WATAK hubungan songsang memang tidak asing di Hollywood. Namun, tidak ramai pelakon tempatan yang berani melakonkan watak hubungan terlarang itu kerana ia belum di terima secara terbuka di kalangan masyarakat di sini.
Ia sebaliknya bagi bintang muda meningkat naik, Siti Saleha yang bersedia menggalas cabaran bawa watak lesbian menerusi filem terbarunya yang juga genre aksi, seram dan thriller berjudul Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin.
Bagi pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris dan pemilik nama sebenar, Siti Saleha Mohd Baharum, 23 ini, dia terima tawaran bawa watak songsang itu kerana inginkan variasi dalam lakonannya.
"Tidak terlintas untuk mencetuskan kontroversi atau cerita sensasi apabila saya terima tawaran watak sebegitu. Sebelum ini saya sering disogokkan watak baik, sebab itu saya tertarik dengan watak Tina yang dominan ini kerana ia menarik.
"Saya tidak takut dengan tanggapan orang pada saya kerana berani melakonkan karakter sedemikian. Sebagai pelakon, saya perlu menyahut cabaran apa saja watak diserahkan kerana pengarah beri kepercayaan bawa watak itu kerana percaya saya mampu merealisasikannya mengikut skrip.
"Watak yang di luar kotak kebiasaan seperti ini adalah peluang terbaik untuk saya mengukuhkan lagi nama dalam lakonan. Kalau ada pihak mengkritik, saya akan beritahu ia sekadar lakonan dan watak dalam filem semata-mata," katanya.
Bukan saja watak, Saleha terima tawaran berlakon dalam filem itu kerana barisan pelakonnya yang mantap.
"Barisan pelakon yang mewarnai filem ini rata-rata bintang muda meningkat naik dalam bidang hiburan seperti Johan A'sari, Aeril Zafrel dan Cristina Cempaka.
"Selain itu, saya juga ingin menimba pengalaman bekerja dengan pengarah sinematografi terkenal seperti Raja Mukhriz menerusi sentuhan filem pertamanya ini. Saya tidak dapat mengulas lanjut pengalaman berlakon dalam filem ini kerana penggambaran belum dimulakan lagi," katanya.
Selain filem Tujuh, Saleha baru selesai penggambaran filem pertamanya tahun ini iaitu Bikin Filem yang diterajui Bront Palarae dan Iedil Putra.
Bagaimanapun, Saleha yang turut tercalon sebagai finalis Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 mengakui dia juga lebih selektif dengan karakter, skrip, pengarah dan produksi terbabit.
"Misi saya ingin pergi lebih jauh dalam bidang lakonan. Maklumlah, ada banyak lagi filem lakonan saya yang belum ditayangkan lagi kerana saya berlakon tidak putus menerima tawaran berlakon filem sebelum ini.
"Baru satu saja filem lakonan saya yang sudah ditayangkan di pawagam iaitu Kerat 14 arahan Arjin Uppal bergandingan dengan aktor popular Aaron Aziz.
"Ramai juga peminat suka lakonan saya dalam drama Ruby bergandingan dengan Sharnaaz Ahmad terbitan MIG sebelum ini.
Kini, saya juga berlakon sepenuh masa selepas menamatkan pengajian Diploma Komunikasi Massa di Kolej Inti, Subang Jaya pada November tahun lalu," katanya.
Walaupun sudah enam tahun membina nama dalam bidang lakonan, Saleha tidak kisah pergi uji bakat untuk watak ditawarkan.
"Saya bermula dengan drama sebelum berlakon filem. Saya percaya tidak salah untuk saya buat uji bakat sebelum berlakon dan ia untuk kebaikan kedua-dua pihak.
Filem lakonannya yang belum ditayangkan ialah Balada Pencinta, Mamat Cupcake, KL Zombie. Selain itu, dia juga baru habis penggambaran Memberku Hawa untuk Red Coms.
Tidak ketinggalan, Saleha turut terbabit sebagai pengacara dalam program travelog sebanyak lapan episod Projek Gila untuk TV9. Seorang lagi hos untuk program ini ialah Elfira Loy.
Apa yang menarik, Saleha berpeluang melakukan kerja yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini iaitu menjadi nelayan, menangkap ayam dan sebagainya lagi.
Saleha selesa solo
Sudah setahun Saleha memegang status solo selepas putus cinta buat kali kedua dengan jejaka Inggeris. Sebelum ini, adik kepada vokalis Sam Bunkface ini putus cinta dengan penjaga Gol Sabah, Syed Adney Syed Hussein, tiga tahun lalu.
Namun, sampai hari ini, pelakon jelita ini masih belum bertemu pengganti untuk mengisi kekosongan hatinya. Mungkinkah Saleha sangat selektif memilih teman hidup sebagaimana pemilihan karakternya dalam lakonan?
"Memang saya agak selektif dalam mencari teman istimewa. Kalau saya tak minat dengan seseorang, saya akan putuskan begitu saja hubungan itu.
"Buat masa ini, saya lebih selesa bergelar solo. Kawan-kawan memang adalah tapi hubungan itu tidak ada komitmen pun," katanya yang berasal dari Klang, Selangor.
Apapun, kata Saleha, dia ingin fokus pada karier seninya yang semakin sebati dalam dirinya.
"Biarlah fokus utama saya pada karier seni dulu kerana perjalanan saya pun masih jauh lagi," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/12