Kebanyakan warga kota tidak sabar menantikan waktu hujung minggu kerana pada masa inilah mereka boleh beristirahat di rumah selepas sibuk sepanjang minggu dengan tugasan di pejabat serta tuntutan lain.
Selain itu, ada juga yang memilih keluar berjalan-jalan bersama keluarga sama ada di taman burung atau kompleks beli-belah. Tidak kurang yang melepaskan 'dendam' di atas katil empuk, tidur seharian bertemankan bantal dan selimut.
Bagaimanapun, bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak dengan pelbagai jenis sukan rekreasi luar seperti mendaki bukit dan gunung atau menaiki motosikal, hujung minggu paling dinantikan untuk melepaskan gian mengikuti pelbagai aktiviti berkenaan.
Lelaki mahupun wanita, ramai yang beranggapan aktiviti seperti ini memenatkan badan, membuang masa dan tidak berfaedah kerana perlu bersusah payah masuk ke hutan sambil memikul beg yang berat serta berkemungkinan kaki dan tangan dihinggapi pacat.

PUNCAK Gunung Besar Hantu berjaya ditawan oleh Fatin dan rakan-rakan.

BEREHAT di bawah khemah ketika hujan.

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

KERIANGAN tiba di puncak gunung sukar digambarkan dengan kata-kata.

FATIN (kiri) dan rakan-rakan menikmati buah-buahan di puncak gunung.

PASUKAN Maziah (depan, dua dari kanan) berjaya menakluki Gunung Kinabalu.
Fikir mereka lagi, lebih baik berehat di rumah dengan menonton televisyen siri drama kegemaran ramai daripada mendaki bukit dan gunung yang tinggi.
Namun jika sudah minat, peluang dapat melakukan aktiviti ini sukar dilepaskan sekalipun sudah berumah tangga dan mempunyai cahaya mata.
Pelajar di Management & Science University (MSU), Fatin Mohamed, 23, berkata, minatnya terhadap aktiviti lasak terutama yang membabitkan alam semula jadi terbit sejak sekolah lagi. Cuma dia hanya berkesempatan melakukannya dengan serius ketika menuntut di universiti berkenaan pada 2008.
Muncul kumpulan terbaik dalam sesi orientasi pelajar baru, dia dan rakan-rakan mendapat peluang mendaki Gunung Nuang di Hulu Langat kelolaan pihak universiti.
Pertama kali mendaki gunung tertinggi di Selangor itu tanpa sebarang pengalaman mahupun stamina mencukupi, Fatin terus jatuh cinta selepas melihat panorama indah alam semula jadi di sepanjang proses pendakian.
Pelbagai jenis flora dan fauna yang unik dapat disaksikan. Semakin tinggi dirinya mendaki, semakin tinggi juga perasaan cintanya terhadap aktiviti itu.
"Sebenarnya, ketika pertama kali saya mendaki tanpa pengalaman dan latihan sepatutnya itu, saya sudah tetapkan azam dan tekad di dalam hati bahawa ini bukanlah kali pertama dan terakhir saya melakukan aktiviti ini.
"Kebetulan dikelilingi rakan-rakan yang suka mendaki, saya teruskan hobi saya ini bersama mereka selain meletakkan diri saya sebagai sebahagian daripada alam semula jadi yang cantik.
"Terlalu banyak perkara yang saya peroleh menerusi aktiviti ini. Antaranya adalah keseronokan, kepuasan, kawan baru, erti ikhtiar hidup dan paling penting, tentu saja pengalaman.
"Pengalaman itu mengajar saya mengenai hakikat hidup dan pada masa sama, membuatkan kita berfikir perihal keindahan dunia ciptaan Tuhan yang tiada bandingan," katanya.
Peristiwa 'disesatkan', tidur dalam hujan, jumpa serangga unik dan tapak haiwan liar, menjaga kawan yang sakit serta cedera ketika mendaki, secara perlahan-lahan mendewasakan pemikirannya.
Tatkala berjaya menjejakkan kaki di puncak gunung pula, Fatin bagai mendapat trofi kemenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata, apatah lagi meraihnya selepas menempuh pelbagai cabaran dan kesulitan.
Selalunya, dia mendaki bersama rakan seperjuangan di MSU. Jika berkesempatan mereka akan menganjurkan aktiviti mendaki untuk pelajar MSU yang lain juga.
Aktiviti mendaki yang dilakukannya bukan setakat pendakian semata-mata, sebaliknya turut diselitkan dengan kegiatan kemasyarakatan lain seperti khidmat bakti bersama masyarakat Orang Asli dan anak yatim.
Sekiranya mengalami masalah kekangan waktu, Fatin hanya mendaki bukit berdekatan yang tidak memerlukannya bermalam di puncak contohnya Bukit Broga di Semenyih.
Cabaran mendaki Gunung Liang Timur dan Barat di Tanjung Malim, Perak, paling diingati kerana selain perlu menempuh laluan tanah yang agak teruk, dia juga harus menjaga rakannya yang cedera.
Jarak perjalanan yang memakan masa hampir tujuh jam untuk sampai ke tapak perkhemahan amat menyulitkan pergerakan mereka. Sewaktu mahu turun dari puncak pula, mereka sesat hampir enam jam dan menyebabkan orang kampung memulakan operasi mencari mereka.
Sepanjang tempoh sukar itu, mereka diuji dengan pelbagai perkara antaranya terdengar bunyi harimau, nampak ular berbisa, pokok tumbang serta hujan lebat.
Selain Gunung Nuang dan Gunung Liang Timur dan Barat, sehingga kini, dia sudah menawan puncak Gunung Datuk, Gunung Besar Hantu, Gunung Berembun, Gunung Santubong dan Bukit Broga.
Hajatnya pada masa depan, dia ingin sekali ke puncak Gunung Rinjani di Indonesia kerana mendapat tahu laluan dan kawasan di situ mencabar serta cantik.
Ditanya sama ada dia bimbang jika keadaan kulitnya menjadi gelap, jawab Fatin ringkas tidak.
"Mungkin kerana saya memang sudah tahu inilah risiko yang saya perlu ambil jika ingin melakukan sesuatu yang saya suka. Justeru, saya mengambil sikap tidak kisah asalkan saya dapat melakukan sesuatu menyeronokkan serta memberi kepuasan kepada diri sendiri.
"Lelaki tipikal memang sering mengutuk atau memandang rendah terhadap apa yang dilakukan wanita. Zaman sudah semakin maju dan rasanya wanita kini boleh diibaratkan berdiri sama tinggi dengan golongan lelaki.
"Justeru, tidak ada masalah kalau seorang perempuan itu sukakan aktiviti lasak kerana ia hak individu. Jika mereka (lelaki) ada hak untuk memberi pandangan terhadap wanita yang sukakan aktiviti lasak, jangan dilupa wanita juga berhak melakukan sesuatu yang disukai asalkan ia tidak melanggar undang-undang negara serta hukum agama," katanya yang turut suka sukan berbasikal dan memanjat tembok batu.
Nasihat Fatin kepada wanita yang menggemari aktiviti ini, mulakan dengan langkah mudah terlebih dulu supaya lama kelamaan kita akan terbiasa. Jika tidak tahu bagaimana mahu bermula, jangan malu untuk bertanya dan ikuti kumpulan pendaki atau aktiviti lasak di luar.
Kalau sudah minat
Bagaikan sudah mengalir di dalam darah keluarga mereka, ibu saudara Fatin, Maziah Mazuki, 38, turut berkongsi minat yang sama. Seorang yang sukakan aktiviti mencabar yang menguji kekuatan fizikal serta mental, peluang meneroka sisi lain alam membuatkan dia jatuh cinta dengan aktiviti ini.
Kerap mendaki bersama ahli keluarga dan rakan, dia yang mesra dengan panggilan Maz akan melakukan persiapan rapi dari segi fizikal dan mental. Antaranya, bersenam secara konsisten untuk mengekalkan stamina, mengamalkan diet pemakanan sihat yang seimbang, menyediakan peralatan mendaki secukupnya dan melakukan kajian mengenai kawasan gunung yang hendak didaki.
"Setakat ini, tiada peristiwa mencemaskan yang berlaku terhadap saya ketika mendaki sebab segalanya berjalan lancar. Apa yang boleh dikatakan, minat mengatasi segalanya.
"Mengetahui saya boleh menghadapi cabaran sepanjang perjalanan ke puncak gunung cukup menggembirakan. Saya tidak kisah apa orang lain hendak kata mengenai hobi dan aktiviti seperti ini kerana setiap individu berhak melakukan apa yang mereka gemari.
"Seperti saya, aktiviti lasak yang dilakukan adalah untuk kepuasan diri sendiri dan bukannya untuk mencabar kaum lelaki atau minta disanjung serta dikagumi orang lain," katanya yang sudah mendaki lebih 10 gunung seperti Gunung Kinabalu, Sabah; Gunung Brinchang, Cameron Highlands dan Gunung Senyum di Bukit Fraser.
Pilih motosikal
Anak kelahiran Perak, Normazni Ayub, 26, pula meminati motosikal dan lebih rela menunggangnya ke mana saja daripada memandu kereta.
Mula menunggangnya secara haram tanpa lesen seawal usia 15 tahun, dia tekad untuk memiliki lesen sah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.
Memilih motosikal berbanding kenderaan lain, Normazni menyatakan kosnya lebih rendah dan jika jalan sesak pada waktu puncak, dia boleh mencelah dengan mudah dan tiba di rumah pada waktu ditetapkan.
Mudah dikendalikan dan suka dengan kelajuan juga menjadi salah satu faktor Fatin memilih motosikal. Walaupun pernah mengalami kemalangan jalan raya yang menyebabkan dia patah tangan, peristiwa itu tidak membuatkannya serik untuk terus menunggang motosikal.
"Saya rasa bebas apabila dapat memecut laju dan paling suka ketika memandu dalam keadaan hujan lebat. Peluang mencelah di antara kereta yang banyak di tengah jalan juga membuatkan saya berasa seronok kerana ia menguji tahap kemahiran saya mengendalikan kenderaan ini.
"Seorang wanita yang mahu menunggang motosikal perlu berani dan berjiwa kental kerana dia perlu bersaing dengan ramai penunggang lain di jalan raya," katanya yang memasang impian untuk memiliki motosikal jenis Ducati Monster satu hari nanti.
Selain gemar menunggang motosikal, Noormazni juga suka membaca buku dan menulis puisi selain berhajat melakukan terjun tali anjal (bungee) serta berlumba motosikal di litar Sepang jika mempunyai kesempatan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/26