Walaupun perkahwinannya pernah mencetus kontroversi kerana tidak direstui keluarga, ia nyata tidak menjatuhkan semangat pelakon, Siti Fazurina Mohd Famir untuk membuktikan cintanya. Bahkan wanita kental ini lebih selesa enggan memikirkan lagi apa yang sudah berlaku.
Menolak tegas dakwaan dirinya yang dilabel cukup hangat dengan kisah sensasi, bintang utama drama komedi, Dunia Anita itu menjelaskan dia memang tidak pernah terfikir untuk dirinya terjebak dengan kontroversi.
Ujar Nina lagi, dia cukup selesa sekiranya lebih dikenali dalam bidang seni bersandarkan prestasi mutu lakonannya. Bahkan enggan terus mengenang kisah lalu, Nina yakin dengan ketentuan Tuhan.
"Apa yang sudah berlaku sebelum ini, biarlah berlalu. Bagi saya sekarang, fokus utama adalah pada rumah tangga dibina selain aktif semula dalam karier lakonan. Apatah lagi saya bersyukur ditemukan dengan suami yang cukup memahami.
"Saya kini benar-benar bahagia di samping suami, Muhammad Hykal Zulkifli, 31, dan berdoa semoga kasih sayang kami ini terus berkekalan hingga akhir hayat. Tambahan pula pada saya sekarang semuanya sudah selesai," katanya.
Manis menggayakan busana Muslimah berwarna biru pada majlis sidang media Anugerah Blockbuster 2 di ibu kota, baru-baru ini, Nina juga tidak hadir keseorangan. Suami sentiasa bersamanya.
"Saya selesa suami sentiasa di sisi pada setiap majlis yang dihadiri. Apatah lagi sebagai wanita yang sudah berkahwin, saya berasakan keselamatan lebih terjamin apabila suami ada bersama.
"Apapun, dia (Hykal) bukan seorang yang mengongkong. Cuma memang saya sendiri yang mahu suami sentiasa ada bersama walau di mana saja berada. Bahkan saya akan pastikan dia ada masa untuk menemani.
"Setakat ini, nampaknya Hykal memang tiada masalah untuk menemankan saya menghadiri apa saja majlis hiburan yang mengundang kami. Apatah lagi kini dia juga merangkap pengurus peribadi saya.
"Saya sangat selesa hadir di setiap majlis bersama Hykal kerana sudah terbiasa dengan pembantu peribadi. Dulu ke mana saja saya pergi semestinya ditemani pembantu. Jadi selepas mendirikan rumah tangga, saya sudah tiada pembantu lagi," katanya.
Menurut Nina, 30, kini tanggungjawab membabitkan segala urusan berkaitan karier seninya juga diuruskan sepenuhnya oleh suami. Justeru, amatlah penting suaminya sentiasa berada di sisi.
Berbicara mengenai perkembangan kariernya, Nina berkata sekarang dia juga sudah mula bersedia untuk mengatur langkah aktif dalam lakonan. Ujarnya dia sangat berbesar hati meraih tawaran berlakon drama 18 episod untuk mengisi slot Samarinda di TV3.
Kata Nina selepas apa yang dilaluinya, nyata rezeki selepas berumah tangga itu masih ada. Bahkan menurutnya, dia akur dengan apa yang sudah diatur oleh Tuhan untuk hidupnya.
"Hanya Tuhan yang mengetahuinya. Jadi saya tidak kisah apa saja pandangan orang pada diri ini. Bagi saya apa yang paling utama kini adalah menjaga maruah keluarga serta nama baik suami.
"Saya juga sudah melupakan apa yang berlaku dan sekarang mengharapkan perjalanan kehidupan lebih lancar dan diredai Tuhan. Harapan saya juga hanya mahu maju dalam karier dan kehidupan," katanya.
Tak lekang mengukir senyum di bibir, Nina yang tampak makin berisi dan berseri juga dilihat amat bersedia berhadapan dengan media dan menjawab segala soalan ditujukan padanya.
Padanya, sebagai seorang insan seni sudah pasti coretan kisah terbarunya ingin diketahui. Apatah lagi dengan apa yang sudah berlaku dan Nina melihat itu semua takdir hidupnya.
Hadir majlis kerana diundang
Di kala kisah pernikahannya masih hangat dibicara, sukar untuk menjejaki Nina. Pun begitu sebaik saja semuanya berakhir, Nina dan juga suami dilihat cukup mempunyai masa menghadiri majlis hiburan.
Berbicara mengenai dakwaan dia cuba mendapatkan publisiti mudah dengan cara menghadiri majlis hiburan dianjurkan, Nina menyangkal tegas semua itu. Katanya kehadirannya bersama suami pada setiap majlis dianjurkan kerana mereka memang diundang sebagai tetamu.
"Saya seorang yang takkan hadir dalam mana-mana majlis sekiranya tidak diundang. Bagaimanapun macam majlis sidang media Anugerah Blockbuster ini, saya hadir kerana diundang penganjur.
"Ditambah lagi, ada kelapangan masa. Jadi tiada salahnya untuk saya dan suami hadir ke majlis ini sebagai tanda sokongan kami dan berterima kasih dengan undangan diberikan.
"Selain itu, saya juga tidak sangka diri turut tersenarai dalam pencalonan awal Anugerah Blockbuster 2 menerusi lakonan dipersembahkan dalam filem Baik Giler yang juga dibintangi oleh Zizan Razak (Raja Lawak) dan Awie," katanya.
Justeru, menyentuh soal harapan kemenangannya, Nina berkata, kalah atau menang adalah adat pertandingan. Ujarnya, lagi pun dia tidak meletakkan sebarang harapan untuk menang.
Baginya, sudah dicalonkan pada peringkat awal ini pun sudah besar rahmat dan kesyukuran buatnya. Jadi jika berpeluang menang pula semestinya ia dilihat sebagai satu bonus.
Apapun, selain sedia berlakon untuk produksi lain, Nina juga memaklumkan dia akan aktif membintangi drama diterbitkan produksi miliknya sendiri, Tripix Studios Sdn Bhd yang diusahakannya bersama suami tersayang.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/02