Khamis, 14 Mac 2013

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tak kesah dibenci penonton

Posted:

Watak hitam Tania yang gedik ala 'Perempuan Melayu Terakhir' yang bercita-cita tinggi merebut anugerah Krew Kabin Terbaik dalam filem Awan Dania The Movie arahan Rashid Sibir benar-benar mencabar dirinya sebagai pelakon.

Sebagai pelakon, Elly Mazlein, 33, yang lebih 10 tahun bergelar anak seni sudah berusaha memberikan yang terbaik untuk menjiwai watak Tania mengikut tuntutan skrip seperti dikehendaki pengarahnya.

"Saya akui berasa gementar pada hari pertama di lokasi penggambaran kerana tidak terbabit dalam cerita asal Awan Dania dulu. Namun, berkat kerjasama dan 'homework' yang dilakukan serta bantuan pengarah, saya berjaya melakonkan watak Tania yang juga karakter baru dalam cerita ini.

"Saya juga cuba melakonkan watak Tania sebaik mungkin kerana baru kali pertama melakonkan karakter sedemikian. Bukan mudah untuk menjadi 'gedik' 24 jam dan saya juga tidak nampak cantik saja dalam filem ini kerana watak Tania juga 'huru hara' orangnya," katanya.


Menjadi ahli keluarga baru dalam Awan Dania bukan halangan buat Elly bekerjasama dengan teraju utamanya, Scha Al-Yahya dalam filem terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd.


"Watak Dania Abd Rahman yang dilakonkan Scha mengalami transformasi kerana dia cuba menjadi lebih matang berbanding dalam drama bersiri sebelum ini.

"Ia memaparkan sisi lain Dania di luar waktu bertugas yang kelam kabut, lucu dan lincah termasuk membabitkan soal pasangan hidup. Saya juga pastikan karakter antagonis Tania tidak terikut-ikut dengan watak Dania yang lucu dan kelam kabut itu," katanya.

Pemilik nama sebenar Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi yang cukup sinonim dengan watak baik mengakui dia tidak kisah jika dirinya dibenci penonton kerana gara-gara watak Tania itu.

"Saya akui ramai peminat suka saya melakonkan watak baik tapi sebagai pelakon, saya perlu pelbagaikan karakter kerana berlakon adalah periuk nasi saya. Saya juga perlu menyahut apa saja watak diserahkan.

"Namun, selepas mendapat maklum balas positif daripada pengarah dan pihak media sendiri ketika sesi pratonton, saya berasa gembira dan yakin untuk memberitahu filem ini adalah produk dari saya selepas tiga tahun menunggu.

"Saya harap peminat asal cerita Awan Dania akan datang menonton kelainan filem ini di pawagam seluruh tanah air bermula hari ini," katanya.

Kali terakhir, Elly berlakon ialah menerusi filem Tangkai Jering pada 2005. Filem lain lakonannya sebelum ini ialah Gerak Khas The Movie dan Janji Diana. Filem Awan Dania The Movie turut dibintangi Rusdi Ramli, Jehan Miskin, Dee, Ruminah Sidek, Roy Azman, Zaibo, Hans Isaac dan Allahyarham Osman Kering.

Elly enggan komen status

Pada sesi pratonton filem Awan Dania The Movie yang berlangsung di GSC Pavillion baru-baru ini, seperti biasa kelibat Elly Mazlein tetap mencuri perhatian media yang membuat liputan dan ingin tahu perkembangan cerita peribadinya, saat ini.

Tidak rimas diasak persoalan sama, Elly nampaknya tetap tenang menjawab setiap pertanyaan dari pihak media yang bertanyakan status terkini ikatan pertunangannya dengan pengarah drama dan filem, Azmi Mohd Hatta yang sudah mencecah lebih setahun itu.

Namun, Elly tetap belum bersedia untuk mengulas sama ada dirinya masih tunangan orang mahupun sebaliknya. Menurutnya, dia belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan lanjut mengenainya ketika ini.

"Apa yang saya harapkan, semua orang mendoakan yang terbaik buat kami. Berilah sedikit ruang dan masa untuk saya fokus pada karier seni terlebih dulu. Saya percaya semua orang mahukan yang terbaik dalam hubungan mereka. Itu saja yang boleh saya katakan buat masa ini," katanya.

Elly dan Azmi, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu. Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort pada 29 Mei 2011. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.

Beralih perkembangan karier nyanyiannya pula, Elly nampak mula bersemangat untuk bercerita lanjut mengenai single terbarunya berjudul Sabarlah Hati selepas tujuh tahun tiada album baru.

"Alhamdulillah, single terbaru berjudul Sabarlah Hati yang membabitkan kerjasama saya dengan KRU Music ini bakal dijadikan sebagai lagu tema untuk slot Samarinda TV3 nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elly juga terbabit dengan penggambaran telemovie skizofrenia arahan Hazali Ramli untuk stesen RTM Selain itu, dia juga berlakon dalam telemovie Jihad Umairah dan Firdausi Cinta.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Keunikan 5 band kekuatan Versus 2

Posted:

Kejayaan membanggakan diraih program pertarungan band popular, Versus tahun lalu membuktikan rancangan ini mempunyai matlamat cukup kuat dalam memartabatkan band-band tempatan.

Membuka dimensi baru dalam penerbitan program realiti, Versus meraih pengikut tersendiri tidak terkecuali mencetus fenomena baru dalam industri muzik tempatan khasnya.

Bukan bertanding semata-mata, namun intepretasi kreativiti yang disalurkan lima band iaitu Hujan, Black & Parallax, Sofarz, Sixth Sense dan Go Gerila! turut mengubah skeptikal penonton terhadap kemampuan mereka.

Meneruskan kehangatan program yang turut menggondol trofi Fresh TV Series Award pada Shout Awards 2012, Versus kini kembali dengan barisan band lebih mantap serta menjanjikan kekuatan tersendiri.


Lima band berkenaan termasuklah pemenang anugerah, Estranged, Kristal, Manifesto serta dua band 'underground', Oh Chenta Ku dan Kyoto Protocol.


Yang pasti, kreativiti masih lagi menjadi sandaran utama pada musim ini dan pemilihan lima band ini dilihat cukup bertepatan serta mampu memenuhi kriteria berkenaan.

Bercakap mengenai pemilihan musim ini, Pengurus Besar TV9, Zurina Othman berkata, biarpun ada beberapa band mungkin masih asing dalam kalangan penonton, itu bukan isu utama.

"Selepas kejayaan serta bagaimana berkesannya program ini pada musim lalu, kami menerima banyak penyertaan daripada band-band popular tidak terkecuali band kecil untuk mencuba platform ini.

"Bagaimanapun, komitmen juga menjadi syarat utama bertanding dalam Versus kerana mereka akan 'diikat' selama sembilan minggu menyebabkan ada yang terpaksa melupakan hasrat untuk masuk," katanya.

Melihat kepada potensi untuk diubah, kriteria berkenaan juga meletakkan lima band ini dalam senarai peserta tahun ini agar matlamat memaksimumkan tahap kreativiti itu tercapai.

"Selama ini, pastinya mereka sudah selesa berkarya mengikut konsep sendiri namun Versus bakal mengubah semua itu kerana tugasan diberi sangat mencabar.

"Bukan bermaksud kami mahu mengubah mereka seratus-peratus namun paling penting mereka tunjukkan sesuatu pembaharuan dan kelainan yang penonton tidak pernah terfikir mereka mampu lakukan," katanya.

Masih mengekalkan format pertandingan iaitu 50 peratus markah diberikan juri tetap dan 50 peratus lagi berdasarkan undian penonton, musim ini juga menyaksikan Jennifer Thompson dan Loque dipertanggungjawabkan menduduki kerusi juri tetap.

Lebih teruja dan tidak sabar menantikan kemampuan kreativiti yang bakal ditunjukkan setiap band, menurut Jennifer, pengalaman tahun lalu benar-benar membuka matanya agar tidak skeptikal dengan kebolehan mereka.

"Pada tahap ini, populariti bukan jadi persoalan utama kerana mengikut apa yang terjadi tahun lalu, pola undian berubah mendadak selepas bersiaran tiga minggu kerana penonton mula faham dengan konsep Versus.

"Saya pada mulanya juga agak skeptikal mengenai kemampuan lima band berkenaan tetapi melihat kejutan-kejutan yang mereka tampilkan setiap minggu, cukup mengubah persepsi saya," katanya ditemui pada sidang media pelancaran Versus 2, Isnin lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin; Pengurus Besar Rangkai Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim dan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.

Tahun lalu, kumpulan Hujan berjaya menggondol gelaran juara, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000.

Selain mengekalkan format serta juri tetapnya, Versus 2 juga masih dihoskan Aidid Marcello serta Hunny Madu dan akan memulakan siaran episod pengenalan pada jam 9.30 malam, 5 April nanti di saluran TV9.

Episod rakaman itu akan menunjukkan setiap band mempersembahkan tugasan pertama mereka bertemakan 'Band Malaya' manakala siaran langsung mingguan pula diadakan setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 12 April ini. Masih lagi bertempat di Space U8, Shah Alam, Selangor, siaran secara langsung juga boleh diikuti menerusi radio Hot FM.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Josiah masih berbisa

Posted:

Sepang: Kejayaan pelumba veteran, Josiah Ng memenangi dua pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) memastikan dirinya kini membayangi kelibat jaguh trek negara, Azizulhasni Awang di temasya yang berlangsung di India baru-baru ini.

Pelumba berusia 33 tahun itu memenangi emas acara keirin selain menyingkirkan Azizulhasni dalam laluan ke final untuk menjuarai acara pecut individu sekali gus memahat namanya sebagai jaguh Asia ketika ini dan boleh dinobat pelumba terbaik Malaysia.


"Ketika ini memang saya (pelumba terbaik negara), namun dalam sukan, situasi cepat berubah, kita tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan yang dicapai. Tidak boleh biar kejayaan menguasai kita kerana pasti ada pelumba muda yang bakal tampil. Justeru beberapa tahun mendatang bakal lebih mencabar," katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi semalam.

Katanya, kejayaan dua emas terutamanya dalam 200 meter pecut amat menggembirakan kerana dia pernah membuat keputusan berhenti daripada menjalani latihan dalam acara terbabit kerana berasa ia sudah dikuasai Azizulhasni dan kecewa dengan catatan masanya walaupun sudah lama mencuba.


Bagaimanapun Josiah percaya Azizulhasni akan mempamerkan kebangkitan selepas berdepan situasi sukar sebelum ini sehingga menyebabkan pelumba Olimpik 2012 itu mempunyai masa terhad untuk membuat persediaan bertanding di New Delhi.


Turut cemerlang di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi adalah Fatehah Mustapa yang meraih emas acara pecut individu selain satu perak (keirin) dan satu gangsa (500 meter ujian masa) Lebih membanggakan, Fatehah memecahkan rekod kebangsaan 500 meter ujian masa dengan catatan 35.581 saat "Kejayaan ini menguatkan semangat saya untuk memenangi pingat di sirkit Piala Dunia yang menjadi sasaran utama tahun ini. "Mungkin akan memberikan perhatian yang lebih kepada keirin kerana dalam acara pecut saingannya amat sukar namun saya tetap memberikan aksi terbaik sekiranya berpeluang," katanya. Pelumba berusia 24 tahun itu turut tidak mahu mendabik dada dengan kejayaan dicapai kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki selain tindakan China yang hanya menghantar pelumba berstatus 'B' sekali gus tidak membuka peluang kepada dirinya untuk mengukur tahap sebenar keupayaannya.

Foto

ZOLKPLES melihat emas diraih Josiah (kiri) dan Fatehah pada Kejohanan ACC di KLIA semalam.

Tiga emas diraih Josiah dan Fatehah memastikan Malaysia berada di tangga kedua keseluruhan dengan mengumpul tujuh emas, tiga perak dan enam gangsa, ketinggalan kepada Korea Selatan yang mengumpul 12 emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.


Namun pelumba elit dan pelapis tetap menerima ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dijangka mendapat RM10,000 bagi sebutir emas, RM5,000 perak dan RM3,000 gangsa dengan atlet pelapis menerima RM7,500 bagi setiap emas, RM4,000 perak dan RM2,000 gangsa sekali gus menyaksikan Mohammad Firdaus Mohd Zonis dijangka menerima RM22,500 kerana memenangi tiga emas selain RM4,000 selepas memenangi perak pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

PKS IPT tiada tandingan

Posted:

Kangar: Pusat Kecemerlangan Sukan Institut Pengajian Tinggi (PKS IPT) dinobat juara wanita terbuka Kejohanan Bola Jaring Piala Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2013 di D'Futsal Centre, baru-baru ini.

Kejohanan Bola Jaring kali ketiga itu turut mempertandingkan dua kategori utama iaitu Terbuka Wanita yang membabitkan 14 pasukan, manakala Terbuka Lelaki, disertai 17 pasukan.


Pasukan PKS IPT menewaskan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 12-9 pada perlawanan akhir selepas mengetepikan cabaran TIGRA and NSEC 13-8 di separuh akhir.

Wakil pasukan PKS IPT Rozliana Mohd Ridwan, 23, berkata, latihan berterusan dilakukan secara tidak langsung berjaya memastikan semua pemain berada dalam prestasi terbaik.


"Kekuatan dan semangat berpasukan amat penting bagi mengekalkan prestasi pemain mengharungi setiap peringkat perlawanan hingga pusingan akhir dan memenangi kejohanan ini selepas menewaskan MBPJ," katanya yang juga Pemain Terbaik Wanita kejohanan itu.


Sementara itu, bagi kategori Terbuka Lelaki, pasukan Akademi Bola Jaring Lelaki Royale muncul juara selepas menewaskan cabaran Legend Blacks, 16-15.

Ketua pasukan Leftenan Kolonel Dr Mohd Firdaus Ahmad, 34, berkata, saingan sengit diberikan lawan memberikan kekuatan kepada pasukan untuk berusaha mencapai kemenangan.


"Lawan peringkat akhir memberikan saingan sengit namun semangat kental pemain sepanjang perlawanan memberikan kami kemenangan," katanya.

Juara kategori Terbuka Wanita dan Lelaki membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan pingat, manakala naib juara, RM2,000 dan pingat. Tempat ketiga menerima RM1,000 dan pingat. Hadiah kepada pemenang disampaikan Pegawai Tadbir Pusat Sukan UniMAP Nazmizan Muhamad dan Pegawai Belia dan Sukan Pusat Sukan UniMAP Syeamersyela Ahamad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pengganas tunggu dekat kubur

Posted:

Kuala Lumpur: Kubur pengganas Sulu yang ditembak mati disyaki dijadikan 'umpan' oleh saki-baki rakan mereka untuk menyerang hendap anggota pasukan keselamatan yang berusaha mendapatkan mayat itu.

Sumber pasukan keselamatan berkata, pihaknya percaya saki-baki pengganas Sulu yang kini diburu, bersembunyi tidak jauh daripada kubur rakan mereka untuk memudahkan mereka melakukan serang hendap.

"Ini kerana mereka tahu kita akan berusaha mendapatkan mayat rakan mereka sebagai bukti dan untuk kita lakukan bedah siasat. Jadi, mereka akan tanam mayat rakan dan menunggu kehadiran pasukan kita untuk melakukan serang hendap.

"Berdasarkan situasi ketika pertempuran sebelum ini, kita percaya jumlah mereka yang bersembunyi itu tidak ramai. Mungkin dua atau tiga orang saja, tapi mereka lengkap bersenjata dan mampu mengancam nyawa anggota keselamatan kita," katanya.

Foto

KERETA perisai melepaskan tembakan ke arah pengganas di Sungai Nyamuk.


Menurutnya, maklumat diperoleh juga menunjukkan saki-baki pengganas terbabit tidak melakukan serang hendap itu serta-merta sebaik saja anggota pasukan keselamatan menghampiri kubur.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Dua bot dipintas

Posted:

Bongao (Tawi-Tawi): Sebuah bot peronda memintas dua bot membawa lebih 30 anggota 'tentera diraja' Jamalul Kiram III ketika mereka memasuki perairan Filipina dari Sabah pagi semalam.

Ketua Markas Tentera Mindanao Barat Lt Jen Rey Ardo berkata, sebahagian penumpang bot itu bersenjata dan cedera.

Katanya, dua bot membawa 32 lelaki bersenjata Sulu melarikan diri selepas diburu pasukan keselamatan Malaysia berada 12.96 kilometer dari Sabah apabila dikesan bot peronda tentera laut.

Bagaimanapun, dalam laporan awal, jurucakap tentera laut Lt Komander Gregory Fabic berkata, 32 orang dipintas bot peronda pada awal pagi.

Foto

ANGGOTA komando polis melakukan rondaan di Kampung Senallang Lama, Semporna, semalam.


"Anggota kami memintas mereka. Empat bersenjata. Sepucuk senapang patah dan M16 dirampas daripada kumpulan itu," kata Ardo kepada Philippine Daily Inquirer.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Bas terhumban dari jambatan, 14 terbunuh

Posted:

Beijing: Empat belas orang terbunuh selepas sebuah bas dua tingkat terhumban dari sebuah jambatan di wilayah Hubei, tengah China, semalam.

Polis Lebuh Raya Hubei berkata, bas terbabit terjatuh jambatan yang merentasi Sungai Yangtze di bandar Joghzhou dan terhempas di tebing sungai.


Lapan penumpang turut cedera, empat daripadanya parah.

Polis berkata, siasatan awal menunjukkan kemalangan berlaku selepas pemandu bas cuba mengelak sebuah motosikal dan hilang kawalan terus terjatuh dari jambatan. Tiada butir lanjut diberikan.


Bas berkenaan membawa 22 penumpang ketika kejadian.


Kemalangan jalan raya di China adalah perkara biasa kerana penyelenggaraan jalan yang buruk dan tabiat buruk pemandu.

Foto

PASUKAN penyelamat dan polis di tempat kejadian kemalangan.

Angka kematian biasanya tinggi kerana penggunaan bas secara berleluasa memandangkan ia pilihan paling murah bagi kebanyakan rakyat negara itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14

Air mani atas biskut

Posted:

Los Angeles: Bayaran pampasan berjumlah berjuta-juta dolar akan dibayar kepada beberapa pelajar sebuah sekolah menengah rendah tempat seorang guru dituduh mencabul kanak-kanak dan menyuapkan mereka air maninya.

Mark Berndt memaksa pelajarnya mengambil bahagian dalam permainan 'rasa' apabila dia memberikan air maninya yang disapu pada biskut dan sudu. Pendakwa raya berkata, guru itu kadang kala menutup mata pelajar dengan kain dan merakam aksi mereka.


Tindakan undang-undang juga difailkan selepas seorang lagi guru dituduh melakukan aksi lucah terhadap seorang kanak-kanak yang menurut pihak berkuasa diraba di dalam kelas.

Pendakwa raya, Raymond Boucher berkata semalam, setiap pelajar itu mungkin diberi pampasan berjumlah $470,000 (RM1.4 juta), Berndt yang mengajar selama 32 tahun di Sekolah Rendah Miramonte di Los Angeles mengaku tidak bersalah dalam kes jenayah itu.


Springer juga mengaku tidak bersalah. Berndt guru gred tiga dan mengajar murid berusia tujuh hingga lapan tahun ditahan selepas seorang pengasas web foto menemui berpuluh-puluh foto kanak-kanak dengan mata mereka ditutup sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa. Polis berkata, mereka kemudian menemui sudu plastik dalam bakul sampah di bilik darjah Berndt dengan kesan air mani. Peguam Brian Claypool melebel penderaan itu sebagai "drama yang telah lama berlangsung".


Bagaimanapun, terdapat kebimbangan bahawa berjuta-juta dakwaan mungkin memusnahkan daerah itu. Yang menjadi persoalannya ialah bagaimana penderaan seksual di daerah persekolahan kedua terbesar di Amerika Syarikat itu boleh berlaku begitu lama tanpa dapat dikesan? Sejurus selepas penahanan Berndt, semua 76 guru sekolah itu dipindahkan sementara kakitangan dan pentadbir diberi cuti.

Enam bulan kemudian pada awal tahun persekolahan, 43 daripada guru terbabit kembali ke sekolah Miramonte yang distruktur semula dengan guru besar baru. Manakala selebihnya bersara atau dipindahkan ke sekolah lain. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 13 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaya klasik untuk gadis

Posted:

Penggunaan solekan ala mata kucing tampak lebih versatil dan penuh gaya apabila dipadankan dengan busana retro atau olesan gincu bibir merah menyala.

Pilihan gaya klasik ini juga mampu menyerlahkan kesederhanaan pada gadis muda yang tidak mahu kelihatan matang sebelum waktunya.

Solekan ini nyata bersesuaian dengan mereka yang memiliki bentuk mata bulat dan sepet kerana ia boleh menyerlahkan lagi penampilan.

Bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan dalam arus fesyen terkini, ada beberapa panduan untuk mendapatkan solekan mata kucing.

Foto

SOLEKAN ala mata kucing juga anggun digayakan pada majlis akad nikah.

Foto

WAJAH sebelum mekap.

Foto

GUNAKAN mekap asas berwarna hijau untuk menutup kesan cela, kemudian lapiskan penyamar cela. Sapu hingga rata.

Foto

SAPUKAN mekap asas berwarna kuning supaya kulit lebih gebu dan menarik. Lapiskan dengan bedak asas mengikut warna kulit, kemudian bedak asas kedua. Ini diikuti dengan bedak kompak dan tambahkan bedak debu. Gunakan span yang sama agar warna lebih sekata.

Foto

SAPUKAN semula bedak debu pada wajah.

Foto

LUKISKAN kening menggunakan pensel pengaris mata, kemaskan menggunakan maskara.

Foto

GUNAKAN pembayang mata untuk menonjolkan tulang kening - guna warna coklat cair pada lapisan pertama, kemudian coklat gelap pada tepi kelopak mata. Gunakan berus untuk membentuk sapuan lebih sekata untuk kedua-dua warna. Kemaskan mekap di bawah mata. Gunakan warna pembayang mata untuk dijadikan penggaris mata kerana warna lebih tahan lama walaupun selepas terkena air. Pakaikan bulu mata palsu dan kemaskan menggunakan maskara.

Foto

SAPUKAN pembayang hidung dan pipi serta rahang untuk kesan ilusi wajah lebih tirus dan hidung mancung. Kemudian sapukan pemerah pipi pada bahagian tulang pipi. Warna pemerah pipi adalah gabungan beberapa warna bermula daripada sapuan warna gelap hingga lebih cerah.

Foto

BENTUKKAN bibir dan sapukan pelembap bibir, gincu dan tambahkan pengilat bibir untuk kesan lebih menyerlah.

  • Sapukan seluruh kelopak mata dengan pembayang mata semula jadi kemudian lapis dengan sapuan warna coklat pada bahagian bawah tulang kening bagi menyerlahkan bentuk kelopak mata.
  • Lukis garisan sederhana tebal pada bahagian atas kelopak mata menggunakan pensel mata mengikut gerakan dari dalam membawa ke hujung mata.
  • Pada bahagian hujung mata, lorekkan sedikit lengkungan ke atas membentuk seperti segi tiga pada hujungnya.
  • Kemaskan lorekan dan tambah garisan menggunakan warna yang sama pada bahagian bawah mata.
  • Pastikan garisan pensel mata pada bahagian atas dan bawah bersambung di penghujungnya bagi memastikan ia kelihatan kemas.
  • Akhiri dengan sapuan maskara jika ingin mata bundar kelihatan lebih galak.
  • Cuba lukis garisan pada mata berulang kali bagi memperoleh hasil lorekan mata kucing yang kemas. Jika inginkan kesan dramatik bersesuaian dengan majlis, boleh gunakan pensel warna metalik yang ditawarkan dalam pelbagai pilihan warna.
  • Bagi pemilik mata bundar, gunakan teknik solekan mata menggunakan kaedah soket yang menegaskan warna gelap pada penjuru mata dan lukis sekelilingnya menggunakan penggaris mata.

    Teknik ini juga mampu membuatkan mata kelihatan galak.

  • Untuk membentuk garisan mata lebih menyerlah, boleh titikkan penggaris mata pada garis bulu mata atas bermula dari dalam hingga ke hujung luar mata bagi menyelaraskan tahap ketebalan garisan.
  • Kemudian bermula di hujung garis mata atas, lukiskan garisan nipis dan semakin menebal apabila garisan semakin menuju ke hujung mata.
  • Lukiskan garisan lentik ­ke atas sedikit sehingga menimbulkan ilusi mata kucing pada ­garisan hujung mata. Garisan ­lentik itu hendaklah seperti menuju ke arah hujung bulu kening dan buatkan sedikit garisan di hujung garis bulu mata bawah untuk kemasan solekan.

    Panduan menyerlahkan gaya solekan:

  • Gunakan berus solekan berbulu lembut.
  • Gunakan alat solek ­berkualiti kerana jika menggunakan alat solek tidak bermutu, kemungkinan ia akan merosakkan kulit dan warna digunakan tidak menarik.
  • Gunakan jari untuk mengadun warna pembayang mata terutama di bahagian hujung mata agar kelihatan lebih asli dan semula jadi.
  • Pilih warna yang sesuai dengan warna kulit.
  • Gunakan warna terang di bahagian luar hujung mata dan sapukan hingga ke tengah mata. Campurkan sedikit warna gelap untuk menampakkan kesan dwiwarna.
  • Kemaskan solekan menggunakan putik kapas, bukan dengan jari.
  • Jika ingin menggunakan teknik solekan smokey, jangan gunakan kaedah berkenaan secara berlebihan di bawah mata kerana ia boleh memberikan tanggapan negatif kepada mereka yang memandang. Ia menampakkan seolah-olah mata lebam akibat ditumbuk.
  • Gunakan bedak asas sebelum sapuan pembayang mata. Ia akan membantu solekan tahan lebih lama.
  • Digalakkan memakai pembayang mata sebelum mengenakan celak mata. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
  • Cinta suci dua darjat

    Posted:

    Wanita ini antara rahsia terbesar dalam keluarga diraja Sweden - janda daripada golongan biasa yang menjalin hubungan dengan Putera Bertil hingga menjadi ancaman kepada dinasti Bernadotte.

    Rentetan percintaannya bagaimanapun menyentuh perasaan. Wanita kelahiran Wales ini sedaya upaya menyimpan kisah cinta terlarangnya selama beberapa dekad hingga akhirnya mereka disatukan pada usia 60-an sejurus menerima restu daripada raja.

    Ahad lalu, Puteri Lilian meninggal dunia di Stockholm, Sweden pada usia 97 tahun. Istana Diraja Sweden tidak memberikan punca kematian, namun beliau sebelum ini mengalami penyakit Alzheimer dan keadaan kesihatannya tidak stabil sejak beberapa tahun lalu.

    Lilian bertemu Putera Sweden, Putera Bertil pada 1943, tapi kewajipannya kepada takhta dan status Lilian selaku rakyat biasa membuatkan Bertil tidak mampu mengisytiharkan percintaan mereka, apatah lagi mengahwini wanita itu.


    Pengorbanan kedua-duanya, di samping dedikasi dan kesetiaan antara satu sama lain nyata meruntun hati rakyat Sweden.


    "Jika diringkaskan hidup saya, segala-galanya mengenai kisah percintaan saya. Dia lelaki hebat dan saya mencintainya," jelas puteri genit itu kala meraikan majlis ulang tahun kelahirannya ke-80 pada 1995.

    Dilahirkan sebagai Lilian Davies di Swansea, Wales pada 30 Ogos 1915, beliau berpindah ke London ketika berusia 16 tahun bagi mengembangkan kariernya dalam bidang lakonan dan peragaan, selepas beberapa kali tampil sebagai model topi dan sarung tangan serta memegang watak kecil dalam filem bajet.

    Lilian kemudiannya bertemu pelakon, Ivan Craig dan mengahwini lelaki itu pada 1940.

    Saat meletusnya Perang Dunia Kedua, Craig disenaraikan dalam pasukan tentera British manakala Lilian terus menetap di London dengan bekerja di kilang membuat radio dan melakukan kerja sambilan di hospital.

    Ketika itu, Putera Bertil ditempatkan di Kedutaan Sweden yang terletak di tengah kota London sebagai atase tentera laut. Mata mereka saling memandang antara satu sama lain apabila kedua-dua keluar berlibur bersama teman masing-masing di kelab malam popular, Les Ambassadeurs.

    Pertemuan singkat itu membawa kepada pertemuan lebih serius beberapa hari kemudian ketika Lilian menyambut hari kelahiran ke-28 pada 1943.

    Bertil menerima jemputan Lilian ke pangsapurinya tapi hubungan mereka ketika itu sekadar kenalan biasa.

    Hati Lilian bagaimanapun tersentuh apabila Bertil datang menjemputnya susulan serangan udara di kawasan perumahan itu lalu bermulalah kisah cinta rahsia mereka.

    "Putera saya yang kacak. Terutama apabila memakai baju seragam tentera. Sangat baik dan penyayang. Juga lelaki lucu. Kami gembira ketawa bersama," ujar Lilian dalam buku memoirnya, 'My Life with Prince Bertil' yang diterbitkan pada 2000.

    Lilian masih berkahwin pada masa itu, tapi situasi itu diselesaikan dengan baik dan mereka akhirnya bercerai berikutan Craig juga bertemu dengan wanita lain sepanjang dia berada di luar negara.

    Sekembalinya Bertil ke Sweden, hubungan cintanya dengan Lilian menjadi tentangan dan isu hangat di istana.

    Bertil berkemungkinan menjadi pewaris takhta apabila abang sulungnya meninggal dunia dalam nahas kapal terbang, meninggalkan seorang bayi lelaki - Raja Carl XVI Gustaf yang memerintah Sweden ketika ini.

    Dua lagi adik-beradik lelakinya tidak tersenarai kerana mengahwini wanita golongan kebanyakan.

    Bapa Bertil, Raja Gustaf VI Adolf, mengarahkannya tidak mengahwini Lilian kerana ia boleh menjejaskan kelangsungan dinasti pemerintahan Bernadotte.

    Namun, pasangan itu meneruskan hubungan mereka secara tidak rasmi dengan tinggal bersama selama beberapa dekad. Hubungan mereka sentiasa dianggap rahsia terbuka oleh rakyat Sweden.

    Mereka mulanya menetap di Sainte-Maxime di Perancis, sebelum berulang-alik antara perkampungan Perancis itu dengan Stockholm, di mana Lilian tinggal secara rahsia selama beberapa tahun.

    Di sebalik keengganan keluarga diraja untuk mengiktiraf pasangan ini secara rasmi, daya tarikan serta personaliti Lilian yang mesra berjaya memenangi hati rakyat Sweden.

    Media di negara itu menggambarkan mereka pasangan bahagia yang gemar bermain golf dan bersiar-sira dengan menunggang motosikal Bertil.

    Ketika Putera Bertil terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan selepas menjalani pembedahan, Lilian dengan gembiranya menggelar tongkat itu Bugatti Bertil.

    Pada 1976, hampir 33 tahun selepas kali pertama pertemuan mereka, raja baru yang memerintah Sweden memberi restu yang selama ini difikirkan mustahil.

    Pada Disember tahun sama, Lilian atau Lily nama kegemaran Bertil dimahkotakan sebagai Puteri Sweden dan Duchess Of Halland dalam satu majlis meriah di Drottningholm Palace Chapel, pinggir Stockholm.

    Pengantin wanita ketika itu berusia 61 tahun manakala pengantin lelaki mencecah 64 tahun.

    Pasangan ini bagaimanapun tidak dikurniakan cahaya mata. Putera Bertil meninggal dunia di kediaman rasmi mereka di Villa Solbacken, Stockholm pada 1997 selepas mengalami masalah paru-paru.

    Lilian terlalu sedih dengan kematian suaminya dan cuba ditenangkan Ratu Silvia yang sanggup menemaninya tidur di kediaman mereka.

    Susulan ketiadaan Bertil, Lilian bertanggungjawab meneruskan tugas suaminya, khususnya menjadi penyampai anugerah untuk beberapa persatuan sukan.

    Beliau juga mengambil alih kegiatan amal yang diusahakan mendiang suaminya dan setiap hasil keuntungan disalurkan kepada badan kebajikan kanak-kanak.

    Masalah kesihatan yang membelenggunya sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan Lilian terpaksa mengurangkan aktiviti luar. Pada 2006, beliau tidak lagi menghadiri majlis Anugerah Nobel dan tahun berikutnya berhenti daripada terbabit dalam majlis anugerah.

    Apa yang pasti, ketiadaannya dirasai seluruh penduduk Sweden.

    "Antara ahli keluarga diraja yang paling disayangi rakyat, kini sudah tiada," kata Perdana Menteri Sweden, Fredrik Reinfeldt.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Dazrin tak buru populariti

    Posted:

    Usahanya nyata tidak sia-sia apabila lebih setahun bergelar pelakon, Dazrin Kamarudin mula terasa bahang selepas diberikan tanggungjawab memegang watak utama melalui drama bersiri popular di Astro Ria, Jodoh yang bersiaran setiap Isnin jam 9 malam.

    Melalui drama 13 episod itu, Dazrin memegang watak Azlan yang menyertai pertandingan jodoh bagi mencari pasangan hidupnya bergandingan dengan Scha Al-Yahya.

    Menurut jejaka berusia 25 tahun itu, impian­nya untuk berlakon watak romantik bercampur lucu tercapai melalui drama berkenaan yang skripnya dihasilkan khusus buat­nya.

    Walaupun baru sekarang diberi peluang memegang peranan utama, ia bukan alasan untuk ­Dazrin patah semangat sebaliknya minat yang begitu kuat dalam bidang lakonan memberi lebih peluang untuknya mencuba pelbagai watak.


    "Ia satu peluang yang tidak akan saya lepaskan apabila diberi penghargaan oleh KL Motion Pictures memegang watak utama dalam Jodoh malah saya difahamkan 'rating' untuk drama ini paling tinggi bagi siaran setiap hari Isnin.


    "Syukur kini perjalanan lakonan saya semakin bersinar, malah tahun ini saya memang tidak menang tangan menerima tawaran berlakon hingga terpaksa mengambil dua tawaran dalam satu masa.

    "Semua ini saya lakukan demi peluang yang diberi. Jika diikutkan pada awal ­kemunculan saya sering diberi watak sampingan namun masih ada yang tidak mengenali diri," katanya yang terpaksa tidur dua jam setiap hari sepanjang menjalani penggambaran drama Jodoh.

    Baru saja selesai menjalani penggambaran drama Jodoh, Dazrin sekali lagi sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri yang diangkat dari sebuah novel berjudul Syurga Di Wajahmu memegang watak utama bergandingan dengan Ana Dahlia yang mana penggambaran hampir 99 peratus dilakukan di Kelantan.

    Kata anak kedua daripada tiga beradik ini, dia tidak peduli apabila diri kurang popular, yang penting banyak menerima tawaran berlakon. Baginya bukan populariti yang dikejar tetapi kepuasan apabila minat berlakon terlaksana.

    "Pada awal pembabitan saya kurang dikenali namun saya tidak pernah mengeluh kerana saya sedar kesilapan yang saya lakukan ketika itu terlalu cepat menerima tawaran berlakon filem sedangkan ramai pelakon baru memulakan karier melalui drama atau telefilem.

    "Walaupun seperti tersilap percaturan saya tidak mengalah malah pengarah, Mamat Khalid banyak membantu saya untuk terus bertahan di dalam industri ini walaupun masih ada beberapa filem saya seperti Apokalips dan Lebuh Raya Ke Neraka belum ditayangkan.

    "Disebabkan kurang muncul di media juga menyebabkan masih ada yang tidak mengenali saya namun semua itu bukan sengaja dilakukan tetapi saya mahu biarlah lakonan lebih menyerlah berbanding diri dan kisah peribadi," katanya.

    Dibesarkan dalam keluarga beradad, Dazrin tidak pernah menjadikan keluarga sebagai batu ­loncatan untuk mengecapi semua yang dimiliki ­sekarang dengan mudah, sebaliknya dia berusaha sendiri bagi membuktikan kepada kedua orang tua biarpun satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga Dazrin tidak akan sekali-kali meminta.

    "Sejak kecil saya ­sudah biasa berdikari justeru apabila melakukan sesuatu saya akan berusaha ­sehingga berjaya tanpa mengharapkan keluarga. Mungkin ada yang menyangka segala yang saya peroleh adalah hasil bantuan mereka namun tidak sama sekali.

    "Saya mahu buktikan pada keluarga, walau susah sekali pun saya tidak akan menyusahkan mereka apatah lagi mereka berada di Melaka dan saya hidup sendiri di Kuala Lumpur. Tambahan pula saya sudah menuruti kehendak orang tua yang mahukan saya memiliki ijazah dan semua itu berjaya saya lakukan malah jika berkesempatan, saya berhasrat ingin menyambung pengajian ke pering­kat sarjana.

    "Saya mahu segala yang saya impikan terlaksana. Jadi apabila ada yang menegur lakonan saya tidak bagus dan lebih teruk lagi ada yang mengatakan saya tidak layak memegang peranan utama kerana tidak kacak, itu semua saya jadikan semangat untuk terus memperbaiki lagi ­lakonan dari masa ke semasa," katanya yang pernah kemalangan akibat tertidur ketika memandu.

    Cabar diri nyanyi lagu tema Jodoh

    Mungkin tiada siapa tahu bakat yang ada pada diri sendiri begitu juga dengan Dazrin. Peluang menyanyikan lagu tema Jodoh berjudul Kota Antara, ciptaan Audi Mok benar-benar mencabar dirinya yang baru pertama kali menyanyi.

    Menurutnya, peluang yang diberikan Audi harus digunakan sebaiknya, apatah lagi mendengar kata-kata Audi dia mampu menyanyikan lagu itu sesuai seperti yang diinginkan menjadikan ­Dazrin lebih teruja.

    "Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan apabila menyanyikan lagu ciptaan Audi, bagi saya bukan mudah apatah lagi lagu berkenaan sangat mencabar di mana ada bahagian lagu yang saya perlu menarik nafas panjang.

    "Memang sukar pada awalnya namun saya tidak menyangka berjaya merakamkan lagu berkenaan dalam tempoh tiga jam saja. Mungkin pengalaman sering menyanyikan lagu-lagu Awie ketika menjadi pengacara majlis memudahkan segala-galanya," katanya.

    Tidak menjadikan nyanyian sebagai kerjaya kedua jejaka berasal dari Klebang, Melaka ini lebih memilih untuk serius dalam lakonan.

    "Saya akui menyanyi juga salah satu minat saya, apabila diberi peluang menyanyi apa salahnya saya cuba namun untuk memberi fokus sepenuhnya tidak mungkin kerana dari awal kehadiran saya dalam bidang ini demi memenuhi minat untuk berlakon.

    "Andai kata satu hari nanti ditawarkan menjadi penyanyi biarlah sekadar menyanyi single lagu tema yang mana saya turut berlakon sama tetapi untuk menjadi penyanyi sepenuhnya tidak pernah terlintas di fikiran dan mustahil bagi saya.

    "Namun jika perlu menyanyi lagi, saya akan mengambil kelas vokal bagi mengasah bakat yang pastinya waktu itu mengambil masa lama dan saya tidak tahu bila," katanya sambil ketawa.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

    Mengulit lukisan & longboard

    Posted:

    Minggu lalu adalah minggu begitu istimewa dan paling sibuk bagi saya. Saya baru saja selesai merakamkan lima lagu baru untuk EP saya dan hanya tunggu proses 'mixing' saja. Semuanya sudah diperdengarkan kepada syarikat rakaman The Verve Records dan pihak pengurusannya gembira dengan lagu itu. Lega rasanya!

    Selain sibuk bekerja, saya di sini sering mencari aktiviti-aktiviti baru jika ada masa lapang. Memang saya sibuk menjalani proses penciptaan, rakaman dan penerbitan album terbaru selain menguruskan perniagaan pakaian 'IAMJETFUELSHOP' (http://shop.iamjetfuel.com).

    Bagi sesiapa yang rapat dengan saya, mereka tahu saya ini jenis yang tak boleh duduk diam di rumah atau menonton TV saja! Alhamdulillah, sejak 'single' ini saya makin mengenali diri sendiri.

    Apabila ada banyak masa lapang dan tiada komitmen dalam sebarang 'relationship' atau hubungan istimewa dengan seseorang, kita ada banyak masa untuk mencari identiti diri sendiri yang mungkin selama ini diabaikan kerana memberikan banyak perhatian kepada pasangan berbanding diri sendiri.


    Muzik memang hobi saya dan saya gembira dapat berkarya dan jadikannya sebagai kerjaya.


    Sejak akhir-akhir ini, saya mula melukis atas kanvas. Melukis memang menjadi minat saya sejak kecil lagi. Saya masih ingat ketika di sekolah dan di universiti, saya selalu teringin untuk melukis atas kanvas tetapi, hobi melukis ini agak mahal dan kerana saya lebih banyak meluangkan masa di kelas atau tuisyen, saya tak sempat untuk mendalami hobi melukis.

    Berhampiran tempat tinggal saya di sini, ada sebuah kedai menjual peralatan melukis dan kraf di 'downtown'. Jaraknya kira-kira lima minit berjalan kaki dari apartment saya. Akhirnya selepas beberapa kali lalu di depan kedai itu, saya terus masuk dan beli berus, kanvas dan cat akrilik. Memang seronok!

    Akhirnya saya berjaya melukis enam buah lukisan. Saya gembira kerana 'it's very relaxing. The physical act itself is very therapeutic' terutama apabila kita menggerakkan berus.

    Saya pernah terbaca artikel di laman web www.indianexpress.com/news/-the-physical-act-of-painting-is-therapeutic yang sangat menarik. Saya mencadangkan anda semua cuba melukis di atas kanvas. Tak kisahlah pandai atau tidak, 'you have to try it!'

    Selain itu, sejak akhir-akhir ini saya mula terasa sudah menjadi wanita dewasa kerana tidak lagi membeli-belah untuk baju dan kasut. Sebaliknya saya suka beli pokok bunga dan barangan hiasan rumah. Ketika bergelar pelajar dulu, saya malas untuk mencantikkan rumah dan yang ada cuma barangan asas saja.

    Sekarang di rumah saya banyak barang perhiasan dan pokok bunga! Poster-poster band yang saya tampal di dinding semua sudah diturunkan dan saya gantikan dengan lukisan saya. Barulah nampak macam rumah betul! 'A real home!'

    Dalam masa yang sama, saya sekarang cuba belajar bermain 'longboarding'. Ia sama seperti skateboard, tetapi lebih panjang, rodanya lebih besar dan lebih senang untuk berdiri atas 'longboard' kerana ia lebih besar dan stabil.

    Saya memang tidak pernah cuba 'skateboarding', takut jatuh! Tetapi minggu lalu saya dan rakan, Faiz Rosli nekad untuk mencuba 'longboarding' di Santa Monica, Los Angeles. Faiz adalah jurutera bunyi yang saya gunakan khidmatnya apabila saya melakukan 'tour' di Amerika Syarikat. Sekarang dia mengikuti kursus kejuruteraan bunyi di Los Angeles Recording School.

    Saya sudah pun membeli sebuah 'longboard' untuk permulaan yang tidak begitu mahal. Kami juga ke pantai Venice untuk cuba 'longboarding for the first time'. Kami meluncur dari Santa Monica hingga pantai Venice yang jaraknya kira-kira tiga kilometer. Memang seronok kerana saya sudah boleh imbang badan dan menghala ke kanan dan ke kiri.

    Setakat ini saya belum pernah jatuh lagi, tapi saya pakai 'wristguard' untuk keselamatan. Ini juga satu aktiviti yang rileks. Saya sarankan anda di sana yang ingin belajar 'longboarding', jangan takut untuk mencuba! Tapi pastikan ada rakan yang pandai bermain 'longboard' bersama-sama supaya proses pembelajaran itu jadi lebih mudah.

    Itu saja yang saya nak kongsikan kali ini bersama anda. Kadang-kadang memang normal apabila kita rasa kita tidak kenal diri sendiri dan teringin melakukan sesuatu tetapi tidak pernah ada masa. Cuba lapangkan masa satu hari dan cuba sesuatu yang baru. Mana tahu, anda mempunyai skil yang anda sendiri tak pernah sangka. Jumpa lagi!

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Ajal ditimpa pokok

    Posted:

    Kuala Lumpur: Seorang wanita warga Indonesia yang sedang tidur, maut apabila bilik dihuni di sebuah rumah di kawasan setinggan Jalan Dewan Sulaiman 1, Kampung Baru, di sini, dihempap sebatang pokok yang tumbang dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang, semalam.

    Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa dikenali sebagai Ro'a, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di seluruh tubuh.


    Manakala, seorang lagi lelaki dikenali sebagai Audi Mohd, 45, cedera di dada dipercayai patah tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, mengesahkan pihaknya menerima laporan kejadian itu dan mayat mangsa dibawa ke HKL untuk bedah siasat.


    Sementara itu, hujan lebat dan angin kencang di ibu kota hampir dua jam mengakibatkan 29 lokasi terbabit dengan kejadian pokok tumbang menghempap rumah dan kenderaan.


    Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, angin kencang dan ribut kuat juga menyebabkan dahan menimpa laluan monorel dekat Jalan Sultan Ismail berhampiran persimpangan pusat beli-belah Maju Junction, di sini.

    Foto

    ANGGOTA penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa.

    "Ini menyebabkan perkhidmatan monorel terganggu dan terhenti selama 30 minit sebelum kawasan itu dibersihkan.


    "Manakala sebanyak 20 kenderaan yang diletakkan di tempat letak kereta swasta berdekatan Bangunan AIA di Jalan Ampang rosak teruk apabila sebatang pokok besar tumbang," katanya yang melawat tempat kejadian.

    Katanya, sebanyak enam kenderaan di Jalan Haji Taib 4 dan sebuah kereta di Jalan Ipoh serta tiga lagi kenderaan di Jalan Bunos turut rosak dihempap pokok tumbang.


    "Kejadian ribut itu juga menyebabkan bumbung sebuah restoran di Jalan Kampung Baru ranap.


    "Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berikutan premis itu belum memulakan operasi," katanya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved