Khamis, 28 Mac 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Pelajar mati dibaham 5 anjing

Posted:

Manchester: Seorang pelajar Jade Lomas-Anderson dibaham lima anjing hingga mati semalam selepas dia berjalan masuk ke dalam bilik sambil memakan pai daging.

Seekor haiwan berkenaan menerkam makanan itu dan ketika Jade, 14, cuba merampasnya semula anjing berkenaan menerkam lehernya hingga dia jatuh ke lantai.


Empat lagi haiwan berkenaan kemudian datang dan menyerang remaja itu.

Polis yang bergegas ke kediaman itu terpaksa menembak mati empat anjing itu yang dikatakan daripada spesies kacukan anjing pit bull Staffordshire kerana terlalu ganas.


Haiwan kelima dipercayai juga jenis pit bull berjaya ditenteramkan.


Rakan Jade yang terkejut memberitahu dia dibaham di kediaman temannya, Kimberley Concannon di Atherton, Manchester tengah hari semalam selepas bermalam di rumah itu.

Foto

JADE mati akibat diserang sekumpulan anjing.

Seorang rakan berkata: "Jade pergi ke kedai untuk membeli pai daging dan membawanya ke kediaman Kimberley. Kami dengar anjing itu menyerangnya ketika dia makan pai itu. Dia cuba mengelak tetapi anjing berkenaan berang dan menerkam lehernya.


"Dia tewas diserang haiwan itu di dalam rumah Kimberley.

"Ketika polis tiba, empat anjing berkenaan berada di luar rumah.


"Jade berada di dapur. Kami dengar bunyi tembakan. Kami percaya anjing terbesar ditembak sembilan das sebelum ia mati." Thomas Jefferies, 18, berkata: "Sepupu saya kata, dia dengar bunyi tembakan dan jeritan." Seorang lagi rakan berkata: "Anjing itu memang menakutkan. Tetapi Jade kenal dengan haiwan itu. Saya tidak faham mengapa haiwan itu menyerangnya. "Mungkin ia terbau darah selepas anjing pertama menyerang Jade. Ia satu tragedi. Jade benar-benar gadis yang baik." Seorang penduduk berkata: "Anjing itu selalu menyalak dalam rumah kecil itu. Semua kanak-kanak di sini takut dengan anjing itu." Oliver Carrick, 15, berkata: "Ia betul-betul anjing yang jahat - ia tidak pernah dibiarkan di taman dan tiada siapa pun masuk ke situ." Anjing berkenaan milik ibu Kimberley, Beverley. Kedua-dua beranak itu berada dalam kediaman terbabit ketika kejadian. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Upah untuk menangis di majlis pengebumian

Posted:

London: Keluarga yang dilanda kesedihan ketika kematian orang tersayang dan merasakan tidak ramai yang meratapinya ketika upacara pengebumian kini boleh mendapatkan khidmat profesional untuk berbuat demikian.

Semakin ramai mendapatkan khidmat mereka dengan bayaran 45 pound (RM210) untuk upacara pengebumian selama dua jam. Mereka akan menangis selain turut berbicara dengan rakan si mati. Amalan itu bermula di Asia Barat dan China, tetapi ia kini kian popular di Britain.


Kumpulan ini yang dikenal sebagai ahli moirologi adalah pelakon terlatih yang mahir untuk tampil sedih di khalayak ramai.

Sebelum upacara pengebumian, mereka diberi taklimat ringkas mengenai kehidupan si mati agar mereka dapat berbicara mengenainya dengan orang yang menghadiri upacara itu seolah-olah mereka kenal rapat dengan si mati.


Pekerjaan itu sangat popular hinggakan sebuah firma di Essex kini mempunyai 20 kakitangan yang boleh melakukan tugas itu. Pengasas Rent a Mourner di Braintree, Ian Robertson mengakui idea itu mungkin jarang berlaku di kalangan masyarakat Britain, tetapi meramalkan ia akan mendapat sambutan ramai kelak. "Kami sebenarnya mendapat ilham daripada perkembangan perniagaan di China.


"Cara masyarakat Asia Barat ialah menyediakan kumpulan yang meratapi wanita menangis ia menyerlahkan lagi kaedah yang kami gunakan," katanya.

"Ia kini semakin berkembang di Britain tempahan kami mencecah 50 peratus setiap tahun.


"Kakitangan kami akan bertemu dengan pelanggan terlebih dulu untuk membolehkan kakitangan kami mengenali si mati secara profesional atau secara sosial. Mereka akan dimaklumkan mengenai latar belakang, pencapaian, kegagalan dan lain-lain mengenai si mati agar mereka dapat berbicara dengan hadirin lain yang datang dengan yakin. Syarikat itu mengiklankan di laman webnya: "Kami terdorong untuk membantu meramaikan upacara pengebumian yang mungkin kurang dihadiri. Ia mungkin perkhidmatan yang baru di kawasan atau di negara ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rajagobal bakal didakwa

Posted:

Kelana Jaya: Kritikan pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) akhirnya menjerat dirinya sendiri apabila beliau bakal didakwa atas kesalahan melanggar Artikel 88 Statut Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Dengan kedudukannya mula goyah berikutan aksi kurang memberangsangkan Harimau Malaya sejak akhir-akhir ini, jurulatih berusia 56 tahun itu berdepan satu lagi tekanan apabila surat pertuduhan ke atasnya akan dihantar minggu depan sebelum beliau menghadap Jawatankuasa Tatatertib.


