Sabtu, 29 Jun 2013

Harian Metro: Rap

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Hati 'tertinggal' di Eropah

Posted: 28 Jun 2013 06:09 AM PDT

Dalam mencari ketenangan, pelakon Ramona Zam Zam gemar melancong. Justeru, kesempatan yang ada pada Mac lalu digunakan sepenuhnya dengan menghabiskan masa selama sebulan melancong ke beberapa negara Eropah antaranya United Kingdom (UK), Itali, Perancis, Switzerland dan Liechtenstein.

Ramona yang semakin popular menerusi drama Cinta Jangan Pergi itu juga beruntung kerana tidak perlu memikirkan tempat penginapan berikutan ramai saudara­nya berkahwin dengan bangsa asing menetap di sana termasuklah kenalannya yang belajar di UK.

Pelakon cantik itu memulakan perjalanannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London sebelum meneruskan perjalanan ke Lucerne, Switzerland untuk ke rumah sepupunya yang dikenali sebagai Dada di sana.

Dia berada di negara itu selama lebih dua minggu sebelum bersama-sama Dada memandu ke Milan dan Im Moos di Itali; Evian-les-Bains (Perancis) dan sebuah negara kecil di Eropah iaitu Liechtenstein.

Foto

KETIKA di Geneva, Switzerland.

Foto

BERADA di kota fesyen, Milan, Itali sememangnya menyeronokkan.

Foto

PEMANDANGAN indah di Liechtenstein.


"Sesiapa yang pernah melancong ke Switzerland pasti akan jatuh cinta dengan keindahan negara itu yang bagaikan sebuah lukisan. Selepas puas berjalan di Switzerland, Dada membawa saya melawat ke sebuah negara kecil di sempadan Switzerland dan Austria iaitu Liechtenstein.


"Negara itu sangat kecil dan lebih kecil berbanding Shah Alam, Selangor. Mereka yang menetap di sana mengenali hampir setiap penduduk negara itu. Liechtenstein sangat cantik seperti sebuah tempat yang sering digambarkan dalam filem fantasi Hollywood.

"Bentuk muka buminya berbukit-bukau dan dipenuhi taman dengan bunga yang amat cantik. Saya ke sana ketika musim dingin sudah di penghujung dan cuaca­nya cukup nyaman dan tenang.

"Saya benar-benar jatuh cinta dengan negara itu. Hingga sekarang saya masih terkenangkannya dan jika ada rezeki, saya akan ke sana lagi. Barangkali orang Malaysia belum begitu mengetahui negara ini. Jika anda melancong ke Switzerland atau negara yang terletak berhampiran dengan­nya, pergilah ke Liechtenstein," katanya.

Ramona berkata, ketika ingin meneruskan percutiannya ke Paris, dia mengalami masalah apabila tertinggal kereta api dan bagi menggantikan rancangannya yang tidak jadi itu, Dada membawanya ke sebuah bandar kecil Evian-les-Bains yang terletak di selatan Tasik Geneva di sempadan Perancis dan Switzerland.

Di kawasan itulah tempat asal air mineral jenama Evian yang terkenal di seluruh dunia.

"Di situ ia dijual dengan harga yang sangat murah dan saya mengambil peluang meminumnya sebanyak yang boleh! Penduduk di sana boleh membeli bertong-tong air berkenaan dan ada yang mandi dengannya, sebab itu kulit mereka cantik. Di negara kita, jenama terbabit dijual pada harga yang tinggi berbanding air minuman lain," katanya.

Katanya, kebanyakan penduduk bandar itu kaya raya dengan hasil perniagaan air berkenaan. Mereka juga mengusahakan perniagaan restoran dan kafe, namun hanya membuka dan menutupnya sesuka hati kerana perniagaan itu tidak serius. Ia hanya hobi mereka saja.

Dari Switzerland, mereka berdua memandu hingga ke Milan, Itali.

"Dada jarang memandu apatah lagi ke tempat yang jauh, namun kami gagahi juga untuk ke Milan. Saya pula tak biasa memandu kereta dengan tempat duduk pemandu di sebelah kiri.

"Dengan menggunakan pengesan sistem kedudukan global (GPS), kami menuju ke Milan tetapi apabila tiba di sempadan Itali, kami sesat dan petrol pula nak habis. Untuk ke Itali kami terpaksa melalui terowong sejauh 17 kilometer iaitu Terowong Gotthard.

"Mustahil kami akan sempat sampai ke Itali dengan tangki minyak yang hampir kosong lalu dalam usaha kami mencari stesen minyak, kami terjumpa sebuah perkampungan kecil terletak di atas bukit," katanya.

Katanya, selepas puas berada di Itali, dia ke London pula berseora­ngan dan menumpang di rumah rakan karibnya yang menyambung pengajian di bandar raya itu. Dia berada di London selama sembilan hari sebelum pulang ke tanah air.

Menurut Ramona, dia terkilan kerana tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Paris dan bercadang ke sana pada Disember nanti.

"Saya suka melancong dan sekarang saya sedang mengumpul wang untuk bercuti lagi. Saya bercuti untuk merawat hati yang luka ketika itu. Sebab itu saya pergi seorang diri. Balik daripada percutian yang panjang, saya rasa lebih relaks dan meneruskan kerja seperti biasa," katanya.

"Hati saya masih 'tertinggal' di sana. Walaupun mereka masyarakat yang sangat moden tetapi saya jatuh cinta dengan situasi kehidupan mereka yang tenang dan mendamaikan, apatah lagi dengan keindahan negaranya yang sukar diungkapkan dengan kata-kata," katanya.

Balik saja daripada bercuti, Ramona terus ke lokasi telefilem Cinta Itu Kerja Allah dan Dendan Terindah, kedua-duanya untuk siaran RTM.

Kini Ramona sibuk pula di set drama Syurga Tanpa Bidadari untuk slot Akasia, TV3.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Sarah, Fify GM2: Ubah nasib keluarga

Posted: 28 Jun 2013 06:01 AM PDT

Berbekalkan paras menawan, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf, 22, atau Sarah meraih pelbagai tawaran 'modeling' menerusi foto menarik yang dimuat turun ke dalam akaun Facebook, selain membawanya ke program Gadis Muka 2 (GM2).

Latar belakang gadis kacukan Jerman, Amerika Syarikat dan Melayu itu sendiri ternyata memberi kelebihan kepadanya, tambahan pula industri pengiklanan, peragaan dan fesyen tempatan sememangnya memburu bakat berwajah Pan Asian dan Eurasian.

Namun, di sebalik kecantikan dan perwatakannya yang ceria, tersimpan kisah menyentuh perasaan mengenai gadis ini. Ibu bapanya bercerai ketika Sarah masih kecil dan selepas perceraian itu, bapanya kembali ke negara asalnya, Amerika Syarikat.

Sarah kemudian­nya dibesarkan ibu­nya hing­ga bersekolah mene­ngah dengan berbekalkan sumber pendapatan meng­usahakan kedai menjahit baju.

Foto

Fify

Foto

Sarah


Beberapa tahun di bawah jagaan ibu, Sarah diambil bapanya dan berhijrah ke Amerika Syarikat. Di sana, dia mengikuti pengajian dalam jurusan Seni Persembahan di University of Central Arkansas.


"Ketika masa kecil, saya tidak faham kenapa bapa meninggalkan saya. Namun, apabila sudah besar saya tahu dia sebenarnya masih mengambil berat soal masa depan saya dan kerana itulah dia membawa saya menetap di sana.

"Bagaimanapun, beberapa tahun di sana saya memutuskan untuk kembali ke Malaysia menemani ibu, selain membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Monica Lee Art Academy dalam jurusan solekan.

"Antara alasan kenapa saya tegar untuk pulang, pertamanya saya kasihan ibu yang bersendirian di sini. Ibu saya seorang wanita yang tabah. Dia menguruskan perniagaan menjahit baju untuk menyara hidup kami.

"Hendak dijadikan cerita sekembalinya ke tanah air, seperti remaja yang lain saya suka melayari Facebook dan tidak sangka foto yang dimuat naik dalam Facebook menarik minat pengiklan," katanya.

Sama seperti Sarah, Nur Afiqah Mohd Azmi,22, atau Fify yang berasal dari Subang Jaya, Selangor juga mempunyai kisah hidup tersendiri.

Dilahirkan mempunyai pasangan kembar bernama Khalie, pembabitan Fify dalam program GM2 ini, selain mahu mencuba bakat, dia juga berhasrat untuk mengubah nasib keluarga.

"Orang yang paling saya rindukan sepanjang program ini tentunya pasangan kembar saya, Khalie kerana dia adalah sebahagian diri saya. Ahli keluarga yang lain turut saya rindukan, cuma Khalie susah hendak jumpa kerana dia masih belajar.

"Untuk pengetahuan umum, kami datang daripada keluarga yang sederhana. Bapa saya dulunya bekerja, tetapi sejak terlantar koma kerana asma kronik, ibulah yang mengambil alih tugas sebagai bapa.

"Antara sebab saya menyertai GM2, manalah tahu rezeki, saya boleh membantu meringankan beban keluarga. Ironinya, selepas tiga bulan bapa saya disahkan lumpuh tiba-tiba I Like Entertainment Sdn Bhd selaku penerbit GM2 dan Harian Metro, akhbar rasmi pertandingan ini mengumumkan Pencarian GM2.

"Ia datang pada saat yang tepat, di mana saya memang berhasrat untuk memanfaatkan bakat seni yang saya ada agar kelebihan ini boleh dijadikan sebagai mata pencarian dan kerjaya tetap saya," katanya.

Selain Sarah dan Fify, lima lagi peserta masih meneruskan perjuangan dalam GM2 yang ditayangkan di saluran Astro Ria 104, setiap Ahad, jam 10 malam iaitu Alia Afiqah Abden (Lia) 21, Tawau, Sabah; Siti Nursyahira Nabila (She) 23, Subang Jaya ,Selangor; Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21, Setapak, Kuala Lumpur, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa) 19, dari Parit Buntar, Perak serta Nur Asikin Kamarudin (Ekin) 24, Masjid Tanah, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


20,000 tiket habis tak sampai 3 jam

Posted: 28 Jun 2013 09:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 20,000 tiket menyaksikan perlawanan final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil habis 'disambar' peminat dalam tempoh tidak sampai tiga jam, semalam.

Jualan tiket terbabit sebahagian tiket diperuntukkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) buat peminat Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Kuala Lumpur.


Dalam tinjauan Arena Metro semalam, suasana di depan empat kaunter tiket sedikit tegang apabila diserbu ribuan penyokong sebaik kaunter mula dibuka jam 9 pagi, hingga jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, masih terdapat lebih 2,000 penyokong kedua-dua pasukan menunggu sehingga jam 1 petang dengan harapan mendapat tiket tambahan, pulang hampa.


Ada antara mereka berkampung di luar stadium sejak jam 2 pagi beratur panjang hampir 500 meter untuk memastikan tidak terlepas mendapat tiket. Meskipun terdapat sedikit kekecohan dan berlaku tolak-menolak sewaktu beratur membeli tiket namun kehadiran Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis menghalang sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Malah, ada beberapa penyokong hilang sabar turut memanjat pagar penghalang masuk ke stadium dalam cubaan mendapatkan tiket.


Tinjauan juga mendapati kehadiran beberapa ulat tiket mengambil kesempatan menjual tinggi pada harga lebih tinggi. Ulat tiket terbabit menawarkan tiket pada harga RM80, RM100 dan RM150 berbanding harga asal RM40.

Foto

PEMINAT bola sepak gembira selepas peroleh tiket final.

Seorang peminat, Fauzi Nawi dari Kota Bharu berkata, dia terkilan kerana tidak mendapat tiket perlawanan itu walaupun menunggu dari jam 6 pagi.


"Saya mahu membeli tiket tetapi diberitahu tiket sudah kehabisan. Ada seseorang cuba menjual tiket berharga RM150! kepada saya tetapi membuat keputusan melihat final menerusi televisyen di rumah saudara di Puchong. Saya tidak mampu mendapatkan dua tiket ditawarkan ulat terbabit kerana harganya melambung lebih tinggi daripada harga asal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Piya seru rakan bersemangat

Posted: 28 Jun 2013 09:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Kapten skuad Kelantan Mohd Badhri Radzi menggesa rakan sepasukan supaya memberikan aksi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA sebagai tanda membalas pengorbanan yang dilakukan penyokong setia The Red Warriors.

Menurut pemain perancang berusia 31 tahun itu, sokongan penyokong yang tidak berbelah bahagi sehingga sanggup berbelanja lebih untuk membeli tiket dan menempuh perjalanan jauh dari Kelantan ke Stadium Nasional Bukit Jalil wajar dijadikan pencetus semangat pemain.


"Saya bangga dengan semangat penyokong yang bersungguh-sungguh mendapatkan tiket dengan harga yang mahal (daripada ulat tiket) demi memberi sokongan kepada pasukan Kelantan. Ada juga sampai bergaduh untuk mendapatkan tiket, jadi ini sesuatu sokongan yang luar biasa.

"Jadi, kejuaraan Piala FA amat penting sebagai membalas segala pengorbanan dan kesetiaan penyokong kepada pasukan Kelantan," katanya yang ditemui Arena Metro sebelum sesi latihan rasmi semalam.


Kekecohan berlaku sebelum ini apabila penyokong Kelantan gagal membeli tiket apabila jualan dibuka di kaunter Stadium Sultan Muhammad IV Selasa lalu sehingga mendorong penyokong memecahkan pintu utama dan mengejar penjual tiket ke di dalam stadium.


Kerana terpaksa, penyokong Kelantan sanggup membeli tiket dengan harga sehingga RM80 sekeping berbanding harga asal RM40 daripada ulat tiket semata-mata ingin menyaksikan secara langsung pasukan kesayangan mereka beraksi menentang Johor Darul Takzim (DT) pada aksi final Piala FA malam ini.

Badhri yang turut mesra dengan panggilan Piya yakin mereka boleh mengekalkan kejuaraan biarpun menyedari pasukan lawan turut berhajat besar untuk melakar sejarah selaku kelab pertama memenangi Piala FA.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29
Kredit: www.hmetro.com.my

Jumaat, 28 Jun 2013

Harian Metro: Hati

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Galeri Seri Endon pembuka ruang

Posted: 28 Jun 2013 07:59 AM PDT

Batik dan masyarakat Melayu memang tidak dapat dipisahkan. Bak irama dan lagu, batik sejak dulu menjadi fabrik pilihan utama dalam keluarga Melayu, malah Cina dan India yang menyarung­kannya setiap hari.

Mengikut sejarah awalnya, batik mula diperkenalkan di Kelantan pada era 1910-an. Bagaimanapun, ketika itu rekaan dan pemakaiannya amat terhad sehingga pernah ke satu tahap di mana ia cuma boleh dipakai kerabat diraja sahaja.

Seiring dengan peredaran zaman, pemakaian batik kini tidak lagi terhad sebagai kain basahan atau kegunaan harian, sebaliknya menjadi salah satu koleksi rasmi pakaian kebangsaan.

Di samping usaha Yayasan Budi Penyayang yang memperluaskan pemakaian batik hingga ke persada antarabangsa, semakin ramai pereka muda mula membabitkan diri dalam seni rekaan batik ini.

Foto

KOLEKSI batik Aidilfitri 2013 serlahkan cetakan moden dan segar.

Foto

REKAAN eksentrik banyak diketengahkan dalam koleksi kali ini.

Foto

KEINDAHAN musim bunga cetus inspirasi Masrina dalam menghasilkan koleksi ini.


Dilatari elemen moden dan kontemporari, barisan pereka generasi baru ini nyata me­nyuntik ilham baru dalam arena penghasilan batik yang selama ini hanya dikuasai golongan warga emas.


Lebih menarik apabila pereka muda ini bukan hanya dalam kalangan Melayu tapi berjaya memikat pereka bukan Melayu menceburi bidang ini.

Buktinya ketika persembahan koleksi terkini Galeri Seri Endon, minggu lalu, yang me­nyaksikan dua pereka berbangsa Cina, Karl Ng dan Zoe Tan digandingkan bersama Jaludin Zaini, Jamilah Shukri, Khalid Shamsuddin, Masrina Abdullah dan Suhairi Marlina.

Menurut Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Nori Abdullah, Galeri Seri Endon sentiasa membuka pintu kepada pereka tempatan yang mahu meningkatkan martabat batik di peringkat global.

"Galeri Seri Endon sentiasa mempersembahkan pereka lama dan baru yang mahu turut serta membantu mengekalkan budaya warisan kita ini.

"Selain itu, platform yang disediakan Galeri Seri Endon ini diharap dapat mengembangkan lagi bakat baru agar dapat berkongsi daya kreativiti dan produk yang ingin ditonjolkan," katanya.

Koleksi baru yang dihasilkan khusus untuk Aidilfitri ini dimulakan dengan tema 'Pop Art' oleh Jaludin Zaini. Pereka dari Sarawak ini bermain dengan rona pop lalu diterjemahkan pada batik dengan cetusan etnik segar dan moden.

Rekaan Jamilah Shukri menyusul dengan tema 'The Soft Shades of Borneo'. Rekaan etnik Sarawak ini dimanifestasikan oleh Jamilah dalam palet warna lembut dan pastel.

Baginya, palet warna itu menggambarkan rona alam semula jadi yang indah dan menenangkan.

Karl Ng seterusnya mengang­kat tema 'Mahsuri' yang me­ngadun rona alam seperti perang, hitam, kelabu dan biru.

Pereka senior, Khalid Shamsuddin kemudiannya tampil dengan tema 'Kool' yang menitikberatkan mainan warna dingin, selain ton hijau ­dengan suntikan merah jambu.

Keindahan musim bunga menjadi inspirasi Masrina Abdullah yang memper­sembahkan rekaan 'The Colours of Spring Allure' dengan teknik lapisan warna.

Suhairi Marlina pula kekal dengan Aboriginal Abstract yang menjadi tanda pengenalannya selama ini. Rekaan abstrak nyata menarik kala diadun pada batik yang membuatkan rekaannya seakan-akan penuh dengan unsur keremajaan.

Tema 'Simply Modern' pula menjadi platform Zoe Tan yang berpegang kepada falsafah ringkas, moden dan pantas. Zoe cuba lari seketika daripada motif flora dan daun pada batik tradisional lalu digantikan ­dengan cetakan eksentrik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Kaki selesa setiap langkah

Posted: 28 Jun 2013 07:48 AM PDT

Pemilihan kasut yang sesuai memainkan peranan dalam setiap aktiviti harian. Bukan saja perlu kelihatan bergaya ketika melangkah, malah keselesaan dalam setiap langkah itu paling diutamakan pemakai.

Tanpa mengira jantina baik si jejaka mahupun wanita, pastinya peng­gayaan kasut yang membantu melegakan tekanan pada kaki sentiasa menjadi pilihan.

Memahami kehendak yang sering diperkatakan ini, jenama kasut terkemuka, Scholl memperkenalkan beberapa koleksi kasut musim bunga dan panas 2013.

Mulakan lang­kah dengan gaya koleksi Edna. Siri ini direka anggun dengan dua ton warna dan reben feminin yang ideal untuk aktiviti santai ataupun bekerja. Ia dilengkapi penyokong lengkungan bagi memastikan keselesaan kaki sepanjang hari.

Foto

COMEL dengan pilihan sandal menarik.

Foto

MENARIK untuk gaya ringkas yang selesa.


Selain itu, rangkaian koleksi Elva pula menampilkan pelbagai pilihan kasut baji yang bukan saja membantu diri untuk kelihatan tinggi berbanding ketinggian asal tetapi selesa apabila digayakan.


Kedua-dua koleksi Edna dan Elva direka menggunakan teknologi sokongan Arch agar kasut yang dipakai dapat membantu merehatkan kaki walaupun digunakan dalam tempoh yang lama.

Bagi wanita yang inginkan gaya santai pula, pilihan rangkaian kolek­si Lidia dan E-va paling bersesuaian dengan diri.

Siri selipar platform Lidia diserikan dengan aksesori rekaan ­bunga berwarna kuning, ungu dan oren menghiasi bentuk selipar yang diketengahkan.

Sementara itu, bagi mereka yang menggemari kasut Biomechanics, rekaan koleksi E-va yang mengete­ngahkan warna piuter dan merah pasti menceriakan suasana.

Di samping itu, untuk si jejaka pula, koleksi rangkaian Festive tampil dengan rekaan kasut yang bergaya dan kemas serta disediakan dengan pilihan siap sarung ataupun bertali. Warna universal hitam dan coklat gelap menjadikan ia pilihan sesuai sepanjang masa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Setempat

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Mak nyah vitamin C

Posted: 27 Jun 2013 02:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Kelicikan seorang mak nyah berusia 40 tahun menjual produk suntikan vitamin C tidak berdaftar melalui Internet sejak dua tahun lalu berakhir apabila rumahnya di Cheras, di sini, diserbu Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor (CPFS), semalam.

Hasil serbuan jam 10 pagi itu, pelbagai jenis produk suntikan vitamin C bernilai RM55,750 yang disimpan dalam sebuah bilik yang dijadikan sebagai stor, dirampas.


Ketua Seksyen Pencegahan dan Kesedaran Pengguna, CPFS Halimi Mat Piah berkata, pihaknya mengambil masa sebulan untuk menjejaki suspek berikutan alamat pengirim yang digunakan berbeza dan ada antaranya palsu.

"Sebaik menerima aduan awam, kami menjalankan siasatan dan seperti biasa menyamar sebagai pelanggan sebelum membuat pembelian bagi mendapatkan alamat pengirim pada bungkusan yang diterima.


"Bagaimanapun, taktik itu gagal kerana suspek sentiasa bertukar alamat dan semua yang tertera pada bungkusan itu bukan alamat miliknya," katanya.


Katanya, lebih merumitkan lagi apabila mereka turut menggunakan nama samaran pada akaun Facebook dan blogspot untuk mempromosikan dan memasarkan produk terbabit.

Foto

PEGAWAI CPFS merampas produk vitamin C terbabit.

Menurut Halimi, suspek menjual produk berkenaan RM200 hingga RM350 sekotak iaitu dua kali ganda daripada harga kos.


"Ramai yang tidak tahu sebenarnya tiada satu pun vitamin C dalam bentuk suntikan yang berdaftar dengan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) kerana tiada jaminan kualiti, keberkesanan dan keselamatan," katanya.

Difahamkan, suntikan vitamin C turut mempunyai kesan mudarat yang membahayakan kesihatan seperti cirit-birit, alahan, gastrik, batu karang dan masalah kegagalan fungsi buah pinggang sekiranya diambil dalam jangka masa panjang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Global

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


Rumah 'sampah'

Posted: 27 Jun 2013 10:14 AM PDT

London: Seorang tuan rumah terkejut mendapati rumah yang dibelinya dengan harga £450,000 (RM2.25 juta) menerusi satu lelongan berisi sampah sarap setinggi lebih satu meter setengah yang berlonggok selama bertahun-tahun.

Pemaju hartanah Mehmet Koch, 33, membeli rumah teres empat tingkat itu di utara London untuk dijadikan pelaburan bersama adiknya, Abbas.


Pasangan tua yang tinggal di situ sebelum ini tidak membenarkan Mehmet memasuki rumah itu sebelum dia membelinya. Apabila dia memperoleh kunci baru-baru ini, Mehmet terkejut mendapati rumah itu begitu semak sehingga dia tidak boleh menaiki tangga ke tingkat atas.

Mehmet yang syarikatnya, Kaya Properties memiliki 10 rumah di sekitar London, terkejut apabila membuka pintu rumah yang terletak di Finsbury Park itu.


"Saya sangka saya bermimpi. Saya tidak pernah melihat keadaan seperti ini sebelum ini. Kami berkata sesama sendiri, Bagaimana kami hendak membersihkannya," kata Mehmet.


Setiap bilik penuh dengan baju lama, beg beli-belah, pembungkus yang terbiar dan surat khabar lama setinggi paras bahu.

Foto

KEADAAN rumah yang dibeli Mehmet penuh dengan sampah-sarap.

Foto

BAHAGIAN luar rumah Mehmet.

Mehmet tidak dapat menaiki tangga ke tingkat atas kerana ia juga penuh dengan sampah.


Lebih buruk lagi, rumah empat tingkat berkenaan tidak mempunyai bekalan air, elektrik atau gas dan berbau busuk.

"Kami simpati kepada mereka yang menetap di rumah ini sebelum ini. Bagaimana mereka boleh tinggal dengan keadaan seperti ini dalam abad ke-21?" kata Mehmet.


Menurut jiran, sepasang suami isteri berusia 70-an yang tidak bergaul dengan orang ramai menetap di rumah itu sejak 1960-an.


"Kami menjenguk rumah itu dari luar tetapi pasangan berkenaan yang tinggal di dalam tidak membenarkan kami masuk. Mereka hanya mengguna satu atau dua bilik rumah itu. Taman di luar dah macam hutan," katanya. - Dailymail

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Gadis mengalir air mata darah

Posted: 27 Jun 2013 09:51 AM PDT

Purranque (Chile): Doktor di Chile bingung apabila seorang wanita mengalirkan air mata darah.

Yaritza Oliva ketakutan apabila kejadian ganjil itu mula menimpanya awal bulan ini.


Sejak itu, tanpa sebarang amaran, mata wanita berusia 20 tahun itu mengalirkan darah beberapa kali sehari.

Yaritza mengunjungi doktornya tetapi apabila tiada tanda jangkitan ditemui, dia disuruh pulang dengan diberikan ubat titis mata untuk menangani kesakitan yang menurutnya, tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.


Ibu bapa Yaritza meminta rakan dan jiran di Purranque untuk membantu mereka mengumpul wang secukupnya bagi membolehkan wanita itu dirawat pakar mata.


Bapanya, Jose yang bekerja sebagai tukang kayu, merayu dalam satu rancangan televisyen tempatan dengan berkata: "Letakkan tangan di dada anda, lihat keadaan kami dan bantu anak kami." Yaritza mungkin menghidap penyakit yang jarang berlaku yang dikenali haemolacria. Penyakit itu menyebabkan penghidapnya mengalirkan air mata mengandungi darah.

Setakat ini hanya terdapat tiga kes yang dicatatkan yang mungkin menjadi tanda kepada penyakit lebih serius atau ketumbuhan atau berpunca daripada paras hormon yang tinggi pada wanita subur.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: Arena

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Presiden murka!

Posted: 27 Jun 2013 09:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah membidas segelintir pihak yang melemparkan kritikan mempertikai tugas badan induk itu tanpa berfikir panjang.

Menurutnya biarpun negara memiliki kebebasan bersuara, beliau berkata, ada masanya setiap komen yang ingin diberikan perlu difikirkan terlebih dulu sebelum memberikan pandangan masing-masing.


"Sudah tentu anda boleh memberi komen kerana Malaysia negara bebas untuk bersuara tapi fikir dulu implikasinya, adakah ia memberi faedah kepada FAM atau persatuan bola sepak lain di Malaysia ini.

"Sudah 28 tahun saya menjadi presiden dan saya yang memperkenalkan liga profesional di Malaysia, siapa yang memberi komen itu perlu tahu apa yang dia cakap, tidak kisah siapa anda dan jawatan yang anda pegang, anda perlu bersedia untuk menerima kritikan," katanya.


Sultan Ahmad Shah memberi kenyataan itu bagi menjawab kritikan dilemparkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang menganggap bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad tidak memahami situasi bola sepak negara apabila membidas sikap persatuan negeri kerana terlalu bergantung kepada sumber kewangan badan induk itu. Annuar berkata, FAM sepatutnya menghulurkan bantuan kepada persatuan negeri memandangkan mereka menjana pendapatan kepada badan induk bola sepak tanah air itu, antaranya menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia kepada Astro bernilai RM30 juta setahun. "Untuk pengetahuan umum, FAM membelanjakan purata RM45 juta setahun untuk Liga Malaysia dan tajaan diterima dari Astro hanya RM30 juta. Ia tidak mencukupi. Mereka yang komen itu tidak tahu kesulitan dihadapi FAM kerana tidak berada dalam badan induk. Biarpun tidak cukup, kami perlu berkerja, segala urusan perlu diteruskan," katanya.


Annuar yang menjalani penggantungan 30 bulan akibat kritikannya terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan, dilapor berkata pasukan yang terbabit dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang itu dan bukannya milik FAM semata-mata.

Foto

SULTAN Ahmad Shah (kanan) pada sidang media di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27

Nombor 10 milik Tevez

Posted: 27 Jun 2013 08:45 AM PDT

Rome: Carlos Tevez meluahkan rasa bangganya selepas diberikan jersi ikon nombor 10 sebaik mengikat kontrak tiga tahun bersama Juventus.

Pemain Argentina berusia 29 tahun itu melengkapkan perpindahan ke kelab juara Serie A semalam selepas empat musim bersama Manchester City, malah sebelum melengkapkan ujian perubatannya di Turin dia dilihat berada di balkoni ibu pejabat Juventus memegang jersi nombor 10.


Jersi itu, yang sebelum ini digunakan penyerang terkenal Michel Platini, Liam Brady dan Roberto Baggio tidak digunakan sejak penyerang veteran dan bekas kapten Bianconeri Alessandro Del Piero meninggalkan Turin untuk ke Sydney FC tahun lalu.

Yuran perpindahan Tevez tidak diumumkan lagi namun difahamkan Juve melunaskan bayaran pendahuluan £10 juta (RM48.5 juta) kepada City sebelum dijangka meningkat kepada £12 juta (RM58.2 juta).


"Saya menyedari usaha keras Juventus untuk membawa saya ke sini.


"Saya berasa bertanggungjawab memakai nombor ini dan saya sedar tugas getir mewakili Juventus dan bermain buat kelab ini jadi nombor ini pastinya satu cabaran.

"Pemain ternama sudah memakainya sebelum ini dan saya memakai nombor 10 bersama Boca (Juniors) sebelum ini dan (Diego) Maradona turut memakainya, jadi ia satu tanggungjawab besar sekarang tapi saya akan melakukan yang terbaik.


"Sudah tentu saya tidak mahu melupakan Del Piero yang juga pemain terakhir menyarung jersi nombor 10. Dia seorang pemain dan individu yang amat saya hormati.

"Adalah menggembirakan dan bagaikan satu penghormatan menyarung jersi ini dengan nombornya." Tevez menangguhkan seketika percutiannya di Argentina untuk menyertai Juve dan sebaik tiba di lapangan terbang Malpensa di Milan semalam, dia disambut lebih 200 penyokong Bianconeri.


Dia akan menghabiskan percutiannya di Amerika Selatan selepas diperkenalkan secara rasmi semalam sebelum menyertai jurulatih Antonio Conte dan rakan sepasukan barunya bagi latihan pramusim pada 12 Julai ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/27
Kredit: www.hmetro.com.my

Harian Metro: BeritaUtama

0 ulasan
Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Pembunuh Dirang dihukum mati

Posted: 28 Jun 2013 12:15 AM PDT

JOHOR BAHRU: Pembunuh Nurul Nadirah Abdullah, 4, atau Dirang iaitu Muidin Maidin, 25, yang akan ke tali gantung disifatkan sebagai penjenayah paling kejam, tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati-perut.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman sebelum menjatuhkan hukuman terbabit berkata, manusia seperti tertuduh adalah amat bahaya berada di kelompok masyarakat.

Beliau berkata, tertuduh juga memiliki nafsu umpama binatang dan sanggup melakukan apa saja bagi memuaskan nafsunya.

"DNA kamu berada dalam anus (dubur) dan vagina (kemaluan) si mati.

Foto

Muidin (tengah) dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin


"Si mati adalah insan kerdil yang tidak mengerti apa-apa namun kami menekup mulut dan tekak hingga dia lemas dan tidak bernyawa.


"Kamu cuba melupuskan mayat dengan cara membakarnya di rumah terbengkalai dan kami menjangka kamu bijak," katanya.

Abdul Halim berkata, sebelum perlakukan demikian, Muidin mengumpan mangsa dengan gula-gula strawberi dan membawa mangsa ke arah kebun kelapa sawit.

Beliau berkata, pihaknya berasa mustahil kerana tiada penduduk yang tampil menyata mereka melihat tindakan Muidin sedangkan flat itu memiliki ramai penghuni.

Menurutnya, bagaimana pun sikap tidak berani, takut dan tidak mahu bercampur tangan dengan hal orang lain kerana bukan keluarga mendorong penduduk di situ (saksi) mendiamkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28

Tujuh tiket RM560

Posted: 27 Jun 2013 02:50 PM PDT

Kota Bharu: "Ini yang dikatakan 'Semangat Kelate'. Walaupun tiket berharga RM80 saya tetap beli demi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan.

"Bagaimanapun, saya harap isu ulat tiket dan jualan tiket habis dalam tempoh tidak munasabah tidak berlaku lagi pada masa akan datang," kata penyokong The Red Warriors, Mohd Amiruddin Mohamad, 25.

Penyokong dari Kampung Tiong, dekat sini, itu berkata dia terpaksa membeli tiket perlawanan akhir Piala FA daripada ulat tiket berharga RM80 sekeping, semalam.

"Saya membelanjakan RM560 membeli tujuh tiket daripada ulat tiket. Saya terpaksa membeli daripada ulat tiket kerana tidak berpeluang membeli tiket dijual di kaunter.


"Jika tidak beli tiket, sia-sia saja persiapan ke Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilakukan bersama rakan sebelum ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV (SSMIV), semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28
Kredit: www.hmetro.com.my
 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved