Sabtu, 9 Mac 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Tersepit celah dua dinding

Posted:

Hangzhou (China): Gara-gara mahu sampai cepat ke rumahnya, seorang lelaki tersepit di antara dua dinding ketika pulang dari bar di Xinqiao di bandar Wenzhou, Zhejiang.

Menurut media tempatan, Jian Tsui tersepit di situ begitu rapat sehingga dia sukar bernafas atau menjerit untuk meminta tolong.


Disebabkan masalah itu, nasib menimpa Jian hanya disedari apabila hari siang dan anggota penyelamat terpaksa menebuk lubang pada satu daripada dinding berkenaan untuk menyelamatkannya.

Saksi berkata, Jian meninggalkan bar kira-kira jam 1 pagi dan meredah cuaca sejuk untuk pulang.


"Dia mahu mengambil jalan pintas dan cuba lalu di antara dinding dua rumah, tetapi gagal meloloskan diri," katanya. Sementara itu, Jian berkata, dia kesejukan dan mahu segera sampai ke rumah.


"Apabila tersepit, saya cuba keluar semula, namun gagal kerana saya tidak boleh bergerak banyak.

"Saya cuba menjerit meminta tolong, tetapi disebabkan tak mampu bernafas dengan betul, saya tak boleh menjerit," katanya. Jian bernasib baik kerana seorang penduduk kampung ternampak dia tersepit ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.


Dia cuba menarik Jian keluar, tetapi ia hanya menyebabkan kecederaan.

Akhirnya, seorang pemilik rumah membenarkan anggota penyelamat menebuk lubang dinding rumahnya untuk selamatkan Jian. - DM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

3 tahun simpan mayat ibu

Posted:

Tiga beradik ditahan selepas pihak berkuasa menemui rangka ibu mereka di rumah didiami pasangan terbabit, semalam.

Menurut pihak berkuasa, pasangan adik-beradik itu mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan atas kematian ibu mereka.


Sumber berkata, wanita terbabit sudah meninggal dunia selama tiga tahun.

"Mayat wanita itu disimpan anak-anaknya kerana mereka percaya si mati bertukar menjadi tuhan," katanya. Ekoran penemuan rangka itu, pihak berkuasa menahan dan mendakwa seorang lelaki berusia 65, dua wanita berusia 59 dan 52 tahun kerana bersubahat mengabaikan mayat.


Sumber polis berkata, adik-beradik itu ditahan di rumah mereka di Usa di wilayah Oita.


Terdahulu, pihak berkuasa melawat rumah mereka bagi menyiasat kemungkinan ada wanita tua didera.

Sumber berkata, pada awalnya penyiasat tidak dibenarkan masuk, malah dihalau dari situ.


"Apabila berjaya masuk, penyiasat menemui rangka wanita terbabit di atas katil," katanya. Pegawai forensik berkata, jika wanita itu masih hidup, dia berusia 88 tahun ketika ini.

Sementara itu, jiran berkata, satu ketika dulu, keluarga terbabit dihormati penduduk setempat, tetapi menimbulkan kecurigaan apabila melakukan amalan aneh.


Keluarga itu juga enggan bercampur dengan masyarakat setempat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Scha kena selektif

Posted:

Jika segelintir artis lain memperlahankan aktiviti seni selepas berkahwin, pelakon dan pengacara popular, Scha Al-Yahya pula sebaliknya tidak menang tangan memenuhi pelbagai undangan berlakon mahupun mengacara.

Malah, isteri kepada pelakon dan pengacara kacak, Awal Ashaari, 32, dan pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al- Yahya, 30, mengakui rezekinya juga semakin murah selepas memegang status sebagai isteri.

"Saya bersyukur kerana masih mendapat kepercayaan daripada pengarah mahupun penerbit program di luar sana. Terus terang, agenda seni juga padat sama seperti zaman solo dulu.

"Sebagai pelakon, saya juga hanya berikan yang terbaik untuk kepuasan diri dan penonton. Contohnya drama bersiri Jodoh yang disiarkan di saluran Astro Ria yang mendapat 'rating' paling tinggi, walaupun baru ditayangkan sebanyak lima episod dan rekod ini sama seperti yang dilakar drama bersiri Awan Dania yang meletup dulu," katanya.


Scha yang sudah menamatkan kontraknya sebagai wajah eksklusif Astro pada penghujung tahun lalu juga baru selesai penggambaran telemovie untuk saluran Astro Warna.


"Selain itu, saya juga berlakon dalam slot Cerekarama bergandingan dengan pelakon Rozita Che Wan.

Ia juga kali pertama kami bekerjasama dalam drama. Tidak ketinggalan, saya juga terbabit sebagai pengacara program Muzik-Muzik 28 bergandingan dengan penyampai Hot FM, AG," katanya.

Apapun, pelakon jelita yang melonjak namanya menerusi drama bersiri Awan Dania menafikan namanya lebih dikenali peminat dalam drama berbanding di layar filem.

"Sama seperti drama, filem lakonan saya seperti Histeria dan Papadom juga mendapat sambutan yang bagus di pawagam. Saya juga ingin dikenali dalam kedua-duanya sekali gus," katanya.

Bagaimanapun, kata pemenang Dewi Remaja 2006 ini, sampai masanya dia lebih selektif dengan watak yang ditawarkan selepas ini.

"Saya sering ditawarkan karakter sama dalam drama. Justeru, saya ingin watak lebih mencabar diri dalam lakonan sekali gus menggilap lagi bakat lakonan sedia ada. Antara karakter yang saya suka ialah dalam drama Geisha Melayu Terakhir dan filem Histeria sebelum ini," katanya.

Scha ditemui di sesi pratonton filem Awan Dania The Movie yang berlangsung di pawagam GSC Pavillion, Kuala Lumpur di sini, baru-baru ini. Turut hadir Penerbit Eksekutif TUSB, Gayatri Su-Lin Pillai dan pengarah filem ini, Rashid Sibir.

Bercerita mengenai filem terbaru lakonannya, Awan Dania The Movie pula, Scha mengakui dia berasa lega akhirnya filem itu bakal menjengah pawagam tempatan selepas menunggu selama tiga tahun.

"Saya berharap peminat dapat mengubat rindu pada Dania selepas menonton filem ini. Apa yang saya boleh katakan, filem ini menonjolkan karakter Dania Abd Rahman dari sisi lain yang belum pernah di paparkan sebelum ini.

"Karakter Dania juga dikembangkan dalam skala yang lebih besar dalam filem ini. Dania juga nampak lebih matang berbanding dalam drama bersiri dulu," katanya.

Ditanya pengalamannya bekerja dengan Rashid buat julung kalinya, kata Scha, dia menghormati pengarah itu kerana berani memberikan satu dimensi baru pada cerita Awan Dania itu.

"Sebagai pelakon, saya hanya melakonkan watak Dania seperti dikehendaki skripnya. Saya harap peminat Dania boleh terima kelainan yang ditampilkan dalam filem ini," katanya.

Filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd yang mula menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 14 Mac ini turut diterajui Elly Mazlien, Rusdi Ramli, Jehan Miskin, Dee dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Tidak sabar bergelar ibu

Posted:

Beralih sisi peribadinya pula, kata Scha yang sudah 10 bulan melayari bahtera rumah tangga dengan Awal nampaknya tidak dapat mengelak bila diasak soal anak sama seperti pasangan artis muda lain yang sudah berkahwin.

Pasangan sepadan ini sah bergelar suami isteri pada 4 Mei tahun lalu.

"Rumah tangga kami bahagia dan kami juga sudah bersedia untuk membina keluarga. Usia saya pun sudah mencecah 30 tahun dan memang sudah tepat untuk menimang cahaya mata untuk mengukuhkan lagi ikatan sedia ada.

"Sebab itu, saya dan Awal berehat panjang selama enam bulan sebaik saja kami berkahwin sebelum ini kerana ingin fokus pada rumah tangga.


Nampaknya masih belum ada rezeki kami untuk dapat anak lagi. Maklumlah, kami berdua sama-sama sibuk dan hanya berjumpa pun sebelum masuk tidur saja.


"Namun, saya dan Awal lebih suka mengikut nasihat rakan artis lain supaya tidak mahu terlalu memikirkan soal anak itu bagi mengelakkan berasa tekanannya. Soal anak ini adalah ketentuan Tuhan," katanya.

Ditanya mengenai susuk tubuhnya yang nampak agak kurus, Scha mengakui berat badannya turun sebanyak 3 kilogram selepas berkahwin.

"Saya memang suka memasak dan kuat makan, tetapi nak buat macam mana berat badan memang susah naik kerana kadar metabolisma yang tinggi. Selain itu, mungkin kerana saya tidak cukup rehat kerana agenda seni yang padat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Scha juga sibuk menguruskan perniagaan miliknya, Schapoholics yang beroperasi di The Curve, Mutiara Damansara selepas premis pertamanya di Wangsa Walk Mall.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Cukup memalukan: Zolkples

Posted:

Mengecewakan dan memalukan. Itu reaksi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong selepas tiada lagu Negaraku berkumandang ketika Malaysia memenangi pingat emas pertama acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang berlangsung di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi, India kelmarin.

Insiden berlaku membabitkan pelumba berusia 16 tahun, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang memenangi pingat emas satu kilometer ujian masa kategori remaja dengan memecahkan rekod kejohanan namun tiada lagu kebangsaan berkumandang pada majlis penyampaian hadiah dengan tumpuan terarah kepada pengurus pasukan trek, Ibrahim Mustapa.


"Saya sudah dimaklumkan oleh pegawai MSN yang berada di sana. Perkara ini amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia kerana kami sentiasa mengingatkan atlet supaya berjuang dengan semangat tinggi dalam mana-mana kejohanan agar Jalur Gemilang dapat dikibarkan dan lagu kebangsaan dinyanyikan. Ia jelas mengecewakan kerana pengurus pasukan harus sedar tanggungjawab yang perlu mereka galas.

"Ini adalah perkara yang serius dan kami perlu melihatnya secara menyeluruh. Malah ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Sudah tentu ia turut memalukan kerana lagu kebangsaan tidak berkumandang. Saya tidak tahu sama ada ini berlaku kerana beliau tidak menaruh harapan untuk atlet kita menang atau sebaliknya," kata Zolkples yang berharap perkara itu tidak berulang.


Jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang menerusi akaun Twitter miliknya menyatakan insiden terbabit berlaku ketika skuad negara memenangi emas pertama dengan pengurus pasukan tidak berada di velodrom kerana melawat Taj Mahal (lokasi pelancongan di India).


Sementara itu Ibrahim ketika dihubungi menjelaskan, rakaman lagu Negaraku sudah diserahkan kepada penganjur beberapa hari sebelum itu dan ia berjalan dengan lancar ketika penyampaian pingat emas kepada dua atlet paralimpik negara yang turut berlangsung di tempat sama.

"Mungkin berlaku masalah komunikasi dengan pihak sekretariat. Saya tidak berada di velodrom kerana menguruskan beberapa perkara membabitkan atlet paralimpik negara namun lagu kebangsaan tetap berkumandang cuma lewat beberapa minit dengan pegawai kita bertindak memuat turun lagu di Internet. Bukan tidak dimainkan langsung," katanya.


Selain Firdaus, turut meraih emas adalah Irwandie Lakasek dalam acara scratch lelaki remaja yang berlangsung lewat malam tadi namun tiada tuaian emas semalam apabila hanya sebutir pingat gangsa diterjemahkan Mohamad Farid Razali menerusi acara kejar mengejar tiga kilometer individu.

Azizulhasni dan Josiah Ng pula melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam acara pecut individu dengan menjadi antara 16 pelumba terbaik namun menurut Ibrahim, pelumba kelahiran Terengganu itu didenda Swiss Franc 200 (RM656) kerana menggunakan seluar melepasi bahagian lutut sekali gus menyebabkan beliau sebagai pengurus pasukan turut didenda 250 Swiss Franc (RM820).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Rooney nekad tebus kecewa

Posted:

Wayne Rooney pasti mahu melepaskan rasa kecewanya apabila bertemu Chelsea pada suku akhir Piala FA, minggu ini selepas tidak diturunkan ketika Manchester United bertemu Real Madrid.

Pengurus United, Alex Ferguson tidak menurunkan Rooney sebaliknya memilih Robin van Persie dan Danny Welbeck, namun di sebalik tewas 1-2 kepada kelab gergasi Sepanyol itu yang terus menyingkirkan United pada saingan Liga Juara-Juara, keputusan Ferguson itu dianggap wajar.


Ketiadaan Rooney menimbulkan pelbagai spekulasi media bahawa karier gemilangnya di Old Trafford mungkin sudah berakhir, namun bekas pengurus England dan pembantu United, Steve McClaren menafikan pemain itu akan meninggalkan Liga Perdana Inggeris.

"Saya mengenali Rooney dan apa yang dimahukan adalah untuk beraksi sebaik mungkin dan melakar kejayaan. Dia mahukan trofi.


"Dia seorang pemenang dan tiada kelab lebih baik berbanding Manchester United jika mahu merasai kejayaan.


"Dia tidak akan meninggalkan kelab ini kecuali diminta melakukannya," kata McClaren.

"Ferguson sudah berbincang dengan Rooney mengenai keputusannya mengetepikan pemain itu ketika bertemu Real Madrid.


"Keputusan itu dibuat bagi memastikan United meraih lebih banyak kejayaan. United mempunyai banyak lagi perlawanan utama dan Rooney pasti terbabit.

"Pada masa ini, saya tidak fikir dia akan meninggalkan United," katanya.


Bekas penyerang United, Michael Owen berkata tindakan mengetepikan Rooney ketika bertemu Real satu tamparan untuk penyerang itu, namun dia percaya berdasarkan prestasi terkini, Ferguson pasti menurunkannya apabila bertemu Chelsea di Old Trafford.


Van Persie sudah mencipta nama sebagai penjaring terbanyak United dengan meledak 22 gol sejak tiba dari Arsenal tahun lalu.


Ferguson begitu meminati corak permainan Welbeck sementara Javier Hernandez adalah antara peledak yang memberi banyak pilihan untuk pengendali itu.


Shinji Kagawa meledak hatrik ketika bertemu Norwich City minggu lalu menjadi watak penting di belakang Van Persie, posisi yang sebelum ini didominasi Rooney.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Jumaat, 8 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Puas hati reka sendiri

Posted:

Rekaan menarik, menawan, elegan dan selesa, antara elemen utama menjadi pilihan bakal mempelai. Bagi pereka busana pengantin pula, kebiasaannya keinginan pelanggan paling diberi perhatian sebelum menghasilkan sesuatu rekaan.

Empat elemen itu juga yang diamalkan oleh pereka fesyen, Amir Mirza menerusi labelnya, Amir Mirza Couture, kerana menyifatkan pelanggannya adalah pengkritik terbaik kepada sebarang penghasilan rekaan terbaru.

"Setiap pelanggan mempunyai keinginan berbeza dan saya juga ada pendapat sendiri. Justeru, kerjasama menjadi kunci penting agar busana yang memuaskan hati kedua-dua pihak boleh dihasilkan.

"Semua kerja seperti menghasilkan rekaan, memotong kain, menjahit baju dan menjahit manik saya lakukan sendiri sebab saya amat cerewet. Malah saya mementingkan semua aspek berkenaan selain diri sendiri berasa lebih puas," katanya.


Anak sulung daripada tiga beradik ini paling gemar membuat baju pengantin yang labuh atau baju pendek yang dipakai bersama kain berpotongan kembang atau duyung.


Tidak dilupakan, Amir juga menerima tempahan bagi membuat baju untuk majlis anugerah, baju kurung moden, baju kurung tradisional, kebaya, kaftan dan baju songket.

Pendek kata, dia suka menghasilkan rekaan yang berkonsepkan dua dalam satu. Selain boleh digunakan sebagai busana pengantin, ia juga boleh digunakan semula untuk menghadiri majlis makan malam.

Menurutnya, pengalaman yang ditimba dengan bekerja di butik milik pereka terkenal seperti Jovian Mandagie, Sharifah Kirana dan Mior Apparel banyak mengajarnya cara menghasilkan sesuatu rekaan baju.

"Pengalaman bekerja dengan Jovian selama lebih dua tahun dan Mior selama dua tahun menyuntik semangat kepada saya untuk menghasilkan rekaan sendiri.

"Sebab itu saya berhenti dan membuat sendiri di rumah kerana kepuasan lebih dirasai malah kita akan bekerja lebih keras jika melakukan sendiri," katanya yang juga pakar dalam jahitan manik, kristal swarovski dan perincian pada baju.

Tambahnya, dalam menghasilkan sehelai baju, kita harus memastikan kain dipotong dengan betul, jahitan mesti kemas manakala susunan manik pula cantik dan rapi.

Lebih gemar menggunakan fabrik sifon, bridal satin, organza dan renda Perancis dalam rekaannya, Wan Ahmad Amirullah mengambil masa selama dua minggu bagi menyiapkan tempahan termasuk jahitan manik dan perincian.

Kebanyakan koleksi busana dan gaun pengantinnya bercirikan moden dan kontemporari serta perincian yang dijahit atau ditampal tidak terlalu sarat agar memudahkan pengantin bergerak.

Potongan busana yang dipilih juga selalunya ringkas dengan perincian minimum agar penampilan pengantin tampak lebih anggun dan menawan.

Untuk musim 2013 ini, Amir banyak bermain dengan rona terang, semula jadi dan pastel seperti jingga, fuchsia, merah jambu terang, biru, merah, krim selain putih dan hitam.

Dia turut menasihati bakal pengantin supaya tidak mengenakan busana yang mempunyai warna sama dengan warna tema majlis kerana ia tidak menonjolkan diri mempelai.

Contohnya, elak daripada memilih warna busana yang sama dengan warna langsir di khemah, pelamin, bilik tidur mahupun meja makan beradab. Baju pengapit pula harus berlainan warna agar dapat membezakan antara pengantin dan pengapit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09

Topi comel tampil kelainan

Posted:

Berbicara mengenai fesyen bagaikan tiada kesudahannya. Setiap hari ada saja gaya dan rekaan dapat dilihat hasil karya pereka yang membawa idea masing-masing untuk dijamu oleh pelanggan setia.

Sama ada lelaki mahupun wanita, mencari pakaian bersesuaian de­ngan selera dan kegemaran diri bukan lagi menjadi masalah pada masa kini.

Pergi saja ke butik di pusat beli-belah, pelbagai jenis fesyen pakaian sudah tersedia. Namun, untuk pereka antarabangsa yang satu ini, rekaannya begitu eksklusif dan kadang-kadang sukar untuk merung­kainya de­ngan kata-kata.

Begitu juga apabila melihat koleksi musim luruh dan panasnya tahun ini yang berkonsepkan Kajal. Hasil karya Giorgio Armani kali ini jelas menyerlahkan gaya anggun yang sofistikated tanpa perlu dipaksa.


Menekankan kepentingan mainan warna dan bentuk tubuh wanita yang feminin tanpa perlu terlampau seksi, koleksinya mempunyai identiti tersendiri bagi memberi kelainan yang diinginkan pencinta fesyen.


Sekali imbas pada koleksi terbarunya ini, bagaikan menonton filem berlatarbelakangkan zaman dulu apabila topi kepala comel menjadi aksesori penting yang me­nyerlahkan si pemakai.

Penekanan kepada elemen bentuk tubuh dapat disaksikan menerusi rekaan pakaiannya yang berstruktur. Dihasilkan melalui fabrik seperti baldu dan berbulu, rekaan tampak kaku tetapi ia diseimbangkan dengan alunan jaket serta blaus.

Gaun, seluar pendek Bermuda dan seluar panjang juga menepati cita rasa wanita masa kini yang mementingkan keselesaan sepanjang masa.

Setiap rekaan tampak lebih menarik dengan tambahan aksesori seperti beg tangan, anting-anting, kasut, rantai leher, cincin dan gelang tangan kontemporari sebagai pelengkap gaya.

Tidak hanya memandang pada potongan, rekaan kali ini turut memberi perhatian pada penggunaan warna pastel seperti kuning, krim, hijau, biru dan merah agar tampil lebih yakin dalam bergaya unik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/09
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Pangsapuri mendap

Posted:

Cheras: Keselamatan lebih 500 penghuni Blok 9 dan 10 Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak, di sini, sekali lagi terancam apabila berlaku tanah mendap berhampiran kediaman mereka.

Kejadian tanah mendap yang berlaku sejak dua tahun lalu itu dapat dilihat apabila terdapat retakan sepanjang hampir 100 meter di jalan raya dalam kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran tembok simen setinggi 10 meter.


Penduduk, Rozaini Amir Hamzah, 51, berkata, masalah itu bukan kali pertama dialami penduduk sebaliknya pernah berlaku pada 2002 menyebabkan jalan raya di situ merekah.

"Siapa yang boleh lena tidur apabila setiap hari melihat jalan raya berhampiran rumah semakin mendap.


"Tanda tanah mendap terutama pada jalan raya mula kelihatan sejak beberapa tahun lalu dan semakin menunjukkan tanda kritikal pada tahun lalu, apabila mendapan semakin menghampiri rumah penduduk," katanya di sini, semalam.


Kebimbangan penduduk terbukti apabila tinjauan wartawan mendapati terdapat mendapan sepanjang hampir 100 meter membabitkan dua blok berkenaan.

Foto

MOHD Ishak menunjukkan jalan yang mendap di kawasan Pangsapuri Pendekar Taman Tun Perak.

Selain itu, penduduk, Mohd Ishak Puteh, 47, menyifatkan nyawa penduduk ibarat telur di hujung tanduk kerana kejadian tanah runtuh tidak boleh dijangka dan boleh berlaku bila-bila masa.


"Ekoran pergerakan tanah di situ menyebabkan pagar besi berhampiran tembok simen jatuh serta longkang rosak teruk menyebabkan air hujan tidak dapat dialirkan ke tempat lain sebaliknya masuk dalam tanah.

"Malah, setiap kali hujan lebat, pasti ada aliran air yang kuat keluar dari tembok menunjukkan kandungan air yang banyak di dalamnya," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Abdul Rashid Osman, berkata beliau sudah membuat aduan kepada pemaju, TPPT Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi membolehkan tindakan segera dilakukan.


"Isu kejadian tanah runtuh ini memerlukan kajian terperinci daripada pihak terbabit. Apatah lagi kami tidak mengetahui kaedah tambakan tanah yang dilakukan pemaju ketika projek pembinaan rumah dan apa yang ada di bawah perumahan kami.


"Mungkin ada paip air yang pecah atau punca lain yang menyebabkan kejadian tanah mendap di sini berulang.


"Walaupun MPKj dan pemaju datang meninjau masalah di sini pada Mac tahun lalu, sehingga kini tiada tindakan diambil bagi mengatasi masalah tanah mendap itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Saya akur'

Posted:

Johor Bahru: Akur dan sedia terima apa saja keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), itulah keterbukaan Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar selepas anakanda baginda, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail bakal berdepan hukuman badan induk bola sepak negara itu.

Ia gara-gara kritikan Tunku Ismail yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan mutu pengadilan saingan Liga Malaysia (Liga M) yang boleh ditakrifkan masih berada di tahap amatur ketika bola sepak Malaysia sudah lama di era profesional.


Sultan Ibrahim bertitah, Tunku Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah menghadap baginda untuk mempersembahkan perkara itu dan baginda menasihati anakandanya supaya menerima apa juga tindakan dengan hati terbuka.

"Tunku Ismail juga akur dengan keputusan FAM, badan itu juga diminta mengenakan tindakan sewajarnya dan tidak double standard (berat sebelah) walaupun dia adalah anak raja.


"Saya neutral (berkecuali), Tunku Ismail juga akan menerimanya dengan hati terbuka, langsung tidak timbul isu kecil hati dan sebagainya," titah baginda di Istana Pasir Pelangi, semalam.


Sultan Ibrahim turut kagum dengan perkembangan prestasi pasukan Johor Darul Takzim (DT) yang semakin meningkat dengan menduduki takhta Liga M.

Foto

SULTAN Ibrahim berkecuali.

Ia dianggap perkembangan positif selepas lebih 22 tahun terkubur dan melalui detik suram.


Bagaimanapun, Sultan Ibrahim meminta peminat memberikan masa kepada pasukan Johor DT untuk terus maju dan menjadi juara liga selain pasukan bola sepak terbaik di negara ini.

"Saya memberi dorongan dan semangat kepada Tunku Ismail untuk menaikkan bola sepak negeri Johor, Alhamdulillah cara Tunku Ismail mengendalikan pasukannya menampakkan hasil dalam masa singkat." Penyokong Johor DT juga diingatkan supaya sentiasa menjaga adab sopan dan tatatertib ketika menyaksikan perlawanan dan tidak mencemarinya dengan melakukan apa juga tindakan yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08

Jumpa Maria

Posted:

Indian Wells, California: Bekas juara Terbuka Perancis, Francesca Schiavone mengalahkan rakan senegara dari Itali, Flavia Pennetta 7-5, 6-1 semalam untuk menempah pertemuan dengan pilihan kedua, Maria Sharapova pada kejohanan Terbuka BNP Paribas.

Francesca, juara di Roland Garros pada 2010, memperbaiki rekod pertemuan 5-2 ke atas Flavia, yang baru saja kembali daripada pembedahan pergelangan tangan baru-baru ini.


Pertembungan sesama pemain Itali itu adalah antara 16 perlawanan pusingan pertama perseorangan wanita pada hari pembukaan kejohanan gelanggang keras Masters WTA dan ATP itu, ketika 32 pemain pilihan lelaki dan wanita mendapat 'bye' pusingan pertama.

Juara bertahan, Victoria Azarenka adalah pilihan utama kategori wanita.


Juara Terbuka Australia dari Belarus itu tiba di Indian Wells tanpa kalah dalam 14 perlawanan tahun ini dan berdepan pemenang antara juara dua kali Indian Wells, Daniela Hantuchova dari Slovakia dan pemain Perancis, Stephanie Foretz Gacon, pada pusingan kedua.


Bekas juara Indian Wells yang turut beraksi dalam acara wanita adalah bekas pemain nombor satu dunia, Caroline Wozniacki dari Denmark dan dua pemain Serbia, Ana Ivanovic dan Jelena Jankovic.

Jelena berdepan kesukaran pada pusingan kedua menentang juara Grand Slam dua kali, Svetlana Kuznetsova, yang memerlukan hanya 71 minit menundukkan pemain Republik Czech, Andrea Hlavackova 6-3, 6-1.


Svetlana, juara Terbuka AS 2004 dan Terbuka Perancis 2009, melakukan kemunculan semula selepas kecederaan lutut menyebabkannya bertongkat selama dua bulan, diikuti proses pemulihan beberapa minggu yang menyaksikannya terlepas semua kejohanan selepas Wimbledon tahun lalu.

Pernah menghuni ranking kedua dunia, Svetlana merudum ke tangga ke-85 namun kembali melonjak ke tangga ke-46 hasil kejayaan mara ke suku akhir di Sydney dan Terbuka Australia.


"Saya gembira kembali ke gelanggang. Inilah perkara utama," kata Svetlana, yang muncul naib juara di Indian Wells pada 2007 dan 2008. "Setiap hari saya hanya mencuba yang terbaik dan semuanya kini menjadi buat saya." Pemain wild card AS, Maria Sanchez, ranking ke-112 dunia, mengalahkan pemain Russia, Olga Puchkova 6-3, 6-3 untuk menempah pertemuan pusingan kedua dengan pilihan ketiga Agnieszka Radwanska dari Poland. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kami tak mungkin bermusuh

Posted:

Empat tahun lalu menerusi drama Nur Kasih mereka dipertemukan. Bukan sekadar digandingkan sebagai suami isteri, tetapi akhirnya cinta mereka menjadi realiti.

Namun, seiring dengan fenomena Nur Kasih yang makin berlalu, begitulah juga dengan cinta yang bersemi di antara Adam yang dilakonkan Remy Ishak dan Nur lakonan Tiz Zaqyah Razak.

Nyata, episod cinta yang terjalin di lokasi drama kesukaan ramai itu ternoktah juga di tengah jalan pada pertengahan tahun lalu.

Kini Tiz Zaqyah sendiri sudah menemui 'pengganti baru' di hatinya, manakala Remy pula hangat dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengan pelakon jelita, Maya Karin.


Bagaimanapun, kedua-duanya 'ditemukan' kembali pada malam gala sempena tayangan drama 26 episod lakonan mereka, Cinta Jangan Pergi untuk TV9, baru-baru ini.


Yang pasti, kedua-duanya cukup profesional. Bahkan, apabila diminta bergambar berdua untuk sesi fotografi bersama, mereka tidak mengelak sebaliknya memberikan kerjasama baik.

Remy yang membawakan watak Kalil dan Tiz sebagai Lea Soraya dalam drama yang akan menemui penonton pada 6 April nanti, jam 8.30 malam itu, masih lagi berlakon sebagai pasangan kekasih.

Disiarkan dua malam berturut-turut, setiap Sabtu dan Ahad, ia mengetengahkan kisah percintaan antara Kalil dan Lea Soraya ketika mereka melanjutkan pengajian di luar negara.

Berbicara mengenai keserasian yang masih wujud dalam lakonan Remy dan Tiz, walaupun ketika penggambaran drama ini dibuat hubungan cinta mereka sudah berakhir, jawapannya adalah profesional.

"Saya mengambil pendekatan bersikap profesional sepanjang penggambaran drama itu kerana cukup tertarik dengan jalan cerita diketengahkan serta karakter Kalil yang dilakonkan," kata Remy.

Katanya, enggan ketinggalan dalam penjiwaan watak sebagai Kalil yang romantik dan tidak suka merancang, dia berusaha tidak mahu terlalu melayan perasaan peribadi itu.

"Saya letakkan di dalam hati untuk bergembira dengan watak Kalil dan syukur dapat melakonkannya dengan baik dalam situasi yang begitu seronok.

"Semuanya berjalan lancar dan sama ada saya mahu pun Tiz, kami masih lagi boleh berbincang serta berbual bersama untuk merealisasikan karakter masing-masing.

"Kami cukup profesional dan saya juga masih seronok dapat bekerjasama dengan Tiz di dalam drama percintaan arahan Kabir Bhatia ini sekali lagi," katanya.

Enggan mengulas lanjut kisah percintaannya yang sudah berlalu, Remy berkata, dia lebih selesa memilih untuk bersikap mendiamkan diri.

Katanya, dia seorang yang pemalu untuk terlalu membicarakan soal peribadi. Apatah lagi sudah terdidik dengan sifat itu oleh keluarganya sejak kecil lagi.

Menyentuh pula kisah hubungan 'istimewa' dengan Maya, aktor diminati ramai ini memaklumkan mereka berdua hanyalah teman rapat saja.

"Soal jodoh ini ketentuan Tuhan dan apa yang boleh saya katakan, hubungan dengan Maya setakat ini hanya sebagai kawan rapat. Namun, saya tidak tahulah bagaimana pula status hubungan kami ini pada masa akan datang dan biarlah ia ditentukan Tuhan. Lagi pun, soal jodoh tak boleh diramal," katanya.

Mengakui dia kembali aktif semula di pentas teater tahun ini, Remy yang ditanya mengenai hubungan cinta baru Tiz berkata, dalam soal itu lebih bagus jika sama-sama mendoakan yang terbaik saja.

Temui cinta baru selepas berpisah

Tampil dengan wajah penuh ceria dan berseri-seri, ia nyata tidak mampu menolak kenyataan bahawa hati Tiz Zaqyah kini dipenuhi cinta serta bahagia.

Memilih cinta pemuda biasa untuk bertakhta di hatinya, Tiz berkata, dia cukup selesa kerana kisah percintaannya tidak lagi terlalu menjadi perhatian umum.

Pun begitu ujarnya, pemuda yang dikenali dengan nama Daniel Haziq yang juga rakan pada zaman persekolahannya dulu bukanlah 'punca' kemusnahan hubungan cinta dibina bersama Remy.

"Dia (Daniel) hadir dalam hidup saya selepas beberapa bulan putus cinta dengan Remy. Kami bertemu dalam majlis pertemuan semula rakan sekolah lama yang dianjurkan.

"Sejak itu, kami mula berkawan kembali dan lama-kelamaan semakin serasi. Dia begitu memahami sikap saya dan cukup bersabar. Jadi, kami saling menyenangi antara satu sama lain.

"Saya suka dia kerana sikapnya yang matang, tenang, lemah-lembut dan sangat sabar. Bahkan, keluarga juga sudah tahu dan menerima hubungan kami," katanya.

Berbicara mengenai perancangan perkahwinan, Tiz berkata, perkara itu belum lagi difikirkan kerana faktor usia yang masih muda.

"Buat masa ini, biarlah kami bercinta dulu dan juga memberi fokus pada karier masing-masing. Apabila sudah stabil dan bersedia, maka mungkin boleh memikirkan soal itu (perkahwinan) pula.

"Apapun, kini saya mengharapkan hubungan kami berjalan lancar dan doakan yang terbaik serta semoga berpanjangan," katanya yang akan muncul dengan drama baru arahan Raja Ahmad Alauddin.

Berbicara mengenai Remy pula, Tiz berkata, biar pun mereka tidak lagi bercinta tetapi hubungan antara satu sama lain masih baik dan profesional.

"Saya juga sering terserempak dengan Remy di merata tempat dan kami tidak bermusuhan. Hubungan cinta kami juga putus secara matang.

"Menyentuh soal hubungan Remy dan Maya, itu urusan mereka dan saya doakan saja yang terbaik. Malah saya turut tumpang gembira jika Remy sudah menemui cinta baru," kata Tiz.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08

Shahrizal sudah sedia

Posted:

"Jika ditanya me­ngenai kesediaan untuk bergelar suami, sekarang pun saya sudah sedia ke arah itu," kata pelakon siri popular Asmara, Shahrizal Jaszle.

Shahrizal, 24, mengakui bersedia untuk berumah tangga, tetapi tidak mahu melakukannya secara terburu-buru selepas mengikat tali pertunangan dengan gadis pilihannya, Redzwani Puteri pada Disember lalu.

Tambahan pula katanya, mereka berdua masih terikat dengan pelbagai komitmen dan dia juga perlu memberi laluan kepada tunangnya menamatkan pengajian dalam bidang perubatan yang masih berbaki dua tahun lagi.

"Justeru kami memutuskan mengikat pertunangan lebih kurang dua tahun. Kalau nak ikutkan, ia satu jangka masa yang lama, sekiranya lebih awal kami berkahwin pun, saya akan memberitahu media dan peminat.


"Namun sekarang saya sendiri juga sibuk dengan penggambaran dan Redzwani pun masih belajar, jadi kami sekadar meletakkan sasaran dua tahun sebelum menamatkan zaman bujang," katanya kepada RAP, baru-baru ini.


Menyentuh insan istimewa di hatinya itu, Shahrizal yang kini sibuk dengan penggambaran Rindu Bertamu Di Abu Dhabi berkata, dia sudah lama mengenali Redzwani kerana perhubungan rapat antara kedua-dua belah keluarga.

"Saya dan dia sudah lama berkawan dan saling me­ngenali antara satu sama lain kerana ibu saya dan ibunya berkawan. Lama-kelamaan kami menjadi rapat. Mung­kin kerana kami banyak berkongsi minat yang sama menyebabkan hubungan kami jadi lebih akrab.

"Antara perkara yang sering kami lakukan bersama adalah menghabiskan waktu terhadap fotografi. Kami sering berlumba-lumba siapa dapat foto paling cantik dan macam-macam lagilah aktiviti lain yang sering kami lakukan bersama," katanya.

Mengenai majlis pertunangannya yang dibuat secara tertutup dan ha­nya dihadiri ahli keluarga, Shahrizal menjelaskan, dia cuba belajar daripada kesilapan lalu kerana tidak mahu kisah peribadinya menjadi bualan dan biarlah peminat melihat bakatnya.

"Majlis pertunangan sengaja dibuat secara tertutup bagi menghormati permintaan daripada kedua-dua belah keluarga yang mahu ia diadakan secara ringkas dan hanya dihadiri keluarga saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/08
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved