Jika ada yang berpendapat kerjaya di bidang gubahan bunga tidak menjanjikan masa depan yang baik, pengalaman mereka yang terbabit dalam bidang ini boleh dijadikan panduan.
Idayu Daud, 32, misalnya menceburkan diri dalam bidang berkenaan kerana sedar potensinya yang begitu luas.
Walaupun meminati gubahan bunga sejak berusia 13 tahun, hasratnya terpaksa dilupakan kerana tidak bertemu dengan pengajar yang dapat membantu memantapkan kemahirannya ketika itu.
Bagaimanapun, dia mengambil keputusan bekerja di sebalik tabir dengan menghias pentas dan menggubah bunga setelah tamat zaman persekolahan.

WIN Chan (kanan) memberi tunjuk ajar kepada seorang pelajarnya.

IDAYU menggunakan bahan terbuang untuk menjadikan gubahan tampak unik.
Selain itu, dia menambah kemahiran dalam gubahan bunga dengan mengikuti kursus tahap satu pada Ogos 2011 sebelum gurunya, Kathy Ong melihat bakat yang dimilikinya.
"Walaupun saya lebih banyak berdiam diri ketika di dalam kelas, Kathy banyak mengajar teknik sebenar menggubah bunga untuk memastikan saya lebih serius di bidang ini.
"Malah, bagi mempraktikkan ilmu dipelajari, saya banyak mengisi masa lapang dengan membuat gubahan bunga atau hantaran perkahwinan yang ditempah oleh rakan terdekat dan saudara-mara.
"Memang cita-cita saya untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang ini tetapi saya juga perlu banyak mendedahkan diri kepada aktiviti gubahan bunga di dalam mahupun luar negara," kata pelajar Akademi Lee Flower Design (LFDA) itu.
Menariknya, melalui kelas yang diikuti itu juga dia mampu pergi lebih jauh dalam bidang gubahan bunga yang dianggap sebagai pendedahan awal terhadap kerjaya pilihannya.
Buktinya, dia meraih kejayaan dalam kategori Susunan Bunga pada Pameran Orkid Antarabangsa China (Sanya) Ketujuh di Hainan, China, baru-baru ini.
Menewaskan peserta dari 20 negara termasuk Thailand, Myanmar, Singapura, Jerman, Denmark, Ecuador, Brunei, Switzerland, Hong Kong, Macau dan Taiwan, ia sekali gus membuatkan dia percaya pada bakat dimilikinya.
Malah, dia turut membawa pulang pingat perak bagi kategori Rekaan Bunga Pasu pada pertandingan sama yang berlangsung pada 10 Januari hingga 16 Januari lalu.
Walaupun tidak bersedia sepenuhnya, atas semangat dan sokongan diberikan Kathy, dia meneruskan hasrat menyertainya.
"Saya mendapat maklumat mengenai pertandingan itu sebulan sebelum tarikh ia berlangsung. Jika ingin menyertainya, kita perlu melengkapkan diri seawal tiga bulan supaya tidak lupa pada teknik gubahan bunga yang ingin diketengahkan.
"Disebabkan belum berkeyakinan untuk bersaing dengan peserta yang kebanyakannya berpengalaman luas dalam dunia gubahan bunga, saya tidak begitu memikirkannya.
"Tetapi guru saya memberi sokongan untuk meneruskan niat bagi membuka minda dan mempelajari banyak perkara yang tidak pernah diketahui sebelum ini," katanya yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia ketika mula-mula membabitkan diri dalam dunia gubahan.
Pendedahan menerusi pertandingan peringkat antarabangsa itu banyak mengajarnya untuk memanfaatkan bahan terbuang seperti ranting atau daun kering dalam gubahan agar kelihatan unik dan menarik.
Walaupun mula belajar gubahan bunga dengan mencucuk daun saja, semangatnya kian membara dan terus memantapkan teknik gubahan dipelajari ke peringkat profesional selepas tamat kursus asas.
Jelasnya, cabaran yang dilalui setelah memilih bidang ini memang banyak. Antaranya ada yang menganggap kerjaya gubahan bunga tidak mendatangkan keuntungan.
Baginya, tanggapan seperti itu harus dibuang ke tepi kerana jika tidak mencuba terlebih dulu dan mudah berputus asa, pastinya kejayaan tidak akan diperoleh walau berada dalam apa bidang sekalipun.
Ada matlamat
"Matlamat memang penting bagi penggubah bunga sama ada ia dilakukan kerana minat atau ingin mendapatkan wang lebih.
"Jika penggubah bunga itu mementingkan keuntungan, mereka begitu mengambil kira setiap kos perbelanjaan walaupun untuk belajar kemahiran ini.
"Berlainan dengan mereka yang meminati seni. Mereka biasanya sanggup menghabiskan banyak duit atau masa untuk mempelajari teknik gubahan terbaru," kata Pengajar LFDA, Win Chan.
Baginya, penggubah bunga yang ingin membuka perniagaan seharusnya perlu mempunyai ramai kenalan dan pelbagai cara untuk memajukannya.
Kerjaya sebagai penggubah bunga juga banyak cabangnya jika individu itu benar-benar berminat dan tahu matlamatnya dalam bidang itu.
Banyak menyertai pertandingan, membuat demonstrasi serta pameran gubahan bunga di dalam dan luar negara, Win Chan membuktikan kerjaya sebagai penggubah bunga bukan hanya membabitkan skop kerja yang kecil.
"Sebenarnya, menyertai pertandingan dan demonstrasi gubahan bunga juga dapat meningkatkan kemahiran seseorang.
"Bukan itu saja, malah ia dapat menaikkan nama baik diri sendiri, sekali gus mampu menjana pendapatan lumayan. Disebabkan itu, untuk menjadi penggubah bunga yang bagus, teknik yang betul sangat penting.
"Untuk mendapatkan teknik yang banyak dan menarik, jangan berhenti belajar kerana itu saja cara untuk memperbaiki kelemahan diri," nasihatnya kepada sesiapa saja yang mahu menceburi bidang gubahan bunga.
Tambahnya, kemahiran yang meliputi rekaan, kombinasi warna, teknik dan kawalan masa sangat penting dalam gubahan bunga apatah lagi jika berhasrat untuk menyertai pertandingan menggubah bunga.
Mempunyai pengalaman lebih dari 15 tahun, Win Chan berasa Malaysia perlu lebih aktif mempromosikan kelebihan pendidikan gubahan bunga dalam menyediakan kerjaya yang berpotensi tinggi selain mencipta nama di luar negara.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12