Keputusan untuk membuat pendakwaan itu diumum Datuk Taufek Abd Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib yang berlangsung lebih empat jam semalam.

"Kita sudah berbincang dengan panjang lebar untuk menentukan sama ada ia ada merit atau tiada merit. Merit bukan bermakna Rajagobal bersalah tapi kita buat keputusan kertas pertuduhan akan dihantar kepada Rajagobal.


"Ini bermakna kami mempunyai kes untuk mendakwa Rajagobal di bawah Artikel 88," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma FAM semalam.


Siasatan Jawatankuasa Tatatertib ke atas Rajagobal bermula selepas jurulatih kebangsaan itu menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pemain penyerang negara apabila tumpas kepada Arab Saudi 1-4 pada aksi persahabatan pada 17 Mac lalu.

Dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Shah Alam itu, beliau didakwa menyentuh dasar FAM dengan menyatakan penyerang import lebih mendapat tempat dalam pasukan teratas Liga Super yang mengakibatkan negara ketandusan penyerang semulajadi.


Sebelum ini, B Sathianathan dipecat FAM pada Februari 2009 gara-gara kenyataan pedasnya 'Liga-M bukan bola sepak' selepas menyaksikan skuad kebangsaan kendaliannya tumpas 0-5 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kempen kelayakan Piala Asia 2011.

"Ya, pertuduhan ini dikeluarkan kerana beliau didakwa mengkritik dasar FAM, ini berdasarkan laporan akhbar," kata Taufek. Beliau berkata, Rajagobal perlu menjawab surat pertuduhan terlebih dulu sebelum dibicarakan dalam tempoh terdekat ini.


Rajagobal yang mempunyai kontrak hingga Disember ini membimbing skuad kebangsaan memenangi pingat emas Sukan SEA Laos pada tahun pertama dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada 2009 sebelum menjuarai Piala AFF pada 2010.


Sementara itu, Jawatankuasa Tatatertib turut membuat keputusan untuk mendakwa beberapa pemain Selangor atas insiden pergaduhan dengan pemain ATM selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA Januari lalu.


Taufek bagaimanapun enggan mendedahkan nama pemain terbabit namun kemungkinan jumlahnya sama dengan pemain ATM yang dihukum minggu lalu.


"Kita bersetuju membuat pendakwaan ke atas pemain tertentu (Selangor), saya tidak boleh dedahkan nama pemain terbabit. Tunggu surat pertuduhan dibuat," katanya yang memanggil jurulatih Selangor Irfan Bakti Abu Salim dan ATM Sathianathan untuk memberikan keterangan.


Walaupun Sathianathan hadir memberikan keterangan, jawatankuasa itu menetapkan tidak akan menilai semula keputusan dikenakan ke atas pemain ATM sebelum ini.


Empat pemain ATM, Mohd Fitri Omar digantung empat perlawanan dan denda RM1,000, G Jeevanthan dan R Surendran masing-masing digantung tiga perlawanan, denda RM1,000 dan RM1,500 manakala Mohd Shukor Adan yang tidak mengaku salah digantung dua perlawanan selain denda RM1,500.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Haas singkir Djokovic

Posted:

Miami: Pemain veteran Jerman Tommy Haas melakar kejutan apabila menyingkirkan juara dua kali Novak Djokovic 6-2, 6-4 pada pusingan keempat Terbuka Sony di Miami, semalam.

Haas, 35 tahun minggu depan, memerlukan hanya 80 minit untuk menamatkan rentetan kemenangan 14 perlawanan Djokovic pada kejohanan itu sekali gus kekalahan kedua pemain nombor satu dunia dari Serbia itu musim ini.


"Bermain menentang seseorang seperti Novak dan menang pada peringkat ini dalam karier saya, sesuatu yang menakjubkan," kata Haas.

"Ini adalah saat paling saya hargai, beraksi di stadium yang besar, pentas utama, bermain menentang pemain terbaik dunia." Kemenangan Haas yang kedua buatnya ke atas pemain nombor satu dunia, hampir 14 tahun selepas menumbangkan Andre Agassi pada suku akhir Piala Grand Slam 1999.


"Pujian buatnya. Dia bermain dengan hebat dan pemain yang lebih bagus," kata Djokovic yang memenangi Terbuka Australia kali ketiga berturut-turut Januari lalu.


"Yang pasti, ia perlawanan paling buruk pernah saya lalui buat sekian lama." Kejayaan itu membolehkan Haas layak ke suku akhir buat julung kali di Miami selain memperbaiki rekod pertemuannya menentang Djokovic kepada 3-4.

Pemain Jerman itu kini berdepan Gilles Simon selepas pilihan ke-11 dari Perancis itu bangkit mengatasi seorang lagi pemain Serbia Janko Tipsarevic 5-7, 6-2, 6-2.


Kekalahan Djokovic membuka peluang buat pilihan kedua Andy Murray yang mudah ke suku akhir dengan kemenangan 6-2, 6-4 ke atas pemain Itali Andrea Seppi untuk menggantikan Roger Federer sebagai pemain nombor dua dunia jika dia menang di Miami.

Bagi kategori wanita, Serena Williams meneruskan usahanya menjuarai Terbuka Sony kali keenam apabila menang 6-3, 7-6 ke atas Li Na untuk meraih tempat ke separuh akhir. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 27 Mac 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Zaida lali dugaan

Posted:

Dugaan yang perlu ditempuh Zaida Abdul Aziz, 47, untuk terus menapak dalam dunia perniagaan rekaan tudung bukan sedikit.

Malah ia hampir meragut nyawa anak dan dirinya sendiri. Meskipun kejadian sudah 20 tahun berlalu, ia tetap tersemat utuh dan tersimpan rapi dalam kenangan.

Ketika itu, perniagaan dijalankannya mula meningkat naik. Justeru, dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan. Lebih-lebih lagi dia menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dan tidak memiliki kakitangan mencukupi.

Namun disebabkan mahu menjaga nama baik dan amanah, dia tetap gagahkan diri memenuhi permintaan pelanggan sungguhpun sarat mengandung.


Ketika itu, pemilik butik Zaida's Collection ini hamil anak keempat, namun disebabkan terlalu teruja menyiapkan tempahan tudung pelanggannya, dia menjadi leka hinggakan tidak menyedari tempoh bersalinnya sudah tiba.


"Walaupun sudah merasai tanda kecil untuk bersalin, saya tetap menunggu bagi memastikan permintaan tudung pelanggan boleh dihantar tepat pada masanya.

"Apabila rasa lenguh di bahagian belakang badan makin menjadi-jadi barulah saya menghubungi adik untuk menghantar saya ke hospital," katanya ketika ditemui di butiknya di Seri Bangi, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.

Belumpun sempat adiknya tiba di rumah, dia terus pengsan tidak sedarkan diri dan hanya bangun kembali selepas dua minggu berada dalam keadaan koma.

Apabila tersedar, terasa dirinya seperti baru bangkit daripada mimpi tetapi yang pasti ia bukan khayalan. Ketika itu seluruh tubuhnya dipenuhi dengan tiub dan kepalanya juga botak.

Akibat komplikasi terbabit, anak perempuan bongsunya itu lemas di dalam perut dan kini selepas 20 tahun berlalu, dia hanya mampu terlantar di katil.

"Selama dua tahun selepas kejadian itu, kehidupan saya lebih banyak terarah kepada kebajikan dan kesihatan anak. Saya perlu sentiasa berulang-alik ke hospital dan boleh dikatakan ia sudah menjadi rumah kedua saya.

"Pada saat itu tidak dapat dijelaskan betapa kelam-kabutnya keadaan saya tetapi saya tetap gagahkan diri dan melakukan yang terbaik untuk anak dan juga perniagaan saya," katanya.

Walaupun agak sukar untuknya berkongsi cerita pengalaman yang begitu menduga emosinya, bicaranya diteruskan juga dengan harapan ia boleh menjadi semangat bagi wanita lain untuk terus memajukan diri walau dalam apa keadaan sekalipun.

Seingatnya, dia mengambil upah menjahit tudung sekitar 90-an bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

Minat yang mendalam dalam bidang jahitan menyebabkan dia cuba mempelajari selok-belok perniagaan untuk cuba menghasilkan rekaan fesyen tudung tersendiri.

"Saya masih ingat ketika itu saya ambil upah menjahit tudung di Jalan Bunus, Masjid India. Tetapi lama kelamaan timbul minat untuk menghasilkan rekaan tudung sendiri.

"Oleh itu, saya cuba menghasilkan sendiri de-ngan membeli kain meter dan menjahit tudung berkenaan mengikut kemampuan dan tidak menyangka ia mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Ketika itu sudah ada versi tudung bersengkuap di pasaran seperti tudung fiona (kini lebih dikenali sebagai tudung Siti) dan juga selendang panjang digelar sebagai selendang Nabila.

Tetapi ia tidak mendapat perhatian meluas seperti sekarang. Kain yang digunakan juga pelbagai, antara kain paling popular ialah SB Line yang turut dilengkapi perincian seperti manik dan sulaman.

Oleh itu, apabila rekaan tudung yang dihasilkan itu berjaya menarik minat penggemar fesyen tempatan, Zaida memberanikan diri untuk mengetengahkannya ke peringkat lebih meluas.

"Saya membawa sendiri contoh rekaan tudung menjelajah hingga ke Singapura, Johor Bahru, Taiping, Seremban serta Melaka bagi mendapatkan tempahan.

"Alhamdulillah, ia membuahkan hasil dan menerima banyak tempahan. Saya mengambil masa sebulan untuk menyiapkan tempahan kemudian barulah membuat penghantaran," katanya.

Pada 1995, ibu empat cahaya mata itu menyewa kedai bagi memastikan operasi pembuatan tudungnya tidak terganggu, namun krisis rumah tangga pula membelenggu dirinya.

"Hanya Allah saja tahu betapa remuk hati saya seolah-olah semua pengorbanan yang dilakukan selama ini tidak memberikan sebarang erti kepada bekas suami.

"Saya mengambil keputusan untuk berpisah pada tahun 2000 selepas beberapa kali rujuk dan bercerai," katanya.

Pada 2004, Zaida berkahwin semula selepas bertemu insan yang amat memahami dirinya. Suaminya kini menjadi tulang belakang dan pendorong semangatnya untuk terus maju ke hadapan.

Mereka berdua kini bersama-sama memantau bahagian rekaan dan perjalanan operasi perniagaan.

Di samping itu, pada tahun berkenaan juga, dia membuka cawangan baru di sebuah pusat beli-belah terkemuka dan berjaya bertahan selama enam tahun sebelum berlaku masalah dengan pihak pengurusan hingga menyebabkannya terpaksa menutup butik berkenaan.

Disebabkan penutupan butik berkenaan, dia kini masih terikat dengan bebanan hutang kerana stok yang disediakan pada waktu itu tidak boleh dihabiskan me-ngikut perancangan.

"Bayangkan walaupun selepas tiga tahun berlalu, saya masih lagi tersangkut dengan stok lama dan perlu dihabiskan bagi memastikan tanggungan hutang mampu dijelaskan walaupun secara sedikit demi sedikit," katanya.

Penutupan cawangan berkenaan juga menyebabkannya sedikit terkilan kerana ia dilakukan secara tiba-tiba tanpa pemberitahuan awal dan hanya diberikan notis dua bulan saja.

Jika sebelum ini dia tidak pernah mendapatkan sebarang pinjaman daripada mana-mana institusi perbankan tetapi kini terpaksa melakukannya demi melancarkan perjalanan operasi perniagaan.

"Ketika itu saya baru saja melakukan kerja ubah suai butik dan banyak modal sudah dilaburkan, begitu juga dengan penyediaan stok terutama untuk hari raya.

"Apabila diberikan notis berkenaan, saya berasa dunia kelam seketika dan tidak mampu bernafas. Keadaan itu juga memberi sedikit kesan kepada operasi perniagaan," katanya.

Namun ia bukan penamat untuk segalanya kerana apa yang penting, bangkit daripada kegagalan dan cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Kini dia mampu tersenyum bangga kerana walaupun dihimpit pelbagai masalah, butiknya mampu bertahan hingga kini dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada penggemarnya.

"Saya yakin apa yang berlaku ada hikmahnya dan ia berjaya dibuktikan melalui berkat kesusahan dan cabaran selama ini, malah perniagaan kini juga bertambah baik.

"Ia sesuatu yang tidak disangka kerana jika difikirkan, bebanan fizikal dan emosi apabila berdepan dengan semua perkara itu ia boleh memberi impak besar tetapi alhamdulillah, saya mampu melaluinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28

Keseronokan cuti sekolah

Posted:

Sempena musim cuti sekolah, kunjungan ke pusat beli-belah terkemuka, The Curve tentunya menceriakan.

Bermula 22 hingga 31 Mac ini, pusat beli-belah berkenaan memaparkan kemunculan istimewa karakter kanak-kanak tersohor.

Kanak-kanak berpeluang untuk berinteraksi dengan maskot tikus Angelina Ballerina, Pingu serta Urbano, Vita, Bache daripada KidZania Kuala Lumpur dan maskot Ollie Si Naga didatangkan khas dari Legoland Malaysia.

Gerai dari The Little Big Club, Sanrio Hello Kitty Town dari Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Nusajaya dan Legoland Malaysia serta KidZania Kuala Lumpur turut memenuhI ruang pameran.


Sepanjang musim cuti sekolah ini juga pusat beli-belah terbabit me-nyajikan pelbagai aktiviti menarik antaranya per-sembahan menarik untuk si kecil.


Malah, kanak-kanak juga dihiburkan dengan persembahan daripada Lat's Place serta tarian menyeronokkan dan permainan menghiburkan daripada KidZania dan berpeluang memenangi tiket percuma.

Di samping itu, pengunjung yang membelanjakan minimum RM100 dalam dua resit berbeza boleh menyertai peraduan It's Playtime at The Curve.

Dengan hanya menjawab soalan mudah, peserta berpeluang memenangi pakej keluarga istimewa merangkumi dua dewasa dan dua kanak-kanak. Mereka boleh memilih sama ada untuk berkunjung ke salah satu antara tiga taman tema terbabit.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.thecurve.com.my atau Facebook, www.facebook.com/theCurveShoppingMall.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Tebing runtuh

Posted:

Puchong: Lebih 60 penghuni Blok B Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, di sini, terpaksa dipindahkan ke Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah selepas tebing tanah di belakang rumah mereka runtuh, semalam.

Runtuhan dengan keluasan 16.6 meter x 16.6 meter persegi itu berpunca daripada hujan lebat awal pagi semalam menyebabkan tanah yang sudah terhakis sejak sebulan lalu bertambah teruk dan runtuh.


Penduduk, Haizul Hamzah, 45, yang tinggal di kediaman terbabit sejak 12 tahun lalu berkata, tebing tanah di belakang rumah mereka mula terhakis sejak 19 Februari lalu dan mereka sudah memaklumkan perkara itu kepada pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, pegawai MPSJ sudah memeriksa keadaan struktur tanah terbabit namun ketika itu hakisan hanya sedikit.


"Bagaimanapun, awal pagi tadi (semalam) jam 2 pagi hujan lebat yang berkemungkinan menyebabkan ia runtuh dan membahayakan keselamatan penduduk di sini.


"Dalam soal ini saya tidak mahu menyalahkan sesiapa namun jika pihak terbabit terlebih awal mengatasi masalah ini kemungkinan runtuhan itu tidak berlaku," katanya ketika ditemui, semalam.

Foto

KEADAAN tebing runtuh di Apartmen Beringin, Jalan Industri PBP3, Puchong.

Foto

SEBAHAGIAN penduduk keluar dari rumah masing-masing.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohamad Sani Harul berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 5 petang dan tiba di tempat kejadian 13 minit kemudian.


"Laporan awal yang diterima mendapati terdapat pergerakan tanah runtuh berhampiran tembok dan retak di bahagian belakang bangunan terbabit.

"Setakat ini keselamatan kawasan terbabit masih dalam siasatan dan semua penghuni dipindahkan ke dewan buat sementara waktu," katanya.


Beliau berkata, dalam operasi itu balai terbabit adalah Balai Bomba dan Penyelamat Puchong dengan seorang pegawai serta enam anggota.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Hukum orang ketiga

Posted:

Kuala Lumpur: Orang ketiga yang menyebabkan hubungan suami isteri berantakan kini berdepan tindakan undang-undang kerana perkembangan terkini menunjukkan mereka perosak institusi kekeluargaan Islam dan antara punca meningkatnya kes perceraian, terutama dalam kalangan pasangan muda.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, tindakan ke atas orang ketiga itu bakal dikuatkuasakan dengan lebih tegas dan meluas di Wilayah Persekutuan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 (Akta 559).

"Seksyen 36 membenarkan orang disabit bersalah didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahu atau kedua-duanya atas kesalahan memujuk lari perempuan bersuami.

"Seksyen 37 pula merujuk kepada kesalahan menghalang pasangan sudah bernikah daripada hidup bersama sebagai suami isteri dan mereka yang disabit kesalahan itu boleh didenda RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam anjuran Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur (MSKL), di sini, semalam.

Foto

IBRAHIM (kanan) berbincang dengan Kamalia selepas merasmikan Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Islam, semalam.


Turut hadir, Ketua Hakim Syarie MSKL, Mohd Amran Mat Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK, Datuk Kamilia Ibrahim.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Sayu lihat kampung

Posted:

Lahad Datu: "Keadaan sebelum dan selepas kedatangan pengganas amat berbeza sekali.

"Dahulu, kampung kami aman, tetapi kini ia tak ubah seperti padang jarak padang terkukur," kata Ben Hamidi, 48, antara 20 penduduk Kampung Tanduo, di sini, yang dibenarkan masuk ke kampung itu, semalam.

Menurut, tiada apa lebih menyedihkan apabila melihat rumah pernah menjadi tempat berlindung kini rosak teruk, manakala ada rumah jirannya sudah musnah sama sekali.

Katanya, dia tidak mampu lagi menahan air mata apabila melihat keadaan kampung yang sunyi sepi dengan apa yang ada hanyalah kesan kebakaran dan tembakan di sana sini.

Foto

PENDUDUK melihat sendiri kerosakan rumah mereka di Kampung Tanduo.

Foto

KONVOI diketuai Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar membawa penduduk kampung melihat dan menilai kerosakan kediaman mereka di Kampung Tanduo, semalam.


"Sebelum ini, saya hanya menyaksikan dan mengikuti insiden pencerobohan ini di televisyen dan surat khabar, tetapi amat terkejut seolah-olah tidak percaya melihat keadaan kampung hari ini (semalam)," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Dipancing kelab Australia

Posted:

Kuala Lumpur: Pemain muda negara nampaknya kini semakin 'laris' di pasaran luar negara. Selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim berjaya mengikat kontrak dengan kelab Liga Divisyen Tiga Jepun FC Ryukyu, dua lagi pemain Harimau Muda A berpeluang mengikut jejak langkah mereka.

Namun kali ini destinasinya bukan ke Jepun sebaliknya ke Australia.


Dua pemain itu, kapten dan pemain perancang tengah Mohd Irfan Fazail dan penyerang Rozaimi Abd Rahman yang kini mendapat perhatian salah sebuah pasukan elit Liga Australia.

Setakat ini tawaran yang diberikan kelab yang pernah menjadi juara liga itu hanyalah ujian pemilihan yang dijangka diadakan pada Ogos ini, namun perkembangan itu dianggap cukup baik oleh pengendali Harimau Muda A Ong Kim Swee.


Kim Swee yang enggan mendedahkan nama kelab berkenaan buat masa ini berkata, pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menetapkan tarikh sesuai bagi menghantar Irfan dan Rozaimi menjalani ujian itu.


"Kelab itu sudah meminta kami untuk menghantar Irfan dan Rozaimi pada Ogos. Kemungkinan mereka akan ke sana dalam tempoh seminggu hingga dua minggu.

"Cuma buat masa ini tarikh sebenar belum ditetapkan dan ia masih dalam perbincangan. Perkara ini perlu diteliti sebelum membuat keputusan memandangkan skuad ini mempunyai jadual padat pada Ogos sebagai persiapan ke Sukan SEA Myanmar.


"Bagi saya walaupun ia hanyalah ujian pemilihan, tapi ia satu perkembangan positif kerana memberi peluang kepada Irfan dan Rozaimi mencuba nasib dengan kelab itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.

Menurut Kim Swee, aksi di pentas antarabangsa termasuk di pusingan kelayakan Olimpik dan aksi persahabatan dengan beberapa kelab di Gold Coast Australia bulan lalu membolehkan pasukan luar dapat melihat sendiri bakat yang dimiliki pemain muda negara.


Sebelum ini Wan Zack Haikal pernah menjalani ujian percubaan bersama FC Ryukyu Julai tahun lalu dan hasilnya pemain sayap itu berjaya mendapat kontrak selama dua tahun manakala Nazirul setahun.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

'Mimpi indah' Ivanovic

Posted:

London: Branislav Ivanovic berkata, pastinya "sesuatu yang menggembirakan" untuk bekerja di bawah kendalian bos Real Madrid Jose Mourinho namun menegaskan ia bukan masa yang sesuai untuk membincangkan spekulasi mengaitkan kembalinya jurulatih Portugal itu ke Chelsea.

Mourinho dikatakan akan kembali bertugas di Stamford Bridge selepas menghabiskan tiga musim penuh berjaya dalam kariernya antara 2004-07, mengemudi mereka memenangi dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris selain Piala FA dan dua Piala Liga.


Pengurus Real itu dianggap pengganti terbaik pengurus sementara Rafael Benitez pada musim panas ini, dengan spekulasi memuncak memperkatakan beliau akan meninggalkan Santiago Bernabeu.

Ivanovic, yang menyertai Chelsea selepas Mourinho meninggalkan kelab itu untuk ke Inter Milan, menyambut baik peluang untuk bekerja di bawah kendalian jurulatih Portugis itu.


Namun pertahanan Serbia itu menegaskan pemain tidak mempedulikan spekulasi itu ketika ini.


"Saya fikir bagi sebuah kelab ternama, sebuah kelab besar seperti Chelsea, kami perlukan yang terbaik daripada pemain dan pengurus dan mungkin satu hari ia sesuatu yang menggembirakan untuk bekerja dengan beliau," katanya.

"Kita tunggu dan lihat. Anda tidak tahu apa yang berlaku dan ini bukan masanya buat kami untuk memperkatakan mengenainya.


"Beliau seorang yang berjaya dan baginya secara peribadi Chelsea bagaikan rumahnya dan beliau sayangkan kelab ini. Ini sesuatu yang positif dan bagus buat kelab." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sam tawan hati Syatilla

Posted:

Hanya sekelip mata keceriaan dipamerkan pelakon baru, Syatilla Melvin sebelum ia bertukar emosi saat dia dipujuk bercerita mengenai lelaki bernama Shaheizy Sam.

Katanya, reaksi spontan itu terjadi kerana hatinya sebak apabila desas-desus mengaitkan dirinya dengan aktor popular itu semakin mengganggu perasaan kebelakangan ini.

Siti Nur Syatilla Amirol Melvin bukan lelah dengan gosip yang makin rancak dicanang-kan itu, tetapi situasi sebenar cerita dirinya dan Sam rumit untuk dihuraikan kepada khalayak.

Justeru, pelakon berusia 22 tahun ini lebih senang me-ngunci mulut daripada bercerita panjang lebar. Baginya, cukuplah dia menyifatkan hubungan mereka sekadar teman rapat sejak dua tahun lalu.


"Bukan saya mahu mengelak atau berdolak-dalih me-ngenai dakwaan hubungan cinta dengan Sam tetapi hakikatnya, ia terlalu rumit untuk dikongsi pada waktu ini.


"Cukuplah saya katakan kami berkawan rapat sejak dua tahun kebelakangan ini. Selebihnya, biarlah masa yang menentukan," tuturnya mengawal emosi.

Mendengarkan nada terkilan yang diluahkan gadis kelahiran Pulau Pinang ini, Syatilla ditanya adakah dia menyembunyikan sesuatu mengenai status sebenar hubungan mereka namun persepsi itu pantas ditepis.

Katanya, sebagai wanita dia tidak mahu terus heboh membuka cerita mengenai sesuatu yang tidak pasti kerana ia tidak manis dan mungkin membuka pandangan serong khalayak pula.

"Kalau boleh, saya memang tidak mahu lagi mengulas mengenai perkara ini (gosip cinta). Tidak manis pun untuk perempuan bercerita itu dan ini mengenai sesuatu yang belum pasti.

"Saya tidak mahu orang tersalah sangka atau berpandangan serong menganggap saya perempuan yang tidak baik apabila bercakap lebih-lebih mengenai kes ini," katanya sambil berharap supaya gosip dengan Sam segera bernoktah.

Apabila ditanya keistimewaan Sam di matanya, Syatilla tidak mampu menolak kenyataan lelaki itu memiliki sikap yang menawan hati.

Katanya, aktor kesayangan ramai itu bukan saja manja dan kelakar sebagai sahabat, malah dia juga lelaki yang begitu mengambil berat dan memahami dirinya.

"Saya selesa dan senang berkawan dengan Sam. Dia seorang rakan yang baik dan memahami saya seadanya. Pendek kata, dia bukan saja penghibur hati saya ketika sedang bersedih atau tertekan malah begitu mengambil berat. Kami banyak berkongsi pendapat mengenai kerja," katanya.

Bagaimanapun, tatkala diusik tidakkah keserasian dan saling mengenali itu memudahkan proses perkongsian hati, Syatilla berkata, dia enggan memikirkan soal berkenaan dan menyerahkannya pada takdir.

"Saya tak nak fikir lebih-lebih mengenai hala tuju hubungan ini. Kalau ditakdirkan ada jodoh dengan dia, saya terima. Sebenarnya, saya tidak tolak jodoh walau dengan sesiapa pun, cuma kebetulan sekarang orang kaitkan saya dengan Sam, sebab itu timbul spekulasi begini," katanya.

Rindu aktiviti lasak

Sekali pandang, anak kedua daripada lima beradik ini mungkin tidak banyak berbeza daripada acuan semula jadi wanita yang ayu dan lemah lembut.

Ironinya, kata Syatilla, ramai yang mudah tersalah sangka dengan penampilan luarannya.

"Sebenarnya saya seorang gadis yang lasak cuma ramai yang tersalah anggap dengan penampilan luaran saya. Naluri kewanitaan masih kuat tetapi saya bukan tipikal wanita yang lemah lembut. Saya suka pada aktiviti lasak dan aktif," katanya.

Tambah Syatilla, sifat aktif dan lasak dalam dirinya disemai secara semula jadi sejak kecil kerana ba-nyak menghabiskan masa mengikuti bapanya melakukan pelbagai aktiviti yang digemari lelaki.

"Saya suka berkonvoi dengan motosikal berkuasa tinggi sebab aktiviti itu sering saya lakukan bersama bapa ketika remaja dulu. Kalau hendak tahu, saya boleh menunggang motosikal besar tetapi sudah lama tidak berpeluang untuk sertai konvoi motosikal apabila usia meningkat.

"Saya semakin sibuk dengan kerjaya seni manakala bapa pula semakin meningkat usia dan sudah lama tidak terbabit dengan program begitu. Saya rindu kenangan itu," katanya yang berhasrat untuk memiliki motosikal jenis Ducati kelak.

Jatuh cinta pada lakonan

Pada awal kemunculannya dalam bidang ini, dia langsung tidak bermimpi untuk bergiat serius sebagai pelakon. Ini kerana kecenderungan sebagai model yang menjadi permulaan kerjaya selepas tamat sekolah masih menebal dalam diri.

"Saya ceburi lakonan pun selepas terbabit dalam program Dewi Remaja 2010 dan pada awalnya saya kurang minat berlakon. Minat saya kuat pada bidang peragaan tetapi tidak sangka lama kelamaan selepas terbabit dalam pelbagai projek drama, makin jatuh hati dengan lakonan pula," katanya.

Malah, Syatilla berkata, dia mahu mendalami dan menimba lebih banyak ilmu lakonan daripada pelbagai pihak termasuk kelas lakonan bagi mengasah potensinya.

"Sekarang minat pada lakonan semakin mendalam. Saya mahu jadi pelakon yang lebih baik pada masa depan. Insya-Allah, saya berhasrat untuk mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Nawi apabila berkesempatan nanti kerana saya kagum dengan lakonannya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Wasilah Cinta arahan Murali Abdullah.

Menyusul dalam jurnal seninya, kata Syatilla, dia akan terbabit dalam beberapa projek drama bersiri Kalau Bukan Aku dan Epilog Cinta Kirana untuk TV3, tidak lama lagi.

Sebelum menamatkan perbualan kami, Syatilla berkata, dia juga teruja untuk membintangi filem pertamanya, Romeo Kota di samping Aaron Aziz, Ahmad Nabil Ahmad dan Hanis Zalikha di bawah arahan Ahmad Idham bermula bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27

Penuh aksi mendebarkan

Posted:

Apabila pengganas mula menguasai Rumah Putih, seorang ejen perkhidmatan rahsia yang dibelenggu sejarah silam bermati-matian cuba menyelamatkan Presiden Amerika Syarikat.

Ketika kekejaman me­nguasai diri, sekumpulan puak pelampau berbekalkan senjata canggih serta terlatih dengan beraninya melancarkan serangan pada siang hari ke atas Rumah Putih atau sinonim dengan nama White House hingga menghancurkan bangunan berkenaan dan menculik Presiden Benjamin Asher serta anggota Kabinetnya untuk dijadikan tebusan di sebuah ruang bawah tanah yang menjadi bilik persembunyian rahsia presiden.

Begitulah situasi yang berlaku dalam filem Olympus Has Fallen lakonan Gerard Butler, Melissa Leo, Morgan Freeman, Aaron Eckhart, Dylan McDermott, Angela Bassett, Ashley Judd, Robert Forster, Cole Hauser, Radha Mitchell dan Rick Yune yang kini sedang ditayangkan.

Filem arahan pengarah tersohor Antoine Fuqua memaparkan babak berbalas tembakan di halaman Rumah Putih, seorang bekas pegawai keselamatan presiden iaitu Mike Banning (Gerard Butler) turut menyertai 'pesta peluru' itu di mana akhirnya dia menjadi satu-satunya ejen perkhidmatan rahsia yang masih hidup dalam bangunan yang sudah dikepung dan dikawal rapi pengganas itu.


Banning menggunakan kemahiran yang diperoleh dari sesi latihan yang pernah dijalaninya dulu serta selok-belok kediaman presiden sebagai mata dan telinga buat Timbalan Presiden Allan Trumbull (Morgan Freeman) dan kumpulan penasihatnya.


Tatkala semakin ramai tebusan dibunuh kumpulan pengganas yang turut mengugut untuk membunuh lebih ramai lagi tebusan sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi, Banning pula berusaha keras untuk menjejaki di mana letaknya tempat persembunyian anak lelaki kepada presiden yang dipercayai masih berada di dalam bangunan itu serta menyelamatkan presiden.

Apabila masa semakin suntuk dan semakin ramai pula mangsa yang terkorban, segala-galanya semakin jelas bahawa satu-satunya harapan Amerika Syarikat untuk mengelakkan kemusnahan adalah Banning.

Fuqua bukanlah asing dengan filem-filem bercorak sedemikian seperti Training Day yang meletakkan pelakonnya, Denzel Washington meraih anugerah Oscar bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

"Menurut Fuqwa, ketika diberikan naskhah filem ini kepadanya, pada ketika itu juga dia sudah dapat mengagak ia cukup berpotensi untuk difilemkan.

"Judulnya mengingatkan saya kepada Empayar Rom dan juga kisah dongengnya. Pergunungan Olympus adalah kediaman bagi Dewa-Dewa Rom dan Yunani. Ia simbol kekuasaan yang tiada tolok bandingnya. Dalam filem ini, Rumah Putih tumbang menyembah bumi dalam cara yang sukar dibayangkan. Ia bagaikan satu persamaan dengan Empayar Rom yang cukup gah satu ketika dulu," katanya.

"Menurutnya, Butller bukan saja bersetuju untuk membintangi malah menjadi penerbit filem ini, dan ini satu kesempatan yang tidak harus dilepaskan­nya kerana sudah bertahun-tahun dia menunggu untuk bekerjasama dengan pelakon hebat ini.

Sementara itu, Butler berkata, dia senang bekerja sama dengan Fuqua dalam projek kali ini.

"Saya yakin dia pasti mampu melakukan sesuatu yang luar biasa de­ngan filem ini. Saya cukup gemarkan filem arahannya dari Training Day hingga kepada Tears of the Sun dan Brooklyn's Finest. Dia memaparkan aksi ganas dan realisme dengan caranya tersendiri yang begitu unik.

"Jalan cerita yang penuh tragedi memerlukan asas yang kukuh. Jika tidak cerita ini akan meleret tanpa penghujung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/27
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved