Dia bukanlah pereka kasut atau fesyen terkenal yang khidmatnya digunakan ramai selebriti untuk menghasilkan rekaan sepatu serta pakaian mereka.
Namun, hasil kerja tangannya menjahit manik pada pakaian terutama baju kurung dengan jahitan halus dan kemas mendapat perhatian ramai wanita.
Bekerja sepenuh masa sebagai pereka grafik, Nornazarina Ghadin, 38, yang mesra disapa Nona membabitkan diri dalam seni jahitan manik pada pakaian dan kasut selepas ramai rakan memuji hasil kerjanya.
"Minat saya terhadap bidang ini timbul sejak usia belasan tahun selepas banyak membantu emak yang ketika itu mengambil upah menjahit manik busana pengantin daripada butik.
"Mula-mula saya cuma tengok emak jahit manik satu persatu kerana ia kelihatan rumit dan melecehkan. Pada masa sama, emak juga mengajar dan menerangkan pada saya cara menjahit atau mencantum manik supaya menjadi satu bentuk dan corak yang menarik.
"Secara perlahan-lahan saya pun mula menjahit manik yang mudah terlebih dulu sebab takut kalau jahitan saya tidak cantik, nanti dimarah pemilik butik pula.
"Alhamdulillah berkat kesabaran dan tunjuk ajar daripada emak, saya semakin mahir menguasai seni jahitan manik tanpa mengambil kelas jahitan secara formal," katanya.
Nona juga menggunakan kemahirannya itu pada pakaiannya sendiri dan apabila ramai rakan memuji dan bertanyakan tempat dia membuat jahitan manik itu, Nona mengakui dia menjahitnya sendiri.
Tidak semudah itu Nona mengambiltempahan kerana pada waktu itu dia tidak yakin untuk menjahit manik pada pakaian orang lain kerana khuatir rekaannya tidak cantik atau tidak boleh diterima.
Bagaimanapun, atas sokongan kawan dan keluarga, dia memberanikan diri dan berdasarkan maklum balas positif mereka, dia maju selangkah lagi membuka tempahan kepada orang ramai menerusi blognya (nonadsign4u.blogspot.com dan www.facebook.com/NonaDsign).
"Saya menggunakan pelbagai jenis manik, kristal dan ada juga batu swarovski serta tidak dilupa renda yang selalunya dijahit serta ditampal pada bahagian hujung lengan baju, hujung kain, dada dan leher.
"Bahan sama juga saya gunakan ketika mereka gaya jahitan manik pada kasut untuk majlis seperti perkahwinan dan pertunangan.
"Semua rekaan saya asli yang lahir daripada kreativiti sendiri dan jarang setiap baju mempunyai jahitan corak dan bentuk sama. Ini kerana, saya mahu memberikan sesuatu yang eksklusif kepada pelanggan.
"Namun, saya juga mendengar pendapat dan kemahuan pelanggan mengenai gaya yang mereka sukakan. Semua itu akan dinyatakan ketika mereka menghantar tempahan," jelasnya.
Menurut Nona, terdapat beberapa jenis gaya yang dihasilkannya seperti crumble, tampalan renda tepi dan bunga 3D.
Mengikut corak baju pelanggan, Nona mereka gaya mengikut kesesuaian kerana sesetengah pelanggan tidak suka ada manik yang terlalu sarat dan hanya menggemari gaya ringkas.
Sekiranya baju berkenaan polos iaitu tidak bercorak, selalunya jahitan manik atau tampalan renda dan bunga 3D mampu menyerlahkan lagi pakaian berkenaan.
Dia juga bermain dengan warna dalam pemilihan manik supaya dapat dipadankan dengan warna atau corak baju dan bukan dilakukan sebarangan. Kebiasaannya, Nona memilih warna paling minimum pada baju untuk warna utama manik.
Katanya, jahitan manik adalah kreativiti luahan perasaan atau inspirasi menerusi corak lakaran yang menarik namun ia lebih memuaskan hati jika penghasilannya menggunakan teknik yang betul.
Menerusi manik, kita juga boleh menghasilkan rekaan lebih kreatif dengan menggabungkan kristal dan labuci untuk menonjolkan konsep mewah.
"Namun, pemilihan bermula daripada corak, teknik jahitan dan gabungan warna penting sebelum menghasilkan rekaan agar ia tampak lebih cantik selepas disiapkan," ujarnya yang mengenakan upah berpatutan.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/19