DAYANG Nurfaizah antara penyanyi wanita yang cukup berpengaruh di persada hiburan tempatan. Bersandarkan vokal hebat dengan bingkisan tujuh album penuh serta pelbagai anugerah diraih, nama penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak yang mula menyanyi pada usia 18 tahun itu terus bertahan dalam bidang seni lebih sedekad lalu.
Ternyata, tiada siapa dapat menafikan kehebatan dan pencapaian ratu R&B yang juga pemilik nama sebenar, Dayang Nurfaizah Awang Dowty ini dalam bidang nyanyian.
Namun sejak dua tahun kebelakangan ini, nama Dayang seolah-olah menyepi dan suram daripada persada hiburan. Ke mana agaknya Dayang menghilang? Malah, imej dan penampilannya juga dikatakan kurang menyerlah berbanding dulu.
Bertalu-talu soalan diajukan kepadanya ketika sidang akhbar sempena sambutan Minggu Setiausaha bersama Dayang yang berlangsung di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, baru-baru ini. Dayang pula dengan tegas menafikan dirinya menyepi daripada persada hiburan seperti tanggapan ramai pihak.

DAYANG dendangkan rangkaian lagu hits dalam persembahannya nanti.

DAYANG dan Mohamat Yusof (kiri) ketika sidang media sempena sambutan Minggu Setiausaha di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

DAYANG bergabung dengan Dee sebagai hos sempena Minggu Setiausaha.
"Saya tidak menyepi kerana agenda seni padat dengan pelbagai undangan persembahan dari dulu sampai sekarang. Alhamdulillah, saya masih mendapat kepercayaan penganjur dan pihak korporat sampai hari ini. Begitu juga undangan persembahan untuk stesen TV.
"Selain itu, saya juga sibuk mempromosikan album duet membabitkan rakaman persembahan dengan penyanyi Anuar Zain sempena konsert amal One Night Only yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), tahun lalu.
"Dari segi imej dan penampilan pula, saya gayakan baju mengikut kesesuaian majlis dan tempat. Kalau untuk acara Minggu Setiausaha, gaya korporat seperti inilah yang sesuai untuk ditampilkan," katanya.
Ditanya mengenai dirinya yang kurang mendapat publisiti daripada pihak akhbar pula, kata Dayang, dia memang ingin mengelak daripada dikaitkan dengan sebarang gosip mahupun kontroversi yang boleh menjejaskan nama baiknya.
"Bagi saya zaman untuk mengejar glamor dan populariti seperti artis muda sekarang sudah berlalu. Selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni, saya melihat tidak perlu lagi dikaitkan dengan gosip dan kontroversi sedemikian untuk dapat publisiti.
"Biarlah orang kata, cerita saya membosankan kerana tiada gosip kerana misi saya untuk terus memperbaiki kelemahan dan berusaha mengukuhkan lagi karier seni sedia ada," katanya.
Justeru, kata Dayang, dia berusaha mencari material terbaik dalam pembikinan single terbarunya nanti.
"Saya juga ingin ikut perkembangan muzik semasa iaitu muncul dengan single demi single sebelum menghasilkan bingkisan album penuh yang juga album kesembilan nanti. Saya juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan komposer baru atau lama untuk single baru ini seperti Omar K," katanya.
Bercerita lanjut mengenai sambutan Minggu Setiausaha yang bermula jam 12.30 tengah hari di Laman Putri Ballroom, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya pada 18 April nanti, kata Dayang, ia berkonsep akustik dan secara 'minus one' khusus untuk menghiburkan ketua dan setiausaha mereka.
"Setiap kali mengadakan persembahan, saya berasa gementar tetapi pada masa sama berusaha berikan yang terbaik pada acara yang dijayakan. Mengikut perancangan, saya akan menyampaikan 20 rangkaian lagu hits termasuk secara medley seperti Seandainya Masih Ada Cinta, Dayang Sayang Kamu dan banyak lagi dalam persembahan selama 45 minit itu," katanya.
Hadir sama, Pengurus Besar HSPJ, Mohamat Yusof Abu Bakar. Tidak ketinggalan, penampilan pelawak popular Dee (Jangan Ketawa) sebagai pengacara pada acara itu. Tempahan meja sila hubungi 03 79562100 (Nani) dan layari, www.hspj.com.my.
Dayang sudah terfikir soal jodoh
Seperti wanita lain, Dayang juga mengimpikan untuk berkahwin dan membina keluarga. Apatah lagi, usianya yang sudah mencecah 32 tahun.
"Jika dulu memang saya terlalu fokus pada karier seni tapi sekarang, saya sudah mula berasa tekanan apabila kerap ditanya pihak media soal kahwin.
"Saya juga ingin berkahwin seperti rakan seperjuangan lain tapi sayangnya, masih belum ada teman istimewa atau lebih tepat calon suami. Sebagai wanita, memang saya perlu memilih calon yang tepat untuk dijadikan pasangan hidup.
"Tapi macam mana nak ada teman istimewa kerana saya sangat pemalu dengan lelaki. Selepas selesai jayakan persembahan, saya terus pulang ke rumah dan kalau keluar ke mana pun pasti ditemani ahli keluarga. Pada masa sama, keluarga juga cukup memahami dan tidak pernah bertanya atau mendesak saya untuk berkahwin," katanya.
Dayang juga menyasarkan usia sebelum mencecah 38 tahun untuk menamatkan zaman bujangnya itu.
"Kalau saya cakap sebelum usia 40 tahun, nanti orang anggap sudah tua baru nak kahwin. Kriteria calon suami pula, susah nak cakap, pastinya usianya yang lebih kurang sebaya dengan saya dan lebih tua daripada saya.
"Ia cuma sasaran saja kerana kita hanya mampu merancang tapi soal jodoh ini ketentuan Tuhan. Kalau sudah bertemu calon sesuai, pasti saya tidak akan menyorokkan perkara yang baik itu daripada pihak media nanti," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18