Sabtu, 1 Jun 2013

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Ibu buta jual empat anak

Posted: 31 May 2013 09:36 AM PDT

Beijing: Seorang wanita China yang buta mengaku menjual empat daripada anaknya untuk menyara keluarga kerana masalah kewangan.

Di antara 2005 dan 2012, wanita dari Shibei di Mianyang itu, Du Xiurong mengaku menyerahkan tiga bayi perempuan dan seorang bayi lelaki kepada pasangan lain.


Secara keseluruhan, Du melahirkan enam orang anak tetapi ketika ini cuma membesarkan dua daripada mereka, masing-masing seorang anak lelaki dan perempuan. Menurut Du, dia tidak ada pilihan kecuali menjual anaknya kepada orang lain untuk mendapatkan wang.

"Jika saya tidak buta, saya tidak akan tergamak menyerahkan mereka ke tangan orang lain," katanya. Du berkata, dia tidak menjual anak-anaknya, tetapi menyerahkan mereka dan mendapat sedikit imbuhan atas susah payah dialami sepanjang tempoh kehamilan. Du juga mengakui sayang kepada kanak-kanak.


"Jika saya mampu, tentu saya akan membesarkan mereka sendiri, tetapi keadaan tidak mengizinkan memaksa saya mencari keluarga lain untuk anak-anak," katanya. Mendakwa tidak melakukan kesalahan, Du berkata, hanya keluarga yang berada tetapi tidak mampu memiliki anak dipilih untuk membesarkan zuriatnya.


"Mereka mahukan anak dan saya membantu mereka," katanya. Menurut Du, orang kaya memiliki kemampuan kewangan untuk mengahwinkan anak perempuan, manakala keluarga pertengahan mendapat wang atas perkahwinan anak perempuan mereka. "Bagi orang miskin, kami menjual anak-anak untuk mendapat wang," katanya. Januari lalu Du ditahan kerana kesalahan menjual bayi tetapi dia dibebaskan tidak lama kemudian selepas pihak berkuasa mempertimbangkan kecacatannya. Mengenai masalah penglihatannya, Du berkata, dia terbabit dalam kemalangan ketika berusia lima tahun.

Foto

DU yang cacat penglihatan sejak berusia lima tahun dianggap sebagai beban kepada keluarganya.

Sembilan tahun kemudian, dia dikahwinkan dengan seorang lelaki selepas keluarga melihat dia sebagai beban.


"Ibu dan bapa mahu menyisihkan saya secepat mungkin.

"Sebaik saja ada lelaki yang mahu mengahwini saya, mereka tidak menunggu lama bersetuju," katanya. Namun, nasib malang terus menimpa Du.


Lelaki yang menjadi suaminya didapati gagal mendapat pekerjaan tetap menyebabkan mereka sentiasa hidup dalam kesukaran.


Du melahirkan anak sulung (lelaki) Cheng Jin, pada 1991 dan sembilan tahun kemudian, melahirkan anak kedua (perempuan), Sun Miao. Ketika ini Du masih membesarkan sendiri Cheng dan Sun manakala anak yang lain diserahkan kepada keluarga yang mahukan anak angkat.


Anak keduanya dijual pada harga (RM1,261) pada 2005. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01

Perancis haram rokok elektronik di tempat awam

Posted: 31 May 2013 09:29 AM PDT

Paris: Perancis akan mengharamkan penggunaan rokok elektronik di semua tempat awam dan mengawalnya sama seperti rokok biasa.

Menteri Kesihatan Perancis, Marisol Touraine berkata, rokok elektronik bukan produk biasa dan perlu diletakkan di bawah kawalan seperti rokok tembakau.


"Maksudnya, kerajaan akan pastikan ia tidak digunakan di tempat awam, penjualannya dikawal daripada pengguna kurang daripada 18 tahun dan pengeluar produk itu tidak boleh mengiklankannya," katanya.

Pengumuman itu mencetuskan kemarahan di kalangan penjual dan pengguna alat berbateri itu.


Tidak seperti rokok biasa, produk elektronik itu menggunakan cecair nikotin yang berubah menjadi wap apabila disedut. Ketika ini rokok elektronik dibenarkan diguna di bar dan restoran serta tempat awam lain, berbeza daripada rokok tembakau yang diharamkan sejak lima tahun lalu. Penjual berkata, kira-kira 500,000 orang menggunakan rokok elektronik di Perancis ketika ini. Seorang daripada penjual produk itu, Darren Moon berkata, dia akan menutup kedai jika larangan itu berkuat kuasa.


"Saya mungkin akan berpindah ke tempat lain yang tidak mengharamkan penggunaannya," katanya. - Daily Mail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Sedia gempur Tok Gajah

Posted: 31 May 2013 09:20 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Takzim (DT) tampak sudah bersedia menggempur habis-habisan kubu Pahang dalam pemburuan ke final apabila kedua-dua pasukan bertembung pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Keputusan menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai gelanggang berkecuali nyata disambut baik ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang menganggap kekuatan Johor DT dan Pahang tampak seimbang kerana tiada kelebihan dimiliki kedua-dua pasukan, sebaliknya percaturan taktikal mantap menjadi pertaruhan untuk layak ke final menentang Kelantan, 29 Jun ini.


Yang pasti benteng skuad Harimau Selatan kembali ampuh selepas kapten Kamarul Afiq Kamaruddin yang mengalami kecederaan sudah pulih sepenuhnya walaupun ketika tersenarai pada aksi di Stadium Darul Makmur, Selasa lalu, dia tampak masih belum cergas.

"Benteng kembali kukuh selepas Kamarul Afiq bebas daripada kecederaan dan saya yakin kombinasi pemain itu bersama Aidil Zafuan Abd Radzak berupaya menyekat setiap asakan lawan.


"Tanpa Mohd Farid Ramli yang digantung satu perlawanan, Irfan Abd Ghani mungkin diturunkan di posisi bek kiri dan saya yakin dia mampu menghalang R Surendran yang memiliki larian pantas dan bijak memperdaya barisan pertahanan.


"Peluang Johor DT dan Pahang seimbang kerana beraksi di padang berkecuali namun kita ada kelebihan hasil kemenangan 1-0 pada separuh akhir pertama dan kita akan turun habis-habisan untuk mencari gol lagi. Tiada corak bertahan sepanjang perlawanan itu," katanya.

Foto

NUNEZ (kanan) jadi taruhan Johor DT tempur benteng Tok Gajah.

Di sebalik buruan skuad Harimau Selatan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) untuk mengulangi kejayaan Johor ketika merangkul kejuaraan Piala FA musim 1998, perancangan taktikal ampuh dan formasi mantap menjadi penentu buat Fandi merealisasikan impian 15 tahun.


Sandaran memastikan langkah ke final tidak tersekat pastinya pada kelibat Norshahrul Idlan Talaha yang sudah meledak tujuh gol sepanjang kempen Liga Super dan Piala FA bakal dijadikan taruhan terbaik Harimau Selatan sambil dibantu Leonel Nunez menggempur benteng skuad Tok Gajah.

"Elak tambahan masa, itu yang saya harapkan kerana kita tidak mahu perlawanan berlanjutan 30 minit lagi. Paling utama pemain harus fokus dan elak membuat kesilapan mudah," kata Fandi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

Aib pertama negara

Posted: 31 May 2013 09:17 AM PDT

Kuala Lumpur: Malaysia menerima aib apabila tewas 3-4 kepada pasukan berstatus kelab China Liaoning Province pada perlawanan persahabatan ketiga di Stadium Hoki Bukit Jalil, semalam.

Meskipun sekadar perlawanan ujian, anak buah Paul Revington sepatutnya lebih serius dan memanfaatkan setiap peluang menjaringkan gol.


Malah Revington turut kecewa dengan persembahan anak buahnya kerana kekalahan itu sedikit-sebanyak menjejaskan rekod cemerlang skuad negara sejak di bawah kendaliannya.

"Tak banyak yang boleh saya katakan selain kecewa kerana pemain terlalu cuai.


"Kita bermula baik apabila mendahului 2-0 tapi mula hilang rentak dan setiap kali cuba bangkit, lawan beraksi lebih baik.


"Saya harap kekalahan ini memberi pengajaran kepada mereka dan bangkit pada perlawanan terakhir esok (hari ini)," katanya.

Skuad negara bermula baik apabila menjaringkan gol pertama seawal minit kelapan hasil pukulan penalti Faizal Saari.


Muhamad Amin Rahim menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Sun Zi Xin merapatkan jurang menerusi jaringan padang minit ke-28.

Ahmad Kazamirul Nasruddin menjaringkan gol ketiga pada minit ke-30 tapi selang seminit kemudian Yue Huang merapatkan jurang sekali gus babak pertama menyaksikan Malaysia mendahului 3-2.


China berjaya menambah dua gol lagi hanya dalam tempoh dua minit iaitu pada minit ke-56 dan minit ke-57 hasil sumbangan Long Sun dan Yang Dong.


Malaysia akan melengkapkan siri perlawanan persahabatan dengan China Liaoning hari ini. Dua perlawanan terdahulu menyaksikan skuad negara menang 2-1 dan 4-2.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/01
Kredit: www.hmetro.com.my

Jumaat, 31 Mei 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Fesyen wanita Islam tak statik

Posted: 31 May 2013 08:10 AM PDT

Kepelbagaian fesyen Muslimah seperti blaus labuh, kardigan, skirt, seluar, gaun dan jubah kini memenuhi keperluan wanita bertudung kala berfesyen.

Malah, ia diserlahkan dengan kombinasi tudung jenis selendang atau potongan baju berhud yang kian popular kini.

Bukan saja mudah digayakan, ia juga memberi kelainan terutama bagi mereka yang gemar menggabungkan beberapa warna tudung pada satu masa.

Itulah yang cuba diketengahkan butik Saraya Zahret bagi memastikan fesyen wanita Muslimah tidak hanya tertumpu pada satu bentuk pilihan statik.

Foto

MENYERLAH dengan gaya kombinasi top Raven merah jambu, skirt coco mid ruffles dan selendang Ari Jenna bercorak.

Foto

CERIA dengan padanan blaus hitam Leona bersama kardigan Hoodie MacKenzie dan selendang.

Foto

SANTAI anggun dengan top Fahrenheit berhud berserta skirt Laurelia kelabu dan tudung syria tube Boston.

Foto

ANGGUN bersama baju peplum Philomena dan skirt Phedra.


Menurut pemilik butik berkenaan, Suriyati Daman, konsep suai padan menjadi pilihannya untuk ditonjolkan kepada pelanggan.


Baginya, konsep ini bukan saja menjimatkan malah setiap ceraian pakaian yang digunakan boleh diberikan sentuhan baru yang lebih moden jika kena dengan pilihan gayanya.

"Tidak perlu berbelanja lebih semata-mata ingin mendapatkan fesyen diingini kerana jika diberikan sedikit penambahan dan pengubahsuaian, ia mampu menyerlahkan kelebihan penampilan dengan gaya tersendiri.

"Jika tudung boleh digayakan secara bersahaja, begitu juga dengan pakaian. Jika skirt sedia ada masih baru, kita boleh dapatkan kombinasi blaus terkini berserta kardigan, begitu juga sebaliknya," katanya.

Idea untuk menghasilkan rekaan sebegini timbul melalui pemerhatian iaitu dengan menggabungkan beberapa bentuk sedia ada bagi menghasilkan gaya baru yang lebih menarik dan unik.

Menurutnya, apa yang ingin ditonjolkan kepada pelanggan melalui rekaan fesyen dihasilkannya adalah suatu kelainan agar jenama ini memiliki identiti sendiri sekali gus memberikan kepuasan bagi mereka yang gemar berfesyen.

Selain itu, butik berkenaan turut menyediakan koleksi pakaian kanak-kanak melalui jenama Tweenkle Zahret. Untuk mereka yang ingin mendapatkan fesyen terkini pada harga ekonomi, ada pula jenama From Jenna To Jo.

Tidak ketinggalan disediakan rekaan terkini melalui rangkaian Fabulosity With Curves (FWC Zahret) untuk saiz berbeza daripada biasa.

Tip gaya:

  • Bagi mereka yang memiliki badan agak berisi, skirt yang digayakan perlu mengikut bentuk tubuh iaitu ketat di bahagian paha dan kembang di bawahnya.

    Untuk baju pula, pilihan baju labuh lebih sesuai kerana ia mampu menonjolkan ilusi ramping pada diri ketika bergaya.

  • Harus diingatkan pemilihan gaya berfesyen bukan sekadar mengikut trend terkini tetapi juga kesesuaian diri dengan padanan busana agar tidak kelihatan pelik.

    Terima kasih:

  • Butik Saraya Zahret Collection
  • G-11 Seri Bangi, Jalan 8/35 Seksyen 8, Bandar Baru Bangiw
  • Tatarias: Ajalm Bridal House
  • 45G, Jalan Pju 5/20E, The Strand Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor/ (03-61508836) / www.sarayazahret.com.
  • No A-1, Tingkat Atas, Bazar Mains, Jalan Dato' Abdul Rahman, Seremban (Facebook - Ajam Make Over) Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
  • Sasar 200 jenama pakaian

    Posted: 31 May 2013 07:26 AM PDT

    Dikenali lantaran aura dalam rekaan, kualiti serta tidak meninggalkan unsur tradisi dalam penghasilan busana, pereka muda berbakat besar Jovian Man–dagie melangkah ke hadapan dengan jalinan kerjasama bersama FashionValet.

    Kerjasama itu menyaksikan penghasilan pakaian sedia dipakai JLuxe berpotongan peplum yang sarat bersulam, baju kurung moden serta kebaya untuk wanita daripada semua golongan.

    Penggunaan fabrik polos nyata memberi kelebihan kepada Jovian kerana dia bijak menjalinkan sulaman serta manik pada bahagian tertentu seperti bahu, tangan dan dada sekali gus mencetuskan keanggunan tersendiri. Menggunakan fabrik bermutu seperti sifon dan renda, pereka ini menambah kemasan pada bahagian pinggang menerusi potongan peplum dipadankan skirt.

    Bagi membolehkan wanita daripada pelbagai bentuk tubuh menikmati koleksi yang mereka inginkan, setiap helaian didatangkan dalam ukuran daripada XXS sehingga XXL, antara RM380 hingga RM500.


    Untuk wanita Muslimah, pengenalan jenama JHijab antara tarikan kepada wanita bertudung kerana setiap selendang didatang–kan dalam pelbagai warna memikat.


    Antaranya rona pastel yang boleh disesuaikan dengan semua baju serta warna terang untuk mereka yang ingin tampil ceria. Setiap helaian berharga RM99 sama ada selendang mahupun tudung. Bagi menambah keceriaan, tudung bersulam manik memberikan keanggunan kepada wanita.

    FashionValet, kedai dalam talian terkenal untuk wanita kini memasarkan lebih daripada 200 jenama tempatan dan antarabangsa di rantau Asia Timur. Matlamat utama FashionValet adalah untuk menjadi platform bagi jenama tempatan meningkatkan diri mereka serta membolehkan pembeli mendapatkan baju berjenama pada harga berpatutan.

    JHijab kini berada dalam pasaran FashionValet sejak pertengahan Mei lalu.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Setempat

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Setempat


    Lemas dalam parit

    Posted: 30 May 2013 10:24 AM PDT

    Sungai Besar: Seorang wanita lemas selepas kereta Proton Wira dinaiki bersama adik dan iparnya terbabas dan terjunam ke tali air di Parit 5 1/2, di sini petang semalam.

    Mangsa, Hasiah Rashidi, 53, dipercayai gagal keluar dari kenderaan sebaik kereta itu terjunam manakala dua lagi mangsa dikeluarkan orang ramai yang melihat kejadian itu.


    Saksi kejadian Apai Ismail, 37, berkata, beberapa penduduk berusaha memberi bantuan pernafasan ke atas mangsa, tetapi gagal.

    Difahamkan, ketika kejadian jam 2 petang itu, mangsa yang berniaga roti canai di Kampung Binjai Jaya bersama adiknya Nazarudin Rashidi, 34, dan seorang lagi dikenali sebagai Iza, 24, dalam perjalanan ke Sungai Besar untuk membeli barang.


    Apai berkata, pada awalnya, mereka menyangka hanya dua orang terperangkap dalam kenderaan itu, namun sebaik adik mangsa dikeluarkan, dia memaklumkan kakaknya terperangkap dalam kereta itu. "Pada masa sama, beberapa penduduk membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap," katanya.


    Menurutnya, semua mangsa dikeluarkan penduduk kampung sebelum jentera bomba tiba beberapa minit kemudian.

    Foto

    KERETA mangsa terbabas ke tali air selepas hilang kawalan.

    Anak mangsa, Mohd Sani Mohd Zaini, 23, berkata, ibunya ada menunjukkan perubahan sebelum kejadian kerana menjadi pendiam dan sering melaksanakan tugasan tergesa-gesa. "Sebelum ini ibu seorang yang periang, tetapi sejak kebelakangan ini, arwah menjadi pendiam dan sentiasa muram. Pagi sebelum kejadian, arwah kelihatan tergesa-gesa ketika melakukan segala kerja seperti sudah tahu ajalnya akan tiba," katanya.


    Menurutnya, jenazah ibunya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Parit 16 Binjai Jaya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.


    "Siasatan awal mendapati kereta mangsa dipandu laju dan sebaik melalui selekoh di lokasi kejadian, pemandu hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terjunam ke dalam parit.


    "Tiga mangsa berada di dalam kereta itu dan dua daripadanya mengalami kecederaan ringan manakala seorang lagi meninggal dunia," katanya.


    Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk dibedah siasat dan sudah dituntut ahli keluarga petang semalam.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Rap

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Rap


    Advertorial: Lebih jahat, lebih berbahaya

    Posted: 30 May 2013 11:02 AM PDT

    Tanpa dijangka francais 'Fast & Furious' telah berjaya bertahan selama 12 tahun. Lebih menakjubkan, barisan pelakon yang terlibat dari filem pertama sehingga filem terbaru, 'Fast & Furious 6' masih dikekalkan.

    Bermula dengan Vin Diesel, Michelle Rodriguez, Paul Walker dan Jordana Brewster, keluarga 'Fast & Furious' berkembang untuk meliputi Eva Mendes, Tyrese Gibson dan Ludacris dari '2 Fast 2 Furious', Sung Kang ('The Fast and the Furious: Tokyo Drift'), Gal Gadot ('Fast & Furious') serta Dwayne Johnson dan Elsa Pataky ('Fast Five').

    Meskipun setiap mereka memiliki perwatakan yang berbeza namun keakraban mereka di luar dan dalam set amat menakjubkan. Sekaligus menjadi antara faktor utama yang memastikan terikatnya mereka dengan 'Fast & Furious'.

    Namun begitu, 'Fast & Furious 6' juga melihat pengenalan ahli-ahli baru bagi mengisi watak-watak antagonis yang bakal berentap kehebatan dan kebijaksanaan dengan krew yang diketuai Dominic Toretto. Jika sebelum ini, para hero kesayangan ramai dengan mudah menewaskan Johnny Tran, lakonan Rick Yune di dalam 'The Fast and the Furious' diikuti ketua pengedar dadah Carter Verone (Cole Hauser) dalam '2 Fast 2 Furious', Arturo Braga (John Ortiz) dalam 'Fast & Furious' dan Herman Reyes (Joaquim de Almeida) 'Fast Five', mereka dikatakan bakal bertemu saingan terhebat mereka iaitu Owen Shaw, seorang bekas askar elit Special Forces.


    Pengarah Justin Lin berkongsi, salah satu alasan dia ingin mengarah 'Fast & Furious 6' kerana mahu mereka satu watak penjahat yang mempunyai falsafah bertentangan dari Dominic. Jike Dominic seorang yang membuat keputusan berdasarkan nalurinya, Shaw pula bergantung pada analisis. Di pertemuan pertama mereka, Shaw memaklumkan kelemahan utama Dominic adalah keluarganya dan ia bakal menyumbang kepada kejatuhannya.


    Buat Luke Evans yang juga peminat siri filem 'Fast & Furious', tawaran untuk membawa watak Shaw terus diterima tanpa ragu-ragu, lebih-lebih lagi peluang bersemuka dengan Vin Diesel di layar perak.

    Bagi membantu melaksanakan misinya, Shaw telah merekrut Letty Ortiz (Michelle Rodriguez), Jah (pelakon Indonesia Joe Taslim yang menempa nama melalui filem 'The Raid'), Klaus (pelakon Denmark Kim Kold yang memiliki ketinggian 6' 4"), Firuz (Thure Lindhardt), Denlinger (Samuel Stewart), Vegh (Clara Paget), Adolfson (Benjamin Davies), Oakes (Matthew Stirling) dan Ivory (David Ajala).

    Saksikan sendiri pertarungan sengit di antara Dominic dan Shaw di pawagam hari ini!

    Sudah merasai kehangatan Fast & Furious 6? Klik disini & menangi hadiah yang menarik! Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

    Inspirasi kembara

    Posted: 30 May 2013 05:13 AM PDT

    Kali terakhir, band Estranged muncul dengan album penuh ialah menerusi Remain Unknown, empat tahun lalu. Menyusul selepas itu, mereka muncul dengan single demi single iaitu Pengganti, Borneo dan Baru yang turut mendapat sambutan hangat di corong radio.

    Justeru, selepas sekian lama tiada produk baru, kumpulan yang popular dengan lagu Itu Kamu, Aurora dan pernah mengungguli kategori Lagu Terbaik pada Anugerah Juara Lagu (AJL) 2008 kembali mengubat kerinduan peminat setia menerusi bingkisan terbaru yang juga album ketiganya berjudul Anugerah Hidup.

    Ternyata, kelembapan pasaran album ketika ini bukan penghalang buat mereka muncul dengan album terbaru sekali gus merancakkan lagi persada muzik tanah air. Kumpulan ini sepakat menamakan judul album terbaru sebagai Anugerah Hidup yang membawa makna lebih positif berbanding album terdahulu.

    Menurut jurucakap kumpulan ini, Azwin Andy atau lebih dikenali sebagai Andy, 30 (pemain dram), mereka sanggup mengambil risiko untuk membuat album penuh buat kepuasan diri dan peminat yang tidak pernah jemu memberikan sokongan.

    Foto

    Estranged janjikan yang terbaik pada malam final Versus 2.


    "Lebih menarik, album baru ini menampilkan sisi berbeza Estranged di mana rangkaian lagu yang dimuatkan juga mengambil inspirasi daripada pengembaraan mereka ke serata pelusuk tempat, sejak dua tahun lalu.


    "Lagu Borneo yang dimuatkan dalam album ini terhasil ketika kami menjayakan rakaman program Ekspresi Kembara ke Gua Mulu dan Langkawi, baru-baru ini. Ia menceritakan keindahan alam semula jadi dan manusia di sekelilingnya.

    "Terus terang, kami banyak dapat inspirasi buat lagu dalam album ketiga ini dari pengembaraan ke kawasan pedalaman hingga ke Tambunan, Sabah. Mungkin kami merancang untuk mengembara ke Eropah atau Afrika pula untuk album keempat nanti," katanya.

    Andy berkata demikian ketika ditemui di sesi fotografi yang diatur RAP di Studio Balai Berita, baru-baru ini. Selain Andy, kumpulan ini dianggotai tiga lagi pemuzik berbakat besar iaitu Solihuddin Hormat (Din Hormatov/ gitar rhythm ), 29; Nor Hanafi Noor Hadi (gitar utama), 31 dan Richael L Gimbang (Rich/ vokalis), 31.

    Ditanya kenapa mereka mengambil masa agak lama untuk menghasilkan album ketiga itu, kata Andy, sebenarnya proses pembikinan untuk mencari bahan album ketiga itu sudah pun bermula sejak 2009.

    "Bagi mencari idea segar, kami turut mencari idea dengan 'bertapa' di Sabah untuk menghasilkan beberapa lagu yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Keputusan untuk mengembara ke sana kerana kami berasa kekeringan idea dan ingin menulis lagu di kawasan yang tenang dan jauh dari kesesakan bandar.

    "Rich juga mencadangkan kami melawat ke tempatnya di Tambunan tetapi saya tidak turut serta cuma dia, Hanafi dan Din saja yang pergi ke sana.

    "Banyak kesan positif apabila transisi pemandangan dari bangunan berbatu dan kesesakan lalu lintas yang penuh dengan manusia dan kereta bertukar menjadi jalan yang sunyi, hutan di atas gunung ganang, padang yang luas dan udara yang segar sepanjang perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tambunan itu.

    "Di Tambunan, kami kerap pergi ke tepian sungai untuk menulis lagu kerana tiada orang lain dan cuma kami bertiga, sungai dan keindahan alam. Ia memang memberi inspirasi yang berlainan. Lagu yang dapat adalah Bebas, Ruang Udara dan Nyata. Ia turut dimasukkan dalam album Anugerah Hidup," katanya.

    Bercerita lanjut mengenai kekuatan album ketiga yang memuatkan sepuluh lagu itu, kata Andy, ia banyak menterjemahkan kematangan ang­gota Estranged.

    "Kami sudah banyak berubah dari segi peribadi dan karier, sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Album ini juga menunjukkan personaliti kami yang berlainan berbanding album terdahulu. Ia lebih santai dan mesej yang disalurkan lebih menyentuh aktiviti kehidupan kita.

    "Lapan lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah dalam bahasa Melayu dan dua saja dalam bahasa Inggeris. Kami turut memasukkan sebuah lagu saduran dengan gubahan baru iaitu Linger yang pernah dipopularkan The Cranberries," katanya.

    Sudah bersedia untuk final Versus 2

    BERSANDARKAN nama besar dan pengalaman luas dalam bidang muzik, pembabitan Estranged yang pernah diangkat dalam kategori Pop/Rock dan Lagu Terbaik (Itu Kamu), Anugerah Juara Lagu ke-22 dalam program realiti Versus 2 ketika ini tidak harus dipandang ringan. Namun kata vokalisnya Rich, mereka tidak mahu terlalu yakin untuk menewaskan empat kumpulan lain yang bertanding pada peringkat akhir Versus malam ini (Jumaat) iaitu Kyoto Protocol, Kristal, Manifesto dan Oh Chentaku.

    "Saya percaya semua band yang bertanding memiliki kelebihan tersendiri. Band yang paling memberi saingan sengit pada kami ialah Kyoto Protocol dan Manifesto.

    "Apa yang penting, kami ingin menimba ilmu dan menonjolkan kreativiti dalam program unik ini. Memang kami masuk program ini untuk menang tapi kalah atau menang soal kedua kerana yang penting, kami mahu bergembira setiap kali muncul di pentas dan menyampaikan lagu yang digubah mengikut cara sendiri.

    "Kami tetap berdepan dengan tekanan untuk memberikan yang terbaik pada tugasan yang diberikan setiap minggu. Pada mulanya, kami agak susah mengikut rentak pertandingan ini tapi selepas minggu ketiga, baru kami dapat sesuaikan diri.

    "Paling mencabar kami dalam Versus 2 adalah untuk keluar dari zon selesa tapi kami tetap menjanjikan yang terbaik malam ini," katanya. Final Versus 2 akan berlangsung jam 9.30 malam di Space U8, Shah Alam.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: Global

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: Global


    Islam dijangka 'tawan' Britain

    Posted: 30 May 2013 08:53 AM PDT

    London: Ratu Elizabeth adalah pelindung agama Kristian dan paderi kanan England mempunyai tempat di Parlimen Britain.

    Bancian pada 2011 juga menunjukkan 33.2 juta penduduk di England dan Wales menganggap diri mereka penganut Kristian.

    Di sebalik hakikat itu, realitinya adalah berbeza jika melihat kepada sambutan orang ramai kepada rumah ibadat di negara berkenaan.

    Pada setiap pagi minggu, sambutan orang ramai di Gereja St George-In-The-East di Jalan Cannon Street dan Gereja St Mary's di Jalan Cable amat hambar.

    Foto

    MASJID (gambar kiri) di Jalan Brune, Spitalfields melimpah ketika solat Jumaat diadakan manakala hanya 20 orang hadir ke upacara keagamaan di Gereja St Mary.


    Hanya beberapa ratus meter dari situ, ada sebuah masjid di kawasan kediaman Jalan Brune, Spitalfields, yang melimpah dengan pengunjung ketika solat Jumaat dijalankan.


    Jika dibuat perbandingan jumlah pengunjung, ia tentu menampakkan perbezaan yang lebih dramatik.

    Di Gereja St George, kurang daripada 15 pengunjung hadir untuk meraikan sambutan Holy Communion.

    Ketika gereja itu dibina pada awal abad ke-18, ia direka untuk memuatkan sehingga 1,230 orang.

    Jumlah yang sama disediakan di Gereja St Mary yang mula dibuka sejak Oktober 1849.

    Ketika jurugambar mengunjungi gereja itu, ia hanya dihadiri kira-kira 20 orang.

    Keadaan berbeza sama sekali di masjid di Jalan Brune yang menghadapi 'masalah' sendiri akibat dikunjungi orang ramai.

    Masjid itu sendiri asalnya adalah ruang kecil yang disewa untuk dijadikan pusat komuniti dan sesuai diisi kira-kira 100 orang.

    Namun setiap Jumaat, jumlah pengunjungnya meningkat tiga atau empat kali ganda, menyebabkan mereka terpaksa mendirikan solat di jalan raya.

    Berdasarkan perkembangan itu, pemerhati berkata, Kristian bakal menjadi 'agama silam' dan orang ramai lebih tertarik kepada Islam.

    Dalam tempoh 10 tahun lalu, berlaku penurunan jumlah penduduk England dan Wales yang mengaku menganut Kristian, daripada 71.7 peratus kepada 59.3 peratus daripada keseluruhan populasi.

    Bagi tempoh sama, jumlah penganut Islam di situ juga meningkat daripada tiga peratus daripada populasi keseluruhan menjadi 4.8 peratus atau 2.7 juta orang.

    Jika pecahan dibuat mengikut kumpulan usia, separuh daripada penganut Islam di situ berusia kurang 25 tahun, manakala hampir suku penganut Kristian menghampiri usia 80 tahun.

    Dianggarkan dalam tempoh 20 tahun, lebih ramai penganut Islam berbanding Kristian. Satu keadaan yang tidak pernah difikirkan oleh sesiapa kira-kira 50 tahun lalu. - Daily Mail

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30

    Maut dikelilingi ular peliharaan

    Posted: 30 May 2013 08:37 AM PDT

    Berlin: Pencarian polis untuk mengesan seorang lelaki yang hilang berakhir dengan kejutan apabila mereka menemui mayatnya dikelilingi 40 ular, lapor media semalam.

    Kebanyakan reptilia itu - termasuk seekor anakonda sepanjang sembilan meter dan empat ekor ular sawa 10.5 meter - berlingkaran di sekitar mayat reput itu.


    Jurucakap bomba di bandar Straubing berkata, mayat lelaki itu ditemui di apartmen di Heiko Rieder.

    "Sekurang-kurangnya seekor daripada ular itu sebesar paha orang dewasa," katanya.


    Sebelum itu, polis dimaklumkan mengenai kehilangan lelaki terbabit apabila dia tidak hadir bekerja selama seminggu.


    Jurucakap polis berkata, lelaki berusia 40-an itu dipercayai mati akibat serangan jantung ketika memberi makan ular peliharaannya.

    "Dia bernasib baik kerana badannya terlalu besar untuk ditelan ular berkenaan," katanya. Pakar reptilia pula berkata, ada dua sebab mengapa ular itu tidak memakan tuannya.


    "Pertama, ular itu lebih gemar memakan mangsa yang hidup, dan kedua, lelaki terbabit terlalu besar untuk ditelan sekaligus," katanya. - The Sun

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/30
    Kredit: www.hmetro.com.my

    Harian Metro: BeritaUtama

    0 ulasan
    Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
    Sumber Asal Berita :-

    Harian Metro: BeritaUtama


    Enam lagi mangsa bot karam selamat

    Posted: 30 May 2013 11:00 AM PDT

    BELAGA: Lima lagi mangsa bot ekspres Kawan Mas yang karam di Tanjung Giam Bungan, Sungai Rajang di sini, Selasa lalu, yang disenaraikan hilang sebelum ini ditemui selamat dan sudah balik ke rumah panjang masing-masing.

    Mereka dikenali sebagai Anuar Margaret, Mejerin Bantan, Ricky Sunus, Welson Lat dan Wesly Belaja Nelson.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga, Liwan Lagang, berkata semua yang terselamat itu sudah membuat laporan di Balai Polis Kapit, semalam.

    Dua lagi iaitu Akong Empam dan Hendry Linggi juga sudah disahkan selamat dan sudah berada di kediaman masing masing.

    Foto

    PASUKAN mencari dan menyelamat di Sungai Belaga, semalam.


    Berikutan itu, hanya lima lagi yang disenaraikan hilang iaitu Ejang Nabau, Maurice Ajan, Simon Patrick, Roslin Jati serta seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Paulus.


    Sementara itu, mayat seorang mangsa bot karam ditemui dua kilometer dari tempat kejadian, pagi semalam.

    Mayat mangsa, Tujok Lah, 44, yang berasal dari Nanga Merit, Kapit, ditemui terapung berhampiran rumah panjang Uma Tevok oleh penduduk kampung dan pasukan mencari serta menyelamat pada jam 7 pagi.

    Pegawai Medan Operasi yang juga Ketua Polis Daerah Belaga Deputi Superintendan Bakar Sebau berkata, mayat berkenaan kini dihantar ke Klinik Kesihatan Belaga untuk bedah siasat.

    "Itu mayat pertama yang kita jumpa setakat ini dan ahli keluarga mangsa sudah pun dimaklumkan mengenai penemuan itu," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

    Katanya, setakat ini operasi mencari mangsa lain yang dilaporkan hilang diteruskan pasukan penyelamat, sementara menunggu tongkang yang mempunyai kemudahan kren tiba di lokasi kejadian.

    "Apa yang boleh saya katakan setakat ini, 191 mangsa bot karam itu selamat dan lima belum ditemui. Ini maklumat rasmi yang kita terima setakat ini sehingga jam 10.20 pagi ini," katanya.

    Bakar mengingatkan penduduk di sepanjang pinggir Sungai Rajang supaya mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan air dari empangan hidroelektrik Bakun dilepaskan untuk menaikkan paras sungai.

    Langkah itu, katanya, perlu untuk memudahkan kerja mengangkat bot ekspres karam itu selain memudahkan pemeriksaan sama ada terdapat mayat yang terperangkap di dalamnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31

    'Siapa buat adik macam ni?'

    Posted: 30 May 2013 11:00 AM PDT

    Melaka: "Arwah sempat mengajak saya berbuka puasa bersama, malah sebelum keluar mengaji, dia salam saya dan mencium ibunya berulang kali tidak seperti kebiasaan."

    Begitu kata Mohamad Sahak, 58, bapa Aimi Hamizah, 14, yang ditemui mati dalam semak di kawasan pembuangan sampah berhampiran tanah lapang di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek, di sini, malam kelmarin.

    Mayat pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Molek yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu itu dipercayai menjadi mangsa bunuh sebelum ditemui sekumpulan remaja yang bermain bola di kawasan berhampiran.

    Mohamad berkata, sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu berjalan untuk mengaji di sebuah rumah kira-kira 200 meter dari rumah mereka pada jam 7.40 malam.

    Foto

    ANGGOTA polis memeriksa tempat mayat arwah ditemui.

    Foto

    JENAZAH arwah dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.


    "Kebiasaannya arwah pulang jam 9 malam, namun pada malam kejadian sehingga jam 10 malam, arwah masih tidak muncul sebelum saya mencarinya di tempat mengaji.

    Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/31
    Kredit: www.hmetro.com.my
     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved