Khamis, 6 Jun 2013

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Bintang Syurga susuri Erti Cinta

Posted: 05 Jun 2013 03:56 PM PDT

Walaupun sudah membuktikan dirinya seorang pelakon hebat dengan pencapaian meraih pelbagai anugerah dari dalam serta luar negara, cinta Maya Karin Roelcke terhadap nyanyian tidak pernah padam.

Apatah lagi, pernah menghasilkan dua album iaitu Erti Cinta dan Bukan Qalamaya sebelum ini, Maya memaklumkan muzik dan nyanyian adalah cinta pertamanya. Jadi, sampai bila-bila pun ia takkan pudar.

Pun begitu, kesibukan Maya yang nyata lebih menonjol di pentas lakonan membuatkan namanya kelihatan tenggelam dalam bidang nyanyian. Hingga kini, sudah hampir 10 tahun karier nyanyian Maya menyepi.

Namun, tiada apa yang mampu diucapkan aktres jelita ini melainkan kesyukuran tak terhingga ke hadrat Ilahi apabila dia dilamar syarikat rakaman ternama Warner Music Malaysia.

Foto

MAYA kini bernaung sebagai artis di bawah Warner Music Malaysia.


Bukan hanya bersandarkan kontrak lima tahun Maya berserta tiga album penuh dijanjikan tetapi apa yang lebih utama keseluruhan perihal karier Maya turut diuruskan oleh Warner Music.


Maya ketika ditemui pada majlis pradengar single terbarunya, Bintang Syurga ciptaan Omar K dan Audi Mok di Hotel Palace of the Golden Horses berkata, dia gembira kerana dapat membuat keputusan yang betul.

"Saya sekadar melihat ke arah lebih positif untuk memantapkan karier seni yang sudah dibina sejak 2000. Apatah lagi, selepas pelbagai onak duri pernah dilalui membuatkan saya semakin matang.

"Menyertai Warner Music sebagai artis naungan mereka, secara tidak langsung membantu menyinarkan semula karier nyanyian saya yang sudah agak lama ditinggalkan.

"Kini, di bawah label syarikat besar dan ternama, saya semakin yakin karier nyanyian yang agak lama menyepi itu kembali dapat dikongsikan bersama peminat saya semula," katanya.

Mengulas mengenai tanggungjawab dan kepercayaan sangat besar diberikannya kepada Warner Music yang turut bertindak menguruskan sepenuhnya karier seni Maya, dia berkata, sudah tiba masanya berbuat demikian.

"Biarpun sekarang saya sudah berada pada tahap yang tersendiri dengan pelbagai pencapaian diraih, sebenarnya ia lebih membuatkan jadual saya semakin sibuk.

"Justeru, dengan kesibukan itu serta ditambah jadual yang terlalu padat membuatkan saya terlalu letih untuk menguruskan semuanya sendiri lagi.

"Oleh itu, saya mengambil keputusan menyertai Warner Music demi memastikan perjalanan karier seni yang sudah sekian lama dibina ini sentiasa lancar," kata.

Ujar pelakon berusia 33 tahun itu tanpa berselindung, dia sudah tidak mampu untuk menguruskan kerjaya seninya sendiri dan sangat memerlukan khidmat pembantu. Kata wanita kacukan Melayu-Jerman ini lagi, sekarang menerusi syarikat pengurusan dinaunginya, ia pasti lebih memudahkan pihak ketiga yang ingin berurusan dengannya kerana tidak perlu menunggu jawapan agak lama.

"Melalui Warner Music yang mewakili saya, ia sudah tentu lebih melancarkan setiap perbincangan di antara kami. Saya juga boleh membuat keputusan segera.

"Selain itu, dengan kerjasama saya dan Warner Music ini pelbagai strategi mula diaturkan untuk mengukuhkan lagi nama saya dalam industri seni tempatan dan antarabangsa," katanya.

Apa yang pasti, Maya juga memaklumkan keputusan diambilnya itu turut berkait rapat dalam usaha memberikan lebih banyak ruang dan masa kepada kehidupan peribadinya.

Dari segi lakonan, Maya akan muncul dalam beberapa filem baru pada tahun ini dan tahun depan, antaranya Sejoli, Lagenda Budak Setan 3 dan Jwanita. Sebelum Maya pernah membintangi Anak Halal, Duyung, Pontianak Harum Sundal Malam, Pisau Cukur, 1957: Hati Malaya, Waris Jari Hantu dan Ombak Rindu.

Enggan dedah buah hati terbaru

Hampir empat tahun menjalani kehidupan solo selepas gagal dalam rumah tangga dibina bersama jejaka Inggeris, Muhammad Ali atau nama sebenarnya, Steven David Shorthose pada 2010, Maya tidak serik bercinta lagi.

Buktinya, dia tanpa berselindung kepada media memaklumkan kini dirinya dalam proses mengenali hati budi seorang lelaki.

"Cuma, hubungan kami masih baru dan dalam peringkat awal lagi. Jadi, cukuplah hanya saya kini sedang mengenali seseorang.

"Kami juga sudah lama berkenalan tetapi masih baru lagi dalam fasa percintaan. Justeru, belum masanya juga lagi untuk berbicara lanjut mengenainya," katanya.

Mengakui sudah tiba masanya untuk dia membuka hati bagi menerima satu hubungan baru, Maya bagaimana pun berkata, biarlah hubungan dijalinnya itu berkembang secara perlahan-lahan.

"Selepas apa yang pernah saya lalui sebelum ini pada kegagalan lalu, saya sudah tidak mahu terlalu berharap serta cepat menaruh impian tinggi.

"Bagi saya, jodoh pertemuan adalah ketentuan Tuhan dan biarlah semua itu berjalan mengikut apa yang sudah diaturkan untuk saya. Saya tidak mahu terburu-buru.

"Lagi pun sekarang saya lebih selesa berpandangan positif dalam semua perkara termasuklah soal jodoh ini. Sebagai manusia biasa, saya yakin ketentuan Ilahi," katanya.

Apapun, akui Maya yang akan muncul dengan album baru di pasaran sekitar penghujung tahun ini, dia sebenarnya memerlukan lelaki yang cerdik, memahami dan berdikari. Tetap mempertahankan 'rahsia' gerangan cinta hatinya, Maya bagaimanapun memberitahu lelaki itu juga orang dalam industri hiburan dan mereka juga menjalani hubungan jarak jauh.

Selain Maya, hadir sama pada sesi pradengar single Bintang Syurga itu ialah Omar K selaku penerbit dan Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'20 tahun masih sama'

Posted: 05 Jun 2013 03:52 PM PDT

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim sukar membayangkan perubahan positif dalam landskap bolasepak negara ini.

"Mungkin 20 tahun daripada sekarangpun, kita akan hadapi kemelut sama. Kita lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di sini tapi mengabaikan pembangunan bakat baru di kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bolasepak negara," menurutnya dalam satu kenyataan semalam.


Tambahnya, ketika dikenakan tindakan penggantungan selaku presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), beliau dimaklumkan tiada siapapun berada di atas undang-undang dengan segala hukuman dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM. "Tetapi dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim (separuh akhir Piala FA), hukuman dijatuhkan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan. Kita juga tidak diberikan ruang untuk membuat sebarang rayuan atas denda itu. "Pada saya, ini bukan soal kewangan tapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan bolasepak. Ini jelas menunjukkan FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya," katanya yang digantung enam bulan oleh FAM sebelum ini.

Tunku Ismail berkata, beliau pernah menyuarakan mutu pengadil yang menyebabkan dirinya didenda dan digantung dengan ramai turut menerima nasib sama.


"Mengapa tidak boleh menyuarakan pendapat dan memberi pandangan? Isu penting dalam bolasepak negara harus diberi perhatian dan diketengahkan. "FAM tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat atau pandangan. Bagaimana saya hendak memberi pandangan dan berkongsi pendapat berkenaan hal penting.


"Saya sudah menulis surat kepada FAM termasuk surat berkaitan mutu pengadilan namun tidak mendapat maklum balas. Saya menyuarakan pendapat saya kepada media kerana rakyat Malaysia berhak mengetahui situasi sebenar. "Bolasepak bukan entiti persendirian milik mana-mana individu, ia untuk semua lapisan rakyat." Tunku Ismail mendedahkan, PBNJ kelmarin menerima satu surat amaran supaya tidak membuat lagi sebarang kenyataan media mengkritik FAM.

Foto

PENYOKONG Johor DT sentiasa beri sokongan kepada Tunku Ismail.

"FAM hendaklah tidak mengambil kesempatan untuk mengenakan denda kepada PBNJ bagi kenyataan ini, kerana saya mengeluarkannya sebagai Tunku Mahkota Johor dan bukannya selaku presiden PBNJ yang digantung.


"Kenyataan ini bukan bertujuan membelakangkan mana-mana individu atau persatuan bolasepak tapi untuk mengetengahkan isu penting dalam bolasepak tempatan. Sekiranya FAM merasakan perlu mengenakan denda terhadap saya, saya akur.

"Ada yang menasihati saya supaya bertanding untuk jawatan dalam FAM tapi saya ingin menegaskan, saya tidak berminat terhadap sebarang jawatan dalam FAM. "Saya akan mengutamakan Johor dan kerana itu saya tidak layak memegang sebarang jawatan dalam FAM. Saya melakukan semua ini hanya kerana cinta terhadap sukan bolasepak," katanya yang turut mahu pemegang jawatan FAM telus dan adil.


Tunku Ismail turut menyentuh mengenai bayaran RM15,000 kepada pasukan tuan rumah daripada siaran langsung perlawanan bolasepak oleh Astro namun beliau memaklumkan belum melihat satu senpun daripada hasil itu hingga kini.


"FAM sepatutnya berterima kasih kepada Johor kerana menjadikan arena bolasepak tempatan lebih menarik dan meriah. Setiap perlawanan membabitkan Johor DT mendapat sambutan di stadium dan televisyen. "Syabas juga diucapkan kepada Kelantan, Selangor, ATM dan pasukan lain kerana menambah baik landskap bolasepak tempatan."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06

Stefanus menang anugerah AFP

Posted: 05 Jun 2013 10:58 AM PDT

Jakarta: Wartawan Indonesia, Stefanus Teguh Edi Pramono memenangi Hadiah Kate Webb anjuran Agence France-Presse (AFP) untuk laporannya mengenai perang saudara di Syria dan perniagaan dadah di Jakarta, umum Yayasan AFP semalam.

Stefanus, 31, menulis untuk Tempo, kumpulan media dihormati yang melonjak masyhur dengan laporannya yang berani ketika pemerintahan diktator Indonesia Suharto yang melebihi tiga dekad. "Saya bukan orang yang berani, saya sentiasa ketakutan ketika berada di Syria dan di Jakarta Barat (untuk cerita dadah), tetapi ia sesuatu yang perlu saya lakukan," katanya dari Jakarta.


Hadiah Kate Webb dilancarkan pada 2008 sebagai memperingati koresponden AFP di Asia yang menyemarakkan laluan untuk wanita dalam kewartawanan antarabangsa.

Hadiah itu mengiktiraf kerja luar biasa dihasilkan wartawan tempatan Asia yang bertugas dalam keadaan amat sukar dan berbahaya.


Stefanus bakal menerima wang 3,000 euro (RM12,088).


"Stefanus adalah wartawan muda yang sangat bersemangat untuk mendedahkan cerita penting walaupun ia bermakna mempertaruhkan nyawanya berdepan kecederaan atau serangan," kata Pengarah Rantau Asia Pasifik AFP, Gilles Campion.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/06
Kredit: www.hmetro.com.my

Rabu, 5 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Popular di luar negara

Posted: 05 Jun 2013 06:54 AM PDT

Seunik namanya, begitulah juga pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelanggan pusat dobi merangkap kafe, Wash Ur Gossips, yang terletak di kawasan perindustrian Seksyen 15, Shah Alam.

Bukan sekadar mencuci pakaian menggunakan mesin basuh layan diri, pelanggan juga boleh mengisi masa dengan menjamu selera, melayari Internet, membaca majalah atau sekadar minum bersama rakan di kafe dalam premis yang sama, sambil menunggu cucian mereka selesai dalam tempoh 40 minit.

Lebih menarik, harga cucian layan diri yang ditetapkan juga jauh lebih murah berbanding dobi tradisional iaitu hanya RM6 untuk satu cucian menggunakan mesin muatan sembilan kilogram.

Dibuka pada Jun tahun lalu sebagai sebahagian perniagaan keluarga, Wash Ur Gossips menggunakan konsep kafe dobi yang diterapkan di beberapa negara maju seperti Australia dan New Zealand.

Foto

WASH Ur Gossips berkonsepkan kafe dobi menarik perhatian pelanggan.

Foto

RUANG dalam premis yang teratur dan cantik.

Foto

PEKERJA tekun menyeterika pakaian pelanggan.


Pengarah Operasi Danmal Resources, Ranie Hamdan, yang menguruskan pusat kafe dobi berkenaan bersama ayahnya berkata, ia adalah perniagaan pertama keluarganya.


Keluarga memilih untuk menjalankan perniagaan berkenaan selepas mengambil kira pengalaman ayahnya, Danny Hamdan Zulkifli, 57, yang pernah berkecimpung selama 30 tahun dalam industri perhotelan.

"Kami juga memilih konsep kafe dobi kerana walaupun popular di luar negara, ia masih belum ada lagi di Malaysia. Kami berpendapat sekiranya perniagaan jenis ini berjaya di luar negara, tentu ia juga boleh berjaya di negara ini," katanya.

Namun disebabkan sudah terbiasa dengan cara tradisional, masih ada pelanggan yang meninggalkan baju mereka di kafe dobi itu dan datang pada hari lain untuk mengambilnya biarpun tahu pusat berkenaan menawarkan perkhidmatan dengan konsep layan diri.

Pun begitu, pihaknya tidak menolak jika ada pelanggan yang mahukan perkhidmatan penuh atau dobi tradisional, tetapi caj yang dikenakan berbeza iaitu RM2 untuk setiap kilogram pakaian. Malah, kafe dobi itu turut menjalankan perkhidmatan cucian kering dan seterika pakaian.

Bagaimanapun menurut Ranie, dia sering mendidik dan menggalakkan pelanggan supaya menggunakan mesin layan diri bagi mendapat faedah dari segi harga selain mendedahkan mereka dengan konsep baru pusat dobi yang popular di negara maju.

Menyediakan talian Internet secara percuma, Wash Ur Gossips disasarkan kepada golongan pelajar di awal usia 20-an, mereka yang baru berkahwin sehingga kepada golongan pekerja dalam lingkungan 40-an.

Malah dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, ruang baca yang disediakan juga sentiasa dikemas kini dengan bacaan terbaru supaya pelanggan mempunyai lebih pilihan bersantai di kafe dobi berkenaan.

Sejak beroperasi hampir setahun lalu, sambutan yang diterima ternyata menggalakkan. Malah ramai kalangan pelanggannya sering berulang menghabiskan masa di kafe dobi berkenaan.

Konsep, susun atur dan pemilihan warna semuanya dilakukan sendiri oleh keluarga Danny Hamdan. Warna biru dipilih kerana ia menggambarkan kebersihan, sesuai dengan aliran perniagaan mencuci pakaian.

Sementara itu, Danny Hamdan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Danmal Resources berkata, biarpun terletak ­dalam satu premis, mesin basuh yang ada tidak ­berbunyi atau boleh mengganggu ketenteraman pelanggan.

Ia juga dipisahkan oleh dinding kaca bagi menampakkan premis kelihatan lebih kemas, tersusun dan menarik. Keadaan itu menjadikan premisnya unik dan sekali gus menarik pelanggan untuk masuk dan melihat apa yang ditawarkan.

Dia menggunakan sepenuhnya ruang kedai yang ada termasuk turut menjual koleksi tudung di situ bagi pelanggan yang berminat. Ini kerana menurutnya, dalam zaman ini yang mana orang semakin sibuk dan sering tiada masa mencukupi, semua orang mahu melakukan sesuatu perkara dengan pantas.

"Malah mereka juga boleh menikmati pelbagai menu lazat di sini, sama ada tempatan atau Barat. Makanan yang disediakan juga pada harga berpatutan malah kebanyakan menu yang ditawarkan adalah hasil maklum balas pelanggan.

"Antara menu yang popular dan sering mendapat permintaan adalah telur dadar, salad, pencuci mulut banana pillows dan sup cendawan yang dihasilkan daripada empat jenis cendawan," katanya.

Lebih menarik, Danny Hamdan dan anaknya turut beramah mesra dengan pelanggan malah pelanggan boleh memberi apa saja komen atau berkongsi idea dengannya. Ini kerana dia percaya hubungan baik antara pengusaha dan pelanggan menjadi kunci kejayaan sesuatu perniagaan.

Bukan sekadar tempat melepak atau mencuci pakaian, Wash Ur Gossips turut menyediakan pakej perkhidmatan bagi pelbagai acara yang boleh diadakan di premisnya yang boleh memuatkan 40 orang pada satu masa.

Golongan pelajar juga mendapat keistimewaan kerana mereka menerima potongan harga sebanyak 20 peratus untuk makanan yang dibeli di kafe sekiranya menunjukkan kad pelajar ketika membuat pesanan.

"Kami juga ada pelbagai promosi dan setiap tiga bulan, promosi berbeza akan diadakan. Semuanya kami uar-uarkan di ruang Facebook kami iaitu WashUrGossips," katanya.

Malah, dia tidak menolak sekiranya ada yang berminat untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan itu di kawasan mereka namun mereka perlu mengekalkan konsep yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

Hijabers: Sentuhan Islamik

Posted: 05 Jun 2013 06:46 AM PDT

Sebagai Muslimah, Risti Rahmadi yang bekerja sebagai penganjur acara di Indonesia, memakai tudung, mengenakan gincu halal dan sentiasa peka pada waktu solat apabila aplikasi yang dimuat turun dalam telefon BlackBerry miliknya, melaungkan azan lima kali sehari.

Ketika di awal usia 20-an, wanita yang kini menginjak usia 37 tahun itu, sanggup berjimat cermat untuk membolehkannya membeli keluaran terbaru pakaian berjenama Guess dan mekap Revlon. Namun, kini dia hanya membeli produk yang menunjukkan dia bangga menjadi Muslimah Indonesia, malah dia juga berharap mampu mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara yang sama.

Dia adalah ahli Komuniti Hijabers iaitu satu rangkaian perniagaan yang membabitkan wanita Islam. Ini juga sebahagian ledakan pasaran pengguna yang berebut untuk berkongsi pasaran dengan syarikat Barat yang mengambil kesempatan daripada pertumbuhan kukuh di Indonesia.

"Pada pandangan saya, Indonesia sudah menjadi terlalu kebaratan. Generasi muda Indonesia menghabiskan kebanyakan masa mereka di pusat beli-belah dan lupa menunaikan solat," kata Risti, sambil mengatakan perniagaannya semakin menarik minat pelanggan yang mahu menganjurkan acara bersifat Islamik, sejak dia menyertai komuniti Hijabers.

Foto

RENY berdiri di hadapan kedainya.

Foto

SEORANG wanita Indonesia mengenakan gincu halal di kedai Wardah, jenama Islam di negara itu.


Ramai kini yang berkongsi pandangan dengan Risti yang mengajak pelanggan membeli barangan Islamik di mana ia mempunyai mesej lebih mendalam, bukan sekadar tabiat membeli-belah. Ia ada kaitan dengan memerangi arus peningkatan pengaruh Barat yang mengancam untuk menghakis nilai Islam tradisional.


Mereka melihat kepenggunaan Barat mempunyai kaitan rapat dengan gejala sosial yang diimport daripada pergaulan seks bebas kepada pengambilan alkohol yang semakin meningkat dan percaya kepenggunaan Islam boleh menjadi pengimbang.

Antara produk Islam yang laris di pasaran negara itu dan membawa banyak keuntungan adalah pendakwah selebriti yang membuat siaran langsung hinggalah ke RomantISLAM, satu perkhidmatan pesanan ringkas yang memberi nasihat berkaitan hubungan berdasarkan ayat al-Quran.

Semakin ramai pereka menampilkan pakaian dan aksesori yang mempunyai sentuhan Islamik, termasuk daripada jenama mewah yang diimport seperti Chanel dan Louis Vuitton.

Di kawasan selatan pinggir Jakarta yang didiami golongan kaya, pereka barangan kemas dan Hijaber, Reny Feby mempamerkan kerongsang berkilauan berharga RM1,511, yang boleh dipinkan pada tudung dan barangan yang lebih mahal seperti cincin berlian bernilai RM151,135.

Wanita berusia 42 tahun itu berkata, 15 tahun lalu, tiada siapa mahu membeli barang kemas jualannya kerana ia dilihat terlalu Islamik dan dia menggunakan slogan 'Buatan Indonesia' dengan ­bangganya.

"Namun sekarang orang Indonesia bangga untuk membeli fesyen tempatan dan bersifat Islamik, malah golongan elit yang membeli barangan kemas dari kedai saya menggunakannya sebagai simbol status," katanya.

Peningkatan itu juga didorong oleh perkembangan pesat saiz kelas menengah berikutan ledakan ekonomi terbaik Asia Tenggara ketika ini yang mencatat pertumbuhan melebihi enam peratus setahun sejak kebelakangan ini.

Pendapatan tahunan per kapita juga semakin meningkat di Indonesia daripada RM2,721 pada 2003 kepada sekitar RM9,172 pada 2011, seperti yang ditunjukkan oleh Bank Dunia, namun jutaan orang masih hidup dalam kemiskinan.

Menurut pakar dari Indonesia yang kini bertapak di Universiti Kebangsaan Australia di Canberra, Greg Fealy, semakin kuasa pembelian rakyat bertambah, mereka semakin menghampiri Islam secara lebih ketara.

"Ramai golongan alim dalam masyarakat Islam kelas pertengahan mahu menunjukkan kepada orang lain di sekeliling mereka bahawa mereka menjalani hidup yang taat agama, menerusi pakaian mereka, persekolahan, aktiviti beli-belah dan juga pembacaan," katanya.

Biarpun tidak disangkal sudah ada keinginan bagi mendapatkan produk dengan cita rasa Islam, kumpulan seperti Hijabers yang mempunyai ahli 3,000 orang berharap gaya berkenaan akan terus meningkat.

Organisasi itu yang mempunyai ahli dari seluruh negara, menamakan kumpulan mereka berdasarkan tudung tradisi yang dipakai oleh wanita Islam, banyak mempromosi barangan seperti barangan kemas dan produk kecantikan yang halal.

Mereka juga berada di barisan hadapan kempen yang menentang barangan pengguna dari Barat, yang selalunya ada di pusat beli-belah dan mempunyai banyak cawangan seperti Starbucks.

Pada tahun ini, Hijabers membantah sambutan Hari Valentine yang dianggap menggalakkan pasangan Islam untuk bersifat lebih fizikal dalam menunjukkan kasih sayang di khalayak ramai.

Ia diilhamkan daripada gerakan di Pakistan dengan menamakan semula hari berkenaan sebagai Hari Hijab dan mengedarkan risalah di beberapa bandar yang mengarahkan wanita supaya menutup aurat.

Sebahagian daripada penggunaan Islam yang dilakukan jelas seiring dengan peralihan ke arah Islam yang lebih konservatif dan berkembang di Indonesia sejak kejatuhan Suharto pada 1998.

Bagaimanapun, gambaran keseluruhan kekal kompleks dan bercanggah dalam satu negara yang mempunyai lebih daripada 17,000 pulau.

Walaupun semakin ramai orang membeli produk Islam, terdapat juga ledakan populariti muzik dangdut iaitu versi Indonesia hasil gabungan Arab, Melayu, India dan pop Barat yang terkenal dengan lirik lucah serta pergerakan tarian yang seksi.

Selain itu, semakin ramai yang membeli kompleks perumahan Islamik yang terletak hanya satu kilometer dari lokasi konsert berlangsung di Jakarta, di mana penyanyi seperti Kylie Minogue dan Justin Bieber pernah membuat persembahan yang habis jualan tiket.

Kompleks Bukit Az-Zikra, yang dibina di sekeliling masjid dan pusat kajian yang dibiayai diktator Libya yang dibunuh, Muammar Gaddafi, adalah zon bebas rokok serta alkohol dan orang yang tinggal di sana mesti berpakaian mengikut undang-undang Islam.

Ia bertujuan untuk 'mengimbangi kehidupan moden, perniagaan dan rutin yang sering membuat orang tidak ambil peduli dan tidak prihatin kepada nilai agama', menurut laman webnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mujur dengar jeritan

Posted: 04 Jun 2013 12:02 PM PDT

Shah Alam: "Sewaktu sedang tidur, tiba-tiba saya dikejutkan dengan suara orang menjerit meminta saya menyelamatkan diri. Saya tersentak bila melihat api marak membakar rumah jiran dan tanpa membuang masa saya terus menyelamatkan barangan di dalam rumah.

"Walaupun hanya mampu menyelamatkan beberapa barangan elektrik termasuk kereta, saya bersyukur kerana isteri yang kini sedang sarat mengandung anak sulung tiada di rumah sewaktu kejadian," kata Duren Azni Salamon antara mangsa kejadian tiga rumah papan terbakar di Jalan Berangan 2, Padang Jawa, di sini, semalam.


Duren, 25, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, hanya dia seorang berada di rumah kerana baru pulang dari kerja di sebuah kilang.

Menurutnya, selepas terkejut dengan kebakaran yang berlaku, dia hanya terfikir untuk menyelamatkan diri dan dengan bantuan jiran, dia berjaya menyelamatkan barangan.


"Saya masih terkejut dengan kejadian ini. Pelbagai barangan keperluan untuk bayi kami yang akan lahir tidak lama lagi juga turut musnah. Saya tidak dapat bayangkan sekiranya isteri yang sedang sarat mengandung ada di rumah sewaktu kejadian.


"Buat sementara waktu, saya akan menumpang di rumah abang di Bukit Kuda, Klang, sehinggalah saya dapat mencari rumah sewa baru," katanya yang baru enam bulan menetap di rumah berkenaan.

Foto

ANGGOTA bomba giat memadamkan api yang memusnahkan tiga kediaman papan, semalam.

Saksi kejadian, Rizwan Mohd Sapri, 38, berkata, dia mengetahui kebakaran rumah yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya selepas mendengar jeritan jiran.


Beliau berkata, sebaik melihat rumah yang diperbuat daripada kayu itu mula dijilat api, dia segera membantu jirannya menyelamatkan barangan berharga selain memastikan penghuni rumah berkenaan sudah keluar menyelamatkan diri.

"Saya turut bergegas ke bahagian dapur dan mengeluarkan tong gas kerana bimbang letupan akan berlaku dan membahayakan nyawa mangsa dan penduduk yang tinggal berhampiran.


"Syukur semuanya berjaya menyelamatkan diri dan tidak berlaku sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa walaupun kebanyakan mangsa gagal menyelamatkan semua barangan mereka," katanya.


Dalam kejadian itu juga, sebuah kereta Honda Prelude dan motosikal musnah kerana tidak dapat diselamatkan memandangkan api yang marak dengan begitu cepat.


Difahamkan, seorang daripada penghuni sedang membuat kerja kimpalan di hadapan rumahnya sebelum berlakunya kebakaran itu dan dilaporkan melecur akibat kejadian itu dan sudah di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seksyen 15 Timbalan Penguasa Bomba Mohd Khairi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 1.55 tengah hari dan tiba jam 2.03 petang.


Menurutnya, dua jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 dan Kota Anggerik dengan kekuatan empat pegawai dan 11 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran jam 2.10 petang.


"Dalam kejadian itu, ketiga-tiga rumah musnah sama sekali kerana ia dibuat menggunakan kayu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


"Pihak forensik bomba sudah dihantar ke tempat kejadian untuk meneliti punca dan jumlah kerugian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Nah ambil kau! Nak sangat!

Posted: 04 Jun 2013 10:04 AM PDT

London: Seorang bapa enam anak berdepan dengan hukuman penjara kerana memusnahkan rumah keluarganya dengan tukul besi selepas bergaduh dengan dua adiknya berhubung hak mewarisi rumah berkenaan.

Tony McGuire meruntuhkan rumah kembar dua itu sementara jirannya hanya memerhatikan tindakannya.


McGuire, 49, kemudian bergambar dengan sisa runtuhan bangunan itu yang menjadi rebutan antara dia dengan adik lelaki dan perempuan.

Dia ditahan dan dihadapkan ke mahkamah selepas menyebabkan rumah itu kelihatan seperti kena bom.


McGuire yang bekerja sebagai juruelektrik mengaku melakukan perbuatan jenayah itu.


Hakim Daniel Williams memberitahunya: "Kamu mengaku bersalah dan saya akan mengambil kira mengenai pengakuan itu apabila menjatuhkan hukuman. Bagaimanapun, saya tidak boleh memberi keputusan hari ini dan akan menangguhkan perbicaraan bagi mendapatkan laporan sebelum hukuman dijatuhkan. "Bagaimanapun, jangan fikir penangguhan ini satu tanda hukuman. Semua bentuk hukuman masih terbuka dan ini termasuk penjara." Bapa McGuire, Allan, memiliki rumah itu di Manor Way, Cardiff, sehingga dia meninggal dunia pada 2005.

Foto

TONY bergambar di rumah keluarganya selepas meruntuhkan kediaman itu dengan tukul besi.

Foto

RUMAH bernilai RM1.5 juta hampir musnah.

McGuire kemudiannya berpindah ke rumah itu bersama-sama isteri, Darriel, 50 dan enam anak mereka serta membelanjakan wang simpanan untuk membesarkan kediaman dan melakukan pengubahsuaian.


Bagaimanapun, bapanya meninggalkan wasiat dengan berkata hartanah itu perlu dibahagi-bahagikan antara McGuire dengan adiknya, Terry dan Tina.

Apabila gagal mencapai kata sepakat, McGuire bertindak meruntuhkan rumah empat bilik itu.


Ketika berdiri di tengah runtuhan rumah berkenaan, dia berkata: "Saya lakukan apa yang saya perlu lakukan. Perkara ini sudah berlarutan selama tujuh tahun dan saya tidak dapat bertahan lagi. " Nilai kerosakan dianggar berjumlah £120,000 (RM600,000) dan Tony bersama keluarganya kini menetap di sebuah rumah yang terletak kira-kira 3 kilometer dari kediaman itu.


Dia dibebaskan dengan ikat jamin dengan syarat tidak menghubungi kedua-dua adiknya atau pergi ke rumah itu. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04

Majlis kahwin secara tradisional

Posted: 04 Jun 2013 08:27 AM PDT

Penampilan isteri Amir Khan begitu menawan pada majlis perkahwinan mereka hujung minggu lalu.

Peninju berusia 26 tahun itu mengahwini pelajar jelita, Faryal Makhdoom di satu majlis tradisional do Hotel Waldorf Astoria, New York.


Pasangan berkenaan mengenakan pakaian tradisi India dengan pengantin perempuan bersari merah tua, lengkap dengan hiasan kepala sementara pengantin lelaki memakai jaket dengan warna serupa dan bersulam.

Amir yang terkenal dengan sikap playboy sebelum ini berikrar untuk meninggalkan gaya hidupnya yang suka berparti untuk 'menjaga' Faryal, pelajar sains politik berusia 21 tahun itu.


"Saya sudah melalui zaman muda. Saya sudah melakukan segalanya. "Ini masa yang tepat untuk berkahwin dan mula membina keluarga," kata pemenang pingat Sukan Olimpik itu kepada majalah Hello! Dia juga berjenaka mahu melangsungkan perkahwinan tanpa sebarang masalah pada wajahnya.


"Saya perlu berada di situ dan melangsungkan perkahwinan secepat mungkin sebelum saya dibelasah dalam perlawanan seterusnya dan menjadi hodoh." Majlis diadakan secara besar-besaran itu berlanjutan selama seminggu sebelum diikuti dengan satu lagi majlis di Britain minggu depan.

Selepas majlis, Faryal menulis ringkas dalam Twitternya: "Puan Khan." "Malam semalam umpama satu mimpi, sungguh menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Ia sungguh bermakna. Kini membuat persiapan untuk majlis di UK!" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Tunggu Presiden baru BAM'

Posted: 04 Jun 2013 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar enggan berjumpa Majlis Exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi membincangkan prestasi buruk badminton selain gagal melahirkan pelapis pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

"Biarlah, saya mahu tunggu BAM selesaikan pemilihan kepimpinan baru. Lebih baik saya jumpa pemimpin baru daripada bertemu Nadzmi (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh), lagipun Nadzmi menyatakan tidak mahu bertanding," kata Khairy.


Beliau menegur BAM dan membuat kenyataan untuk bertemu kepimpinan badan induk badminton negara itu selepas Malaysia kalah 2-3 kepada Taiwan dan Jerman di Piala Sudirman yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, bulan lalu.

Sementara itu, beliau menganggap Chong Wei sebagai contoh atlet terbaik yang memandang serius aspek sains sukan.


"Chong Wei contoh terbaik atlet yang menitik beratkan aspek sains sukan, sebab itu pada usia 30 tahun dia masih mampu bersaing di peringkat tertinggi," kata Khairy menjawab persoalan mengenai kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan.


Selain berpendapat kesedaran atlet terhadap kepentingan sains sukan masih rendah, beliau bagaimanapun memandang serius terhadap kesedaran jurulatih.

Foto

KHAIRY (dua dari kiri) mencuba 'wattbike' ketika melakukan lawatan kerja rasmi di ISN Bukit Jalil.

"Bagi saya kesedaran jurulatih terhadap sains sukan lebih kritikal berbanding atlet. Mereka perlu percaya kepada pendekatan sains sukan kerana sukan moden banyak bergantung kepada kemajuan aplikasi sains sukan.


"Saya pasti Institut Sukan Negara (ISN) tidak menghalang atlet melakukan persediaan melalui latihan biasa namun keperluan daripada segi psikologi, 'conditioning' badan dan fisiologi juga perlu diberi perhatian, baik jurulatih mahupun atlet.

"Setakat ini saya diberitahu jurulatih dan atlet gemar menonton ulang tayang video saja. Persiapan pemakanan dan semua perkara disebut tadi amat penting sebelum kejohanan." Justeru beliau memberi jaminan akan memberi sokongan padu kepada ISN.


"Kami dalam fasa akhir penyediaan pelan strategik sukan negara 2013-2020 bagi mewujudkan Institut Sukan bertaraf antarabangsa menjelang 2020. Banyak penambah baik ISN termasuk pertambahan kakitangan dan kepakaran akan dilakukan.


"Selain itu, saya akan mempengerusikan satu jawatankuasa bersama KBS dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan sistem seragam di sekolah seluruh Malaysia. "Jawatankuasa ini juga akan memainkan peranan mengenal pasti bakat di peringkat umur lebih muda, jika boleh kita ambil mereka pada usia lebih muda.


"Satu sistem seragam meliputi latihan dan pembangunan atlet membabitkan sains sukan akan didedahkan sejak sekolah rendah lagi."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05

McIlroy kaji Merion

Posted: 04 Jun 2013 10:38 AM PDT

Rochester: Pemain nombor dua dunia, Rory McIlroy (gambar) akan berkunjung ke Merion untuk menjalani dua sesi latihan minggu ini sebagai persediaan menghadapi Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas berbincang dengan jurulatih, Dave Stockton yang cuba membantu meningkatkan prestasi permainannya sebelum kejohanan sebenar bermula minggu depan.

Pemain berusia 24 tahun dari Ireland Utara yang merangkul gelaran utama pertama di Terbuka AS pada 2011, berada di Oak Hill, Isnin lalu berkata, dia akan mempertahankan kemenangan dirangkul di kejohanan PGA ke-95 Ogos ini.


"Ia lapangan paling sukar dalam golf dan bagus apabila dapat kembali sebagai pemain utama di lapangan ini," katanya yang merangkul mahkota PGA tahun lalu di Kiawah Island.

McIlroy beraksi pada sesi latihan semalam dan hari ini di Merion bagi mencari rentak terbaik yang menyaksikan dia menguasai empat daripada 10 pertandingan PGA termasuk saingan kedua di Terbuka Texas namun hanya berkongsi kedudukan ke-25 di Masters dan menduduki tempat ke-57 di Memorial minggu lalu.


"Saya bermain dengan baik. Saya perlu pamerkan aksi terbaik dan apabila berjaya melakukannya, semuanya akan berjalan lancar," kata McIlroy. "Apa yang diperlukan sudah ada dalam permainan saya. Saya hanya perlu rangkumkan semua perkara itu untuk satu minggu.


"Saya berasa selesa. Saya harapkan aksi terbaik di Merion. Semuanya bertujuan untuk mengenali lapangan itu dan cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin.

"Saya harap sejarah di Terbuka AS berterusan." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Jangan cuba fitnah Sharnaaz

Posted: 04 Jun 2013 02:30 PM PDT

Meskipun dia seorang yang terbuka memperkatakan soal peribadi, saat mendengar nama bekas teman wanitanya disebut, pelakon kacak Sharnaaz Basir Ahmad, 28, mula memberikan reaksi kurang selesa.

"Sudahlah, jangan lagi kita bercakap mengenai itu. Saya sudah penat hendak fikir benda yang lepas kerana tumpuan utama saya sekarang adalah pada kerjaya lakonan saya. Saya lega kerana dalam apa juga kontroversi yang timbul, alhamdulil­lah semakin ba­nyak pula tawaran filem dan drama datang kepada saya. Mereka (peng­giat seni) nampaknya lebih melihat kesungguhan saya melakukan tugas.

"Tambahan pula, berlakon memang punca rezeki dan periuk nasi saya, jadi wajarlah hal tugas harus saya utamakan dulu. Mengenai dia (Shila Amzah), saya tidak pernah menganggap dia sebagai musuh saya. Bukan juga berdendam malah saya sentiasa mendoakan kejayaan dia (Shila)," kata Sharnaaz.

Hakikatnya, Sharnaaz sangat mengharap­kan agar sejarah silam antara dirinya dan Shila tidak lagi diungkit mulai sekarang kerana enggan mengeruh­kan semula keadaan. Kebetulan masing-masing juga berjaya melepasi fasa genting buat mereka berdua dan fikirannya kini kembali tenang.


Pada temu bual dengan RAP baru-baru ini, Sharnaaz juga menafikan dia ada menjalinkan hubungan cinta dengan Elfeaza Ul Huq - pasangan heroinnya menerusi drama Mukhriz. Gadis itu adalah pelakon baru kelahiran Singapura.


"Rasanya rakan media tahu saya seorang yang terbuka apabila bercakap soal peribadi. Kalau saya ada kekasih, saya akan berterus-terang saja. Saya memang jenis orang yang akan mengiyakan sesuatu jika perkara itu benar dan jika sebalik­nya, saya akan nafikan.

"Menjawab gosip saya dengan Elfeaza, jawapannya adalah... tidak benar. Kami tidak bercinta pun," tegas Sharnaaz sewaktu ditemui pada majlis pelancaran filem Sindiket arahan Bade Haji Azmi di Restoran Rebung, Bangsar, baru-baru ini.
Menghala kepada topik lain, sesudah kisah cinta lamanya terhapus, Sharnaaz mengambil langkah tidak lagi aktif menggunakan mana-mana laman sosial di Internet.

Namun apa yang mengejutkannya, dalam pada mengehadkan penggunaan laman sosial, timbul pula cerita kononnya Sharnaaz baru-baru ini menggunakan bahasa kesat di Twitter.

"Kalau kata-kata cacian itu keluar daripada 'username' Sharnaaz Ahmad itu bermakna ia dari akaun saya sendiri. Jika daripada nama-nama lain, ia sama sekali tidak ada kaitan dengan saya.

"Selepas apa yang berlaku, apapun kontroversi, tuduhan dan tohmahan, saya tidak akan membuat kenyataan balas di Twitter mahupun mana-mana laman sosial.

"Saya sudah malas dan serik. Sekarang, sesiapa saja memfitnah saya, akan saya panjangkan hal ini di mahkamah. Mereka yang membuat tuduhan melulu dengan niat mencemarkan maruah saya, nantikan saya surat daripada pihak peguam. Ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik," katanya.

Tak sabar bekerja dengan Bade Azmi

Melanjutkan terus perbualan berhubung pembikinan filem aksi itu yang akan memulakan penggambarannya pada 6 Jun ini di Sabah dan Kalimantan, Sharnaaz akan membawakan watak Inspektor Rudy yang ditugaskan untuk menumpaskan sindiket perdagangan manusia yang dijalankan Geng Galang.

Sebelum ini Sharnaaz membintangi filem Juvana yang menampilkannya sebagai Lan Todak. Watak itu cukup memberi impak kepada penonton sehinggakan kes buli yang membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Pulau Pinang menggunakan nama wataknya itu. Bagaimana pula harapannya terhadap watak Inspektor Rudy?

Sharnaaz berkata, sebagai pelakon, semestinya dia mahu menjadi bintang serba boleh dan mengharapkan lakonannya meninggalkan kesan.

"Karektor Lan Todak sebenarnya diwujudkan bagi menimbulkan rasa penyesalan dalam kalangan penonton. Walau bagaimanapun, kita tidak boleh menghalang persepsi orang terhadap sesuatu karektor itu.

"Apa yang boleh saya katakan untuk watak Inspektor Rudy ini, saya harap kalau tidak dapat dijadikan contoh sekalipun, cukup sekadar penonton melihat saya seorang pelakon yang mampu memegang pelbagai watak.

"Terus-terang, saya sudah tidak sabar untuk masuk ke set penggambaran filem Sindiket kerana untuk filem ini, saya tidak memikirkan sangat soal bayaran, sebaliknya ingin merebut peluang bekerja di bawah arahan Bade Haji Azmi.

"Saya mahu bekerja dengan pengarah-pengarah filem yang hebat seperti Bade. Mulanya, saya tidak kisah sekalipun diberi watak kecil, namun syukur alhamdulillah, Bade memberikan kepercayaan kepada saya membawakan watak utama.

"Difahamkan ada banyak babak aksi dalam filem ini dan saya berharap Bade akan membenarkan saya untuk melakukan sendiri adegan 'stunt'," katanya dengan teruja.

Membabitkan barisan pelakon berpengalaman serta berpontensi besar, Sindiket turut dilakonkan Liyana Jasmay, Sharifah Amani, Daphne Iking, Tony Eusoff, Rashidi Ishak dan Soo Wincci. Filem yang menelan bajet kira-kira RM3 juta itu turut menyaksikan pembabitan pelakon dari negara Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/04
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved