunyai hubungan baik dengan pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah membantu mereka mendapat undangan persembahan di majlis perkahwinan termasuk majlis anjuran kerajaan negeri.

Aimi Najihah yang diserapkan sebagai ahli Orkestra Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, memilih 'double bass' kerana ia lebih mencabar berbanding gitar.

Bagi penggemar program Mimpi Ke Bintang yang bersiaran di TV2 setiap Sabtu, jam 9 malam, pastinya mengenali TSB yang juga finalis akhir rancangan berkenaan.

Bakal menempuh pe—ringkat final pada 16 Mac nanti yang menawarkan ganjaran RM50,000 buat sang juara, TSB bakal disaingi peserta lain dari seluruh negara antaranya Nik The Free Styler (Permainan bola sepak gaya bebas) dari Kedah dan Zaini Bayang (Ahli Silap Mata Ilusi) dari Selangor.

Aimi Najihah berkata, mereka pada mulanya tidak tahu langsung mengenai pertandingan ini hinggalah seorang kenalan ibu bapa mereka memaklumkan mengenai pertandingan itu.

"Kebetulan waktu itu cuti sekolah lalu kami mencubanya. Memang tidak sangka terpilih sekali gus layak ke final. Sebelum ini, kami bertanding dalam program Battle Of The Bands dan pernah sekali menjadi naib juara selain menerima anugerah khas juri," katanya.

Dalam final Mimpi Ke Bintang nanti, TSB bakal mempersembahkan empat medley lagu iaitu I Will Survive, Sway, Nyanyian Serambi dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

"Difahamkan setiap peserta perlu melakukan kolaborasi dengan artis tempatan. Kalau ikutkan, kami teringin sangat hendak bekerja dengan Jamal Abdillah, Datuk M Nasir dan Ramli Sarip," katanya.

Program secara langsung dengan format uji bakat ala 60 Seconds To Fame ini diterbitkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kolaborasi RTM di bawah Program Kerjasama Strategik RTM-JKKN.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bantah pindah tahanan

Posted:

Kaherah: Penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Port Said semalam ketika Kementerian Dalam Negeri memutuskan untuk memindahkan 39 tahanan yang menanti hukuman ekoran pembabitan mereka dalam rusuhan di stadium bola sepak pada Februari tahun lalu.

Pegawai keselamatan berkata, hakim dijangka membacakan hukuman ke atas 39 defendan itu pada Sabtu akan datang.


Mereka adalah kumpulan tertuduh terakhir yang didapati bersalah terbabit dalam keganasan ekoran perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Port Said.

Kejadian itu menyebabkan kematian sekurang-kurangnya 74 orang dan lebih 1,000 lagi cedera.


Seramai 21 pesalah lain sudah dijatuhi hukuman mati pada Januari lalu dan keputusan berkenaan mencetuskan rusuhan di bandar berkenaan dan membunuh sekurang-kurangnya 40 orang. Pegawai keselamatan berkata, rusuhan semalam menyaksikan penunjuk perasaan melontar bom petrol dan batu ke balai polis di Port Said, memaksa pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata.


Mogok umum di bandar itu pula memasuki minggu ketiga ketika ini.

Foto

PASUKAN keselamatan Mesir berjaga-jaga ketika berdepan dengan penunjuk perasaan (tiada dalam gambar), di Port Said, semalam.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri berkata, pesalah rusuhan itu dipindahkan dari Port Said bagi mengelakkan kekacauan berlaku di situ.


Kelmarin, penunjuk perasaan turut membakar sebuah balai polis dan menghalang bomba daripada menghampiri tempat kejadian. Penduduk Port Said dan bandar yang ada di sepanjang Terusan Suez memang menganggap Kaherah sentiasa meminggirkan mereka. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Bangga kerat ibu

Posted:

New York: Foto mengerikan menunjukkan seorang lelaki dari Bronx yang dituduh membunuh dan mengerat tubuh ibunya sambil tersenyum dan mempamerkan kepala si mati didedahkan di akhbar semalam.

Bahsid McLean, 23, bergaya di depan cermin bilik air memegang kepala ibunya, Tanya Byrd yang masih berlumuran darah, seperti trofi, dan menggunakan telefon bimbitnya untuk mengambil gambar mengerikan itu sebagai kenang-kenangan.


Gambar itu disiarkan akhbar New York Post, semalam. McLean dituduh membunuh Tanya, 45, selepas satu pertengkaran di mana si ibu memberitahu anak lelakinya itu agar menjadi matang dan berpindah keluar dari apartmen mereka. Menurut polis, foto mengejutkan itu hanya satu daripada beberapa imej yang ditemui dalam telefon bimbit McLean. Polis berkata, selepas McLean menikam ibunya, dia mengerat tubuh mangsa dengan gergaji.

Dia dan rakannya kemudian memasukkan bahagian tubuh mangsa ke dalam tiga beg sampah, sesetengahnya dizip dalam bagasi dan dibuang sekurang-kurangnya di empat lokasi di Morrisania.


McLean yang tampil di mahkamah Jumaat lalu untuk menghadapi pertuduhan, mendakwa dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.


Dengan memakai beg plastik sampah berwarna hitam ke mahkamah kerana kerap terkencing, dia ditahan bagi mengelak membunuh diri selepas serangan mengerikan terhadap ibunya awal minggu lalu. Lelaki menghidap sakit mental itu memberitahu hakim dia cuba membantu ibunya yang sakit.

Ketika kemunculan di mahkamah, McLean melakukan beberapa aksi ganas dan dia ditahan tanpa ikat jamin.


"Dia benar-beanr sakit," kata sumber polis kepada New York Post.

"Ia tindakan yang menakutkan. Lelaki terbabit memang betul-betul sakit mental kerana melakukan perbuatan kejam itu." Gambar mengerikan itu ditemui polis dalam telefon bimbitnya dan pengakuan awalnya mendorong kepada tuduhan membunuh Rabu lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Penceroboh kejam

Posted:

Arau: Tindakan kumpulan penceroboh dipercayai dari Sulu, Filipina, melakukan serangan hendap terhadap anggota keselamatan yang melakukan pemeriksaan di Kampung Sri Jaya, Semporna, Sabah, malam kelmarin, disifatkan sebagai tindakan kejam dan ganas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kejadian yang mengorbankan nyawa enam anggota keselamatan yang mencari maklumat bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai kumpulan terbabit adalah di luar jangkaan.

Menurutnya, pasukan keselamatan dengan kekuatan 57 anggota tidak menyangka kumpulan terbabit bertindak ganas menyebabkan enam anggota terkorban.

"Namun, saya mempunyai keyakinan bahawa kita (anggota keselamatan) sudah memiliki kekuatan mencukupi dengan penambahan anggota termasuk polis selain tambahan dua batalion askar ke Sabah bagi menghadapi apa juga keadaan di kawasan berkenaan.

Foto

ANGGOTA polis mengawal pintu masuk ke Ibu Pejabat Daerah Polis Semporna, malam tadi.


"Apa yang berlaku di Semporna, mereka (anggota keselamatan) tidak menduga kumpulan penceroboh terbabit sanggup mengambil tindakan ganas tanpa sebarang isyarat walaupun mereka hanya mahu mencari maklumat mengenai kumpulan terbabit," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Doa isteri iringi suami

Posted:

Kota Bharu: "Berdebar hati apabila suami menelefon malam kelmarin mengatakan dia akan dihantar menjalankan operasi menangani pencerobohan oleh kumpulan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

"Sejak itu dia tidak pulang ke rumah dan hanya berada di kem untuk membuat persediaan. Hari ini (semalam) baru saya dan anak berkesempatan berjumpa ketika menghantarnya menaiki penerbangan ke Tawau," kata Hasmawati Yahya, 36, isteri kepada Staf Sarjan Jasmadi Ismail, 38, anggota Rejimen ke-21 Melayu Askar Melayu Diraja (21RAMD).

Semalam, seramai 352 anggota termasuk pegawai dan lain-lain pangkat 21RAMD berpangkalan di Pengkalan Chepa, di sini, diterbangkan terus dari Kota Bharu ke Tawau menggunakan pesawat sewa khas AirAsia untuk membantu operasi di Lahad Datu.

Jurucakap Bilik Gerakan Markas 8 Briged Infantri (8 Briged) berkata, semua anggota itu berlepas pada jam 1 tengah hari dan 6 petang menerusi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), di sini.

Foto

HASMAWATI (tengah) bersama isteri anggota 21RAMD lain melambai ke arah suami masing-masing.


Hasmawati berkata, ini kali pertama suami dihantar bertugas jauh daripada keluarga selepas mereka berkahwin kira-kira 12 tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Pengadil berat sebelah'

Posted:

Madrid: Pertahanan Barcelona, Gerard Pique mendakwa pengadil berat sebelah selepas pasukannya dinafikan sepakan penalti pada saat akhir ketika kecundang 1-2 di tangan Real Madrid, kelmarin.

Tandukan Sergio Ramos sembilan minit sebelum tamat ternyata menjadi gol kemenangan selepas Karim Benzema dan Lionel Messi menjaringkan gol buat pasukan masing-masing pada babak pertama.


Namun Pique dan rakan sepasukannya berang selepas Ramos jelas menjatuhkan Adriano dalam kotak penalti malah penjaga gol Barca, Victor Valdes dilayangkan kad merah kerana membantah selepas wisel penamat.

"Kami berkata kepada pengadil bahawa ia jelas di mata kami, namun kami sudah tahu bagaimana perkara ini berlaku. Menentang Real Madrid, jika perlawanan sengit, pasti semuanya berpihak kepada mereka," kata Pique.


"Kami berasakan keputusan seri lebih adil jika kami dihadiahkan penalti, tapi kami tidak boleh menjadikan ini alasan kerana pasukan ini mempunyai banyak kualiti untuk bergantung kepada keputusan pengadil bagi memenangi perlawanan." Kekalahan itu adalah ketiga buat Barca dalam empat perlawanan dan Pique mengakui mereka bergelut untuk mempamerkan persembahan terbaik.


"Anda tidak boleh mengekalkan tahap ini bagi 12 bulan. Dalam empat tahun terakhir, kami sering mengalami saat-saat tahap permainan kami menurun.

Foto

Gerard Pique

"Namun, jelas kami mempunyai tiga atau empat perlawanan buruk dan ini serius kerana Barcelona perlu sering kali menang." Kemenangan itu juga lebih mengejutkan buat tuan rumah selepas pengurus, Jose Mourinho melakukan tujuh pertukaran pemain berbanding pasukan yang mengalahkan Barca 3-1 pada Piala Raja Sepanyol, Rabu lalu dengan pemain bintang, Cristiano Ronaldo bermula di bangku pemain simpanan.


Namun, tanpa pemain bintang itu mereka bermula dengan sempurna apabila Benzema menolak masuk hantaran silang Alvaro Morata sebelum Messi menyamakan kedudukan buat Barca dengan sepakan kaki kiri 12 minit kemudian. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04

Kali ke-4 tawan Dubai

Posted:

Dubai: Novak Djokovic meneruskan rentetan kemenangannya kepada 18 perlawanan untuk merangkul kejuaraan Terbuka Dubai kali keempat dalam tempoh lima tahun semalam, sekali gus memantapkan statusnya sebagai pemain terbaik dunia selepas mengalahkan Tomas Berdych 7-5, 6-3 pada aksi final.

Pemain Serbia itu tidak kalah sejak Oktober, tidak keciciran sebarang set di Dubai dan dia kini menang semua 13 perlawanan menentang pemain kelompok 10 terbaik sejak Andy Murray menundukkannya pada final Terbuka AS tahun lalu.


Catatan itu termasuk meraih kejuaraan Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut dan kejayaan terbaru di Dubai membolehkannya mengumpul 36 kejuaraan perseorangan.

"Tomas seorang pemain yang fantastik dan final ini tidak mudah, ia mungkin berlaku sebaliknya," kata Djokovic.


Jelasnya, pemain berusia 25 tahun itu menang kerana dia menggunakan setiap peluangnya, menyempurnakan tiga daripada empat mata 'break' manakala Berdych hanya mampu meraih satu daripada lima peluang.


Namun pemain Czech itu bermula hebat, sekalipun dia mempunyai rekod buruk 1-12 menentang Djokovic ketika pemain nombor enam dunia itu hanya kalah empat mata daripada tiga servis pertamanya.

Berdych, yang menyelamatkan tiga mata penamat sebelum mengejutkan Roger Federer pada separuh akhir kelmarin, turut melakukan 'break' pertama pada final itu, mengelirukan Djokovic yang meluru ke depan dengan satu lambungan ke penjuru gelanggang untuk mendahului 3-2.


Penonton, yang terkejut kerana wira mereka ketinggalan, melaung-laungkan nama Djokovic dan juara enam acara Grand Slam itu bertindak balas dengan mengubah taktik, bermain lebih banyak dari garisan belakang.

"Saya memberinya terlalu banyak ruang untuk menguasai mata, itulah puncanya," kata Djokovic.


"Saya berjuang dan percaya boleh bangkit, sesuatu yang sebenarnya menentukan pemenang dalam perlawanan sebegini, menanti peluang anda dan menyudahkannya." Bintang Czech itu bermain perlawanan kesembilan dalam tempoh 11 hari, selepas kecundang pada final Terbuka Marseille di tangan Jo-Wilfried Tsonga minggu lalu dan ia ternyata memberi kesan terhadapnya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Ahad, 3 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Jangan tunggu hingga lapar

Posted:

Selepas pembedahan pembuangan benjolan di payudara (lumpektomi), teman baik penulis dihujani pelbagai pantang larang makan. Khuatir luka pembedahan akan terasa gatal, ada yang melarang teman ini mengambil ikan dan ayam. Telur dan makanan laut secara automatik masuk dalam kategori 'diharamkan'.

Masyarakat kita memang murah hati untuk berkongsi pengetahuan dalam soal pantang larang begini, walaupun ada kalanya mereka sendiri tidak pasti apatah pengetahuan yang dimiliki itu benar-benar bermanfaat kerana kebanyakannya diperoleh daripada sumber kurang sahih atau berdasarkan 'cakap orang'.

Penulis teringat kata-kata doktor yang merawat ibu saudara (ketika dia menjalani kemoterapi akibat kanser usus), supaya memenuhi keinginan selera pesakit kerana mereka amat memerlukan makanan untuk memberi tenaga dan membantu badan memberi tindak balas positif terhadap rawatan.

Saranan dan larangan dalam bab makan seperti inilah yang membuatkan ramai pesakit kanser keliru. Sudahlah pesakit berasa sedih dan susah hati dengan penyakit yang dihidapi, kita yang kurang pengetahuan ini pula membebankan lagi fikiran mereka dengan pelbagai 'nasihat' yang belum terbukti keberkesanannya.


Pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang amat penting ketika mengharungi saat getir ini. Rawatan kanser seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi sebenarnya meningkatkan keperluan badan untuk tenaga dan protein. Untuk sembuh dan mengekalkan pertahanan badan terhadap jangkitan, pesakit memerlukan khasiat secukupnya.


Namun rawatan ini ada kesan sampingan kerana ia sedikit sebanyak menjejaskan selera dan pe-ngambilan makanan. Inilah sebabnya doktor yang merawat ibu saudara penulis memberikan nasihat begitu. Malah jika diperhatikan semua doktor dan jururawat memberikan nasihat sama pada kebanyakan pesakit termasuklah wanita yang melahirkan anak. Tentu saja nasihat ini ada pengecualian, contohnya pada pesakit yang menghidap kencing manis, gout, tekanan darah tinggi dan ada masalah jantung.

Memang diakui keba-nyakan pesakit hilang selera makan sepanjang rawatan kanser. Sesetengah rawatan membuatkan mulut pesakit terasa pahit untuk menelan makanan. Walaupun anda tidak berselera, tetapi berusahalah untuk makan supaya badan mendapat khasiat yang diperlukan.

Jangan tunggu hingga berasa lapar untuk makan. Jika sebelum ini anda makan tiga kali sehari, namun pada tempoh penting ini anda dinasihatkan untuk meningkatkan kekerapan makan kepada lima atau enam kali. Makanlah walaupun sedikit dan pilihlah makanan yang berkalori tinggi kerana badan amat memerlukan tenaga untuk melawan penyakit.

Badan kita memerlukan pemakanan sihat untuk berfungsi dengan baik. Ia menjadi lebih penting jika anda menghidap kanser. Pengambilan makanan yang baik ketika menjalani rawatan boleh membantu anda:

  • Berasa lebih baik
  • Mengekalkan kekuatan dan tenaga
  • Mengekalkan berat badan
  • Memberi peluang badan menyimpan khasiat makanan
  • Menerima dan bertahan dengan kesan sampingan rawatan
  • Merendahkan risiko jangkitan
  • Mempercepatkan proses penyembuhan

    Apa yang perlu dimakan?

    Pengambilan makanan yang baik bermakna makanan anda perlulah pelbagai berdasarkan Piramid Makanan Malaysia. Ia akan memberikan anda semua khasiat yang badan perlukan untuk melindungi kesihatan ketika anda berjuang melawan kanser. Pemilihan makanan yang sihat akan membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

    Berikut adalah sembilan panduan untuk pemakanan sihat dan berkhasiat:

  • Pelbagaikan makanan anda. Anda boleh nikmati apa saja sajian daripada lima kumpulan makanan berasaskan Piramid Makanan Malaysia.
  • Kekalkan berat badan yang sihat dengan menyeimbangkan pengambilan kalori dan aktiviti fizikal.
  • Pilih sumber karbohidrat dan serat yang menyihatkan, terutama bijirin penuh. Berdasarkan piramid makanan, seseorang itu perlu mengambil empat hingga lapan hidangan bijirin atau produk bijirin setiap hari. Jika dapat mengambil bijirin penuh, lebih baik.
  • Pastikan hidangan harian anda mengandungi sayur-sayuran dan buah-buahan yang berwarna warni, sekurang-kurangnya lima hidangan sehari. Jika dapat warna lampu isyarat iaitu makanan berwarna hijau, kuning dan merah, setiap hari, lebih baik.
  • Pilih lemak yang menyihatkan dan hadkan penggunaan lemak dalam penyediaan makanan.
  • Jangan lupa dapatkan protein secukupnya daripada ikan, daging, ayam/itik, telur, kekacang dan kacang.
  • Minum susu atau makan produk tenusu - satu hingga tiga hidangan setiap hari.
  • Hadkan pengambilan gula dan garam, sama ada daripada minuman atau makanan. Makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula dan garam biasanya banyak kalori tetapi rendah khasiatnya.
  • Minum air masak secukupnya iaitu antara enam hingga lapan gelas sehari untuk kekalkan kesihatan dan mengelakkan masalah kekurangan air (dehidrasi).
  • Minum 100 peratus jus buah atau sayur yang boleh disediakan sendiri di rumah.
  • Isi separuh pinggan makan anda dengan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  • Beberapa kali seminggu, pilihlah sajian tanpa daging atau hidangan vegetarian untuk mengubah selera.
  • Selain kraker, anda juga boleh menjadikan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai snek.
  • Pilih daging dan ayam tanpa lemak serta elakkan daging diproses. Lebih baik jika anda tingkatkan kekerapan makan ikan.
  • Jangan takut untuk mencuba makanan yang anda tidak biasa makan. Kadang-kadang dalam tempoh anda menerima rawatan, makanan yang anda tidak suka sebelum ini terasa sedap.
  • Pelbagaikan sumber makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan, contohnya anda boleh nikmati sajian yang dibuat daripada kekacang bagi menggantikan protein daging atau ayam.
  • Hadkan makanan yang banyak lemak khususnya daripada sumber haiwan

    Tangani masalah makan

    Berdasarkan maklumat daripada buku kecil 'I Have Breast Cancer. What Next?' dihasilkan Jabatan Kejururawatan Hospital Assunta untuk pesakit kanser payudara, rawatan kanser memang mempunyai kesan sampingan yang menyebabkan masalah untuk makan.

    Untuk mengatasinya, berbincanglah dengan pakar pemakanan di hospital anda mendapatkan rawatan terutama jika tidak pasti apa yang boleh diambil sepanjang rawatan.

    Berikut adalah beberapa panduan untuk menangani masalah yang biasa dihadapi oleh pesakit kanser:

    a. Berlaku perubahan pada sensitiviti terhadap bau dan rasa

  • Elakkan makanan berbau kuat yang boleh membunuh selera dan menjadikan makanan itu terasa lebih 'teruk' apabila dimakan.
  • Minta keluarga menyediakan sendiri makanan yang anda inginkan. Makanan yang disediakan sendiri membolehkan kita mengawal penggunaan bahan masakan yang kurang digemari.
  • Kekalkan kebersihan mulut

    b. Hilang selera makan

  • Makan sedikit tetapi kerap sepanjang hari setiap dua hingga tiga jam sekali.
  • Sediakan sajian ringan di antara waktu makan. Ini termasuklah snek berkalori tinggi seperti sandwic, puding, minuman buah-buahan mengandungi susu dan sebagainya.
  • Pastikan snek diletakkan dekat dengan katil anda supaya ia boleh dicapai dengan mudah pada bila-bila masa.
  • Hiaskan sajian anda supaya ia nampak menarik dan membuka selera. Gunakan hiasan daripada bahan yang anda suka seperti buah-buahan atau sayur yang dihiris kreatif.

    c. Sakit mulut atau tekak

  • Makan makanan yang sejuk atau pada suhu bilik. Makanan yang panas dan suam boleh menyebabkan mulut dan tekak berasa lebih sakit.
  • Pilih makanan yang lembut dan menyegarkan seperti ais krim, susu kocak, buah-buahan lembut (pisang dan betik contohnya), kentang lenyek, bijirin yang dimasak, telur separuh masak, yogurt, keju, puding atau agar-agar. Anda juga boleh menghancurkan makanan dengan mengisarnya untuk menjadikan ia lembut dan mudah dimakan.
  • Elakkan makanan yang boleh merengsakan mulut dan tekak, makanan berasid dan jus buah seperti tomato, buah-buahan sitrus, makanan pedas dan masin serta makanan yang kasar contohnya roti bakar, biskut lemak kraker, kerepek, kacang dan sayur-sayuran mentah.
  • Elakkan sama sekali minuman beralkohol dan rokok.

    d. Mual dan muntah

  • Ambil makanan dalam kuantiti kecil tetapi kerap sepanjang hari. Makan lima hingga enam kali sehari lebih baik daripada dua atau tiga kali pada jumlah yang banyak.
  • Jika rasa mual berlarutan, cubalah ambil makanan yang lebih ringan seperti bijirin, roti bakar atau biskut kraker.
  • Jauhkan diri daripada makanan yang berbau kuat.
  • Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik supaya selera anda tidak terjejas oleh baunya.
  • Elakkan makanan yang terlalu manis, berminyak, masin atau pedas.
  • Cuba minum jus buah-buahan untuk mengatasi rasa mual.

    e. Mulut kering

  • Minum banyak air - lapan hingga 10 cawan sehari. Sentiasa bawa botol air kepada anda pergi.
  • Lembap dan lembutkan makanan yang kering dengan sup, sos, kuah, yogurt, mentega atau krim.
  • Makan makanan yang lembut atau dikisar.

    f. Terlalu kerap buang air besar

  • Jika ia berlaku pada anda, elakkan makanan yang tinggi kandungan seratnya kerana ia akan menyebabkan masalah bertambah buruk. Makanan yang kaya serat termasuklah kacang, bijirin penuh, kekacang, buah-buahan kering dan segar serta sayur-sayuran.
  • Elakkan makanan berlemak (bergoreng dan banyak minyak) kerana ia juga membuat masalah semakin teruk.
  • Minum secawan air setiap kali selepas anda buang air untuk mengelakkan dehidrasi (kekurangan air)
  • Apabila masalah ini berhenti, barulah ambil makanan mengandungi serat sedikit demi sedikit.
  • Makan dalam kuantiti kecil tetapi kerap
  • Elakkan makanan dan minuman yang boleh menyebabkan banyak angin seperti minuman berkarbonat. Jika anda teringin hendak minum minuman bergas, tuangkan ke dalam gelas dan biarkan ia 'berehat' selama 10 minit untuk menghilangkan gas di dalamnya. Jauhkan diri daripada mengunyah gula-gula getah kerana ia juga akan membuatkan pengumpulan angin dalam perut.

    Keselamatan

    Pada masa sama, anda juga perlu menitikberatkan soal keselamatan kerana sepanjang tempoh mendapat rawatan, badan pesakit kanser amat lemah dan sangat mudah mendapat jangkitan. Inilah sebabnya anda (dan ahli keluarga) perlu memastikan aspek kebersihan diberi keutamaan dalam penyediaan makanan.

    Mengambil makanan yang tercemar boleh menyebabkan anda bertambah sakit. Berikut beberapa panduan untuk membantu anda menjaga keselamatan makanan.

  • Periksa tarikh luput makanan sebelum dimasak dan buang jika sudah nampak berkulat.
  • Masak daging hingga ia betul-betul (dan empuk). Walaupun sebelum ini anda sukakan daging yang masih kelihatan merah selepas dimasak, tetapi untuk tempoh kritikal ini, cubalah nikmati daging yang masak sepenuhnya.
  • Jangan beli makanan dalam jumlah yang besar terutama sumber makanan segar.
  • Simpan semua makanan segar di dalam peti sejuk supaya kesegarannya terjaga.
  • Bersihkan papan pemotong dan pisau setiap kali selepas digunakan.
  • Gunakan papan pemotong yang berbeza untuk makanan mentah dan sudah dimasak.
  • Basuh dan bilas buah-buahan serta sayur-sayuran hingga benar-benar bersih. Untuk buah-buahan berkulit tebal seperti tembikai, gosok kulitnya dengan span pencuci pinggan, bilas dan lap kering sebelum dipotong.

    Perlukah mengambil makanan tambahan?

    Memang ramai pesakit keliru dalam soal ini. Tidak kira berapa banyak pun saranan yang anda terima, berbincanglah dengan doktor terlebih dulu sebelum mengambil sebarang makanan tambahan. Ini kerana sesetengah produk herba didapati boleh mengganggu kesan rawatan kanser.

    Malah pakar perubatan juga berbelah bahagi untuk membenarkan pesakit mengambil antioksidan seperti vitamin E kerana ia ada risiko buruk jika berlebihan. Jadi jika anda bimbang mengalami masalah tidak cukup zat, jumpalah pakar pemakanan di hospital bagi mendapatkan khidmat nasihat.

    Akhir sekali, jangan lupa untuk melakukan senaman. Apapun bentuk senaman yang anda pilih, semuanya amat berguna untuk membantu anda mengekalkan jisim otot, stamina, kekuatan fizikal dan tulang. Senaman juga dapat membantu mengurangkan kemurungan, tekanan, keletihan, mual dan masalah sembelit di samping merangsang selera makan.

    Mulakan dengan senaman yang ringan seperti berjalan selama 10 hingga 15 minit sehari. Apabila anda rasa lebih sihat dan kuat, bolehlah panjangkan tempoh senaman kepada 20 minit sehari. Dengarlah rintihan badan anda dan berhenti apabila dirasakan perlu. Buatlah senaman mengikut kemampuan supaya anda boleh rasa lebih tenang dan bertenaga.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
  • Hitam itu menawan

    Posted:

    Geram dengan iklan yang mengajak dan menggoda wanita untuk 'melunturkan' warna kulit, satu pergerakan spontan muncul di Senegal dengan menegaskan bahawa hitam itu cantik dan tindakan mencerahkan kulit boleh menjejaskan kesihatan seseorang.

    Kempen mengekalkan warna asal kulit itu timbul tidak lama selepas kehadiran iklan krim kosmetik dipanggil 'Khess Petch' atau 'semua putih' (semua cerah) dalam bahasa tempatan, Wolof, di Dakar, ibu kota Senegal tahun lalu.

    Kata-kata dalam poster iklan itu menjanjikan 'tindakan segera' dan 'hasilnya boleh dilihat dalam tempoh 15 hari'. Mereka menunjukkan gambar sebelum dan selepas seorang wanita muda yang asalnya berkulit gelap, tetapi menjadi lebih cerah melalui proses penyahpigmenan, dalam bahasa tempatan dipanggil 'kheessal' atau pelunturan warna kulit.

    "Kita ditipu oleh poster yang mengatakan bahawa hitam itu tidak cantik kerana ia menyarankan supaya wanita muda melakukan transformasi diri dalam tempoh dua minggu," kata Aisha Deme, yang mengendalikan laman web budaya Agendakar.com

    "Sebagai tindak balas spontan, kami mahu meningkatkan kesedaran wanita berkulit hitam dengan melancarkan 'Nuul Kukk', yang bermakna 'hitam seluruhnya', kata wanita muda itu.

    Penggiat kempen menampal poster yang mereka sendiri di ibu kota Senegal. Poster ini memaparkan wanita berkulit gelap yang bangga dengan warna kulitnya. Gambar poster itu adalah sentuhan kreatif seorang jurugambar fesyen, Stephane Tourne dan reka letaknya hasil kerja tenaga mahir pengiklanan yang dibuat secara percuma.

    Kempen Nuul Kukk, yang dijalankan dengan aktif secara dalam talian dan mempunyai laman web, Facebook dan Twitter sendiri, turut memaparkan artis tempatan termasuk penyanyi rap Keyti, perunding gaya Dior Lo dan aktivis hak asasi wanita, Kine Fatim Diop.

    Kempen berkenaan turut mendapat sokongan pakar kulit, Fatimata Ly, yang sudah 10 tahun berjuang menentang amalan 'kheessal' sebagai sebahagian daripada usaha penerangan Persatuan Maklumat Penyahpigmenan Buatan Antarabangsa.

    Bagi Ly, pelunturan warna kulit adalah satu perkara yang perlu dipandang serius kerana 67 daripada 100 wanita mengamalkan penyahpigmentasi buatan dengan menggunakan pelbagai produk mencerahkan kulit.

    Produk mencerahkan warna kulit ini mengurangkan kebolehan badan untuk 'mempertahankan dirinya daripada pelbagai jangkitan' dan ia juga mempunyai 'kesan lebih besar ke atas kesihatan contohnya kencing manis dan tekanan darah tinggi," katanya.

    Berdasarkan kajian yang dilakukan pakar kulit Perancis dan Senegal pada 2003, penggunaan krim pencerah kulit ini amat berleluasa dalam kalangan wanita di negara sub Afrika Sahara. Dianggarkan 25 hingga 67 peratus wanita di negara ini adalah pengguna tegar krim pencerah kulit.

    Di Senegal, fenomena pencerahan kulit ini melanda wanita, namun ada juga lelaki yang turut terjebak khususnya mereka yang menjadi penghibur.

    Krim, susu dan gel pencerah mengandungi bahan yang asalnya bertujuan untuk tujuan terapeutik, seperti kortikosteroid dan hidrokuinon yang sepatutnya hanya boleh diperoleh melalui priskripsi doktor saja, kata Ly lagi.

    "Malangnya, anda boleh membeli semua produk pencerah ini di mana-mana pasar di Senegal. Ia memang mudah didapati," sambungnya lagi.

    Harganya juga murah - antara satu hingga 1.5 euro (RM4.20 hingga RM6.20) lima hingga enam kali lebih murah berbanding di kedai farmasi, kata Ly, sambil menunjukkan gambar di skrin komputernya. Gambar akibat kesan pelunturan warna kulit termasuklah kaki bengkak; kulit lebam, luka dan melecur.

    Jadi amalan

    Selama 20 tahun, Diop, 50, seorang suri rumah, tidak lupa menyapukan krim pencerah setiap malam sebelum tidur untuk menjadikan dirinya 'cantik' - sehinggalah tompok hitam mula kelihatan tiga tahun lalu.

    Diop, yang malu untuk memberitahu nama penuh­nya berkata, sebenarnya dia sudah diingatkan mengenai risiko penggunaan krim pencerah seumpama itu, tetapi seperti kebanyakan wanita Senegal lain - dia memilih untuk tidak menghiraukan pesanan berkenaan.

    "Saya suka gunakan krim pencerah kerana orang cakap saya nampak lebih cantik," katanya.

    Selepas dua dekad, amat sukar bagi Diop untuk menghentikan amalan yang sudah diamalkan sejak muda; walaupun selepas kemunculan tompok hitam itu.

    "Untuk berhenti, saya mendapatkan sokongan kawan. Tanpa dia, susah juga hendak berhenti meng­gunakan krim pencerah. Kawan saya menunjukkan majalah di mana seorang wanita menderita kerana kesan krim pencerah. Melihat gambarnya, saya beritahu diri sendiri supaya betul-betul nekad untuk berhenti," katanya.

    Penjualan krim pencerah di Senegal memang meluas; kebanyakannya diimport dari Mali dan Ivory Coast. Ia dijual pada harga semurah 500 CFA francs (RM3.20) dan krim yang lebih mahal berharga 25,000 CFA francs (RM166) sebotol.

    Mounass, 22, menyapukan krim pencerah dua kali sehari dan setiap bulan dia membelanjakan 40,000 CFA francs (RM256) - lebih tinggi daripada gaji minimum di Senegal untuk membeli produk kecantikan kerana 'lelaki lebih sukakan wanita berkulit cerah'.

    "Saya tidak tahu ia ada kesan buruk pada kesihatan," katanya apabila ditanya mengenai risikonya selepas meninggalkan kedai dengan membawa beberapa botol krim pencerah.

    Walaupun label pada kebanyakan produk mengatakan kandungan hidrokuinon tidak melebihi dua peratus dalam produk mereka, tetapi jurujual di Sandaga berkata sebenarnya ia mungkin mengandungi lebih lima peratus.

    Penggunaan hidrokuinon sudah diharamkan di Kesatuan Eropah sejak 2001 kerana ia bersifat karsinogenik (bahan yang boleh menyebab­kan kanser).

    Walaupun Senegal mengharamkan penggunaan krim pencerah pada pelajar sekolah rendah dan mene­ngah, yang berisiko dibuang sekolah jika ditangkap meng­gunakan krim berkenaan, namun doktor berkata penjualan produk kecantikan seperti itu tidak dipantau.

    Antara risiko terbesar penggunaan krim pencerah ialah jangkitan kulit akibat steroid yang boleh menye­babkan keracunan darah. Selain itu, pengguna juga kerap berjumpa doktor kulit akibat akne, tompok hitam dan nanah akibat menggunakan krim pencerah.

    Kajian unit kehamilan di Institut Kebersihan Sosial di Dakar pada 2006 menunjukkan bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menggunakan krim mengandungi steroid mempunyai berat badan lebih rendah, kata Ly.

    Seperti Diop, ramai wanita mengalami masalah yang dipanggil kebergantungan psikologi pada produk yang dikatakan dapat membantu meningkatkan keyakinan diri mereka.

    Kajian pada 2004 yang dijalankan pakar kesihatan Senegal termasuk psikologi mendapati ramai wanita berpendapat berkulit cerah itu membuatkan mereka lebih moden, menarik dan dipandang tinggi.

    Bagaimanapun Diop berkata, dia tidak sangka mendapat pujian selepas berhenti menggunakan krim pencerah.

    "Semua orang kata saya nampak lebih muda berbanding suami. Kulit saya pun sudah kembali ke warna asalnya," katanya.

    Wanita tertarik dengan produk pencerah kerana percaya ia membuatkan mereka lebih cantik. Penyelidik dan doktor mengakui sukar untuk meyakinkan wanita bahawa warna kulit asal yang dianugerahkan tuhan itu sudah cukup cantik.

    "Masyarakat hari ini sa­ngat menekankan kriteria kecantikan...semua orang mempromosikan wanita yang berkulit cerah sama ada dalam akhbar, majalah atau klip video," kata Deme.

    "Kami mahu menyarankan masyarakat supaya menghentikan amalan pe­nyahpigmenan.
    Kita perlu menghentikan pengimportan dan penjualan produk kecantikan seperti ini, supaya iklan yang memberi pe­ngaruh tidak baik ini dapat disekat. Kami tahu, usaha ini akan mengambil masa, tetapi kami akan terus berjuang," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/04
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Keasyikan diulit GRO terbantut

    Posted:

    Cheras: Keasyikan pelanggan diulit pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sebuah pusat hiburan di sini, terbantut apabila premis itu diserbu polis dalam Ops Noda, awal pagi semalam.

    Sepasukan anggota polis dari Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menyerbu premis itu jam 1 pagi selepas mendapat maklumat awam.


    Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, serbuan dilakukan 10 anggota bersama dua pegawai diketuai Inspektor Zaili Zakaria.

    "Kami menahan seorang lelaki dipercayai penjaga kelab itu selain lapan wanita warga China serta lima wanita warga Thailand. Ini serbuan ketiga sejak pusat hiburan itu beroperasi.


    "Sebelum ini kami turut mengadakan operasi di kawasan ini tapi di kelab lain dan semua mereka ditahan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959 dan Peraturan 11(7) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.


    Semua mereka dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

    Foto

    ANTARA GRO yang ditahan dalam operasi.

    Menurutnya, polis masih mengumpul maklumat daripada semua yang ditahan selain mengalu-alukan maklumat orang ramai bagi membolehkan pihaknya mengekang kegiatan jenayah serta membanteras pusat hiburan yang sering melanggar syarat ditetapkan.


    "Operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

    Sementara itu, Zaili yang ditemui ketika serbuan berkata, operasi dilakukan bagi memastikan pusat hiburan mematuhi syarat lesen dengan tidak membenarkan remaja bawah umur mengunjungi premis itu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    5 terkorban serang hendap di Semporna

    Posted:

    LAHAD DATU: Lima anggota polis terkorban selepas diserang hendap beberapa penjenayah bersenjata api di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna, dekat sini, semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, polis yang menerima maklumat terdapat beberapa individu bersenjata di perkampungan atas air berkenaan bergegas ke tempat kejadian.

    Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, satu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna yang tiba ke tempat kejadian tiba-tiba diserang sekumpulan penjenayah yang melepaskan tembakan.

    Menurutnya, bagaimanapun dalam serangan terbabit lima orang terdiri pegawai dan anggota polis terkorban. Dua penjenayah yang menyerang polis turut terbunuh.


    "Kita juga sudah menghantar pasukan tambahan ke Semporna bagi meningkatkan keselamatan di sana.


    "Sementara itu, pada 10 malam tadi kita mengesan 10 orang telah menceroboh Kampung Lormalong dan Kampung Dasar Lama di Kunak, dekat sini. Kita percaya mereka ini adalah orang luar dan bukan rakyat negara ini," katanya pada sidang media Ops Sulu di Felda Sahabat 16, di sini, hari ini.

    Ismail berkata, tiga daripada penceroboh terbabit dipercayai bersenjata dan pihaknya kini sedang berusaha mengesan kumpulan itu.

    "Setakat ini hanya tiga kawasan terbabit dan daerah lain tiada apa yang berlaku.

    "Kita juga sedang menyiasat sama ada ketiga-tiga kejadian ini mempunyai kaitan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03

    Bunohan rangkul 5 gelaran utama

    Posted:

    PUTRAJAYA: Filem Bunohan membuktikan keunggulan apabila berjaya menang lima kategori utama dalam Festival Filem Malaysia Ke-25 menewaskan saingan terdekat, Songlap dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

    Filem arahan Dain Iskandar Said terbitan Apparat Sdn Bhd menepati ramalan ramai apabila merangkul gelaran utama Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik (Faizal Hussein).

    Songlap arahan Effendee Mazlan & Fariza Azlina Ishak dari Grand Brilliance Sdn Bhd turut memberi saingan apabila meraih kemenangan menerusi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Normah Damanhuri), Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Syafie Naswip), Anugerah Penyunting Terbaik (Wong Hui Lynn) dan Anugerah Sinematografi Terbaik (Hariss Hue Abdullah).

    Beberapa Anugerah Khas turut diperkenalkan sempena sambutan Jubli Perak FFM iaitu Pencapaian Sepanjang Hayat Wanita kepada Seniwati Mariani Ismail dan Pencapaian Sepanjang Hayat Lelaki kepada Datuk Aziz Sattar. Lain-lain anugerah ialah Anugerah Khas Juri Penggiat TV Lelaki (Mano Maniam) dan Anugerah Khas Juri Penggiat TV Wanita (Lai Meng).


    Hos bagi acara yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Astro Mustika HD (saluran 134) ini ialah Erra Fazira dan Fahrin Ahmad.


    Keputusan penuh Festival Filem Malaysia 25
    1) Anugerah Pelakon Harapan Wanita - Jojo Goh (29 Februari)
    2) Anugerah Pelakon Harapan Lelaki - Izzue Islam (29 Februari)
    3) Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Normah Damanhuri (Songlap)
    4) Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Syafie Naswip (Songlap)
    5) Anugerah Penyunting Terbaik - Wong Hui Lynn (Songlap)
    6) Anugerah Cerita Asal Terbaik - Dain Iskandar Said (Bunohan)
    7) Anugerah Lakon Layar Terbaik - Dain Iskandar Said (Bunohan)
    8) Anugerah Sinematografi Terbaik - Hariss Hue Abdullah (Songlap)
    9) Anugerah Pelakon Wanita Terbaik - Maya Karin (Ombak Rindu)
    10) Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik - Faizal Hussein (Bunohan)
    11) Anugerah Pengarah Filem Terbaik - Dain Iskandar Said (Bunohan)
    12) Anugerah Filem Bukan Melayu Terbaik - Petaling Street Warriors
    13) Anugerah Pencapaian Khas - Rhythm & Hue Studio (Life of Pi)
    14) Anugerah Khas Sepanjang Hayat Wanita - Seniwati Mariani Ismail
    15) Anugerah Khas Sepanjang Hayat Lelaki - Datuk Aziz Sattar
    16) Anugerah Khas Juri Penggiat TV Lelaki - Mano Maniam
    17) Anugerah Khas Juri Penggiat TV Wanita - Lai Meng
    18) Anugerah Filem Terbaik – Bunohan

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/03
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved